Sunday, October 24, 2010

#PAU2010


Perhimpunan Agung UMNO ke 61 berlansungkan pada 19 Oktober 2010 sehingga 23 Oktober 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur..

Agenda Perhimpunan

Presiden Parti UMNO, YAB Datuk Seri Mohd.Najib bin Tun Hj.Abdul Razak membuat ucapan dasarnya sempena perasmian Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Dewan Merdeka yang bertajuk 'Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran'. Antara agenda yang dicanangkan adalah kemestian UMNO untuk mempertahankan Putrajaya dari pembangkang serta menggalas misi kerajaan melalui Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan Enam NKRAnya serta Pelan Transformasi Ekonomi atau ETP.
 
Timbalan Presiden Parti UMNO pula merasmikan secara serentak tiga sayap UMNO iaitu sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Mengusulkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang berperanan sebagai badan pemantau dan penyelaras agenda golongan itu. Ia bertujuan mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (BCIC) yang betul-betul berjaya.


Datuk Seri Najib Razak, melancarkan buku bertajuk "Jawapan Najib" yang dihasilkan berdasarkan teks ucapan terpilih sepanjang beliau menerajui kerajaan mulai 3 April 2009. Buku terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) itu dipasarkan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Mandrin dan Tamil .



19 Oktober 2010, Dewan Merdeka Putra world Trade Centre Kuala Lumpur , Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden Umno menyampaikan amanatnya pada majlis taklimat tertutup pada pukul 3 petang di Dewan Merdeka, PWTC, yang turut dihadiri oleh anggota Majlis Tertinggi Umno, Exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta Ketua-ketua Bahagian.
Perhimpunan Agung kali ini, yang akan berlangsung selama lima hari, melibatkan 4,907 perwakilan.


19 Oktober 2010 @ 8.00 malam hari Selasa bersamaan 11 Zulkaedah 1431 Hijrah, berlangsung sekali lagi Perhimpunan Agung Umno 2010 dengan majlis perasmian serentak tiga sayap Umno iaitu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Presiden Umno di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Marilah kita dahului dengan sembah tahmid kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. atas nikmat kurniaan-Nya bagi membolehkan kita bersama-sama untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) bagi tahun 2010 pada malam ini. 2. Inilah kemuncak pertemuan para perwakilan daripada tiga sayap penting parti UMNO dari seluruh pelusuk tanah air bagi menzahirkan suara akar umbi, yang mahu melihat bangsa dimartabatkan, Islam didaulatkan, negara dipertahankan dan 2 perjuangan parti berkelangsungan. 

Inilah perhimpunan yang mewakili suara rakyat – suara keramat. Inilah perhimpunan yang mempasakkan muafakat perjuangan.
Pisang sesikat sayur sebelanga
Tanda muafakat makan bersama
Gunung yang tinggi sama didaki
Lurah yang dalam sama dituruni
Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicicah
Alang-alang menyeluk pekasam
Biar sampai ke pangkal lengan

Alhamdulillah, hari ini UMNO telah mula berubah. Telah wujud kesedaran baru dalam minda kepimpinan dan ahli-ahli parti, baik dari segi psikologi dan gerakerja. Telah berlaku perubahan dalam gaya kepimpinan, pindaan terhadap perlembagaan parti, transformasi dalam kerajaan yang diterajui, pendekatan baru pengurusan ekonomi pertiwi dan kesedaran baru tentang hubungan kaum melalui Barisan Nasional.

Dalam nafas semangat kesatuan dan perubahan ini juga, marilah kita menjengah kembali bagi menghayati matlamat asal perjuangan UMNO seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti. Fasal 3 Perlembagaan UMNO menegaskan bahawa “UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara”. Ini termasuklah;
(i) mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara; 
(ii) mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri- Negeri dan Raja Berperlembagaan; 
(iii) menegak, mempertahan dan mengembangkan I slam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama; 
(iv) mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial demi mengamalkan sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat M elayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya; 
(v) menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu; dan 
(vi) mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak asasi manusia dan hak-hak istimewa orang M elayu dan Bumiputera. 

Ini berbeza dengan sikap parti-parti pembangkang. Mereka tidak mempunyai landasan perjuangan. Sebab itulah, setiap kali mendengar dentuman guruh politik di langit, maka tiap kali itulah juga mereka bergegas membuang air di tempayan, merubah citra dan pendekatan, sehingga melupakan matlamat asal parti masing-masing. Mereka caca marba, seperti sesumpah yang kerap bertukar warna, sanggup menjadi penglipur lara, yang mendongengkan cerita. Matlamatnya mudah, semata-mata untuk mendapatkan laba politik yang sementara sifatnya, hingga sanggup menggadai maruah negara, menjadi pengkhianat di pentas antarabangsa, dan mencerca sesama bangsa. 
Kepada mereka kita ingatkan pesanan Pak Hamka:
Berapa pula penjual negeri
Mengharap emas perak bertimba
Untuk keuntungan diri sendiri
Biarlah bangsa menjadi hamba

UMNO tidak begitu. UMNO tetap istiqamah dengan sumpah perjuangan. UMNO tidak pernah tergelincir daripada landasannya. Benar, perubahan politik membawa pembaharuan dalam pendekatan; tetapi ianya sama sekali tidak mencabut roh perjuangan dari jasad dan sanubari UMNO. Roh perjuangan tetap mekar dalam sanubari UMNO; dan terpancar dalam setiap tindakan dan pendirian parti. Bagi UMNO, kuasa hanyalah alat untuk mencapai matlamat perjuangan parti yang murni.

akinlah, bahawa UMNO tidak akan berganjak daripada landasan perjuangannya yang asal, yang difahami oleh keluarga besar Barisan Nasional. Kita tidak mahu menjadi parti yang lemah semata-mata kerana terpaksa tunduk kepada kehendak orang lain.

Bagi UMNO, mempertahankan perjuangan membela agama, bangsa dan negara adalah prinsip awlawiyat (keutamaan) yang paling besar. Pokoknya, UMNO tidak pernah dan tidak akan menjadi hamba kepada kuasa. 



Atas dasar ini, UMNO sejak dari awal lagi telah memilih landasan perjuangan sebagai parti nasionalis Melayu yang inklusif. UMNO menerima hakikat kepelbagaian ras sebagai sesuatu yang fitrah dan sahih. UMNO mengakui bahawa dalam sebuah negara majmuk, kerukunan hidup hanya boleh dicapai sekiranya semua kaum mendapat jaminan hak yang sah dan berpeluang mengecap nikmat kemakmuran secara adil. Justeru itu, UMNO berjuang membela nasib bangsa Melayu dan memartabatkan agama Islam tanpa mengabaikan hak dan kepentingan kaum-kaum lain. Melalui Jawatankuasa Perhubungan Kaum (Community Liaison Committe) yang ditubuhkan sebelum merdeka, para pemimpin UMNO terdahulu, bersama dengan pemimpin MCA dan MIC, telah berunding untuk menentukan hak dan kedudukan kaum-kaum di negara ini selepas merdeka. Mereka berbincang secara jujur dan telus dengan satu tujuan iaitu untuk mencapai kesepakatan dalam membina sebuah negara majmuk yang merdeka dan bersatu padu. 

Dalam konteks ini, politik berasaskan kaum yang diamalkan oleh UMNO bukanlah satu bentuk politik perkauman atau politik rasis. Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain. Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ianya zalim kepada kaum lain. Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan UMNO, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis. UMNO sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan hak Melayu sepertimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan pada masa yang sama menghormati hak dan kepentingan kaum-kaum lain. UMNO tidak pernah membolot kekuasaan politik dan nikmat ekonomi untuk kaum M elayu sahaja. 

Pemimpin-pemimpin UMNO sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat ekonomi dengan kaum-kaum lain adalah jalan terbaik untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan dalam sebuah negara majmuk.

Lantaran itu, kita tidak perlu apologetik apabila memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu dan Bumiputera. Sejarah menjadi saksi bahawa apabila UMNO memimpin, bukan sahaja orang Melayu yang mendapat nikmat, malah semua kaum beroleh manfaat. Kita juga tidak perlu apologetik untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu, bangga menjadi seorang Melayu, menjunjung adab dan tatasusila Melayu, mempertahankan warisan budaya M elayu, selagi mana kita berlaku adil kepada semua. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Hujrat, Ayat 13: Yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). 





Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
 
Jelas dalam ayat ini manusia itu secara fitrahnya dijadikan berbagai keturunan dan berbangsa-bangsa. Tetapi ukuran sebenar kemuliaan seorang insan bukanlah ketaksuban kepada bangsanya, tetapi ketakwaan kepada Allah s.w.t. Dan sesungguhnya, berlaku adil kepada semua adalah tanda ketakwaan bagi orang-orang yang beriman. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-M a’idah, Ayat 8: Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. 


Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO adalah sayap-sayap parti yang sentiasa setia kepada perjuangan parti, sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada parti. Saudara dan saudari tidak pernah jemu menjulang panji-panji parti di setiap medan perjuangan. Dalam setiap pilihanraya, dalam setiap program parti, saudara dan saudari sentiasa menjadi jentera penggerak utama.

Pemuda dengan Jelajah One M alaysianya; Wanita dengan Jalinan Rakyatnya; Puteri dengan Voguenya; kesemua program ini telah digerakkan di atas kudrat dan iltizam saudara dan saudari. Untuk itu, tidak sempurna ucapan saya jika saya tidak mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejituan semangat dan daya juang saudara saudari sekalian.

Kalau ke bukit sama mendaki
Kalau ke laut sama berenang
Kalau kita bersatu hati
Kerja yang berat menjadi senang

Marilah kita memperkukuhkan kesatuan hati, memperteguhkan kesatuan minda, memperkuatkan kesatuan amal dan membulatkan kesatuan matlamat dalam wadah perjuangan suci UMNO. Marilah kita memberikan sokongan padu kepada YAB Presiden untuk menjayakan pembaharuan di dalam parti dan kerajaan. Marilah kita berikan keyakinan, kepercayaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada YAB Presiden untuk memperkukuhkan parti dan mengangkat martabat perjuangan UMNO.  


20 Oktober 2010 , Dewan Tun Hussien Onn Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur - sekali lagi menyaksikan Perhimpunan Agung Pergerakkan Wanita UMNO seluruh Negara seramai 793 perwakilan yang hadir bagi menunaikan tanggungjawab sebagai Ahli Pergerakan itu yang mana Perasmian telah dilaksanakan oleh YAB Timbalan Presiden semalam. Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan memulakan sesi persidangan wanita dan perwakilan  akan membahaskan usul usul yang dibangkitkan.


Alhamdulillah saya amat bersyukur kepada Allah SWT dengan limpah izinNya dapat kita semua berkumpul pada pagi yang penuh barakah ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, para solihin, siddiqin serta para mujahidah, mujahidin di dalam negara aman dan maju, Wanita UMNO bersemangat dan bersatu padu. Saya juga berdoa semoga ahli keluarga kita berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.
Kesejahteraan juga saya doakan kepada para pejuang kemerdekaan Tanah Melayu bumi berdaulat ini, serta kesemua pejuang negara yang berbilang kaum dan agama, terutamanya pejuang UMNO dan wanitanya di mana sumbangan mereka kita amat menghargai. Tanpa mereka siapalah kita, perjuangan mereka yang diintisarikan dengan sulaman air mata serta tenunan benang pengorbanan tentunya tidak akan kita biar lapuk dek zaman atau dipersiakan. Kitalah pewaris nusa dan bangsa. Satu amanah yang kita pikul dengan penuh tanggungjawab.


Para hadirin sekalian,
Bagi pihak barisan kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, saya ingin mengalu-alukan semua perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO Malaysia 2010. Puan-puan mewakili 1,382,219 ahli Wanita UMNO dari 191 bahagian di seluruh negara. Selamat Datang saya ucapkan kepada para tetamu khas dan kepada para pemerhati yang hadir. Kita menanti dengan debaran hati, amanat Presiden UMNO, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Najib Tun Razak esok hari sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010. Terima kasih kepada Timbalan Presiden UMNO, Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia malam tadi.
Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Yang Berbahagia Tan Sri Napsiah Omar, Pengerusi Tetap, Yang Berhormat Senator Dato’ Hajah Saripah Aminah Syed Mohamed, Timbalan Pengerusi Tetap, Dato’ Kamilia Ibrahim, Naib Ketua Wanita UMNO, barisan pegawai-pegawai dan ahli Exco serta semua kepimpinan Wanita UMNO di bahagian dan cawangan yang sentiasa memberi sokongan kepada saya untuk menjalankan tugas yang telah diamanahkan. 

Tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar yang menerima Anugerah Nadi Negara di bawah naungan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. Kepada semua tenaga pendidik dan ibubapa, tahniah dan syabas saya ucapkan! 


Alhamdulillah, sudah 63 tahun Pergerakan Wanita UMNO Malaysia melebarkan sayapnya. Dalam masa itu, kita telah mengalami perubahan-perubahan besar serta kemajuan yang luar biasa terutama dalam bidang pembangunan wanita dan keluarga. Wanita UMNO kekal menjadi tonggak parti dan negara, kandungkan saka, lahirkan baka, bangunkan keluarga, didik anak bangsa, jaga rumah tangga, kembangkan nilai agama. Walaupun naluri Wanita UMNO selembut sutera, tetapi semangat kita tetap waja. Halangan, rintangan, risiko – macam-macam kita hadapi. Cabaran politik tidak sedikit pun menggetarkan wanita dulu, kini dan InsyaAllah selama-lamanya. 

KEJAYAAN PERJUANGAN WANITA
Atas semangat ini, sukacita saya maklumkan bahawa sejak kali terakhir kita berhimpun pada tahun 2009, Wanita UMNO telah mencatat beberapa pencapaian. Suara Wanita UMNO mendapat perhatian pucuk pimpinan parti. Pindaan Perlembagaan UMNO telah mengarus-perdanakan suara dan penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan induk dan bukan di peringkat sayap sahaja. Di antara lain:
seorang lagi Wanita telah dilantik ke Majlis Tertinggi menjadikannya dua orang, berbanding sayap lain yang kekal satu orang sahaja. Perkembangan yang sama juga telah dilaksanakan di peringkat Jawatankuasa Bahagian dan Cawangan di seluruh negara.
di peringkat Bahagian, semua ketua-ketua wanita Cawangan kini secara automatik adalah perwakilan ke Mesyuarat Perwakilan Bahagian.


Saya pasti puan-puan akan menentukan hajat dan hasrat wanita, berhubung isu-isu wanita dan keluarga, berkumandang melalui 20,342 cawangan di seluruh negara. Saya amat memahami – ini bukan satu perkara yang mudah. Tetapi saya yakin dengan keberanian dan komitmen puan-puan akan menentukan isu-isu tersebut tidak terlepas pandang. SKUAD SAYANG DAN JALINAN RAKYAT

KEIKHLASAN DALAM POLITIK
Para perwakilan yang dihormati sekalian,
Hari ini, Wanita UMNO tetap komited kepada perjuangan UMNO untuk Agama, Bangsa dan Negara. Agenda Melayu yang berpayungkan Gagasan 1Malaysia akan menjadi perjuangan asas kita bagi menentukan UMNO terus menjadi tulang belakang Kerajaan Barisan Nasional. Perjuangan UMNO inilah yang menjadi harapan, impian dan aspirasi seluruh bangsa Melayu. Pemimpin dan ahli UMNO mesti bersatu-padu, bertekad untuk menentukan bangsa Melayu tidak berpecah-belah yang akan membawa kepada kelemahan minda, kemunduran peradaban dan kehancuran bangsa Melayu. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Sebagai Ketua Wanita UMNO, saya menyeru agar puan-puan sentiasa berpegang kepada tradisi terbaik Pergerakan kita. Kebijaksanaan kita harus melebihi segala-galanya. Apabila kita berdiam, biarlah diam itu berisi. Apabila kita berbicara, biarlah bicara kita didengari. Apabila kita bertindak, biarlah tindakan kita berhasil. Apabila tindakan berhasil, manfaatnya berpanjangan. Pencapaian kita jelas dilihat semua. Marilah kita membuktikan hakikat ini sekali lagi pada 2 pilihan raya kecil yang berjalan serentak di Dewan Undangan Negeri Galas dan Parlimen Batu Sapi tidak lama lagi, dan juga Pilihan Raya Umum ke-13 kelak. 


MEMBANGKITKAN KEMULIAAN MELAYU
Wanita UMNO – selaku ibu, isteri, anak, pemimpin – kita mesti kembalikan kemuliaan ke dalam perjuangan kita. “We must return nobility to every part of our struggle.” Jurang di antara rakyat kita berlaku kerana kita sebagai satu masyarakat, termasuklah semua pemimpin politik, telah alpa dengan intipati perjuangan asal politik Melayu, iaitu: kewajipan, tanggungjawab dan khidmat kepada rakyat. Nasib kerajaan bergantung kepada nasib rakyat “Our fate as a Government rests entirely upon the fate of our people.” Setiap daripada puan-puan yang hadir pada hari ini, setiap ahli Wanita UMNO, adalah pemimpin Nasional. Dan hanya melalui khidmat setia kita, maka UMNO dan Barisan Nasional mampu meraih kembali sokongan daripada rakyat jelata. Kewajipan, tanggungjawab dan khidmat, telah sekian lama menjadi prinsip asas UMNO sama ada di era kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mahupun di zaman kepimpinan Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak.
Rakyat Malaysia mestilah terdiri daripada bangsa yang bersikap positif, berilmu, berpengetahuan, berpengalaman, berjaya, berwawasan, beretika, bertanggungjawab, berdisiplin, mempunyai nilai-nilai yang terpuji, minda yang terbuka, berdaya bersaing, dan tidak gentar menyahut cabaran. Sebenarnya inilah yang sepatutnya menjadi azam Wanita UMNO.
Kita Wanita UMNO harus memupuk dan memimpin negara bangsa berdisiplin, beriman dan berintegriti. Sifat-sifat inilah yang merupakan rukun istilah kehebatan mana-mana bangsa. Bukan kesombongan, kebencian, perkauman atau keserakahan, yang sebenarnya adalah sifat-sifat imperialis yang sudah lama kita tolak. Kita telah terlalu banyak berkorban demi perjuangan untuk tanahair tercinta ini. Andai kata kita sekarang ini memalingkan muka dari seruan ini yang asli, tulen dan benar, nescaya kita akan mengkhianati darah dan sejarah sendiri.


WANITA DAN TRANSFORMASI EKONOMI NEGARA
Para perwakilan yang dihormati,
Alhamdulillah, pada saat genting ini, perjuangan kita mendapat suntikan semangat di bawah kepimpinan Dato’ Sri Najib selaku Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengilhamkan beberapa tonggak utama untuk Kerajaan iaitu Gagasan 1Malaysia – “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”; Model Baru Ekonomi; Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA); Bidang Keutamaan Ekonomi Negara (NKEA) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan yang terbaru Bajet 2011 - “Transformasi ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi”. Kesemua inisiatif Kerajaan ini telah dirancang dengan teliti oleh Perdana Menteri untuk memberi manfaat kepada rakyat khususnya, termasuklah wanita. Justeru, wanita perlu menggunakan kekuatan minda, modal intelek serta daya kreativiti dan inovasi untuk bersama-sama mentransformasikan Malaysia bagi mencapai status negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi. Wanita adalah kuasa ekonomi dan aset penting kepada negara yang dapat menentukan kejayaan Program Transformasi Kerajaan dan seterusnya mewariskan kepada generasi yang akan datang.
Kunci kepada formula kejayaan menyeluruh ini ialah kesaksamaan gender. Pendekatan pembangunan bermatlamatkan kesaksamaan gender mahupun “gender equity” dapat memastikan wanita dan lelaki bebas membangunkan keupayaan dan potensi masing-masing dan membuat pilihan tanpa ada halangan dari segi stereotaip gender, peranan gender yang rigid, serta prejudis. Kesaksamaan gender mahupun “gender equity” tidak bermakna bahawa wanita dan lelaki menjadi sama rata, ataupun hak mana-mana gender diabaikan. Sebaliknya, pendekatan ini digandingkan dengan “gender equity” sebagai perantara, di mana layanan dan peluang yang adil diberi berdasarkan keperluan, kepentingan dan aspirasi yang berbeza antara wanita dan lelaki. 


WANITA DI PERINGKAT PEMBUAT KEPUTUSAN
Para hadirin sekalian,
Malaysia amat berbangga dengan pencapaian kaum wanita dalam pelbagai bidang. Di antara yang terserlah ialah bidang pendidikan, ekonomi dan kesihatan. Pada tahun 2009, peratusan pelajar wanita di peringkat diploma adalah sebanyak 59.1%, peringkat ijazah pertama adalah 62.5% dan peringkat sarjana 54.2%. Di peringkat pembuat keputusan dalam bidang akademik di sektor awam, 2 orang wanita menyandang jawatan naib canselor universiti (10%), 11 orang (19.6%) sebagai timbalan naib canselor, manakala pensyarah bertaraf profesor seramai 366 orang (22.5%) dan 1,349 orang lagi (37.4%) bertaraf professor madya.
Dalam bidang ekonomi, aspek pengupayaan ekonomi wanita dijadikan agenda utama di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW). Justeru, di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), melalui inisiatif 1AZAM, golongan wanita diberi latihan untuk membolehkan mereka menceburi dan berjaya dalam bidang keusahawanan. Dalam tempoh Januari 2009 hingga September 2010, seramai 4,550 orang usahawan wanita telah berjaya dilahirkan.
Penyertaan wanita dalam tenaga buruh walaupun perlahan tetapi telah meningkat daripada 45.7% pada tahun 2008 kepada 46.4% pada tahun 2009. Antara usaha bagi menggalakkan wanita dan yang merupakan kategori latent workforce, Peraturan Kerja Separa Masa (Part Time Regulations) telah digubal untuk memberi fleksibiliti dan beberapa faedah kepada mereka yang berminat untuk bekerja, tetapi bukan secara sepenuh masa. Komitmen Kerajaan untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh jelas dilihat dengan penetapan sasaran peningkatan kepada 55% dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh. 



Saya bertekad untuk mengajak Wanita UMNO bersiap sedia untuk memperjuangkan peranan yang lebih bermakna di dalam parti dan kerajaan. Saya sudah menjadi ahli UMNO selama 30 tahun. Saya tahu bahawa di kalangan Wanita UMNO ramai yang mempunyai bakat dan potensi yang menunggu untuk digilap sekiranya diberi peluang. Kalau UMNO tidak mahu ketinggalan zaman, maka isu gender politik mesti diambil secara serius dan dihayati di semua peringkat. Saya dan Ahli Exco Wanita mesti berani memperjuang dan menyediakan ‘prasarana’ dan ‘lebuh raya’ untuk wanita melonjak ke satu tahap kepemimpinan yang membanggakan, misalnya menjadi menteri besar, ketua menteri, pengerusi perhubungan negeri dan jawatan-jawatan tinggi dalam parti. Ia akan dijadikan warisan saya untuk Wanita UMNO keseluruhannya pada zaman serba moden dan progresif ini. Jika Wanita UMNO bersiap sedia, dan kita menang Pilihanraya Umum ke-13, saya percaya ia tidak mustahil boleh berlaku di era kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak kerana beliau seorang “visionary” yang mampu dan berani untuk mengupayakan wanita. 

Saya menyeru kepada semua ahli Wanita UMNO Malaysia, marilah kita sama-sama terus bermuafakat; berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bergerak seiring melakar kejayaan, merealisasikan gagasan 1Malaysia.

Sedia berkhidmat, sedia berkorban
Gigih, berani, setiakawan
Roda berpusing, beralih zaman
Obor wanita penggerak wawasan

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah, Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh, dan Selamat Bersidang.



20 Oktober 2010 , Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur - Ucapan Dasar Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin Abubakar dihadapan 795 orang perwakilan yang hadir dari seluruh Negara melambangkan keutuhan dan kekuatan Pemuda UMNO yang akan menjunjung martabat orang orang Melayu dimasa mendatang.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kerana dengan rahmat dan izin-Nya dapat kita semua berkumpul di Dewan Merdeka yang penuh bersejarah di pagi yang berbahagia ini bagi urusan Perhimpunan Agung tahunan kita, selaras dengan lunas-lunas demokrasi, perlembagaan dan tradisi parti.
 

Kita bersidang sekali lagi bagi menilai dan membahas bukan sahaja pencapaian kita dan parti kita bahkan hala tuju dan garis panduan perjuangan seterusnya. Di atas landasan ini, adalah diharapkan agar apa yang kita kerjakan diterima sebagai ibadah dan semoga kita dilimpahkan taufik dan hidayah oleh Allah SWT.



Sebagai sebuah organisasi politik yang berteraskan pencapaian, halatuju Pemuda UMNO perlu diukur dengan beberapa petunjuk prestasi, selaras dengan saranan YAB Timbalan Presiden semasa ucapan perasmian beliau pada tahun lepas.  Secara khususnya, antara petunjuk prestasi politik yang menjadi kayu ukur kepada keberkesanan kita adalah pertambahan ahli dan juga sokongan pengundi muda terhadap UMNO dan Barisan Nasional.
Sukacita saya maklumkan bahawa semenjak penggal baru ini, Pemuda UMNO adalah penyumbang keahlian baru yang terbesar kepada parti, berbanding sayap-sayap lain dan parti induk sendiri, dengan pertambahan sebanyak 41,663 ahli, yang membentuk 43 peratus daripada keseluruhan ahli baru.  Walaupun kita boleh merasa bangga dengan perkembangan ini, saya harap usaha Pemuda di setiap cawangan dan bahagian akan dapat dipertingkatkan lagi, kerana ada sesetengah bahagian yang hanya umpama melepas batuk di tangga dengan penambahan bilangan yang begitu kecil sekali. Setiap bahagian perlu mengambil tanggungjawab untuk meningkatkan jumlah pertambahan ahli baru seterusnya mendaftar mereka sebagai pengundi.
 
Sebagai parti gerakan massa, kita sememangnya memerlukan penglibatan besar dari anak-anak muda di peringkat akar umbi.  Saya tidak mahu dengar lagi kes-kes di mana terdapat mereka yang mahu menyertai UMNO terpaksa menunggu beberapa tahun kerana karenah birokrasi dan juga sabotaj politik daripada mereka yang merasa terancam dengan kedatangan bakat baru.  Saya telah berjuang untuk memastikan Ketua Pemuda Cawangan dapat menandatangani borang keahlian baru demi memudahkan anak muda menyertai UMNO.  Pindaan ini perlu dimanfaatkan dengan usaha yang menyeluruh dan berterusan agar kekuatan jumlah keahlian kita dapat ditambah.
 



Kita telah melihat bermulanya bibit perubahan positif pengundi muda dengan beberapa siri pilihanraya kecil.  Di Manek Urai, Bagan Pinang dan juga Hulu Selangor, keputusan dari saluran-saluran muda menunjukkan satu anjakan penerimaan generasi muda kepada UMNO dan Barisan Nasional. Di Hulu Selangor contohnya, kita telah memenangi 30 saluran pengundi muda pada pilihanraya kecil yang lalu berbanding hanya 11 dalam pilihanraya umum 2008. Pastinya ada beberapa faktor yang membawa kepada perubahan ini.  Tetapi apa yang dapat kita halusi daripada semua keputusan ini adalah kebangkitan UMNO dan Barisan Nasional dalam pertimbangan pilihan politik generasi muda, antaranya, hasil dari usaha Pemuda dalam memenangi hati mereka. 


Harus diingat bahawa kira-kira 80 peratus atau hampir 3 juta daripada pengundi baru pada pilihanraya umum akan datang terdiri dari pengundi muda. Peratus undian mereka dijangka naik daripada 41 peratus pada pilihanraya umum ke-12 kepada 49 peratus pada pilihanraya umum ke-13 nanti. Ini selari dengan dapatan kajian kita yang menyatakan bahawa 75 peratus orang muda merancang untuk keluar mengundi pada pilihanraya akan datang. Pada masa yang sama, kajian kita juga mendapati bahawa 62 peratus daripada mereka adalah kelompok atas pagar yang hanya akan memilih parti dan calon yang dianggap terbaik.
 

Kita mesti menerima hakikat bahawa pengundi muda sekarang boleh menilai antara retorik dan servis, wayang tinggi atau usaha yang jujur dan ikhlas.  Politik yang seringkali hanya bermodalkan retorik, demonstrasi, membuat laporan polis dan mendesak kerajaan untuk menangkap sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan pemikiran politik kita, walaupun sesuai dalam konteks tertentu, tidak lagi digemari oleh anak-anak muda. Kemungkinan besar, cara berpolitik begini hanya akan mengakibatkan mereka pergi lebih jauh dari kita. 


Peredaran zaman juga menuntut kita mencorakkan kepimpinan muda yang lebih terbuka dan progresif, yang disegani oleh setiap lapisan masyarakat dan juga semua kaum dan agama.  Ini juga konsisten dengan politik moderat atau siyasah wasatiyyah yang diamalkan oleh YAB Presiden UMNO sendiri. Politik kontemporari juga tidak lagi mengizinkan kita untuk bergantung kepada politik teka-teki di mana strategi dicongak hasil telahan sendiri tanpa merujuk kepada pandangan dan buah fikiran kumpulan sasar. Kebangkitan pengundi muda menuntut cara dan halatuju baru.
 

Pendekatan ini telah kita lunaskan melalui satu proses penglibatan ataupun engagement process yang sebelum ini tidak pernah dibuat oleh Pemuda secara tersusun, sistematik dan terperinci. Bermula dari idea cetusan Presiden sendiri, Pemuda Barisan Nasional telah mewujudkan Makmal Generasi Muda atau BN Youth Lab untuk lebih memahami hati naluri anak muda Malaysia serta aspirasi, harapan dan kebimbangan mereka. 

Beberapa saranan telah dicetuskan dalam Makmal ini yang merangkumi pelbagai aspek seperti perumahan, pendidikan, penjagaan anak-anak dan ibu bapa, gaji minimum, pinjaman PTPTN, pinjaman perniagaan dan harga barangan. Alhamdulillah, semasa pembentangan Belanjawan 2011, Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan telah mengiktiraf suara anak muda negara yang di bawa oleh Pemuda BN dengan memasukkan ke dalam belanjawan beberapa cadangan penting dari 

Makmal Generasi Muda:-
 
Pertama: Skim Rumah Pertamaku bagi membantu golongan muda yang baru bekerja dan berpendapatan kurang daripada RM3 ribu sebulan memiliki rumah dengan lebih mudah;
 
Kedua: Penubuhan Dana Belia 1Malaysia bagi tujuan pembangunan generasi muda dan pelaksanaan program bercirikan semangat 1Malaysia dengan peruntukan RM20 juta;

Ketiga: Komitmen Kerajaan ke arah gaji minimum melalui penubuhan  Majlis Konsultasi Gaji Negara;
 
Keempat: Peruntukan dana RM474 juta bagi meningkatkan kemahiran melalui pelbagai institusi latihan bagi golongan bukan siswazah seperti lepasan sekolah; dan

Kelimanya: Perluasan skop pelepasan cukai sedia ada bagi perbelanjaan menghantar ibu bapa ke pusat jagaan harian serta kos penjagaan mereka.


Bahkan, buat pertama kalinya dalam sejarah, inisiatif Pemuda disebut dan diberikan pengiktirafan dalam ucapan belanjawan negara. Ini adalah sesuatu yang amat kita hargai. Yang lebih penting lagi, ramai anak-anak muda yang telah kita bantu melalui  pelaksanaan dasar-dasar ini. Dalam isu gaji minimum, lebih daripada 6 juta pekerja muda akan diangkat martabatnya dengan pendapatan yang lebih setimpal. Manakala Skim Rumah Pertamaku pula memberi harapan dan juga peluang kepada ramai orang muda yang mungkin sebelum ini tidak mampu memiliki rumah sendiri. Saya juga telah dibanjiri dengan ratusan pesanan penghargaan di atas usaha Pemuda yang telah menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada mereka. Inilah dia perjuangan kita, pejuangan sejati demi generasi muda. Pemuda sebagai hati naluri, wadah aspirasi, jurubicara dan juara kepada semua anak Malaysia. 
Suka juga saya umumkan bahawa gelombang gerak kerja Pemuda yang seterusnya adalah bagi mengatasi masalah pengangguran di kalangan generasi muda. Kita tidak mahu pada ketika negara menuju ke arah status berpendapatan tinggi, masih ramai yang masygul dan melarat kerana tiada pekerjaan. Untuk itu, kita akan padukan agenda ini dengan pelbagai inisiatif yang meliputi perjuangan bagi skim insurans pengangguran generasi muda bagi mereka yang diberhentikan, penumpuan ke arah latihan bagi meningkatkan kemahiran dan penganjuran ekspo kerjaya bagi menemukan antara majikan dan pencari pekerjaan
Apa yang diperlukan hari ini adalah politik yang berteraskan pemikiran dan idea.  Gelanggang siasah semasa tidak lagi memberi ruang kepada pertembungan kuasa semata-mata tetapi juga persaingan minda dan pertempuran idea – a battle of ideas.  Suka tak suka, mereka yang mencabar ideologi politik kita perlu kita depani di pentas politik yang bertunjangkan ilmu, agar mereka dapat kita tewaskan dengan kekuatan hujah dan ketajaman intelek, bukannya bergantung kepada kuasa eksekutif semata-mata.
 Justeru, usaha mendampingi mereka juga mesti melalui pendekatan berpaksikan pemikiran dan pandangan yang lebih kritis dari era dahulu. Kita tidak boleh menyumbat mereka dengan propaganda berat sebelah. Kita perlu mengamalkan budaya inklusif yang menghargai partisipasi belia dan remaja; dan bukan lagi budaya politik dari atas ke bawah atau top down. Anak-anak muda ini mempunyai idealisme dan pandangan tersendiri dan cara untuk memenangi hati golongan ini adalah dengan melibatkan mereka secara langsung dalam proses pembinaan negara.
Firman Allah SWT di dalam Surah Ali Imran, ayat 159 mengingatkan kita:
Yang bermaksud:  Maka adalah sebahagian daripada rahmat dari Allah (yang melimpah-limpah) bahawa engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (para Sahabatmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.  Oleh itu, maafkanlah (cacat-cela) mereka, dan pohonkanlah keampunan bagi mereka; dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan-urusan (yang penting).  Kemudian. Apabila engkau telah berazam (membuat keputusan), maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.


Pasang lilin jalan ke taman
Hari malam gelap gelita
Pemuda bukan tamak jawatan
Kami pejuang nusa dan bangsa

Buah kurma berlambak-lambak
Orang memesan sini dan sana
Keris bertempur disapu minyak
Pokok ditanam ditabur baja
Apa yang cuba disimpulkan di sini adalah antara matlamat dan cara.  Pemuda UMNO merupakan harapan bangsa – dulu, kini dan selamanya.  Tetapi harapan kita untuk bangsa adalah kejayaan yang hakiki dan kemajuan yang sejati. Kita mahu melahirkan naratif baru untuk orang Melayu yang tidak hanya sekadar tertumpu kepada mempertahankan hak, kedudukan dan keistimewaan.  Kita perlukan naratif yang lebih berani demi mencapai kejayaan yang tidak kita kecapi sepenuhnya sebelum ini.

Oleh itu, marilah kita mengakui dan menginsafi bahawa naratif baru ini tidak sesekali mengubah matlamat kita. Apa yang ingin ditekankan ialah cara bagaimana Bumiputera dapat diperkasakan, melalui pembaharuan kepada suatu agenda bangsa yang lebih segar dan relevan. Hari ini, kita ketepikan manhaj lama yang tidak memberi kejayaan menyeluruh kepada kita dan menerima pendekatan baru bertunjangkan merit dan keperluan yang akan membina keupayaan dan kapasiti bangsa tanpa melembabkan kerancakan ekonomi negara. Kita mahu melahirkan lebih ramai usahawan, teknokrat dan  profesional yang mempunyai swadaya dan tidak mengharapkan bantuan dan ehsan Kerajaan, yang berdikari, berdiri di atas kekuatan mereka sendiri. Kita bukan bangsa subsidi tetapi kita bangsa yang punya harga diri. Kita mahu mengantarabangsakan kemampuan bangsa agar tidak terbatas dengan kebergantungan kepada keistimewaan dan kuota di dalam sempadan negara tetapi mampu mekar dan berjaya di persada dunia.
 Saya ingin bertanya, adakah saudara bersedia untuk bersama-sama dengan saya menunaikan amanah yang kita warisi ini demi generasi masa hadapan?  Jika saudara bersedia, berdirilah bersama saya dalam satu barisan dan kita buktikan di Galas, kita buktikan di Batu Sapi, kita buktikan pada pilihanraya yang bakal tiba bahawa generasi Pemuda hari ini kuat azam, kental semangat, membanting tulang menabur bakti, tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Dan dengan azam dan semangat ini, biarlah kita dikenang di dalam sejarah sebagai penerus maqasid perjuangan yang berjaya menyemarakkan obor perjuangan, demi masa hadapan kita bersama bertunjangkan semangat membujur lalu melintang patah, patah sayap bertongkat paruh, namun gunung tetap didaki. Berundur berpatah pantang sekali.
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!


20 Oktober 2010 , Dewan Tun Dr.Ismail Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur - Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri membuka tirai persidangan setelah dirasmikan oleh YAB Timbalan Presiden semalam dimulakan dengan ucapan Dasar Ketua Pergerakan Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlen dihadapan 776 Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO seluruh Negara.

Alhamdulillah, berkat keizinan dan limpahan kasih serta rahmat Allah S.W.T, Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 ini dapat diadakan. Selawat dan puji ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W di atas semangat perjuangan Baginda, bersandarkan semangat ini, Puteri meneruskan perjuangan Alif, Ba dan Ta iaitu agama, bangsa dan Tanahair.


Alhamdulillah juga dengan izin Allah, Perhimpunan Pergerakan Puteri, dapat diadakan dengan aman, tenteram dan harmoni di bawah kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional yang terus gah membawa Malaysia ke persada dunia. Jutaan penghargaan kepada semua perwakilan di atas semangat, komitmen dan dedikasi untuk memastikan Puteri terus kekal utuh, disenangi kawan dan dikagumi lawan.

Sidang Perwakilan Yang Di Rahmati Allah Sekalian,

Tatkala orang sibuk membina bangunan tinggi, orang Melayu dan bumiputera sibuk berebut menjadi pengawal keselamatannya…


Kala orang sibuk membina pusat perniagaan, orang Melayu dan bumiputera pula sibuk berebut tapak warung-warung berkenaan,


Kala orang sibuk membuat hypermarket, orang Melayu dan bumiputera pula sibuk menjual goreng pisang di depannya,


Kala orang sibuk mencipta kekayaan, kita pula sibuk menjaja ceritanya,


Kala orang sibuk membuat perniagaan eksport, anak dara kita jadi keldai belasahannya,


Hakikatnya, orang-orang Melayu dan bumiputera sibuk untuk menjadi sederhana dan ala kadar sahaja….


Kenapa? Adakah kerana kita sudah puas, selesa dan bangga dengan kesederhanaan ini?. Ini tanah tumpah darah kita, sehubungan itu saya akan bercakap pada hari ini kepada semua yang hadir tentang bagaimana kita boleh berubah daripada kesederhanaan kepada ‘kiasu bertempat’. Saya akan bercakap tentang peranan generasi muda yang seharusnya membina bangsa Melayu dan bumiputera yang berkualiti dan berkeupayaan men’jutawan’kan atau memperkasakan Melayu dan bumiputera dari sudut ekonomi, pendidikan dan gaya hidup.
Jadi, apa yang kita perlukan?
Tak sungguh tak melata,
Tak sungguh orang tak kata,
Berdiri kita berjuang dalam bicara,
Agar Puteri bangkit dan pek


Untuk hari ini, saya berdiri di sini mewakili seluruh tenaga wanita muda seMalaysia untuk menyatakan pendirian dan pemikiran kita selaku generasi yang akan mencorak masa depan negara. Kita akan membawa suara Pergerakan Puteri UMNO Malaysia kerana pada hari ini Puteri dilihat sebagai satu tunggak dalam merencana program dan aktiviti generasi muda.

 
Sidang perwakilan sekalian,

Selaku Ketua kepada Pergerakan yang kita kasihi ini saya tidak malu dan tidak gentar untuk menyatakan bahawa Puteri hingga ke hari ini telah berjaya melaksanakan 10 program dalam masa setahun. Semua aspek telah cuba disentuh. Daripada isu pembuangan bayi dengan program Life is Precious, Kempen Banteras Ragut dan Rogol untuk golongan wanita, program Jejak Ramadhan bagi mereka yang kurang bernasib baik, Dialog bersama NGO dan Profesional Muda bagi golongan muda, Sinar Kasih untuk memberi rawatan kesihatan kepada mereka yang tidak berkemampuan dan bermacam-macam lagi. 

Saya percaya setiap program yang dilaksanakan selain bertujuan merapatkan barisan pergerakan kita, ianya juga sebahagian proses untuk menghidupkan transformasi dalam UMNO seperti mana yang ditegaskan Presiden yang disayangi semasa Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas.

Ada yang bertanya adakah Puteri telah berjaya melaksanakan transformasi? Jawapannya, transformasi telah pun bermula, malah perkembangannya amat memberangsangkan walaupun belum menyeluruh. Pelbagai program telah digerakkan oleh ahli-ahli Puteri menerusi biro masing-masing selaras dengan seruan transformasi. Kerja keras itu sekali gus mampu menidakkan segala tuduhan yang telah dilemparkan terhadap kita.

Segala usaha kita bertujuan merealisasikan falsafah pembentukan parti yang kita sayangi iaitu untuk membela bangsa yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama dari sudut keseimbangan politik, perkembangan sosial dan ekonomi semasa.



Sidang perwakilan sekalian,

A. CABARAN DAN SURVIVAL PERGERAKAN PUTERI UMNO 

Dalam kita menakhoda bahtera perjuangan, kedengaran suara-suara meminta Pergerakan Puteri UMNO dibubarkan. Mengapa timbul cakap-cakap sedemikian rupa? Tentulah ada sebabnya. Adakah kerana ada yang melihat kita tidak sepenuh hati berjuang untuk parti? Atau mungkin juga faktor dalaman membuatkan kita kelihatan rapuh.

Saya ingin mengingatkan adik-adik dan diri saya sendiri. Sebagai manusia, ada ketikanya kita terlupa akan tanggungjawab bersama. Mungkin ada di kalangan kita yang terleka untuk menjaga kepercayaan serta mempertahankan amanah yang telah diletakkan di atas bahu Puteri. Sebab itu adakalanya kita dilihat hampir tergelincir dari landasan perjuangan yang mempunyai matlamatnya sendiri. Lebih menyedihkan lagi ada ketikanya kita alpa bahawa banyak mata di luar sana bukan sahaja memerhati malah menilai sejauh mana kita benar-benar berjaya membawa pergerakan ini ke arah transformasi.

Kadangkala dek kerana kepentingan peribadi yang meluap-luap atau terlalu selesa dengan jawatan, kita lupa menunjukkan semangat sayangkan parti dan sayangkan Pergerakan Puteri UMNO. Paling mengecewakan ada di antara kita tersasar daripada membuktikan bahawa pergerakan ini sangat relevan untuk mengukuhkan perjuangan parti.


Sidang perwakilan Puteri UMNO sekalian,

Kita mesti sedar bahawa tanggungjawab untuk memperkasakan pergerakan kita adalah di bahu kita sendiri. Kita tidak boleh mengharapkan pihak lain untuk menggerakkan agenda Puteri. Pucuk pimpinan menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada Puteri untuk menjadi sayap yang tidak kurang pentingnya dengan dengan sayap-sayap yang lain.

Pucuk pimpinan juga berpesan bahawa tanggungjawab Puteri adalah sama berat seperti sayap-sayap yang lain. Kakak dan abang yang lahir lebih awal daripada kita yang bergelar Puteri ini, mempunyai peranan masing-masing yang juga bermatlamat mengukuhkan parti untuk memartabatkan bangsa.

Pucuk pimpinan kita menjadi pemerhati, menegur mana yang silap dan memberi dorongan serta galakan untuk kebaikan pergerakan kita. Cuma, sebagai adik bongsu mungkin adakalanya kita terlepas pandang nawaitu murni mereka dan kita tidak boleh malu untuk mengakui bahawa adakalanya kita terkhilaf dan terleka sehingga menjejaskan kewibawaan pergerakan.

Martabat dan maruah Pergerakan Puteri UMNO adalah tanggungjawab kita. Jika Puteri dilihat oleh pihak luar sebagai tidak memainkan peranan yang berkesan maka kita bertangggungjawab untuk membuktikan sebaliknya.

Syukur, Alhamdulillah adik-adik Puteri semua telah membuktikan kewibawaan dengan melaksanakan program-program melalui biro masing-masing. Program VOGUE atau Voluntary Group for Everyone, Program Banteras Ragut & Rogol (B2R), Program Sinar Kasih, Majlis Dialog Bersama NGO dan Profesional Muda dan Program Bual Bicara Tokoh Politik, Program Cari Seramai Ahli dan Kembara Daftar Pemilih dan jika hendak disebutkan mungkin tidak terungkap. Sehingga 12 Oktober 2010 kita telah mempunyai 347,378 ahli selepas proses pemutihan, dan ia merupakan hasil kerja keras ahli-ahli Puteri yang tidak pernah berputus asa dan tidak mengenal erti penat untuk menarik minat golongan muda menyertai Pergerakan Puteri UMNO.

Begitu juga dengan program memupuk semangat kesukarelawan di kalangan generasi muda yang sememangnya amat dituntut oleh barisan kepimpinan yang kita kasihi. Kesemuanya itu menjadi pendorong dan perangsang untuk kita semua memainkan peranan dengan lebih giat lagi – semuanya untuk mengukuhkan parti dan menjadikan UMNO sebagai wadah perjuangan bangsa Melayu.


Sidang perwakilan sekalian,

Saya amat berharap dan sentiasa berdoa agar semangat ini sentiasa berkekalan. Lebih banyak program yang menarik dan mencetuskan semangat untuk bersaing secara positif sesama ahli Puteri mesti digerakkan supaya pergerakan kita dilihat bernafas dan hidup. Kita tidak boleh menyalahkan orang lain atau pihak lain jika pergerakan kita dilihat gagal, lantaran kitalah yang memimpin Puteri, bukannya pihak lain.

Daya juang dan semangat ahli-ahli Puteri mesti berada pada tahap yang tidak boleh dipersoalkan dan diragui oleh sesiapa pun. Jika mahu diiktiraf maka sewajarnya kita menyoal diri sendiri adakah layak menerima pengiktirafan itu? Jika benar-benar layak maka mengapa sehingga sekarang masih ada segelintir daripada kita yang mahu mengusik keutuhan barisan yang telah dibina selama ini. Mengapa masih ada yang bersikap selesa dan begitu berat mahu menunjukkan komitmen untuk menggerakkan setiap usaha ke arah memantapkan pergerakan Puteri yang disayangi.

Paling dikesali apabila ada yang berani mengadu-domba, melemparkan fitnah sesama sendiri sehingga mengundang orang luar untuk mengeluarkan pelbagai kenyataan kononnya dalam Puteri ada pergeseran besar. Sedangkan hubungan yang terjalin antara ahli-ahli Puteri adalah di tahap yang terbaik.

Adat adik beradik; bertengkar, berselisih pendapat, tegur-menegur adalah perkara biasa yang menjadi asam garam. Apatah lagi dalam keluarga besar yang anak-anaknya masih remaja dan mempunyai pelbagai ragam serta kerenah.

Begitu juga dengan teguran bahawa pergerakan kita tidak bermaya dan hanya ghairah untuk merebut jawatan bagi kepentingan peribadi. Tepuk dada kita, dan cabar akal kita untuk menjawab teguran itu. Betulkah ada kalangan kita yang bertanding merebut jawatan dalam parti semata-mata untuk mendapatkan jawatan dalam kerajaan sama ada peringkat pusat mahu pun negeri? Terjadikah perkara seumpama itu dalam pergerakan kita? Jika ada kalangan kita mempunyai cita-cita sedemikian, maka saya menyeru supaya ketepikan niat tersebut.

Kita mesti mengembalikan semangat ini – “Jangan tanya apa yang parti boleh beri kepada kita, tapi tanya apa yang kita boleh beri kepada parti’’. Jangan anggap jawatan sebagai anugerah, tetapi landasan untuk bergerak dalam parti bagi memikul amanah. Kita mesti merapatkan barisan demi meneruskan perjuangan parti tanpa mengira sama ada kita berjawatan atau tidak.

Sehubungan itu, Puteri amat bersetuju dengan saranan YAB Perdana Menteri berhubung Model Politik Baru dimana kita perlu merubah dan memperkasakan politik masa kini bersesuaian dengan lanskap politik semasa. Model ini dapat memberi landasan yang lebih jelas tentang hala tuju yang bersifat praktikal dan pragmatik dengan mengekalkan roh serta semangat perjuangan tokoh-tokoh terdahulu, berteraskan tuntutan akar umbi dan dalam masa yang sama mengasimilasikan gagasan 1Malaysia. Kita semua yakin dan berharap generasi muda akan terlibat aktif dalam menyumbangkan idea yang progresif bagi penghasilan kerangka Model Politik Baru ini. Dengan itu, kita boleh melangkah seiring, sederap berbunyi lantang.



Sidang perwakilan sekalian,

Tidak ada agenda yang lebih penting selain memenuhi tuntutan tanggungjawab. Kita semua komited terhadap perjuangan parti dan bangsa Melayu dengan meminggirkan kepentingan diri sendiri. Komitmen kita sebagai generasi muda yang kini dilatih sebagai pemimpin pelapis mestilah lebih besar lantaran kitalah yang akan meneruskan pembangunan negara dan menjalin kesinambungan politik menegakkan agama, bangsa dan negara.

Sebagai lanjutan kepada suara keramat kita, sinambungan kepada tenaga setitis peluh dan keringat kita, pada hari yang penuh bersejarah ini saya mewakili Pergerakan Puteri UMNO seluruh negara akan menyentuh beberapa perkara penting yang mampu menyerlahkan potensi generasi muda selangkah ke hadapan.





Sidang perwakilan sekalian,

B. REALITI POLARISASI KAUM

Pergerakan Puteri UMNO mendokong setiap usaha ke arah memartabatkan bangsa Melayu yang diakui oleh sejarah negara sebagai pribumi tanpa mengenepikan hak orang kaum lain. Pada tahun 2010, orang Melayu dan Bumiputera merupakan majoriti di negara ini dengan kadar 67%.

Namun, majoriti Melayu dari segi angkanya jelas tidak memberikan makna kepada kekuatan bangsa Melayu. Dari segi politik, perpecahan orang Melayu memang sudah jelas. Atas nama ideologi yang berbeza, orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan utama iaitu UMNO, PAS dan PKR.

Ini tidak termasuk masih ramai orang muda Melayu yang tidak mengundi. Berdasarkan taburan ahli parlimen dan ADUN di negeri-negeri, jelas kuasa politik menunjukkan bahawa negara ini mengamalkan perkongsian kuasa tetapi kini seringkali mencabar ketuanan Melayu. Jelas, demografi politik orang Melayu bukanlah lagi semestinya majoriti secara mutlak di tanah airnya sendiri.

Apatah lagi apabila kita bercakap dari sudut sosial. Saya amat bimbang apabila laporan serta data terkini menunjukkan dari segi sosial, orang Melayu merupakan penyumbang terbesar masalah sosial negara.

Kita lihat masalah sosial yang melanda bangsa kita terutama generasi muda yang sememangnya menjadi perhatian Pergerakan Puteri UMNO. Pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah, kes penderaan dalam keluarga, sumbang mahram, kes lari dari rumah, keciciran pendidikan serta pelbagai perlakuan salah laku masih dijuarai oleh generasi muda Melayu dan bumiputera.

Jika tidak dibanteras segera maka kuasa majoriti Melayu tentunya tidak relevan lagi, bukan sahaja ke arah menyediakan pemimpin negara malah sebagai tenaga kerja profesional negara pada masa depan.

Kita tidak boleh memandang ringan masalah sosial yang kini seolah-olah dilihat telah menjadi jenama orang Melayu. Melayu dan buang anak sangat sinonim. Begitu juga Melayu dan penyalahgunaan dadah.

Dari perspektif ekonomi, statistik tahun 2009 yang dikeluarkan oleh Unit Perancang Ekonomi menunjukkan pendapatan orang Melayu 37.5% lebih rendah daripada orang Cina. Manakala pendapatan orang Melayu adalah 22.4% lebih rendah berbanding orang India.

Selepas 53 tahun merdeka, hakikatnya orang Melayu masih merupakan kumpulan etnik yang berpendapatan paling rendah di kalangan etnik utama negara ini. Pelik bunyinya bila majoriti di tanah air sendiri lebih miskin berbanding kumpulan minoriti.

Apakah maknanya menjadi Melayu sebagai kumpulan yang membuat dasar dan mentadbir negara? Bukan sahaja kuasa ekonomi orang Melayu jauh lebih rendah daripada kaum lain, malah setiap pernyataan kita dianggap perkauman, inikan pula usaha untuk menjutawankan orang Melayu.

Kita menghormati dan mengakui usaha kaum-kaum lain sehingga berjaya menguasai kekayaan negara. Mereka secara bersungguh-sungguh menguasai ilmu dan juga menunjukkan kekentalan mental dan disiplin kerja yang tinggi untuk mencapai kekayaan itu.

Lihatlah bagaimana Amanah Saham Wawasan 2020 yang bernilai 490 juta unit habis dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa 6 jam 10 minit sahaja. Sebelumnya, pada 18 Julai 2007 lalu, sejumlah 500 juta unit ASM telah dilanggan oleh bukan bumiputera dalam masa hanya 39 minit sahaja. Bagi orang Melayu, tidak perlulah menunggu kerana unit ASM yang telah ditawarkan sejak sekian lama pun belum lagi habis dilanggan.



Sidang perwakilan sekalian,

Nampaknya perancangan untuk orang Melayu tidak begitu menjadi jika dibandingkan dengan jumlah tenaga manusia, kuasa politik serta segala macam kemudahan dan modal yang disediakan untuk memajukan mereka. Sebenarnya, sangat jarang berlaku di dalam mana-mana negara di dunia, sebuah negara yang dikuasai oleh etnik majoriti serta menguasai kuasa politik berada jauh ketinggalan berbanding etnik minoriti sepertimana yang berlaku di Malaysia.

Justeru Pergerakan Puteri Umno, menyokong penuh usaha besar-besaran membangunkan bangsa Melayu dan bumiputera tanpa mengganggu-gugat etnik lain yang telah dimasyhurkan oleh Perdana Menteri iaitu Presiden yang kita kasihi, YAB Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak menerusi Model Baru Ekonomi (MBE). Lantaran, kita yakin dan percaya kewujudan MBE dapat menyelesaikan sebahagian besar permasalahan bangsa Melayu dan bumiputra pada masa akan datang. Tetapi MBE sahaja tidak mencukupi. Lebih daripada itu, orang Melayu khususnya pimpinannya harus meningkatkan integriti dan kredibiliti keMelayuannya.

Pimpinan Melayu mestilah boleh menonjol dan menguasai ruang politik pelbagai etnik secara meritokrasi bukan kroni, terbukti cemerlang dan pada masa yang sama mempunyai sikap benci rasuah, politik wang dan budaya mengambil kesempatan atas wang rakyat.

Kita juga mestilah berani dan boleh membuktikan keberkesanan pengurusan yang cekap, adil dan berintegriti. Dengan itu, majoriti Melayu dapat diterima oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi lebih penting oleh kumpulan etnik lain. Jika kita sebagai pimpinan Melayu sekarang tidak bertindak meningkatkan integriti dan kredibiliti keMelayuan pastinya majoriti Melayu tidak bermakna dan relevan lagi.

 

Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian,

C. MODEL BARU EKONOMI (MBE) DAN KEMISKINAN BANDAR

Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan pada tahun ini pula menuntut kita memahami, merungkai dan menyelidik manfaat sebenar yang boleh dijana oleh generasi muda. Apabila bercakap mengenai ekonomi, generasi mudalah yang paling banyak terlibat. Pengangguran berlaku di kalangan generasi muda, sumber manusia yang tidak berdaya saing juga sering membelenggu generasi muda.

Pergerakan Puteri UMNO mengalu-alukan pengumuman YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dalam pembentangan Bajet 2011 pada hari Jumaat yang lepas. Puteri merasakan bahawa Bajet tersebut antara yang terbaik dalam menyerlahkan potensi generasi muda apabila banyak peluang dan peruntukan disediakan bagi menjana modal insan yang berkualiti. Ini termasuklah dengan menyediakan RM 60 juta ringgit bagi Program Industrial Skill Enhancement Programme dan melalui Program Latihan 1Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM 500 juta. Selari dengan hasrat dan pengumuman ini, Puteri memohon agar modul baru latihan semula atau retraining diperkenalkan seiring dengan MBE. Tujuan tidak lain tidak bukan untuk membolehkan pekerja-pekerja muda menyesuaikan diri dengan sektor berkemahiran tinggi. Langkah Ini juga penting untuk meningkatkan produktiviti negara selain membantu generasi muda meningkatkan keupayaan diri dalam sektor pekerjaan.

Apabila tenaga kerja muda kita berkemahiran tinggi maka syarikat tidak boleh lagi memberi alasan untuk membayar gaji rendah kepada para pekerja. Begitu juga usaha melatih semula para pekerja mereka supaya lebih produktif dan inovatif yang akhirnya menyumbang kepada gaji yang lebih baik. Bersangkutan dengan itu Puteri mahu dana untuk latihan semula dalam MBE digerakkan secara aktif dan pemantauan terhadap proses latihan semula dilaksanakan secara berkesan. Pastikan setiap agensi atau syarikat yang dipilih untuk menjalankan proses latihan semula itu benar-benar berwibawa. Mampu melahirkan modal insan yang bersaing melalui inovasi dan kreativiti serta meningkatkan kemahiran pekerja kita. Saya percaya ini adalah satu tindakan afirmatif yang lebih bermakna kerana rangkuman capaiannya lebih menyeluruh.

Seperkara lagi yang menimbulkan kebimbangan saya adalah perihal kemiskinan bandar yang kesan rantaiannya amat parah. Apatah lagi jika dilihat dari sudut pembentukan sahsiah serta agenda sosial orang Melayu di bandar. Saya berpandangan bahawa kemiskinan bandar mesti ditangani segera. Ini kerana cabaran, survival serta persaingan hidup di bandar adalah lebih besar terutama dari sudut kos yang tinggi. Dalam konteks sekarang, saya percaya usaha meningkatkan pendapatan rakyat tidak harus tertumpu kepada membasmi kemiskinan semata-mata. Usaha mesti digembeling untuk menambah pendapatan penduduk bandar yang berhadapan dengan kemiskinan relatif.

Kita sedari usaha kerajaan menaikkan kadar garis kemiskinan sehingga ke RM750 telah memberi ruang dan kebolehdapatan data yang lebih relevan dalam merencana program pembasmian kemiskinan. Namun dalam masa yang sama, kita tidak boleh terlepas pandang masalah kemiskinan bandar adalah satu perkara yang membimbangkan. Ramai penduduk bandar berpendapatan sekitar RM1,500 hingga RM3000. Kumpulan inilah yang sering terperangkap dalam apa yang dipanggil ‘perangkap hutang’. Pendapatan mereka rendah dan perbelanjaan pula tinggi menyebabkan mereka terpaksa berhutang. Maknanya mereka telah terkeluar daripada keupayaan pendapatan sebenar dan terperangkap dalam zon hutang. Mereka akan berterusan berhutang.

Kos sewa rumah di bandar tidak sama seperti di pinggiran bandar. Begitu juga kos membeli rumah, kos hidup, pendidikan yang rata-rata tidak memberi ruang untuk mereka yang terlibat untuk menghembus helaan nafas tenang di setiap tengah bulan. Untuk itu Puteri mengalu-alukan pembentangan RMK-10 Jumaat lalu yang menyediakan pinjaman 100 peratus kepada pembeli rumah pertama yang berpendapatan RM3000 ke bawah menerusi skim Rumah Pertamaku. Pengumuman tersebut pasti memberi sedikit kelegaan kepada warga kota yang terpaksa memperuntukkan sebahagian besar gaji untuk membayar sewa rumah.
Sidang perwakilan sekalian,

Usaha meningkatkan pendapatan penduduk bandar akan membantu mereka keluar dari zon perangkap ekonomi. Namun, dalam menjayakan MBE adalah perlu untuk kita menumpukan usaha untuk membantu golongan 40 peratus sederhana dan 40 peratus miskin supaya sasaran menjadi lebih jelas dan telus. Kita harus melihat isu ini dengan lebih holisitik dan dengan sedikit sentuhan keprihatinan. Perkara ini perlu menjadi antara perjuangan kita kerana kita semua hidup di bandar, saudara mara kita hidup di bandar, rakan-rakan kita hidup di bandar. Ia melibatkan hampir 80 peratus generasi seusia kita.

Apatah lagi dengan generasi wanita muda yang berkerjaya di bandar. Sudahlah baru hendak menapak dalam dunia pekerjaan ditambah kehidupan yang serba mencabar, mereka haruslah mengimbangi antara kerjaya, survival kehidupan, tuntutan hidup berkeluarga dalam unjuran pendapatan sekitar RM1500 ke RM 2500.

Untuk itu, Puteri menyarankan mereka yang berpendapatan dibawah RM4000 haruslah dikecualikan daripada cukai pendapatan. Memandangkan taraf hidup semasa yang semakin tinggi, adalah perlu bagi kerajaan untuk mengkaji semula perlepasan cukai untuk rakyat yang berpendapatan di bawah RM4000.

Mengikut data Lembaga Hasil Dalam Negeri, daripada 25 juta rakyat Malaysia, 11 juta orang adalah mereka yang layak membayar cukai namun hanya 1.5 juta sahaja rakyat yang membayarnya. Mengapa ini berlaku? Ini disebabkan faktor-faktor kenaikan harga barangan keperluan harian keluarga seperti petrol, tambang, barangan runcit, tol dan lain-lain yang memberi tekanan kepada individu yang layak.

Dicadangkan juga kadar perlepasan cukai bagi pendidikan anak-anak mengikut kategori kerana dengan perlepasan sebanyak RM1000 setahun untuk anak-anak berumur kurang 12 tahun adalah terlalu rendah jika dibandingkan dengan perbelanjaan masa kini. Dalam masa yang sama, Puteri juga menuntut agar perlepasan kos sara diri, kos perubatan, kos insurans dan lain-lain yang dapat mengimbangi kos sara hidup kini dikaji semula mengikut keperluan semasa.


Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

D. KESAN KEBEBASAN SIBER

Dunia tanpa sempadan – rangkaian perkataan yang paling kerap kita dengar berikutan perkembangan pesat dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Jika pergerakan manusia samada menggunakan laluan udara, darat mahu pun laut ada sempadan dan batasnya, tetapi tidak dalam kes pergerakan maklumat yang disebarkan menerusi ruang siber yang bebas menerjah ke seluruh pelosok dunia. Maklumat yang tersebar tidak ditapis jauh sekali disaring. Lantas maklumat yang baik bercampur dengan kurang baik, yang kurang baik diaduk dengan yang tidak baik – hasilnya tercetuslah revolusi maklumat yang tidak dapat dibezakan antara yang baik dan buruk. Lebih menyedihkan apabila yang buruk menjadi buruan manakala yang baik diketepikan begitu saja.

Saya tidak menafikan peri pentingnya ICT dalam era globalisasi. Dengan adanya jaringan maklumat menerusi Internet, segala maklumat dapat dicapai dengan mudah. Komunikasi juga dimudahcarakan melalui Facebook, Twitter, Skype dan Youtube. Apa yang dikesalkan apabila kemampuan akal manusia disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah.

Kebebasan dunia maya semakin luas, tanpa batas dan sempadan jauh sekali ada undang-undang untuk menyekatnya. Maklumat yang terapung di ruang siber sememangnya sukar dikawal; ia boleh menyerang sesiapa saja, menyerap minda pelbagai peringkat usia tanpa saringan, justeru kesan dan bahayanya tidak boleh dijangka.

Sememangnya kemunculan internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan ilmu dan informasi. Oleh kerana tiada siapa yang dapat mengawal perjalanan maklumat di dunia siber, berjuta-juta laman web telah dihidupkan. Bermacam-macam maklumat sama ada benar atau salah, idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang juga pornografi disebarkan melalui Internet.

Timbullah tanda tanya sama ada Internet harus dikawal selia atau tidak. Namun seperti yang termaktub dalam rang undang-undang, ini adalah jaminan yang dijanjikan oleh kerajaan dengan syarikat-syarikat Koridor Raya Multimedia. Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga mengisytiharkan bahawa tiada suatu pun peruntukan di bawah akta tersebut yang membenarkan sebarang penapisan maklumat berlaku.

Prinsip ini adalah berdasarkan pendapat bahawa pengawalan maklumat hanya akan memberikan kesan yang negatif kepada perkembangan teknologi komunikasi yang canggih ini.

Ini berbeza sekali dengan sesetengah negara yang mengambil pendirian yang jauh lebih agresif. Negara-negara seperti Cuba dan China, mengamalkan penapisan maklumat secara separa atau total. Mereka menganggap kandungan yang dibawa di dalam Internet sebagai ancaman ideologi kepada penduduk mereka.

Banyak juga negara yang bersikap sederhana dan menapis hanya maklumat yang berpotensi merosakkan fikiran orang awam seperti bahan lucah, bahan propaganda Nazi, bahan yang boleh menyebabkan ancaman kepada kesihatan awam seperti iklan-iklan ubatan dan racun yang memerlukan preskripsi doktor, bahan yang boleh menyebabkan ancaman kepada negara seperti cara-cara membuat bom, bahan api dan sebagainya dan perbuatan jenayah. Antara negara-negara yang termasuk dalam kategori ini adalah Australia, Kanada, Hong Kong, United Kingdom dan Singapura.

Untuk itu, Puteri berharap akan ada satu usaha bersepadu yang dapat digerakkan untuk menilai semula akta sedia ada kepada yang lebih terarah dan menpunyai kawalan berhemah. Sehubungan itu, dalam soal ini Pergerakan Puteri UMNO merasa kesal kerana pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) umpama harimau tidak bergigi…mengaum tidak berbunyi…

Bukanlah kita menyekat kebebasan bersuara atau kreativiti tetapi langkah-langkah perlu diambil dan dikenal pasti supaya Internet terus kekal sebagai alat komunikasi yang unggul pada abad ini. Cukuplah sekadar mengawal selia sistem dan maklumat mengikut acuan Malaysia.

Dalam hubungan yang sama salah laku pengguna Internet yang merisaukan seperti spamming, virus, hacking, e-mail bombing, denial of service attack, penggunaan `robot’, penggunaan kata laluan orang lain dan sebagainya perlu diberi perhatian. Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 ada memperuntukkan penubuhan satu Forum Pengisian yang menentukan etika-etika dan garis panduan yang patut diikuti dalam dunia siber. Seksyen 231 Akta tersebut membolehkan pengawalan bahan-bahan yang menyalahi, tidak sopan dan tidak senonoh.

Saya menggesa supaya garis panduan ini dilaksanakan secara berkesan untuk membatasi isi-isi kandungan laman web dan sesetengah salah laku pengguna dan bukanlah berperanan sebagai badan penapisan sahaja.


Sidang perwakilan sekalian,

Penggunaan dunia siber sebagai ruang melakukan jenayah adalah suatu yang dimaklumi. Perbuatan-perbuatan seperti penipuan, bahan lucah, skim piramid, judi siber, penipuan kad kredit, peras ugut, pengintipan industri, pelaburan haram dan sebagainya mesti dikawal selia untuk mengelakkan dunia siber daripada menjadi dunia liar seperti The Wild Wild West.

Perbuatan-perbuatan tersebut adalah salah di bawah peruntukan sekarang dan seharusnya dianggap sebagai kesalahan di dunia siber juga. Sekiranya tidak, dunia siber akan menjadi pusat jenayah dan seterusnya membantut usaha-usaha untuk memantapkan Internet sebagai pemantau K-ekonomi.



Sidang perwakilan sekalian,

E. MENINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN

Menyentuh mengenai kualiti pendidikan pula. Dari peringkat sekolah rendah lagi, kita telah diberi penekanan tentang peri pentingnya untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Ibu bapa suka mencanangkan berapa A anaknya perolehi dari keputusan peperiksaan yang setinggi-tinggi STPM hinggalah ke peperiksaan bulanan.

Kebanggaan ini adalah bertepatan memandangkan ibu bapa telah membuat pelaburan yang banyak dari sudut kewangan dengan menghantar anak-anak ke tuisyen dan sebagainya. Ada juga kita kedengaran di kalangan murid-murid yang menggantung diri sehingga mati kerana keputusan peperiksaan tidak memuaskan dan tidak seperti yang dihajati. Semua ini memberi tekanan kepada anak-anak sehingga mereka hilang arah pengertian sebenar pengetahuan dan pencarian ilmu.

Ibu bapa dan guru-guru adakalanya terikut sama dalam soal kualiti yang tidak kekal ini. Saya berpandangan begitu kerana berapa ramai di kalangan kita yang mendapat A dalam matapelajaran Geografi di sekolah contohnya yang masih ingat mahupun mengaplikasikan subjek tersebut di dalam kehidupan kita kini. Apa yang tinggal hanyalah memori dan juga mungkin kesan akibat tekanan bersengkang mata menghafal dan mengingati fakta-fakta buku teks.

Saya tidak menidakkan tentang peri pentingnya pelajaran dalam kehidupan namun apabila kita terlalu menekankan kepada aspek teori dan ukuran nilai kelulusan, maka inilah yang akan memakan diri anak-anak kita dan generasi yang akan datang. Mereka tidak belajar kerana kemahuan, mereka tidak belajar kerana minat, apatah lagi mereka tidak menghayati kerana memahami, tetapi mereka teruskan demi kerana tekanan untuk mendapat keputusan yang baik.

Anak-anak muda sebeginilah yang akhirnya tidak memahami dan mengaplikasi apa juga ilmu dalam kehidupan dan kerana itulah makin ramai yang hidup terumbang ambing dan tidak dapat membezakan kebenaran dan kebatilan.


Sidang perwakilan sekalian,

Demi untuk merubah landskap ini satu usaha bersepadu perlu dibuat. Kita perlu melihat perkara ini di luar ruang lingkup sedia ada. Kita haruslah lebih memahami kehendak dan minat anak-anak kita kerana dengan memaksa mereka untuk menghafal dan menjawab peperiksaan semata-mata tidak memberi keuntungan kepada sesiapa termasuklah jiwa anak-anak muda itu sendiri.

Saya juga yakin keputusan kerajaan baru-baru ini untuk mengkaji semula sistem peperiksaan ini haruslah diberi sokongan dan penghargaan dan ini menunjukkan nada kita adalah seirama. Begitu juga kita semua telah dimaklumkan tentang keputusan kerajaan memansuhkan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan mengubahsuai format Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula pada tahun 2016. Puteri menyokong usaha kerajaan untuk mencari kesesuaian dengan keadaan semasa yang telah saya sebutkan tadi.

Puteri ingin agar kita membuka minda kita sejenak. Jika kita menilai anak-anak kita cenderung kepada kemahiran, seharusnya kita memberi galakan untuk mereka meneruskan kecenderungan dengan lebih baik. Ibu bapa harus cuba membuang persepsi bahawa ilmu pengetahuan adalah buku teks dan keputusan peperiksaan sahaja.

Saya amat yakin ilmu pengetahuan itu merentasi dan menjangkaui akal fikiran. Ilmu pengetahuan meliputi ilmu-ilmu kemahiran yang mampu membawa generasi muda jauh ke hadapan. Inilah yang saya yakini mampu merubah generasi muda kita untuk berdaya saing dalam bidang yang mereka minati dan lebih menghayati ilmu kehidupan.

Saranan Puteri adalah agar lebih banyak sekolah-sekolah kemahiran dibina, diberi pengiktirafan sewajarnya dan diangkat sebagai antara asas pembangunan modal insan dari sudut pendidikan.


Sidang perwakilan sekalian,

Dalam kita menjengah ke arah kemodenan dan globalisasi, pasaran tenaga kerja manusia juga semakin meningkat. Modal insan yang berkualiti tinggi menjadi tunjang kepada pembangunan Negara. Bagi mencapai modal insan berkualiti ini, ianya harus dimulakan dengan kelengkapan pengisian diri dan jiwa yang bersandarkan ilmu serta kemahiran yang bermutu.

Jika kita soroti saban tahun berpuluhan ribu graduan menamatkan pengajian di puluhan institusi pengajian awam dan juga swasta. Dengan kadar tinggi yang sedemikian rupa mustahil kita kekurangan tenaga kerja dan kepakaran.

Namun begitu, masih ramai juga yang ketinggalan dan menjadi penganggur setia. Kenapakah senario ini berlaku? Adakah kerana graduan kita tidak berkualiti atau mereka memilih dalam soal kerja? Persoalan ini telah dibangkitkan hampir di setiap forum yang melibatkan isu penggunaan tenaga kerja dan juga pengangguran. Data menunjukkan bukan calang-calang graduan yang mencari kerja di pasaran tenaga kerja di Malaysia namun didapati bahawa masih ramai yang melihat kepada ukuran nilai segenggam ijazah.

Ijazah kelas pertama di cari dan menjadi pilihan, kelas kedua bolehlah sebagai jawatan-jawatan pentadbiran… kelas ketiga…adakalanya gaji pun cukup-cukup makan. Pengkelasan seperti ini adalah baik ketika mengenal pasti calon mengisi kekosongan namun begitu, berapa ramaikah anak-anak Melayu yang mengenggam ijazah kelas pertama? Berapa ramaikah anak Melayu ijazah kelas ketiga yang mendapat kerja dan menyara keluarga?

Semua persoalan ini menimbulkan keresahan kepada saya. Selaku generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara. Siapakah yang mendapat manfaat dari pengkelasan ini? Mungkin ianya dapat memudahkan proses pemilihan dan penentuan jawatan namun adakah ianya memberi keadilan dari sudut pembangunan modal insan menyeluruh di Malaysia. Seharusnya pengkelasan ini dikaji kepada sebuah sistem yang lebih berdaya saing dimana pelajar-pelajar dinilai bukan bersandarkan kepada keputusan peperiksaan semata-mata.


Sidang perwakilan sekalian,

Kenapa saya berkata demikian? Kerana dengan cara ini maka persaingan yang sihat akan wujud dan lebih ramai yang berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Saya yakin dengan sistem seperti ini lebih ramai anak muda mendapat tempat kerja dan peluang yang sama rata tanpa prejudis.

Bagaimana caranya, apa modus operandinya. Marilah kita sama-sama rungkaikan menerusi perbincangan dengan pihak-pihak berwajib dengan lebih tersusun dan menyeluruh. Saya yakin perkara ini bukanlah sukar dilaksanakan demi manfaat generasi masa hadapan dan dalam memelihara kualiti hidup anak bangsa kita sendiri.

Sidang perwakilan sekalian,

Sebagai generasi muda, kita sedar peranan dan tanggungjawab kita dalam merencana kehidupan dan masa hadapan. Namun di Malaysia ketika ini, sudah menjadi satu masalah generasi kita terbeban dengan hutang setelah tamat pengajian. Sudahlah berpenat lelah mendapatkan segulung ijazah di sepanjang 3-4 tahun, dan ada ketikanya berpuasa dan berlapar perut kerana segan meminta duit di kampung, apabila melangkah keluar terbeban di bahu puluhan ribu ringgit untuk dilangsaikan.

Kita faham bahawa yuran pengajian adalah satu perkara pokok untuk kita meneruskan cita-cita. Untuk itu, pelbagai skim ditawarkan oleh bank-bank swasta mahupun dari agensi kerajaan seperti pinjaman dan sebagainya. Namun begitu, tidakkah kita gusar untuk melangkah keluar kerana bebanan itu bukan seringgit dua tapi puluhan ribu juga dan ini adakalanya menyebabkan ramai yang melarikan diri dan disenaraihitamkan.

Kita memahami bahawa tugasan untuk membayar hutang adalah perkara wajib. Adalah menjadi kewajiban kita selaku anak-anak muda dan ini juga adalah sebagai tanda kita bersyukur kerana kerajaan telah menyediakan prasarana yang kondusif untuk kita terus bergelar mahasiswa dan graduan. Apa yang membebankan adalah tanggungan yang tidak ternilai oleh mereka yang baru merangkak-rangkak mencari kerja.

Sehubungan itu, saya merasakan sudah tiba masanya kita membantu generasi muda masa hadapan dengan memberikan sedikit kelegaan iaitu membatalkan terus yuran pengajian yang perlu dibayar setiap sesi. Dengan itu, kuasa membeli dan juga mencatur kehidupan generasi muda akan menjadi lebih baik dan sistematik.

Kutipan yuran pengajian yang diperolehi oleh 22 universiti awam seluruh negara adalah terlalu kecil berbanding peruntukan yang diberi oleh Kerajaan. Puteri mencadangkan yuran pengajian para pelajar universiti ditampung sepenuhnya oleh kerajaan melalui penambahan peruntukan kepada universiti. Dalam erti kata lain, pelajar tidak perlu membayar yuran dan universiti tidak kehilangan pendapatan hasil daripada pungutan yuran. Kami berharap cadangan dan idea ini diterima demi kebaikan anak-anak kita di masa hadapan. Dengan itu, kita dengan penuh bangganya boleh menyatakan pendidikan di Malaysia adalah percuma dari tadika hingga ke menara gading.

Sidang perwakilan sekalian,

Segala perancangan masa depan negara sekarang sangat bergantung kepada keupayaan masyarakat menguasai budaya inovasi. Kejayaan dan keberkesanan Model Baru Ekonomi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi bermula dengan inovasi dan kreativiti.

Hari ini semakin ramai yang kaya raya kerana mempunyai idea yang berkualiti, reka cipta yang inovatif, kemahiran mengubahsuai, bijak memberi nilai tambah kepada teknologi sedia ada dan bukan lagi terpaksa membanting tulang empat kerat. Dunia sedang berkembang maju dan bergerak pantas, rakyat Malaysia juga sudah bersedia berdaya saing dengan menguasai keupayaan baru.

Budaya inovasi telah berkembang subur di Malaysia dari sekolah rendah hingga ke universiti. Banyak produk inovasi telah tersedia untuk dikomersilkan.Sekarang sudah tiba masanya untuk kita memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas ini.

Sidang perwakilan sekalian,

Universiti telah memainkan peranan yang besar dalam menyemai budaya inovasi dikalangan mahasiswa. Universiti perlu diberi pujian dengan aktiviti kreatif ini. Ini mungkin kerana universiti telah mempunyai tenaga pengajar yang cekap dan berdedikasi serta peralatan yang canggih. Saya yakin universiti di Malaysia mampu menyediakan tenaga mahir untuk negara ratusan tahun yang akan datang.

Dalam usaha untuk terus memupuk budaya inovasi dikalangan mahasiswa ini, Puteri menggesa kerajaan untuk menambah dana bagi membiayai aktiviti inovasi di universiti dan seterusnya membudayakan inovasi ke peringkat yang lebih tinggi.




Sidang perwakilan sekalian,

F. KEGAWATAN SOSIAL

Beralih pula kita kepada permasalahan sosial yang menjengah generasi muda kita. Yang menjadi kebimbangan dan kegusaran kita semua adalah insiden pembuangan bayi. Insiden pembuangan bayi dan masalah sosial seperti seks luar nikah, bersekedudukan dan juga isu yang berkaitan dengan moral ini seringkali menjadi bualan hangat yang tiada penghujung dan penyelesaiannya.

Beberapa cadangan telah di buat dan sudah banyak program disusun atur oleh NGO dan pihak swasta untuk menggembling tenaga bagi membantu kerajaan mengurangkan senario yang membimbangkan ini. Namun, usaha ini umpama mencurah air ke daun keladi…

Puteri mencadangkan agar satu silibus atau bab yang lebih fokus dalam aspek kesihatan reproduktif diperkenalkan. Memandangkan kini pendidikan seks diajar merentasi kurikulum di dalam mata pelajaran pendidikan Islam, Sains, Biologi dan Pendidikan Moral. Bab kesihatan reproduktif bolehlah dimasukkan dalam kurikulum Sains yang diajar dari Tingkatan 1. Ini dapat memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak. Kurikulum ini boleh menyentuh soal penjagaan kesihatan anggota reproduktif, seksualiti serta hal-hal yang berkaitan supaya kesedaran mengenai seksualiti dapat disemai lebih awal dan dapat diterapkan kepada remaja agar insiden pembuangan bayi dapat dihapuskan.

Kita juga sedar bahawa stigma dalam masyarakat Melayu masih menebal dan bukanlah perkara yang mudah untuk dinyahkan. Namun begitu, saya yakin sekiranya kita lebih terbuka dalam menerima kemelut ini, secara lebih rasional maka lebih banyak ruang dapat kita sediakan untuk anak-anak muda ini insaf dan kembali ke pangkal jalan.

Keterbukaan ibu bapa bukanlah bermaksud kita memberi lampu hijau untuk mereka meneruskan aktiviti lahir dan buang tetapi lebih kepada keterbukaan yang tidak membabi buta. Mereka juga tidak menyalahkan apa yang telah berlaku kerana kesalahan dan dosa anak-anak mereka. Dengan cara ini, anak-anak atau mereka yang ‘berdosa’ dan tersilap langkah ini tidak terus menerus melakukan kesalahan demi kesalahan dari berzina ke mengandung luar nikah hingga ke membuang anak demi kerana ketakutan.

Sehubungan itu juga, Puteri juga menyokong kepada usaha untuk mewujudkan sebuah rumah perlindungan dan pembelajaran seperti yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri Melaka dengan mewujudkan Sekolah Harapan. Premis ini dapat memberi satu ‘nafas’ yang selamat dan baru kepada para ibu dan anak-anak muda yang sudah terlanjur. Cara ini mungkin dilihat ramai seolah-olah seperti menggalakkan gejala ini berleluasa namun percayalah ada banyak baiknya. Dengan adanya premis yang lebih kondusif, selamat dan terjaga dengan baik, anak-anak muda yang terlanjur ini dapat membina semula kehidupan dengan anak mereka yang tidak berdosa.

Sidang perwakilan sekalian,

Puteri juga berharap satu usaha juga dapat dibuat untuk tidak menghukum hanya anak gadis dalam soal ini. Mereka yang terlibat sebenarnya bukanlah hanya anak gadis sahaja tetapi teman lelaki, keluarga teman lelaki dan keluarga gadis tersebut. Ibu bapa kedua-dua pasangan juga haruslah mengambil tanggungjawab dan keaiban yang ditanggung anak-anak mereka sekiranya mereka ingin kembali ke pangkal jalan.

Dalam Islam, ibu bapa amatlah digalakkan mendirikan solat berjemaah bersama 5 kali sehari sebagai simbolik tanggungjawab bersama sebagai seorang Muslim. Namun, dalam realiti kehidupan masa kini, saya pernah menyarankan agar ibu bapa juga meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit sehari untuk bercakap, bertanya khabar dan bermesra dengan anak-anak masing-masing. Dengan cara ini kita dapat mendengar keluh kesah mereka, mengesan perubahan fizikal dan emosi mereka dan seterusnya dapat mengambil langkah yang rasional mendepaninya.

Jabatan dan Majlis Agama Islam seharusnya memainkan peranan yang lebih proaktif dalam soal ini samada dalam menyediakan prasarana untuk menampung kes-kes ini, atau penggubalan modul untuk post insiden atau pre insiden. Pre insiden-seperti menerbitkan buku, risalah, mendekati remaja melalui program pencegahan dan sebagainya. Manakala post insiden adalah seperti mengenal pasti punca kejadian, bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan mengenal pasti tempat maksiat dan sarang aktiviti ini, modul psikologi dalam mendepani diri dan keluarga serta macam-macam lagi.

Saya yakin, usaha yang bersepadu dengan niat yang murni pasti mendapat keredhaan dan keberkatanNya.
 



Sidang perwakilan sekalian,

G. HARAPAN DAN PERJUANGAN PUTERI MENDEPANI PRU-13

Berbalik kita kepada soal perjuangan Puteri UMNO. Peluang pada perhimpunan kali ini janganlah kita sia-siakan. Marilah kita bercakap, bermuhasabah, berdialog dan merancang untuk melakukan perubahan. Inilah platform terbaik selain kita memberi pandangan pada pucuk pimpinan, inilah juga medan untuk kita memberi teguran agar pergerakan kita semakin baik dan mantap. Bukan keajaiban yang saya pinta, bukan bulan dan bintang menjadi dambaan saya, cukuplah pada perhimpunan ini kita berlapang dada, membetulkan niat dan mengiringinya dengan perbuatan dan perubahan untuk parti dan negara.

Sidang perwakilan sekalian,

Sesiapa pun tidak akan lupa tarikh keramat 8 Mac 2008 yang menyaksikan perubahan geopolitik di negara kita. Kejutan yang berlaku masih menghantui kebanyakan daripada kita sehingga hari ini. Namun sejauh mana kejutan itu mendorong kita untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-13? Adakah ahli-ahli kita di peringkat akar umbi telah mengambil pengajaran daripada episod luka yang melanda parti yang kita sayangi. Adakah kita masih dalam keadaan selesa menunggu sehingga tarikh pilihan raya diumumkan baru kita hendak melakukan persiapan tanpa mengambil sedikit pun pengajaran daripada apa yang telah berlaku.

Puteri seharusnya memainkan peranan, di mana Puteri ada kekuatan. Puteri ada jiwa yang lembut. Puteri ada ketegasan dalam kelembutan. Peranan Puteri adalah semestinya lebih halus dan mesra. Pada masa yang sama Puteri, mampu menampil imej yang mengkagumkan rakan dan juga lawan.

Kita harus mampu membawa diri kita kepada sesiapa pun tanpa rasa segan atau was-was. Kita adalah pejuang bangsa Melayu moden yang mampu membawa identiti kita di dalam arus kemodenan Malaysia maju. Moga Puteri mampu menjadi magnet dan daya penarik kepada semua. Kita harus menjadi trendsetter dan bukan trend follower. Semoga, perhimpunan kali ini, menjadi derapan langkah pertama kita, didalam membentuk sejarah baru Puteri UMNO Malaysia.

Kita haruslah menjadi pendamping setia kepada rakyat. Kita haruslah menjadi jambatan penghubung rakyat dan negara. Ini hakikat yang kita tidak boleh ambil sambil lewa. Di peringkat cawangan, bahagian dan negeri peranan kita haruslah digerakkan dengan lebih aktif dan ‘compliment’ kepada kakak, abang dan mereka yang terdahulu dari kita.

Jangan pula terlalu ghairah hingga kita alpa pada rasa hormat pada mereka yang ‘melahir’kan kita dan yang bersetuju dengan lapang dada menerima kita dalam satu keluarga yang besar ini. Kita harus bijak dan saya yakin ramai di kalangan kita sudah cukup dewasa dalam soal ini.

Sidang perwakilan sekalian,

Berbalik kepada fokus kita untuk memenangi pilihanraya umum yang akan datang, saya memberi sepenuh kepercayaan kepada semua ahli tanpa mengira pangkat mahupun kedudukan dalam pergerakan ini untuk sama-sama menumpukan usaha yang lebih agresif menggerakkan bilik-bilik gerakan; menjalankan usaha memenangi hati pengundi-pengundi tak kira tua dan muda; menggerakkan daftar pemilih; dan yang paling penting menjiwai isu-isu yang bakal memberi kemenangan kepada kita.

Bangunlah semua adik-adik dan rakan-rakan seperjuanganku! Bangkitlah dari lamunan mimpi indah dan kelewaan! Kita harus sedar bahawa kita harus mencatur langkah baru, dengan nafas yang lebih bersemangat dan berkobar-kobar! Kita pasti akan memenangi pilihanraya ke-13 akan datang! Kita akan menggadai masa, tenaga dan jiwa untuk itu! Itu janji kita kepada parti!

Ayuh semua, kuatkan barisan kita, nyahkan kepentingan diri, tolak kepentingan emosi yang merugikan parti, kita tawani isu, kita menangi hati rakan dan lawan, kita laksanakan program sebaik mungkin, kita baiki hidup rakyat kita, kita sama-sama sejahterakan bangsa kita! Saya yakin! Saya yakin! Saya yakin Puteri mampu!

Bismillah hir rahman nir rahim

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim….
Kepada mu ya Allah kami mengangkat tangan, menadah doa dan mengharapkan ehsan. Ya Allah, rahmati niat kami, rahmati usaha kami, rahmati perjuangan kami dan lindungilah kami.
Pergerakan Puteri UMNO Malaysia ini ya Allah, mengharapkan agar kekuatan ayahanda, bonda, para pejuang Islam dan para Negarawan kami tersemat dalam jiwa dan semangat kami. Ya Allah sesungguhnya kami bersyukur di atas kurniaan, limpahan rezeki, nikmat dan syafaat Mu. Sesungguhnya kami memohon Ya Allah:
Lapangkan dada kami untuk menerima hembusan hidayahMU
Kuatkan hati kami untuk mengatur langkah perjuangan,
Insafkan dalam hati-hati kami sejarah dan jatuh bangun bangsa kami akibat kealpaan,
Insafkan dalam jiwa kami kemunduran akal fikiran akibat tamak dan sikap mengambil kesempatan,
Insafkan dalam ingatan kami, bahawa darah yang mengalir dalam diri ini adalah amanah dan tuntutan sebagai bangsa di tanah air ini.
Untuk itu Ya Allah,
Kurniakanlan kami kekuatan sehebat Tun Teja,
Fikiran sehebat Hang Nadim,
Setia sekuat Hang Tuah,
Semangat secekal Siti Hajar
Pengorbanan setimpal Saidatina Khadijah,
Istiqamah dan Zuhud seagung Rasullah saw.
Ya Allah,
Peliharakanlah para pemimpin kami,
Peliharakanlah para pejuang kami,
Satukanlah hati-hati kami
Kerana perjuangan kami akan bermula tekad ini
Ya Allah,
Berikanlah kami keredhaan Mu
Berikanlah kami kemenangan
Berikanlah kami kejayaan
Ya Allah
Semoga Puteri… semoga adik-adik ku fahami kerana perjuangan ini bukan perjuangan ku malah ini perjuangan untuk anak-anak bangsa ku.
Amin.

Sekian, wabillah hitaufiq wal hidayah wassalamualaikum wrt wbt.
Terima kasih. 

21 Oktober 2010, Perkarangan Bangunan PWTC Kuala Lumpur - YAB Presiden UMNO diringi oleh Pergerakan Pemuda untuk memeriksa barisan sebelum upacara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa. Turut sama mengiringi YAB Presiden ialah Ketua Ketua Sayap UMNO Pergerakan Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil , Pergerakan Pemuda YB.Khairy Jamaluddin Abubakar dan Pergerkan Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlen.



Upacara menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa diiringi lagu UMNO Bersatu Bersetia Berkhidmat



Bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO semasa Perasmian Perhimpunan Agung UMNO di Bangunan PWTC Kuala Lumpur.


21 Oktober 2010 , Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur -  Ucapan Dasar YAB Presiden UMNO Datuk Seri Mohd.Najib bin Tun Hj.Abdul Razak

Mengawali ucapan, marilah kita bersama-sama merenung dua firman Allah SWT.

Dalam surah Al-Baqarah, ayat 143 berbunyi:

“Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu umat Islam ‘umat pertengahan’ agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul yakni Muhammad menjadi saksi atas perbuatan kamu”.


Dalam surah Ali Imran, ayat 159 pula terkandung firman yang menyebut:

“Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka. Mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarah dengan mereka dalam urusan itu”.

Saudara dan Saudari sekalian,
 
Alhamdulillah, kita merafakkan sepenuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita berkumpul sekali lagi dalam dewan yang penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin yang dimuliakan dan sentiasa diambil pengajarannya.
Jika dihitung dan dicongak, Perhimpunan Agung kali ke-61 menandakan Dewan Merdeka yang bertuah ini, telah menyaksikan persidangan dilangsungkan sebanyak 25 kali semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO telah bertatih dan berjalan begitu jauh didewasakan oleh waktu. 
Dalam pada itu, secara sedar atau tidak, selama lebih enam dekad UMNO telah berada di lapangan, menyalakan obor kebangkitan orang-orang Melayu dan membela untung nasib bangsa. Sehubungan itu, dengan tegas kita mahu menyatakan bahawa sepanjang 64 tahun ini, United Malays National Organization atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO, adalah satu-satunya, suluh yang terang-benderang kepada citarasa dan nurani orang-orang Melayu. 
Kerana itulah, tidak ada seorang pun dapat menafi apatah lagi menidakkan betapa besarnya pengaruh dan peranan parti keramat ini yang sejak turun-temurun kepimpinannya telah menongkah arus, menghilir pasang sebagai teraju perubah tanahair. 



TALI-TEMALI WAWASAN NEGARA
 
Saudara dan Saudari sekalian,
Apa yang kita perjuangkan hari ini, bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya ia adalah penerusan kepada aspirasi bangsa Melayu serta rakyat Malaysia di kala kita membuat keputusan untuk menuntut kemerdekaan. Begitulah, semenjak dahulu, tiga prinsip dan pegangan utama kita yang sentiasa konsisten yakni pertama, kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional. Kedua, Islam sebagai Addin dan ketiganya kemakmuran negara bertonggakkan keadilan sosial.
Jika diimbau sebenarnya, pada awal tahun 50-an, Presiden UMNO ketika itu, Allahyarham Dato’ Onn Jaafar telah mengenengahkan idea untuk membuka pintu keahlian parti kepada orang bukan Melayu kerana beliau melihat realiti, bahawa kemerdekaan tidak mampu dicapai tanpa kaum-kaum yang ada bersetuju berkongsi kuasa.
 
Namun, rancangan Dato’ Onn pada masa itu adalah terlalu progresif bagi ahli UMNO yang merasakan kedudukan bangsa Melayu masih belum kuat. Hasilnya, ia telah ditentang oleh majoriti ahli dan pemimpin UMNO. Akibat dari itu, Dato’ Onn telah keluar meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu bagi meneruskan cita-citanya.

Kendatipun begitu, kita orang-orang UMNO ini bak kata pantun:

Hidup sebumbung, di bawah teratak,
Berlain bantal, satu hati,
Bercerai kasih, bertalak tidak,
Ibarat rambut, bersimpul mati.
Di sudut lain, sekalipun idea Dato’ Onn pada masa itu tidak dapat diterima UMNO, penggantinya, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang telah dipilih menggantikan beliau, menyedari peri pentingnya kerjasama politik pelbagai kaum untuk mencapai kemerdekaan. Tunku kemudiannya mengambil strategi yang pada pandangannya adalah lebih realistik dan mampu diterima majoriti orang-orang Melayu serta pelbagai ras dengan mempelopori satu gabungan bitara antara kaum.


Kerjasama ini telah dizahirkan buat kali pertama pada tahun 1955 melalui perkongsian kuasa Parti Perikatan yang mengumpulkan UMNO, MCA dan MIC, masing-masing, mewakili kaum Melayu, Cina dan India. Kemudian pula, pasca tragedi 13 Mei 1969, kepimpinan negara menyedari bahawa perpaduan tidak mampu dipupuk dengan hanya menggunakan mekanisme politik tanpa disertai asas sosioekonomi bertunjangkan keadilan sosial. 

Oleh kerana itu, selanjutnya Allahyarham Tun Abdul Razak telah menggubal dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat membaik pulih ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum yang sebelum itu hampir memusnahkan keutuhan perpaduan nasional. Pendekatan baru ekonomi ini, sebetulnya telah dimungkinkan dengan kedinamikan sistem pasaran yang dibina oleh Almarhum Tunku sebelum itu.

Saudara dan Saudari,

Di sini, suka saya menarik kembali perhatian sebahagian daripada kita dah pihak-pihak yang barangkali terlepas pandang bahawa, matlamat Dasar Ekonomi Baru sebenarnya adalah untuk membina perpaduan nasional. Cumanya, alat dasar yang telah diguna pakai bersifat sosioekonomi, bukannya politik semata-mata sepertimana yang dilakukan pimpinan terdahulu melalui penubuhan Parti Perikatan.

Dalam helaan nafas yang sama, Tun Razak tidak melupakan kepentingan mekanisme siasah sebagai alat memupuk perpaduan. Beliau, telah memperbesarkan Parti Perikatan dan membentuk tapaknya melalui penubuhan Barisan Nasional. Menerusi landasan kerjasama serta perkongsian kuasa antara kaum, ia diperluaskan melalui negeri-negeri Sabah dan Sarawak. 
Hendaklah jangan kita lupa, jambatan pertama yang dibina antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merentasi Laut China Selatan adalah jambatan politik Barisan Nasional, yakni 11 tahun selepas penubuhan Malaysia. Ia dimantapkan lagi kemudiannya, dengan kehadiran UMNO di Sabah, Bumi di Bawah Bayu pada tahun 1991. 

Sejurus, apabila Dasar Ekonomi Baru tamat pada tahun 1990, Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri pada ketika itu, telah memperkenalkan penyataan arah tuju kebangsaan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Melalui kertas kerja bertajuk “Malaysia: Melangkah ke Hadapan” yang disampaikannya semasa melancarkan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, beliau mevisikan bahawa, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dalam tempoh tiga dasawarsa.

Pada saat itu, diimpikan menjelang tahun 2020, Malaysia akan menikmati taraf hidup yang sama dengan Amerika Syarikat. Pendapatan per kapita Amerika Syarikat pada masa itu adalah kira-kira dua puluh ribu dolar. Sungguhpun kita tahu, ada pihak yang mengatakan matlamat ini adalah angan-angan Mat Jenin, alasan Tun Dr. Mahathir adalah begitu kemas sekali. Beliau menyatakan dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru, pukul rata pertumbuhan tahunan negara adalah 6.7 peratus. Jika dalam tempoh tiga puluh tahun hingga 2020, pertumbuhan boleh ditingkatkan kepada tujuh peratus yakni perpuluhan tiga peratus lebih tinggi daripada pukul rata tahun-tahun 1971 hingga 1990, maka wawasan yang dicitakan tidak mustahil untuk dicapai.

Di samping aspek ekonomi, beliau telah menggariskan sembilan lagi cabaran sosio-ekonomi dan sosio-politik yang perlu dihadapi sebelum Wawasan 2020 boleh direalisasikan. Paling utama adalah, mengukuhkan perpaduan nasional atau matlamat untuk membentuk bangsa Malaysia. Pengalaman Dasar Ekonomi Baru menunjukkan bahawa pengagihan saksama hanya akan berlaku dalam ekonomi yang teguh.

Apa yang sangat jelas di sini, bagi memastikan perpaduan nasional, kedua-dua mekanisme, politik dan sosioekonomi harus diguna dan dipertemukan. Ertinya, perpaduan nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial manakala keadilan sosial pula tidak mampu dicipta tanpa kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi yang berteraskan perpaduan nasional. Ringkasnya, ketiga-tiga elemen tersebut adalah saling melengkapi, saling berkait dan saling mengukuhkan antara satu sama lain.
 

Saudara dan Saudari,

Setelah diamanahkan untuk memimpin parti dan negara kira-kira lapan belas bulan yang lepas, dengan penuh tradisi harmoni kesinambungan kepimpinan UMNO yang diserahkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, saya telah membuat keputusan untuk tidak mencipta semula roda tetapi untuk mengambil teladan akan kebijaksanaan dan pandangan jauh pendahulu kepimpinan parti dan negara melalui formula yang dicuba serta telah teruji oleh zaman.

Maka, lahirlah falsafah induk 1Malaysia yang merupakan penerusan kepada wawasan pragmatik bapa-bapa kita dalam parti dan kerajaan. Perpaduan nasional adalah sesuatu yang dinamik. Ia harus sentiasa dibajai dan dijaga, jika tidak, ia akan hancur berkecai. Parti Perikatan terbentuk di ambang Merdeka bertepatan waktunya, namun pasca tragedi 13 Mei 1969, menyaksikan model ini perlu dipulih rawat melalui Barisan Nasional dan elemen keadilan sosial melalui Dasar Ekonomi Baru.
 
Kesimpulannya, susur galur dan tali-temali usaha yang dipasak oleh Almarhum Tunku disambung oleh Allahyarham Tun Razak melalui Barisan Nasional dan Dasar Ekonomi Baru. Allahyarham Tun Hussein pula dikenali sebagai Bapa Perpaduan yang tegas dan tulus dalam melaksanakan khidmatnya. Kemudiannya Tun Dr. Mahathir meneruskannya dengan konsep Bangsa Malaysia. Disusuli Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membina usaha memantapkan modal insan dan mengolah Misi Nasional dalam meneraju negara.
 

Saudara dan Saudari,

Sekiranya perpaduan nasional, kemakmuran dan keadilan sosial adalah saling mengikat dan berpilin, maka, selain 1Malaysia, kita memperkenalkan inisiatif Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan 6 NKRAnya serta Pelan Transformasi Ekonomi atau ETP untuk membina kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.

Seperti yang telah dibentangkan sebelum ini, ETP adalah satu pelan yang komprehensif, merangkumi garis-garis besar Model Baru Ekonomi dan lapan prakarsa strategik. Ia juga mengandungi arah tuju yang jelas dengan 12 NKEA serta mekanisme pelaksanaan jitu melalui Rancangan Malaysia Ke-10 dan Rancangan Malaysia Ke-11.

Dalam hubungan ini lagi, Gagasan 1Malaysia juga adalah selaras dengan nilai-nilai Islam dan semangat yang ditunjukkan sirah Rasulullah SAW dalam pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun lagi harmoni, berasaskan Perlembagaan yang mengutamakan serta mempertahankan agama serta keadilan kepada semua pihak. Perlembagaan itu juga melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada orang-orang bukan Islam.

Saudara dan Saudari,

Jelasnya, ini bukanlah impian baru. Inilah impian abadi negara dari dahulu dan selamanya. Ia adalah gagasan Allahyarham Dato’ Onn, cita-cita Almarhum Tunku Abdul Rahman, harapan Allahyarham ayahanda saya, kemahuan Allahyarham Tun Hussein, aspirasi Tun Dr. Mahathir dan kehendak Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pastinya, ia kini menjadi wawasan saya, bersama Tan Sri Muhyiddin dan rakan-rakan dalam UMNO, Barisan Nasional dan juga kerajaan. Saya penuh yakin dan percaya, ia adalah hasrat murni didokong tuan-tuan dan puan-puan yang berada di dalam dewan dan di luar dewan, serta semua rakyat negara tercinta ini. Pendek kata, biar siapa pun kita, di mana jua berada, kita adalah 1Malaysia.

KEPIMPINAN DALAM BUDAYA MELAYU DAN UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

Di atas semua ini, jika diteliti, dalam budaya Melayu, hal kepimpinan amatlah pelbagai. Mulai daripada kepimpinan rumah tangga, dusun dan kampung sampailah kepada kepimpinan bangsa dan negara. Oleh sebab besar dan pentingnya pengaruh dalam kehidupan, maka para pemimpin diberi kepercayaan dan tanggungjawab memandu umat sepertimana tercermin dalam ungkapan “adat memegang kepercayaan orang, jangan sekali-kali menikam belakang, adat memegang kekuasaan, jangan sekali-kali merosakbinasakan, adat memegang kebebasan, jangan sekali-kali lupa batasan”.

Makanya, di saat ini, biar apa sekalipun suka duka, pahit maung, kritik cela yang dihadapkan lawan kepada UMNO, tawarikh jelas memperlihatkan bahawa, kita sudah bertahan lebih daripada enam puluh tahun dengan khidmat, jasa dan bakti yang mendalam kepada pembangunan umat Melayu juga negara. Tambahan lagi, kebolehan dan kewibawaan UMNO telah tersanjung tinggi bukan sahaja di rantau sebelah sini malah menjangkau ke seantero dunia.
Sememangnya lagi, sejak puluhan tahun, apa yang diperkatakan bukanlah omongan kosong. Terakam jelas dalam catatan negara, parti inilah yang telah menukar perpecahan kepada perpaduan, daripada pemikiran terjajah kepada pemikiran merdeka, daripada tidak percaya kepada kebolehan masing-masing kepada keyakinan mandiri yang membanggakan, daripada berputus asa kepada penuh harapan.
Jangan kita lupa, parti inilah yang berperanan merubah orang Melayu daripada bangsa yang tidak berkesedaran politik sebelum Perang Dunia Kedua kepada bangsa yang mampu merebut kemerdekaan dengan siasah hujung lidah menundukkan kuasa besar dunia iaitu pihak British.
Tidak cukup dengan itu, tersusun kemas dalam rekod negara, parti UMNO-lah yang telah menggerakkan kesedaran nasionalisme, semangat patriotisme dan demokrasi politik. Dalam gambaran besarnya, terbukti utuh bahawa, kepimpinan UMNO telah berjaya sebagai teraju ulung yang mentransformasikan Malaysia dengan begitu pantas seperti apa yang kita kecapi hari ini.


Saudara dan Saudari sekalian,

Menyongsong kisah-kisah pencapaian itu, kita ingin bertanya, apakah jenis bangsa yang berjaya menunjangi perjuangan hebat ini? Apakah sistem nilai yang dipegang? Persoalannya di sini, bukanlah kita ingin termangu dengan kejayaan-kejayaan lalu, namun, marilah kita menyingkap apakah kekuatan dan apakah faktor yang menjadi asas kepada keutuhan pertubuhan yang bermakna ini.

Dalam konteks ini, sesuai jika saya mengungkap beberapa baris puisi indah oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang serta bait-bait coretan gurindam daripada seorang tokoh persuratan, Tenas Effendy yang membicarakan tentang Melayu.



Pertama sekali dari segi usul dan asalnya disebut:

Melayu itu, kaya falsafahnya
Melayu itu, orang yang bijaksana
Akal budi bersulamkan daya

Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,



 

Saudara dan Saudari,


Tidak lengkap lagi senarai ini sebenarnya:

Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muallaf bertakrif Melayu

 Mendakap realiti semasa Malaysia pula:

Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam,
Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum,

Kita bersama dalam serumpun,

Di sudut perpaduan dan agama dinyatakan bahawa:

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Seterusnya dari perspektif kepimpinan dan amanah, Melayu dimadahkan:

Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung
Hidupnya mengabdi kepada rakyat
Taat setia membela umat


Akhirnya, disimpulkan Melayu itu:

Dijadikan induk kuat berdiri
Umat sentosa bertuahlah negeri.

Saudara dan Saudari sekalian,

Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas yang membenih nilai kepimpinan murni. Jika digarap lagi, demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam masyarakat.
Terbukti, di sudut leluhurnya bangsa Melayu itu, sejak sekian lama telah merentas ujian waktu. Keperibadian inilah juga yang menyebabkan Melayu diterima sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk. Sikap inilah juga menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah menggalas kepimpinan negara.
Lebih indah pula, ciri kepimpinan Melayu yang saya utarakan ini, telah dimurnikan dengan tibanya ajaran Islam yang menyeru, mendidik dan mendokong pendekatan wasatiyah. Wasatiyah, adalah suatu kaedah mengamalkan kehidupan individu mahupun masyarakat secara berimbang dan syumul dalam segenap bidang terutamanya dalam soal-soal yang menyangkut perpaduan dan kenegaraan.

Sesudah itu, dari masa hingga masa, ajaran Al-Quran serta sunnah disulam dan dijalin kemas dalam anyaman hidup seharian orang Melayu. Sejak itulah juga hingga kini, nilai orang Melayu, padat diwarnai dengan hala cara wasatiyah atau pertengahan. Merujuk para ulama tafsir, disyarahkan bahawa umat wasatiyah secara tuntasnya adalah umat yang adil lagi berdaya maju, bekerja keras untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.





KEPIMPINAN UMNO – SATU TANGGUNGJAWAB MORAL DALAM PENGURUSAN KAUM

Saudara dan Saudari sekalian,

Lanjutan dari itu, seperkara yang amat mustahak untuk diingat adalah, dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara, kita memerlukan corak kepimpinan yang betul dan pemahaman jujur pada wacananya, apatah lagi dalam sebuah negara bitara seperti Malaysia.

Sehubungan itu, bersyukurlah bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kekal stabil serta bebas daripada sebarang konflik besar. Sayugia, setiap orang perlu menerima hakikat bahawa kepelbagaian kaum adalah satu rahmat dan aset anugerah dari Allah SWT.

Sesungguhnya, kemajmukan adalah sumber kekuatan kita selama ini. Begitulah dunia tercipta dan akan kekal selamanya begitu. Apa yang mustahak adalah, bagaimana kita memanfaatkan aset ini bagi menunjangi kejayaan negara.

Berkait perkara itulah, semua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada, kerana sekalipun kita mengamalkan tindakan afirmatif untuk menjamin keadilan sosial, kejayaan seseorang nyatanya, hanyalah dihadkan oleh kreativiti, inovasi dan kesanggupan individu itu sendiri, untuk bekerja keras serta mengambil risiko. 


Misalnya, kaum bukan Bumiputera, setelah 39 tahun dasar afirmatif dilaksanakan, masih lagi merupakan kaum yang memiliki kekayaan terbesar. Kita menyedari, ada pihak mendakwa tindakan afirmatif itu sendiri yang mendatangkan kesusahan, akan tetapi, bukti empirikal menunjukkan sebaliknya. Sebenarnya, sikap penerima bantuan, cara pelaksanaan dan landskap di mana tindakan itulah yang menjadi punca masalah.

Saudara dan Saudari sekalian,
Sementelahan itu, apabila ada pihak yang mula mempersoalkan tentang kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dilindungi dengan hak-hak tertentu, ianya telah menimbulkan kegusaran serta rasa tidak puas hati, kepada kita yang amat terkenal dengan sikap dan sifat akomodatifnya. Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu.


Sayang seribu kali sayang juga, setelah lima puluh tiga tahun kita merdeka, hari ini, rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-teras utama perhubungan kaum yang wujud selama ini. Jika polemik nasional ini tidak ditangani dengan baik, kita berasa amat cuak, kerana ia berkemungkinan menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

Sebab itulah, saudara dan saudari, kita perlu sentiasa berwaspada, kita perlu terus mengingatkan diri masing-masing bahawa, kejayaan pertiwi tercinta sememangnya dimungkinkan oleh sumbangan, idea dan pengorbanan pelbagai kaum. Hakikatnya pun, ia bukanlah jasa, mahupun ikhtiar eksklusif satu kaum semata-mata, akan tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat oleh semua kaum secara kolektif.

Apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini, ketegangan akan timbul apabila, sejarah dienteng, atau, dilupakan akibat perjalanan masa, atau juga, apabila ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula semua itu, supaya sesuai dengan kepentingan serta agenda sempit kelompok masing-masing.

Kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis, menangguk di air keruh, sebenarnya musang berbulu ayam, bermain api permusuhan dan memanipulasi keadaan, sangat ditolak dalam kepimpinan. Mereka tidak layak digelar pemimpin.


Saudara dan Saudari sekalian,

Awaslah, awaslah kita, terhadap saudagar mimpi yang membuai dengan dongengan, menjadi petualang memintal kepalsuan, menenun kebencian, memperdagang fitnah, mengadun madu dengan tuba, meleceh pengorbanan dan tanpa segan silu, mengajak kita menikmati buah khuldi yang bergentayangan di pohon rendah, sehingga sanggup menggadai segala-galanya.

Saudara dan Saudari sekalian,

Bertolak dari situlah, bagi bangsa Melayu khususnya, perasaan mereka amat terhiris kerana ikrar budiman yang telah dipateri di ambang merdeka kini diungkit kembali. Sedangkan, berpayung sumpah dan janji itulah kita sanggup membuat pengorbanan terbesar bagi mencapai sebuah kemerdekaan, yakni berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum yang lain.

Serentak dengan itu, penerimaan kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip jus sanguinis yakni hak darah dengan sekelip mata telah mentransformasikan landskap sosiopolitik Tanah Melayu untuk selama-lamanya.

Dek kerana itulah, kita tidak boleh lagi hidup terpenjara kisah nan lalu tanpa melihat ke hadapan. Pokoknya di sini, sepertimana prinsip keutuhan sebarang kontrak yang dibuat di bawah lembayung kedaulatan undang-undang, jika tidak dihormati, maka tiadalah kepastian, walaupun bagi perkara-perkara asas yang telah dipersetujui bersama. Analoginya di sini, jika ia berlaku dalam bidang perniagaan, maka pihak yang berbuat demikian akan mendapati diri mereka, tidak lagi dipercayai oleh sesiapapun, apabila memungkiri janji. 


Najib Tun Razak melancarkan buku Jawapan Najib sambil diperhatikan oleh Muhyiddin Yassin dan Pengerusi ITNM, Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh (kiri) di Perhimpunan Agung UMNO 2010 di PWTC, semalam.

Seterusnya lagi, jika ikrar setia yang telah diwaad, dilanggar sewenang-wenangnya apabila tidak sesuai dengan selera atau kepentingan tertentu, akan hancurlah kepercayaan dan rapuhlah rasa penghormatan di antara kita, kerana masing-masing akan dihidapi penyakit kesangsian terhadap motif, kejujuran serta keikhlasan terhadap satu sama lain. Hal yang membarah sebegini berbahaya, saya ulang, amat berbahaya kepada sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia kerana ia berpontensi menghancurkan segala apa yang dibina sejak lebih lima puluh tahun yang lalu.

Satu hal yang pasti, timbal balas dipersembahkan bukan sahaja oleh bangsa Melayu, tetapi juga oleh kaum lain. Ia dimanifestasimelalui muafakat murni iaitu bagi memperoleh kerakyatan, orang bukan Melayu telah sanggup menerima prinsip hak keistimewaan sebagaimana termaktub di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kemudian itulah, kewarganegaraan Malaysia pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional.


Saudara dan Saudari sekalian,

Inilah sebenarnya asas teras kepada kontrak yang telah dimuafakat bapa-bapa pengasas mewakili kaum masing-masing di ambang kemerdekaan. Ia kemudiannya telah dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Mahu tidak mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan.
 

Kini pula, sebagai generasi kepimpinan mutakhir, kita telah diamanahkan untuk menghadapi tuntutan zaman monumental ini sebagaimana generasi kepimpinan pertama yang telah dihadapkan dengan cabaran untuk membina asas kepelbagaian. Oleh itu, adalah amat tidak bertanggungjawab jika kita memilih jalan berpeluk tubuh dan duduk bersimpuh tanpa berbuat apa-apa. Lebih teruk lagi jika ditanggungkan pula beban ini kepada generasi kepimpinan akan datang.

Demikian itulah, kita harus membina landasan baru perhubungan kaum di Malaysia dengan mengambil kira dua prinsip penting. Pertamanya, ia haruslah berasaskan masa depan yang dikongsi bersama dan kedua, ia harus mengambil kira faktor sejarah tanpa mengenepikan realiti hari ini serta potensi masa depan.

Saudara dan Saudari sekalian,

Sememangnya, manusia tidak wujud dan hidup dalam sebuah utopia. Manusia tidak dapat lari dari realiti dan persekitaran. Malaysia adalah sebuah negara berasaskan keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sepertimana ideologi kebangsaan yang ternukil dalam panca prinsip Rukun Negara.

Seperti yang kita maklum, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain perizaban kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.

Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa, pindaan terhadap artikel-artikel ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181.

Sehubungan hal ini, hendaklah kita mengetahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini, sama ada tentang kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik. Ini kerana, dari segi perundangan, peruntukan-peruntukannya sudah pun tersurat dan sekali gus terpateri kemas.

Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-Raja Melayu. Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung.

Di sebalik semuanya, suka tidak suka, ada sebab yang amat kuat mengapa perkara-perkara ini tidak dibenarkan untuk dipinda kecuali dengan perkenan Majlis Raja-Raja. Hikmahnya, adalah supaya peruntukan-peruntukan tersebut diletakkan luar daripada forum perbincangan. Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan “primordial instinct” atau naluri asal wujud antara etnik.

Di atas segalanya, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa sejarah telah menunjukkan tidak kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tinggi tahap toleransi, seandai dan sekiranya naluri asal wujud ini tidak diurus dengan baik, kesannya kelak, kita mungkin menyaksikan kezaliman yang sangat dahsyat bakal terjelma, dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sifat tabie manusiawi itu sendiri.

Apa yang saya perkatakan ini tidak menghairankan. Di abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi “holocaust” di Benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestine di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda. Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya, jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini.

Akibatnya, akan lebih pantas terutama dalam dunia tanpa sempadan dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berkembang. Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung 

menjadi putus. 


Saudara dan Saudari sekalian,

Merentasi situasi ini, sebagai orang Melayu yang merupakan kaum majoriti, kita mempunyai tanggungjawab kepimpinan untuk ditunaikan. Satu tanggungjawab moral kepimpinan yang melangkaui kepentingan kaum kita sendiri. Tanggungjawab ini secara alami telah tertakdir dan tertanggung ke atas orang-orang Melayu disebabkan kita adalah dalam rumpun majoriti yang membentuk 67 peratus daripada penduduk Malaysia. Seperti yang telah saya bicarakan di awal ucapan tadi, ketentuan ini disahihkan lagi oleh faktor sejarah serta sikap dalaman bangsa itu sendiri.

Begitulah, suratan satu bangsa yang terpilih menerajui kemajmukan. Kepercayaan yang terus-terusan diberi oleh kaum-kaum lain sewajibnya menjadi perangsang agar orang-orang Melayu sentiasa memperbaiki diri dan terkedepan sebagai pemudahcara antara kaum.

Dalam pengertian lain, di arus kemodenan dan kerancakan globalisasi, soal hak, harga diri dan asal-usul tidak lagi membawa apa-apa makna jika bangsa kita mundur dan ketinggalan. Secara automatis, rasa hormat, rasa menaruh harap oleh pihak lain kepada kita juga akan luntur. Dek yang demikian, pada saat ini juga kita perlu bingkas bangun dan berlari deras bagi menggapai justifikasi peranan umat Melayu dengan penuh berhemah lagi profesional.

GERAK KERJA UMNO

Saudara dan Saudari sekalian,

Menjengah ke hadapan, sebermula Perhimpunan Agung Mac 2009, pelbagai rencana dan perancangan rapi serta strategi telah disusun. Jadinya, kita tidak boleh lagi berlengah-lengah dan membuang masa. Mengatasi semua perkara, tumpuan kita sekarang ini adalah terhadap gerak kerja parti. Gerak kerja UMNO sebagai sebuah parti siasah mesti berubah. Kendati begitu, UMNO harus kekal berpegang teguh kepada tujuan asalnya, sebagai sebuah parti Melayu massa yang mampu mengungkap aspirasi bangsa.

Laksamana Hang Tuah menyebut, takkan Melayu hilang di dunia. Begitulah, bangsa Melayu terutamanya dirantau ini, telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka duka. Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu Melaka. Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah dijajah Portugis.

Ironisnya, banyak pihak hanya menumpukan kepada runtuhnya empayar Melayu ini kerana pengkhianatan dari dalam. Ya, memang benar ini sebahagian sebabnya. Tetapi fakta yang tidak kurang penting untuk diambil iktibar ialah ehwal tentera kedua-dua pihak, masing-masing ternyata memperlengkap persenjataan peperangan untuk era yang berlainan.

Maksud saya, pihak Portugis menggunakan senjata yang moden untuk zamannya, dengan senapang dan meriam sedangkan pertahanan Melaka waktu itu masih menggunakan senjata yang sesuai dengan zaman yang telah berlalu. Walaupun keris, tombak dan lembing menjadi lambang kepahlawanan, namun ia ternyata tidak mampu menewaskan bedil dan meriam. Begitulah resam dan ketetapan, sunnah putaran alam.


Saudara dan Saudari sekalian,

Oleh yang demikian amatlah mustahaknya Melayu alaf ke-3, Melayu abad ke-21 dipersediakan untuk eranya. Dari begitu obsesi terhadap hak, sebaliknya Melayu abad ke-21 wajib mempersiap siagakan dirinya untuk memanfaatkan hak yang ada. Apa gunanya kuota, rizab dan permit jika segalanya dipersiakan. Apa gunanya peluang jika ia digadai demi keuntungan jangka pendek.

Lalu, Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia adalah hak mereka untuk berjaya. Mahu tidak mahu, Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan.

Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik. Melayu seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa.

Justeru, saya sebagai Presiden UMNO tidak mahu menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun. Saya sebagai Presiden UMNO berserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta, kita tidak mahu melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak takkan jadi segantang. 






Dengan tegas, saya ingin ingatkan semua bahawa, pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya.

Saudara dan Saudari sekalian,

Kepada semua pihak hendaklah menyedari, bukankah apa yang Malaysia capai selama lima puluh tiga tahun kemerdekaan adalah juga hasil usaha dan penerajuan bangsa Melayu? Lantas, kita menjadi lemas dan rimas dewasa ini, apabila kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperlecehkan pencapaian orang Melayu. Benar sekali, amat mudah bagi lidah tidak bertulang membuat nista. Mereka dengan suka-suka menuduh perkhidmatan awam sebagai lubuk ketidakcekapan.

Walhal, jika perkhidmatan awam negara tidak kompeten, sudah lama kita menjadi negara gagal, tidak mungkin pula akan berjaya berkembang sebegini dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden.

Terbukti lagi selama ini, kita telah berjaya tanpa perlu ada pengkalan tentera asing dibumi bertuah ini untuk memberi payung keselamatan. Kita juga berjaya tanpa perlu keabsahan sebagai negara bangsa yang merdeka dan berdaulat dipertikaikan. Kita juga telah berjaya bersama pelbagai kaum membina tanah air keramat ini.

Diperakui, kita ada kelemahan, namun kita tetap mampu pada setiap masa bangkit mengatasi cabaran kelemahan yang dihadapkan dengan kudrat, acuan dan cara kita sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.


Saudara dan Saudari sekalian,

Mendepani segalanya, UMNO akan tetap menunaikan amanahnya untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara. Kita melakukannya bukan sahaja semata-mata melalui kata puitis yang muluk-muluk bahkan dengan inisiatif, program dan dasar yang konkrit.

UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut di tepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. Kita komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk tenggelam dalam keasyikan lampau. Nyatanya, kita bukan sahaja berhadapan dengan cabaran luar tetapi juga cabaran segelintir anak-anak bangsa yang nampaknya sanggup menggadai segala demi kuasa.

Sebagai pengajaran dari semua ini, orang UMNO tidak boleh hilang harapan atau bergundah gulana. Ajaran agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita sebagai ahli parti dan orang UMNO tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan UMNO musnah.

Demi, membina masa depan, demi terus mendaya bangsa ini, kita harus melalui tiga fasa pemulihan. Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya.






PENUTUP

Saudara dan Saudari sekalian,

UMNO bukanlah sebarang parti, UMNO lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu. Menelusuri perjalanannya, UMNO telah dilanda rentetan dugaan yang besar. Tahun 1951, Presiden dan Pengasas UMNO telah meninggalkan parti. Kemudiannya, PAS telah ditubuhkan oleh salah seorang calon Presiden yang tewas kepada Almarhum Tunku dalam pertandingan menggantikan Dato’ Onn sebagai pemimpin baru UMNO.

Menjelang 1969, UMNO dan rakan-rakannya telah hilang buat kali pertama majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, sekali gus kita dihadapkan dengan rusuhan kaum dan demokrasi terpaksa digantung. Dunia ketika itu, sudah seperti melambai selamat tinggal kepada UMNO. Detik cemas 1987 pula menyaksikan parti berpecah dua dan negara menghadapi insiden ketegangan kaum.

Setahun kemudian, pada 1988, kita berasa amat pilu dan begitu bersedih hati, bagai kilat turun menyambar, bagai garuda datang menyerang, hilang sudah tempat berteduh, patah ranting tempat berpaut, dengan sungguh rasa berhiba-hiba dan pilu, kita terpaksa menerima keputusan dan berita, bahawa parti UMNO yang sangat berjasa dan menggala baktinya ini telah diharamkan.

Selanjutnya, di akhir tahun 90-an, kita bukan sahaja menghadapi krisis kewangan antarabangsa, kita turut mengalami kemuraman politik apabila ramai orang Melayu telah tidak lagi memberi sokongan. Kita kemudiannya dilintangi oleh tsunami politik pada tahun 2008 yang amat mendebarkan. 


Saudara dan Saudari,

Alhamdulillah, walau apa pun jua rintangan, walau apa pun jua dugaan, pada setiap yang terus berusaha, tabah dan bertawakkal kepada Allah Yang Maha Kuasa, kemenangan pasti tiba. Syukur, dalam setiap krisis, UMNO telah berjaya bangkit kembali dan pulih dalam keadaan di mana segala faktor yang ada seolah-olah tidak langsung berpihak kepada kita.

Semuanya ini kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO terus berpijak di bumi nyata. Semuanya ini juga dimungkinkan kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO tidak pernah sedetik pun pudar keyakinannya terhadap perjuangan benar ini, tidak pernah pula sesaat pun luluh harapan kepada pucuk pimpinan. Pokoknya, pegangan mulia UMNO telah memanfaatkan bukan sahaja orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Hakikatnya, kitalah parti politik pertama yang berani meluaskan medan pemilihan sehingga melibatkan 140,000 orang ahli. Sebelum kita meminda perlembagaan pun, kita terkenal dengan parti politik yang amat kompetitif pertandingannya.

Demikianlah murninya impian kita. Demikianlah tulusnya langkah keramat UMNO. Demikianlah menggunungnya harapan orang-orang Melayu.

Makanya, bolehkah kita percaya kemakmuran Malaysia akan terus terpelihara sekiranya parti-parti lawan yang kelam kabut, bobrok dan goyah memegang tampuk kuasa? Bolehkah rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan terhadap mereka ini yang saban waktu dan saban masa hanya mengidam menduduki pusat pemerintahan? Sanggupkah kita menyerahkan Malaysia tercinta ini kepada pengkhianat bangsa dan tanah air?


Sesungguhnya,

Kepada saudara dan saudarilah nasib parti kita dipertaruhkan. Dalam genggaman saudara dan saudarilah pembelaan UMNO kita dambakan. Di bahu saudara dan saudari sekalianlah, tergalas warisan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ini.

Ayuh..

Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi


Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi 
Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi

Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!

Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia.
Bersamalah Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung UMNO kali ke-61, tahun 2010.

Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.





23 Oktober 2010 , Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur -  Pada hari ini adalah hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO yang akan melabuhkan tirainya selepas ucapan Penggulungan YAB Presiden UMNO.


Pada hari ini didahului Ucapan Penggulungan daripada Ketua Ketua Sayap Puteri YB. Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlen , Pemuda YB Khairy Jamaludin Abubakar dan Wanita Ybhg.Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.akan diikuti kemudian oleh 3 Naib Presiden  Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien Onn , Datuk Seri Shafie Hj.Apdal dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas itu Timbalan Presiden Tan Sri Mahyuddin Yasin dan kemudian barulah YAB Presiden UMNO.




KUALA LUMPUR 23 Okt. - Orang Melayu perlu berwaspada dengan dakyah songsang pemimpin pembangkang yang sanggup memperdaya rakyat dengan memanipulasi hukum-hakam agama demi kepentingan politik sempit mereka.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, keadaan tersebut sedang berleluasa dalam masyarakat Islam di negara ini sehingga mencetuskan perpecahan di kalangan orang Melayu.

Menurutnya, amalan sedemikian seharusnya ditolak disebabkan ia terpesong daripada syarak kerana 'menjatuhkan hukum' berdasarkan persepsi sendiri.

"Waktu tertentu dia kata boleh, waktu tertentu dia kata tidak boleh. Waktu tertentu dia kata haram, waktu tertentu dia kata halal.

"Sikap seperti ini sedang berjalan hingga peristiwa kafir-mengkafir dan sebagainya berlaku dalam umat Islam di Malaysia hari ini," katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di sini hari ini.

Menurutnya, senario itu sama seperti apa yang berlaku semasa Perang Karbala pada tahun 61 Hijrah apabila anak Khalifah Sayidina Ali yang juga cucu Nabi Muhammad SAW terbunuh disebabkan persepsi sendiri oleh pihak tertentu.

Justeru, tegas beliau, UMNO bertekad mempertahankan perjuangan demi kesepaduan umat Islam kerana parti itu berada pada landasan agama yang sebenar.

"Kita akan teruskan perjuangan, hati kita tetap terbuka dan beriman. UMNO tidak pernah menutup pintunya kepada sesiapa pun yang ingin sama-sama menegakkan Islam," tegasnya.

Jamil Khir memberitahu, sekiranya berlaku sebarang kemusykilan berkaitan agama, orang Islam seeloknya merujuk kepada para mufti yang boleh merungkai permasalahan dengan menggunakan pendekatan berhemah dan pemikiran bijaksana.

"Yakinlah kepada 14 mufti di seluruh negara yang sentiasa mendokong hasrat dan dasar kerajaan," katanya.




KUALA LUMPUR 23 Okt. - UMNO tidak boleh sekadar menjadi pelengkap kepada kerajaan tetapi sebaliknya perlu bertindak aktif menjadi nadi penggerak usaha transformasi kerajaan.

Sehubungan itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya ditubuhkan institusi pemikiran UMNO atau think tank bagi menangani serangan minda dan idea yang diprovokasi oleh pembangkang.

Menurut beliau, pasukan pemikir itu boleh digabungkan di kalangan anak-anak muda, pemimpin berkaliber dan tenaga pakar bertaraf profesor daripada universiti untuk mencambah idea terbaik.

"Harap dapat dipertimbangkan penubuhannya, ia sebagai titik sentuh yang bergerak dan berfungsi secara aktif dengan rakyat bagi diangkat hasilnya kepada parti.

"Melaluinya, UMNO akan terus terlekat rapat kepada rakyat. Akhirnya dividen politik itu akan kembali semula kepada UMNO bukannya kepada pihak lain," katanya semasa menggulung perbahasan di sini hari ini.

Khairy seterusnya mengingatkan para perwakilan tentang ingatan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak terlalu obses dengan hak-hak dan keistimewaan Melayu, dengan meminta semua pihak menginsafinya.

Sebaliknya, tegas beliau, Melayu perlu mencari kunci kejayaan bagaimana untuk memartabatkan bangsa supaya mampu bersaing di peringkat dunia.

"Allahyarham Tun Razak dalam Dasar Ekonomi Baru menyasarkan pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus tetapi masih tidak tercapai sehingga kini, matlamat kerajaan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 tidak bermakna jika ia masih gagal dicapai.

"Biarlah dalam tempoh anakandanya, Najib menjadi Perdana Menteri, sasaran itu akan mencecah ke garisan penamat menjelang 2020, sama-samalah kita berjuang dan tidak terlalu bergantung pada tongkat," katanya.

Dalam pada itu, Khairy turut mengingatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digelarnya saudagar mimpi, supaya jangan sesekali berani mengusik tiang seri negara demi agenda peribadinya.

Katanya, rakyat terutama pengundi muda telah menyedari muslihatnya dan mula kembali kepada perjuangan ikhlas UMNO dan BN.

"Pakatan pembangkang ini seperti 'Cerberus', iaitu raksasa hodoh berkepala tiga daripada hikayat klasik Rom yang mahukan tiga perkara yang berbeza antara satu sama lain.

"Pertama mahukan negara Islam, kedua mahukan negara sama rata, sama rasa dan yang terakhir mahukan negara depan, belakang sama rata," katanya.




KUALA LUMPUR 23 Okt. - Wanita UMNO berjanji menjadikan pergerakan itu stabil, bersatu, berdisiplin, setia dan mempunyai arah tuju jelas dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ia adalah hadiah 'teristimewa' pergerakan itu kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO keseluruhannya.

"Yang Amat Berhormat jangan risau, lapangkan dada, teruskan memimpin kerajaan, mengilhamkan pelbagai inovasi dan rancangan yang kreatif untuk membawa Malaysia ke puncak persada antarabangsa," katanya semasa menggulung hujah bagi Pergerakan Wanita pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Menurutnya, pergerakan tersebut turut akan menerapkan nilai-nilai kemuliaan dalam perjuangan yang menjadi intipati perjuangan asal politik Melayu iaitu kewajipan, tanggungjawab dan khidmat kepada rakyat.

Katanya, nasib kerajaan bergantung kepada nasib rakyat.

Justeru, Wanita UMNO selaku pemimpin, ibu, isteri dan pendidik berikrar akan menentukan kerja-kerja tradisi pergerakan itu dijalankan dengan penuh amanah, sistematik dan berhemah serta profesional.

Beliau berkata, pergerakan tersebut akan keluar dari zon selesa dengan disiplin dan strategik, mengembangkan sayap kepada kumpulan sasar terutamanya pengundi.

"Mengambil iktibar daripada amanat Presiden UMNO, kita akan serang dan gempur semua kawasan termasuk kawasan pembangkang tanpa rasa gerun dan bersama-sama dengan rakan seperjuangan parti komponen. Sentuhan ikhlas kerja-kerja kebajikan dan mulia mestilah dirasai oleh rakyat di bawah payung 1Malaysia," katanya.

Shahrizat berkata, berkat sokongan golongan lelaki, wanita kini telah mengalami banyak perubahan besar serta kemajuan yang luar biasa, terutamanya dalam bidang pembangunan wanita dan keluarga.

"Wanita UMNO terus kekal menjadi tonggak parti dan negara, kandungkan saka, lahirkan baka, bangunkan keluarga, didik anak bangsa, jaga rumah tangga, kembangkan nilai agama. Walaupun naluri Wanita UMNO selembut sutera, tetapi semangat kita tetap waja," tegasnya.

Beliau berkata, Wanita UMNO juga sentiasa berpegang kepada tradisi terbaik iaitu kebijaksanaan harus melebihi segala-galanya dan kesederhanaan menjadi tangkal panduan.

Menurutnya, Wanita UMNO akan membuktikan pada dua pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah tidak lama lagi serta Pilihan Raya Umum ke-13 bahawa pergerakan itu akan terus ke hadapan berjuang mendapatkan sokongan pengundi dan rakyat.






KUALA LUMPUR 23 Okt. - Dalam kesungguhan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan pelan transformasi kerajaan dan ekonomi, ramai yang tidak sedar dalam diam-diam beliau memerhati dengan penuh kesabaran tentang keadaan di dalam parti. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemerhatian itu mencakupi aspek siapa yang melatah, angkuh, mengambil kesempatan dan mereka yang hendak menjadi jaguh. Dalam parti komponen pula katanya, beliau memerhati mereka yang suka mengambil jalan mudah dan parti komponen yang tidak setia dan bersikap cauvinis.

"Beliau juga melihat kelakuan pembangkang yang sanggup menipu rakyat, meninggalkan prinsip, menggadaikan negara dan sanggup mengorbankan agama semata-mata untuk mendapatkan kuasa.

"Apa yang lebih menjijikkan ada yang tergamak dan membuat ahli-ahli UMNO berasa berang kerana serangan-serangan itu dilakukan oleh saudara seagama serta sebangsa dan musang berbulu ayam, sedangkan musang-musang inilah yang telah tidur dan gemuk dalam rumah UMNO," katanya sewaktu menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, dalam tempoh muhasabah serta susah selama 18 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, UMNO dapat mengenal kawan sebenar, siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang setia.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga Najib tetap menghayati pelbagai kerisauan dan andaian tentang bagaimana kepimpinan parti akan menentukan hala tuju perjuangan.

Beliau berkata, persoalan yang timbul adalah adakah UMNO terus mempertahankan landasan perjuangan asal dan bentuk serta pengisian perubahan yang ingin dibawa.

"Akhirnya Presiden memilih Perhimpunan UMNO untuk menyatakan dan menegaskan bahawa perjuangan pokok UMNO adalah konsisten, dulu, kini dan insya-Allah selama-lamanya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru seluruh ahli UMNO berjanji pada diri sendiri dan Allah bahawa perjuangan mereka adalah untuk menyahut seruan agama, bangsa dan negara.

Katanya, ia kerana tiada yang lebih pilu daripada melihat anak bangsa melarat dan menderita dan tiada yang lebih sayu daripada melihat bangsa dan umatnya menjadi hamba di tanah air sendiri.

"Kerana kita tahu, luka UMNO cederalah Melayu, hancur UMNO berderailah Melayu, pecah UMNO berkecailah Melayu dan mati UMNO berkuburlah Melayu," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin menegaskan, perjuangan UMNO turut mencakupi aspek keamanan, kestabilan dan kemakmuran semua rakyat Malaysia agar agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan licin tanpa sebarang gangguan.





KUALA LUMPUR 23 Okt. - UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memberi keutamaan kepada usaha menambah ahli baru, meningkatkan jumlah pendaftaran pemilih dan menjamin ahli keluar mengundi untuk memastikan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, usaha memperbaiki kelemahan dalam ketiga-tiga aspek itu masih belum mencapai tahap yang dikehendaki.

Beliau yang bimbang dengan keadaan itu berkata, gerakan pendaftaran pemilih baru yang dijalankan sejak berakhirnya pilihan raya umum lalu gagal menyaingi usaha pakatan pembangkang.

Menurutnya, berdasarkan rekod antara Januari hingga Jun lalu, jumlah pendaftaran pemilih baru oleh BN dan UMNO didapati jauh ketinggalan berbanding pakatan pembangkang khususnya di negeri yang mempunyai kepadatan penduduk bukan Melayu yang tinggi seperti di Pulau Pinang.

''Dalam tempoh enam bulan tahun ini jumlah pemilih baru yang berjaya didaftarkan oleh UMNO di negeri itu adalah 3,005 orang dan setelah ditambah dengan pendaftaran yang dibuat oleh MCA dan Gerakan jumlah keseluruhannya hanya 6,266 orang.

''Berbanding DAP, parti itu berjaya membuat pendaftaran pemilih baru seramai 20,274 orang dan setelah dikira dengan usaha yang dibuat oleh parti pembangkang lain jumlahnya mencecah 22,195 orang. Jelas di negeri yang mempunyai kepadatan penduduk bukan Melayu jurangnya berkali-kali ganda,'' katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di sini hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Pengerusi Biro Keahlian dan Pendaftaran Ahli berkata, di Johor yang diketahui sebagai kubu kuat UMNO, parti hanya berupaya mendaftarkan 13,125 orang pemilih baru dan apabila dirangkum dengan parti komponen BN yang lain hanya berjaya mendaftarkan 14,768 orang.





KUALA LUMPUR 23 Okt. - Ahli UMNO diingatkan supaya tidak menjadi golongan seperti Abu Jahal dan Abu Lahab yang walaupun sebangsa dengan Nabi Muhammad SAW tetapi menolak sirah perjuangan Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah.
Sebaliknya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu, seluruh ahli parti itu mencontohi semangat perjuangan Abu Bakar As-Siddiq yang taat dan sanggup mempertaruh jiwa serta raga demi panji perjuangan agama dan bangsa.

"Hari ini golongan seperti Abu Lahab dan Abu Jahal wujud di kalangan kita, wujud di kalangan masyarakat Melayu, tetapi kita mesti pastikan golongan seperti ini tidak wujud dalam UMNO kerana ia akan melemahkan perjuangan parti.

"Semua sifat mulia yang ada pada Abu Bakar serta sifat keji pada Abu Lahab dan Abu Jahal perlu dijadikan tauladan jika benar kita ingin berjuang demi bangsa, agama dan negara," katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid berkata, seluruh ahli UMNO juga perlu mengambil iktibar daripada perwatakan serta sikap Abu Suffian, Abu Hurairah dan Abu Talib jika mahu parti itu sentiasa mendapat sokongan rakyat.

Mengulas lanjut mengenai perjuangan Abu Bakar, beliau yang juga Pengerusi Biro Latihan berkata, parti itu akan mempergiatkan lagi sesi latihan untuk memastikan setiap ahli UMNO mempunyai roh perjuangan seperti khalifah agung Islam tersebut.

Tambahnya, sehingga kini sebanyak 189 kursus orientasi perdana sudah dilaksanakan sejak Oktober tahun lalu melibatkan seramai 24,244 ahli di semua peringkat termasuk pucuk pimpinan dan anggota sayap parti.

"Demi menyuburkan lagi roh perjuangan UMNO, Presiden sendiri mengarahkan seluruh kepimpinan UMNO di 20,342 cawangan juga perlu mengikuti kursus yang sama yang akan kita gerakkan dalam masa terdekat," jelasnya.

Mengenai kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang yang kian tertindas, beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri berkata, segala kekuatan serta gerak kerja akan digembleng bagi merampas kembali negeri itu daripada DAP.

Katanya, UMNO akan berkerjasama dengan semua parti komponen bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dapat mengulangi kejayaan seperti yang dinikmati pada pilihan raya umum 2004.
"Tiada cara lain untuk kita membela Melayu Pulau Pinang kecuali BN kembali memerintah. Ini kerana Lim Guan Eng mempunyai agenda tersembunyi apabila menaikkan kadar cukai pintu, menaikkan kadar bayaran air, meroboh gerai-gerai milik orang Melayu dan banyak lagi," katanya.






Ucapan Penggulungan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO "Saya mengumumkan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia memutuskan untuk menjadikan mata pelajaran SEJARAH sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat peperiksaan SPM mulai tahun 2013.."



KUALA LUMPUR 23 Okt. - UMNO perlu ada keberanian untuk mengatasi kelemahan-kelemahannya kerana ia sering menjadi sasaran dan tumpuan masyarakat yang menilai tentang apa yang dilakukan oleh parti tersebut selama ini.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut perlu dilakukan kerana masih ada ungkapan-ungkapan yang menunjukkan seolah-olah rakyat tidak berpuas hati dengan inisiatif yang dilakukan parti berkenaan dari semasa ke semasa.

Selain itu, ketika menyampaikan ucapan penggulungan di hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Muhyiddin juga turut menggesa ahli-ahli UMNO bermuhasabah.

''Ini supaya segala tindakan yang dilakukan dan dijalankan adalah berdasarkan keikhlasan, dan tutur kata yang dilafazkan adalah benar bagi meningkatkan kepercayaan rakyat kepada parti,'' katanya.

Beliau juga menggesa, ahli-ahli UMNO meningkatkan kerjasama di kalangan mereka supaya proses transformasi politik dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Inisiatif untuk melakukan transformasi itu, kata beliau merupakan langkah penting yang tidak boleh diabaikan kerana mahu atau tidak mahu, UMNO tetap akan berdepan dengan rakyat jelata yang akan menilai dan membuat keputusan dalam menentukan nasib parti tersebut pada pilihan raya akan datang.

"Masa yang ada di hadapan kita tidak banyak lagi, saya kurang pasti bila presiden parti nak umum tarikh pilihan raya, tetapi kalau pun tidak diumumkan pasti kita tahu tinggal beberapa bulan sahaja lagi ke hadapan," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, soal transformasi politik perlu dijayakan seperti mana yang ditekankan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai tiga fasa pemulihan termasuk memulakan gerak kerja.

"Pentingnya memulakan gerak kerja, saya percaya sebahagian besar yang ada di sini sudah memulakan gerak kerja masing-masing, di peringkat cawangan, bahagian, pelbagai aktiviti di kalangan pergerakan Pemuda, Wanita, Puteri, sudah pun menyemarakkan parti kita di peringkat akar umbi. Ini penting kita harus lipat gandakan usaha ini," katanya.

Beliau turut menggariskan dua perkara penting yang dicapai sepanjang perhimpunan agung UMNO selama tiga hari itu berlangsung.

''Pertama, UMNO sentiasa serius dalam membicarakan hal-hal memperkasa bangsa Melayu dan pada masa yang sama menjamin keadilan kepada semua kaum dalam negara.

"Kedua, dalam membicarakan hal-hal penting ini, UMNO sentiasa mengambil kira pandangan akar umbi yang mewakili suara hati rakyat, yang menyerlahkan sifat UMNO sebagai parti yang bukan saja demokratik tetapi juga parti yang sentiasa relevan, yang sentiasa mendahulukan kepentingan negara dan rakyat jelata," katanya.

Beliau berkata, perhimpunan berkenaan juga memaparkan suara hati ahli-ahli UMNO yang mempertegaskan perkara-perkara berkaitan kepentingan orang Melayu.

''Ahli-ahli mahukan parti tersebut terus istiqamah dalam mempertahankan hak-hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai Agama Persekutuan, dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, yang termaktub dalam Perlembagaan.

"Itu disebut dengan begitu jelas dan kita semua merasa bersyukur dengan ketegasan itu, seharusnya tidak ada lagi pihak yang mengungkitkan perkara-perkara yang kita putuskan dalam Perlembagaan negara," katanya.






Ucapan Penggulungan Presiden UMNO "Kita tak marah orang lain dapat keuntungan, kita tak marah orang lain kaya, malah yang kaya itu pun kerana UMNO. Betul tak? Siapa bagi lesen beras, lesen gula, lesen IPP, lesen satelit? Tak ke UMNO bagi. Jadi kalau kita nak tolong bumiputera, jangan pula marah. ini baru adil. Hak orang lain dapat dia senyap, hak kita nak bagi bumiputera, dia komplen. Tak bolehlah macam tu..."







Bismillahirrahmanirahim

Sidang perwakilan, sidang pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, Syukur Alhamdulillah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi taufik dan inayahnya kepada kita semua sehingga Perhimpunan Agung kali ke-61 ini dapat dirangkum dan disempurnakan dengan selamat sampai kepada penghujungnya.

Seperti mana yang saya sebut dalam ucapan dasar saya bahawa Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka ini dilangsungkan sebanyak 25 kali. Pada kali ini perhimpunan ini mencatat beberapa perkembangan yang amat signifikan lagi bersejarah.

Yang pertama ialah buat kali pertama dalam sejarah UMNO solat Jumaat telah diadakan di dalam bangunan UMNO sendiri. Moga-moga petanda ini akan membawa keberkatan yang berkekalan. Insya-Allah.

Dan saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha memberi kebenaran untuk solat Jumaat diadakan di dalam bangunan UMNO yang keramat lagi bersejarah ini.

Yang kedua ialah buat kali pertama sebelum perhimpunan ini diadakan satu forum antarabangsa yang bertajuk ‘Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru’ yang melibatkan 400 peserta dari dalam dan luar negara. Sekaligus kita telah dapat mengetengahkan UMNO, usaha-usaha murni UMNO memimpin negara kita, memaju negara kita dan membawa perubahan yang besar kepada negara kita. Biar dunia lihat bahawa kejayaan ini kerana kemajuan UMNO selama ini.

Saudara saudari sekalian,

Pada awal ucapan, saya nak menyelesaikan urusan yang biasa saya buat pada penghujung ucapan saya. Saya ucap terima kasih pada Datuk Pengerusi Tetap Persidangan UMNO yang telah mempengerusikan persidangan ini dengan gayanya tersendiri dan amat menarik.

Dan saya nak mengesahkan, saya turun bawah tadi jumpa dengan reporter akhbar Cina, saya tanya, “Betul ke Pengerusi Tetap kita cakap bahasa Hokkien?”’ Dia kata betul. Walaupun bahasa Hokkien pasar tapi betul. Tahniah juga kepada Timbalan Pengerusi Tetap yang cekap membantunya.

Saya juga ucap terima kasih kepada urus setia ibu pejabat, Setiausaha Agung (Datuk Tengku Adnan Mansor). Terima kasih kepada Setiausaha Kerja yang sihat walafiat, tak berhenti bekerja. Dan kepada semua kakitangan ibu pejabat, semua pihak, media, segala-galanya yang telah membantu persidangan kita berjalan dengan baik.

Saudara saudari sekalian,

Saya berasa begitu terharu bahawa ucapan Presiden saya pada kali ini mendapat sambutan yang sangat hangat di kalangan para perwakilan.

Saya ucap terima kasih kepada Timbalan Presiden yang telah menyatakan bahawa ucapan itu ucapan yang tegas dan berani.
Ada dua reaksi yang agak menarik perhatian saya. Yang pertama bila saya sedang ambil gambar dengan Exco Wanita, ramai wanita yang kata, ‘‘Datuk, kami wanita puas dengar ucapan.’’ Dia punya puas panjang sikit. Puas....Ini isteri saya tak marah. Bab ini dia tak marah. Bab lain jangan cuba.

Yang kedua bila saya balik rumah, ada seorang teman lama dari Pahang tunggu tercegat di luar pagar rumah saya. Jadi saya gamit dia bila saya masuk. Saya kaji apa hajatnya. Tak ada. Dia kata selama ini dia bimbang masa depan anak cucu dia. Tapi bila dengar ucapan saya dia kata dia yakin masa depan anak cucu dia terbela.
Dan itulah sebenarnya hakikatnya bahawa peruntukan-peruntukan yang menyangkut tentang kepentingan orang Melayu, bumiputera, yang melibatkan soal keistimewaan orang Melayu sudah pun terpateri kemas, telah terkunci, tersimpul mati dalam Perlembagaan negara kita. Yang tak boleh dipinda melainkan dengan persetujuan Raja-Raja Melayu dan saya tak nampak Raja-Raja Melayu akan pinda peruntukan Perlembagaan ini.

Namun ada juga pihak, inilah kata kumpulan yang sebelah sana, dia pakar pusing. Dia pusing bab itu, dia pusing. Orang putih kata spinning. Dia very good at spinning. Dia kata kalau sudah terkunci, tersimpul mati, jadi tak perlulah UMNO berkuasa sebab orang Melayu kalau ada kuasa pun orang lain boleh pertahankan sebab sudah ada peruntukan dalam Perlembagaan.

Ini adalah satu pandangan yang tidak benar sama sekali. Ini kerana walhal peruntukan itu sudah terkunci kemas tapi kuasa politik perlu di dalam tangan UMNO untuk menterjemahkan prinsip semangat peruntukan Perlembagaan. Sebab itulah dalam ucapan saya, bab kedua ketiga penghujungnya sekali saya tutup ucapan saya dengan mengatakan dalam apa juga keadaan, mesti kita pertahankan apa mesej itu.

Jangan sampai dia benak. Dia benak ataupun orang Negeri Sembilan kata bangang. Saya tanya isteri saya, bangang itu apa. Bangang itu paling teruk sekalilah ataupun dia faham sengaja tak nak buat faham. Inilah masalah kita berdepan dengan pembangkang yang selalu memutar sesuatu kenyataan untuk mengelirukan rakyat jelata. Kita beritahu bahawa UMNO akan menyelamatkan masa depan Melayu dan negara kita yang tercinta. Tak ada orang lain boleh, nak kata dia boleh? Dulu sibuk dengan reformasi, sekarang ini sibuk baling kerusi. Saya tak sebut, dia tau, dia faham.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Dalam perhimpunan ini, soal Perlembagaan tak usah bangkit pada sesiapa lagi, habis tutup cerita, kita mara ke depan. Orang putih kata let’s move on. Dalam perhimpunan ini saya lihat memang hasrat kita, hasrat saudara-saudara sekalian bahawa soal agenda Melayu, kedudukan bumiputera akan terus diperjuangkan oleh pimpinan UMNO dan kerajaan.

Saya nak beritahu bahawa hal ini memang akan terus diperjuangkan oleh kita. Malah dalam persidangan MCA baru-baru ini, bila saya rasmikan, sebelah saya semua pimpinan MCA. Apa saya kata? Saya kata sekiranya majoriti dalam sebuah negara itu memiliki sebahagian kecil daripada kekayaan, itu tidak adil dan tidak menyumbang kepada kestabilan politik tanah air kita.

Saya kata depan Presiden MCA, depan pimpinan MCA saya terangkan dengan jelas. Dalam UMNO, MCA dan MIC, dalam apa jua keadaan, kita mesti menegakkan keadilan sosial di dalam negara kita. Terima kasih perwakilan mengingatkan siapa pencetus Dasar Ekonomi Baru. Takkan saya, anakandanya, darah yang mengalir dalam badan saya, tidak akan meneruskan semangat dan prinsip perjuangan itu.

Dalam majlis ini, saya nak bagi tahu, bahawa hasrat saudara-saudara sekalian supaya kita tubuhkan apa yang dikatakan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera atau pun MTAB. Saya nak beritahu bahawa pada hakikat sebenarnya, Majlis Tertinggi mengangkat agenda bumiputera sudah pun diwujudkan oleh kerajaan. Malah mesyuarat pertama telah diadakan sebulan yang lalu. Saya jadi Pengerusi, Timbalan Perdana Menteri jadi Timbalan Pengerusi, menteri-menteri yang berkenaan menganggotai termasuk tiga-tiga Naib Presiden, hak Jawa, hak Turki, hak lanun, semua ada. Ketiga-tiga ini sekarang saya tak panggil nama dia. Saya panggil dia Jawa, Turki, lanun, biar lekat triple ini, semua ada.

Kami akan pastikan agenda bumiputera terus diperjuangkan. Malah ada satu perkembangan yang saya nak terangkan. Ini juga kaitan dengan program kita untuk menambah lagi penyertaan bumiputera yakni Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJJB) yang sekretariat dia bawah Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Saya nak beritahu bahawa pada tahun sudah dan tahun 2010, empat buah syarikat bumiputera yang market capitalisation berjumlah RM411 juta sudah pun disenaraikan di Bursa Saham. Syarikat-syarikat ini kami tak kenal siapa dia. Syarikat-syarikat ini diproses berdasarkan kepada kebolehannya untuk disenaraikan.

Tetapi untuk disenaraikan dia mesti ada rekod baik lima tahun keuntungan dan Suruhanjaya Sekuriti nak tengok dari segi keuntungan akan datang. Jadi, apa yang diperlukan oleh syarikat-syarikat bumiputera ini bantuan sedikit oleh kerajaan, dalam bahasa Inggeris disebutkan The Last Mile, ini penghujungnya. Jadi, kita bantu, bila kerajaan bantu penghujungnya syarikat-syarikat ini boleh disenaraikan di Bursa Saham dan tahun sudah RM411 juta.

Tahun akan datang insya-Allah 11 buah syarikat bumiputera dijangka disenaraikan dengan pasarannya hampir RM2 bilion. Memang seperti mana perwakilan kata, kita tak marah orang lain dapat keuntungan, kita tak marah orang lain kaya malah yang kaya itu pun kerana UMNO juga mereka kaya. Betul tak? Siapa bagi lesen beras? Siapa bagi lesen gula? Siapa bagi lesen IPP (projek loji tenaga bebas)? Siapa bagi lesen satelit? Tidakkah UMNO yang bagi. Kalau kita nak tolong bumiputera, jangan pula mereka marah kita nak tolong bumiputera, ini baru adil. Hak orang lain dapat dia senyap, hak kita nak bagi dia komplen, tak bolehlah macam itu, adilkah semua ini?

Ini yang kita hendak, itu satu 1Malaysia. Terima kasih semua kerana sudah terima 1Malaysia sekarang ini sampai ada seorang perwakilan pakai 1Malaysia dekat songkok dia, ada keluar dalam gambar, ini jelas.

Saudara-saudari sekalian,

Kita pun ada program lain macam Ekuinas. Kita sudah labur dalam tiga syarikat bumiputera dengan nilai sebanyak RM350 juta. Malah dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk Ekuinas. Kalau ada syarikat bumiputera yang berpotensi jadi lebih besar, sampai ke peringkat persada antarabangsa, kita akan bantu Melayu Ekuinas. Ini supaya syarikat bumiputera bukanlah syarikat yang kecil, kerdil tapi syarikat besar bertaraf dunia global. Ini hasrat kita supaya Melayu berjaya, bumiputera berjaya di persada antarabangsa.

Kita tidak lupa. Bukan sahaja orang usahawan, bukan sahaja golongan korporat tetapi perjuangan kita bak kata pemimpin-pemimpin tadi berbentuk inklusif, keterangkuman. Jadi, hak yang bawah pun kita mesti jaga sebab itulah kita perkenalkan gaji minimum. Siapa untung? Yang pertama posmen dah untung. Posmen dahulu hampir dekat paras kemiskinan. Sekarang ini dapat RM1,300, RM1,400 sebulan. Perjuangan siapa? Perjuangan UMNO. Bukan orang lain, UMNO.

Siapa lagi? Imam masjid pun terkejut, tersentak, tidak terfikir-fikir boleh dapat RM750. Sebab itu ada imam yang dah letak jawatan hendak ambil semula itu. Datuk Seri Jamil Khir Baharom kata ada, ada dia hendak minta balik jadi imam.

Siapa lagi? Guru-guru KAFA dapat, ketua kampung pun dapat, siapa ketua kampung? Separuh daripada ketua cawangan. Ketua Bahagian kena jaga ketua cawangan betul tak? Kalau tidak dia tidak sokong undi.

Mulai tahun depan siapa lagi, pengawal-pengawal keselamatan yang kebanyakannya bekas tentera, ini Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dapat gaji RM700 insya-Allah dapat RM1,000 ke atas. Ini perjuangan UMNO. Ini kena beritahu, jangan sebab nak bagi air 20 milimeter padu percuma, besarnya punya cerita. Macam wakil Pulau Pinang sebut nak bagi RM50 guru KAFA pun macam nak tenggelam Pulau Pinang punya ceritalah. Tapi kita mesti tahu, mesti beritahu, mesti uar-uarkan bahawa segala-galanya adalah kerana hasil perjuangan UMNOlah memungkinkan perkara ini jadi kenyataan, bukan orang lain.

Wakil Pemuda cadangkan supaya golongan muda yang baru keluar, baru nak kahwin, tak sabar nak kahwin tapi nak rumah (tetapi) tidak mampu, kerajaan telah isytiharkan bahawa kalau beli rumah bawah RM220,000 ke bawah tak payah bayar wang pendahuluan, dapat pinjaman 100 peratus.

Wakil Pemuda cadangkan supaya hak RM3,000 itu jangan kira pendapatan sekeluarga, tapi kalau seorang RM3,000 ke bawah pun tak apa. Boleh saya nak kata, saya setuju dengan syor Pemuda.

Inilah yang kita kata inklusif. Jangan jaga orang di atas sahaja, jaga di bawah, jangan main di atas sahaja, hak belakang pun jangan (Pengerusi Tetap mencelah), jangan itu, tak boleh lalu, tak boleh. Inilah yang kata UMNO ini keindahan. Cuma kita ini UMNO tidak pandai nak bawa cerita. Itu saja, tak pandai nak jual cerita, kurang sikit mahir, sebab apa? Kita ini mesti uar-uarkan di kampung, di bandar, di semua tempat, beritahu ini semua perjuangan UMNO. Bukan orang lain.

Saudara saudari sekalian,

Ramai yang sebut tentang transformasi UMNO. Jadi, saya nak sebut di sini bahawa model transformasi UMNO apa temanya. Saya fikir waktu persidangan ini, jurucakap, pensyarah semua saya menghayati hujah-hujah mereka. Saya tilik-tilik dan saya rasakan bahawa tema yang sesuai model transformasi UMNO ialah ‘UMNO Dahulukan Rakyat’. Ini dia. Jadi sebenarnya, proses transformasi ini dah mula. Dia mula seperti yang Datuk Hishammuddin (Hussein) kata tadi dari waktu kita meminda Perlembagaan pada tahun sudah. Kita tidak tahu sangat signifikannya. Tapi dalam sejarah UMNO, ada tiga peristiwa yang sangat besar ertinya iaitu penubuhan UMNO, UMNO diharamkan dan pindaan Perlembagaan UMNO pada tahun sudah. Ini tiga. Sebab apa? (Kerana) ia menukar sama sekali asas pemilihan, proses menentukan pemilihan UMNO yang lebih demokratik dan lebih inklusif termasuk jawatan Presiden UMNO pun. Nasib Presiden UMNO di tangan 140,000 perwakilan tidak boleh bersandar lagi kepada kuota. Dulu ada kuota. Ada 58 bahagian mencalonkan baru layak lawan Presiden. Tuan-tuan ingat senang dapat 58 bahagian. Berani 58 bahagian calon orang lain lawan Presiden? Tak ada, tak jadi. Saya betul-betul menyerah nasib saya, Tan Sri Muhyiddin (Yassin), naib-naib Presiden pada saudara-saudara sekalian.
Untuk menentukan ini, kita kembalikan kepercayaan kepada ahli supaya ahli akan menentukan dia boleh buat kerja atau tidak boleh buat kerja. Kalau tidak boleh buat kerja, dia akan hantar signal. Kami tidak mahu terus berkuasa tanpa dilihat, dinilai sebagai pemimpin yang boleh berjasa dan berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air.

Saya nak sebut sekali lagi, empat tonggak utama kemenangan kita. Satu, kepimpinan Barisan Nasional dengan dasarnya dan hala tujunya mesti diterima rakyat. Kedua, kepimpinan di peringkat negeri pun penting juga. Ketiga ialah parti sama ada parti kita dalam keadaan disenangi, diterima oleh rakyat. Keempat ialah calon, saya kata minta ‘winable candidate’. Empat ini mesti. Ingat, kalau keempat-empat ini jadi positif macam bah besar di Pekan, Pahang. Tuan-tuan dan puan-puan tahu bila bah besar di Pekan, Pahang? Tahu? Tak tahu? Ia jadi besar bila air turun dari hulu bertembung dengan laut air pasang, ia jadi limpahan banjir besar. Kalau kita nak menang besar, keempat-empat ini mesti menjurus kepada yang positif, baru kita menang besar macam bah besar di Pekan. Saya tahulah, saya ahli Parlimen Pekan.

Air naik berapa kaki? (Pengerusi Tetap mencelah): Naik tinggi...(ketawa) banyak kaki... Datuk. Belah Yan (Kedah) dulu, air naik empat kaki saja. Pahang lagi besar.

Jadi, kita mesti lihat dan saya cuba fikir apa dia elemen-elemen model transformasi. Saya tak nak kata ini Presiden punya idea atau Timbalan Presiden sama dengan Presiden punya idea.

Jadi kita mesti lihat dan saya cuba fikir apa agaknya elemen-elemen model transformasi. Saya tak nak kata ini Presiden punya idea atau Timbalan Presiden sama dengan Presiden punya idea.
Saya nak cantumkan, adunkan dengan perwakilan kerana kawan saya wakil Melaka kata, percayalah kepada kami. Betul tak? Betul.
Saya nak percaya pada perwakilan dan ahli UMNO. Saya nak gariskan berdasarkan pada intipati ucapan saudara-saudari dalam perhimpunan ini.


Yang pertama, nilai elemen yang pertama ialah tentukan bahawa maruah parti, kepentingan parti lebih besar, lebih tinggi daripada maruah kepentingan diri.

Wakil Kelantan contohnya katanya Tok Pa (Mustapa Mohamed) Pengerusi Perhubungan Negeri Kelantan, tapi bila kita ambil keputusan lantik Tengku Razaleigh sebagai pengarah Pilihan Raya DUN Galas, Tok Pa jadi timbalan kepada Tengku Razaleigh, kerana apa? Kerana dia nak menang.

Maknanya bukan soal maruah diri. Bukan soal status diri, bukan soal kepentingan diri tapi diutamakan parti mesti menang.


Nilai elemen kedua, saya ambil wakil dari Sabah, sahabat saya juga. Dia kata bahawa dalam parti ini yang penting bukan kumpulan tapi pasukan. Banyak beza kumpulan dan ‘team’. Makna bila ada team adalah pemain, posisi kita tahulah, bola sepakkan. Semua orang tahu macam mana kita nak menang dalam bola sepak, cuma pasukan kita tak boleh nak menang. Itu saja.

Maknanya kita mesti ada penyerang, menyerang. Jangan sumbat gol sendiri. Ada orang dia ‘score’ gol sendiri. Pilihan raya (umum) ada, pilihan raya kecil ada. Ada setiausaha bahagian, pilihan raya tak jadi calon pukul 10 malam dah tidur. Ada yang tak ada di kawasan pun ada. Betul tak? Betul. Tak jadi calon tak nampak muka. Langsung tak nampak. Cari, hilang. Ada yang sponsor pergi Medan.

Itulah kata ada yang bentes kaki. Orang Kelantan kata ‘cah keting’. Kalau tidak kita menang di Manek Urai. Belum masuk bab Datuk Seri Shafie (Apdal) kata banyak yang tak daftar. Yang tak daftar inilah bentes kaki, cah keting. Yang hilangkan diri, yang merajuk semua ada. Sebab itulah kita belum ada lagi aspek ‘esprit de corps’ yang kuat. Dalam transformasi model ini kita mesti memperkukuhkan ‘esprit de corps’ dalam parti kita di semua peringkat.

Janganlah kalau kerja dalam kumpulan kalau tidak ikut rentak, geng atau ‘clique’ kita, kita nak cantas dia. Walhal dia boleh buat sumbangan pada parti, betul tak? Ini jadi perangai kita. Jadi transformasi model politik jangan pakai lagi perangai macam ini.


Yang ketiga, saya ambil daripada perwakilan juga. Memenangi pemikiran, hati dan jiwa rakyat. Sebab itu kita buat program Juara Rakyat. Kita nak bersifat inklusif. Juara rakyat jangan kita sama kita geng kita. Ada satu bahagian buat kejohanan boling sesama dia. Tak jadi juara rakyatlah. Jadi juara boling saja. Tapi claim pada UMNO. Jadi macam mana rakyat?

Kita mesti macam perwakilan kata jangan menunjuk-nunjuk. Dia kata jangan nak buat sekelip mata tukar rumah besar, kereta besar, cuma isteri tak nak besar. Ini perwakilan cakap. Bukan saya cakap. Jadi inilah yang mesti kita buat. Biar rakyat pandang dia suka tengok pemimpin UMNO. Kita dapat memenangi hati dan pemikiran rakyat.


Keempat, zaman ini zaman moden. Kita mesti jadi juara dalam media baru juga. Jangan puak-puak sana saja. Kita mesti ada facebook. Mesti ada Twitter. Macam-macam mesti buat. Sebab itu saya kata kerajaan Melaka tumbang pada Portugis kenapa? Kerana dia dengan dia punya tombak, keris dan kapak. Portugis dengan meriam, senapang. Kalahlah kita.

Zaman sekarang ini kita pakai facebook sebagai social network. Kita mesti jadi juara social network.

Saya pun cubalah walaupun tak mahir sangat. Alhamdulillah facebook saya sudah setengah juta. Tun Dr. Mahathir (Mohamad) yang veteran pun dah mahir blog, facebook. Dia buat transformasi juga.


Yang kelima, orang muda. Empat juta pengundi baru. Yang lama dah masuk dalam kotak, dalam bakul UMNO, bakul Pas atau bakul apa. Yang baru empat juta ini mesti jadi sasaran kepada UMNO menjurus kepada PRU-13. Itulah kita hendak. Bila Ketua Pemuda cadang buat think tank, saya setuju dan kita bantu.


Yang keenam, UMNO mesti menuju sifar masalah. Ada masalah lagi? Ada. Dalam perhimpunan ini pun ada. Ramai. Ada juga bahagian yang datang jumpa saya sebab masalah bahagian. Sebab apa? Sebab ada dua kumpulan. Bahagian yang boleh kita menang. Kerusi yang boleh kita menang. Tapi kita kalah. Sebab apa? Sebab UMNO tidak dapat menyelesaikan masalah dalaman di peringkat bahagian itu. Jadi, saya mintalah kita semua bantu cari penyelesaian. Yang kaki hantuk, kaki batu ‘ronson’, jawatankuasa mandi, tak usah buat kerja ini.


Dan yang ketujuh, UMNO mesti dahulukan rakyat, saya sebut tadi. Ini penting sangat, dahulukan rakyat. Tengoklah, kalau kita buat apa-apa bantuan, nak bagi saham Felcra di bahagian ini pun tengoklah, jangan bagi anak saudara kita.

Anak saudara kita yang dah jadi peguam nak saham Felcra, nak buat apa? Bagi kepada orang yang memerlukan bantuan, biar UMNO dilihat parti yang adil dan inklusif, dahulukan rakyat, rakyat sentrik. Insya-Allah, UMNO akan berjaya kalau kita letakkan rakyat yang kita dahulukan rakyat sepanjang masa.

Saudara-saudari sekalian,

Saya dah cuba gariskan bahawa transformasi politik amat perlu kita lakukan. Mulai tahun hadapan, saya ambil keputusan, sama-sama dengan Timbalan Presiden, kami akan turun ke negeri-negeri. Kami akan berjumpa dengan UMNO dan rakyat. Saya hendak UMNO sediakan yang sebaik-baiknya. Sediakan untuk lawatan kami berdua supaya mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan. Boleh ke tidak? Balik ini buat persiapan. Kita nak tengok persiapan yang diberi. Saya nak belek, saya nak tilik, saya nak tengok.

Saya nak beritahu bahawa dalam masa yang terdekat ini, saya akan buat perubahan kepada kepimpinan UMNO di peringkat tertentu. Mula dengan susunan yang akan datang ini, akan lengkaplah persediaan kita. Saya akan runding dengan Timbalan Presiden, runding dengan Jawa, Turki, lanun apa formula yang sebaik-baiknya. Saya nak kita bekerja kuat, sebab orang Melayu dan negara tak boleh harap pada orang lain melainkan UMNO sahaja. Jadi, kita turun padang dan sentiasa berada atas padang.
Jadi rajin, jangan malas,
Boleh menang kita di Galas.
Jangan jadi batu api,
Boleh menang di Batu Sapi.
Bersusah-susah mendaki bukit,
Tanah yang kontang digali lembah,
Walau berkecai bumi di langit,
Hak Melayu takkan dirubah.
Nyiur gading puncak mahligai,
Ketupat pulut berisi inti,
Biar bergoncang dihentam badai,
Bahtera UMNO tak kan berhenti.
Demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



Selesai sudah Persidangan Agung UMNO kali ke 61 tahun 2010 yang melabuhkan tirainya di Dewan Merdeka PWTC , Kuala Lumpur.

Ucapan Penggulungan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu diangkat sebagai AMANAT Presiden. Perlu ditafsirkan juga Amanat Presiden tersebut sebagai Guidelines untuk keseluruhan pimpinan UMNO semua peringkat samada dari Majlis Tertinggi, sayap Pemuda Lembik, sayap Wanita Berangan MB, sayap Puteri 3G Gempal, Gemuk & Gebu - menjadikan Amanat ini sebagai Winning Formula..!

Apakah 7 Amanat ini berjaya untuk suatu Proses Transformasi UMNO agar mencapai kemenangan jitu kearah mempertahankan Putrajaya dan kembalikan majoriti 2/3 Parlimen..?

Mampukah 7 Amanat ini merampas kuasa kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan..?

Berjayakah 7 Amanat ini membantu Dr Zambry mempertahankan negeri Perak daripada dirobek robek oleh Ngeh & Nga yang akan "mengkudakan" Nizar sebagai barua mereka...?

Marilah kita perhalusi 7 Amanat Presiden ini, dan lihatlah keadaan sekeliling kita dengan sikap pemimpin UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan lain lain komponen itu sendiri..., mampukah tercapai hasrat murni Datuk Sri Najib?

PERTAMA
Tentukan Maruah Parti Lebih Besar Daripada Kepentingan Diri

KEDUA
Yang Penting Bukan Kumpulan Tetapi Pasukan

KETIGA
Menangi Pemikiran, Hati Dan Jiwa Rakyat

KEEMPAT
UMNO Mesti Menjadi JUARA Media Baru

KELIMA
Menangi Sokongan 4 Juta Pengundi Baru

KEENAM
UMNO Mesti Menuju Sifar Masalah

KETUJUH
UMNO Kena Dahulukan Rakyat, Biar UMNO Dilihat Sebagai Parti Yand Adil

Semoga bermula dari saat ini, pimpinan UMNO semua peringkat, dari atas sehinggalah ke akar umbi, terutama sekali peringkat jentera pilihanraya akan menggalas tanggungjawab dengan satu daya tenaga luar biasa ibarat seekor Sapi yang digeruni, agar kemenangan yang dicari dapat ditemui..!

 
Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, maka dapat kita berkumpul dalam suasana di bulan Syawal yang penuh keberkatan dan nikmatnya ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua perwakilan yang berada di dewan yang mulia ini. 2. Puji dan syukur juga ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. kerana di atas semangat perjuangan baginda Puteri hadir untuk meneruskan agenda perjuangan agama, bangsa dan Negara. 3. Saya ingin merakamkan rasa syukur dan terharu kerana pada tahun ini sudah cukup usia Puteri berdiri teguh, segar dan relevan selama 8 tahun dipayungi oleh parti UMNO yang kita cintai dan kasihi. 4. Syukur dan penuh insaf juga kerana perhimpunan ini dapat diadakan dalam suasana aman, tenteram dan harmoni dibawah kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional yang terus gah membawa Malaysia ke persada dunia. 5. Terima kasih diucapkan kepada semua perwakilan di atas semangat, komitmen dan dedikasi untuk memastikan Puteri terus kekal utuh, disegani lawan dan disenangi kawan. Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian, 6. Hampir enam bulan proses pemilihan parti selesai. Ini merupakan ucapan sulung saya sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. 7. Hakikatnya tanggungjawab yang diamanahkan di bahu saya ini amat berat. Menjadi ketua dan pemimpin kepada 320,000 ahli Puteri di seluruh negara bukanlah tugas yang mudah. Ia juga bukan sekadar mengisi kekosongan, bukan sekadar memenuhi rutin pemilihan parti setiap lima tahun. Tugas ini datang bersama kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli Puteri. Justeru saya sama sekali tidak boleh memandang ringan jauh sekali mengejar glamor sebaik sahaja dipilih sebagai ketua puteri. 8. Saya yakin dan percaya ini merupakan platform terbaik untuk saya menyalurkan informasi dan amanat. Saya akan kiaskan pergerakan ini seperti sebuah rumah kediaman, yang sejuk untuk didiami, meriah untuk dikunjungi dan yang elok dipandang mereka yang melintasi. Untuk itu, sebagai asas kepada pembinaan sebuah rumah, strukturnya perlu kukuh dan kuat. 9. Oleh itu adalah menjadi agenda utama saya, bagi meletakkan struktur yang kuat, saya akan memastikan setiap daripada kita memperbaharui tekad untuk memastikan kita terus bersatu di bawah satu perjuangan....1 Malaysia.

Cheap Offers: http://bit.ly/gadgets_cheap
Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah swt kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, maka dapat kita berkumpul dalam suasana di bulan Syawal yang penuh keberkatan dan nikmatnya ini. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua perwakilan yang berada di dewan yang mulia ini. 2. Puji dan syukur juga ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. kerana di atas semangat perjuangan baginda Puteri hadir untuk meneruskan agenda perjuangan agama, bangsa dan Negara. 3. Saya ingin merakamkan rasa syukur dan terharu kerana pada tahun ini sudah cukup usia Puteri berdiri teguh, segar dan relevan selama 8 tahun dipayungi oleh parti UMNO yang kita cintai dan kasihi. 4. Syukur dan penuh insaf juga kerana perhimpunan ini dapat diadakan dalam suasana aman, tenteram dan harmoni dibawah kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional yang terus gah membawa Malaysia ke persada dunia. 5. Terima kasih diucapkan kepada semua perwakilan di atas semangat, komitmen dan dedikasi untuk memastikan Puteri terus kekal utuh, disegani lawan dan disenangi kawan. Sidang Perwakilan Yang Dihormati Sekalian, 6. Hampir enam bulan proses pemilihan parti selesai. Ini merupakan ucapan sulung saya sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. 7. Hakikatnya tanggungjawab yang diamanahkan di bahu saya ini amat berat. Menjadi ketua dan pemimpin kepada 320,000 ahli Puteri di seluruh negara bukanlah tugas yang mudah. Ia juga bukan sekadar mengisi kekosongan, bukan sekadar memenuhi rutin pemilihan parti setiap lima tahun. Tugas ini datang bersama kepercayaan yang diberikan oleh ahli-ahli Puteri. Justeru saya sama sekali tidak boleh memandang ringan jauh sekali mengejar glamor sebaik sahaja dipilih sebagai ketua puteri. 8. Saya yakin dan percaya ini merupakan platform terbaik untuk saya menyalurkan informasi dan amanat. Saya akan kiaskan pergerakan ini seperti sebuah rumah kediaman, yang sejuk untuk didiami, meriah untuk dikunjungi dan yang elok dipandang mereka yang melintasi. Untuk itu, sebagai asas kepada pembinaan sebuah rumah, strukturnya perlu kukuh dan kuat. 9. Oleh itu adalah menjadi agenda utama saya, bagi meletakkan struktur yang kuat, saya akan memastikan setiap daripada kita memperbaharui tekad untuk memastikan kita terus bersatu di bawah satu perjuangan....1 Malaysia.

Cheap Offers: http://bit.ly/gadgets_cheap