Sunday, July 24, 2005

#PAU2005





Ketuanan Melayu[1] merupakan kontrak sosial yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia. Orang Cina dan India di Malaysia yang dianggap sebagai pendatang (yang dibawa masuk oleh British) disifatkan terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan apa yang disifatkan sebagai pengorbanan orang Melayu itu, perlembagaan memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini dimaktubkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia). Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini biasanya dipanggil kontrak sosial. Konsep Ketuanan Melayu ini sering kali dijadikan retorik ahli politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang berpengaruh semenjak 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) mencapai kemerdekaannya dari British sebagai usaha meraih sokongan orang Melayu walaupun pada hakikatnya tidak ramai orang Melayu yang arif tentang konsep atau fahaman ini.

Walaupun retorik ini wujud sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, frasa ketuanan Melayu tidak menjadi satu perkara yang disebut ramai hingga ke awal tahun 2000-an. Kebanyakan tentangan konsep ini adalah daripada parti-parti yang tidak berdasarkan kaum Melayu, seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), tetapi sebelum kemerdekaan orang Baba dan Nyonya juga menentang konsep ini. Konsep keulungan kaum Melayu mendapat perhatian dalam tahun 1940-an apabila orang Melayu bersatu untuk menentang penubuhan Malayan Union dan kemudian, berjuang untuk kemerdekaan. Semasa tahun 60-an, terdapat usaha yang cukup besar untuk mencabar ketuanan Melayu, diketuai oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura — yang merupakan negeri Malaysia dari 1963 hingga 1965 — dan DAP selepas pemisahan Singapura. Walaupun begitu, sebahagian Perlembagaan berkaitan ketuanan Melayu berakar umbi selepas rusuhan kaumMei 13, 1969 yang terjadi akibat kempen pilihan raya yang menjadikan hak-hak orang bukan Melayu dan ketuanan Melayu sebagai isu tumpuan. Tempoh ini juga menyaksikan kebangkitan ultra yang mahukan kerajaan parti tunggal diketuai UMNO, dan pertambahan penekanan bahawa orang Melayu merupakan "orang asal" Malaysia — iaitu hanya orang Melayu boleh dianggap penduduk asal Malaysia.

Rusuhan kaum mengakibatkan perubahan besar dalam pendekatan kerajaan kepada isu perkauman, dan menyebabkan pengenalan Dasar Ekonomi Baru iaitu dasar tindakan afirmatif yang secara agresif menyebelahi kaum Melayu. Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang juga diperkenalkan pada tahun 1970, memberikan penekanan kepada asimilasi orang bukan Melayu ke dalam kaum Melayu. Tetapi dalam tahun 1990-an, Perdana Menteri Mahathir bin Mohamad menolak pendekatan ini, dengan dasar Bangsa Malaysia yang menekankan bangsa Malaysia dan bukan kaum Melayu sebagai identiti negara. Dalam tahun 2000-an, ahli-ahli politik mula menekankan ketuanan Melayu semula, dan membidas secara keras menteri kerajaan yang mempersoalkan kontrak sosial.- daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.





Berikut adalah atur cara majlis:

19 Julai (Selasa)

– Pendaftaran Perwakilan (9.00 Pagi)

– Majlis Taklimat Presiden (Tertutup 3.00 petang ) Peserta: Ahli-ahli Majlis Tertinggi, Exco pergerakan Wanita, Exco Pergerakan Pemuda, Exco Pergerakan Puteri, Ketua-ketua Bahagian, Timbalan-Timbalan Ketua Bahagian, Naib-Naib Ketua Bahagian, Ketua Pergerakan Wanita Bahagian, Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian, Ketua Pergerakan Puteri Bahagian, Setiausaha-Setiausaha Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian dan Bendahari-Bendahari Bahagian.

– Perasmian Wanita, Pemuda, Puteri (8.00 malam)

20 Julai (Rabu)

– Persidangan Wanita, Pemuda, Puteri

- Pergerakan Wanita di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC

- Pergerakan Pemuda di Dewan Merdeka, PWTC

- Pergerakan Puteri di Dewan Tun Dr. Ismail, PWTC

21 Julai (Khamis)

– Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2007

– Perbahasan usul Ucapan Dasar Presiden

22 Julai (Jumaat)

– Perbahasan (tempoh perbahasan dipanjangkan hingga ke malam)

- Majlis Jamuan Timbalan Presiden ( 8.00 malam )

23 Julai (Sabtu)

- Perbahasan Usul Agama dan Sosial

–Penggulungan & penangguhan ( 3.15 petang )



19 Julai 2005 @8.00 malam , Ucapan perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur malam tadi.


I : MENJANA MELAYU GLOKAL

ALHAMDULILLAH, kita merafakkan syukur setulusnya ke hadrat Allah S.W.T. yang telah mengizinkan kita berhimpun pada malam ini.

Perlis hingga ke Sabah,

Wanita, Puteri, Pemuda,

Dewan Merdeka bertuah,

Berhimpun pembela bangsa.

Wanita berhati mulia,

Puteri indah pekerti,

Pemuda tetap setia,

Semua pejuang sejati.

Kita ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di atas tanggungjawab melaksanakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian dengan sempurna.

Kita amat berbangga dengan Wanita yang terus bersemangat kental, gigih, sanggup berkorban meninggalkan keluarga dan anak-anak, terus bekerja untuk parti tanpa mengira masa. Usaha pimpinan turun padang ke negeri-negeri dan Wanita bergerak di akar umbi, dari rumah ke rumah amat berkesan sekali.

Wanita juga terkenal dengan kehadiran yang ramai sebagai kourum utama ke mesyuarat-mesyuarat dan juga majlis-majlis anjuran parti. Kita juga mengalu-alukan resolusi daripada Kongres Wanita Profesional Melayu yang berlangsung baru-baru ini. Resolusi yang mantap itu merangkumi soal pendidikan, sosial, ekonomi, politik dan pentadbiran. Ia selaras dengan ketetapan kerajaan, ke arah 30 peratus daripada proses pembuatan dasar diwakili wanita, dalam sektor awam dan swasta dilaksanakan dalam tempoh yang terdekat.

Setinggi-tinggi syabas kepada Pemuda dengan idea hebat penubuhan Putera Pemuda UMNO. Majlis penuh bersejarah, yang telah menggegarkan Stadium Hang Tuah, bagai meledakkan semangat juang kita untuk terus memikul amanah. Putera Pemuda merupakan proses peremajaan parti yang penting selepas kewujudan Puteri. Proses rekayasa (reengineering) ini, kita laksanakan agar UMNO terus segar dan dinamik.

Sememangnya penglibatan Pemuda dalam gerakan Aman Malaysia mencerminkan keprihatinan, terhadap isu semasa keamanan peringkat antarabangsa. Pada ketika yang sama, Pemuda tidak melupakan Program Masuk Kampung yang bersifat turun padang. Usaha Pemuda berbentuk global dan lokal ini, sesuai dengan peranannya sebagai generasi penggerak bangsa.

Demikian juga, kita turut gembira dengan Puteri yang ligat dengan pelbagai aktiviti. Puteri terserlah dengan program-program seperti Tunas Bestari, Mekar ICT dan Jom Baca dalam rangka membudayakan ilmu serta mendekati generasi muda. Puteri Prihatin dan Puteri Menyusur Akar pula, menjadi program mendekati masyarakat yang bersifat kebajikan. Semuanya ini menambah kepada pendekatan mesra rakyat yang kita janjikan sewaktu pilihan raya lalu.

UMNO adalah parti yang sentiasa sayang dan prihatin terhadap generasi muda. Itulah sebabnya pelbagai program diaturkan, pelbagai agenda digerakkan agar UMNO dekat di hati golongan muda. Justeru, kita gembira kerana rata-rata orang muda hari ini juga menyokong dan menjadikan UMNO pilihan mereka.

Keyakinan kita adalah bahawasanya generasi muda merupakan pewaris kepimpinan akan datang. Seperti kata Imam Al-Ghazali, baik dan berjaya generasi muda kini, maka baik dan berjaya jugalah masa depan kita nanti.

Sesungguhnya, peristiwa Tsunami yang melanda negara ini dan negara jiran telah mempamerkan betapa tingginya keprihatinan dan sucinya setiakawan kita, kepada mangsa yang ditimpa musibah dan kesusahan. Biarpun peristiwa ngeri yang meragut ratusan ribu nyawa itu telah berlalu, namun jasa tulus dan gerak tangkas Wanita, Pemuda dan Puteri menghulurkan bantuan serta tenaga, akan kekal tercatat dalam ingatan mereka dan kita semua.

Pada tahun 2004 yang lalu, dalam ucapan perasmian majlis yang sama di tempat yang sama, saya telah menggariskan lapan langkah perjalanan untuk menjadi bangsa yang terbilang iaitu mengukuhkan kepentingan ekonomi Melayu, mengamalkan nilai-nilai murni, mementingkan ilmu dan pendidikan, menguasai bahasa asing, memilih pemimpin berasaskan merit, menjadi pengikut yang baik, membudayakan meritokrasi dan membina masyarakat Islam Hadhari.

Akhir-akhir ini, cabaran globalisasi semakin menerjah dan menghempas bagai ombak badai tanpa perikemanusiaan. Negara dan bangsa yang kaya terus menghimpit ekonomi dan politik Dunia Ketiga. Dunia tanpa sempadan dan kampung sejagat telah mendedahkan kita kepada seribu satu peluang dan juga cabaran. Liberalisasi perdagangan turut mencabar daya saing industri tempatan. Konsep langit terbuka dengan limpahan pelbagai teknologi, begitu rancak mempengaruhi kehidupan kita.

Dek hal yang tersebut, mustahak sekali kita sentiasa berhati-hati dan berwaspada. Ketahanan diri dan benteng bangsa mesti dikukuhkan dalam semua lapangan dan bidang. Usaha bersepadu menangani arus globalisasi perlu dirancang dan agenda bertindak hendaklah segera dilaksanakan. Inilah premis dan saripati yang menjadi ilham kepada ucapan saya pada malam ini, bertemakan Menjana Melayu Glokal.

Terlebih dahulu, izinkan saya mentakrifkan istilah glokal. Ia adalah gabungan antara dua perkataan iaitu global dan lokal. Global bermaksud, antarabangsa, internasional dan menjangkau seluruh dunia. Lokal adalah nasional, tempatan, dalam negara kita ini. Melayu Glokal yang kita impikan dan hasratkan ialah Melayu yang berakar nasional dan berakal internasional. Maksudnya, di samping kita hebat dalam negara, kita juga berperanan di arena antarabangsa. Akar kita berpaksi di kota dan desa namun akal kita menerjah ke serata dunia. Melayu Glokal bertunjangkan budaya Melayu dan ajaran agama Islam yang suci. Pada ketika yang sama, kita tetap berani meneroka dunia yang penuh pancaroba ini.

Apabila melihat pada negara yang sudah maju, kita dapati setiap daripadanya dikenali kerana jenama bangsa yang unik. Contohnya, bangsa Jerman terkenal dengan kejuruteraan halus dan pembikinan kereta mewah. Bangsa Jepun bangkit dari debu ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki berdasarkan semangat kerja mereka yang cukup tinggi. Jepun kini berjaya menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.

Orang Perancis pula terkenal dengan industri fesyen yang mengujakan dunia. Tidak kurang juga orang Gurkha yang terkenal dengan kesetiaan dan keberanian. Di banyak tempat, kalau hendak mengambil pengawal, Gurkhalah yang dicari. Istilah `gurkha' tersohor sehinggalah dalam UMNO pun dipakai gelaran `gurkha parti' yang mencerminkan ketaatan dan kesetiaan pengikut. Istilah lain yang seumpamanya ialah `machai' dan `balachi'. Namun, `gurkha' ini tinggi sedikit makamnya.

Lantaran itu, kita perlu bertanya. Apakah kehebatan, keistimewaan, keunikan bangsa Melayu yang hendak kita jenamakan agar dikenali dunia? Bangsa Melayu memiliki sifat yang positif dan negatif, serupa juga dengan bangsa lain di dunia ini. Namun, dalam kealpaan Melayu ada hikmahnya, iaitu melupakan kisah pedih dan tragedi untuk meneruskan kehidupan. Dalam tolak ansur Melayu ada faedahnya, iaitu hidup harmoni dengan kaum lain demi kestabilan negara.

Dalam marahnya Melayu ada lembutnya, sedia dengan hati terbuka memaafkan kesalahan. Dalam kesabaran pula, penuh dengan keimanan. Dalam memegang kuat prinsip dan hukum, didasari dengan kesederhanaan. Dalam kelantangan kata, disulami kesantunan. Dalam membuat keputusan, penuh dengan hikmah dan kebijaksanaan.

Himpunan sifat dan nilai mulia ini perlu dijadikan asas dan pasak jenama bangsa Melayu agar terkenal seantero dunia. Lantaran nilai mulia inilah, kita sebagai sebuah bangsa terus hidup, sejak bergemanya laungan keramat `Hidup Melayu.' Hidupnya Melayu kini yang terpahat dalam ungkapan Hang Tuah ``Takkan Melayu Hilang di Dunia'' hendaklah dijadikan tapak survival untuk melangkah ke dimensi baru.

Dimensi baru kini menuntut kita melonjak ke hadapan dengan memperkukuhkan daya saing bangsa untuk berlumba menjadi antara yang terbaik di pentas dunia. Oleh itu, sudah tiba masanya kita berubah menjadi Melayu Glokal. Ini bukan lagi mustahil kerana Malaysia sekarang sudah pun mula diiktiraf sebagai negara Islam contoh. Kita sederhana lagi progresif dan harmoni dalam kemajmukan. Kita semakin bersinar dalam dunia yang serba mencabar. Kita inginkan Malaysia sebagai negara Islam contoh, menjadi jenama antarabangsa. Kejayaan inilah menjadi asas untuk menjana Melayu Glokal seterusnya.

II: Menjana Melayu Glokal Melalui Ilmu dan Pendidikan

Sebagai persiapan menjana Melayu Glokal, saya utarakan lima tindakan untuk dilaksanakan oleh ahli-ahli parti.

Tindakan Pertama: Menjana Melayu Glokal Melalui Ilmu dan Pendidikan

Seperti yang kita semua maklum, YAB Presiden telah meletakkan usaha membina modal insan sebagai agenda teras kepada kejayaan bangsa dan negara. Pembinaan modal insan merangkumi satu proses lengkap membentuk tenaga kerja manusia yang berilmu, berakhlak, berkemahiran, berdaya saing dan berdaya tahan.

Di peringkat ini, seperkara yang harus diingat ialah perjalanan membina modal insan bukanlah mudah. Tentunya ia menuntut ketabahan dan memakan masa yang panjang. Lagipun, Malaysia adalah negara sederhana secara komparatifnya berbanding dengan negara lain. Modal material kita juga terbatas.

Jadinya, gemblenglah segala yang ada, berbekalkan modal insan, supaya mencapai tahap Melayu Glokal yang cemerlang dan bukan setakat menjadi bangsa picisan (mediocre nation). Mahu tidak mahu, kita perlu melepasi halangan psikologi sederhana ini, kerana kita tetap sebahagian daripada yang besar iaitu bangsa Asia, Gugusan Kepulauan Melayu dan dunia Islam keseluruhannya.

Tokoh terbilang negara, Profesor Diraja Ungku Aziz menyatakan bahawa, tanpa ilmu tiada masa depan. Dari itu, pendidikan mestilah dijadikan misi utama dalam mencapai agenda Melayu. Pelajar di semua peringkat perlu dididik dengan sempurna. Tindakan untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti, komited dan berdedikasi hendaklah diteruskan, di samping tetap menjaga hal-ehwal kebajikan mereka.

Ini kerana, kita yakin dan percaya, pendidikanlah wadah pembinaan modal insan yang berkesan. Modal lain seperti modal wang, modal teknologi, modal bangunan tidak mungkin sempurna dan kamil jika tidak ditunjangi dengan modal insan.

Di atas segalanya, apa yang wajar diteliti dan diberi perhatian kini ialah konsep pendemokrasian pendidikan. Ia bererti peluang yang adil dan sama rata untuk mendapatkan pendidikan berkualiti kepada semua. Di kota atau desa, dari Perlis hingga ke Sabah, di Putrajaya atau di mana jua, jurang perbezaan berkaitan kelengkapan sekolah seharusnya dirapatkan. Oleh itu, segala prasarana seperti bekalan elektrik dan air awam, makmal komputer, telefon serta jalan raya perlu terus disempurnakan.

Pendidikan juga menjadi wahana terpenting kepada mobiliti sosial. Maksud mobiliti sosial ialah pergerakan masyarakat yang diperlambangkan oleh:

Anak penoreh getah boleh menjadi profesor

Anak petani boleh menjadi pegawai tinggi

Anak peneroka boleh menjadi jurutera

Anak nelayan boleh menjadi akauntan.

Pendidikan sebenarnya mampu menjadi pengimbang tara strata sosial yang paling berkesan. Dalam kata lain, dengan berbekalkan ilmu dan pengetahuan, anak orang miskin akhirnya mampu mengubah nasib keluarga. Hasilnya, mereka dapat setanding dan bersama dengan anak orang berada bekerja di bawah satu bumbung dalam jabatan atau syarikat yang sama.

Ini bukanlah sesuatu yang impian dan retorika. Telah banyak contoh yang dapat kita persaksikan, antaranya kini dua anak penoreh getah telah berjaya menjawat jawatan Naib Canselor di universiti awam. Realiti kejayaan pendidikan secara mobiliti menegak ini nyatanya hanya kita kecapi di Malaysia. Tidak lain dan tidak bukan, semuanya adalah hasil usaha perjuangan suci UMNO selama ini.

Dasar pendidikan yang terancang juga membentuk insan yang sempurna dan seimbang. Ibaratnya, jika laut yang luas itu pasaran kerja yang serba mencabar, sementara sistem prasekolah pula umpama mata air yang jernih di hulu sungai, maka eloklah perjalanan air dalam sungai berliku itu jernih hingga ke muara.

Soalnya di sini ialah, perhatian khusus wajar diberikan kepada pendidikan prasekolah. Natijahnya nanti, kalaulah titik permulaan pendidikan ini tidak diberi penekanan, lambakan ketempangan atau himpunan kekurangan pelajar Melayu akan terakru di situ.

Hasrat kita, bermula dari sistem prasekolah hingga ke pengajian tinggi, biarlah serba molek dan serba teratur. Barulah sistem sekolah kebangsaan yang kita ingin perkasakan, hinggalah ke menara gading, dapat menuju arus kejernihan membina modal insan. Melayu Glokal yang ingin kita lahirkan pula wajar mengamalkan pendidikan sepanjang hayat, menguasai lebih daripada satu bahasa dan berbudaya ilmu yang tinggi.

Nampaknya kini, dalam era ekonomi berasaskan pengetahuan, kekuatan sesebuah negara semakin bergantung kepada keupayaan penduduknya untuk menjana dana intelektual. Jika dahulu sebelum merdeka, cukup dengan pendidikan kelas dewasa untuk membasmi buta huruf. Selepas daripada itu, tahap kelulusan rata-ratanya meningkat kepada ijazah pertama. Namun kini, untuk lebih berjaya dan kompetitif, menuntut pula kepada tahap kelulusan yang lebih tinggi daripada ijazah sarjana muda.

Kita hendaklah melangkah lebih jauh ke peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran, dalam usaha membudayakan tradisi penyelidikan di bidang sains dan teknologi. Ini merangkumi pelbagai bidang seperti penemuan baru, hasil kreativiti penciptaan serta penambahbaikan proses pembuatan dan pengurusan.

Kita mesti berubah menjadi bangsa kreatif, bangsa pencipta dan bangsa pencetus inovasi. Tidak ada negara maju yang ketinggalan dari segi kemampuan untuk berinovasi. Dalam hal ini, kita masih terkebelakang. Sebagai contohnya, Malaysia membelanjakan hanya 0.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk Penyelidikan dan Pembangunan (R&D). Berbanding negara maju seperti Korea 2.5 peratus, Amerika Syarikat 2.7 peratus dan Jepun 3.1 peratus daripada dana KDNK yang berlipat kali ganda dibanding Malaysia.

Jumlah paten atau hak cipta yang didaftarkan di Malaysia juga masih rendah sebagai tanda kurangnya bilangan penyelidik untuk menjana khazanah negara dan memelihara harta intelek. Justeru, kehebatan daya kreativiti dan inovasi perlu disemai kepada anak bangsa melalui pendidikan, agar negara terus kompetitif di persada dunia yang penuh cabaran.

Barulah nantinya kita boleh melahirkan masyarakat penyumbang teknologi dan bukan hanya menjadi pengguna teknologi dalam konteks harta intelek sejagat. Inilah akhirnya akan memberikan kesan langsung kepada daya saing negara dan pada analisis terakhir, menjadi antara faktor penentu sama ada kita berjaya mencapai status negara maju.

III: Menjana Ekonomi Untuk Pembangunan Melayu Glokal

Tindakan Kedua: Menjana Ekonomi Untuk Pembangunan Melayu Glokal

Jika diamati, statistik menunjukkan bangsa Melayu masih tertinggal dalam beberapa agenda penting seperti pembangunan, pendidikan dan perniagaan. Usaha terancang telah dibuat sejak kewujudan Dasar Ekonomi Baru pada tahun 1970 selama 35 tahun. Oleh itu, UMNO akan terus berperanan sebagai perencana, penggerak, pelaksana dan pengawas untuk kita menjuarai segala dasar dan usaha sepadu bagi menjana ekonomi, demi memperkasa agenda Melayu.

Memang benar, salah satu masalah besar untuk membangunkan usahawan bumiputera sejak tahun 1970-an lagi berkait dengan hal sikap. Kita menghadapi masalah sikap mahu cepat kaya, tetapi tidak mahu berusaha. Peluang yang diberikan kerajaan dijual dengan begitu mudah dan murah, untuk mendapat hasil yang cepat walaupun sedikit. Istilah biasa sikap ini dipanggil Ali - Baba. Mereka yang memajak lesen perikanan laut dalam kepada orang Thailand boleh digelar Ali-Siam. Istilah ilmu ekonomi dipanggil `rentier class'. Saya menggunakan istilah ekonomi supaya tiada yang berkecil hati. Istilah mudah yang ramai orang faham ialah broker. Hentikanlah sikap ini. Kendatipun begitu, tiada salahnya jika usahasama tulen dijalankan tetapi janganlah sampai segala kepentingan digadaikan.

Penanda aras kepada dasar ekonomi yang dirancang seharusnya berupa pembinaan kekayaan bagi rakyat teramai dan kejayaan di kalangan kumpulan Melayu yang layak. Perhatian penting mestilah juga diberikan kepada jurang pendapatan antara kaum dan antara wilayah. Sehubungan dengan itu, kita mesti menolong mereka yang layak, mempunyai kesungguhan dan potensi, usahawan yang mempunyai know-how - tahu bagaimana bukan sekadar know-who - tahu siapa, sahaja.

Lantas, kita perlu mengenal pasti usahawan bumiputera tulen, yang berkembang dengan kemampuan dan melalui proses keusahawanan. Mereka inilah yang patut ditolong. Ertinya, jika seseorang usahawan itu telah berusaha dengan gigih, mengumpul pengalaman sehingga berjaya menjana jualan pusingan sebanyak seratus ribu ringgit, dia wajar dibimbing mengembangkan perniagaannya menjadi satu juta pula. Jika sungguh berdaya maju dan berdaya saing, maka satu juta itu seboleh-bolehnya dibina kepada sepuluh juta atau seratus juta ringgit dan begitulah seterusnya sehingga berjaya menjadi usahawan kawakan, usahawan glokal, yang hebat dalam negara dan bertaraf antarabangsa.

Namun, barang harus diingat, kita tidak mahu usahawan Melayu ini, mereka yang bersifat seperti ayam. Bertelurnya sebiji sahaja, tetapi riuhnya habis sekampung. Secara berseloroh atau kebetulan, ayam tidak pernah diambil serius oleh orang Melayu walaupun ia adalah makanan yang digemari. Maka timbullah peribahasa yang membawa makna negatif seperti ajak-ajak ayam, hangat-hangat tahi ayam, rabun ayam, tidur-tidur ayam, ibu ayam dan bapa ayam. Cuma, kuih cakar ayam dan nasi ayam sahaja yang enak dimakan.

Dari itu, beresmilah seperti penyu, bertelur beratus biji, senyap sahaja malah tabah dan berani menempuh gelora. Tahan hidup lebih seratus tahun lamanya. Namun begitu, penyu yang dipersonakan ini, janganlah pula dilihat dari sudut terlalu lambat, mestilah ada dinamisme dan kepantasan. Lihatlah juga cerdiknya sang kancil dalam cerita rakyat, kijang mas lambang kewangan dan sang harimau pada jata negara.

Untuk itu, orang Melayu akan terus dilatih dalam bidang perniagaan. Kita ingin bangunkan kemahiran dan semangat keusahawanan serta jaringan pasaran yang meluas. Pendidikan ilmu perniagaan hendaklah dikembangkan lagi kurikulumnya, agar budaya niaga tumbuh seawal peringkat sekolah lagi. Yang mustahaknya di sini, matlamat perjuangan UMNO adalah untuk menambah bilangan usahawan bumiputera tulen yang berjaya dan berdaya saing.

Hakikatnya, bangsa kita telah ketinggalan masa dan peluang sejak zaman penjajahan. Sedangkan untuk berjaya masa adalah wang, kepantasan adalah keuntungan. Malah tokoh terkemuka Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), Bill Gates juga mengutarakan, seharusnya perniagaan bergerak sepantas fikiran. Lantaran yang demikian, janganlah kita leka dengan pemikiran bahawa kita sudah mencapai yang terbaik kerana banyak lagi ruang untuk disempurnakan. Jiwa kerdil dan buat kerja lambat sekadar jadi, mesti diubah kepada jiwa besar dan cekap dengan tahap kompetensi yang tinggi.

Di persimpangan ini, kini sudah sampai masanya kita mengkaji semula institusi dan mekanisme yang telah diwujudkan suatu ketika dahulu. Mekanisme yang lemah diperkuatkan, yang kurang dilengkapkan, yang berkesan ditingkatkan demi mencapai lonjakan berganda ekonomi Bumiputera. Kekuatan ekonomi orang Melayu di bandar dan luar bandar juga perlu dipantau secara holistik dan bukan semata-mata dari segi pegangan ekuiti. Kita harus mengambil kira pencapaian dari segi pendapatan isi rumah, penguasaan syarikat, pegangan hartanah, penglibatan dalam sektor strategik seperti ICT dan bioteknologi.

Data tahun 2004 menunjukkan hanya 19.6 peratus syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan 21.5 peratus syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, milik bumiputera. Bagi pemilikan premis perniagaan di bandar-bandar utama seluruh negara, bumiputera hanya memiliki 11.6 peratus sahaja. Lantaran itu, usaha bersepadu pelbagai agensi kerajaan pusat dan negeri akan dimantapkan bagi menjayakan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Di sinilah, kita semahunya melihat pihak swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs) meningkatkan peranan mereka membantu kita khasnya dalam penyusunan semula guna tenaga dan menyediakan peluang untuk bumiputera.

Kita amat berharap agar ketua-ketua pegawai eksekutif GLCs betul-betul serius dan benar-benar komited dalam menjayakan agenda Melayu. Sektor swasta yang telah mendapat banyak manfaat dengan keuntungan yang hebat, hendaklah juga memberi peluang dan bimbingan kepada usahawan Melayu. Kita tidak mahu sesiapa pun memandang rendah kepada kebolehan apatah lagi memperlekehkan keupayaan usahawan Melayu yang tulen dengan sengaja mencipta pelbagai alasan.

Seterusnya, UMNO akan sentiasa membela bangsa Melayu di kota dan di desa. Kemudahan asas di luar bandar wajar terus dilengkapkan. Jurang pembangunan akan didekatkan dengan menambah lebih banyak pusat pertumbuhan baru di pekan kecil yang menjadi tumpuan penduduk Melayu. Kawasan permatang, parit, kampung, lubok, sungai, akan dibangunkan seiring dengan kemajuan taman, pekan, jalan dan precinct.

Sidang perwakilan; untuk menjana ekonomi bangsa, sayugia saranan-saranan berikut boleh diambil tindakan:

Aspirasi melahirkan sekurang-kurangnya seorang profesional atau seorang usahawan dalam setiap keluarga Melayu. UMNO perlu menjadi saf hadapan dan menjadi pemangkin kepada usaha ini. Kempen kesedaran dan motivasi dengan pelbagai bentuk dan bantuan media massa wajar diadakan agar ia menjadi satu gerakan nasional. Dengan itu, pelbagai program di bawah kementerian berwajib dan agensi hendaklah digubal pada peringkat nasional, negeri, daerah, mukim dan kampung.

Keduanya, merancakkan kembali usaha satu daerah satu industri serta satu kampung satu produk. Ini melibatkan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam pelbagai lapangan pertanian, perkhidmatan dan pembuatan. Contoh usaha yang boleh mendatangkan hasil, bermula daripada sekecil-kecilnya seperti membiak benih ikan dan menanam pelbagai spesis herba sehinggalah kepada perusahaan lebih rumit dan besar, melibatkan bioteknologi atau bidang pembuatan.

Seandainya UMNO berperanan penuh sebagai nadi penggerak kepada usaha mulia ini, bayangkanlah betapa besar potensi industri yang boleh kita hidupkan daripada ribuan pimpinan cawangan dan bahagian UMNO di seluruh pelosok negara.

Ketiga pula, memastikan terlaksananya pelbagai program membasmi kemiskinan. Sehubungan dengan masalah ini, marilah kita merenung kembali kata-kata hikmat Pendeta Za'ba yang menyebut pada tahun 1923:

``Adapun kemiskinan orang Melayu bukan hanya miskin pada wang ringgit dan harta benda tapi lebih dahsyat dari itu; miskin pada hemah dan cita-cita, miskin pada pelajaran, miskin pada alat-alat kelengkapan otak, miskin perangai yang tinggi dan miskin syarat-syarat untuk menjadi maju.''

Oleh kerana itulah, setiap cawangan UMNO perlu menjadi pengantara dan pemudah cara kepada khidmat bantuan yang disediakan oleh pelbagai agensi kerajaan bagi membela nasib rakyat termiskin. Orang Melayu perlu dibangunkan dari lena agar bangkit mengubah sikap bagi mengeluarkan diri daripada terus dikongkong kemiskinan harta dan jiwa seperti ingatan Za'ba. Sesungguhnya, komitmen kita ialah untuk menghapuskan terutamanya kemiskinan tegar menjelang tahun 2009 dan kekurangan lainnya diatasi melalui agenda pendidikan negara.

Di sudut yang lain pula, kita mahu memaktubkan suara politik Melayu dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Untuk RMK-9, kita akan memperkemas strategi pelaksanaan agenda Melayu dengan mengkaji semula keberkesanan strategi dan instrumen yang lepas. Begitu juga, kita wajar bertindak membanteras sikap negatif usahawan bumiputera bagi membina usahawan yang tulen dan berdaya tahan. Malah kebocoran bantuan dan kemudahan yang diberikan kepada bumiputera perlulah dibuat pembaikan.

Di samping itu, pelbagai usaha hendaklah dipergiatkan bagi mencapai Wawasan 2020 yang merupakan visi utama negara. Kita berhasrat ingin menjadi negara maju sepenuhnya dalam semua segi. Kemajuan ini adalah mengikut wadah kita sendiri. Kita mahu membina Bangsa Malaysia di mana bangsa Melayu yang glokal menjadi terasnya. Bangsa Malaysia pada ketika itu seharusnya sudah berupaya duduk tidak serendah, malah diharapkan gagah berdiri, lebih tinggi daripada bangsa lain yang sudah maju.

Sungguhpun begitu, sebelum kita mengimpikan kejayaan besar Wawasan 2020, sikap kita yang tercerna seperti:

Ada padi kerja jadi,

Ada beras kerja deras,

Ada fulus semua lulus,

Mestilah diubah kepada:

Tiada padi tanam sendiri,

Tiada beras sumbangan ikhlas,

Tanpa fulus tetap diurus.


IV: Melayu Glokal Berpaksikan Penghayatan Agama

Pimpinan Wanita, Pemuda, Puteri dan sidang perwakilan sekalian,

Tindakan Ketiga: Melayu Glokal Berpaksikan Penghayatan Agama

Secara sedar ataupun tidak, terdapat dua kumpulan melampau dari segi amalan di kalangan kita. Kumpulan pertama, yang tidak kisah dengan kehidupan beragama, lantas hidup berfoya-foya, tanpa batasan dan tidak menghiraukan halal atau haram.

Sekumpulan lagi ialah mereka yang telah menyempitkan kefahaman akhirat, lantas hidup menyisih serta tidak menghiraukan dunia. Walhal sesiapa yang mementingkan akhirat, sepatutnya lebih kuat bekerja kerana kita perlukan kedua-duanya. Tambahan pula, konsep ibadah itu luas dan mencakupi sebarang pekerjaan yang baik, selagi mana tidak bersalahan dengan hukum agama. Pengertian ibadah seharusnya diperkuatkan dengan prinsip berani hidup dan bukan berani mati yang sia-sia. Bila sudah mati, maka perjuangan ikut berakhir, tetapi selagi hidup, perjuangan dapat diteruskan.

Bertolak dari hal itu, pengertian Islam yang meluas boleh difahami melalui Pendekatan Islam Hadhari. Pendekatan ini hendaklah menjadi nadi dan penggerak, kepada penjanaan Melayu Glokal yang berhadapan dengan pelbagai cabaran. Seraya menyentuh tentang agama yang sesuai untuk semua batas masa dan keadaan, saya suka membicarakan betapa syumulnya Islam sehinggalah berkaitan aspek perhukuman.

Sebuah hadis sahih riwayat Muslim bermaksud:

``Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu.''

Hadis ini bersabit dengan kaedah ijtihad sebagai satu instrumen hukum yang dinamik. Ijtihad dirumuskan sebagai satu usaha bersungguh-sungguh menggunakan akal pemikiran untuk mencari hukum. Ia diistinbatkan kepada dalil-dalil syarak secara terperinci dan hendaklah dilaksanakan oleh ahlinya.

Yang indahnya di sini, ketajaman minda dan pengalaman kehidupan manusia sebagai makhluk Allah turut diberi tempat yang tinggi, dalam menentukan perjalanan dunia yang terus berubah dan terkini, selain daripada al-Quran dan Sunnah.

Seperti yang disabdakan dalam hadis tersebut, pelbagai urusan dunia yang terkini menuntut kepada penyelesaian yang juga bersifat kontemporari. Instrumen ijtihad menjadi kaedah hukum yang amat praktikal, dan telah memberi sumbangan yang besar dalam sejarah perkembangan dunia Islam.

Para sahabat seperti Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar berijtihad dalam peristiwa-peristiwa seperti membenarkan pengumpulan al-Quran dan bertindak ke atas golongan yang ingkar menunaikan zakat. Imam Shafei dan Imam Hanafi juga mengaplikasikan ijtihad, supaya dapat memberi tafsiran yang lebih jelas serta mendalam berhubung hukum hakam agama.

Nyatanya, berbekalkan Semangat Ijtihadiah inilah golongan sahabat, tabi'in, imam-imam mazhab serta ulama muktabar telah berjaya mempertahankan Islam agar terus relevan sepanjang masa. Maka, mewarisi semangat dan kekuatan ini jugalah, pendekatan Islam Hadhari dirintis bersesuaian dengan penggalakkan kaedah ijtihad, agar umat Islam terus berkembang dan mampu menghadapi semua keadaan dan cabaran semasa. Inilah sifir dan sandaran dalam menghayati agama Islam yang mendasari bangsa kita.

Sebab itulah, kita menolak pandangan Pas yang hentam kromo dalam menidakkan pendekatan Islam Hadhari. Jelasnya, walaupun tujuan kerajaan baik dan murni tetapi kerana politik, parti lawan itu tidak dapat menerima kebaikan yang hendak kita bawa bagi kemajuan rakyat dan negara. Inilah masalahnya dengan parti pembangkang di Malaysia.

Pemuda Pas kini juga sudah mula menegur dan meragui sebahagian pimpinan yang mereka sendiri telah takrifkan sebagai ulama. Waima, ketiga-tiga Naib Presiden yang dipilih dan Setiausaha Agung yang baru dilantik juga, bukan daripada golongan ulama. Terbukti Pas adalah parti yang tidak konsisten berbanding UMNO yang sejak dulu, kini dan selamanya tetap kekal dengan cara kita atau bak kata orang Sabah, `tatap' dan `tidak guyang' sebagai pejuang agama, bangsa dan negara.

Sesungguhnya, kejayaan yang diperjuangkan oleh UMNO bukanlah semata-mata kejayaan berbentuk fizikal tetapi yang lebih jauh adalah kejayaan spiritual dan kesucian nurani. Inilah kejayaan yang disebut sebagai Al-Falah menurut ajaran Islam. Kita berhasrat, bertekad, memohon doa dan hajat agar dikurniakan kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.


V: Memperkuatkan Jati Diri Melayu Glokal Melalui Transformasi Budaya

Tindakan Keempat: Memperkuatkan Jati Diri Melayu Glokal Melalui Transformasi Budaya

Transformasi bermaksud perubahan yang berupaya menukar sesuatu. Budaya adalah gabungan dua unsur iaitu budi dan daya. Mereka yang berbudaya memiliki akal budi tinggi dengan daya usaha untuk menjadi orang yang berguna. Budaya juga membawa maksud cara hidup yang diamalkan setiap hari. Pendek kata, transformasi budaya berkisar pada perubahan cara hidup orang Melayu.

Sejak dulu, orang Melayu amat tinggi budayanya, sebagaimana terpancar dalam seloka ini:

Apa bukti Melayu jati?

Hidup muafakat berhemah tinggi,

Akhlak mulia pakaian diri.

Apa bukti Melayu beradat?

Pantang pasukan tidak sepakat,

Pantang urusan tidak seniat.

Apa bukti Melayu berbudi?

Jasa pemimpin dikenangi,

Nikmat Allah disyukuri.

Apa bukti Melayu bertuah?

Hidup tidak melanggar sumpah,

Mati tidak melanggar Sunnah.

Apa bukti Melayu Glokal?

Bermartabat kita di persada global,

Bermaruah kita di arena lokal.

Apa bukti Melayu terbilang?

Seluruh dunia nama dijulang,

Sepanjang zaman jasa dikenang.

Dari sudut psikologi dan kehidupan, kita dapati bahawa perubahan sikap seseorang seringkali berpunca daripada maklumat yang diperoleh, ilmu yang didapati dan diimbangi oleh nilai yang dipegang. Perubahan sikap juga memerlukan suatu bentuk kuasa minda yang tinggi. Orang yang mementingkan kesihatan umpamanya, berupaya menahan diri dengan tidak mengambil gula dan garam disebabkan mindanya berjaya menganggap bahan-bahan itu ibarat racun jika diambil berlebihan.

Sementelahan pula halnya dengan dadah, bukan sekadar racun malah ia adalah najis dan haram di sisi agama Islam. Kerana itulah, seseorang mungkin menagih dadah kerana barangkali tidak mendapat cukup maklumat tentang bahayanya, ilmu mungkin tidak setinggi mana serta tiada pula nilai murni yang menjadi pegangan.

Tambahan lagi, isu pesakit HIV/AIDS semakin meruncing dan amatlah menyedihkan kerana majoriti penagih dadah adalah orang Melayu. Untuk menangani isu nasional ini, saya menggesa Wanita, Pemuda dan Puteri, ayuhlah kita bersama memerangi dadah durjana hingga ke akar umbinya.

Dalam contoh perubahan sikap yang lain pula, petani dahulu mempunyai konsep 3T iaitu Tanam, Tinggal dan Tuai. Dengan maklumat dan ilmu pertanian moden, perkara mudah seumpama ini tidak lagi wajar diamalkan seandainya petani ingin meningkatkan produktiviti. Dengan maklumat, ilmu dan nilai baru, 3T wajar diubah kepada satu bentuk usaha tanaman yang terancang, dengan teknologi terkini, untuk mendapat hasil tuaian yang terbaik. Barulah berjaya konsep yang YAB Presiden pernah anjurkan, iaitu konsep K ke K, Kebun ke Kilang atau P ke P iaitu Petani ke Pengusaha.

Daripada apa yang saya singkapkan tadi, ternyata proses merubah sikap dan nilai bangsa adalah satu kerja besar yang tidak dapat tidak, mesti diteruskan. Apa yang pasti, kerja besar ini menuntut kepada satu transformasi budaya dalam bentuk anjakan paradigma bangsa Melayu.

Sekadar misalan, pernah ada orang di luar negara yang tidak tahu tentang Malaysia beranggapan bahawa di negara ini, masih ada orang tinggal di atas pokok. Namun, selepas orang asing ini melihat Putrajaya, bandar pentadbiran yang indah dan tersusun, menziarahi Kuala Lumpur dengan KLCC sebagai menara kembar tertinggi di dunia, paradigma orang tadi telah teranjak. Pandangannya terhadap Malaysia sudah berubah.

Seperti itulah, anjakan paradigma bangsa Melayu yang sedang berlaku, dapat dimengertikan daripada contoh berikut:

* Paradigma Melayu kurang berusaha dianjak kepada Melayu bekerja keras, seperti kejayaan peneroka Felda secara keseluruhan mengusahakan tanah membina ladang terbesar di dunia.

* Paradigma Melayu yang sederhana pencapaian dianjak kepada Melayu cemerlang seperti contoh kejayaan Nur Amalina seorang puteri yang memperolehi 17A1 dalam SPM.

* Paradigma Melayu kurang berani dianjak kepada Melayu berani seperti kejayaan Datuk Azhar Mansor dan Datuk Malik Maidin.

* Paradigma Melayu lemah dianjak kepada Melayu kuat seperti kejayaan seorang wanita Datin Paduka Sharifah Mazlina dan dua orang pemuda pendaki gunung Everests, Muhamed Muqarabin dan Ahmad Reduan.

* Paradigma Melayu tidak tahu berniaga dianjak kepada usahawan hebat seperti beberapa orang jutawan Melayu yang ada tersenarai dan dikenali umum.

* Paradigma Melayu berpecah dianjak kepada Melayu bersatu, contohnya perpaduan ketika menentang Malayan Union dan kejayaan cemerlang Pilihan Raya 2004.

Dalam kata lain, perubahan paradigma Melayu adalah satu transformasi budaya untuk lebih memantapkan jati diri bangsa, bersiap menghadapi cabaran dan akan datang. Mengingati kata-kata seorang pakar strategi Cina pada zaman dahulu yang bernama Sun Tzu:

Kenalilah dirimu;

Ketahuilah musuhmu;

Maka,

Dalam seribu peperangan;

Terciptanya seribu kejayaan.


VI: Memperkasakan Politik Melayu Glokal Berteraskan Idealisme Perjuangan

Tindakan Kelima: Memperkasakan Politik Melayu Glokal Berteraskan Idealisme Perjuangan
 
Pepatah ada menyatakan `Bercita-citalah setinggi langit, kerana jika tidak dapat mencapai langit, paling kurang dapat menggapai awan.' Oleh itu, kita hendaklah bercita-cita tinggi untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara. Kita wajar sentiasa menyemarakkan api idealisme perjuangan mendokong amanah dengan penuh semangat patriotisme. Kita adalah pembawa obor perjuangan yang telah diwariskan demi agama, bangsa dan negara tercinta.

Dalam meniti arus perjuangan inilah, kita pastinya dihadapkan dengan pelbagai kerenah dan percaturan politik. Sebijaknya, ia digarap dan difahami dengan penuh hikmah dan berstrategi. Sebagai contohnya, pemerhatian terhadap perubahan sokongan rakyat. Ia boleh dilihat melalui Teori Ladung Bandul (Pendulum Theory) mengenai keputusan empat pilihan raya.

Pada tahun 1990, peratusan undi popular BN hanyalah 53 peratus, (menghayun ke kiri disebabkan kewujudan Semangat 46). Tahun 1995 pula, peratusan undi popular meningkat ke angka 65 peratus (berhayun ke kanan apabila wujudnya kesatuan dalam parti). Manakala pada tahun 1999, undi popular merosot kepada 56 peratus dek kerana berlakunya perpecahan sekali lagi. Tahun 2004 pula, setelah perpaduan kembali menjelma, undi popular meningkat kembali ke angka 63 peratus.

Kalau dikaji, teori ini menjadi realiti pada tahun 1990 dan 1999 kerana telah berlaku perpecahan pimpinan peringkat tertinggi. Perpecahan pada tahun 1999 jelas berpunca daripada keretakan struktur dalam parti. Pengajaran yang mesti diambil ialah ramalan teori tahun 2008/9 pergerakan ladung ke kiri mesti kita nafikan.

Prasyarat tidak berulangnya perpecahan, ialah kesungguhan ikhtiar sesama ahli dan pimpinan, untuk terus memastikan:

perpaduan kukuh sesama ahli,

kerjasama ampuh pimpinan negeri,

kesetiaan teguh Majlis Tertinggi,

bertaut erat penuh kesefahaman,

antara Presiden dan juga Timbalan,

kekal mantap, selesa berkekalan.

Sehubungan dengan itulah, saya pernah menggariskan formula 6P untuk mendepani cabaran dalam perjuangan parti kita UMNO iaitu Parti, Perjuangan, Perpaduan, Peraturan, Persediaan dan Perkhidmatan. Melayu Glokal adalah mereka yang mesti juga cintakan parti, faham perjuangan, bersatu padu, mengikut peraturan, bersiap sedia dan sentiasa berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara.

Pada hemat saya, dua P yang utama adalah Perjuangan dan Peraturan. Perjuangan sebenarnya menuntut kepada disiplin dalaman diri setiap ahli UMNO. Manakala peraturan parti adalah undang-undang tersurat untuk membentuk disiplin luaran kita semua. Sememangnya parti mempunyai tata etika untuk diamalkan oleh ahli. Perlembagaan pula menjadi peraturan parti yang tertinggi.

Seandai dan sekiranya matlamat perjuangan kita difahami dan dihayati dengan jelas, maka peraturan dan perlembagaan parti hanya sekadar menjadi pelengkap untuk memandu perjuangan. Masalahnya, apabila perjuangan sudah dikaburi oleh wang ringgit, kedudukan, pangkat dan kuasa semata-mata, peraturan dan perjalanan parti akan terganggu dan integriti kita pasti dipersoalkan. Inilah yang mustahak untuk diperbetulkan.

Sebagai parti yang menerajui kerajaan, apa yang berlaku dalam parti akan membawa kesan kepada kerajaan dan begitulah sebaliknya. Kata pepatah zaman bahari, cubit peha kanan, peha kiri terasa jua. Kalau ditepuk air di dulang, terpercik juga air ke muka.

Makanya, kerajaan sudah memulakan usaha memantapkan integriti dan wibawa melalui Pelan Integriti Nasional dan tertubuhnya Institut Integriti Malaysia, yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri. Kerana itulah saya mengajak, ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO bersama saya untuk menyokong sepenuhnya segala usaha YAB Presiden membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa, sama ada dalam kerajaan, parti atau swasta.

Kita akan terus memerangi rasuah politik tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Dengan cara ini sahajalah, maruah parti akan terus terpelihara, untuk kita wariskan kepada generasi hari muka. Malah, inilah antara perjuangan besar kita demi mengangkat dan memelihara martabat UMNO yang tercinta.

Perjuangan ini seharusnya disambut oleh setiap ahli parti. Dibimbangi jika kita lemah, maka pengganti kita kelak akan menjadi lebih lemah, dalam satu putaran ganas yang tiada kesudahannya. Generasi muda berhak menerima pedoman untuk membuat perkara yang betul dan tidak dipengaruhi dengan kesilapan generasi sekarang.

Tambahan pula, keluhuran terhadap perlembagaan dan peraturan parti, adalah ikrar yang sepatutnya mengisi salam akrab perjuangan suci kita. Bukannya dicemari seperti cerita bersalam ketika pertandingan - jika `salam isi' (SI) maka calon dilayan tetapi jika `salam kosong' (SK) maka calon diucapkan wassalam. Undi pun melayang.

Kita kuburkanlah tabiat buruk ini tanpa sebarang tanda dan nisan. Jangan dibudayakan fiil keji dalam parti mulia ini. Berazamlah dengan penuh iltizam, supaya pemilihan parti yang akan datang, pada semua peringkat pertandingan, menjadi pemilihan paling bersih dalam sejarah parti keramat ini.

Demi melaksanakan lima tindakan menjana Melayu Glokal yang telah saya perincikan tadi, maka digariskan amanah perjuangan, untuk kita bersama jayakan, iaitu membina personaliti unggul dan membawa obor perjuangan bangsa.


VII: Amanah Perjuangan Membina Personaliti Unggul

Amanah Perjuangan Membina Personaliti Unggul

YAB Presiden telah menyarankan agar ahli UMNO perlu menjadi motivator dan penggerak bangsa. Sebagai asas kepada penggerak bangsa, pengamalan nilai-nilai murni adalah penting dalam membina personaliti unggul. Melayu Glokal hendaklah mempunyai personaliti unggul. Personaliti ini tidak kiralah sama ada lelaki atau wanita, putera atau puteri.

Bersesuaian dengan firman Allah S.W.T dalam surah Al-Ahzab ayat 35, digariskan antara pelbagai ciri yang menjadi teras kepada personaliti unggul hamba yang diredai-Nya.

Maksud firman tersebut :
Bismillahirrahmanirrahim
``Sesungguhnya lelaki dan wanita yang muslim, lelaki dan wanita yang mukmin, lelaki dan wanita yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan wanita yang benar, lelaki dan wanita yang sabar, lelaki dan wanita yang khusyuk, lelaki dan wanita yang bersedekah, lelaki dan wanita yang berpuasa, lelaki dan wanita yang memelihara kehormatannya, lelaki dan wanita yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.''


Dalam hal kepimpinan pula, Nabi Muhammad S.A.W. telah bersabda seperti hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah yang bermaksud:

"Sesiapa yang menjalankan pemerintahan mengenai urusan umat Islam tanpa menghiraukan kemiskinan, keperluan, kefakiran dan hajat mereka, nescaya Allah akan membiarkannya pada hari kiamat, tanpa menghiraukan kemiskinannya, keperluannya, hajat dan kefakirannya".

Mengambil iktibar daripada ayat tersebut, kita hendaklah sentiasa memperbaiki sahsiah diri sebagai hamba Allah di muka bumi. Bertepatan dengan mafhum hadis itu pula, beringatlah bahawa personaliti pemimpin, pembuat dasar dan pelaksanaannya sentiasa diperhatikan oleh rakyat.

Mereka meneliti melalui pelbagai saluran media dan program, sama ada kita cakap serupa bikin atau adakah kita bikin serupa yang dicakapkan. Neraca rakyat akan sentiasa memerhati jika ada kelemahan pelaksanaan dan penguatkuasaan, serta penyelewengan apatah lagi penyalahgunaan kuasa. Sememangnya, penghormatan terhadap parti dan kewibawaan kerajaan pada neraca rakyat bergantung kepada keunggulan personaliti, akhlak dan perilaku para pemimpin parti, yang menjadi tonggak pemerintahan.

Cabaran terhadap keunggulan kita ialah apa akan berlaku setelah kita tidak mempunyai kuasa? Setelah kita tidak menjadi wakil rakyat atau Ketua Pemuda atau Ketua Wanita atau Ketua Puteri, di cawangan, di bahagian, di negeri atau di pusat. Adakah pada ketika itu orang masih hormat dan ingat kepada kita? Adakah kita ini tergolong sebagai pemimpin yang digeruni atau disegani? Jika kita digeruni, ketaatan pengikut adalah sementara. Jika kita disegani, kasih pengikut kekal sepanjang masa.

Sewaktu kita mempunyai sedikit kuasa, gunakanlah kuasa itu untuk menolong orang, membantu yang susah dan memerlukan khidmat kita. Layanlah rakyat dengan mesra dan adil tanpa pilih kasih. Pemimpin yang unggul personalitinya akan mengambil berat tentang masalah semua. Selalulah turun berjumpa rakyat. Insya-Allah pimpinan kita akan mendapat berkat. Hulurkanlah khidmat sedayanya, berjuanglah secara ikhlas, Insya-Allah jika tidak di dunia, di akhirat nanti mendapat balas.

Amanah Membawa Obor Perjuangan Bangsa

Dalam membawa obor perjuangan, kita perlu mengutamakan parti terlebih dahulu daripada diri sendiri. Yang penting ialah parti, individu tidak sepenting parti. Pemimpin silih berganti namun parti tetap diteruskan dan perjuangan tetap dimantapkan.

Ingatlah, renunglah pesanan pemimpin terdahulu: `Jagalah Parti', `Jagalah UMNO'. Dua perkataan ringkas yang besar maknanya. Letakkanlah kepentingan parti di hadapan dalam melaksanakan amanah agama, bangsa dan negara.

Kita semua harus bersyukur bahawa bangsa Melayu adalah anak watan peribumi Malaysia dan tonggak pendokong agama Islam di negara ini. Kita adalah pembawa obor perjuangan bangsa. Kita merupakan paksi kekuatan politik yang sentiasa berjuang sejak sebelum merdeka, dan mengisi kemerdekaan negara tercinta sehingga pada saat ini.

Kita mesti sentiasa membela, memperjuang, mengembang serta terus menjadi contoh pengamal Islam dalam dan di persada dunia. Untuk itu, kita wajar memikul amanah bangsa dengan penuh hikmah dan berjuang dengan tekad penuh kudrat. Marilah kita bersama membuat lonjakan berganda demi menjana Melayu Glokal yang bermaruah di arena negara dan bermartabat di persada dunia.

Sebagai mengakhiri ucapan, marilah kita merenungi sajak ini yang saya beri tajuk "OBOR PERJUANGAN BANGSA":

Betapa perjuangan merdeka itu umpama

Ledakan badai gelombang tsunami.

Betapa perjalanan suci mengisinya

Bak setenang air tasik Putrajaya.

Kita pembawa obor perjuangan bangsa

Nyalakan apinya seterang mungkin

Bagi menyuluh haluan perjalanan

Demi generasi yang mendatang.

Hari ini jalan ini semakin berliku

Namun, dokonglah amanah ini, demi

Menjana Agenda Bangsa.

Kerana,

Jika tidak kita, siapa?

Jika tidak kini, bila?

Jika tidak di sini, di mana?

Ayuh, pembawa obor perjuangan bangsa:

Junjung agama mu!

Teguhkan bangsa mu!

Julang negara mu!

Bersama gagasan membina insan

Bersungguh kita menempa sejarah

Bersandar warisan, menuju wawasan

Gemilang bangsa, terbilang ummah.





20 Julai 2005 ( Rabu ) , Ucapan YB Dato Seri Rafidah Aziz, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia di Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia di PWTC , Kuala Lumpur

I: BINAUPAYA UNTUK KECEMERLANGAN

YBhg Datuk Pengerusi Tetap

YABhg Datin Seri Rosmah

YB Wakil-wakil Majlis Tertinggi

YB Dato Shahrizat

YB & YBhg Ahli-ahli Exco

Pergerakan Wanita UMNO

Para Perwakilan

Dif-dif Jemputan

Puan-puan dan Tuan-tuan Sekelian,

Syukur alhamdulillah dapat kita sekali lagi mengadakan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO dan menunaikan kehendak Perlembagaan Parti.

Semenjak Perhimpunan Agung yang lalu, negara telah menyaksikan pelbagai peristiwa yang pasti memberi kesan kepada kegiatan kita sebagai ahli-ahli parti, dan juga memberi kita panduan, untuk menuju kehadapan dalam perjuangan.

Pada 26 Disember 2004, telah berlaku satu peristiwa yang melanda negara, dan beberapa negara jiran serantau. Buat pertama kali dalam sejarah negara, tragedi Tsunami telah mengorbankan ratusan ribu manusia di Acheh, di Thailand dan di Sri Lanka. Dengan Perlindungan Allah s.w.t., Malaysia telah hanya merasakan tempias bencana Tsunami tersebut.

Namun, masih terdapat nyawa yang terkorban, dan harta benda musnah.

Tragedi seperti Tsunami tidak dapat dijangka, atau dielakkan. Tetapi Kerajaan telah merumuskan langkah-langkah amaran awalan, dan, dengan waspada rakyat, mungkin boleh diminimakan kehilangan nyawa dan harta benda.

Di sini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO di semua peringkat, yang telah tampil kehadapan untuk, secara langsung dan tidak langsung, membantu mangsa-mangsa tragedi Tsunami, di kawasan-kawasan yang terlibat. Juga penghargaan diberi kepada semua dermawan-dermawan, yang telah memberi pelbagai bentuk sumbangan dan derma, yang dikelolakan oleh Pergerakan Wanita UMNO, untuk Tabung Bencana Negara.

Jelas bahawa semangat Prihatin dan tanggungjawab sosial masyarakat, terus tebal di Malaysia, dan mereka yang mampu, telah tidak teragak-teragak untuk memberi sumbangan.

Para Perwakilan Sekelian,

Pada bulan Jun Tahun 2005 ini Malaysia telah menjadi Tuan Rumah kepada dua persidangan penting negara-negara Islam, iaitu Forum Perdagangan OIC, dan Persidangan Lembaga Gabenor-Gabenor Bank Pembangunan Islam, IDB.

Kedua-dua persidangan tersebut mencerminkan usaha gigih Malaysia untuk memberikan OIC satu wajah baru, iaitu Wajah Ekonomi, atau Economic Face. Untuk sekian lama, mesyuarat-mesyuarat serta persidangan-persidangan OIC telah dimonopoli oleh isu-isu politik, khususnya isu yang berkaitan dengan konflik di Timur Tengah. Tidak boleh dinafikan bahawa, isu rakyat Palestin, untuk menubuhkan negara mereka sendiri, mesti terus diperjuangkan, dan usaha-usaha mesti digiatkan, supaya keamanan, dan kedamaian kekal, dapat ujud di Wilayah yang bersengketa itu.

Namun demikian, negara-negara Islam wajar merumuskan agenda baru, yang mampu membawa mereka ketahap pembangunan ekonomi, dan sosio-ekonomi, yang lebih tinggi, sambil terus memberi perhatian kepada agenda politiknya.

Di kalangan negara-negara dalam OIC terdapat pelbagaian sumber dan kekuatan, serta potensi berkongsi pengalaman, yang boleh menjadi asas kepada kerjasama dan pakatan ekonomi, yang memberi faedah. Negara-negara OIC juga berada pada tahap-tahap kemajuan dan pembangunan yang berbeza, dengan perbezaan besar antara yang terkaya dan yang termiskin.

Malaysia merupakan negara bertuah, kerana telah mencatatkan tahap pembangunan berterusan, dan mempunyai profail ekonomi yang pelbagai dan kukuh. Satu petunjuk yang jelas ialah, status kaum wanita di Malaysia, yang mencerminkan pencapaian, dan kejayaan, dalam pendidikan, kerjaya dan lain-lain aktiviti ekonomi. Hak saksama yang dijamin oleh Perlembagaan negara, akan terus menjadi pendorong utama, kepada kaum wanita Malaysia mendapat tempat dalam arus utama pembangunan Negara.

Malaysia telah kerap kali disebut sebagai negara Islam contoh, di mana kerajaan mengamalkan pentadbiran negara mengikut lunas-lunas, dan tuntutan Islam sebenarnya. Dasar-dasar yang pragmatis dan sesuai, telah membolehkan pembinaan landasan kukuh, untuk proses perindustrian berlaku berterusan, selaras dengan wawasan untuk mencapai status negara maju, pada tahun 2020.

Dalam konteks ini, Malaysia wajar berkongsi pengalaman serta mengadakan pakatan-pakatan bistari, dengan negara-negara Islam yang lain, khususnya, melalui jalinan dalam OIC.

Usahawan-usahawan dan peniaga-peniaga di dalam negara-negara OIC, perlu disedarkan tentang potensi berdagang sesama sendiri, serta faedah mewujudkan kolaborasi perniagaan, dengan mengoptimumkan pelbagaian sumber, dan kekuatan, masing-masing.

Usahawan-usahawan Wanita, khususnya wajar meneliti potensi dan peluang mengadakan jalinan perniagaan, dengan usahawan-usahawan wanita di negara-negara OIC, dengan menggabungkan kekuatan, keupayaan dan kepakaran di antara mereka. Pasaran untuk produk-produk Halal adalah besar, dan jalinan perniagaan tersebut, akan dapat membangunkan pasaran, untuk produk-produk Halal tersebut.

Usahawan-usahawan di negara-negara OIC yang lain, yang sekian lama berniaga, dan berurusan, dengan peniaga-peniaga seperti di Eropah, kemungkinan belum mengetahui akan potensi menjalin hubungan bisnes, dengan usahawan-usahawan Malaysia, seperti untuk memperolehi produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan dari negara kita.

Melalui agenda Ekonomi dan Bisnes di dalam OIC, maka akan meningkat kesedaran, untuk mengadakan kerjasama ekonomi dan perniagaan, serta untuk menggerakkan aliran pelaburan di kalangan negara-negara OIC. Melalui masa, akan dapat diperbaiki profail ekonomi negara-negara OIC yang daif dan miskin, dan dengan itu, dipertingkatkan imej umat Islam di negara-negara tersebut.


II: Islam Hadhari memperjuang kemajuan

Menyentuh tentang imej Umat Islam, masih terus berlaku pencemaran imej tersebut, akibat perlakuan dan tindakan orang-orang fanatik dan pelampau, yang cenderung kepada keganasan dan pembunuhan, yang kebetulannya pula mereka beragama Islam.

Tindakan-tindakan mereka seperti mencetuskan huru hara dan menggalakkan keganasan, seperti di Bali, di London baru-baru ini, dan di New York, telah memesongkan persepsi orang-orang bukan Islam, terhadap Islam dan Umat Islam. Apabila sesuatu keganasan berlaku, orang-orang yang pertama disyaki melakukannya, ialah orang-orang Islam.

Dan, dalam banyak keadaan, apa yang disyaki itu merupakan perkara sebenarnya. Dan setiap kali, tercemar lagi, agama dan umat Islam.

Dalam keadaan yang mengelirukan itu, wajarlah orang-orang Islam sendiri bertindak membetulkan keadaan, dan membersihkan imej orang-orang Islam.

Di Malaysia, amalan Islam Hadhari telah sekian lama mendorongkan toleransi antara kaum dan agama, serta kesederhanaan yang menjamin kedamaian dan kestabilan.

Sekian lama, UMNO telah mempelopori kesederhanaan itu, dan memperjuangkan kemajuan Umat Islam di Malaysia, tanpa menghakis hak kaum-kaum yang lain.

UMNO mesti terus memikul tanggungjawab, dan kepimpinan, dalam meninggikan taraf hidup orang-orang Islam di negara ini. Dan, ahli-ahli UMNO, bertanggungjawab dalam menyumbang kepada memperbaiki imej Islam sejagat, yang telah dicemar oleh tindakan pelampau-pelampau dan pengganas-pengganas.

UMNO dan ahli-ahli UMNO mesti menentukan tanda aras, atau benchmark, tentang kecemerlangan orang-orang Islam, serta membuktikan bahawa, sebenarnya Islam mendorongkan kejayaan, dan umat Islam boleh merupakan warga-warga contoh kepada dunia.

Wanita-wanita Islam khususnya, terutama yang merupakan ahli-ahli UMNO, perlu sentiasa memberi penekanan kepada usaha membina upaya, supaya mereka mampu memikul tanggungjawab dengan baik, dalam apa jua kerjaya, dan, dengan secara langsung, memperlihatkan kecemerlangan Wanita-wanita Islam.

Para Perwakilan Sekelian,

Satu unsur penting dalam usaha membina upaya, ialah penerapan ilmu dan pelajaran. Tanpa ilmu yang relevan, tidak mungkin keupayaan ditingkatkan, atau kemahiran dipupuk. Dan masyarakat semakin mementingkan Ilmu, serta pendekatan-pendekatan yang membolehkan pelbagaian Ilmu diterap, seperti melalui Teknologi Maklumat dan Komunikasi, atau ICT.

Tetapi, Ilmu yang diperolehi perlulah relevan dan berguna, serta sesuai dengan kehendak masa dan keadaan.

Masa kini, masalah siswazah menganggur, sering dibangkitkan, dan pasti keadaan tersebut merupakan satu kerugian kepada masyarakat dan negara. Setelah sekian lama belajar, dan mendapat Ijazah, siswazah-siswazah masih menganggur.

Telah banyak juga persoalan-persoalan ditimbulkan. Ada yang menyoal tentang kesesuaian kursus-kursus yang disediakan, di Institusi-institusi pengajian tinggi. Ada yang membangkitkan masalah-masalah siswazah yang tiada, atau kurang kemahiran-kemahiran lain, seperti berkomunikasi. Ada pula yang menunjukkan bukti, tentang siswazah-siswazah yang semata-mata tertumpu kepada apa yang telah dipelajari, tanpa mempunyai pendedahan kepada persekitaran di luar bilik kuliah.

Sudah pasti tiada satu sebab yang menjadi punca masalah. Lebih besar kemungkinan, pelbagai sebab hadir, yang tidak membolehkan siswazah-siswazah tersebut diterima dalam pasaran pekerjaan.

Maka, langkah-langkah penyelesaian juga, perlulah pelbagai.

Institusi-institusi pengajian tinggi perlu menyemak secara komprehensif, pendekatan-pendekatan yang digunakan dalam kampus masing-masing, dari aspek kurikulum dan kandungan kursus, sosialisasi dan kemahiran berkomunikasi, sesama pelajar, aktiviti-aktiviti dalam dan di luar kampus, serta bimbingan kerjaya.

Perlu didedahkan mahasiswa kita kepada kursus-kursus asas komputer dan ICT, ceramah-ceramah asas keusahawanan, serta kelas-kelas khas Bahasa Inggeris, di samping kursus-kursus yang mereka ikuti.

Pensyarah-pensyarah khas perlu dijemput ke Institusi-Institusi Pengajian Tinggi, terutamanya mereka yang datang daripada sektor swasta, seperti daripada sektor perniagaan dan industri, yang boleh memberi perspektif pasaran dan majikan.

Usaha perlu dilakukan, untuk menghakis garis-garis pemisah, antara kampus, dengan pasaran, supaya peralihan atau transition, antara belajar dan bekerja, merupakan proses yang seamless, atau tanpa pemisah, dan siswazah-siswazah lebih mudah menghadapi pasaran pekerjaan.

Para Perwakilan Sekelian,

Dalam usaha mencari Ilmu, telah ramai pelajar-pelajar dihantar oleh Ibu Bapa mereka ke luar negara, terutama untuk mengikuti kursus-kursus seperti kedoktoran.

Peristiwa membatalkan pengiktirafan terhadap Kolej-kolej dan Universiti-Universiti tertentu di luar negara, seperti di Crimea, telah membuktikan betapa pentingnya, proses pengiktirafan, dilakukan dengan cermat dan teliti.

Tidak seharusnya dibenarkan ejen-ejen bertindak bagi pihak mana-mana Universiti di luar negara untuk mendaftarkan pelajar-pelajar. Jelas bahawa banyak kecurangan telah berlaku, dan pelajar-pelajar dan keluarga masing-masing, telah diperdaya oleh ejen-ejen tersebut.

Tentu sekali kecemerlangan tidak mungkin tercapai, jika pelajar-pelajar dihantar untuk belajar di Kolej, atau tempat-tempat belajar, yang sangat rendah tarafnya, dan tidak menepati standard-standard antarabangsa.

Dalam hal ini, perlulah dikaji semula dengan teliti, pengiktirafan kesemua Kolej-kolej dan Universiti-universiti, yang pada masa kini disenaraikan sebagai diiktiraf. Ini adalah untuk mempastikan hanya yang benar-benar memenuhi kriteria dan standard yang diterimapakai di peringkat antarabangsa, di iktiraf, untuk pelajar-pelajar Malaysia mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan.

Para Perwakilan Sekelian,

Hari ini Pergerakan Wanita UMNO sekali lagi menyampaikan Anugerah Pingat Emas Pelajar Cemerlang, kepada siswazah-siswazah Wanita daripada Universiti-universiti tempatan, yang telah mencapai kecemerlangan, dalam bidang kursus masing-masing.

Bagi pihak Pergerakan Wanita UMNO saya ingin menyampaikan setinggi Tahniah dan Syabas kepada Pemenang-pemenang Anugerah Pingat Emas Pergerakan Wanita UMNO Tahun ini. Saya juga ingin memberi Tahniah kepada Ibu Bapa dan keluarga siswazah-siswazah tersebut, yang tentu sekali berbangga dengan kejayaan mereka.

Jelas bahawa suasana yang mendorongkan kejayaan, yang telah diujudkan oleh Kerajaan Barisan Nasional, yang dipimpin oleh UMNO, telah membolehkan pelajar-pelajar mencapai kecemerlangan.

Semoga kejayaan-kejayaan seterusnya akan menjadi milik saudari-saudari sekelian Insya-Allah.


III: UMNO mesti mempertahan integriti

Waktu akhir-akhir ini, UMNO, dan juga negara, telah dikejutkan dengan tindakan-tindakan yang diambil terhadap mereka yang terbukti mengamalkan politik wang.

Jelas bahawa budaya UMNO, telah diresapi oleh gejala buruk ini, dan jika tidak dibendung, integriti dan kewibawaan UMNO itu sendiri akan dipersoalkan.

Selama ini rakyat telah memberi sokongan kepada UMNO, kerana ia sebuah parti yang kredibel, dan boleh dipertanggungjawabkan, serta pemimpin-pemimpinnya bermaruah dan berintegriti.

UMNO mesti mempertahan imej dan nama baik ini. Jawatan dan pengaruh tidak boleh dijual beli.

Rasuah dalam apa bentuk pun, dan dalam apa bidang sekali pun, adalah perkara jijik, dan haram.

UMNO dan ahli-ahli UMNO, tidak boleh membenarkannya merosakkan apa yang telah dipupuk, dan dibina, selama ini.

Generasi muda dalam dan di luar UMNO, mesti diyakinkan bahawa, politik wang dan rasuah, bukan amalan UMNO. Proses menyakinkan mereka mesti merupakan usaha berterusan di semua peringkat UMNO.

Biarlah generasi akan datang mewarisi UMNO yang berintegriti, bermaruah, dihormati dan disegani, dan yang mereka sendiri banggakan.

Generasi pemimpin hari ini mempunyai tanggungjawab, serta memegang amanah, untuk menunjukkan tauladan yang sebaik mungkin, serta memberikan contoh kepimpinan yang bersih, cekap dan beramanah.

Bagi Pergerakan Wanita UMNO, usaha membersihkan Parti daripada gejala-gejala negatif, serta amalan-amalan yang boleh melemahkan parti dan Kerajaan, perlu diberi keutamaan. Ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO bukan sahaja tunjang Parti, tetapi adalah juga tunggak rumahtangga dan keluarga. Memupuk nilai-nilai baik adalah tanggungjawab penting, supaya masyarakat yang dipengaruhi oleh kaum wanita, akan menolak gejala-gejala perosak, sama ada dadah, rasuah atau pun keganasan.

Kepimpinan bukan semata-mata bererti memegang jawatan, tetapi lebih penting, ia mencerminkan keupayaan untuk mempengaruhi ke arah yang betul, serta membimbing keluarga dan masyarakat, menerap nilai-nilai yang positif dan baik.

Kesan pengganda, atau multiplier effect pengaruh seseorang wanita adalah besar. Maka, setiap Wanita itu mesti berupaya, dan mampu, untuk mengubah mindanya sendiri, ke arah yang tepat dan betul, supaya ia boleh pula menggerakkan perubahan minda di kalangan orang-orang yang disekelilingnya, seperti dalam keluarga, dan dalam Parti.

Melalui aktiviti-aktiviti dan program-program di peringkat akar umbi, Pergerakan Wanita UMNO telah sekian lama membantu dalam proses perubahan minda dan sikap, terutama di kalangan suri rumahtangga dan ibu-ibu. Aktiviti-aktiviti yang ada kaitan dengan kehidupan seharian, telah membantu ke arah memberi kesedaran terhadap kesihatan, ekonomi rumahtangga, dan isu-isu kemasyarakatan.

Dengan perubahan-perubahan yang berlaku dalam negara, maka sangat perlu Pergerakan Wanita UMNO mengenal pasti isu-isu baru, yang perlu ditangani bersama, sama ada melalui ceramah-ceramah penerangan, atau pun program-program khas.

Satu perkara yang sedang merupakan masalah global, ialah kenaikan harga minyak di pasaran dunia, yang akan terus memberi kesan dan impak, kepada ekonomi negara-negara di dunia, termasuk Malaysia. Banyak ekonomi negara-negara pengimport minyak akan terjejas, oleh kerana kenaikan harga minyak mentah, yang telah mencecah USD$60 setong, akan menyebabkan harga dan kos banyak barang-barang, dan perkhidmatan meningkat. Kenaikan kos dan harga, di dalam negara, tidak dapat dielakkan, jika harga minyak mencapai tahap yang begitu tinggi.

Malaysia merupakan pengeksport minyak mentah, dan menikmati keuntungan daripada kenaikan harga eksport tersebut.

Tetapi Malaysia juga mengimport minyak mentah, untuk ditapis dalam negara, dan harga-harga import memberi kesan pula kepada negara.

Selama ini, melalui mekanisme pengecualian duti, rakyat Malaysia telah, secara langsung, diberi subsidi minyak, dengan kerajaan menetapkan tahap harga, seperti untuk disel dan minyak petrol, di Stesen minyak.

Mekanisme penetapan harga telah mempastikan harga minyak dikawal, dan tidak dibenarkan naik melambung, seperti di negara-negara lain. Tetapi kos yang ditanggung oleh kerajaan, dalam mengawal dan menetapkan harga minyak pada tahap yang jauh lebih rendah daripada yang sepatutnya, adalah besar, dan semakin membebankan.

Kerajaan juga telah menyatakan bahawa mekanisme penentuan harga akan dikaji semula, supaya harga minyak lebih mencerminkan tahap harga minyak di pasaran dunia, dan supaya dikurangkan tanggungan kos kerajaan, yang mana wang tersebut dapat digunakan untuk faedah rakyat secara langsung.

Dalam hal ini, sangat perlu bagi rakyat memahami, dan menghayati keadaan sebenar, di mana harga minyak, selama ini, telah ditetapkan jauh lebih rendah dari sepatutnya, dan lebih rendah pula dari tahap harga di negara-negara lain, terutama di negara-negara jiran. Dan penyeludupan minyak telah berlaku.

Pergerakan Wanita UMNO perlu membantu memberi penjelasan kepada rakyat, supaya tidak ada mana-mana pihak yang sengaja memutarbelitkan maklumat, atau mempolitikkan isu harga minyak.

Sangat penting bagi Kerajaan mempastikan bahawa apa-apa bentuk atau program subsidi, benar-benar memberi faedah kepada kumpulan-kumpulan sasaran, dan supaya matlamat skim atau program tersebut tercapai.

Dalam hal ini perlu dikaji semula, semua skim-skim dan program-program subsidi yang sedia ada, yang dilaksanakan oleh semua Kementerian dan Agensi Kerajaan, melalui analisis kos dan faedah, untuk menilai kekesanan setiap skim tersebut.

Pasti, dalam kajian semula itu, akan terdapat skim atau program yang tidak lagi relevan, atau yang pendekatannya wajar diubahsuai, untuk lebih berkesan. Ataupun, mungkin akan ada skim subsidi yang melibatkan kos yang jauh lebih tinggi, daripada faedah yang diterima oleh kumpulan sasaran.

Adalah diharapkan bahawa, dalam Rancangan Malaysia ke-9, akan distruktur semula skim-skim dan program-program subsidi, dengan memberi prioriti kepada kekesanan dan nilai tambah.

Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk membasmikan mentaliti subsidi di kalangan rakyat, yang mana subsidi dianggap semata-mata sebagai hak, tidak kira sama ada terdapat kelayakan untuk menerimanya.


IV: Kualiti masyarakat, kestabilan sosial

Tinggal hanya 15 tahun lagi untuk sampai ke penghujung jalan ke arah Wawasan 2020, untuk Malaysia mencapai status negara maju, dalam acuan Malaysia sendiri.

Bagi Malaysia, status negara maju tidak semata-mata dari segi ukuran kuantitatif, seperti angka Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK, atau pun angka pertumbuhan ekonomi.

Sama pentingnya ialah perkara-perkara lain khususnya yang berkaitan dengan kualiti masyarakat, dan kestabilan sosial. Ini memerlukan dasar-dasar dan pendekatan-pendekatan yang antara lain, dapat mencapai matlamat-matlamat berikut:

i) terdapat pengurangan ketara jurang-jurang perbezaan ekonomi antara kaum;

ii) pencapaian penyertaan efektif dan sebenar, kaum Bumiputera dalam ekonomi negara, terutama dalam konteks mewujudkan Komuniti Komersial dan Industri Bumiputera, yang boleh bersaing dengan kaum-kaum lain, sama ada dalam negara, atau di peringkat global;

iii) integrasi berkesan kaum wanita dalam aliran utama pembangunan masyarakat dan negara;

iv) mempertahankan ciri-ciri unik masyarakat dan negara, yang telah berjaya membawa kestabilan dan perpautan atau cohesion masyarakat; dan

v) memperkukuhkan nilai-nilai masyarakat supaya mengutamakan merit, kecekapan, dan daya saing, demi ketahanan jangka panjang negara.

Untuk sampai ke tahun 2020 negara akan menyaksikan perubahan-perubahan kepimpinan dalam semua lapisan, dengan generasi muda sekarang, mengambilalih, bukan sahaja kepimpinan dalam politik, tetapi juga jawatan-jawatan membuat keputusan dalam perkhidmatan awam.

Jelas bahawa, bakal-bakal penjawat jawatan ini, perlu menghayati semangat di sebalik dasar-dasar negara yang ada sekarang.

Ini termasuk memahami apa yang tersirat, dan yang tersurat, dalam dasar untuk Bumiputera, dasar perkongsian kuasa yang diamalkan oleh Barisan Nasional, serta memahami amalan toleransi, dalam masyarakat majmuk.

Dalam persekitaran yang semakin kompetitif, dan dorongan kuat untuk berjaya dalam serba serbi, kadangkala mungkin dilupakan asas-asas utama, yang telah membawa negara dan masyarakat, ke tahap kejayaan sekarang, maka sangat penting bahawa satu daripada aspek-aspek asuhan anak-anak, ialah semangat patriotisme, kepada negara berbilang kaum, iaitu Malaysia.

Ini memerlukan anak-anak kita menghayati aspirasi negara, dan kebanggaan dengan kejayaan negara.

Jalan seterusnya ke arah 2020 pasti akan mempunyai cabaran-cabaran baru, dan rintangan-rintangan baru, yang kerap kali berpunca daripada unsur-unsur luaran, yang tidak dalam kawalan negara dan kerajaan. Tetapi cabaran-cabaran itu perlu diatasi dengan jaya. Dan jika generasi muda masa kini telah dipupuk dengan ketahanan dan jatidiri, serta tebal dengan semangat patriotisme, maka, Insya-Allah, cabaran-cabaran dan rintangan itu, akan dapat diatasi.

Dan selepas tahun 2020, perlu pula dimulakan langkah-langkah ke hala tahun 2021 dan dekad-dekad dan abad seterusnya.

Oleh itu, masyarakat dan negara tidak mampu, dan tidak boleh, membawa masalah-masalah dekad-dekad tahun 2000 ke era selepas tahun 2020.

Inilah cabaran kita pada masa kini. Iaitu, menangani masalah-masalah masa lepas dan masalah masa kini, supaya masa hadapan tidak dibelenggu dan dihalangi oleh masalah-masalah tersebut.


V: Perjuangan wanita tidak akan berkesudahan

Seperti rasmi padi diam-diam berisi, Pergerakan Wanita UMNO di semua peringkat, terus menjalankan pelbagai aktiviti yang merapatkan ahli bersama parti, dan yang meliputi masyarakat amnya.

Pada 8 Julai yang lalu, buat pertama kalinya, telah dianjurkan, di peringkat nasional, Kongres Wanita Professional Melayu, untuk membincangkan perkara-perkara kepentingan bersama. Percambahan minda di kalangan peserta-peserta telah menghasilkan beberapa resolusi dan ketetapan. Antaranya ialah:

1. mengadakan strategi-strategi berkesan seperti womens lobby group, supaya lebih berkesan penglibatan dalam politik dan pentadbiran / governance;

2. menggesa kerajaan menubuhkan Bank Wanita;

3. mendesak diadakan program-program seperti teaching factory, yang merupakan kerjasama antara sistem pendidikan dan industri;

4. meningkatkan semangat patriotisme dan mencintai warisan negara melalui sistem pendidikan;

5. memperkasakan institusi keluarga dan kemahiran keibubapaan di kalangan anggota masyarakat;

6. mendorong wanita yang berminat bekerja dari rumah; dan

7. mendesak wanita mempertahankan kuasa politik Melayu sebagai cara memperkuatkan kuasa politik wanita dalam negara.

Jelas bahawa, resolusi-resolusi tersebut mencerminkan aspirasi wanita di negara ini, dan Pergerakan Wanita UMNO akan menyusulinya dengan pihak kerajaan.

Pergerakan Wanita UMNO juga akan terus mengadakan perbincangan dengan kumpulan-kumpulan Wanita Melayu yang lain, untuk menggemblengkan tenaga dan fikiran ke arah mencapai matlamat-matlamat bersama.

Dalam usaha menjalin hubungan yang lebih erat di kalangan ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO, Buletin-buletin Khas di peringkat nasional dan negeri telah, dan akan diterbitkan. Beberapa bahagian yang berkeupayaan akan juga turut menerbitkan Buletin masing-masing. Selain daripada memaparkan berita-berita mengenai aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan, Buletin-buletin tersebut boleh dijadikan forum percambahan minda, serta ruang-ruang untuk penulis-penulis jemputan menulis rencana-rencana yang dapat menumpu kepada perkara dan isu-isu semasa.

Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Pergerakan Wanita UMNO akan dapat satu bahan rujukan tentang aktiviti-aktiviti Pergerakan dan Parti, melalui Buletin-buletin yang diterbitkan itu, serta berpeluang untuk memberi sumbangan pemikiran mereka.

Para Perwakilan Sekelian,

Seperti juga perjuangan UMNO yang tidak akan selesai, begitu juga perjuangan kaum wanita di Malaysia, tidak akan berkesudahan.

Keadaan baru, dan zaman baru akan mewujudkan pelbagai peluang-peluang yang boleh dimanfaatkan oleh wanita. Dan, dalam mana-mana lapangan jua, wanita mampu cemerlang, dan mencapai tahap gemilang.

Pergerakan Wanita UMNO mesti terus berperanan memberi kepimpinan, kepada kaum wanita di Malaysia, dalam usaha mempastikan Wanita Malaysia diintegrasikan sepenuhnya, ke dalam proses pembangunan negara dan masyarakat.

Usaha pemantauan mesti sentiasa dilakukan, supaya tidak timbul apa-apa halangan yang tidak sewajarnya, dan untuk mempastikan struktur ekonomi negara, serta persekitaran sosial, sentiasa mendorong dan menggalakkan wanita mencapai kecemerlangan.

Di dalam UMNO, bilangan ahli-ahli wanita melebihi kaum lelaki. Tetapi, ini tidak dicerminkan oleh bilangan wanita yang memegang jawatan-jawatan di peringkat Cawangan dan Bahagian. Lebih-lebih lagi, bilangan perwakilan cawangan dan Bahagian ke mesyuarat-mesyuarat tahunan, tidak langsung mencerminkan bilangan majoriti wanita, dalam UMNO.

Ramai wanita di peringkat akar umbi tidak terdorong untuk berebut-rebut jawatan dalam UMNO, dan menganggap mereka masih dapat berkhidmat dengan efektif sebagai pemegang jawatan dalam Pergerakan Wanita UMNO.

Juga di tahun-tahun pemilihan dalam parti, wanita kerap kali mengalah, dan memberi laluan kepada kaum lelaki, dalam memilih wakil-wakil cawangan ke mesyuarat tahunan peringkat Bahagian.

Walhal, kalau tidak kerana kehadiran ahli-ahli wanita, dalam mesyuarat cawangan, mesyuarat-mesyuarat tersebut kemungkinan besar tidak akan mencukupi kourum.

Demi untuk mempastikan supaya ada wakil tetap daripada wanita, dalam setiap perwakilan cawangan ke mesyuarat Bahagian maka Pergerakan Wanita UMNO menggesa supaya dipinda Perlembagaan UMNO, fasal 14.4.3, 14.4.4 dan Peraturan Pergerakan Wanita UMNO fasal 14.3.3., bagi membolehkan Ketua Pergerakan Wanita UMNO cawangan menjadi seorang wakil secara automatik ke mesyuarat Perwakilan Bahagian.

Pindaan-pindaan tersebut wajar juga dibuat untuk Pergerakan-Pergerakan Pemuda dan Puteri.

Dengan cara ini, dapatlah dipastikan suara wanita ada terlibat dalam perwakilan Cawangan ke Bahagian, dan tidaklah wanita dianggap semata-mata sebagai peramai bilangan yang hadir bermesyuarat.

Para Perwakilan Sekelian,

Baru-baru ini, kita telah mengalu-alukan kehadiran Pergerakan Putera ke dalam keluarga UMNO. Dengan langkah ini maka jangkauan pengaruh dan liputan UMNO, akan lebih menyeluruh, dari segi umur, dan latar belakang. Untuk memanfaatkan penglibatan kumpulan remaja di dalam parti, wajarlah Pergerakan Wanita UMNO melibatkan ahli-ahli Puteri, dan ahli Pergerakan Putera, dalam program-program kemasyarakatan di peringkat akar umbi. Kerjasama ini akan memperkukuhkan kedudukan parti, dan menggemblengkan tenaga dan keupayaan, ke arah matlamat yang sama.

Seperti kata orang tua-tua.berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sebelum saya menyudahi ucapan saya, saya ingin membacakan sajak yang telah saya karang khas untuk majlis ini:

Rakan-Rakan Ku,

Tidak akan lari gunung dikejar

Kalau sudah rezeki tidak akan ke mana

Manusia merancang, tetapi Allah menentukan

Dan,

Kalau tidak diizinkan-Nya, apa yang ada itu akan kehilangan

Jadi,

Mengapa perlu berhempas pulas?

Merebut tempat dan jawatan

Sehingga hilang pedoman dan haluan?

Berkhidmat bukan dapat imbuhan

Berjuang penuh onak dan duri

Kita memberi khidmat

Kita mencurah bakti

Tak perlu beli sokongan

Tak perlu beli undi

Utamakan,

Agenda Parti dan Bangsa

Tiada tempat untuk agenda diri

Bangsa dan Negara hadapi cabaran dan masalah

Janganlah kita berpecah belah

Kita bersaing dalam negeri dan dengan dunia luar

Kita bersaing dalam pasaran

Bolehkah kejayaan diraih,

Semata-mata dengan slogan dan seruan?

Tidak,

Kita perlu berusaha, timba ilmu, tambah nilai diri

Kita perlu pupuk kekuatan, ketahanan,

Kita perlu bina upaya

Untuk capai kecemerlangan

Sekianlah,

Selamat Bersidang,

WabillahiTaufik Walhidayah

Wassalamualaikum

Warahmatullah

Hiwabarakatuh.




20 Julai 2005 ( Rabu ) , Ucapan Noraini Ahmad, Ketua Puteri UMNO Malaysia di Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2005 , di PWTC Kuala Lumpur.


I: ILMU DAN BUDAYA WARISAN CEMERLANG

Bismillahir Rahmanir Rahim;

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh;

YBhg Puan Pengerusi Tetap

Barisan Jawatankuasa Puteri

Wakil Majlis Tertinggi

Perwakilan dan pemerhati yang dikasihi

Perjuangan Biar Ikhlas Di Sanubari

Kesetiaan Tidak Berbelah Bagi

Demi Puteri Demi Parti

Berhimpun kita sekali lagi

Syukur Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama sekali lagi bersidang di dewan yang penuh sejarah ini, dalam suasana aman dan harmoni untuk sama-sama membincangkan nasib masa depan anak bangsa dan negara tercinta.

Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

Masa berlalu begitu pantas. Hari ini genaplah 303 hari saya dan barisan Exco menerajui sayap bongsu parti kita demi menerus dan melaksanakan agenda perjuangan bangsa, agama dan negara. Semakin hari, saya merasa semakin akrab dengan para puteri yang berada di atas pentas, di dalam dewan dan di luar dewan yang bersejarah ini.

Saya memahami suara hati mereka, suara hati yang diluahkan oleh puteri bangsa dan srikandi Negara ini. Suara hati yang penuh semangat perjuangan yang cukup teguh dan bertenaga. Suara hati generasi muda yang baru saja menamatkan pengajian masing-masing, suara sang puteri yang mungkin sedang dilamun cinta atau berbulan madu, atau suara ibu muda yang sedang menghayun buaian atau suara tenaga kerja muda yang sedang melaksanakan pelbagai tugas, pekerjaan, dan profesion masing-masing.

Kita sudah bergerak dan masih cergas, pantas dan cekap merintis perjalanan yang satu ini, iaitu melahirkan anak melayu yang unggul.

Sebaik mengambil alih teraju kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO, saya telah meletakkan pelan tindakan kami untuk tempoh tiga tahun. Pertama, mempergiatkan usaha menambah keahlian, kedua, memperhebatkan penerangan dan latihan serta memperkasa semangat cintakan agama, bangsa dan negara, manakala yang ketiga, meneruskan kesinambungan dan merangka program-program yang relevan untuk terus dan lebih menyayangi UMNO.

Bagi menterjemahkan setiap program, saya memberi penekanan kepada pentingnya semangat sukarela dengan tujuan memastikan ahli di semua peringkat menawarkan khidmat bakti mereka kepada masyarakat secara ikhlas.

Alhamdulillah, kombinasi pelaksanaan program dan semangat sukarela ini banyak membantu kita menjayakan program yang direncanakan. Ia juga telah menolong kita memaksimumkan sumbangan kepada masyarakat, tanpa mengharap sebarang ganjaran.

Sesungguhnya saya amat terharu dan berterima kasih dengan sumbangan semua ahli Puteri, yang telah bekerja bersama saya tanpa mengira waktu. Terima kasih sekali lagi walaupun masih banyak yang akan dan perlu kita laksanakan lagi.

Perwakilan yang dihormati sekalian

Puteri juga telah banyak memberi sumbangan dalam mengukuhkan lagi perjuangan parti menerusi penyertaan lebih ramai golongan muda, malah bersama-sama membantu menjamin kemenangan besar UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada beberapa pilihan raya umum lalu dan pilihan raya kecil sebelumnya.

Sehingga kini Puteri mempunyai keahlian seramai 213,540 orang. Namun begitu, saya masih belum berpuas hati dengan angka tersebut walaupun Jambori Keahlian yang dilancarkan Mac lalu sedikit sebanyak dapat menambah keahlian Puteri.

Di kesempatan ini, suka saya mengingatkan pemimpin di semua peringkat Puteri supaya tidak lagi dibuai mimpi indah, kita perlu lebih pantas dan tangkas dalam menambah keahlian.

Harus kita ingat bahawa had usia ahli Puteri setakat 35 tahun. Selepas itu kita akan meneruskan perjuangan di bawah sayap Wanita UMNO. Justeru itu, penghijrahan ahli Puteri ke dalam Wanita setiap masa perlu diganti bagi memastikan kesinambungan perjuangan Puteri dapat diteruskan.

Lihatlah, di luar sana, masih ramai lagi wanita muda termasuk lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) yang tinggi minatnya untuk menyertai Puteri. Perlu kita dekati dan 'sunting' menjadi Puteri. Ini kerana semakin ramai yang sedar Puteri UMNO adalah lambang kebebasan wanita muda yang dinamik lagi progresif.

Oleh itu, mari kita, exco dan ahli Puteri, berikrar agar setiap daripada kita bertekad untuk membawa seorang lagi ahli baru, bagi menggandakan bilangan ahli kita. Ini bukan mustahil! Asal sahaja kita mempunyai iltizam yang tinggi. Marilah kita bersama-sama, mematerikan perjuangan nenek-moyang kita, ibu bapa kita. Mereka bertatih dengan penuh kepayahan berbanding kita semua pada hari ini.

Melalui pilihan raya yang lalu, Puteri juga telah berjaya membuktikan kematangannya. Namun, proses kematangan Puteri di dalam UMNO sebenarnya belum lagi berakhir. Kita semua masih muda, ibarat tapak semaian dalam parti. Pepohon muda inilah yang perlu kita siram dan kita baja. Apabila membesar kelak, menjadi baka yang baik untuk di tanam di kebun lebih besar, iaitu dalam Pergerakan Wanita.

Puteri akan terus bekerjasama rapat dengan Wanita dan Pemuda. Kita boleh belajar dari pengalaman yang ada pada mereka. Puteri amat menghargai sokongan serta kerjasama kedua-dua pergerakan yang lebih senior dalam parti ini. Aktiviti kita mungkin berbeza mengikut umur, tapi prinsip kita sama. Untuk Melayu. Untuk UMNO. Untuk negara.

Kepada rakan-rakan Puteri, ingin saya tekankan pentingnya nilai murni dan integriti dalam diri kita. Kita harus sentiasa muhasabah diri dan perlu membuat perancangan yang selari dengan kehendak generasi muda. Kita perlu terus menjadi wadah bagi menyuarakan rintihan dan pandangan generasi muda. Pada masa yang sama, Puteri mesti menonjolkan tahap disiplin dan moral yang tinggi serta perlu bijak menghargai nilai-nilai bangsa, kerana kita adalah contoh dan ikutan generasi muda.

Puteri UMNO adalah suara generasi muda. Inilah suara yang sedang tumbuh di tapak semaian bangsa kita. Suara yang memahami erti belaian kasih sayang, impian dan harapan. Inilah juga suara yang inginkan jaminan kehidupan dalam suasana damai dan harmoni. Inilah generasi yang menaruh harapan agar negara terus membangun pesat dalam pelbagai bidang. Inilah harapan generasi muda, harapan Puteri.


II: PROGRAM KEBAJIKAN/PENDIDIKAN

Perwakilan yang dihormati sekalian,

Soal kebajikan dan pendidikan begitu dekat di hati Puteri. Justeru, kita memilih kumpulan miskin tegar sebagai sasaran dalam menjayakan program kebajikan, sekali gus untuk merapatkan lagi Puteri dengan rakyat.

Menerusi program Konvoi Kebajikan - Puteri Menyusur Akar, kita telah menjejaki kumpulan ini dari Perlis hinggalah ke Sabah. Makanan, pakaian dan keperluan sekolah, kita hantar kepada mereka. Pemimpin Puteri di peringkat akar umbi ditugaskan mengenal pasti 10 keluarga miskin tegar di bahagian masing-masing untuk dibantu. Alhamdulillah hampir setiap negeri telah kita jejaki setakat ini.

Puteri Menyusur Akar adalah penonjolan rasa prihatin terhadap kelompok yang memerlukan. Fokus persaingan bukan antara warna kulit dan bangsa, bahkan antara bandar dan luar bandar. Puteri Menyusur Akar, ke arah mesra rakyat.

Umumnya pendekatan kita adalah mencari idea baru dalam memperbaiki taraf kehidupan rakyat terutama di luar bandar.

Pada masa yang sama Puteri juga mengadakan program kebajikan secara ad-hoc apabila berlaku bencana seperti bencana Tsunami yang melanda utara negara pada 26 Disember tahun lalu. Terima kasih kepada adik-adik Puteri yang terlibat kerana Puterilah sayap UMNO yang pertama berada di Kuala Muda, Kepala Batas, bagi menghulurkan bantuan segera kepada mangsa.

Sukarelawan Puteri beroperasi 24 jam untuk mengagih bantuan makanan, pakaian dan perubatan, membersihkan kawasan bencana selain memberikan khidmat kaunseling kepada mangsa yang trauma.

Bukan hendak berbangga, tetapi itulah bukti semangat sukarelawan Puteri UMNO.

Selain itu, sukarelawan kita juga aktif menziarah mangsa-mangsa ragut, rogol dan kebakaran serta memberikan bantuan sama ada dalam bentuk material mahu pun sokongan moral.

Perwakilan yang dihormati sekalian,

Sesungguhnya ilmu dan pendidikan adalah dua teras utama dalam kehidupan untuk membolehkan setiap orang menapak ke arah kejayaan. Sudah terbukti bahawa bangsa yang maju adalah bangsa yang mempunyai tradisi membaca secara konsisten. Kita perlu mengubah sikap terhadap pelajaran dan ilmu supaya menjadi bangsa yang maju. Islam sendiri mendorong umatnya menambah ilmu pengetahuan. Ayat-ayat di dalam Al-Quran dan Hadis Nabi penuh dengan kata-kata perangsang supaya manusia mencari ilmu demi kemajuan diri.

'IQRA', maknanya : "bacalah" adalah perkataan pertama yang disebut oleh Jibrail ketika menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhamad a.s di Gua Hiraq. Perintah pertama ALLAH kepada Rasul akhir zaman itu adalah, baca dan tulis.

Dalam ayat lain, ALLAH menegaskan bahawa kedudukan orang berilmu itu sangat tinggi di sisi-Nya. ALLAH berfirman yang bermaksud: "ALLAH mengangkat kedudukan orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan..." (ayat 9, Surah Al-Mujadalah)

Sesungguhnya persoalan ilmu amat penting. Bergiat dalam dunia ilmu adalah ibadah Sunnah yang paling utama dan hilangnya ilmu akan menyebabkan kehancuran dunia.

Umat Islam khususnya bangsa Melayu perlu menjuarai arena pembacaan yang mana pada masa ini dikuasai oleh umat lain. Tanyalah diri sendiri, berapa naskhah buku bacaan yang kita baca dalam masa sebulan, untuk menjadi cemerlang, gemilang dan terbilang.

Oleh itu, Puteri telah melancarkan beberapa program yang diyakini dapat melahirkan generasi pelapis Melayu dan bangsa Malaysia yang berilmu dan berperibadi cemerlang. Saya sendiri mahu pendekatan Puteri menepati tuntutan ini, selari dengan pendekatan Islam Hadhari. Supaya individu yang memiliki kekuatan rohani, berakhlak, intelektual, berdikari, serta inovatif dapat dilahirkan.

Ciri-ciri ini penting bagi persediaan bangsa yang cekap mengatasi cabaran dan berdaya saing. Kesungguhan Puteri diterjemahkan menerusi Program Jom! Baca, program yang berkonsepkan pusat ilmu yang dilancarkan sendiri oleh Presiden Parti yang kita sayangi di Tampin, Negeri Sembilan.

Program Jom! Baca merupakan detik-detik permulaan ke arah pembelajaran sepanjang hayat atau 'life-long learning'. Jom! Baca adalah asas kemahiran membaca yang juga 'pintu ilmu'. Menerusi program ini kita mewujudkan perpustakaan bergerak. Pusat ilmu bergerak ini membawa sejuta ilmu dan keseronokan kepada kanak-kanak di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan itu bagi menggalakkan minat membaca.

Program sebegini seharusnya disambut hebat sebagaimana program-program realiti TV di mana ribuan anak muda berbaris panjang untuk sesi uji bakat. Program yang membela kepentingan masyarakat sewajarnya disemarakkan kerana ia selamanya relevan.

Inilah kempen yang mengajak ibu-bapa membaca bersama anak-anak. Inilah kempen yang mengajak ibu-bapa supaya tidak melepaskan tanggungjawab membesarkan anak-anak kepada pembantu rumah yang silih berganti. Inilah juga kempen yang menegaskan bahawa masyarakat yang membaca akan berjaya membentuk bangsa yang cemerlang.

Walaupun anak-anak adalah pinjaman dari yang Esa mereka adalah tanggungjawab kita. Puteri sedar bahawa usaha menggalakkan masyarakat membaca merupakan tugas berterusan. Puteri 'berada di depan pintu rumah anda', cukup bersedia untuk membantu!

Sebagai sokongan kepada program Jom! Baca, kita adakan kempen 'Drop A Book' - kempen Sejuta Buku. Kempen ini bertujuan mengajak pelbagai pihak mendermakan buku-buku yang berguna kepada yang memerlukan. Buku-buku inilah yang boleh digunakan oleh mereka dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah, Puteri telah menerima sokongan yang sangat menggalakkan. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang berkongsi misi dan visi ini bersama Puteri.

Terima kasih daun keladi,

Kalau boleh derma lagi,

Terima kasih bantu Puteri,

Niat baik Insya-Allah diberkati.

Kita telah melancarkan program Tunas Bestari dengan memilih Kelantan, sebagai tapak perintis program. Kita ambil satu kelas angkat di setiap bahagian di Kelantan untuk dibantu. Menerusi program yang berkonsepkan mentor-mentee ini, seorang ahli Puteri menjaga lima murid serta membantu dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik. Setiap ahli Puteri yang terbabit diberikan latihan di Biro Tatanegara sebelum menjadi mentor.

Di samping itu, Program Mekar ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) adalah inisiatif Puteri UMNO ke arah menggerakkan program celik ICT, sekali gus merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar. Mekar ICT adalah 'level playing field' untuk orang Melayu. Fenomena ledakan maklumat yang luar biasa pada hari ini, menyaksikan mereka yang mampu menguasai keunggulan teknologi, akan berjaya.

Menerusi program Mekar ICT, setiap wakil Puteri di kesemua 191 bahagian UMNO akan dibekalkan dengan komputer riba, secara berperingkat. Ini bertujuan mendedahkan ahli Puteri kepada ICT. Ahli Puteri yang diberi tanggungjawab mengendalikan komputer ini, ditugaskan memberi pendedahan mengenai penggunaan komputer kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dan warga emas.


III: Prasekolah dan Taska, Siswazah Menganggur

PRASEKOLAH DAN TASKA

Perwakilan yang dihormati sekalian,

Masih ingatkah kata-kata nasihat yang sering kita katakan dan masih relevan seperti 'Kalau melentur buluh, biarlah dari rebungnya...' Pendidikan prasekolah adalah wadah pertama untuk mendedahkan anak-anak kita kepada ilmu pengetahuan. Peningkatan kesedaran ini, menyebabkan berlakunya lambakan institut pendidikan prasekolah.

prasekolah dibuka bukan saja oleh kerajaan menerusi agensinya, malah oleh sektor swasta atau individu. Hampir di setiap kawasan, daerah, kampung dan mukim, pasti ada Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) atau Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika).

Justeru, saya ingin menggesa kerajaan supaya memantapkan lagi badan atau jawatankuasa penyelaras yang memantau semua Tadika dan Tabika yang dibuka di seluruh negara. Ini penting bagi memastikan setiap institusi prasekolah mematuhi dasar ditetapkan kerajaan.

Begitu juga Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska). Tempat ini adalah untuk melindungi anak ketika ibu bapa keluar bekerja, dan institusi bagi memupuk perkembangan awal rohani dan jasmani kanak-kanak.

Pada tahap usia yang dianggap kritikal ini, iaitu empat tahun ke bawah, anak-anak berkembang dengan menyerap segala nilai yang dilihat di sekelilingnya. Faktor pemakanan anak-anak ini juga harus dititik beratkan untuk membantu tumbesaran mereka. Hal ini penting bagi perkembangan positif akal dan fizikal mereka.

Jika baik 'acuannya' baiklah produknya, begitulah sebaliknya. Di sinilah Taska memainkan peranan penting sebagai pusat penjagaan bagi memupuk perkembangan awal kanak-kanak dari segi mental dan fizikal. Justeru, Taska seharusnya menyediakan penjagaan dan pendidikan lebih bermutu.

Walaupun sudah lama Akta Pusat Penjagaan Kanak-kanak 1984, Akta Pusat Penjagaan 1993 dan Akta Kanak-Kanak 2001 dilaksanakan, kualiti penjagaan kanak-kanak masih pada tahap minimum. Kebanyakannya tidak mempunyai infrastruktur sistematik apalagi kemahiran dalam penjagaan awal kanak-kanak. Kita perlu ada satu infrastruktur yang standard, dari aspek kemudahan infrastruktur, fasiliti, bahan pendidikan dan tenaga guru mahir, untuk mereka.

Di sini ingin saya menggesa supaya kerajaan menetapkan satu dasar kebangsaan bagi menilai kualiti perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan menilai kualiti pendidikan yang ditawarkan oleh institusi prasekolah. Ini juga perlu disokong dengan prosedur lebih ketat bagi mendapatkan lesen dan pendaftaran sesebuah Tadika, Tabika dan Taska.

Tindakan lebih berkesan perlu dilakukan bagi memastikan negara memiliki program penjagaan dan perkembangan awal kanak-kanak bertaraf dunia. Bagi memastikan Wawasan 2020 tercapai, kita perlu memiliki Strategi Kebangsaan untuk Penjagaan Kanak-Kanak kerana kanak-kanak yang berada di Taska, mereka yang menuntut di Tadika dan Tabika pada hari ini adalah mereka yang bakal merealisasikan Wawasan 2020.

Kita harus menjadikan Taska, Tadika dan Tabika sebagai asas kepada pembangunan awal modal insan. Semua pihak termasuk ibu bapa perlu membincangkan bentuk modul dan program pendidikan bagi memperkasakan institusi awal pendidikan anak-anak ini.

SISWAZAH MENGANGGUR

Perwakilan yang dihormati sekalian,

Mendapat semua A dalam setiap mata pelajaran adalah idaman setiap pelajar, lebih-lebih lagi ia harapan ibu bapa kepada anak-anak. Contoh terbaik dan membanggakan ialah seorang pelajar Melayu, Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17A1 sekali gus menangkis persepsi negatif terhadap orang Melayu.

Namun kita ralat kerana keputusan cemerlang juga bukan jaminan kejayaan kerjaya dalam hidup. Angka terkini menunjukkan 41,000 pengangguran didaftarkan dengan Bursa Buruh Elektronik, Kementerian Sumber Manusia. Angka sehingga akhir Jun, menunjukkan terdapat 36,669 pendaftar aktif di kalangan graduan. Apa yang menyedihkan ialah tujuh daripada 10 graduan menganggur adalah wanita. Lebih menghairankan ada juga yang memiliki Ph.D. pun masih menganggur, selain itu 374 wanita dan 178 lelaki memiliki ijazah. Paling ketara 13,883 daripadanya adalah wanita yang memiliki ijazah pertama berbanding hanya 5,934 lelaki manakala di peringkat diploma pula seramai 9,999 penganggur adalah wanita, berbanding 6,284 lelaki.

Dalam Puteri sendiri, hampir separuh ahlinya, dengan kelulusan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ijazah sarjana, masih lagi menganggur. Hakikatnya diperkukuhkan lagi dengan statistik Kementerian Sumber Manusia yang menunjukkan 34,889 penganggur berdaftar dengan kementerian itu sehingga bulan lalu adalah mereka yang berusia antara 20 hingga 34 tahun, majoritinya wanita. Ini tidak termasuk 4,164 yang berusia di antara 15 hingga 19 dan 1,316 berusia antara 35 hingga 39 tahun. Mungkin ramai yang tidak percaya, majoriti penganggur ini mengambil jurusan Teknologi Maklumat (IT), Komputer Sains dan Kejuruteraan Perisian (seramai 6,210 orang).

Melihat kepada trend pengangguran, paling ketara melibatkan graduan IT yang sebenarnya berkait rapat dengan ketiadaan perancangan dan kajian terhadap prospek bidang berkaitan bagi jangka panjang.

Apabila kerajaan mewar-warkan mengenai IT, semua orang berebut-rebut tanpa memikirkan soalan penawaran boleh melebihi permintaan. Penemuan kajian terhadap masalah pengangguran khusus di kalangan anak Melayu, mendedahkan kelemahan majikan yang mengamalkan diskriminasi dan kelemahan graduan, yang tidak fasih bahasa Inggeris atau tiada pengalaman.

Puteri UMNO menggesa agar cadangan Institut Perburuhan Kebangsaan (RMK-7) oleh Kementerian Sumber Manusia direalisasikan dalam Rancangan Malaysian Kesembilan (RMK-9) dengan matlamat mengadakan kajian pasaran buruh dari segi latihan dan perancangan jangka panjang. Institut itu akan fokus sepenuhnya kepada penyelidikan dan latihan.

Puteri UMNO juga mendesak agar lebih banyak tempat diberikan kepada pelajar Melayu dalam pelaksanaan Skim Latihan Graduan (SLG) memandangkan 89.3 peratus atau 32,669 graduan menganggur adalah graduan Melayu.

Puteri menggesa supaya kementerian turut mengambil kira usaha menyusun semula SLG supaya lebih kemas dan teratur. Perlu ada silibus pendidikan yang menekankan kehendak dan keperluan yang relevan dengan pasaran pekerjaan masa kini dalam pelaksanaan SLG.

SLG fasa ketiga telah bermula 1 Julai lalu dan difahamkan sudah ada 180 syarikat berdaftar di bawah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) bagi melatih graduan menganggur. Daripada 180, hanya 80 syarikat bumiputera. Namun kita berharap dari segi pengambilan graduan, majoriti graduan Melayu yang menganggur akan mendapat tempat. Saya difahamkan 72 peratus yang mengikuti SLG dasa satu dan dua (2003/2004) sudah mendapat pekerjaan.

Apabila memperkatakan mengenai siswazah menganggur, kita perlu melihat sistem pendidikan negara kita. Perlu ada syncronisation di antara sistem pendidikan dan sektor pekerjaan. Kita perlu kajian di antara 'supply and demand' dalam pasaran kerja. Kita juga perlu melengkapkan bakal graduan dengan pengalaman kerja melalui program 'internship' dengan bakal majikan mereka.

Kementerian Sumber Manusia juga telah menghidupkan semula Tabung Pinjaman Kemahiran (TPK) dengan peruntukan permulaan RM100 juta bagi mengendalikan Pusat Penyediaan Latihan (PPL) di seluruh negara.

Usaha menghidupkan semula tabung dibuat atas dasar simpati terhadap PPL yang sebahagiannya langsung tidak berfungsi sehingga memberi kesan kepada Bumiputera.

Pada masa yang sama, kita perlu melihat masalah sebenar pengangguran siswazah. Saya ingin menggesa kerajaan agar suatu kajian menyeluruh dijalankan supaya ia dapat ditangani secara lebih holistik dan berkesan. Kita perlu ambil semua pandangan dan merancang lima hingga 10 tahun akan datang.

Puteri tidak mahu melihat usaha perlumbaan menubuhkan universiti akan hanya menjadikan ia kilang lambakan penganggur semata-mata. Siswazah pula perlu ingat untuk berusaha menambah kemahiran, berikan penekanan terhadap bahasa Inggeris, tingkatkan ilmu dan jangan terlalu memilih pekerjaan.

Puteri juga mahukan siswazah kita untuk lebih berani menceburi bidang perniagaan dan merebut pelbagai peluang yang ditawarkan MARA seperti Program Gerak Usahawan dan Program Giat Mara.

Selain menerusi MARA, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi kini memberi keutamaan kepada siswazah menganggur untuk menyertai Program Usahawan Muda (PUM). Peruntukan PUM juga sudah ditingkatkan daripada hampir RM2 bilion setiap tahun kepada RM2.73 bilion mulai tahun ini. Puteri juga menggesa satu tabung Pendidikan Melayu, khas bagi menyalurkan bantuan kepada pelajar Melayu.

Puteri mencadangkan supaya 10 peratus daripada keuntungan yang dicatatkan oleh syarikat berkaitan kerajaan atau GLC diperuntukkan bagi membantu kakitangan Bumiputera melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Seperkara lagi yang mendukacitakan Puteri UMNO ialah maklum balas yang kita terima mengenai pelajar Bumiputera yang cemerlang dalam pelajaran gagal mendapat tajaan dan akhirnya dipancing syarikat luar termasuk dari negara jiran kita.

Berdasarkan aduan dibuat, apabila sudah menuntut di negara lain, anak Melayu ini dicap sebagai bukan "Malaysian" apabila mencatat kecemerlangan dan mencipta nama di peringkat global, malah disebut sebagai warga negara syarikat yang menajanya.


IV: Program Antarabangsa

PROGRAM ANTARABANGSA

Perwakilan yang dihormati sekalian,

Selain melaksanakan program di dalam negara, Puteri UMNO telah membantu kerajaan mengumpul data anak yatim mangsa Tsunami di Acheh. Sukacita juga saya nyatakan di sini, Puterilah sayap parti UMNO yang pertama memijakkan kaki ke bumi Acheh bagi menghulurkan bantuan selepas bencana Tsunami melanda.

Selepas mendapat restu pucuk pimpinan parti, saya dan sukarelawan Puteri ke Acheh bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Yayasan Kajian Strategi Melayu (YKSM). Dalam lawatan itu kami membawa bersama bantuan kemanusiaan dan berbincang dengan penuntut pusat pengajian tinggi di Acheh bagi mewujudkan kerjasama untuk membantu anak yatim dan ibu tunggal di Wilayah Acheh.

Alhamdulillah, ia telah membawa kepada penubuhan 'Putroe' Acheh dan Yayasan Anak Yatim Acheh Tsunami oleh YKSM. Di bawah Kementerian Pertahanan pula, Puteri menghantar sukarelawan ke Acheh bagi mengumpul data anak yatim.

Bagi projek sekolah di Afghanistan atau lebih dikenali sebagai 'Qalam untuk Afghanistan' yang dilaksanakan Puteri UMNO di bawah kepimpinan Dato' Azalina Othman Said, dimaklumkan ia sudah siap sepenuhnya. Sekolah itu telah dibina di kawasan seluas 0.2 hektar di Bandar Charikar, Parwan, Kabul, dengan kos pembinaan RM380,000. Insya-Allah ia akan dilancarkan sebelum akhir tahun ini.

POLITIK

Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,

Transformasi budaya harus dilakukan dengan kita meningkatkan lagi jati diri. Kita perlu menanam ciri-ciri bagaimana kita boleh mencapai kecemerlangan. Kita perlu mengikis budaya pemikiran yang menganggap Melayu lemah, Melayu tidak mampu.

Kita perlu menjana keupayaan diri orang Melayu dan meningkatkan jati diri. Kita perlu timba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dan kemahiran. Kita harus ingat bahawa ilmu dan pendidikan adalah asas kekuatan sesuatu bangsa.

Tugas kita semua dalam UMNO adalah untuk menyeru dan memberi panduan serta contoh teladan kepada semua orang Melayu, supaya menepati perjuangan kerana agama, bangsa dan negara; perjuangan yang diredai Allah SWT.

Sebagai pemimpin muda dan pelapis dalam parti, ahli-ahli Puteri perlu sentiasa meningkatkan jati diri. Kita harus bertindak sebagai pemangkin perubahan. Ke arah itu, kita perlu merebut setiap peluang yang terhidang untuk menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan kemahiran sedia ada. Pencarian ilmu tidak seharusnya terhenti sampai bila-bilapun.

Alhamdulillah, di bawah pucuk kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, kita menikmati suasana politik dan ekonomi yang begitu stabil. Bermula dengan kejayaan besar pada pilihan raya umum tahun lalu, disusuli pelbagai langkah pentadbiran mesra rakyat yang dilaksanakan Perdana Menteri kita, telah meletakkan parti pada kedudukan cukup mantap pada hari ini.

Kita sedang mengalami fasa perubahan yang besar dalam parti. YAB Presiden mahukan kita mengubah cara berfikir orang Melayu. Perubahan fikiran mencetuskan perubahan sikap. Perubahan sikap pula membawa kepada perubahan tindakan dan disusuli dengan perubahan hala tuju dan minda.

Orang Melayu telah banyak dibantu, orang Melayu tidak lagi boleh mengharapkan bantuan datang mencurah, tanpa mereka sendiri berusaha. Kita mesti terus berusaha, bekerja dan melakukan apa sahaja untuk memastikan 'survival' dan relevannya orang Melayu mengepalai kepimpinan negara ini. Orang Melayu tidak boleh alpa, tidak boleh jadi Ali Baba, tidak boleh jadi 'sleeping partner'. Orang Melayu tidak boleh menjadi pemegang saham pada nama sahaja. Orang Melayu mesti menjadi dominan, orang Melayu mesti jadi relevan, orang Melayu mesti mengembalikan kehebatan kita yang silam. Orang Melayu mesti memenangi meritokrasi, orang Melayu mesti jadi pedagang yang berjaya, orang Melayu mesti jadi orang perniagaan yang hebat, orang Melayu mesti jadi ahli korporat yang besar dan orang Melayu mesti terus melakar sejarah menjadi 'the leaders of this country'.

Saya yakin orang Melayu boleh, orang Melayu mampu dan orang Melayu mempunyai segala potensi ke arah kegemilangan itu.

Orang Melayu mesti jadi bangsa beramanah, bermaruah

Orang Melayu mesti jadi mulia

Orang Melayu mesti benci rasuah

Orang Melayu mesti berjiwa besar

Orang Melayu mesti kekal bersopan

Orang Melayu mesti teguh imannya

Orang Melayu mesti gagah perkasa

Dan orang Melayu mesti bersih dari dengki, khianat, adu domba serta tikam belakang

Orang Melayu adalah bangsa bermaruah, bangsa bersopan dan bangsa yang mulia

Kita mesti lahirkan generasi ini.

Puteri menyokong wawasan Presiden UMNO, Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, untuk melahirkan orang Melayu yang berperibadi amanah dan terbilang. Puteri akur bahawa peribadi ini boleh dibentuk dan diperkasakan oleh institusi keluarga yang bahagia, yang mengutamakan kecemerlangan, yang mempunyai tapak moral yang teguh dan berintegriti.

Oleh itu Puteri menggesa semua pihak supaya berganding tenaga membantu pucuk pimpinan parti untuk mencapai hasrat yang mulia ini. Puteri yakin bahawa pelayaran kita semua untuk mengharungi gelombang abad ke-21 dan putaran ganas dunia akan mencapai kejayaan.Insya-Allah

Kita harus bersyukur kerana negara berada di bawah kepemimpinan yang jujur lagi bertanggungjawab pimpinan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat. Pimpinan yang amanah dan berhati mulia.

Kita bersyukur kerana telah dianugerahkan dengan pucuk pimpinan berjiwa rakyat, sentiasa mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Kita sebagai generasi muda juga harus bersyukur kerana negara kekal berdaulat - merdeka politiknya, merdeka ekonominya, merdeka pemikirannya dan merdeka untuk bersuara.

Sesungguhnya, kebijaksanaan pemimpin Melayu telah meletakkan UMNO sebagai parti yang paling dihormati, paling berwibawa, paling relevan dalam sistem demokrasi di negara ini.


V: Rasuah Politik

RASUAH POLITIK

Perwakilan yang dihormati sekalian

Politik wang atau rasuah politik adalah gejala yang kini menghantui kita dalam UMNO sehingga menyaksikan langkah drastik oleh pucuk pimpinan parti dalam menangani gejala yang boleh meruntuhkan parti ini. Puteri sebagai generasi muda dalam parti turut prihatin akan perkembangan tidak sihat ini. Nilai-nilai murni dan integriti perlu ditanam dalam setiap ahli parti dalam mengatasi gejala politik wang ini.

Kesungguhan pucuk pimpinan parti khususnya Presiden kita, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dalam menangani gejala politik wang amat kita hargai. Puteri menyokong penuh usaha membanteras gejala politik wang dalam parti hingga ke peringkat akar umbi dan akan bersama-sama bergerak seiring dengan pucuk pimpinan parti dalam menangani gejala yang boleh meruntuhkan parti ini.

Dalam apa jua program Puteri, saya mahu Puteri tampil secara sukarela dan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran. Kalau kita sudah biasakan diri kita dengan mengharapkan ganjaran dalam apa jua bentuk, perjuangan kita pasti akan terpesong. Biarlah perjuangan kita ikhlas, nawaitu kita betul, supaya Allah SWT sentiasa meredai perjuangan Puteri, perjuangan parti.

Puteri UMNO yang berada di tapak semaian politik ini turut mempunyai impian, harapan dan tekad. Mereka akan berpindah ke ladang dunia politik lebih luas dan mencabar. Mereka juga ingin berbakti kepada agama, bangsa dan negara, dari tahap rendah ke tahap lebih tinggi. Tugas dan tanggungjawab saya ialah untuk menjaga dan menjamin bahawa semaian UMNO ini tetap terpelihara dengan baik. Inilah ikrar saya.

Kehidupan di seluruh dunia kini semakin kompleks dan sukar diramalkan. Proses globalisasi telah dan sedang memberikan isyarat yang ada kalanya sukar difahami. Oleh itu generasi kami perlu lebih berhati-hati dalam menyusun langkah gerakan.

Kami sedar perjuangan ini tidaklah sesukar perjuangan yang dilalui generasi 1940-an dan 1950-an. Perjuangan nenek moyang kami menentang Malayan Union, menentang kegiatan Parti Komunis Malaya, menuntut Kemerdekaan, mengisi agenda pembangunan bangsa dan negara yang merdeka, adalah jauh lebih sukar dan memerlukan pengorbanan cukup besar.

Menginsafi perjuangan nenek moyang kita dulu, saya merasa diri ini cukup kerdil. Sejarah kami jadikan iktibar, sumber inspirasi, pedoman dan aspirasi. Kini kami bergerak dalam persekitaran cukup selesa. Tapi saya berikrar tidak akan membawa Puteri ke zon selesa sehingga membuatkan kita leka dan tersesat.

Bagi saya, mandat yang diberikan sebagai peneraju Puteri UMNO, Insya-Allah akan saya pikul dengan rasa penuh keinsafan dan rasa tanggungjawab.

Saya tidak pernah melihat jawatan yang diberikan ini sebagai tiket untuk mencari populariti atau mengejar kejayaan peribadi. Sesungguhnya, ia adalah satu tanggungjawab, satu amanah yang cukup besar.

Alhamdulillah dan terima kasih juga saya ucapkan kepada pucuk pimpinan parti, Naib Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda yang banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada saya.

Marilah kita bersama menjadikan perhimpunan agung kali ini sebagai satu wadah untuk menyemarakkan lagi kesatuan dan perpaduan di kalangan kita. Ingatlah bahawa Puteri UMNO adalah 'Penggerak Ke Arah Membina Generasi Muda Terbilang'. Bersamalah kita memastikan bahawa kedudukan dan jawatan yang Allah pinjamkan kepada kita, tidak disalahgunakan. Semoga generasi yang dilahirkan ini BERAKAR MELAYU, BERAKAL GLOBAL, Insya-Allah.

Marilah juga kita sama-sama memperbaharui ikrar kita untuk terus berdiri teguh di belakang pucuk pimpinan parti, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, dan Timbalannya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dalam menjayakan matlamat UMNO untuk menjadikan orang Melayu, bangsa berjaya dan tidak pernah luntur daripada pegangan ajaran Islam sebenar. Insya-Allah dengan usaha gigih ke arah itu, Allah SWT akan memakbulkan hasrat kita yang mulia ini.

Inilah ikrar saya kepada Puteri UMNO

Inilah ikrar saya kepada pucuk pimpinan UMNO

Inilah ikrar saya kepada perjuangan UMNO

Inilah ikrar saya kepada bangsa Melayu.

Dengan doa supaya Puteri UMNO terus berwibawa dan meneruskan perjuangan parti, saya akhiri dengan Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 







20 Julai 2005 ( Rabu ) Ucapan Dasar YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia PWTC Kuala Lumpur.


I: TEKAD BARU PEMUDA


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Yang Berbahagia Dato Pengerusi Tetap,

Yang Berhormat Timbalan Pengerusi Tetap,

Wakil-wakil Majlis Tertinggi UMNO,

Yang Amat Berhormat Dato Seri Utama Haji Mohamad Haji Hassan,

Yang Berhormat Dato Dr. Awang Adek bin Hussin,

Yang Berhormat Datuk Dr. Abdul Latiff bin Ahmad,

Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,

Para Perwakilan dan Pemerhati.

Alhamdulillah, saya panjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana memberi kelapangan dan keizinan untuk kita menghadiri Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2005. Sesungguhnya, perhimpunan ini membawa erti mendalam dan tersendiri buat kita sekalian. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta para sahabat baginda.

Saya dan seluruh barisan Exco mengalu-alukan kehadiran saudara para perwakilan sekalian. Semoga hati dan jiwa nurani seluruh warga Pemuda dipertemu dalam menentukan hala tuju perjuangan kita. Seperti ungkapan Allahyarham Dato Onn bin Jaafar di Kongres Melayu se-Tanah Melayu:-

Sungguhpun ada di antara kita yang berlainan fikiran dan faham serta berlainan taraf dan kedudukan tetapi hakikat tujuan dan maksud kita hanya satu jua, iaitu kita hendak meninggikan dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa kita, kita berkehendak supaya tanah air dan bangsa kita terselamat dan kuat, dan hanyalah boleh kuat jika kita bersatu padu. - Dato Onn bin Jaafar, 1946

Mengimbau kembali Ucapan Dasar saya tahun lalu, saya telah menyeru kepada saudara para perwakilan untuk memberikan barisan kepimpinan Pemuda yang mampu membantu saya membawa Pergerakan ini bagi memenuhi harapan dan aspirasi bangsa. Di kala itu, pisau dan mentimun berada di tangan saudara. Di tangan saudara sekalian terletak keputusan untuk memilih barisan kepimpinan yang terbaik. Pilihan saudara akan memberikan nilai dan makna kepada gagasan perjuangan kita dalam memperkasa bangsa dan membina peradaban gemilang. Di saat itu, saya memohon agar kepentingan Agama, Bangsa dan Negara diletakkan di tempat yang teratas.

Kini, kita telah pun mempunyai saf kepimpinan baru Pemuda UMNO. Barisan yang telah mengangkat sumpah dan melafazkan iltizam memikul dan menyempurnakan amanah. Amanah dan ikrar untuk memulia, memartabat, menjulang dan menyatukan bangsa. Ibarat pantun Melayu lama:-

Buluh Aur Jangan Dibelah,

Titi Dibuat Berikat Akar,

Teguh Setia Tidak Berubah,

Janji Ikrar Jangan Bertukar.

Bersendikan amanah dan bersandarkan ikatan perpaduan selama inilah yang menjamin kejayaan kita mengharungi segala kepayahan dan rintangan yang melanda. Episod pengunduran Dato Onn bin Jaafar dari UMNO pada tahun 1951, peristiwa 13 Mei 1969, pemecatan Dato Harun bin Idris pada tahun 1976, pengharaman UMNO pada tahun 1988 dan pemecatan Dato Seri Anwar bin Ibrahim pada tahun 1998 telah banyak mengajar Pemuda tentang kematangan dan erti idealisme perjuangan.

Saya masih ingat saat pembangkang bersorak gembira meraikan kemenangan mereka di Lunas, Pemuda menerima ejekan dan cemuhan. Kita bagaikan hidup seorang, terpinggir dan tersisih daripada semua mata. Walau berjuta kali melaungkan setia, tiada yang percaya. Dari liku kepayahan Pemuda bangkit penuh keazaman. Dengan keyakinan yang jitu, ikatan persahabatan yang padu serta iltizam perjuangan yang membara, kita kembali meraih kepercayaan dan memikul amanah, memperkasa bangsa dan membina peradaban gemilang.

Berbekalkan semangat dan keyakinan inilah seramai 52 orang calon Pemuda UMNO diberi kepercayaan mewakili Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum yang lalu. Wakil-wakil Pemuda terus diberi keyakinan untuk mengisi jawatan-jawatan penting Kerajaan sama ada di peringkat Pusat mahupun Negeri. Ada yang dilantik sebagai Menteri dan Menteri Besar, Timbalan Menteri, Exco-exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Parlimen dan Setiausaha-setiausaha Politik. Ia membuktikan pengiktirafan pucuk pimpinan kepada dedikasi dan komitmen kita yang ikhlas selama ini.

Walau bagaimana pun, saya memperingatkan mereka ini bahawa semakin kita mencatat kemenangan, semakin lebar tuntutan yang perlu dipenuhi. Semakin kita beroleh kejayaan, semakin tinggi cabaran yang perlu didaki. Jangan leka dan jangan sesekali merasa selesa. Jangan kita khianati perjuangan luhur pengasas-pengasas parti yang telah bersepakat membentuk Perikatan Pemuda UMNO pada 26 Ogos 1949. Jangan kita persia-siakan peluang dan pengiktirafan sepanjang zaman kepada Pemuda untuk bersama-sama mendukung perjuangan parti UMNO yang kita cintai ini.

Sedar dan insaf akan kepentingan generasi muda dalam memenuhi tuntutan perjuangan sepanjang zaman, Pemuda UMNO telah membentuk gerakan Putera UMNO pula pada tanggal 19 Jun 2005, di Stadium Hang Tuah, Melaka. Sesungguhnya, penubuhan Putera UMNO ini juga merupakan suatu tanda penghargaan kepada sokongan besar generasi muda terhadap parti dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

Gerakan Putera UMNO yang mereka nanti-nantikan untuk bersama memperkukuh parti dan menentukan masa depan orang Melayu, kini mula menjadi pilihan. Dengan 107,032 orang ahli Pemuda yang berusia 18 hingga 25 tahun, Putera mempunyai keupayaan dan kekuatan tersendiri dalam Pergerakan Pemuda UMNO. Puteralah yang boleh mendekati dan menjiwai remaja pada hari ini. Puteralah harapan kita untuk mewarnai kegemilangan UMNO di masa depan. Puteralah yang akan terus menyuburkan idealisme perjuangan Pemuda.

Menyedari bahawa kewujudan Putera UMNO memberi makna yang amat besar terhadap perjuangan Pemuda, maka Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO tahun 2005 yang bersidang hari ini membuat ketetapan agar Putera UMNO di jadikan sebuah gerakan kekal melalui pindaan kepada Peraturan Pemuda yang sedia ada. Dengan termaktubnya Putera UMNO dalam Peraturan Pemuda adalah menjadi impian dan harapan kita untuk melihat mereka digerakkan dengan lebih tersusun dan boleh diwariskan kepada kepimpinan Pemuda yang akan datang. Semoga keputusan kita ini akan mendapat keberkatan dari Allah S.W.T dan terus memastikan kelangsungan idealisme perjuangan Pemuda tetap relevan dan terpahat di hati anak-anak muda bangsa.



II: Idealisme bertunjangkan jati diri bangsa Melayu

Masa depan Pemuda perlu bersandarkan kepada idealisme yang bertunjangkan jati diri bangsa Melayu. Tanpa jati diri, identiti akan hilang. Tanpa identiti, tidak mungkin kesetiaan terhadap Agama, Bangsa dan Negara dapat dipertahankan.

Jati diri adalah bagaimana hati, perasaan dan akal budi memahami dan mengenali diri kita sendiri serta bagaimana orang pula mengenali kita. Inilah jati diri atau identiti kita yang paling asasi. Sebuah bumi tempat dipijak dan lapisan langit tempat dijunjung. Di sepanjang sejarahnya bumi ini dikenali sebagai dunia Melayu. Bumi yang bernama alam Melayu yang dihuni oleh suku-suku bangsa Melayu, di mana setiap bentuk landskap alamnya, fauna dan floranya dinamakan dalam Bahasa Melayu. Terbangun pula tamadun dan kebudayaan Melayu yang tercatat jauh dalam sejarah. Umatnya berajakan Melayu, berkerajaan Melayu membentuk pelbagai negara dan setiap corak kehidupannya bersendikan adat budaya Melayu. Manakala Islam bertunjang teguh sebagai agama anutan umat Melayu.

Bumi yang dipijak ini, Bahasa Melayu, adat Melayu, kebudayaan Melayu, tamadun Melayu, Kerajaan Melayu dan Islam inilah ciri-ciri yang kita perjuangkan selama lebih setengah abad di atas nama UMNO. Atas perjuangan UMNOlah, ciri-ciri jati diri ini dan sejumlah hak yang berkaitan dengannya menjadi sah dalam Perlembagaan negara. Pemuda sebagai pewaris hak dan legitimasi ini, wajib memahami sedalam-dalamnya makna dan implikasi setiap aspek jati diri ini, lantas memperjuangkannya agar umat Melayu kekal sebagai teras kedaulatan negara. Sebagai pewaris hak, Pemuda juga memikul tanggungjawab untuk menghidupkan kembali nilai dan semangat murni yang terkandung dalam adat resam, budaya dan warisan yang membina jati diri orang Melayu.

Saudara Perwakilan Sekalian,

Keris pusaka yang diarak masuk dengan penuh istiadat ke dalam dewan bersejarah ini mempunyai nilai dan makna yang amat mendalam kepada masyarakat Melayu. Keris, bukan sekadar sebilah senjata, tetapi telah menjadi sebahagian dari identiti bangsa Melayu. Keris bukan sekadar warisan, tetapi pusaka bangsa Melayu yang sangat dihargai. Besi yang dipilih, panjang pendeknya, bentuk matanya, hulunya, pendokohnya, loknya malah hujungnya, setiap satunya membawa makna yang tersendiri. Bagi Pandai Keris yang dimuliakan setaraf dengan pujangga dan cendekiawan istana zaman dulu, setiap elemen inilah yang menjadikan keris itu berbisa. Hang Tuah, tentulah tidak akan berani mengisytiharkan Takkan Melayu hilang di dunia sekiranya tidak menggenggam sebilah keris yang berdaulat.

Keris adalah lambang UMNO, parti yang menjadi tonggak kekuatan orang Melayu sejak ia ditubuhkan pada tahun 1946. Sudah terlalu lama keris yang dijadikan lambang perjuangan UMNO ini sekadar menjadi simbol dan tontonan semata-mata. Sudah tiba masanya keris ini diisi dan ditiup dengan semangat baru demi mempertahan hak, menegak kedudukan dan memperteguh jati diri Melayu.

Keris bukan sahaja menandakan kuasa raja tetapi juga legitimasi kesultanannya; kontrak sosial di antara Sang Sa Purba dan Demang Lebar Daun di Bukit Seguntang menandakan hubungan ideal raja dengan rakyat. Selagi rakyat tidak menderhaka dan raja tidak menganiaya, maka kerukunan hidup masyarakat Melayu akan terpelihara. Raja adil akan disembah, raja zalim akan disanggah. Rakyat yang menjunjung kekuasaan raja akan hidup aman sedangkan yang menderhaka mendapat hukuman setimpal.

Dalam konteks inilah, UMNO memilih keris sebagai lambang kekalnya. UMNO dapat bertahan selama ini kerana ahli-ahlinya mengambil semangat Sang Sa Purba dan Demang Lebar Daun yang satu memayungi dan melindungi manakala yang satu lagi memberikan kesetiaan dan memohon kasih.

Memanglah ramai yang akan bertanya sama ada keris masih relevan dalam zaman yang serba moden dan canggih hari ini. Malah mungkin ada yang bertanya sama ada wajar UMNO terus mempertahankan simbol tradisi bangsa Melayu yang sekarang dilihat lebih merupakan warisan dan artifak sejarah.

Namun bagi Pemuda UMNO, keris seperti juga nilai murni alam warisan budaya bangsa perlu dipertahankan. Tanpa semangat dan kekuatan bangsa ini maka kita tidak akan mempunyai jiwa dan citra. Kekuasaan yang dilambangkan oleh keris ini akan menjadi simbol kekuatan tekad Pemuda untuk terus menjadi suara dan jurubicara parti - Dulu, Kini dan Selamanya. Pemuda akan terus melangkah dengan penuh berani dan cekal dalam menghadapi cabaran masa kini dan masa depan. Pemuda juga akan sentiasa bersedia untuk menyesuaikan perjuangan dengan keperluan parti, keperluan negara serta kehendak baru orang Melayu.

Inilah dimensi baru yang akan kita bawa dengan keyakinan, kesungguhan, komitmen dan semangat penuh berani, yang tidak berbelah bahagi kepada arahan parti dan tuntutan perjuangan. Keris yang kosong samalah seperti senjata tumpul yang tidak ada maknanya. Keris menjadi senjata Melayu kerana makna dan kekuatan semangat dalamannya. Maka, keris pusaka Pemuda yang kita namakan Keris Panca Warisan, akan diisi dengan sempurna.

Melalui Keris Panca Warisan ini, kita mengisytiharkan Tekad Baru Pemuda untuk memastikan UMNO akan terus di perkasa; orang Melayu akan terus dibela; kemerdekaan negara dipertahankan dan agama Islam dimartabatkan.

Maka dalam Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO 2005 dan melalui Keris Panca Warisan ini, kita isi perjuangan kita dengan pancaran lima rukun idealisme Pemuda yang akan menjadi warisan kepada setiap ahli pergerakan ini iaitu Rukun Iman, Rukun Islam, Rukun Negara, Agenda Melayu dan Jati diri Pemuda. Kelima-lima Pancaran ini akan kita abadikan dengan pindaan kepada Fasal 3, Peraturan Pemuda berkaitan tujuan penubuhan Pemuda bersesuaian dengan Tekad Baru Pemuda.



III: UMNO ditubuhkan atas ketentuan dan bukannya kebetulan

Sejarah telah menzahirkan bahawa UMNO adalah parti keramat. Hakikat ini membawa bersama pengertian yang tersendiri. Pengertian akan kenyataan bahawa UMNO ditubuhkan atas ketentuan dan bukannya kebetulan. Ketentuan niat, ketentuan matlamat, ketentuan berkat dan iradat Ilahi.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa setiap era kepimpinan parti keramat ini telah ditentukan. Ketentuan yang tidak boleh dinafikan, ketentuan kepimpinan yang setiapnya membawa erti dan makna yang besar kepada perjuangan Agama, Bangsa dan Negara.

Dato Onn bin Jaafar menyatukan umat Melayu atas satu perjuangan. Tunku Abdul Rahman Putera Al Haj memenuhi harapan bangsa yang merdeka. Tun Abdul Razak bin Hussein merintis agenda pembangunan negara. Ayahanda Tun Hussein bin Onn menggerakkan perpaduan jitu bangsa. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad membawa negara ke era permodenan dan pemerkasaan minda rakyat merdeka.

Pastinya bukan mudah bagi mereka menatang perjuangan itu. Pastinya banyak cemuhan, rintangan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi. Walau bagaimanapun, dengan keikhlasan dan kejujuran, mereka diberikan kekuatan dan semangat untuk membawa negara kepada satu arah dan tujuan. Kini tidak ada sesiapa boleh menafikan, sejarah menilai mereka sebagai pemimpin-pemimpin terbilang. Inilah takdir dan ketentuan kepimpinan parti keramat UMNO.

Kini, ketentuan-Nya itu terus berulang. Y.A.B. Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi diamanahkan mengisi takdir itu. Dahulu agama digunakan sebagai alat untuk memperlekeh kepimpinan parti yang kononnya hanya mewakili golongan umara dan bukannya ulama. Kini, tiada sesiapa yang berani membangkitkannya semula apabila gabungan kualiti umara dan ulama adalah ciri istimewa kepimpinan parti kita. Sekali lagi, ini adalah ketentuan. Ketentuan-Nya yang tidak reda agama terus diperalatkan demi kepentingan politik bagi tujuan untuk mengelirukan umat Melayu.

Bermula dengan pendekatan Islam Hadhari, pembudayaan semangat kerja berpasukan, wawasan masyarakat cemerlang, gemilang dan terbilang, mandat rakyat disemarakkan dengan pegangan nilai-nilai mulia dan murni yang memantapkan lagi institusi keluarga dan kemasyarakatan. Agenda membanteras rasuah, meningkatkan integriti dan membentuk kepimpinan berakauntabiliti serta usaha memperteguh jati diri keperibadian Melayu unggul dijadikan asas pentadbiran beliau. Setiap nilai ini punya pengertian dan makna. Pastinya kepimpinan ini membawa transformasi budaya dan memperkasa bina upaya bangsa untuk mendepani tuntutan dunia yang semakin mencabar. Tiada ungkapan yang lebih bermakna menggambarkan kepimpinan parti hari ini selain dari puisi ulama silam tersohor Tok Kenali:-

Tiada hari bagi kita

Jika kita tidak bergerak pada hari ini

Cubalah anakku tilik cerah matahari

Kelebihan orang yang telah dapat kemenangan

Kerana amalan dan kebajikan

Dan pandangkan kelam orang yang jatuh

Kerana amalan kejahatan. - Tok Kenali

Saudara Perwakilan Sekalian,

Umat Islam ketika ini berhadapan dengan suasana yang penuh kemelut. Sejak tragedi 11 September 2001 dan yang terkini insiden pengeboman Kota London, umat Islam dan dunia terus tercari-cari apakah penyelesaian kepada kemelut ini.

Penyelesaian kepada kemelut ini tidak lain dan tidak bukan adalah dengan kembali menghayati ajaran Islam yang sebenar, bersumber al-Quran dan as-Sunnah dan kembali mencontohi keupayaan dan kegemilangan kepimpinan Islam terdahulu, khususnya Rasulullah S.A.W. dan para khalifah. Ajaran Islam telah diterjemahkan di dalam pengurusan yang cemerlang dan gemilang sehingga begitu dikagumi dan berkemampuan mengurus dua pertiga daripada muka bumi ini. Kesannya lahirlah tamadun yang gemilang di era itu seperti tamadun-tamadun awal Islam di Madinah, Bani Umaiyyah di Damsyik dan Andalus serta Bani Abassiyah di Baghdad.

Bagaimanapun setelah kejatuhan kerajaan Bani Uthmaniyah, penjajahan telah membelenggu umat selama beratus-ratus tahun dan menenggelamkan kegemilangan pengurusan itu. Umat Islam mula melihat Islam hanya dalam aspek-aspek ajaran peribadatan ritual semata-mata, manakala soal pengurusan umat dan negara dikuasai sepenuhnya oleh penjajah. Pendidikan dan ekonomi yang menjadi teras tamadun umat diatur dan dicatur oleh penjajah. Sejak itulah zaman kejatuhan umat Islam bermula dan umat Islam tidak digeruni dan dikagumi lagi.

Kata Saidina Ali bin Abi Talib (ra):

Kebaikan yang tidak diurus dengan cemerlang akan dikalahkan oleh kejahatan yang diurus dengan baik (Hadis riwayat muslim). Dalam suasana di mana umat Islam tertindas dan agama Islam dikaitkan dengan kemiskinan, kemunduran, pemikiran sempit, peperangan dan keganasan, tentulah kita amat memerlukan satu gerakan pembaharuan.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W.:

Akan muncul pada setiap 100 tahun seorang yang akan membawa pembaharuan kepada urusan agama.

Beberapa tokoh Islam telah diiktiraf sebagai Mujaddid atau pemimpin yang memperbaharui urusan agama seperti Sultan Salahuddin al-Ayubi yang membebaskan al-Quds daripada belenggu penjajahan, Syed Jamaluddin al-Afghani yang telah meniupkan gerakan pembebasan negara-negara Islam daripada kolonialisme dan Sheikh Muhammad Abduh yang menggerakkan kesedaran penguasaan umat terhadap bidang keilmuan.

Kita mungkin tidak mengenali siapakah mujaddid yang dijanjikan untuk abad ini. Namun, dengan ilmu pengetahuan yang ada, tidak ada salahnya untuk kita sendiri memikirkan kaedah terbaik bagi mengeluarkan ummah dan agama dari kehinaan yang dilemparkan ini. Sesuai dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W.:

Kamu lebih mengetahui bagaimana kamu menguruskan urusan dunia kamu. (Hadis riwayat Bukhari)

Islam Hadhari menjadi pendekatan kita bagi memperbaharui urusan agama dan urusan ummah agar satu tamadun baru umat Islam dapat dibina. Islam Hadhari penting untuk mengangkat semula imej dan kedudukan umat Islam. Islam Hadhari mengajak umat Islam melihat kepada inti pati dan kehendak sebenar ajaran Islam berbanding penekanan yang berlebih-lebihan terhadap ritual, bentuk dan luaran ummah.

Islam Hadhari bukan satu agama baru. Ulama kontemporari, Sheikh Ramadhan al-Bouti pernah menyebut bahawa, pembaharuan urusan agama bukanlah pembaharuan agama. Islam Hadhari tidak mengurangkan prinsip-prinsip akidah dan syariat dalam ajaran Islam sebaliknya tetap menekankan agar Islam dihayati secara syumul dan diterjemahkan secara realistik dan progresif ke dalam urusan kehidupan.

Malangnya hadis Rasulullah S.A.W. dan pandangan Sheikh Ramadhan al-Bouti ini sengaja tidak difahami oleh PAS sehingga mereka mengelirukan rakyat dengan mendakwa bahawa Islam Hadhari adalah agama baru dan ajaran baru. Bagi PAS, pembaharuan urusan agama dan urusan umat tidak mempunyai sebarang makna. Disebabkan itu mereka tidak pernah memikirkan sebarang langkah pembaharuan sebagai alternatif kepada Islam Hadhari.

Mereka hanya pandai mencemuh dan berkata-kata, berceramah di sini dan sana, tidak pernah melaksana apa-apa malah kepada imej Islam ia membawa bencana. Inilah sebabnya PAS gagal dan ditolak oleh rakyat.

Ini samalah seperti apa yang berlaku di Kota London pada 7 Julai 2005. Apa pun, imej umat Islam sekali lagi terjejas teruk. Islam dikaitkan dengan pengganas atau terrorisme. Tidak dinafikan bahawa rasa kekecewaan dan tekanan di kalangan umat Islam menjadi punca kepada tindakan ganas ini. Dari Palestin ke Bosnia, dari Afghanistan ke Iraq, umat Islam menjadi alat percaturan politik kuasa-kuasa besar dan lobi pelbagai kelompok yang berkepentingan. Sebagai orang Islam sudah tentulah kita bertanggungjawab menangani prasangka dan persepsi yang negatif ini.

Tetapi keganasan bukan jawapan pada masalah umat Islam hari ini. Justeru, Pemuda menggesa kuasa-kuasa besar dunia agar bersedia mencari jalan penyelesaian menangani pelbagai isu mengenai nasib dan ketidakadilan yang diperlakukan ke atas umat dan negara Islam. Isu Palestin harus ditangani segera kerana Palestin menjadi punca kekecewaan umat Islam terhadap dasar rejim Tel Aviv dan negara-negara yang menjadi penaung dan pelindungnya.

Islam adalah agama yang menyeru kepada kedamaian. Islam adalah agama yang toleran dan sentiasa meletakkan keadilan dan kebijaksanaan dalam setiap tindak tanduk umatnya. Islam agama yang progresif dan menuntut umatnya maju dalam pelbagai lapangan dan kita di Malaysia telah membuktikan, bagaimana pegangan terhadap agama tidak menjadi halangan atau bebanan untuk mencapai matlamat ini.

Pemuda berikrar untuk memulihkan imej Islam melalui pendekatan Islam Hadhari. Dalam hal ini, Pemuda merasakan bahawa tidak ada satu gerakan yang lebih mulia melainkan melalui gerakan keamanan dan kemanusiaan. Pemuda boleh menjadikan Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (Aman Malaysia) sebagai salah satu gerakan untuk mempraktikkan pendekatan Islam Hadhari ini. Aman Malaysia merupakan satu gerakan yang unik kerana didukung oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dari pelbagai lapisan masyarakat. Aman Malaysia juga unik kerana ia digerakkan oleh masyarakat sebuah negara Islam yang progresif, aman dan dihormati.

Melalui Aman Malaysia, nama Malaysia akan diangkat sebagai penyebar dan pendukung suara keamanan sejagat. Melalui Aman Malaysia juga, sikap prihatin dan semangat suka membantu rakyat Malaysia akan ditonjolkan dalam pelbagai program kemanusiaan. Melalui Aman Malaysia, Pemuda boleh menonjolkan wajah sebenar Islam.

Memandangkan usaha ini akan dilaksanakan secara berterusan, maka Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia 2005 hari ini membuat ketetapan agar Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia akan kita institusikan sebagai Yayasan Aman Malaysia. Adalah diharapkan melalui Yayasan ini, Pemuda boleh mempraktikkan pendekatan Islam Hadhari secara lebih berkesan di peringkat global seterusnya membantu untuk memperbetulkan salah tanggap terhadap Islam dan umatnya.



IV: Ingin melihat umat Melayu tidak terpinggir

Hari ini kita berada di ambang Rancangan Malaysia ke-9. Tempoh ini merupakan peluang terbaik dan mungkin yang terakhir untuk kita bertindak sekiranya kita ingin melihat umat Melayu tidak terpinggir di kala Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Bagi bangsa Melayu tempoh 15 tahun menjelang 2020 sesungguhnya amat singkat untuk memastikan penguasaan ekonomi di buminya sendiri. Oleh yang demikian, semua pihak perlu menumpukan seluruh tenaga dan pemikiran kepada keutamaan dan meningkatkan pertanggungjawaban dengan melaksanakan perkara-perkara berikut:-

i. Strategi Pertumbuhan dengan Pengagihan yang menjadi prinsip dan landasan Dasar Ekonomi Baru dalam memastikan agihan pemilikan ekuiti 30 peratus kepada bangsa Melayu hendaklah diteruskan dan dipelihara;

ii. Pemuda menyarankan agar penyertaan milikan harta orang-orang Melayu adalah dominan dalam sektor-sektor terpilih di mana semua pihak hendaklah menumpukan segala tenaga dan usaha kepada industri-industri seperti bioteknologi, perladangan, pertanian, angkasa lepas, pertahanan, teknologi maklumat dan telekomunikasi, industri makanan halal, petroleum dan gas, perbankan dan kewangan, automotif, tenaga dan utiliti serta perkhidmatan dan pelancongan;

Pemuda mahu Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menggandakan usaha untuk membentuk dan melahirkan usahawan Bumiputera yang ditanam dengan ciri-ciri nilai utama keusahawanan dan jati diri terutama dalam aspek pengurusan kewangan, keupayaan pemasaran, pengambilan risiko dan urus tadbir yang baik agar mereka memiliki daya saing dan daya tahan yang tinggi;

Pemuda mahu pembangunan dari segi peruntukan pembiayaan dan perancangan di kawasan luar bandar diberi nafas baru. Komponen penting dalam mewujudkan asas ekonomi yang viable melalui suntikan pelaburan yang besar perlu disegerakan. Dalam masa yang sama, Pemuda menyarankan agar pembangunan infrastruktur yang tersusun dan berkesan perlu diwujudkan kerana ia dapat membantu mengurangkan kadar penghijrahan penduduk desa ke bandar;

Kepada syarikat-syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) dan lain-lain syarikat kerajaan yang diswastakan, Pemuda mahu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kecekapan pengurusan mereka tidak hanya diukur berdasarkan produktiviti dan keuntungan komersial semata-mata, tetapi turut memberi penekanan kepada kepentingan agenda Melayu. Pemuda mahu tahu berapa banyak syarikat Melayu yang dilibatkan dan berapa ramai pula usahawan Melayu yang dilahirkan;

Pemuda kesal dengan kebocoran yang berlaku dalam pelaksanaan tender-tender bumiputera serta sistem penyampaian yang tidak efisien telah menyumbang kepada kegagalan pencapaian pemilikan ekuiti orang Melayu. Pemuda menyelar syarikat-syarikat Melayu yang diberi tugas mengisi tanggungjawab bangsa tetapi mengkhianati amanah tersebut di sebalik keistimewaan yang diberikan. Dalam pada itu, Pemuda juga menuntut agar semua pihak yang diberi amanah mengagihkan tender-tender tersebut, termasuk kakitangan-kakitangan kerajaan agar benar-benar faham tentang komitmen, amanah serta tanggungjawab mereka kepada agenda Melayu ini; dan

Bagi memastikan perancangan dan agenda Melayu ini terlaksana, Pemuda menegaskan bahawa kewujudan sistem pemantauan dengan keupayaan yang mencukupi hendaklah diberikan penekanan bagi ia berfungsi secara aktif sebagai pengimbang dan pembetulan kepada sistem penyampaian yang digunakan.

Pada Perhimpunan Agung tahun lalu, Pemuda telah mengemukakan usul sosio-ekonomi yang menyeru agar dikembalikan kebijaksanaan dan semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai strategi teras kepada dasar pembangunan negara. Namun begitu kita amat kecewa kerana dalam tempoh tersebut, kita belum dapat melihat kesungguhan dalam perlaksanaan agenda itu.

Maka, pada tahun ini Pemuda ingin mendesak selain daripada tujuh (7) keutamaan yang digariskan tadi, istilah Dasar Ekonomi Baru itu sendiri perlu kembali diguna pakai sebagai dasar pembangunan negara agar orang Melayu dapat diperkasa dari terus terpinggir mulai sekarang hingga tahun 2020.


V: Melaksanakan sebaik-baiknya agenda pendidikan Melayu

Pencapaian orang Melayu dalam pendidikan menjadi asas untuk menentukan kedudukan kita dalam negara pada tahun 2020. Justeru tempoh 15 tahun ini amat penting bagi kita melaksanakan sebaik-baiknya agenda pendidikan Melayu.

Pembangunan modal insan yang terancang dan usaha untuk meningkatkan bina upaya orang Melayu amat penting bagi memastikan guna tenaga yang terbaik, terlatih, sepadan dan mencukupi untuk mengisi kemajuan negara pada tahun 2020.

Hakikat ini menuntut kita melaksanakan perubahan untuk mengangkat sistem pendidikan negara agar ia bertaraf dunia dan menepati kehendak semasa serta cabaran yang mendatang. Perancangan pendidikan yang teliti dan disokong oleh pelan pelaksanaan yang berkesan akan menghasilkan tenaga kerja di kalangan anak Melayu yang berasaskan pengetahuan, kemahiran dan berdaya saing tinggi.

Dalam melaksanakan perubahan, kita mesti berusaha agar anak-anak Melayu yang terpinggir tidak terkorban. Kuasa politik dan kelebihan suasana politik semasa mesti digunakan sebaik-baiknya untuk menyuntik semangat DEB dalam bidang pendidikan. Akses, ekuiti dan kualiti pendidikan anak Melayu di semua peringkat pendidikan mesti ditingkatkan secara berterusan.

Medan persaingan mesti dijadikan lebih rata supaya peluang anak Melayu untuk berjaya dapat ditingkatkan. Agenda untuk merapatkan jurang pendidikan, baik di antara yang miskin dengan yang kaya; yang di bandar dengan yang di luar bandar, mesti dijadikan keutamaan.

Ketika ini terdapat sejumlah 4,036 buah Sekolah Kebangsaan (SK) di kawasan luar bandar dan pedalaman, 794 daripadanya tidak mempunyai bekalan elektrik awam, sementara 1,555 tiada bekalan air awam. Selain membekalkan mereka dengan guru yang mahir dan berpengalaman, adalah perlu untuk memastikan sekolah-sekolah ini mendapat prasarana yang sama seperti yang terdapat di bandar. Di sekolah-sekolah di luar bandar dan pedalaman inilah majoriti anak Melayu berada. Pada perhimpunan ini, saya selaku Menteri Pelajaran berjanji dengan izin Allah S.W.T. akan terus memperkasakan Sekolah-sekolah Kebangsaan demi membela nasib dan masa depan anak bangsa kita.

Pada waktu yang sama bantuan dan sokongan perlu terus diberikan agar anak-anak Melayu yang terpinggir ini dapat dikeluarkan dari kitaran ganas kemiskinan. Sistem sokongan yang diadakan mesti berupaya untuk menghalang keciciran anak Melayu dari mana-mana peringkat pendidikan. Jentera Pemuda di akar umbi akan digerakkan untuk mengenal pasti anak Melayu yang tercicir dan membantu mereka meneruskan pelajaran. Jaringan keselamatan atau peluang kedua pendidikan wajar diperluaskan agar anak Melayu yang tercicir dapat mengisi peluang pekerjaan dan berpeluang melanjutkan pelajaran. Di peringkat pengajian tinggi, jumlah anak Melayu dalam kursus-kursus kritikal mesti diseimbangkan dengan jumlah bukan Melayu agar ia lebih menggambarkan komposisi rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun dalam melaksanakan perubahan, kita perlu berhati-hati agar jati diri dan warisan bangsa Melayu tidak menjadi korban. Kita sedar, dalam dunia tanpa sempadan, penguasaan ilmu akan terhalang jika kita miskin bahasa. Kita perlu belajar bahasa asing, bukan hanya bahasa Inggeris, bukan kerana ia merupakan bahasa yang lebih maju atau lebih baik budayanya tetapi untuk mendapatkan ilmu dan maklumat yang terkandung di dalamnya. Pembelajaran bahasa asing ini adalah berbentuk semasa, berdasarkan keperluan dan untuk satu-satu tujuan khusus.

Penguasaan pelbagai bahasa mesti dilihat dalam konteks untuk meninggikan martabat bangsa Melayu agar mereka menjadi umat yang maju, berilmu dan berkemahiran. Pembelajaran bahasa asing bukan untuk mengambil alih peranan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Inilah hasrat Konvensyen UMNO Johor 2005 yang menegaskan bahawa bahasa seharusnya berkembang selaras dengan kemajuan bangsa; bahasa bukan hanya soal ejaan, soal istilah atau soal nahu, tetapi yang lebih penting adalah soal budaya, soal identiti, soal jati diri dan soal tamadun sesuatu bangsa.

Kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T, kerana melalui perjuangan UMNO yang berterusan dalam bidang pendidikan, orang Melayu telah banyak menempa kejayaan. Namun kejayaan yang terkumpul hari ini masih belum cukup untuk melonjakkan bangsa Melayu ke suatu tahap yang lebih tinggi. UMNO boleh menyediakan segala infrastruktur, bantuan dan sistem sokongan untuk meningkatkan peluang kejayaan anak-anak Melayu. Bagaimanapun tanpa sikap yang positif terhadap ilmu pengetahuan, belum tentu bangsa Melayu dapat bertahan dan mengekalkan segala pencapaian.

Kita perlu segera melakukan transformasi budaya dan menjadikan pendidikan sebagai keutamaan. Para ibu bapa Melayu mesti disedarkan tentang peri pentingnya perancangan pendidikan anak-anak mereka dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan. Pemuda juga mesti menjadi penggerak utama kepada usaha untuk meningkatkan keupayaan survival anak-anak Melayu. Semangat anak-anak Melayu perlu sentiasa dikobarkan, akal mereka perlu sentiasa ditajamkan manakala tabiat mereka perlu sentiasa dilatih untuk mengejar kecemerlangan. Hanya dengan keupayaan berdaya saing dan budaya yang mengutamakan kecemerlangan sahaja anak-anak Melayu dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain.

Sidang Perwakilan Sekalian,

Dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2005 hari ini, kita mengungkapkan idealisme masa depan dengan bertemakan Tekad Baru Pemuda. Mari kita himpunkan segala kekuatan, kita pusatkan segala pemikiran, kita zahirkan segala kebijaksanaan, kita cetuskan sebuah perjuangan berlandaskan kesucian hati dan keluhuran budi demi mendaulatkan bangsa tercinta.

Keris Panca Warisan menjadi simbol dan saksi kepada perjuangan Pemuda. Kita berjanji, akan kita pelihara keris ini untuk warisan masa depan; masa depan Pemuda, masa depan UMNO, masa depan bangsa Melayu.

Wallahi. Kepada pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu, Keris Panca Warisan di hadapan kita akan menjadi saksi bahawa perjuangan mereka akan terus kita warisi dengan penuh rasa keinsafan dan tanggungjawab.

Wabillahi. Kepada pemimpin-pemimpin masa kini, keris ini menjadi saksi bahawa perjuangan mereka tidak dipersiakan, akan dibela dan akan dipertahankan.

Watallahi. Kepada anak bangsa, keris ini menjadi saksi bahawa nasib mereka tidak akan diperjudikan. Kepada Dunia, keris ini menjadi saksi bahawa Tamadun Kegemilangan Melayu akan terus subur dan Melayu takkan hilang di dunia.

Wahai pewaris bangsa sekalian, bangun, rapat dan luruskan saf kita. Keris Panca Warisan ini kita genggam, kita julang sebagai lambang perjuangan baru Pemuda. Keris yang bersumpahkan janji setia dan bersandarkan jati diri mulia. Keris yang memulakan Tekad Baru Pemuda.

Hidup UMNO!

Hidup Melayu!

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Walillahil Hamd!





21 Julai 2005 ( Khamis ) , Ucapan Perasmian YAB Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO yang ke-56 di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC)

Yang Berbahagia Pengerusi Tetap

Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap

Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden

Naib Presiden-Naib Presiden

Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi

Tuan-Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi dan Duta Besar

Ketua-Ketua Komponen Parti Barisan Nasional

Wakil Parti-Parti dari luar negara

Dif-dif Kehormat,

Para Tetamu dan Para Jemputan

Para Perwakilan dan Pemerhati

MUKADIMAH

1. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan izin dari-Nya juga, kita berkampung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, untuk melangsungkan Perhimpunan Agung Tahunan UMNO. Bagi pihak Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, saya mengalu-alukan kehadiran para tetamu, para perwakilan dan para pemerhati.

2. Kehadiran bekas pemimpin-pemimpin UMNO di Majlis ini amatlah besar ertinya. Mereka adalah contoh ahli UMNO yang sejati, cekal bersatu, kekal bersetia, taat berkhidmat bersama UMNO. Meskipun telah tidak memegang jawatan di dalam parti mahupun di dalam kerajaan, mereka tetap bersama UMNO secara zahir secara batin. Kehadiran mereka, menjadi teladan yang membuktikan jiwa besar mereka, menzahirkan ikatan kasih melambangkan tanda setia, kepada parti dan kepada bangsa. Semangat dan sikap yang mereka tunjukkan, wajib tersemai di dada setiap ahli yang sejati berjiwa UMNO.

3. Kepada semua pemimpin di peringkat Perhubungan, Bahagian dan Cawangan dan kepada sayap-sayap Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri saya mengucapkan terima kasih kerana telah berjaya melaksanakan mesyuarat di peringkat masing-masing. Kejayaan melangsungkan mesyuarat mengikut jadual, memperlihatkan keupayaan kita menguruskan organisasi parti secara teratur lagi berdisiplin, berlandaskan perlembagaan; dan ini menyemarakkan lagi budaya demokrasi subur berkembang.

4. Perhimpunan ini adalah forum terpenting memberikan kesempatan kepada perwakilan bersuara menyentuh perjalanan parti, urusan kerajaan, keadaan semasa negara dan situasi antarabangsa, dalam usaha melangsungkan perjuangan untuk bangsa, negara dan agama. Perhimpunan ini adalah forum tertinggi parti untuk membincangkan isu-isu, menyuarakan pandangan, menyarankan cadangan dan merumuskan resolusi, agar aspirasi ahli dan aspirasi rakyat dapat difahami dapat dipenuhi. Kepimpinan akan menjadi lebih berkesan, jika ahli-ahli secara jujur secara ikhlas, secara berani secara tegas, menyuarakan kebenaran. Kepimpinan akan menjadi bertambah berkesan, jika pemimpin pula bersedia, dengan dada lapang fikiran terbuka, menerima suara dari ahli-ahli lalu memberi perhatian kepada setiap teguran, pandangan, saranan dan cadangan.

SENARIO SEMASA

Saudara-Saudari

5. Dunia menyambut tahun 2005 dengan perasaan hiba dan sedih. Bencana tsunami melanda Lautan Hindi pada 26 Disember lalu. Lebih dua ratus ribu nyawa terkorban. Lebih dua juta warga Asia menjadi miskin, hilang harta hilang sumber pencarian. Peristiwa tersebut adalah satu peringatan kepada manusia akan kebesaran kuasa ILAHI. Bencana tersebut telah memperlihatkan rasa kemanusiaan yang tinggi di kalangan warga dunia. Pelbagai bentuk bantuan dihulurkan, termasuk dari kalangan warga Malaysia. Betapa dunia ini akan menjadi lebih aman dan lebih tenteram, jika sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi ini, dijadikan pegangan hidup terutama di kalangan mereka yang memiliki kuasa.

6. Pertumbuhan ekonomi pada tahun 2005 akan berada pada tahap sederhana. Harga minyak dunia yang terus meningkat mempunyai kesan langsung kepada ekonomi dunia. Asia terus bangkit untuk menjadi pusat graviti pembangunan dan paksi utama ekonomi dunia. Asia Timur memiliki segala potensi untuk menjadi pusat perdagangan dan pusat ekonomi dunia. Di samping China dan Jepun, India sedang bergerak rancak dan diramalkan dalam tahun 2015, menjadi kuasa ekonomi ketiga dunia selepas China dan Amerika Syarikat.

7. UMNO sedang melangkah masuk ke usia 60 tahun. Negara Malaysia di ambang usia 48 tahun merayakan kemerdekaan. Wawasan 2020, telah 15 tahun berlalu dan kini tinggal 15 tahun lagi untuk memastikan matlamat menjadi negara maju akan tercapai. Rancangan Malaysia Kelapan telah sampai ke hari senja. Fajar Rancangan Malaysia Kesembilan akan menyingsing.

8. Kita berada di era globalisasi era yang menjadikan dunia begitu terbuka lagi terdedah. Kita berada di era teknologi maklumat dan komunikasi era yang ditimbuni pelbagai maklumat dan merangkaikan dunia bagai tercantum. Kita berada di era ekonomi yang berpaksikan pengetahuan era ekonomi yang memberi nilai tinggi kepada pengetahuan dan harta intelek. Globalisasi, teknologi maklumat dan komunikasi, serta ekonomi berpaksikan pengetahuan, berpengaruh besar dalam mencorakkan budaya sosial, budaya ekonomi dan budaya politik warga dunia.


HUBUNGAN ANTARABANGSA

Saudara-Saudari

9. Dalam era globalisasi, Malaysia tidak dapat meneruskan agenda pembangunannya secara bersendirian. Pembangunan ekonomi negara bukan sahaja bergantung kepada sumber domestik, tetapi juga kepada sumber-sumber kewangan, ilmu dan kepakaran dari luar. Dalam usaha memelihara kepentingan Malaysia di arena antarabangsa, kita perlu mengurus dan mentadbir secara bijak jalinan perhubungan yang diwujudkan dengan negara-negara lain melalui dasar luar yang berprinsip, bebas dan pragmatik. Adalah penting untuk Malaysia mengamalkan dasar luar yang berkecuali dan tidak bersekutu supaya perhubungan baik dapat dijalinkan dengan semua negara, walaupun berbeza pendapat dan ideologi. Namun, kita perlu konsisten dengan prinsip yang kita pegang supaya Malaysia kekal dihormati, mendapat kefahaman dan kepercayaan di peringkat antarabangsa.

10. Kepentingan negara di peringkat antarabangsa semakin menyeluruh; kerana itu pancang-pancang kepentingan Malaysia ditempatkan di serata dunia melalui pejabat-pejabat perwakilan dan pesuruhjaya perdagangan. Kita perlu menghadapi isu-isu sejagat menyentuh keamanan, kedaulatan, kemerdekaan, perdagangan global, sistem kewangan dan perbankan global, serta pelbagai lagi protokol antarabangsa. Kita menyertai pelbagai badan antarabangsa dan turut diberikan kepercayaan memimpin OIC dan NAM. Malaysia juga akan diberi tanggungjawab menjadi Pengerusi ASEAN pada akhir bulan ini. Pertama kali dalam sejarah, Malaysia secara serentak dipertanggungjawabkan menjadi Pengerusi kepada tiga badan antarabangsa. Pada bulan Disember akan datang, kita akan menjadi tuan rumah kepada Persidangan Puncak Asia Timur yang pertama. Kita tidak mahu sekadar memanaskan kerusi sepanjang tempoh melaksanakan tanggungjawab tersebut. Kita perlu membawa kemajuan dan memberikan dimensi baru kepada organisasi-organisasi antarabangsa tersebut.

11. Pada Jun 2004, Majlis Perniagaan NAM telah dilancarkan di Kuala Lumpur. Majlis tersebut bertindak sebagai platform kepada komuniti peniaga negara ahli untuk mewujudkan jaringan perhubungan kerjasama Selatan-Selatan. Pada Mei 2005, kita telah menganjurkan Mesyuarat Peringkat Menteri Pergerakan Negara-Negara Berkecuali buat pertama kalinya bagi membincangkan isu pembangunan wanita. Deklarasi mesyuarat tersebut menegaskan bahawa peranan dan penglibatan wanita dalam segenap aspek, di semua sektor dan di pelbagai peringkat, adalah perlu bagi mencapai keadilan gender.

12. Adalah menjadi azam saya sebagai Pengerusi OIC untuk memberikan penekanan terhadap agenda ekonomi. Sejak Mac yang lalu, Malaysia telah melancarkan program membinaupaya bagi negara-negara miskin dalam OIC agar pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara mereka dapat dirangsangkan. Bahawa negara Islam yang lebih maju ekonominya akan lebih stabil politiknya, akan lebih dihormati di peringkat antarabangsa, akan berupaya bersuara secara lebih berkesan.

13. Selaras dengan wawasan tersebut, Malaysia mempelopori agenda pembangunan ekonomi untuk OIC. Malaysia merintis usaha menganjurkan Forum Perdagangan OIC pada 20 Jun yang lalu. Kita memulakan usaha menggubal Pelan Induk untuk membangunkan industri perkhidmatan kewangan Islam bagi tempoh 10 tahun. Tabung Bon OIC telah dicadangkan untuk membiayai program pembangunan prasarana, terutama di kalangan negara anggota yang miskin. Malaysia akan terus berusaha memperjuangkan agenda ekonomi OIC, terutama sepanjang tempoh kita menjadi Pengerusi OIC.

14. Keupayaan kita menyuarakan kepentingan kumpulan-kumpulan yang kita wakili, tanpa gentar dan ragu-ragu, telah membolehkan Malaysia berperanan secara berkesan di forum-forum antarabangsa. Malaysia dihormati kerana kebijaksanaan mengamalkan diplomasi halus secara tersirat, terutama dalam usaha merintis perdamaian serta membantu menyelesaikan krisis dan konflik. Malaysia berperanan aktif membantu menyatukan kumpulan-kumpulan yang berkrisis di Kampuchea, di Bosnia dan di Filipina. Malaysia akan tampil ke hadapan secara aktif untuk membantu program membangunkan Iraq dan proses damai di Palestin.

15. Malaysia berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan sesebuah negara, walau sekecil mana sekalipun. Berpegang kepada prinsip tersebut, Malaysia tegas dengan pendirian bahawa tanggungjawab mengawal perairan di Selat Melaka adalah tanggungjawab kita. Kita sama sekali tidak akan membenarkan tentera asing membuat rondaan di perairan berkenaan. Kehadiran mereka tanpa kebenaran kita, merupakan satu pencerobohan yang kita anggap tidak menghormati kedaulatan negara kita.

16. Imej Islam pada kaca mata masyarakat antarabangsa telah dihitamkan semenjak peristiwa 11 September di New York. Ini diperburukkan lagi dengan pelbagai insiden keganasan yang berlaku selepas itu. Yang terakhir, keganasan di London pada 7 Julai yang lalu. Dalam konteks ini, saya mempunyai tiga misi yang ingin dilaksanakan. Pertama, saya akan tegas menggesa masyarakat antarabangsa, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya memahami isu-isu yang menjadi punca sebenar yang mencetuskan keganasan, antaranya dasar kuasa besar terhadap Palestin dan Iraq. Kedua, sebagai Pengerusi OIC, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menerangkan kepada masyarakat dunia, bahawa Islam adalah agama kedamaian yang menentang keganasan. Ketiga, sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya bertanggungjawab untuk memaparkan kepada dunia bahawa Malaysia ialah sebuah negara Islam moden, dinamik, bertanggungjawab dan boleh dipercayai untuk menjadi rakan perdagangan, dan tempat yang selamat untuk melabur dan melancong.


ISLAM

Saudara-Saudari

17. Jika dihalusi, orang Melayu telah berjaya menegakkan syiar Islam, bukan sahaja di negara kita tetapi di persada antarabangsa, melalui kemajuan negara dan kemajuan ummah yang telah kita capai. Kita juga sedar bahawa Islam dan ajarannya boleh diperalatkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar negara, untuk tujuan memenuhi agenda sempit. Atas nama Islam, mereka sanggup melakukan perbuatan melampau bersifat ganas. Yang amat kita sesalkan, tindakan mereka ini setiap kalinya membawa kepada kemusnahan, penderitaan dan porak peranda kepada manusia sejagat, termasuk juga orang Islam, yang rata-ratanya tidak berdosa.

18. Kita bertanggungjawab memastikan agar budaya ekstremisme dan tindakan ganas menggunakan nama dan lambang Islam sama sekali tidak berlaku di negara ini. Kita bertanggungjawab melindungi orang Melayu dan umat Islam, dari menjadi alat kepada mana-mana pihak yang mahu menjayakan agenda sempit mereka. Sebarang kealpaan akan memberi ruang kepada mereka, membuat pelbagai perubahan yang boleh memporak perandakan umat Islam dan juga menjejas hubungan harmoni yang terjalin antara kaum di negara ini.

19. Kerana itulah kita perkenalkan pendekatan Islam Hadhari. Pendekatan Islam Hadhari, memerlukan perlaksanaan jangka panjang kerajaan, untuk memastikan masyarakat Islam kembali mengamalkan Islam secara syumul, dalam konteks lebih luas dan pelbagai, meliputi segenap aspek kehidupan. Islam Hadhari kita perkenalkan, agar umat Islam di Malaysia bangun, menjadi pelopor tamadun baru yang dapat memimpin masyarakat dan membawa perubahan progresif lagi menyeluruh. Insya-Allah, umat Islam akan mampu bergerak, seiring dengan bangsa-bangsa yang telah mencapai taraf maju. Malah, umat Islam akan lebih perkasa untuk mempertingkatkan daya usaha, mengukir kejayaan lebih besar mencipta kecemerlangan lebih agung, komited kepada usaha melahirkan umat terbilang. Alhamdulillah, pendekatan ini semakin diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Pendekatan Islam yang kita laksanakan semakin difahami dan sekali gus menghilangkan kebimbangan di kalangan rakyat bukan Islam.

20. Kejayaan kita mewarnakan imej Islam yang progresif lagi dinamik, telah menimbulkan kebimbangan kepada kumpulan politik yang selama ini, menganggap Islam sebagai monopoli mereka. Usaha-usaha sabotaj lalu dilakukan. Islam Hadhari sengaja disalahtafsirkan untuk menimbulkan kekeliruan. Islam Hadhari bukanlah satu penyelewengan terhadap kesucian ajaran Islam. Islam Hadhari merupakan satu pendekatan satu kaedah yang menepati kehendak agama; satu usaha penambahbaikan untuk membolehkan perlaksanaan lebih menyeluruh dan bersifat semasa dapat dilakukan. Ia sama sekali tidak mengubah prinsip asas dan nilai teras ajaran Islam. Ia merupakan satu juzuk daripada kesempurnaan Islam yang perlu diberikan kefahaman dan penekanan berdasarkan keperluan dan cabaran semasa.

21. Mereka yang membuat tohmah, bahawa Islam Hadhari hanya memberikan penekanan kepada keduniaan, telah melakukan fitnah. Prinsip pertama Islam Hadhari, Keimanan dan Ketakwaan kepada Allah, secara nyata menetapkan bahawa pendekatan Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah sebagai teras utama, Al Quran dan Sunnah Rasulullah sebagai teras pegangan dan rujukan, fardhu ain - fardhu kifayah dijalin bersama. Pendekatan ini tidak susah difahami, jika tafsiran dilakukan secara ikhlas. Penerangan tentang Islam Hadhari turut dilakukan di peringkat antarabangsa. Bermula dari ucapan yang saya sampaikan di Universiti Oxford pada Oktober tahun lalu, perkara ini telah mendapat perhatian utama dalam lawatan-lawatan rasmi saya ke India, ke Pakistan, ke New Zealand, ke Australia dan ke Jerman. Hujah berhubung Islam Hadhari telah diterima baik.

22. Kita tetap mempertahankan pendekatan Islam Hadhari untuk menjadi tunjang pembangunan umat Islam di Malaysia. Insya-Allah, Islam Hadhari akan menjadi pendorong - menjadi inspirasi paling utama, mencetuskan kekuatan, untuk kita mengorak langkah besar ke hadapan, mencapai kecemerlangan, di samping memberi sumbangan ke arah pembangunan tamadun insan. Islam Hadhari dapat menjadi kompas, memandu kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Untuk itu, program pembangunan Kerajaan akan dihuraikan dari perspektif Islam Hadhari, sama ada program pendidikan, ekonomi, kesihatan, membina keluarga bahagia, membasmi kemiskinan, membanteras rasuah, mengatasi jenayah dan segala gejala buruk dalam masyarakat. Kerajaan akan memantau segala program yang dilaksanakan, yang berkait dengan Islam Hadhari, agar mencapai tujuan dan maksudnya.

23. Islam Hadhari memberi keutamaan kepada pembangunan membina peradaban. Kualiti kehidupan mesti kita perbaiki melalui pembangunan insan yang menguasai ilmu menguasai kemahiran. Pembangunan fizikal yang diperlengkap dengan pembangunan insan, dilaksanakan secara berhikmah dan seimbang, akan berupaya mengembalikan kegemilangan dan keagungan Islam dan umatnya. Kecemerlangan Islam pada suatu masa dahulu akan kita garap semula di bumi Malaysia. Kegemilangan Islam ketika Tamadun Andalusia, kita jadikan benih inspirasi untuk di semai di Putrajaya.


EKONOMI

Saudara-Saudari

24. Malaysia kini berada dalam persaingan liga utama perdagangan dunia. Negara tidak diberikan sebarang keistimewaan dalam menghadapi persaingan peringkat global. Negara kecil seperti Malaysia berada dalam padang permainan yang sama untuk bersaing dengan kuasa-kuasa besar ekonomi seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, China, Jepun dan India. Walaupun menghadapi saingan sengit, kita bersyukur kerana Malaysia masih merupakan salah satu negara perdagangan utama dunia. Perangkaan tahun 2004 mencatatkan Malaysia menduduki tangga ke 18 terbesar di dunia dari segi eksport dan berada di tangga ke 20 dari segi import. Jumlah dagangan import dan eksport negara di tahun 2004 mencatat angka 882 bilion ringgit.

25. Malaysia telah diiktiraf sebagai negara kedua terpantas membangun selepas India, dan mengatasi China, berasaskan laporan Deutsche Bank mengenai potensi pertumbuhan 34 negara yang maju dan sedang membangun, dalam tempoh 2006 hingga 2020. Laporan juruperunding AT Kearney, menunjukkan Malaysia berada di antara 15 negara utama dari segi destinasi pelaburan asing (F.D.I.), dan berada pada tangga ketiga dunia sebagai lokasi outsourcing. Laporan AT Kearney bersama majalah Foreign Policy meletakkan Malaysia sebagai satu-satunya negara dari Benua Asia, tersenarai dalam 20 negara paling global. Kedudukan Malaysia seperti ini adalah potensi besar negara kita. Kita mesti cepat mengambil peluang, merebut dan cepat bertindak, bersedia dan sanggup bersaing dan meraih nikmat sebanyak mungkin. Ke arah itu, persediaan secukupnya perlu dibuat. Rancangan Malaysia Kesembilan adalah perancangan dan juga pelan tindakan. Untuk itu, kita perlu menetapkan beberapa strategi.

26. Pertama; kita perlu melipat gandakan usaha memastikan pencapaian ekonomi negara berada di tahap tinggi dan mapan. Menyedari sumber kita adalah terbatas, kita perlu menguruskan ekonomi negara secara berhemah dengan memikirkan kesan jangka panjang kepada rakyat dan kepada negara. Amat penting bagi negara memikirkan tabungan dan simpanan untuk masa hadapan. Perbelanjaan negara harus dikawal, mengimbangkan keperluan pembangunan bagi menjana pertumbuhan dan pada masa yang sama memastikan bahawa negara tidak menghadapi defisit besar sehingga menjadi masalah membebankan, kerana perbelanjaan Kerajaan melebihi hasil.

27. Keputusan paling berat yang perlu saya lakukan di tahun pertama mengambil tanggungjawab sebagai Perdana Menteri adalah untuk mengurangkan defisit negara. Walaupun demikian, tidaklah bermakna kita sampai ke peringkat melakukan tindakan drastik hingga menyebabkan ekonomi menguncup. Kita lakukan pendekatan untuk mengurangkan defisit secara beransur-ansur supaya ekonomi dapat terus berkembang. Perbelanjaan pembangunan yang munasabah masih diperuntukkan. Kita membina kekuatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Bagi sesetengah pihak, ketetapan untuk mengurangkan defisit negara dilihat sebagai menafikan mereka dari sumber pendapatan yang biasa diperolehi. Saya amat sedar bahawa ketetapan kerajaan itu tidak merupakan keputusan yang popular dari segi politik. Namun bagi saya, kepentingan jangka panjang negara hendaklah diutamakan; kepentingan negara hendaklah mendahului kepentingan politik kumpulan atau kepentingan politik diri sendiri.

28. Kedua; membina ekonomi berasaskan pengetahuan. Sesungguhnya, Malaysia tidak lagi berada di kalangan negara-negara yang rendah kos perniagaannya. Malaysia pula belum dianggap berada dalam kumpulan negara-negara berteknologi tinggi. Negara sebenarnya tersepit di antara dua senario ini. Keadaan ini menuntut kita melakukan anjakan pendekatan, memberi perhatian berat terhadap usaha-usaha meningkatkan produktiviti, menggalakkan kreativiti dan inovasi, serta memberi fokus kepada bidang-bidang yang kita mempunyai kelebihan persaingan.

29. Rancangan Malaysia Kesembilan dirangka pada waktu Wawasan 2020 berada di fasa kedua. Komponen perkakasan dalam bentuk fizikal dan prasarana telah dibangunkan dengan hebat dalam masa 15 tahun pertama selepas Wawasan 2020 diperkenalkan. Di peringkat melangkah ke fasa kedua Wawasan 2020, tumpuan akan diberikan kepada komponen perisian, menyentuh pembangunan modal insan untuk mengoptimumkan penggunaan segala kemudahan yang telah dibangunkan di fasa pertama, demi menjamin bahawa matlamat mencapai taraf negara maju, menjadi realiti. Sumber manusia adalah elemen terpenting dalam ekonomi negara dan mesti ditambah nilai dan dibinaupaya. Program-program Penyelidikan dan Pembangunan, penguasaan sains dan teknologi, penguasaan ilmu dan kemahiran, perlu digalakkan bagi membolehkan warga menghasilkan ciptaan baru, produk baru, pendapatan baru, kekayaan baru.

30. Ketiga; usaha memperkukuh asas dan fundamental ekonomi negara serta menerokai bidang-bidang pertumbuhan baru. Sektor pertanian akan dimangkinkan melalui pengunaan bioteknologi dan kaedah pertanian termoden; sektor pembuatan ditingkatkan melalui penggalakan pelaburan dalam industri yang lebih berteknologi tinggi; sementara sektor perkhidmatan dimantapkan, khususnya dalam bidang-bidang pelancongan, pendidikan, kesihatan, sistem kewangan Islam dan pemasaran makanan halal yang mempunyai potensi besar.

31. Keempat; terus memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam. Kecekapan dan kepantasan sistem penyampaian di negara maju dan di negara-negara yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang rancak harus dijadikan perbandingan. Para pelabur, termasuk para pelabur dari dalam negara, tidak ada masa dan tidak ada kesabaran untuk menanti lama. Para pelabur memilih tempat pelaburan yang memudahkan urusniaga. Dalam hasrat kita untuk sektor swasta menjana pertumbuhan ekonomi, sistem penyampaian yang cekap dan cepat menjadi semakin kritikal. Sistem penyampaian yang cekap dan cepat hendaklah benar-benar berlaku dan dilaksanakan, tidak sekadar tercatat di atas kertas. Kerenah birokrasi perlu dihapuskan. Malah sistem penyampaian yang cekap dan cepat berperanan besar menghindar rasuah. Amalan rasuah turut meningkatkan kos urusniaga dan sekali gus menjejaskan daya saing.

32. Kelima; usaha meningkatkan integriti dan membasmi rasuah meliputi setiap sektor merangkumi setiap kumpulan; baik di sektor awam, di badan-badan berkanun kerajaan, di dalam Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), termasuk juga di sektor swasta. Kerajaan amat sedar bahawa rasuah mempunyai kesan meningkatkan kos pentadbiran, kos urusniaga dan kos pengeluaran, sekali gus menjejaskan kualiti perkhidmatan dan produk.

33. Keenam; meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan memperbaiki kemudahan perumahan, kesihatan, pendidikan dan prasarana.

34. Ketujuh; membasmi kemiskinan tegar dalam tempoh masa Rancangan Malaysia Kesembilan.

35. Kelapan; merapatkan jurang pendapatan dan jurang pembangunan. Melaksanakan langkah-langkah untuk merapatkan jurang antara bumiputera dengan bukan bumiputera, antara bumiputera sesama bumiputera dan meningkatkan pendapatan di kalangan kumpulan berpendapatan rendah dan berpendapatan sederhana melalui usaha meningkatkan modal budaya. Begitu juga usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, dan di antara wilayah, dengan meningkatkan prasarana-prasarana asas dari segi sistem perhubungan dan komunikasi, bekalan elektrik dan air, serta institusi pendidikan dan kesihatan, di kawasan-kawasan yang masih tertinggal. Pendekatan inovatif perlu diperkenalkan untuk mempelbagai dan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pemasaran di kawasan luar bandar.

36. Kesembilan; memastikan sumber tenaga manusia bukan hanya dibinaupaya, malah ditingkatkan keupayaan (capacity enhancement). Pengangguran merupakan satu pembaziran lebih-lebih lagi apabila berlaku di kalangan mereka yang memiliki kelulusan akademik. Sektor awam dan sektor swasta tidak lagi dapat menampung bilangan siswazah yang semakin hari bertambah ramai. Para siswazah dan lepasan sekolah perlu dibuka mindanya merintis daya usaha untuk sedia bekerja sendiri. Institusi pengajian dan latihan perlu menilai bentuk-bentuk kursus dan pengajian supaya lebih relevan dengan keperluan semasa sumber manusia.

37. Kesepuluh; membina sebuah negara bangsa yang aman, stabil, makmur dan bersatu padu. Program ekonomi dan program sosial yang dirancangkan perlulah membuktikan sikap adil lagi saksama terhadap warga Malaysia yang berbilang kaum. Di samping itu, iklim pelaburan harus terus memberi keyakinan kepada para pelabur.

38. Saya menghargai sebarang pandangan dari para perwakilan yang boleh dijadikan input tambahan kepada Rancangan Malaysia Kesembilan yang sedang berada di peringkat akhir penggubalan.


AGENDA MELAYU I

Saudara-Saudari

39. Orang Melayu bimbang jika mereka terus ketinggalan dari segi kedudukan sosial dan pencapaian ekonomi dan berada di belakang kaum-kaum lain di negara ini. Pada tahun enam puluhan, jurang pendapatan antara Melayu dan bukan Melayu amat luas. Pendapatan orang Melayu kurang dari separuh pendapatan bukan Melayu. Jurang ekonomi ini telah menimbulkan keresahan di kalangan orang Melayu. Selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, Kerajaan sedar adalah penting untuk dilaksanakan program yang dapat mengimbangkan kedudukan sosial dan kedudukan ekonomi antara warga pelbagai kaum di negara ini. Orang Melayu perlu diberi peluang untuk berupaya mempertingkatkan diri, supaya dapat menikmati hasil kemakmuran ekonomi negara secara saksama. Dasar Ekonomi Baru (DEB) lalu diperkenalkan sebagai formula untuk menangani jurang ketidakseimbangan pencapaian ekonomi antara rakyat pelbagai kaum.

40. DEB memberi nafas baru kepada orang Melayu. DEB instrumental dalam menghasilkan lebih ramai individu Melayu yang berpendidikan dan berkemahiran. DEB berjaya meramaikan tenaga profesional dan pengurusan Melayu di peringkat tinggi. DEB telah membuka ruang untuk orang Melayu berpeluang menceburi pelbagai bidang keusahawanan. Ini memangkinkan pertumbuhan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Melalui DEB, kelas menengah Melayu telah berjaya diperbesarkan. DEB telah berjaya menaikkan taraf hidup dan pendapatan orang Melayu. Pada permulaan DEB, orang Melayu hanya berpendapatan 44 sen bagi setiap satu Ringgit pendapatan kaum bukan Melayu. Setelah berakhirnya DEB pada tahun 1990, orang Melayu telah berjaya merapatkan jurang pendapatan kepada 57 sen bagi setiap satu Ringgit, pertambahan sebanyak 30%. Pegangan ekuiti Bumiputera meningkat daripada 2% pada permulaan DEB kepada 19% pada tahun 2000.

41. Perangkaan sehingga ini menunjukkan sasaran DEB masih belum tercapai sepenuhnya. Ketidakcapaian sasaran DEB bukan kerana kesilapan dasar. Ketidakcapaian tersebut antaranya disebabkan berlakunya ketirisan di peringkat perlaksanaan. Ini kerana perbuatan pihak-pihak yang lebih mementingkan keuntungan jangka pendek (rent-seeking). Peluang yang diberi, disalahgunakan. Peluang yang diberi, tidak diguna bagi membesarkan urusniaga atau meningkatkan kapasiti bagi menjamin kejayaan yang berterusan dan berpanjangan. Permit, kemudahan, kontrak dan lesen yang diperuntukkan kepada Bumiputera, diserahkan kepada orang lain, untuk keuntungan jangka pendek. Setelah itu mereka meminta peluang baru, kali kedua, kali ketiga, kali keempat dan seterusnya; hingga akhirnya lahir satu angkatan Melayu yang menjadikan peranan orang tengah sebagai profesion.

42. Bumiputera diperuntukkan kuota memiliki saham, dalam hasrat mencapai sasaran pegangan ekuiti Bumiputera. Malang bagi bangsa, apabila saham-saham kuota bumiputera, dijual dalam masa terdekat untuk keuntungan cepat. Ada pula individu Melayu diberikan amanah memimpin syarikat-syarikat, mudah berpuas hati dengan penyertaan secara simbolik, memilih berada di pinggiran. Lebih malang lagi apabila terdapat pula yang tidak memenuhi amanah dan melakukan penyelewengan. Selain dari menggagalkan pencapaian matlamat DEB, ketirisan yang berlaku telah mencemarkan imej Melayu, di samping menghakis keyakinan umum terhadap orang Melayu.

43. Masalah yang kita hadapi ini harus ditangani dengan minda dan wadah perjuangan baru. Ia menyentuh maruah bangsa. Ia mengancam survival bangsa. Malaysia di hari semalam, di era DEB baru diperkenalkan, berbeza dengan Malaysia di era ekonomi berpaksikan pengetahuan. Era ekonomi berpaksikan pengetahuan memberi pulangan kepada mereka yang berpengetahuan, mereka yang benar-benar bekerja, mereka yang berupaya menambah nilai. Orang Melayu harus mencetus semangat perjuangan baru. Kelemahan perlaksanaan DEB harus diperbetulkan. Kita hendaklah menyemarakkan usaha perjuangan Melayu dengan strategi pendekatan meningkat keupayaan yang dapat meningkatkan pendapatan orang Melayu, secara mutlak secara berpanjangan. Sasaran kita adalah untuk mencapai matlamat pendapatan yang saksama, iaitu bagi setiap satu Ringgit pendapatan kaum bukan Melayu, orang Melayu juga akan menikmati pendapatan yang sama.

44. Insan adalah aset penting negara. Modal insan adalah penentu kepada survival sesebuah negara. Modal insan merupakan aset yang boleh disuntik nilai tambah, ditingkatkan nilai intelek serta diperkaya modal budaya. Pembangunan modal insan adalah penentu bagi meningkatkan daya saing dan produktiviti negara. Oleh itu, Kerajaan akan melipat gandakan usaha dengan memperbanyak dan mempelbagaikan program pembangunan insan di kalangan orang Melayu untuk membina kekuatan fizikal, mental dan rohani. Usaha akan ditingkatkan dan kemudahan akan ditambah untuk meramaikan anak Melayu menguasai sains menguasai teknologi supaya sumber bekalan tenaga profesional Melayu terus terjamin.

45. Dalam merealisasikan hasrat tersebut, pendidikan dan latihan yang berasaskan pengetahuan dan teknologi terkini perlu diperkukuhkan dan akan menjadi teras utama agenda pembangunan Melayu. Agenda pembangunan Melayu mesti memberi tumpuan kepada perisian dan kandungan untuk berupaya meningkatkan kualiti hidup dan modal budaya. Orang Melayu tidak harus berhenti berusaha menimba ilmu menguasai kemahiran. Orang Melayu harus belajar dan terus belajar sepanjang hayat. Peluang kepada orang Melayu dalam bidang keusahawanan, profesional atau pekerjaan akan terus disediakan. Namun, tatacara memberi peluang perlu dirangka semula, untuk mempastikan peluang diberikan kepada mereka yang benar-benar berkelayakan, berkebolehan serta mempunyai etika kerja - etika urusniaga yang betul. Kegiatan meraih untung mudah melalui syarikat bertopengkan Bumiputera serta budaya niaga orang tengah, sementara sifatnya. Amalan ini bercanggah dengan semangat DEB dan perlu dihentikan.

46. Strategi baru ini juga akan memastikan orang Melayu dapat terus membangun tanpa terlalu bergantung kepada Kerajaan. Orang Melayu harus bijak mempelbagaikan pengetahuan, mempelbagaikan kemahiran, mempelbagaikan produk dan mempelbagaikan perkhidmatan, selaras dengan arus pembangunan ekonomi masa kini. Kerajaan tidak mahu orang Melayu selama-lamanya bergantung kepada aktiviti ekonomi yang sama dengan punca pendapatan yang terbatas. Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera mesti berupaya berdiri di atas kaki sendiri dan merebut pelbagai peluang baru, sementara kerajaan berperanan sebagai pemangkin dan fasilitator. Jika sikap berdikari tidak disemai dan dijadikan prinsip, dikhuatiri hasrat melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera tidak mungkin tercapai.


AGENDA MELAYU II

47. Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera perlu menjadi satu tenaga penggerak satu kuasa pemangkin, menjayakan Melayu dalam bidang urus niaga. Usahawan Melayu perlu berkembang hingga dapat menjana kegiatan ekonomi kepada generasi pelapis, kepada anggota keluarga dan kepada bangsanya. Lebih ramai usahawan Melayu hendaklah berupaya memperbesarkan urus niaga hingga ke peringkat dapat mewariskan kepada anggota keluarga turun temurun. Berniaga dan berusaha sendiri mesti menjadi sebahagian besar budaya Melayu.

48. Sasaran pegangan ekuiti 30% Bumiputera perlu terus diusahakan. Pegangan hartanah orang Melayu tidak boleh dipandang ringan. Hartanah adalah sumber asli yang semakin terhad. Kita wajib memastikan milik hartanah Melayu terjamin, terutama di kawasan-kawasan bandar, supaya Melayu pada satu hari nanti tidak terpinggir di bumi dan tanah airnya. Tanah wakaf, tanah adat, tanah rezab Melayu, tanah pusaka, tanah pertanian tidak harus terbiar; malah perlu dimajukan, dirancang pembangunan yang dapat memberi nilai dan pulangan ekonomi tinggi.

49. Kita perlu lebih bijaksana dalam merangka strategi untuk mencapai matlamat DEB. Orang Melayu yang bersikap betul dan bersifat jujur, apabila diberikan peluang, berupaya membuktikan kejayaan. Begitu ramai anak Melayu mencipta kejayaan, berada di tangga sosioekonomi lebih tinggi, hanya dalam tempoh satu generasi. Melayu seperti inilah yang perlu kita ramaikan dan ditingkatkan kapasitinya.

50. Keadaan kritikal yang melanda sektor pembinaan perlu dijadikan pengajaran. Putaran ekonomi ada turun naiknya. Kini sektor pembinaan tidak serancak dahulu. Keresahan tentunya melanda para kontraktor Melayu. Yang paling terjejas adalah kontraktor kelas F; kalangan kontraktor awam yang menjalankan kerja-kerja di bawah harga 200,000 ringgit. Kontraktor kelas F diwujudkan dengan tujuan membimbing bumiputera menceburi sektor binaan. Kerancakan yang berlaku dalam sektor binaan dalam tempoh masa 15 tahun yang lalu, telah memberikan tanggapan yang salah kepada kontraktor Melayu. Mungkin, ramai usahawan Melayu beranggapan, bahawa sektor binaan merupakan lubuk untuk dapat membantu mereka menjadi kaya secara berkekalan dan berterusan. Lalu mereka berlumba-lumba menceburi bidang ini. Mereka yang terkemudian, menceburinya pada ketika bidang ini sudah sampai ke tahap ketepuan (saturation point).

51. Dalam tahun 1992, bilangan kontraktor bumiputera berjumlah 2,049 meningkat kepada lebih 46,000 dalam tahun 2005, peningkatan lebih 2,000 % (dua ribu peratus) dalam tempoh 13 tahun. Dari bilangan tersebut lebih 42,000 berdaftar sebagai kontraktor kelas F. Hampir kesemua kontraktor ini mengharapkan kontrak kerajaan. Jika semua kumpulan dan kelas kontraktor digabungkan, terdapat lebih 63,000 kontraktor di negara ini; sebuah negara yang mempunyai 25 juta penduduk; menjadikan nisbah, satu kontraktor bagi setiap 350 penduduk (1:350); sedangkan di negara Jepun yang memperoleh pelbagai kontrak antarabangsa, nisbah kontraktor kepada penduduk adalah satu kontraktor bagi setiap 10,000 penduduk (1:10,000).

52. Dalam tahun 2003, Kementerian Kewangan meluluskan sebanyak 26 billion ringgit bagi kerja-kerja pembinaan dan bekalan, peruntukan tertinggi dalam tempoh lima tahun kebelakang. Dalam tahun 2005, sebanyak 22 billion ringgit diperuntukkan bagi sektor binaan dan khidmat bekalan, jumlah kedua terbesar dalam tempoh lima tahun kebelakang. Namun kerja-kerja binaan masih belum cukup untuk diagihkan kepada bilangan kontraktor yang begitu ramai. Nyatalah dalam sektor binaan, bekalan perkhidmatan telah jauh mengatasi permintaan. Terlalu ramai pemain berada dalam padang permainan yang semakin kecil. Dalam tahun 2000, kerajaan terpaksa melancarkan projek pre-emptive, meluluskan peruntukan 3 juta ringgit bagi setiap kawasan Parlimen bagi membantu survival kontraktor kelas F. Sepatutnya para kontraktor telah dapat membaca mesej bahawa masa hadapan sektor pembinaan tidak lagi berlangit cerah. Kerajaan tidak akan dapat selama-lamanya berperanan sebagai Santa Claus, menganugerahkan pemberian sepanjang musim. Mereka sepatutnya mengenali realiti lalu mempersiapkan diri beralih ke sektor lain. Malangnya langkah sekali lalu (one-off) Kerajaan untuk menolong ketika itu, telah disalahtanggap mesejnya. Bilangan kontraktor yang sepatutnya menguncup, terus berkembang.

53. Kerajaan menerima banyak permintaan, desakan, malah ugutan untuk memperbanyakkan kerja-kerja binaan secara pump priming, (secara kerajaan memperuntukkan projek dan kontrak), seperti yang pernah dilakukan dahulu. Setiap ayat ada noktahnya. Setiap kitab ada penghujungnya. Kerajaan perlu mengambil pendirian berasaskan realiti. Kerajaan bertanggungjawab menguruskan ekonomi negara secara berhemah; memikirkan kesan jangka panjang kepada rakyat dan negara. Perbelanjaan negara harus dikawal, mengimbangkan keperluan untuk membolehkan pertumbuhan ekonomi dijana tetapi tidak pula meletakkan negara dalam keadaan kewangan yang tidak stabil dan berisiko tinggi. Semua negara turut tertakluk kepada hukum-hukum ekonomi ini. Tiada negara yang terpelihara daripada diisytiharkan muflis jika ia tidak dapat menampung perbelanjaannya. Kerajaan tidak boleh berpura-pura, bermain silap mata, menipu ahli UMNO menipu orang Melayu menipu rakyat, mengadakan yang tiada. Orang Melayu tidak harus dibina kekuatan berasaskan kepalsuan. Saya sedar ketetapan ini merupakan keputusan yang tidak popular. Tetapi, kita harus mengambil jalan yang betul. Survival bangsa dan negara hendaklah diutamakan.

54. Orang Melayu perlu mencari sumber kekayaan baru, terutamanya dalam sektor-sektor yang orang Melayu telah lama bertapak dan mempunyai kelebihan. Sumber baru kekayaan banyak terdapat di sektor pertanian, perikanan dan industri-industri yang berkaitan. Sektor-sektor ini berupaya memberi jaminan pulangan berjangka masa panjang. Banyak potensi yang dapat diraih; tambahan pula dengan penggunaan kaedah bioteknologi. Kunjungan ke Netherlands meningkatkan keyakinan saya akan potensi besar yang terdapat dalam sektor-sektor ini. Sebuah negara seluas negeri Pahang, berupaya menjadi pengeksport barangan makanan dan pertanian kedua terbesar di dunia. Kita perlu mengubah minda dan merubah penilaian terhadap sektor tersebut. Orang Melayu hendaklah ke hadapan, merintis usaha menjadi petani moden memajukan sektor pertanian menggerakkan industri asas tani bagi melonjakkan mereka ke dalam sektor perkilangan dan perindustrian.

55. Kesediaan dan keberanian menceburkan diri dalam sektor-sektor baru yang berpotensi besar, dalam industri perkhidmatan dan industri pelancongan, dipercayai dapat membangunkan kumpulan usahawan Melayu yang lebih bijak meneroka peluang, inovatif dan lebih cekal untuk bersaing. Pengalihan aktiviti ke sektor-sektor baru ini amatlah perlu untuk memastikan penyertaan orang Melayu dalam sektor urusniaga dan ekonomi yang lebih lebar dan luas parameternya. Kerajaan juga akan memberi penekanan kepada pembangunan sektor industri kecil dan sederhana yang memiliki potensi besar untuk berkembang dalam sektor ini.

56. Kerajaan akan meneruskan dasar membantu perkembangan orang Melayu di sektor swasta dengan menyediakan pelbagai insentif dan membangunkan prasarana. Syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan atau GLC dimestikan menggerak peranan yang besar dalam agenda pembangunan bangsa Melayu. Program vendor dan perolehan GLC akan ditambahbaik untuk memberi lebih banyak peluang kepada vendor-vendor bumiputera yang tulen dan kompeten, cekap, berkemampuan dan berdaya saing . GLC juga diarah menerajui sektor-sektor baru, merintis usaha membuka jalan, kepada penyertaan sektor swasta bumiputera. GLC diminta memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, terutamanya membantu perkembangan dan pembangunan bumiputera dalam bidang profesional, pengurusan dan pentadbiran. Tumpuan perlu dijuruskan kepada komponen perisian, dari segi pengetahuan dan kemahiran, nilai dan etika. Usaha hari ini adalah usaha pengisian, usaha dalaman, usaha yang sukar dilihat secara zahir, usaha yang memakan masa untuk bangsa melalui satu marathon panjang, tetapi kita harus berani memulakan langkah pertama pada hari ini.


AGENDA MELAYU III

57. Wawasan 2020 jelas menggariskan bahawa menjelang tahun 2020, akan berlaku kesaksamaan kaum dengan tiadanya mana-mana kaum yang akan dikaitkan dengan kemunduran ekonomi. Bahawa kesaksamaan tidaklah bermaksud bahawa setiap individu perlu sama kedudukan ekonominya. Kesaksamaan yang dianjurkan perlu mengambil kira merit ataupun prestasi. Untuk tempoh 14 tahun yang akan datang, kita perlu membuat lonjakan besar sekiranya kita berhasrat mencapai tahap kesaksamaan. Usaha mengorak langkah perkasa perlu kita lakukan sekarang. Kita perlu menyusun strategi yang betul demi masa hadapan orang Melayu dan masa hadapan negara. Kita perlu memastikan bahawa segala tindakan berada pada landasan yang betul supaya kita tidak tersasar haluan.

58. Kita perlu belajar dari kejayaan. Kita harus mengambil iktibar dari kesilapan. Bahawa usaha-usaha untuk meningkatkan kedudukan dan prestasi masyarakat Melayu perlu dilakukan dalam konteks ekonomi Malaysia yang pesat membangun. Kita perlu mengambil langkah bijak memastikan kita secara saksama mendapat manfaat dari proses pembangunan pesat yang berlaku itu. Kita perlu memastikan pembaziran tidak berlaku; sebaliknya pengurusan ekonomi mempunyai wajah dan karakter yang melambangkan kecekapan, keberkesanan, keadilan dan kesaksamaan. Persaingan sengit yang perlu dihadapi tidak memberi ruang untuk pembaziran berlaku; tidak membenarkan tanggungjawab besar diserahkan kepada mereka yang tidak mempunyai cukup pengalaman, pengetahuan, kapasiti dan keupayaan. Kita perlu memastikan agar kecekapan dan keberkesanan dioptimumkan. Kita perlu memastikan agar setiap ringgit yang kita laburkan, membawa pulangan maksimum.

59. Tiada siapa boleh menafikan bahawa untuk tempoh masa yang lalu, ada di antara kita yang telah menerima terlalu banyak bantuan dan peluang. Ada juga yang menerima bantuan dan peluang terlalu sedikit. Ada pula yang tidak langsung mendapat bantuan atau peluang. Ini tidak adil. Ini jauh dari saksama. Ini sama sekali tidak boleh diteruskan. Ia perlu dihapuskan dari kamus amalan kita. Tidak akan pernah ada cukup kontrak, lesen, permit mahupun biasiswa untuk semua bumiputera. Kita perlu sedar bahawa apabila kita memberikan biasiswa kepada seorang pelajar bumiputera yang kurang layak, kita sebenarnya menidakkan hak pelajar bumiputera lain yang lebih layak. Ini jelas tidak adil. Menganugerahkan kontrak kepada syarikat bumiputera yang tidak boleh menjalankan kerja secara berkualiti sedangkan ada syarikat bumiputera lain yang lebih berwibawa, juga tidak adil dan tidak boleh diteruskan. Malah, ia merupakan satu pembaziran. Menganugerahkan lesen dan permit dengan tidak berasaskan kepada merit atau prestasi, juga merupakan satu pembaziran. Ia jelas satu ketidakadilan. Kita tidak boleh menutup sebelah mata, tidak boleh memandang ringan kepada segala amalan ini.

60. Segalanya ini adalah budaya yang boleh memusnahkan bangsa dan akhirnya menjatuhkan negara. Ini perlu kita hentikan. Kita meletakkan sasaran pencapaian, tetapi orang lain mentertawakan kita. Apa yang dapat kita banggakan jika pegangan ekuiti Bumiputera hanya tercatat di atas kertas, apabila berlaku ketirisan kerana ada Bumiputera yang digunakan memegang ekuiti tersebut bagi pihak orang lain. Ini penyelewengan namanya. Agenda ekonomi untuk Bumiputera tidak akan tercapai selamanya, jika keadaan ini dibiarkan terus berlaku. Kita perlulah berani melakukan langkah pembetulan secara tegas.

61. Kita tidak mungkin berjaya membuat lonjakan, sekiranya kita tidak memberi fokus kepada usaha memupuk budaya mencapai kecemerlangan, berdasarkan merit berdasarkan prestasi di kalangan bumiputera. Kita harus berani membetulkan kesilapan yang berlaku. Ini mungkin berat; tetapi kita hendaklah memiliki azam politik, secara tegas, bertekad melakukan pembetulan. Kita sebenarnya melakukan langkah serius lagi bertanggungjawab untuk memperkuatkan Melayu. Jika kita terus melayan mereka yang hanya tahu menggunakan jalan belakang, kita sebenarnya menyuburkan satu budaya yang akan merosakkan bangsa. Kita harus membina budaya baru. Budaya orang Melayu berani berlumba, membina prestasi, memiliki merit, hingga mereka dapat bersaing dan bertanding di peringkat antarabangsa.

62. Asas paling kukuh untuk kita berjaya dalam persaingan yang berteraskan merit dan prestasi adalah kemahuan, kemahiran, kepakaran, ilmu pengetahuan, daya tahan dan kerja kuat. Jika setiap aspek ini disemai dan dipupuk dalam diri Melayu, kita tidak perlu bimbang, Insya-Allah kejayaan sedang menunggu orang Melayu. Jika komponen-komponen ini tidak ada dalam diri kita, janganlah bermimpi untuk kejayaan datang menggolek. Atas dasar inilah, bermula dari sekarang, dengan azam politik, dengan kekuatan politik yang ada pada UMNO, kita menumpukan fokus kepada sektor pendidikan dan sektor latihan, membangunkan modal insan memperkaya modal budaya keluarga Melayu.

63. Orang yang berani membuat pembaharuan, percaya dan yakin, bahawa bantuan dan pertolongan paling besar dan paling penting akan kita terima, apabila kita memanfaatkan segala apa yang dikurniakan oleh ALLAH SWT. Dua tangan yang dikurniakan, dua kaki kanan dan kiri, dan yang paling penting akal fikiran kurniaan ILAHI. Kita tidak ada banyak masa. Bermula dari hari ini, marilah kita menyediakan diri, mengambil langkah membuat lonjakan; lonjakan perkasa bagi orang Melayu.

64. Menentukan kejayaan Melayu adalah wadah perjuangan UMNO adalah amanah adalah tanggungjawab. Matlamat kita adalah untuk melihat orang Melayu berperanan signifikan lagi bermakna. Wawasan 2020 telah meletakkan matlamat untuk mencapai taraf negara maju. Negara maju yang kita impikan itu hendaklah disertai dengan kemajuan orang Melayu. Apalah ertinya kepada bangsa, jika negaranya maju, sedangkan orang Melayu hidup merempat. Kita harus memastikan, bukan sahaja Melayu tidak hilang di dunia, tetapi Melayu juga tidak ketinggalan. Perubahan minda berteraskan kejayaan berakarkan kecemerlangan, perlu disemai perlu dipupuk. Kita telah mula melangkah dari garisan permulaan. Kita hendaklah melangkah dan terus melangkah, biar beribu dan berjuta langkah. Setiap langkah kita bersama, akan memperkuatkan jiwa, memperkukuhkan minda, menanam keyakinan, menyemai keazaman, dalam hati dalam minda, bahawa kita akan menjadi individu yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

65. Apabila kita berjaya mencapai tahap cemerlang, gemilang dan terbilang, walau sekecil manapun bilangan kita, walau dalam sebesar manapun perhimpunan, walau di bumi mana kita berada, walau di bawah langit mana kita bernaung, kehadiran kita akan dirasai dan diberi penghormatan. Kita laksana menara tinggi, teguh kukuh terpacak di bumi memuncak gagah menyonsong angin. Bahawa kitalah The Towering Malays berdiri gagah melangkah segak, bijak akal bersalut iman, dilontar ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi gunung.


UMNO I

Saudara-Saudari

66. UMNO adalah milik bangsa Melayu, yang telah diwarisi sejak 59 tahun yang lalu. Alhamdulillah, semakin dewasa usianya, UMNO menjadi semakin teguh semakin kukuh. UMNO telah diterima dan diberikan kepercayaan sebagai pejuang yang telah membuktikan kejayaan meningkatkan syiar Islam, mendaulatkan kemerdekaan negara dan memartabatkan maruah bangsa. UMNO terus relevan dan segar sepanjang zaman sepanjang masa.

67. UMNO relevan kerana kita selalu memikirkan tentang masa depan dan tentang generasi akan datang. Kita berpandangan jauh dan merancang untuk jangka masa panjang. Kita dirahmati dengan dianugerahkan kuasa menerajui Kerajaan. Kita diberi kepercayaan oleh rakyat semenjak kemerdekaan. Matlamat perpaduan rakyat, konsep perkongsian kuasa, Dasar Ekonomi Baru, Wawasan 2020 semuanya berkisar untuk membina masa depan yang lebih baik bagi generasi akan datang. Kita meletakkan batu asas bagi pembangunan Malaysia yang lebih aman, maju dan makmur. Kita berusaha dengan gigih untuk mencapai hasrat dan cita-cita.

68. UMNO terus merimbun segar, berbunga sepanjang waktu berbuah sepanjang musim. UMNO segar kerana taman UMNO ditumbuhi tunas-tunas baru, disiram dibaja, dijaga baik dipelihara cermat. Menjadi tanggungjawab angkatan dewasa di dalam UMNO, mendidik dan mengasuh anak-anak muda di dalam parti, agar dapat berperanan dan berkebolehan untuk mewarisi amanah bangsa. Generasi muda UMNO, di dalam Pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri dan kini Putera perlu dibawa bersama, diberi panduan diberi bimbingan, diberi nasihat diberi asuhan. Generasi muda ini semakin terpelajar dan berkemahiran. Sumbangan mereka diperlukan dalam usaha membina bangsa yang maju dan negara yang berjaya.

69. Ahli-ahli UMNO bukan sekadar mewarisi sebuah organisasi, malah mewarisi satu amanah perjuangan mewarisi satu tanggungjawab terhadap bangsa, terhadap negara, terhadap agama. Tanggungjawab menjadi lebih berat dengan kemenangan besar yang telah diberikan oleh rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum pada bulan Mac 2004. Ahli-ahli UMNO adalah pendukung kepada Kerajaan yang telah dipilih melalui proses demokrasi. Kita tidak sekali-kali mempermainkan kuasa pemerintahan dan tidak berniat untuk mengecewakan rakyat. Kata dan janji kita bukan pemanis mulut ataupun sekadar perhiasan parti. Penguatkuasaan undang-undang secara tegas bukan bertujuan menganiayai sesiapa. Kuasa pemerintahan adalah amanah rakyat yang perlu ditunaikan dengan ikhlas dengan insaf, melalui perancangan dasar, program dan pelaksanaan yang kukuh lagi jitu. Kita perlu menentukan kelangsungan dan kesinambungan perjuangan UMNO supaya matlamat yang kita kejar, tidak keciciran dan hasrat yang kita impikan, tetap tercapai.

70. Kita menghadapi pelbagai cabaran, rintangan dan halangan dalam mendokong perjuangan parti dan meneruskan usaha membangunkan negara. Namun kita cekal dan tabah, melaksanakan amanah bangsa. Ada kalanya usaha kita terhakis dan tergencat, umpamanya ketika dilanda krisis kewangan Asia di tahun 1997. Berpegang kepada sumpah, berpantang mati sebelum ajal, UMNO tidak cepat menyerah kalah. Kita tidak mengalah kerana cabaran, tidak kalah kerana halangan, tidak tunduk kerana persaingan. Malah UMNO berguru pada pengalaman, berpegang kukuh kepada perjuangan, teguh beriman dengan syariat. Kita yakin pada kuasa dan rahmat ILAHI. Selagi kita ikhlas menjalankan tuntutan ILAHI, beramanah menunaikan harapan rakyat, selagi itu Allah SWT merahmati usaha kita.

71. UMNO kini bukan sahaja dinilai secara dalaman malah turut mendapat perhatian dunia luar. Penilaian dunia luar terhadap UMNO akan mempengaruhi imej mereka terhadap negara kita. Cabaran kepada UMNO menjadi lebih besar apabila UMNO diburuk-burukkan kepada dunia luar melalui tindak tanduk parti-parti pembangkang serta orang-orang perseorangan termasuk dari kalangan yang tidak lagi mendapat tempat di dalam UMNO. Faktor perpaduan ahli, adalah penentu kepada kekuatan UMNO. UMNO terbukti dapat mengharungi pelbagai dugaan selagi ahli-ahli parti kekal bersatu cekal berpadu. UMNO Insya-Allah tidak mungkin dikalahkan oleh tenaga luar. Tetapi kita perlu waspada dengan perbuatan dari kalangan ahli-ahli UMNO sendiri yang boleh menyebabkan UMNO jatuh.


UMNO II

73. UMNO tidak boleh selesa dan berbangga dengan bilangan ahli yang ramai. UMNO perlu memastikan ahli-ahli parti memiliki integriti yang tinggi. Ahli-ahli UMNO perlu mengawal disiplin diri memiliki nilai moral yang tinggi menghindarkan diri dari terlibat dalam kegiatan-kegiatan yang membolehkan rakyat memandang kita secara sinis. Disiplin dan kawalan moral hendaklah dilakukan secara dalaman; berasa malu untuk terlibat dengan kegiatan-kegiatan maksiat. Organisasi yang kuat dan kekal berkuasa, amat mengutamakan disiplin. Integriti ahli-ahli UMNO akan dapat dipenuhi jika parti mengutamakan amalan disiplin yang tinggi. Integriti ahli-ahli parti akan menentukan budaya yang terdapat di dalam parti.

74. Usaha kerajaan memerangi rasuah tidak akan tercapai jika budaya rasuah terdapat di dalam UMNO. Amalan politik menggunakan wang untuk berkuasa adalah rasuah politik. UMNO tidak mungkin kekal dihormati, jika rasuah politik tidak kita hapuskan. Proses pemilihan dalam UMNO diberikan perhatian kerana UMNO menguasai kerajaan. Pemimpin yang dipilih oleh UMNO akan menjadi pemimpin kerajaan. Jika pemimpin UMNO diragui integritinya, maka usaha kerajaan pimpinan UMNO untuk memerangi rasuah tentulah tidak dapat meyakinkan mana-mana pihak.

75. Proses mendisiplinkan ahli adalah rumit. Banyak rungutan yang dibuat. Banyak cerita yang sampai kepada saya; banyak kisah yang berlegar di telinga rakyat, tentang berlakunya salah laku di kalangan ahli semasa proses pemilihan pemimpin. Ahli UMNO sukar menidakkan tentang berlakunya amalan rasuah politik. Proses siasatan sangatlah rumit kerana pihak yang merungut tidak bersedia tampil kehadapan memberi bukti yang boleh mensabitkan kesalahan. Kaedah dan mekanisme disiplin yang ada perlu terus ditambahbaik. Kita perlu memberikan sokongan kepada setiap langkah dan setiap usaha untuk mendisiplinkan ahli dan membersihkan UMNO dari rasuah.

76. Pemimpin yang korup akan membawa UMNO mengamalkan budaya politik yang korup. UMNO yang korup tidak berupaya menyemai nilai-nilai bersih di kalangan bangsa. Usaha kerajaan memerangi rasuah hendaklah bertunjang dari dalam UMNO. Ahli-ahli UMNO hendaklah berasa jijik terhadap rasuah dan tidak merelakan walau setitik darah yang mengalir di dalam batang tubuhnya atau ahli keluarganya bersumberkan rasuah.

77. Ahli dan pemimpin parti yang terlibat dengan rasuah tidak dapat menipu diri, tentunya tidak lagi dianggap bersih dari kanta penglihatan mereka yang sama-sama terlibat dalam proses memberi dan menerima sogokan, dan sama sekali tidak terlepas dari pengetahuan Allah SWT. Mungkin perbuatan rasuah dapat dilindungi dengan pelbagai dalih di kalangan sesama insan, namun tidak ada siapa yang dapat terlepas dari pembalasan ILAHI. Bahawa jika tuhan mengasihi seseorang hamba, maka hukuman di atas sesuatu kemungkaran itu akan dilakukan di dunia ini, dengan tujuan menginsafkan seseorang insan supaya segera bertaubat. Di sebaliknya, bagi mereka yang diberikan tangguh, pembalasan akan tetap menunggu di Padang Mahsyar.

78. Saya berazam dan nekad membersihkan UMNO dari rasuah politik. Ia adalah satu usaha yang berat bagai mendaki gunung yang curam. Saya tidak akan kecewa. Saya tidak berputus asa. Selagi hayat di kandung badan, saya akan terus menyeru, memohon kekuatan dari ILAHI, berikhtiar menghapuskan rasuah. Ahli-ahli UMNO hendaklah berpegang kuat kepada prinsip, bersedia tidak terpilih memegang jawatan dari terjerumus mengamalkan rasuah. Tidak ada apa yang dapat dibanggakan, jika jawatan diperoleh secara rasuah, kemudiannya mendorong diri menerima rasuah, untuk dijadikan modal menghulurkan rasuah. Malang bagi bangsa, jika kekayaan digunakan untuk mendagangkan kuasa dan jika kuasa pula digunakan untuk menggadaikan bangsa.

79. UMNO perlu mengembalikan budaya politik yang sihat. Budaya politik yang menjadi prinsip pegangan para pengasas UMNO pada masa dahulu. UMNO ditegakkan atas nilai perjuangan bangsa dan atas khidmat kepada bangsa. UMNO tidak sekadar parti politik tetapi hendaklah kita jadikan sebagai satu rumpun besar keluarga Melayu untuk memenuhi satu wadah perjuangan. Bila UMNO dilihat sebagai organisasi politik semata-mata, ahli-ahli UMNO menjadi lebih cenderung untuk bersaing bagi mendapatkan tempat dan kuasa. Teknologi diguna menyebar fitnah. Penulis diupah menyerang individu tertentu. Buruk sangka mengatasi semangat persaudaraan. Berita buruk cepat dimamah cerita baik sukar diterima.

80. Jika UMNO dapat diperkukuhkan dengan semangat kekeluargaan, maka kita akan dapat membina tali persaudaraan sesama kita. Kita akan mencari dan menerima yang terbaik di kalangan kita untuk memimpin. Kita akan sepakat bersama melaksanakan tugas. Setiap niat setiap langkah kita, adalah untuk memperkukuhkan UMNO. Untuk itu kita akan menghargai mereka yang terbaik dari kalangan kita. Mereka yang terbaik, diangkat menjadi pemimpin hingga terbina budaya politik yang lebih segar, melangsungkan wadah perjuangan bangsa, diberikan sokongan diberikan keyakinan. Kita akan dapat menghidupkan budaya politik yang berupaya membina insan merdeka, penuh keimanan, bertakwa dan mengabdikan diri sepenuh-penuhnya kepada Allah SWT.

81. Budaya politik sihat akan menyelamatkan UMNO akan terus memperkasakan UMNO. Perjuangan memartabatkan bangsa mustahil tercapai sekiranya UMNO tidak bersih, tidak cekap dan tidak amanah. Ahli-ahli UMNO janganlah terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang boleh mencemarkan nama baik UMNO. UMNO perlu diperkasakan dengan organisasi yang utuh dan keahlian yang kukuh. Saidina Ali (k.w.) mengingatkan kita dengan pesanan yang bermaksud kemungkaran dapat ditegakkan oleh organisasi yang kemas, dan sebaliknya, kebenaran boleh diruntuhkan sekiranya organisasi lemah.

82. Oleh itu, organisasi UMNO di setiap peringkat perlu dipertingkatkan sejajar dengan kedudukan UMNO sebagai peneraju politik di dalam negara. Urusetia UMNO sama ada di peringkat nasional, negeri, pergerakan, bahagian dan cawangan perlu dibinaupaya dengan kelengkapan moden yang secukupnya, didokong oleh sumber tenaga manusia yang cekap dan berhemah. Urusetia UMNO perlu diperkukuhkan supaya berupaya menjadi pemangkin dan pendokong kepada pelbagai usaha pucuk pimpinan dan pelbagai kegiatan ahli parti.

83. Ahli-ahli UMNO yang mencorak dan mewarnakan perjuangan parti. Ahli-ahli UMNO yang akan menentukan jatuh bangunnya parti, maju mundurnya bangsa dan kuat lemahnya negara. Ahli-ahli UMNO perlu diperkasakan dengan kefahaman dan kesedaran tentang erti perjuangan, tentang peranan dan tanggung jawab ahli kepada parti. Ahli-ahli perlu diperkasakan dengan sifat-sifat berhemah tinggi, beramanah dan berjiwa besar serta dipertingkatkan kebolehan mereka dengan ilmu dan kemahiran. Sesungguhnya, UMNO mahu membina barisan pemimpin di setiap peringkat, yang menjauhkan diri dari perkara-perkara negatif, dari mengadu domba, dari menyebarkan fitnah, atau dari membawa cerita-cerita yang melemahkan pemimpin, parti dan ahli-ahli. Sebaliknya, UMNO mahu membina barisan pemimpin di setiap peringkat, yang kukuh kebolehannya, yang kuat semangatnya, yang cekal hatinya, yang soleh imannya, yang elok muafakatnya dan yang berkesan kerjanya.


PENUTUP

Saudara-Saudari

84. Negara telah menetapkan sasaran mencapai taraf negara maju dalam tahun 2020. Tanggungjawab pengisian wawasan adalah tanggungjawab kita bersama. The towering Malays ketika itu perlu berada di barisan utama dalam sebuah negara Malaysia yang telah pun mencapai taraf negara maju. Merekalah Melayu, berani bersaing - berupaya berganding di liga antarabangsa, dalam gelanggang yang lebih luas - dengan peraturan yang lebih bebas.

85. Kita tidak boleh lari dari jihad untuk menentukan pencapaian tersebut. Kita tidak boleh membenarkan diri kita diganggu oleh suara-suara yang masih bercakap tentang isu-isu remeh dan kecil. Kegiatan bercakap, kita biarkan kepada mereka yang selama ini tidak ada kerja lain, melainkan bercakap. UMNO mengutamakan kerja. Masa dan tenaga kita hendaklah kita tumpukan kepada kerja. Kerja yang berat dan tugas yang rumit tidak dapat saya penuhi secara sendirian. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan di dalam Majlis Tertinggi terutamanya kepada Timbalan Presiden parti, Yang Amat Berhormat Dato Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak yang sama-sama mengambil tanggungjawab bekerja bersama saya.

86. Saya menghargai kerjasama serta sokongan yang telah diberikan oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi, barisan pimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri, pimpinan di peringkat Perhubungan Negeri dan pimpinan di peringkat Bahagian dan Cawangan untuk merealisasikan wawasan dan impian perjuangan UMNO. Saya mengucapkan tahniah atas kreativiti Pergerakan Pemuda mewujudkan Putera UMNO dengan tujuan untuk meningkatkan penyertaan secara aktif golongan remaja di dalam parti.

87. Semoga kita senantiasa mendapat petunjuk dan hidayat Ilahi dalam memenuhi perjuangan yang kita warisi ini. Semoga parti kita, bangsa kita, warga kita, negara kita dan agama kita terus terpelihara. Semoga kita dapat memenuhi cita-cita perjuangan kita. Marilah kita menghayati firman Allah SWT dalam Surah Al-Faatir, ayat 10:

Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada Allahlah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid, untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan), dan amal yang soleh pula diangkat-Nya naik (sebagai amal yang makbul yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya). Dan sebaliknya: orang-orang yang merancangkan kejahatan (untuk mendapatkan kemuliaan), adalah bagi mereka azab seksa yang berat dan rancangan jahat mereka (kalau berkesan pun) akan rosak binasa.

88. Marilah kita memohon petunjuk dan keredaan ILAHI dengan membaca umul-kitab: AL-FATIHAH

BERSATU! BERSETIA! BERKHIDMAT!

HIDUP UMNO!

HIDUP MELAYU!




 

Usul-usul Wanita

I. Usul ucapan dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

a) Menginsafi bahawa Pergerakan Wanita UMNO adalah tulang belakang parti.

b) Menyedari hakikat kestabilan politik UMNO banyak disumbangkan melalui penglibatan serta mengiktiraf peranan wanita dan usaha itu perlu diteruskan hingga ke tahap kecemerlangan.

c) Menyedari hakikat bahawa institusi keluarga adalah asas masyarakat dan negara.

d) Menghayati kepentingan UMNO untuk terus kukuh, integriti dan berwibawa.

Maka dengan ini, Pergerakan Wanita UMNO :

1) Memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah s.w.t di atas nikmat kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan negara.

2) Penghargaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana berjaya mentadbir dan mengekalkan kestabilan negara.

3) Ucapan terima kasih kepada kerajaan atas kerja lima hari seminggu kepada kakitangannya.

4) Memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden untuk membasmi rasuah politik dan rasuah di kalangan masyarakat.

5) Mempertingkatkan pelaksanaan ke arah menentukan wanita diberi peluang sama rata untuk mencapai kesaksamaan gender.

6) Menolak gejala perjuangan yang mementingkan diri.

7) Mendesak Ketua Cawangan secara automatik menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO.

8) Memperbanyakkan program kesedaran awam.

II. Usul sosioekonomi.

1) Yakin kestabilan politik perlu dalam menentukan kesinambungan dan pembangunan sosio-ekonomi.

2) Wanita mampu membantu kerajaan dalam menjana ekonomi Melayu.

3) Semua wanita perlu sedar akan potensi dan kebolehan untuk memajukan diri, menambahkan ilmu dan cemerlang.

Ketetapan yang diambil

1- Memastikan pembangunan ekonomi dan sosial sebagai agenda perdana.

2- Mengkaji dengan teliti bilangan pengangguran di kalangan siswazah wanita, kesan terhadap sosio ekonomi dan merangka tindakan bersepadu.

3- Mempertingkatkan kemahiran dan usaha untuk membina keupayaan wanita dalam semua bidang.

4- Menyediakan khidmat sokongan, kelas bimbingan, nasihat, kaunseling dan motivasi.

5- Mengkhaskan kuota kerja kontrak tertentu kepada usahawan wanita yang berdaftar.

6- 40 peratus daripada pembentukan dana dan pengagihan pinjaman diagihkan kepada usahawan wanita.

7- Menyediakan infrastruktur yang mencukupi kepada usahawan wanita yang bercadang berkerja dari rumah.

8- Menyokong konsep Islam Hadhari yang menggariskan perlindungan untuk wanita, warga tua dan kanak-kanak.




Usul-usul Pemuda  

I. Usul ucapan terima kasih kepada ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO 



MENYEDARI bahawa kekuatan dan ketahanan Pemuda dalam Era Baru ini menuntut kepada keyakinan, keazaman dan komitmen yang begitu tinggi dalam usaha memantapkan idealisme perjuangan bagi memenuhi matlamat serta aspirasi agama, bangsa dan negara; 

MENGINSAFI bahawa pemahaman dan penghayatan kepada ajaran Islam mampu membawa kesejahteraan dan kemakmuran, serta bersedia menerima dan melaksanakan secara total konsep Islam Hadhari sebagai agenda pembangunan insan dan penerapan nilai-nilai murni agar agama Islam terus dipandang tinggi dan mulia;   




MEYAKINI bahawa keutamaan menguasai ilmu akan mempastikan kelangsungan dalam melahir serta mewujudkan generasi yang berdaya tahan, berdaya saing, berkeupayaan tinggi, berakhlak mulia dan menetapkan hala tuju yang jelas ke arah pembentukan sebuah negara yang makmur dan maju;  

MENGAKUI bahawa pembangunan bangsa akan hanya tercapai menerusi usaha gigih membangunkan jiwa serta pemikiran rakyat dalam menyemai nilai-nilai positif dan menolak segala bentuk pengaruh anti-kemajuan dan pemikiran sempit;  

MENGINSAFI kegagalan untuk menguasai pengagihan ekonomi pada masa kini menjadi satu kekangan yang mengugat maruah bangsa dan kedaulatan negara dan pelaksanaan semula Dasar ekonomi Baru sebagai senjata paling ampuh mempertahankan ketuanan bangsa;  

MAKA Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang bersidang pada hari ini, 20 hb Julai 2005 mengambil ketetapan seperti berikut;  

MENYOKONG penuh ucapan YB Datuk Seri Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang begitu menyeluruh dan secara jelas memperlihatkan idealisme serta kepentingan melaksanakan tanggungjawab Pemuda dalam memantapkan lagi jati diri Pemuda untuk mempertahankan maruah bangsa, kesucian agama dan kedaulatan negara;  

MENGUCAPKAN setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Ketua Pergerakan Pemuda di atas kesungguhan beliau dalam mengembalikan serta memperkasakan Pemuda yang suatu ketika dulu diambil alih dalam satu keadaan yang cukup mencabar dan menguji daya tahan pemimpin dalam erti kata perjuangan sebenar;

MELAHIRKAN rasa bangsa yang tidak terhingga di atas kepimpinan beliau yang telah terbukti berjaya memulihkan serta mengangkat imej Pemuda ke suatu tahap yang paling baik sehingga mampu menjadikan Pemuda sebagai suatu institusi yang kembali berjaya mengajak dan menarik penyertaan golongan muda untuk terus sama-sama berjuang melaksanakan dan mempertahankan agenda parti;  

MEMINTA dan menggesa agar Pemuda menghayati, menyelami, memahami serta bersatu hati menggembleng usaha, membulatkan tekad, menguatkan keazaman untuk memartabatkan pendidikan dan penguasaan ilmu agar ia terus menjadi elemen terpenting sesuai dengan pendekatan Islam Hadhari untuk membantu menjadikan bangsa terus dihormati serta dipandang mulia;  





BERIKRAR untuk sama-sama mengenepikan kepentingan peribadi, melempar jauh segala sikap negatif, mengelakkan perpecahan dan persengketaan dan sebaliknya melengkapkan diri dengan nilai-nilai positif agar parti terus utuh serta unggul;

BERAZAM, BERTEKAD DAN BERIKRAR dalam usaha untuk mempastikan parti serta maruah bangsa tidak terus hancur dinodai dengan politik yang tidak bermaruah, Pemuda tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk rasuah politik dan menolak sekeras-kerasnya individu yang cuba merosakkan dan menjahanamkan masa depan parti. 



Usul-usul Puteri

I. Ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO.
 

1. Mengakui akan ketegasan dan keteguhan tindakan alternatif Presiden dalam mngenyahkan amalan rasuah politik daripada parti dengan berkenankan keserasian dan dokongan Timbalan Presiden serta Majlis Tertinggi.  

2. Mengakui akan wibawa kepimpinan Ketua Puteri yang terserlah sebagai pemimpin tertinggi Pergerakan Puteri UMNO dan terbukti menerusi kejayaan program serta aktiviti yang dilaksanakan.  

3. Menginsafi betapa perpaduan adalah pra syarat kepada pencapaian usaha ke arah keunggulan dan kelestarian bangsa Melayu dari segi ekonomi.  

4. Menyedari peri pentingnya pendidikan sebagai teras utama kepada penguasaan dan penyertaan signifikan bangsa Melayu dalam aktiviti-aktiviti ekonomi.  

5. Menyedari akan pentingnya transformasi budaya untuk menjadikan bangsa Melayu bersifat unggul dan global.  

6. Menyedari akan perlunya generasi baru bangsa Melayu memiliki kemahiran dwibahasa dan penguasaan panca ilmu.

Maka dengan ini, Pergerakan Puteri UMNO:
 

1. Merakamkan tahniah kepada Ketua Pergerakan Puteri UMNO atas pemikiran, ketegasan dan komitmennya yang kini mencecah tempoh setahun sejak dipilih pada bulan September tahun lalu.  

2. Menghargai dan menyokong ucapan dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO:

a. Menginsafi bahawa dengan mendokumentasikan satu hala tuju, Pergerakan Puteri UMNO dapat merujuk kepada satu pelan tindakan yang selari dengan konteks kewujudan Puteri sebagai satu sayap berfungsi dalam parti UMNO.

b. Menyedari bahawa hala tuju itu juga adalah satu aspirasi bagi memupuk nilai-nilai murni seperti tahap disiplin, moral, etika, profesionalisme dan susila yang luhur.

c. Menyedari bahawa pendidikan mampu menjadi teras kecemerlangan ummah.

d. Menginsafi betapa rakyat Malaysia menggerakkan rakyatnya secara menyeluruh supaya mampu menongkah arus globalisasi.

e. Menyedari bahawa Ketua Puteri dan barisan kepimpinannya amat menghargai ahli-ahli Puteri di setiap bahagian dan cawangan termasuklah kira-kira 50 peratus ahli Puteri yang tidak mempunyai pekerjaan termasuk kalangan graduan.

II. Usul Sosial dan Pendidikan
 

1. Mengakui bahawa agenda Melayu adalah teras dalam memastikan survival bangsa Melayu dan bidang pendidikan merupakan tunjang utama untuk mencapai matlamat agenda ini.  

2. Menginsafi bahawa bangsa Melayu masih kurang memberi penekanan dan keutamaan terhadap pendidikan dan ilmu, berbanding kaum lain walaupun pendidikan merupakan pendorong utama untuk kita mencapai status Melayu unggul.  

3. Menyedari bahawa keadaan dunia kini kian mencabar dan pendidikan asas yang diperolehi oleh semua pada masa kini dari sistem pendidikan kebangsaan sekarang mungkin tidak mencukupi untuk melatih, mendidik dan menyediakan anak bangsa menghadapi cabaran globalisasi, baik dari segi kuantitatif mahu pun kualitatif.  

4. Menyedari bahawa saingan dunia sekarang semakin sengit dan pembangunan sumber tenaga manusia merupakan teras kepada kejayaan sesebuah negara dan betapa perlunya pendidikan negara diperkukuhkan bagi melahirkan guna tenaga yang bukan sahaja berdikari tetapi berdaya saing, mampu meneroka dan bersaing di pasaran antarabangsa.  

5. Menyedari bahawa masalah-masalah wanita terutama sekali golongan Melayu muda semakin meruncing terutama sekali dari segi keselamatan dan gejala sosial yang hanya dapat dibendung sekiranya masyarakat mempunyai peribadi unggul yang dapat dibentuk yakni kesedaran yang dicapai melalui penguasaan ilmu dan penerapan nilai-nilai Islam.

Ketetapan yang diambil:

1. Memperkukuh dan menganalisis kembali agenda Melayu di dalam dasar-dasar kerajaan untuk memastikan sama ada ia masih relevan mengikut tuntutan masa dan perubahan pantas dunia yang akan menentukan sama ada agenda tersebut akan membantu bangsa Melayu atau pun berfungsi untuk mengehadkan potensi bangsa Melayu untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi di alaf baru ini.

2. Mendesak kerajaan supaya memberi penekanan lebih kepada pendidikan awal termasuklah taska dan pra sekolah, memandangkan asas pendidikan awal ini akan membentuk dan membantu menentukan kejayaan dan kecemerlangan individu di masa akan datang.

3. Menyarankan kerajaan untuk memperkukuhkan mekanisme pemantauan bagi memastikan tahap pencapaian ekonomi Melayu dan keberkesanan implementasi dasar, strategi dan projek dalam usaha untuk mempertingkatkan penyertaan dan pendapatan bangsa Melayu.

4. Menyarankan semua supaya menjalankan satu transformasi diri untuk mewujudkan satu budaya Melayu bina upaya bagi memastikan kita boleh berdikari di dalam apa situasi sekali pun terutama sekali dengan masalah pengangguran yang kian menular, melalui idea, ilmu, inovasi dan keusahawanan diri.

5. Mencadangkan sistem pendidikan kita diperkukuhkan dan bermatlamat untuk melahirkan Wise Knowledge Workers (K-Workers).

6. Menggesa supaya konsep Islam Hadhari dihayati dan diterapkan di dalam jiwa masyarakat Melayu bagi mencetus transformasi sikap yang bertunjangkan keutuhan moral, nilai, susila, akal budi, luas pengetahuan dan berperibadi unggul bagi memastikan satu masyarakat bertamadun tinggi yang hidup harmonis, sihat, progresif dan tanpa keganasan.

7. Mengesyorkan dan mendesak pihak kerajaan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas yang berkecuali untuk mengkaji penstrukturan semula sistem pendidikan kebangsaan.

8. Menggesa dan menyeru ahli-ahli UMNO khasnya para Puteri supaya menjadi pendorong utama dalam membantu mencapai matlamat pendidikan negara dengan membantu mempergiatkan dan menganjurkan program-program sokongan serta kebajikan bagi mengisi keperluan pendidikan anak bangsa.




23 Julai 2005 - Ucapan penuh penggulungan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Perhimpunan Agung UMNO ke-56 di PWTC.
BAGI setiap perhimpunan agung yang akan dikenang buat seketika waktu dan apatah lagi perhimpunan itu akan terakam dalam lipatan sejarah bangsa kita, maka perhimpunan itu perlu melahirkan beberapa keistimewaan yang boleh dijadikan sebagai kenangan malah boleh dimuatkan di dalam sejarah perjuangan bangsa kita.

Setelah mengikuti perhimpunan agung kali ini, saya dapati perhimpunan agung ini sekurang-kurangnya ada dua perkembangan yang baik lagi memberangsangkan.

Pertamanya, kalau kita mengikuti perbahasan-perbahasan yang telah diluahkan jurucakap-jurucakap, saya boleh menyatakan bahawa sebahagian besar daripada jurucakap-jurucakap telah menyampaikan ucapan masing-masing dengan ucapan yang bermutu, bernas dan boleh dijadikan sebagai landasan pertimbangan oleh parti dan kerajaan.

Tidak salah kalau sekiranya saya sebutkan di sini bahawa antara ucapan yang sangat baik termasuk ucapan wakil pergerakan pemuda sewaktu membawa usul ekonomi dan juga wakil-wakil dari Kedah, Johor dan tidak kurang juga sahabat saya jurucakap dari Perak, Datuk Tajuddin Rahman.

Saya hendak sebut bahawa Datuk Tajuddin Rahman ini sebagai pemimpin 3 T.

Formula 3 T ini membawa pelbagai pengertian, kalau dalam bidang pertanian, Tan Sri Muhyiddin Yassin selalu sebut pada saya , dia kata sebab orang selalu mengamalkan `tanam, tuai dan tinggal'.

Jadi, macam mana beliau hendak pecah keadaan ini dan menukar petani-petani kita menjadi petani moden.

Bagi setengah daripada kita, dalam perhimpunan pergerakan pemuda pula, 3 T membawa maksud yang lain.

3 T mereka kata, `teringin tapi takut'.

Bagi sahabat saya, Datuk Tajuddin Rahman ini, 3 T bererti `tembak tak tembus.

Saya kata `tembak tak tembus' ini kerana sudah masuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dah kena gantung keahlian, susah hendak masuk UMNO akhirnya jadi wakil rakyat dan ketua UMNO Bahagian.

Lebih daripada itu, Perhimpunan Agung 2005 ini, biarlah terakam dalam sejarah perjuangan bangsa kita, biarlah kalau kita menyingkap kembali sejarah bangsa kita bahawa Perhimpunan Agung 2005 merupakan perhimpunan keramat kerana suara dari perhimpunan ini menandakan kebangkitan semula Melayu di bumi yang bertuah ini.

Meminjam kata-kata wakil Terengganu, Shaberry Chik, beliau kata kerajaan ini kerajaan Pak Lah iaitu Datuk Seri Presiden kita.

Buatlah, buatlah yang terbaik untuk memperjuangkan untung nasib orang Melayu saya sebagai timbalan akan menyokong berdiri teguh dan menyokongnya mengerakkan agenda melayu.

Hari ini, kita tidak hendak cakap lagi tentang roh dan semangat, kita hendak tindakan menerjah ke hadapan.

Supaya orang Melayu duduk di tempat yang mulia dan bermartabat lagi.

Takdir Ilahi telah menentukan bahawa Yang Amat Berhormat seorang pentadbir penting dalam kerajaan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Dalam suasana, situasi di mana Pak Lah amat memahami asal usul semangat falsafah mengapa kenapa Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang baru telah diasaskan, maka takdir telah menentukan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pemimpin utama yang menentukan matlamat DEB itu tercapai sepenuhnya.

Saya tidak akan menyentuh tentang soal ekonomi terlalu panjang kerana Presiden lebih berhak untuk menghurai perkara in.

Saya hanya ingin menyebut di sini, antara isu yang telah dibangkitkan oleh wakil Terengganu, dengan adanya `lembu-lembu suci' atau orang putih kata `sacred cow' di kalangan orang-orang tertentu yang tidak boleh kita buat sesuatu terhadap mereka.

Saya hendak menyatakan kepada sidang perwakilan bahawa kerajaan hari ini berpendirian bahawa tidak ada sesiapa yang tidak boleh dikenakan tindakan terhadap mereka.

Kalau lembu itu dah berpenyakit, kalau lembu itu dah ada penyakit kuku dan mulut, maka eloklah lembu itu dikorbankan saja. Jadi, jangan bimbang kalau sesiapa buat salah, tindakan tetap akan diambil.

Saya nak sebut sedikit di sini tentang soal keazaman politik atau political will.

Dalam ucapan Presiden, telah disentuh soal kebocoran atau ketirisan yang mesti diberhentikan.

Kebocoran hendak diberhentikan mudah saja, tidak susah. Soalnya sama ada kita ada azam politik atau tidak. Apa nak kita buat pada orang yang pajak lesen, gadai lesen atau jual kontrak?

Saya nak tanya pada perwakilan apa yang kita hendak terhadap mereka. Tarik balik lesen? Suara perhimpunan kata tarik balik, kalau tidak tarik balik, gantung lesen mereka.

Kalaulah ini pun pukat yang saya kata hari tu sebagai Ali Siam. Bot (dan) lesen kita punya, orang lain buat tangkapan turun di Siam bukan di Malaysia. Kalau kontrak ada, di sub kepada orang lain dan sebagainya.

Kita mesti ada azam politik. Sampai bila kita hendak cakap tentang soal kebocoran?.

Kalau kebocoran terus berlaku, tidak tercapai matlamat DEB.

Maka atas suara perhimpunan ini, kalau kita perlu ambil tindakan, tindakan perlu diambil oleh kita.

Cuma saya harap tolong kalau terkena pada orang kita, harap faham-faham.

Janganlah datang dengan lembik leher, terlentok-lentok dan sebagainya kerana kita hendak menolong Melayu Bumiputera yang bersungguh-sungguh dalam perniagaan.

Saya fikir, sehubungan dengan ini elok kita adakan satu data bank, kita senaraikan bumiputera yang berkebolehan dan berpotensi.

Jangan kita senaraikan orang yang kita kenal sahaja. Tetapi kita mesti senaraikan bumiputera yang berkemampuan untuk menjadi usahawan yang berwibawa dan berjaya.

Sehubungan dengan ini, ada tiga model. Satu, ibarat naik lif. Cepat naik ke atas tapi rupa-rupanya kalau pengusaha cepat naik atas dengan lif, dia tidak tahan lama.

Timbul krisisnya dia lumpuh. Lagipun lif ini tidak ramai yang mahu naik.

Sebaliknya kalau mahu naik tangga, terlalu lambat hendak sampai ke atas. Jadi saya cadangkan, antara kita naik lif dan naik tangga, naiklah eskalator. Dengan cara ini, lebih cepat kita sampai dan Insya-Allah lebih ramai orang Melayu boleh sampai ke atas.

Saya hendak cakap sedikit soal pendidikan pelajaran tinggi. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah bercakap tentang pendidikan umum.

Saya hendak jawab mewakili rakan saya Datuk Dr. Shafie Salleh yang tidak berjaya dalam pemilihan lalu kerana katanya beliau calon Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Saya ambil maklum bahawa soal meritokrasi bukan sesuatu yang popular di kalangan masyarakat Melayu kita.

Namun demikian perangkaan mengenai kemasukan pada tahun 2005, menunjukkan bahawa meskipun kita menjalankan dasar meritokrasi, tetapi kedudukan orang-orang Melayu dalam bidang kursus kompetitif, masih lagi boleh dipertahankan.

Umpamanya dalam bidang perubatan, di semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA), bilangan bumiputera yang mendapat tempat ialah 59.7 peratus.

Dalam bidang pergigian, 60.5 peratus, kejuruteraan elektronik 65.6 peratus.

Dalam bidang kejuruteraan mekanikal, 62.5 peratus dan dalam bidang ekonomi, 51.8 peratus.

Ada juga bidang yang kita berkurangan sedikit. Umpamanya dalam bidang farmasi, 47.5 peratus dan bidang perakaunan, 42.6 peratus.

Saya ingin menyatakan di sini, pendirian kerajaan, kita akan memantau kedudukan orang-orang Melayu terutama sekali dalam kursus-kursus yang kritikal.

Kita tidak akan biarkan kedudukan ini merosot. Kita akan pastikan kedudukan orang Melayu dalam bidang-bidang ini berada pada tahap yang diterima oleh orang-orang Melayu.

Sehubungan ini, salah satu daripada institusi yang amat berjasa kepada orang Melayu ialah Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ini bermaksud bukan sahaja UiTM tetapi UiTM bererti Universiti Tolong Melayu atau Universiti Ini Tempat Melayu.

Oleh itu, pengambilan UiTM yang hari ini mencecah 100,000 sebagai satu usaha untuk membangunkan modal insan satu perkara yang amat ditekankan Presiden, maka kita bersetuju pada dasarnya, supaya jumlah 100,00 ini dinaikkan kepada 200,000.

Kalau tidak dapat dalam masa terdekat, biarlah dalam masa 10 tahun yang akan datang ini sebagai sasaran kepada kita, kalau boleh dapat lebih cepat.

Bercakap bagi pihak rakan saya, Datuk Khalid Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan berhubung peranan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Pengambilan pelajar oleh Mara pada tahun 2005 diperuntukkan pada tahun ini pula ialah sebanyak 649.3 juta.

Ini bagi meneruskan pembiayaan bagi 45,685 pelajar yang sedia ada dan tajaan baru sebanyak 648,700 ke luar negara untuk memperkasakan lagi kedudukan orang Melayu. Maka baru-baru ini kerajaan meluluskan peruntukan tambahan kepada Mara berjumlah 257.6 juta dan 257.6 juta ini, 10,662 pelajar akan diambil oleh Mara; 31,028 di institusi kepunyaan Mara dan 7,534 di IPTS bumiputera.

Inilah antara usaha yang kita lakukan.

Berhubung dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula, ia telah mengeluarkan pembiayaan kepada 645,468 pelajar di mana 75.9 peratus adalah bumiputera dan 24.1 peratus bukan bumiputera .

Nilai pinjaman pula ialah sebanyak RM8.5 bilion pinjaman adalah kepada IPTA dan IPTS.

Dari segi bayaran balik pula, setakat 31 Mei 2005 ini, sepatutnya bayaran balik ialah RM424 juta tetapi yang diterima hanya sebanyak RM129 juta sahaja.

Wakil dari Kedah, Kamal Saidin tadi telah mencadangkan beberapa langkah yang boleh diambil dan saya hendak katakan di sini bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan bekerjasama untuk membantu dari segi kutipan yang boleh kepada peminjam-peminjam melalui cukai pendapatan mereka.

Pihak PTPTN juga telah mengadakan rundingan untuk membuat potongan gaji dengan majikan.

Surat tahniah kepada mereka yang menjadi graduan akan dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, cuma bezanya surat tahniah dimasukkan satu ayat, `Jangan lupa bayar balik pinjaman'.

Dari segi peranan bank pula, bank tidak berminat kerana tidak berbaloi, katanya sebab banyak sangat kerja-kerja yang rumit, namun demikian kita akan terus berusaha untuk menambahkan lagi kutipan balik.

Seperkara lagi saya mahu sebutkan di sini, tentang subsidi minyak. Subsidi minyak pada 2004 iaitu subsidi minyak keseluruhannya dengan cukai yang tidak dapat dikutip jumlah subsidi semuanya ialah RM11.11 bilion pada tahun lepas.

Pada tahun ini, jumlah minyak terus berada di paras yang tinggi, beban subsidi akan meningkat pada RM16.8 bilion.

Jumlah RM16.8 bilion ini bererti, 60 peratus daripada perbelanjaan pembangunan yang terpaksa digunakan untuk subsidi dan subsidi bukanlah menguntungkan mereka yang kurang berada tetapi banyak pihak juga yang tidak sepatutnya mendapat faedah mendapat faedah.

Biar perkara ini dikaji oleh kerajaan kerana kita tidak sedar bahawa Malaysia walaupun hari ini merupakan pengeluar eksport minyak tetapi kalau tidak dijumpai `reserve' baru, mulai tahun 2009, Malaysia akan merupakan pengimport minyak atau `nett importer'.

Ini bererti kita tidak boleh bersandar terus menerus kepada sektor minyak.

Kalau tidak digunakan hasil minyak itu untuk membangunkan ekonomi negara, kita menyediakan pekerjaan-pekerjaan yang boleh menguntungkan rakyat negara kita.

Sebab itulah perkara ini sedang dikaji oleh kerajaan.

Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan sekalian, sidang perwakilan di negara Thailand misalnya, stesen minyak ditutup antara 9 malam hingga 5 pagi kerana hendak menjimatkan penggunaan minyak.

Begitulah juga dengan perkara-perkara lain, siaran televisyen ditutup di antara 10 malam, 12 malam hingga 6 pagi, langkah-langkah yang sangat drastik.

Di Indonesia, langkah sedang diambil untuk mengurangkan pengunaan alat penghawa dingin, lampu-lampu dan peralatan elektrik.

Alhamdulillah kita tidak perlu sampai ke tahap itu tetapi kita perlu sedar bahawa subsidi yang terlalu besar tidak boleh terus ditampung oleh kita.

Pada saya, lebih baik kita kurangkan subsidi tetapi subsidi digunakan untuk membina sekolah, membina jalan raya di kampung untuk menolong orang-orang susah daripada terus kita berbelanja untuk subsidi.

Sehubungan dengan itu, apa jua langkah yang akan diambil oleh kerajaan, satu golongan yang kita tetap akan melindungi ialah para nelayan di dalam negara.

Saya boleh memberi jaminan sekiranya kita menggubal satu sistem baru, para nelayan dalam negara kita terus dipertahankan supaya mereka terus mendapat bekalan minyak dengan harga yang berpatutan.

Seperkara lagi, atas jawatan saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan, saya mahu menyatakan bahawa saya amat berterima kasih kerana sidang perwakilan dalam perhimpunan ini telah menyatakan suara yang tegas untuk bersama-sama Presiden dalam membanteras politik wang atau rasuah.

Kita sedar, UMNO sebagai sebuah parti yang berkuasa, pemimpin UMNO juga adalah pemimpin kerajaan.

Kita memilih pemimpin mestilah di kalangan terbaik. Kita tidak boleh memilih pemimpin atas unsur yang selain daripada kebolehan mereka.

Jika pilih pemimpin selain daripada kewibawaannya, maka akan rosaklah masa depan bangsa kita.

Sebab itulah saya amat berterima kasih kepada perwakilan yang telah menunjukkan sikap yang positif.

Biarlah kita ambil iktibar daripada perkara yang sudah berlalu.

Biarlah kita jadikan semua itu sebagai sempadan. Marilah kita jadikan pemilihan akan datang sebagai pemilihan paling bersih dalam sejarah parti.

Insya Allah kita akan terus berusaha melakukan penambahbaikan kepada Lembaga Disiplin.

Kalau mahu kritik Lembaga Disiplin... Lembaga Disiplin ini ditubuhkan oleh Majlis Tertinggi, oleh kita.

Lembaga Disiplin tidak boleh lagi besar daripada Majlis Tertinggi. Majlis Tertinggi adalah kuasa yang terbesar.

Tetapi mereka adalah badan kehakiman yang menjalankan tugas bagi pihak Majlis Tertinggi.

Cubalah fikirkan kalau kita terpaksa mengadili kes-kes tertentu. Apa sahaja keputusan yang kita buat akan terus dipertikaikan kerana sesiapa yang ada jawatan politik mesti ada sesuatu kepentingan.

Kalau kita tidak melakukan keputusan atas kepentingan, orang akan melihat persepsinya kita ada kepentingan di sebalik sesuatu keputusan.

Jadi kita tubuh Lembaga Disiplin, kalau Lembaga Disiplin tidak betul perjalanannya, tolong `complaint' kepada Jawatankuasa Pengurusan, `complaint' kepada Majlis Tertinggi.

Tetapi jangan kritik secara terbuka kerana badan ini mesti kita jaga imej dan integritinya sebagai badan yang bebas dan dipercayai.

Itulah perkara-perkara yang saya nak sebutkan. Mudah-mudahan kita semua dengan semangat ini ingin melahirkan politik yang sangat bersih dalam parti kita dalam pemilihan akan datang.

Sama-samalah kita berusaha, sama ada di bawah dan juga di atas.

Mereka yang di atas ini pun sudah cukup faham mesej daripada Presiden, sudah cukup faham yang di atas ni, yang di bawah pun saya percaya dah faham juga.

Jangan letak mereka dalam keadaan serba salah.

Dalam pemilihan yang lalu ada saya terjumpa calon yang membebel seorang diri.

Saya ingat kepalanya tak betul. Saya dengar-dengar apa dia cakap. Nak bagi salah, tak bagi kalah.

Tapi tidak mengapa, orang kalau bercakap seorang diri dia belum gila lagi. Cuma jangan dia jawab balik sahaja. Kalau dia jawab balik, `confirm' dia gila.

Jadi kita jangan letakkan calon-calon kita dalam keadaan serba salah. Ada tu yang baik, tak nak buat tapi bila sampai masanya susah nak fikir, kalau-kalau tidak menang.

Jurucakap daripada Kedah, Datuk Md. Rozai Shafian sebut, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir jalan macam ni, tutup poket atas.

Tutup poket, jawabnya kalah. Ada pula perwakilan bila calon telefon (dia tanya) ini salam isi ke salam kosong? Kalau salam kosong Wassalam, undi pun melayang.

Jadi itu politik wang, jadikan sebagai sejarah. Kita dalam keluarga UMNO, marilah kita sama-sama berazam jadikan parti kita lebih mulia, lebih dihormati dan disegani oleh yang lain. Insya Allah.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya nak sebutkan di sini bila saya melontarkan konsep Melayu Glokal, saya nampak sambutan terhadap konsep Melayu Glokal ni sangat baik.

Sampai saya dengar khabar orang jual batik di bawah pun kata belilah batik ni, batik glokal dia kata. Tapi itu lain sikit dari maksud saya.

Sebenarnya sayu maksudkan Melayu Glokal ni Melayu yang cemerlang, hebat di dalam negara kerana kejayaannya, tetapi jati dirinya tetap berpaksi kepada Islam, budaya Melayu dan warisan pribumi kita.

Tetapi Melayu yang sama juga, kerana kebolehannya, kerana akalnya, kerana mindanya kuat juga diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berperanan di persada antarabangsa. Inilah Melayu Glokal.

Dan saya melontarkan ini kerana saya nak `compliment' bila Presiden dengan Melayu Unggul, dengan `Towering Personality' beliau, saya anggap Melayu Glokal ini `compliment' apa yang disaran Presiden parti.

Saya pada akhirnya nak sebut di sini, nak menyampaikan ucapan terima kasih kepada Ibu Pejabat UMNO, kakitangan Ibu Pejabat, Setiausaha Agung dan kepada Setiausaha Kerja UMNO kerana telah membuat segala persiapan yang begitu baik sekali.

Mudah-mudahan perhimpunan ini perhimpunan yang keramat. Kita ingat dalam kepala kita, kita muatkan dalam hati kita bahawa kita nak jadikan perhimpunan 2005 ini sebagai tanda kebangkitan orang-orang Melayu di bumi yang bertuah ini.

Terima kasih.



UCAPAN penuh penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Perhimpunan Agung UMNO ke-56 di PWTC, semalam.

ALHAMDULILLAH syukur kerana Perhimpunan Agung UMNO 2005 ini telah sampai pada hari akhir. Cuma saya perlu buat penggulungan seperti biasa.

Tempat berucap ini adalah tempat tradisi presiden parti, tempat Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menangis. Saya harap saya tidak menangis.

Saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana segala peraturan perhimpunan yang berjalan baik tanpa apa-apa `complaint'. Kali ini pun juga adalah perbahasan terbaik, alhamdulillah.

Perbahasan kali ini fokus terhadap apa yang telah kita laksanakan di samping ambil kira apa yang berlaku berkaitan dengan pemerintahan kerjaan kita.

Kerajaan parti kita, kejayaan parti dan juga yang ada hubung kait dengan sikap berhubung dengan cabaran di hadapan kita.

Inilah kali pertama parti kerjaan pimpinan UMNO berpeluang berbahas atas tajuk pembangunan dan usulnya untuk persiapan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang akan dilancar tahun depan.

Mungkin yang bahas tidak begitu sedari signifikannya, kita biasa juga bincang dasar-dasar kita, tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pembangunan Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara, kita bincang semua itu.

Tapi apa yang berlaku dulu ialah kita bincang setelah kerajaan memulakan pelaksanaannya. Dan lepas itu kita bincang dan beri sokongan.

Tetapi kali ini kita berpeluang, terutama sekali berbincang memberi pandangan pada waktu persediaan sedang dibuat oleh kerajaan untuk melaksanakan RMK-9.

Saya sebenarnya sudah terangkan sedikit pada masa ucapan perasmian sebelum ini untuk mengingati saudara, supaya jangan terlepas peluang ini, peluang untuk memberi sumbangan yang bermakna dan bererti.

Peluang untuk menegur dan membuat pembetulan ini sangat penting kepada kita kerana memasuki RMK-9 bermaknanya kita memasuki tahap kedua pelaksanaan Wawasan untuk mencapai 2020.

Alhamdulillah kita dapat banyak idea, saya dapat banyak idea, banyak yang saya catat dalam buku kecil saya.

Saya pastikan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad juga mencatat dan Setiausaha Kerja yang duduk di belakang pun mencatat, supaya selain daripada perkara-perkara yang terdapat dalam usul yang diluluskan, mungkin ada perkara-perkara yang walaupun terperinci tetapi masih penting dan perlu kita ingat, perlu kita peringatkan kepada kerajaan tentang perkara-perkara yang `detail' seperti ini.

Sama ada tuan-tuan, saudara saudari sedari atau tidak, bahawasanya apa yang berlaku dalam dewan ini, pemidato-pemidato yang sedang berbahas memberi idea, boleh dikata semuanya dirakamkan oleh TV UMNO yang menggunakan Internet untuk menyiarkan ke seluruh dunia.

Dan yang saudara juga perlu ingat apa yang Datuk Seri Radzi kata tadi sepanjang perhimpunan kita hingga hari ketiga ini, kita telah dapati begitu ramai hingga 1.5 juta yang ikuti dalam Internet, apa yang sedang berlaku di dewan kita bukan saja di dalam negeri, tapi di luar negeri di Amerika, Eropah dan negeri yang berdekatan dengan kita, termasuk Australia sampai ke New Zealand dan yang saya tidak thau apa nak sebut perasaan saya, saya hanya tersenyum apabila dimaklumkan sebuah negeri yang juga akses TV UMNO ini ialah Israel.

Mungkin Israel tidak perlu mendengar apa yang berlaku dalam dewan ini, mengambil tahu apa yang sedang dibincang dalam Perhimpunan Agung UMNO kerana kita tidak ada hubungan diplomatik dengannya, tetapi ia masih ingin tahu apa yang berlaku, niat dan tujuannya.

Tetapi kita sudah boleh buat satu kesimpulan , maknanya ramai orang tetap berminat dengan apa yang berlaku dalam Perhimpunan Agung UMNO pada hari ini.

Soalnya mengapa mereka berminat? Mereka berminat kerana kita sudah jadi satu parti politik yang bukan hanya penting, dalam Malaysia ini tetapi juga penting dan penuh diperhati seluruh dunia terutama oleh negara-negara sahabat.

Sebagai sebuah parti yang mengamalkan demokrasi yang dengan kemenangan dan sokongan yang diperolehi daripada rakyat dalam pilihan raya, kepimpinan parti dijadikan dipilih untuk menjadi ketua kerajaan, maka langsung terus menjadi ketua negara, bukanlah bermakna Yang di-Pertuan Agong, tapi itulah yang dimaksudkan dan juga ramai para pemimpin yang juga mempunyai jawatan-jawatan yang penting.

Dan secara nyata, secara fakta yang betul, sejarah kerajaan Perikatan dulu, sejarah kerajaan Barisan Nasional (BN) sampai hari ini di bawah parti BN, mereka tahu bahawasanya peranan utama memimpin kerajaan adalah dari parti kita, parti UMNO.

Maka dengan memerhati UMNO, mendengar apa yang dicakap oleh para pemimpin, di samping mendengar apa yang dicakap oleh para perwakilan, pihak-pihak luar sudah boleh membuat andaian tentang sama ada parti kita ini kuat dan teguh atau tidak, sama ada parti kita ini masih berpengaruh atau tidak.

Dan yang penting sekali tentulah mereka mahu mengintai mendengar apakah rancangan kita sekarang dan pada masa akan datang.

Apa yang akan kita lakukan? Apakah perkara yang berkaitan dengan perhubungan luar kita? Apakah pendekatan-pendekatan yang ingin kita ambil dalam pembangunan ekonomi kita, sebab kerajaan Malaysia pada hari ini mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan dengan begitu ramai negeri-negeri yang ada, yang menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambahan pula kita mempunyai berperanan mengetuai Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan sedikit masa lagi mengetuai ASEAN.

Ini yang membuat orang mungkin berminat kepada kita.

Mereka berminat mendengar pandangan-pandangan kita sebab nanti penilaian yang mereka buat mereka mahu tentukan apakah pendekatan yang mereka hendak lakukan.

Sama ada mereka hendak meningkatkan lagi hubungan baik dengan kita, melonggarkan dan mengendurkan, sebab tidak ada apa-apa lagi pada kita yang boleh menguntungkan mereka ataupun memutuskan hubungan dengan kita itu bergantung kepada penilaian yang mereka lihat terutama semasa kita bersidang seperti mana yang berlaku terutama hari ini.

Apa yang saya kata ini benar juga kerana semalam semasa saya meninggalkan persidangan ini terpaksa bertemu dengan perwakilan parti-parti yang datang dari negara lain saya jumpa mereka dan mereka semua meminta diberi kebenaran untuk membaca surat-surat tahniah dan kerelaan untuk turut bekerjasama dengan kita daripada semua yang datang mesej yang dibawa oleh kepimpinan parti mereka.

Selepas berkesempatan berbincang, saya amat terharu, mereka menghargai perhubungan mereka dengan kita, mereka mengucapkan terima kasih kerana menjemput mereka datang ke Malaysia dan menjadi tetamu kita pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO ini.

Mereka lihat apa yang berlaku dan daripada pandangan-pandangan yang diberikan kepada saya mereka kagum, bahasa Inggeris : they certainly very impress dengan cara kita menyusun, mengatur, mengendalikan majlis kita dari peringkat mula hingga selesai majlis perasmian itu.

Mereka juga telah membuat komen tentang ucapan saya berikan dan telah menarik perhatian mereka tetapi satu perkara yang saya juga rasa amat gembira kerana topik Islam Hadhari itu menjadi topik popular yang disebut oleh mereka bukan sahaja dari negara Islam tetapi negara bukan Islam juga menyatakan betapa penting Islam Hadhari ini.

Setiap hari kita cuba menerangkan dasarnya kepada rakyat yang berada dalam negara kita dan di mana sahaja saya berpeluang pergi ataupun pemimpin lain pergi.

Tengah hari tadi Tan Sri Abdul Hamid Othman telah memberitahu saya bahawa dalam satu seminar yang diadakan di Jordan baru-baru ini katanya saudara boleh `check' dengan Pergerakan Pemuda UMNO yang menghantar perwakilannya juga bahawa Islam Hadhari memang menarik perhatian dan Raja Al Malek Jordan turut memberitahu bahawa beliau berasa begitu senang hati kerana kita mengambil inisiatif memulakan usaha-usaha untuk memperkenalkan dan menerangkan Islam Hadhari yang dianggap satu pendekatan yang baik untuk kemajuan umat Islam di masa hadapan.

Apa akan jadi pada Islam Hadhari bukan hanya bergantung kepada apa yang kita akan lakukan di luar negeri.Di mana saya pergi saya diminta memberi ucapan, saya sedia memberi ceramah mengenainya, mereka dengar dan mereka terima tetapi yang lebih penting lagi sejauh manakah pendekatan Islam Hadhari itu dapat dilaksanakan di negeri kita sendiri.

Inilah yang mereka mahu tengok dan sambutannya akan jadi benar-benar bermakna mungkin pendekatannya itu digunakan oleh mereka hanya apabila mereka lihat di negara kita sendiri pendekatan itu kita gunakan dengan baik dan ia telah menjadikan kita umat Islam rakyat Malaysia yang maju berjaya dan negara Malaysia yang membangunkan, maju dan makmur.

Itu bukan sekadar kepetahan kita bercakap untuk memperkenalkan Islam Hadhari di luar negeri.

Banyak diperkatakan dalam perbahasan kita, memang banyak kata ucapan yang saya berikan, semua orang dengar dan saya mendengarnya dan ahli-ahli kita yang datang ke sini yang menjadi wakil dalam dewan yang menjadi pemerhati di merata tempat di bilik-bilik yang menyediakan kemudahan komunikasi teknologi maklumat (ICT) untuk mereka mengikuti apa yang berlaku dalam dewan kita ini.

Seperti apa yang saya cakap bukan sahaja untuk UMNO tetapi pandangan-pandangan yang saya berikan juga ditujukan kepada bangsa Melayu dan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Saya mengambil sikap tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan dan tidak ada sebab kita nak sembunyikan dan lebih baik kita terang dan jelas supaya orang memahami apa kehendak kita itu dan kita terangkan dengan jelas bahawa yang kita mahu dalam pembangunan negara Malaysia ini ialah orang Melayu ada tempat, kita mahu apabila negara kita maju biar orang Melayu juga jadi bangsa yang maju pada waktu itu.

Tiada perkara boleh dipersalahkan, kita tidak berniat untuk mengambil hak orang, kita tidak berniat untuk merampas hak kaum lain.

Sejarah pembangunan negara kita tidak ada bukti-bukti merampas hak orang lain untuk kita jadi senang dan kaya.

Tidak ada peristiwa-peristiwa di mana kita menolak mereka, kita ambil hak mereka tidak pernah berlaku.

Apa yang kita usahakan dengan kebijaksanaan yang ada pada kita itu ialah membangunkan ekonomi ini dan membangunkan kedudukan ekonomi bangsa Melayu bumiputera.

Itu yang kita lakukan dan kita berjaya dan bukan kita tidak berjaya langsung kalau ambil kira kedudukan orang Melayu pada hari ini dan dibandingkan dengan kedudukan kita dulu memang telah jauh bezanya.

Kita menyuarakan pandangan-pandangan yang melambangkan dan mengingati semangat DEB itu.

Semangat DEB itu bukan sekadar `detailnya' dan sasaran-sasaran yang ditentukan sahaja, tetapi sebenarnya adalah semangat yang membuktikan bahawa perancangan DEB itu adalah untuk memajukan orang Melayu supaya dalam negaranya ia menjadi bangsa yang bermartabat tinggi.

Itulah intipatinya. There is only method, yang lain hanya pendekatan tertentu dan mesti diambil dari semasa ke semasa.

Matlamatnya kita mahu jadi bangsa yang maju, berjaya dalam negara kita yang merdeka ini.

Tidak ada erti suatu masa sampai tahun 2020 apabila negara kita ini menjadi maju kita pula meminta tangguh sekian tahun sebelum Melayu pula boleh diisytiharkan sebagai bangsa yang maju.

Kita harap tidak akan berlaku perkara itu.

Maka dengan itu apa yang perlu dalam hal ini tanpa menguraikan panjang, mahu bercakap tentang apa saudara telah bercakap tentang hal itu, saya ingin menyatakan bahawa Alhamdulillah Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri secara terbuka membuat pengumuman akan bersama saya dan rakan-rakan yang lain. Kita mahu pastikan apa yang kita rancang, kita laksanakan dan pastikan kejayaan itu diperolehi.

UMNO ingin memantau saya tiada sebarang penegahan, jika UMNO mahu mengambil tahu apa yang berlaku, jika UMNO ingin tahu setakat mana kejayaan kita boleh teruskan sebab cara kita cara yang terbuka.

Kita tidak berselindung di balik apa-apa tabir.

Itu adalah pendekatan kita dan saya harap juga pihak yang bukan keturunan Melayu bumiputera tidak akan berasa apa-apa perasaan yang mereka rasa bimbang, tidak ada perasaan tidak senang hati dengan orang Melayu.

Saya sebut ini sebab apabila saya dimaklumkan ada juga suratkhabar yang berbahasa Cina yang ada juga cara-cara penulisannya itu membayangkan sesuatu perkara yang mereka tidak senangi dan ada sedikit-sedikit menimbulkan hal-hal yang berkaitan dengan perkauman kata mereka.

Saya mahu jelaskan di sini apa yang kita dibincangkan hari ini bukan isu perkauman, bukan isu nak berkonfrantasi dengan mana-mana kaum, bukan mahu menidakkan hak-hak kaum lain yang terjamin dalam perlembagaan yang kita pertahankan.

Apa yang kita lakukan ini hanya sebagai usaha yang kita harap lebih gigih lagi bagi mencapai kemajuan Melayu yang dihasratkan oleh DEB itu.

Masalahnya kita menghadapi satu kedudukan kerja itu belum selesai. Kita nak menyelesaikan kerja yang belum selesai lagi.

Saya ingin menyatakan dengan tegas di sini. Jangan sesekali mana-mana surat akhbar menimbulkan isu perkauman dalam hal ini.

Kerajaan yang kita pimpin pada hari ini adalah perkongsian bersama dengan kaum-kaum lain dalam BN , adalah kerajaan bertanggungjawab.

Kerajaan yang memahami apakah yang baik untuk masa depan kita bagi rakyat Malaysia, apakah yang baik untuk negara kita ini, kita sama-sama mendokong semua dasar termasuk dasar untuk memberi segala bantuan kepada orang Melayu bumiputera yang ada di negara kita ini.

Faham baik-baik, ini dasar kerajaan.

Dalam ucapan perasmian saya, tidak pernah saya marah kaum lain, tak pernahkan? Saya hanya buat teguran kepada kaum saya sendiri,

Kerana saya mahu orang Melayu, bangsa saya menjadi bangsa yang maju dan tidak mengharapkan bantuan dari mana-mana pihak.

Saya yakin kawan-kawan kita, kepimpinan parti-parti dalam BN akan sama-sama memahami dan bersedia berdiri dan menjelaskan hal ini kepada ahli-ahli parti mereka sendiri.

Supaya tidak ada perselisihan sesama kita dalam perjuangan kita bersama mencapai matlamat wawasan 2020.

Dalam hal ini, dengan ketegasan yang kita ambil, apa yang akan kita laksanakan, kita mahu juga yang penting yang sama penting dalam hal ini bahawa parti UMNO mesti juga berperanan bukan sekadar menyatakan, menyuarakan sokongan yang setia dan taat setia tetapi kita semua perlu bekerja kerana ini tugas kita bersama.

Sebelum ini saya telah nyatakan bahawa amat penting bagi parti kita, semasa saya buat ucapan sempena Hari UMNO dulu, saya telah menyatakan jika sekiranya kita mahu memartabatkan bangsa kita, kita perlu memperkasakan UMNO dulu. Jadikan UMNO itu kuat, teguh dan bersatu.

Kita mesti mendahului. Kita tidak berhak untuk menegur dan mengatakan apa-apa pada orang lain, bangsa kita, jika sekiranya kita sendiri belum memperbetulkan apa yang perlu kita lakukan.

Tanya diri kita sendiri dulu. Adakah kita telah melaksanakan apa yang dihasratkan daripada lafaz yang kita berikan dalam dewan ini.

Usul yang telah sama-sama kita luluskan tadi. Sudahkah kita melaksanakan dengan terbaik? Sudahkah kita memberi kepimpinan yang terbaik kepada rakyat melalui penyertaan kita dalam pelbagai jawatankuasa pembangunan yang wujud pada semua peringkat.

Kita sendiri, bagi yang sudah mula berniaga, berusaha, bekerja sebagai guru, menjadi bapak yang ada anak-anaknya yang hendak dibesarkan.

Apakah telah kita tunjukkan bahawa ahli UMNO memberi kepimpinan melalui teladan.

Kalau kita belum maju, apa hak kita untuk kritik orang lain kerana kurang majunya mereka. Kalau kita belum berjaya, bagaimana kita nak menegur orang lain untuk mengesa supaya mereka berjaya.

Kita cakap tadi, kita mahukan orang Melayu itu yang berwibawa, yang unggul, `caring personality', glokal dan sebagainya.

Kalau itu yang kita mahu, mengapakah tidak kita perlu usaha supaya tiap-tiap seorang daripada kita menjadi seorang yang berwibawa, yang maju dan berjaya.

Kita jangan sesekali teragak-agak untuk menerima cabaran ini untuk menjadi yang terbaik.

Saudara-saudari boleh menjadi guru yang terbaik, nelayan, petani, boleh jadi ahli korporat yang terbaik, boleh jadi pengurus terbaik.

Kita semua ada peranan masing-masing pada tahap-tahap tertentu dan dalam sektor-sektor tertentu.

Tidak ada sebarang pengecualian bahawa mereka yang terlibat dalam sektor ini tidak perlu cemerlang atau mereka yang terlibat dalam sektor ini sahaja yang perlu cemerlang.

Tidak begitu, merit dan kecemerlangan boleh dicapai dalam apa juga bidang yang kita pilih, termasuklah menjadi seorang pemain bola.

Mainlah dengan betul, jadi penjaga gol yang terhandal di benua Asia ini, kalau nak main bola.

Jadilah penyerang gol yang terhandal sekali seperti Allahyarham Mokhtar Dahari pada masa dulu.

Ini makin lama, makin lembik, tak tahan lama.

Mengapa dulu biasa jadi juara, hari menjadi pengikut. Kalau dulu juara, hari ini tidak, erti kita tak tahan lama.

Kita tak mahu imej Melayu, imej tak tahan lama, hangat-hangat tahi ayam.

Tadi seorang yang memberi ucapan tadi, reaksi saya dan Datuk Seri Najib spontan dan sama pula.

Baru-baru ini, saudara mencabar kita menjadikan pendidikan itu satu jihad, baik pandangan orang muda itu.

Mencabar kita supaya kita sendiri atas nama UMNO, kesedaran ahli UMNO betapa pentingnya pendidikan itu kita mahu wujudkan tabung khas.

Tuan-tuan kalau tepuk, bukan main tepuk lagi, dua kali dia tanya betul ke, betul...tepuk lagi hebat.

Alhamdulillah, itulah perasaan saya dan saya tidak berkongsi perasaan itu dengan Datuk Seri Najib atau sesiapa.

Hari ini, saya dengan Johor cakap. Dah ada orang cakap, kita kenalah juga minta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) buat sumbangan kepada tabung ini.

Apa makna tu? Bila duit banyak dari GLC, tak payah kita bayarkan? Mungkin maknanya begitu, saya harap tidak.

Jadi mula-mula dah takut kita tak sampai, tak dapat wujudkan tabung itu dengan secukupnya.

Kata Datuk Najib, kemudian, nak bayar yuran pun berat, macam mana nak bayar RM10.

Ini hanya menyuarakan perasaan pemimpin tuan-tuan.

Kalau kita nak buktikan kita boleh buat dan kita benar-benar serius, jangan mungkir janji, laksanakan apa yang dicadangkan itu dan yang telah kita bersetuju dengannya.

Dah janji dah, orang dengar, orang dah tengok dalam televisyen, seluruh dunia dah tengok, anak-anak kita yang berada di negeri-negeri lain, itu sekali buka, ini akses kepada kita punya TV UMNO nak dengar.

Alhamdulillah, mereka kata begitu. Tiba-tiba, tak jadi. Ini cerita orang Melayu nak buat tak jadi ni, janganlah UMNO mendahuluinya. Amat tak baik.

Jadi kita laksanakan semua ini.

Yang kedua, dengar pula nak buat Universiti UMNO.

Saya jawab, tak payah buat Universiti UMNO, pastikan Universiti Tun Razak menjadi universiti yang maju dan berjaya.

Universiti Tun Abdul Razak, Bapa DEB. Jangan kita menghampakan dia setakat itu pun tak boleh buat.

Tak payah sebut UMNO kita boleh laksanakan, itu pun kata orang Utara, pi mai pun duduk dari KUB tapi KUB pun daif pada masa ni.

Jadi, kita kena perbetul KUB baik-baik supaya tak ada lembu putih dalam KUB ini. Macam mana mai lembu putih pun tak tahu.

Yang mai lembu putih ni saya ada tadi, Datuk Radzi Sheikh Ahmad, hang tahu lembu suci tu lembu putih brahman, itu lembu brahman.

Semua lembu brahman putih. Itu lembu suci `the sacred cow'. Itu agaknyalah.

Tapi, Datuk Seri katanya, nak korban, mana sah korban lembu putih? Tak sah korban.

Itu korban dalam makna istilahnya.

Makna istilahnya tak boleh lah, korban cara lain daripada itu bolehlah.

Jadi, sesungguhnya pendidikan itu amat penting, tidak perlu saya ulang lagi berkali-kali kerana pembangunan tenaga modal insan itu amat penting.

Apa yang kita mahu semua ini? Dalam konteks apa yang kita mahu semua ini?

Kalau kita cakap pasal Islam Hadhari, kita nak menjadikan umat kita umat yang maju dan berjaya.

Maka, dengan itu, kita boleh jadi, kita perlu jadi, ummah yang terbaik. Syarat menjadi ummah yang terbaik dan lakukan yang makruf dan tinggalkan yang mungkar dan menjadi seorang yang beriman.

Itu ummah terbaik, kita nak ummah yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Itulah umat yang terbaik yang dimaksudkan dalam ayat suci Al-Quran dan kita menggunakan pendekatan Islam itu, pendekatan yang terbaik untuk kemajuan, keamanan, kebahagiaan.

Tidak ada langsung disuntik sebarang bentuk jenayah ataupun tindakan melampau, tidak.

Tetapi syarat menjadi ummah terbaik, maka dalam ummah itu mesti ada kekuatan dan kekuatannya mestilah ilmu pengetahuan yang secukupnya.

Ilmu pengetahuan yang secukupnya mesti ada kerana merupakan satu daripada pendekatan yang digunakan dalam Islam Hadhari.

Dan dengan ilmu pengetahuan, akan lahir kekuatan di kalangan kita, fulul al-baq, ahli fikir, ahli saintis dan ahli teknologi.

Mereka yang akan menjadi perancang dan pemangkin pembangunan ummah.

Sebab itulah, sebenarnya setelah diambil iktibar dari kemajuan orang Islam pada zaman dulu, yang menjadi umat Islam penyumbang kepada tamadun insan.

Ialah kehadiran para cendekiawan, para ilmuwan, para saintis, para teknologi yang ada pada masa itu.

Itulah yang menjadi umat Islam begitu cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bukan sekadar kita melakukan ibadat fardu ain kepada kita, itu kerja kita, kewajipan kita sebagai orang Islam.

Yang mengagumi yang bukan Islam adalah kekuatan yang telah dapat pun kita bina berasaskan ilmu pengetahuan, sains dan teknologi dan ramai ahli fikir yang terbilang pada zaman itu.

Tidak ada orang lain yang menandingi mereka pada masa itu.

Inilah yang memberi kekuatan kepada orang Islam pada masa itu.

Yang menjadikan mereka sebagai satu ummah yang ada resilience, ada ketahanan, yang kerananya itu tentu sekali telah memberi kekuatan kepada pertahanan mereka.

Kerana dengan kekuatan itu mereka bersedia menghadapi apa juga musuh-musuh mereka dan musuh-musuh Allah.

Bagaimana yang diterangkan dengan jelas, itulah ummah khatabbul minhum dalam ayat terakhir.

Jadi itulah yang kita mahu dapat dan kita mesti mengkikis segala-galanya yang ada sebarang notion, sebarang persepsi yang tidak baik, yang kita dengar banyak sangat orang mengata kepada kita, yang imej Melayu ini, wajah Melayu tersebar luas bagi orang yang membaca.

Saya diberi beberapa artikel, dia suruh Pak Lah pi tengok baca ni, apa orang dulu kata kepada dia, orang putih mengata memanglah.

Yang bukan orang putih, orang kita pun ada juga.

Satu daripadanya, Dr. Frank Swettenham.

Saya baca, pendek sajalah, tak sampai seminit.

Frank Swettenham yang menjadi Gabenor Jeneral, dulu orang putih, misalnya menggambarkan orang Melayu sebagai baik hati, alhamdulillah, pemurah, alhamdulillah, berhati-hati dengan orang asing tanpa menunjukkan secara zahir namun orang Melayu juga dianggap pemboros, suka hutang tapi liat membayar.

Dulu tahun berapa Frank Swettenham cakap ni?

Pada masa itu pun ada orang yang tak bayar hutang, macam mana ni?

Harap-harap ini jangan jadi budaya Melayu.

Mereka pandai berhias, suka berperibahasa, bijak membandingkan dan suka bergurau, macam kita dalam dewan ini.

Kadang kala bukan selalu dapat. Berkecindan dan berlawak jenaka.

Mereka mempunyai minat, mereka berkecenderungan terhadap hidup, kesan luarnya dan sering terlanjur dengan perbuatan mengumpat.

Mereka beragama Islam dan suka berserah pada nasib di samping mempercayai perkara yang karut-barut.

Memanglah, ini memang mengaku ni.

Percaya Islam tapi hantu percaya, perkara karut percaya.

Ada kucing lima, berkaki lima, keluar suratkhabar, suratkhabar Melayulah, Utusan masuk, Berita Harian masuk.

Ayam tiga kaki masuk.

Ada orang kata itu membawa rahmat, membawa kebaikan.

Macam-macam, dah percaya kepada Tuhan pun minta lagi, percaya kepada hantu, minta hantu tolong.

Tak boleh menang cara baik, minta hantu tolong.

Ini berlaku tak di dalam pemilihan UMNO?

Kadang-kadang ada orang beritahu saya juga depa berjalan jauh pergi ke negeri lain, pi belah utara itu, menyeberang cari apa pun tak tahu. Jadi tak usah buat cara itu ... tak usah, tak elok.

Teraniaya kawan, siapa suruh... pasal benda itu tak elok. Semalam saya dah baca ayat, siapa yang hendak kemuliaan, jangan buat kerja macam ini.

Secara semula jadinya mereka gemar bersukan. Orang Melayu dianggap pemalas dan tidak menepati waktu. Orang Melayu mudah bersinggung, pendendam, melempiaskan perasaan marah sehingga boleh mengamuk.Itu betul lah tu. Bahasa Inggeris tak ada perkataan mengamuk, dia kata amuk. Ini dia pinjam daripada orang Melayu. Kata lagi, ya Allah.. macam-macam. Orang putih mengata kita macam-macam.

Tapi ada juga dari Abdullah Munsyi. Abdullah Munsyi pun biasa mengatakan bahawa kita ini melihat orang Melayu semakin lama semakin bodoh.

Eh... tak betul dah tak betul... tak betul. Sekarang kita dah maju pada hari ini. Alhamdulillah, sekarang dah ramai yang dah pandai pun. Disebabkan tindakan kezaliman raja. Oooo... pasal itulah jadi bodoh.

Raja kita raja berperlembagaan, tidak ada kezaliman pada mereka. Abdullah... ni bukan saya ni... Abdullah Munsyi mengibaratkan orang Melayu sebagai tanah yang tidak berbaja. Jadi tanah yang tidak berbaja tidak subur. Pasal itu seorang ulama di Kedah, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Merbok, dia rajin berceramah. Tiap-tiap kali berceramah dia buat pantun. Satu pantun yang sampai hari ini saya dengar walaupun saya dengar masa saya kecil dulu.

Orang Melayu ada harta, tak erti ambil geran pergi rumah ceti, Hidupnya seperti pohon kayu dalam hutan

rang Melayu diibaratkan seperti ikan kecil dan menjadi makanan ikan besar

Lepas tu, Usman Awang. Ini saya seronok baca. Boleh jadi ada orang yang dah baca dah, saya nak baca juga.

Usman Awang Sasterawan Negara.

Beliau bermadah dalam sajaknya.

``Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan

Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah

Kecut takut kerana benar

Janji simpan di perut

Selalu pecat di mulut

Biar mati adat jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu

Banja juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu

Keturunan Aceh adalah Melayu

Jakun dan Sakai asli Melayu

Arab dan Pakistan semua Melayu

Mamak dan Malbari serap ke Melayu

Malah mualaf pun beriktiraf Melayu

Dalam sejarahnya, Melayu itu pengembara lautan

Melorongkan jalur sejarah zaman

Begitu luas daerah sempadan

Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya

Hias kata bidal pusaka

Akar budi bersulam daya

Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak

Terlalu ghairah pesta temasyanya

Sedangkan kampung telah tergadai

Sawah sejalur tinggal sejengkal

Tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga

Tangan masih memegang tali

Sedang orang mencapai timba

Berbuah lah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenali universiti

Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu

Menikam dengan pantun

Menyanggah dengan senyum

Marahnya dengan diam

Merendah bukan menyembah

Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tetapi jika marah, tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk, telinga dijinjing

Maruah dan agama dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali

Silaturahim hati yang murni

Maaf diungkap sentiasa bersahut

Tangan dihulur sentiasa bersambut

Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan

Selagi yang ada sanggup diberikan

Sehingga tercipta sebuah kiasan

Dagang lalu nasik ditanakkan

Suami pulang lapar tak makan

Kera di hutan di susu-susukan

Anak di pangkuan mati kebuluran

Bagaimanakah Melayu abad ke-21''

Osman Awang tulis pada tahun 1999. dia sudah cakap Melayu abad ke-20

``Masihkah tunduk tersipu-sipu

Jangan takut melanggar pantang

Jangan pantang menghalang kemajuan

Jangan segan menentang larangan

Jika yakin kepada kebenaran

Jangan malu mengucapkan keyakinan

Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana

Memegang tali, memegang timba

Memiliki ekonomi, mencipta budaya

Menjadi tuan di negara merdeka''

Itulah Usman Awang, jadi kalau tadi saya katakan kita perlu berwajah baru. Berwajah baru tidak ada lagi label-label yang tidak baik yang dikenakan kepada kita tetapi dengan wajah baru, kita perlu dikenali dengan kejayaan kita. Kejayaan ini akan diperolehi, wajah kita akan lebih dikenali jika sekiranya dalam masyarakat itu lebih ramai yang maju dan berjaya. Ramai para cendekiawan, saintis dan ahli teknologi.

Ramai usahawan yang maju dan berjaya. Jika itu yang boleh kita capai, selain daripada kejayaan kita dalam politik dan pemerintahan, Insya Allah, kita akan jadi bangsa yang berwajah baru, dinamik dan disegani oleh kawan dan lawan.

Jadi apa yang kita telah bersetuju sama-sama hari ini untuk kita lakukan, kita pasti lakukan dan saya hendak nyatakan kepada saudara di sini iaitu selain daripada apa yang hendak dilaksanakan oleh UMNO dari segi mewujudkan pemantauan, kita perlu juga, saya juga perlu sebagai Perdana Menteri untuk mengukuhkan lagi perkhidmatan awam supaya perkhidmatan awam tidak jadi penghalang kepada pemangkin kepada usaha-usaha untuk membangunkan bangsa.

Saya akan pergi ke mana saja ingin pergi dan melihat apakah projek-projek yang sedang dijalankan dan mungkin tak akan beritahu sesiapa. Saya pergi secara tergempar. Tapi kadang-kadang pemimpin UMNO, wakil rakyat, Pak Lah nak mai kena bagi tahu Pak Lah. Mai senyap-senyap, surat khabar tak tahu, apa tak tahu, tak jadilah macam tu. Saya kata, apa pasal? Yang saya nak pi, nak tengok projek, dak! macam ni Pak Lah, kalau Pak Lah habaq nak mai, senanglah, kami bawak kat tempat jalan tak dak, ni Pak Lah nak mai, depa bagilah. JKR akan buat jalan, pejabat DO akan semua tolak pasal Perdana Menteri nak datang. Jadi senanglah kami kalau macam tu, tiap-tiap kali Perdana Menteri datang kita dapat satu jalan, tiap-tiap kali Perdana Menteri datang, masjid yang tak elok akan jadi elok

Tapi, itu bukanlah cara saya. Kita perlu jayakan pembangunan kita dan saya berharap Menteri Besar (MB) yang juga Ketua Perhubungan UMNO juga dapat memainkan peranan penting dalam hal ini.

MB ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Jika semua kita bermuafakat, Insya Allah, kita akan jadi bangsa yang maju dan berjaya. Ini yang menjadi harapan saya, perkara itu yang akan saya usahakan dan saya amat-amat berterima kasih kerana kesediaan kawan-kawan untuk membantu tetapi yang juga saya mengharapkan sangat ialah kesediaan saudara-saudara semua untuk membantu kami dalam hal ini.

Kejayaan yang hendak kita cari bukan untuk saya. Kejayaan yang kita cari adalah untuk bangsa dan negara.

Mudah-mudahan Allah s.w.t akan merahmati kita semua. Kita dengan itu perlu menjaga diri kita semua supaya kita sentiasa berada dalam keadaan berkemampuan untuk menjalankan kerja kita.

Banyak kawan-kawan telah mengucapkan, Pak Lah syabas Pak Lah, buat lah yang terbaik.

Banyak kawan-kawan telah mengatakan Pak Lah syabas, Pak Lah buatlah yang terbaik, banyak juga telah pun sampaikan, beritahu pada Kak Endon yang tidak berada di sini.

Ada yang beritahu emak dia tolong doa untuk Endon, ada yang beritahu katanya di masjid mereka pun ada juga upacara-upacara doa selamat untuk Endon.

Saya beritahu pada Endon dan dia minta saya sampaikan salam dan terima kasih kepada semua yang telah pun berdoa.

Kepada yang telah mengaminkan doa yang telah dibaca oleh saudara Hamzah Zain pada hari pembukaan yang amat mengharukan saya sebenarnya mudah-mudahan Insya Allah dia akan sembuh kembali.

Tidak adalah perkara yang lorat pada waktu ini.

Endon telah pun menjalani rawatan kemoterapi.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Mohd. Najib, timbalan saya, sekretariat, setiausaha, setiausaha Kerja dan pembantu-pembantu mereka, para-para perwakilan dan saudara sekalian.

Kepada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap yang kali pertama menjadi Timbalan Pengerusi, saya ingat Badruddin Amiruldin sudah tahu kerenah semua orang di bawah ini kerana dia yang paling handal.

Tapi pada hari ini sehandal-handal dia, dia tidak boleh lawan dengan Ustaz Kamal.

Ini orang Kedah kata sudah bertemu buku dengan ruas.

Walau bagaimanapun saudara sudah berjaya, saya ucapkan tahniah. Terima kasih kepada Pengerusi.

Dan akhir kalam saya minta supaya kita sentiasa ingatkan Allah s.w.t dalam perjuangan kita, kita sudah pun merancang dan dengan azam kita hendak melaksanakannya.

Kita bertawakal kepada Allah s.w.t supaya memberi kekuatan kepada kita ini kerana kehendak Allah kepada kita supaya berdoa kepadanya.

Sekiranya manusia tidak mahu berdoa kepada Allah s.w.t dia rasa dia tidak perlu berdoa kepada Allah s.w.t sebenarnya dia tergolong dalam orang yang sombong dan termasuk dalam golongan orang munafik orang yang sesat kerana sombong dan tidak mahu berdoa kepada Allah s.w.t kerana yakin segala yang dilakukan akan menjadi belaka.

Kita sebagai orang Islam sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t mudah-mudahan kita dilindungi daripada segala yang tidak baik.

Semasa saya merasmikan perhimpunan ini saya mengunjurkan kita semua membaca surah al-Fatihah, jadi pada penutup ini kalau boleh kita semua membaca surah Al-Asr'.

Kita tidak mahu jadi golongan yang lalai tetapi kita mahu jadi sedar dan segar, melaksanakan tanggungjawab dan ingat Allah banyak-banyak, bersyukur kepadanya atas nikmat yang kita peroleh.

Dan akhirnya kemenangan menjadi milik kita Insya Allah dan akhir sekali selawat kepada Nabi dan mukminin, al-Fatihah.

Assalamualaikum w.b.t.





END