Pada 8 March 2014 Pesawat MAS MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari yang sama.Namun pesawat MH370 tersebut dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan.Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerak pada 5.30 pagi melibatkan 15 pesawat TUDM, termasuk empat Hercules C130, sebuah CN 235, empat EC 725, dua helikopter Augusta serta enam kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).Kenyataan media oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya pada 7.30 pagi mengesahkan kehilangan pesawat itu dan kesemua keluarga penumpang dimaklumkan; pecahan kerakyatan penumpang MH370 iaitu, Malaysia (38),China (153) , Indonesia (12), Australia (7), Perancis (3), Amerika Syarikat (3), New Zealand (2), Ukraine (2), Kanada (2), Rusia (1), Itali (1), Taiwan (1), Belanda (1) dan Austria (1).
PENCARIAN MH370 SEBAIK SAJA DISAHKAN HILANG DARI RADAR PENERBANGAN AWAM ( DCA )
Gerakan mencari dan menyelamat besar-besaran telah dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hampir 20,000 nelayan laut dalam seluruh negara turut digerakkan bagi membantu pasukan mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 Boeing 777-200 yang dilaporkan terputus komunikasi dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada jam 1.30 awal pagi Sabtu (8 Mac). Sehingga kini gerakan mengesan pesawat MH370, penerbangan dari Kuala Lumpur-Beijing itu belum berhasil dan nasib 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal MH370 masih belum diketahui. Tragedi kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 ini juga telah mendapat liputan meluas seluruh Media Tempatan dan Antarabangsa. Selain Malaysia, gerakan mencari besar-besaran ini turut dibantu oleh Negara Vietnam yang bersempadan perairan dengan Malaysia di lokasi terakhir MH370 dikesan dan Republik Rakyat China, di mana kebanyakkan penumpang berasal dari negara terbabit. Selain itu, beberapa negara lain seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Filipina, Australia dan Amerika Syarikat juga telah menawarkan untuk terlibat sama membantu dalam gerakan mencari dan menyelamat MH370, kepada kerajaan Malaysia. Dengan keizinan dari kerajaan Malaysia ini menjadikan skop gerakan mencari dan menyelamat MH370 bertambah besar dan luas.
Terdapat 227 penumpang termasuk 153 warganegara China dan 38 rakyat Malaysia. Menurut senarai penumpang, terdapat 2 penumpang kanak-kanak dan kesemua 12 anak kapal merupakan rakyat Malaysia.
Daripada kesemua warganegara China yang menaiki pesawat itu, 19 daripadanya merupakan artis yang hadir ke sebuah pameran di Kuala Lumpur. Dipercayai terdapat 2 penumpang yang menggunakan pasport curi.Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 0041 pada Sabtu dan dijadualkan tiba di Beijing pada jam 0630. Pengawal trafik udara terputus hubungan pada jam 0130.Pesawat ini menyeberangi Laut China Selatan dan di selatan semenanjung Ca Mau, Vietnam. Ia merupakan laluan biasa dengan memasuki ruang udara Kemboja dan juga Vietnam sebelum masuk ke ruang udara China.
Tiada isyarat kecemasan atau isyarat lain dihantar. Akan tetapi, pesawat ini dipercayai cuba berpatah balik dari jalan yang dijadualkan berkemungkinan ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Tumpuan misi mencari MH370 adalah di perairan Timur Malaysia, di Laut China Selatan, diperluaskan ke Selat Melaka bahagian Pantai Barat Malaysia dan juga sekitar Laut Andaman. Faktor yang diberi perhatian ialah keadaan cuaca yang kurang baik, kesilapan juruterbang dan juga kelayakan terbang.
Keadaan cuaca ketika penerbangan ini dilaporkan baik. Juruterbang pula mempunyai lebih daripada 18,000 jam penerbangan dan mula bertugas sejak 1981. Malaysia Airlines ialah syarikat penerbangan yang mempunyai rekod yang baik. Pesawat Boeing 777-200 pula merupakan pesawat yang paling selamat serta dilengkapi dengan teknologi moden. Pesawat ini pernah mengalami kemalangan kecil sewaktu bergerak di landasan pada tahun 2012 tetapi telah dibaiki dan mendapat kelulusan untuk beroperasi semula. Kali terakhir pemeriksaan dilakukan adalah pada 10 hari lalu. Pihak MAS tidak menolak sebarang teori. Namun, pegawai di Amerika Syarikat yang menghantar penyiasat FBI berkata tiada bukti berkaitan serangan pengganas buat masa ini. Kehadiran 2 penumpang dengan pasport curi adalah pelanggaran undang-undang tetapi ia lebih berkisar kepada isu Pemerdagangan manusia. Sebelum ini, penerbangan Air India yang terhempas di Mangalore pada 2010 sewaktu dalam perjalanan ke Dubai telah mengakibatkan kehilangan 158 nyawa dan 10 penumpang dengan pasport palsu telah dikenalpasti. Sementara itu menurut laporan berita terkini, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan bahawa dua penumpang lelaki yang menaiki MH370 menggunakan pasport curi tersebut, tidak memiliki wajah Asia.
"Kami berulang kali melihat semua gambar video, mereka tidak menyerupai lelaki Asia," kata beliau pada sidang akhbar kepada pihak media. Pesawat Air France dalam penerbangan dari Brazil ke Perancis hilang di Lautan Pasifik pada 1 Jun 2009 yang mengakibatkan kesemua 228 orang turut hilang. Serpihan pesawat itu dikesan pada hari berikutnya tetapi mengambil masa hampir 2 tahun untuk mencari perakam penerbangan dan juga mayat fiuslaj yang tenggelam ke dasar laut. Perairan di Laut China Selatan dan Selat Melaka adalah lebih cetek berbanding Lautan Atlantik. Perakam penerbangan atau kotak hitam berkeupayaan untuk memancarkan isyarat ultrasonik yang boleh dikesan walaupun di dalam air. Pada keadaan yang baik, isyarat ini boleh dikesan beberapa ratus kilometer jauhnya. Tanpa mengetahui trajektori kapal terbang menjunam mahupun pemahaman mengenai kelajuan angin dan juga keadaan ombak, pasukan mencari dan menyelamat terpaksa melakukan carian pada kawasan yang lebih luas. Berdasarkan rakaman radar Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memang terdapat kemungkinan pesawat tersebut cuba berpatah balik sebelum komunikasinya terputus,Namun, sehingga kini tidak diketahui permasalahan yang berlaku yang menyebabkan pesawat tersebut cuba berpatah balik.Operasi pencarian ini melibatkan penggunaan aset-aset ketenteraan dari pelbagai cabang udara, laut dan darat termasuk juga penglibatan agensi penguatkuasaan maritim dan polis dari negara-negara yang terlibat.
Pada 9 March 2014 usaha mencari dan menyelamat diteruskan menurut Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kawasan pencarian diperluas di Laut China Selatan dan Selat Melaka.. Ketua Pengarah DCA Datuk Azharuddin Abdul Rahman mengesahkan hanya dua penumpang yang menggunakan pasport palsu Itali dan Austria, menaiki pesawat MH370.
Pada 10 March 2014 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar kerajaan akan melakukan yang terbaik dalam operasi mencari dan menyelamat MH370. APMM menerima keputusan ujian sampel tompokan minyak yang ditemui di perairan Vietnam, yang negatif minyak pesawat dan disahkan sebagai minyak bagi kapal kargo.
Pada 11 March 2014 Misteri dua penumpang terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ibu pejabat Interpol mendedahkan identiti mereka iaitu warga Iran yang dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Seyed Mohammad Erza, 29. Kedua-dua mereka disahkan tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas dan dipercayai cuba berhijrah ke Eropah.
Pada 12 March 2014 Datuk Seri Hishammuddin memperjelas beberapa isu termasuk ada sedikit kemungkinan MH370 melewati Selat Melaka, kerjasama dengan pakar penerbangan luar negara dan semua orang yang mendaftar dalam penerbangan MH370 menaiki pesawat. Empat penumpang tidak muncul semasa mendaftar. Mereka diganti dengan penumpang daripada senarai menunggu. Penumpang berkenaan menaiki pesawat. Tiada bagasi yang tidak dimuatkan. Dua lelaki rakyat Iran, yang memasuki dan meninggalkan Malaysia menaiki pesawat MH370, menggunakan pasport yang sama.
Pada 13 March 2014 Datuk Seri Hishammuddin menafikan dakwaan bahawa pesawat itu mungkin terbang kira-kira empat sejam selepas ia hilang dari skrin radar.China menyatakan bahawa tiada bukti objek terapung yang dikesan satelit di Laut China Selatan pada Ahad mempunyai hubung kait dengan pesawat MAS yang hilang. Pihak berkuasa China juga berkata berlaku kesilapan ketika mengeluarkan imej itu. Pencarian diperluas sehingga ke Lautan Hindi. Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat USS Kidd tiba di Selat Melaka untuk membantu pencarian.
Pada 14 March 2014 Pihak berkuasa mengkaji empat hingga lima kemungkinan bagaimana transponder pesawat ditutup.
Pada 15 March 2014 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat mengesahkan laporan kemungkinan pesawat dirampas.
Najib berkata komunikasi terakhir pesawat dengan satelit dikesan di satu daripada dua koridor; koridor utara merentangi kawasan dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke bahagian utara Thailand atau koridor selatan yang merentangi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi. Najib berkata operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan ditamatkan.
Peta yang menunjukkan kemungkinan laluan pesawat penerbangan MH370 selepas ia berpatah balik dari laluan Igari di Laut China Selatan dan lokasi yang dikatakan berakhir di selatan Lautan Hindi.Rakaman semula daripada radar utama tentera mendedahkan bahawa pesawat kemungkinan MH370 berpatah balik ke arah barat dan menuju ke Semenanjung Malaysia. Perkara itu didedahkan kerajaan hari ini dalam laporan awal pasukan penyiasatan antarabangsa berhubung kehilangan pesawat penerbangan MH370 pada 8 Mac lalu.
Pada 16 March 2014 Datuk Seri Hishammuddin berkata tiada sebarang tuntutan dibuat berhubung kehilangan pesawat. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata insiden kehilangan MH370 disiasat mengikut Seksyen 130(C) Kanun Keseksaan bagi kesalahan merampas, keganasan dan sabotaj, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Kesalahan Penerbangan 2003.Polis mengambil simulator penerbangan dari rumah juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah.
Pada 17 March 2014 Datuk Seri Hishammuddin berkata operasi pencarian multinasional membabitkan 26 negara di koridor utara dan selatan bermula.
Pada 18 March 2014 Datuk Seri Hishammuddin berkata tiga juta orang mungkin terbabit dalam usaha mencari pesawat itu dengan dibantu pengusaha satelit DigitalGlobe.
Pada 19 March 2014 Datuk Seri Hishammuddin menafikan laporan bahawa pesawat itu dilihat terbang rendah di ruang udara Maldives.
Pada 20 March 2014 Perdana Menteri Australia Tony Abbot menghubungi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 pagi untuk memaklumkan bahawa objek yang dikesan satelit negara itu mungkin ada kaitan dengan pesawat yang hilang. Satelit Australian Maritime Safety Authority (AMSA) mengesan imej dua objek di bahagian selatan Lautan Hindi terletak kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth.
Datuk Seri Hishammuddin berkata operasi pencarian pesawat itu diteruskan dan objek yang dikesan di Australia akan ditentukan sama ada sebahagian daripada MH370.
Sidang media Datuk Seri Najib ,Datuk Seri Hishamuddin , Datuk Azharuddin di PWTC , Kuala Lumpur
PENERBANGAN MH370 BERAKHIR DISELATAN LAUTAN HINDI
KUALA LUMPUR , 24 Mac 2014
Selepas 17 hari menunggu dengan penuh debaran, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengumumkan bahawa penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. Najib membuat pengumuman itu berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat UK yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan.
Menggunakan sejenis analisis yang belum pernah digunakan sebelum ini dalam siasatan seperti ini, mereka mampu memberi beberapa petunjuk lebih jelas mengenai laluan penerbangan MH370. Berdasarkan analisis baharu mereka, Inmarsat dan AAIB merumuskan bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.
“Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh daripada sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data terkini, Penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi,” kata Najib dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini. Perdana Menteri berkata Malaysia Airlines telahpun memaklumkan kepada anggota keluarga penumpang dan anak kapal mengenai perkembangan itu.
“Bagi mereka, beberapa minggu lepas merupakan tempoh yang memilukan, saya sedar berita ini akan lebih menyedihkan lagi. Saya menggesa pihak media menghormati privasi mereka dan memberikan mereka ruang yang diperlukan di saat-saat sukar seperti ini,” kata Najib.
Beliau berkata maklumat lanjut berhubung perkembangan ini akan diumumkan esok. Najib berkata sidang akhbar yang tidak dijadualkan malam ini diadakan bagi memaklumkan kepada dunia mengenai perkembangan baharu itu dengan secepat mungkin.
“Kami berkongsi maklumat ini kerana kami komited kepada sikap terbuka dan menghormati anggota keluarga terbabit, dua prinsip yang menjadi amalan dalam siasatan ini,” katanya. Turut hadir Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman. Ketua pegawai eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya yang juga hadir pada siding akhbar berkenaan kelihatan menitiskan air mata ketika pengumuman itu dibuat. Ketika pengumuman itu dibuat, ramai wartawan yang mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) MH370 turut menitiskan air mata. Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam 8 Mac. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama. Usaha mencari dibahagikan kepada dua koridor iaitu koridor utara yang menganjur dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke sebelah utara Thailand, manakala koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi. Operasi SAR MH370 disifatkan sebagai yang terbesar seumpamanya dalam sejarah membabitkan lebih 27 negara.
LAUTAN HINDI LOKASI TEPAT
KUALA LUMPUR , 4 Jun 2014
Pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di koridor selatan meliputi Lautan Hindi adalah lokasi yang tepat dan telah disahkan oleh pakar-pakar seluruh dunia.Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, "Tidak timbul keraguan terhadap operasi mencari pesawat tersebut yang penerbangannya disahkan berakhir di situ, cuma kesukaran dialami pasukan mencari disebabkan kawasan pencarian terlalu luas.Menurut beliau, kegagalan mencari kotak hitam pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu turut menyumbang kepada kesukaran tersebut, justeru pakar yang terlibat bergantung sepenuhnya kepada hasil pemetaan bentuk muka bumi dasar laut dan masih mencari pendekatan baharu untuk merungkai misteri kehilangan berkenaan". Tidak ada keraguan bahawa koridor selatan adalah tumpuan kita, cuma kawasannya luas, maka pakar dari China, Amerika Syarikat (AS), Malaysia, United Kingdom (UK) dan negara-negara Eropah masih mencari lokasi tepat penerbangan pesawat itu berakhir.Lokasi yang kita cari berdasarkan isyarat ping yang diperoleh kapal Australia, Ocean Shield tapi kalau kita tidak jumpa kotak hitam, maka kena guna kepakaran yang ada untuk kenal pasti lokasi baharu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengetuai mesyuarat berhubung operasi pencarian MH370 melibatkan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Hotel Royale Chulan disini. Persoalan tentang lokasi terakhir MH370 timbul selepas Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang mengetuai pencarian seperti dilaporkan media baru-baru ini percaya bahawa Lautan Hindi bukanlah lokasi sebenar kapal terbang itu berakhir.Menurut JACC, perkara itu disahkan selepas operasi di lokasi pencarian menggunakan Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 yang telah ditamatkan, tidak menemukan apa-apa yang berkaitan dengan MH370. Hishammuddin berkata, "Pencarian memang masih gagal menemui petunjuk baharu, namun kesemua pakar terlibat percaya Lautan Hindi adalah lokasi tepat, malah tiada pihak yang tampil dengan fakta dan data untuk menafikan perkara tersebut". Sehubungan itu tegasnya, perkara paling penting adalah kerajaan berjanji kepada semua ahli keluarga 239 individu di dalam pesawat tersebut bahawa operasi pencarian akan diteruskan sehingga MH370 dapat ditemui.Serentak dengan itu,enam syarikat gergasi di negara ini yang mempunyai kepakaran antaranya Petronas, Sapura Kencana, Bousted Holdings Berhad dan DRB Hicom Defence Technologies Sdn. Bhd. telah bersetuju untuk membantu usaha pencarian pesawat berkenaan.
KEPUTUSAN MENGGUNAKAN BLUEFIN PERALATAN CANGGIH UNTUK MENGESAN KOTAK HITAM
Bluefin-21yang dibawa oleh kapal pelancar Ocean Shield
PERTH AUSTRALIA , 14 April 2014
Kenderaan dalam air automatik (AUV) Bluefin-21 akan digunakan lewat hari ini bagi meneruskan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang.Ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Ketua Marsyal Udara (Bersara) Angus Houston berkata, keputusan menggunakan kenderaan khas itu diambil berikutan tiada lagi isyarat dikesan alat pengesan pinger sejak Selasa lepas.Walaupun tiada lagi isyarat dikesan (seterusnya), apa yang ada sebelum ini adalah petunjuk paling meyakinkan yang kami ada. Kami perlu terus menjejaki petunjuk itu dengan sedapat mungkin," katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan operasi mencari pesawat berkenaan di sini hari ini.
Analisis yang dibuat terhadap tempat isyarat sebelum ini memungkinkan satu definisi dibuat tentang kawasan mencari di dasar laut yang lebih kecil dan mudah diuruskan," katanya merujuk kepada data akaustik yang dikesan kapal Australia Ocean Shield minggu lepas.Houston berkata, sehubungan itu, para pakar memutuskan bahawa Ocean Shield akan berhenti daripada membuat pencarian menggunakan alat pengesan pinger yang ditunda (TPL) lewat hari ini.Houston, yang menyelaraskan pasukan mencari dari pelbagai negara di selatan Lautan Hindi itu, berkata TPL dan AUV tidak boleh beroperasi secara serentak. Oleh itu, keputusan peranti mana yang akan digunakan, perlu dibuat.Menurut beliau, AUV yang mampu turun hingga sedalam 4,500 meter (m) akan digunakan dalam misi pertamanya bagi meliputi kawasan kira-kira 40 kilometer (km) persegi di tempat isyarat berkenaan telah dikesan.Sambil menjelaskan bahawa setiap misi Bluefin-21 akan memakan masa sekurang-kurangnya 24 jam, beliau berkata:Selepas mengambil masa selama dua jam untuk sampai ke dasar laut, peranti itu akan bekerja selama 16 jam, dua jam untuk kembali ke permukaan air dan empat jam untuk memuat turun serta menganalisis data yang dikumpul."Katanya penggunaan AUV berpotensi membawa usaha mencari selangkah lagi ke hadapan dalam usaha mengenal pasti visual.Houston, bagaimanapun mengingatkan bahawa penggunaan AUV tidak memberi jaminan bangkai pesawat MH370 akan ditemui di dasar laut. Menurut beliau, Bluefin-21 mempunyai keupayaan untuk digunakan hanya setakat kedalaman 4,500m dan bagi kedalaman melebihi had itu, aset yang berkeupayaan lebih tinggi perlu digunakan. - BERNAMA
Kapal yang membawa Bluefin-21
PENCARIAN PESAWAT MH370 DENGAN BANTUAN BLUEFIN 21
Misi mencari pesawat penerbangan Malaysia MH370 akan diteruskan hari ini dengan bantuan 8 peswat tentera dan 11 kapal air.Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) merancang pencarian visual di kawasan berukuran 57,311 kilometer persegi. Pusat kawasan carian terletak kira-kira 1,584 kilometer ke barat laut Perth. Kenyataan yang dikeluarkan pihak Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) turut berkata cuaca di lokasi pencarian dijangka hujan dengan lautan berombak setinggi 2.5 meter dan jarak penglihatan sejauh 1 kilometer dalam keadaan ribut petir dan 3 kilometer dalam keadaan hujan.“Dalam misi ke-13 semalam, Bluefin-21 diangkat kerana perisian perlu di-set semula (resetting). AUV mempunyai peralatan teknikal canggih dan set semula bukan sesuatu yang luar biasa. Semalam, juruteknik Phoenix dapat menyiapkannya dan misi ke-14 kini diteruskan.“Bluefin-21 telah siap kira-kira 95 peratus daripada kawasan carian di dasar laut.“Kawasan pencarian dasar laut diperkecilkan kepada 10km radius di sekitar isyarat kedua yang dikesan Towed Pinger Locator pada 8 April lalu.Jika tiada apa-apa ditemui, Bluefin-21 akan akan melakukan pencarian di kawasan bersebelahan radius berkenaan.Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.Misi pencarian yang disertai pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat MH370 itu, mula-mula di Laut China Selatan selepas pesawat itu menyimpang daripada laluan asal, di selatan Lautan Hindi.Selepas satu analisis data satelit menunjukkan bahawa kedudukan terakhir MH370 ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan lautan Hindi".
SEHINGGA KINI BELUM MENGESAN PESAWAT MH370
Bluefin-21, kenderaan dalam air (AUV), meneruskan misi ketujuh hari ini untuk pencarian dalam air bagi mengesan pesawat penerbangan MH370 Malaysia Airlines di selatan Lutan Hindi.Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), yang mengawasi operasi pencarian berkata kenderaan tanpa pemandu itu memeriksa kira-kira 133 kilometer persegi setakat ini."Semalaman Bluefin-21 AUV menyelesaikan enam misi di kawasan pencarian dalam air dan data yang dikumpul kini sedang dianalisis," kata agensi itu dalam satu kenyataan.Tiada sebarang penemuan berkaitan ditemui. Bluefin-21, yang dilengkapi sistem pengesan sonar dihantar untuk misi sulungnya pada Isnin, dengan harapan dapat mengesan sebarang serpihan pesawat Malaysia yang hilang dalam air memandangkan tiada lagi isyarat yang disahkan oleh alat pengesan pinger sejak 8 April lalu.Ia menggunakan bunyi akustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi dasar laut dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk menyiapkan satu-satu misi itu, yang termasuk empat jam untuk memuat turun data yang dikumpulkan.Untuk misi hari ini, agensi itu berkata Lembaga Keselamatan Maritim Australia merancang usaha pencarian secara visual di kawasan kira-kira 50,200 km persegi, merentas tiga kawasan.Sebelas pesawat tentera dan 12 kapal terbabit di kawasan pencarian itu, menurut kenyataan itu. Ramalan cuaca hari ini melaporkan hujan di sesetengahtempat dengan tiupan angin timuran selatan," kata agensi itu. Penerbangan MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan. Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.Misi pencarian yang disertai pelbagai negara digerakkan bagi menjejaki pesawat MH370 itu, mula-mula di Laut China Selatan selepas pesawat itu menyimpang daripada laluan asal, di selatan Lautan Hindi. Selepas satu analisis data satelit menunjukkan bahawa kedudukan terakhir MH370 ialah di tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan lautan Hindi". – Bernama, 19 April, 2014.
(Kenderaan dalam air (AUV) Bluefin-21 diturunkan di sebelah kapal Ocean Shield di Lautan Hindi semasa pencarian MH370 yang hilang. Pencarian diteruskan lagi hari ini menggunakan Bluefin-21 tanpa petanda baru. – Gambar Reuters, 19 April, 2014.)
Crew kapal Ocean Shell menurunkan Bluefin-21 kelaut untuk tugasan mengesan pesawat MH370 di Lautan Hindi
Bluefin-21digunakan bagi mengesan Kotak Hitam pesawat MH370
NASIB PESAWAT MH370 HILANG MASIH KEKAL MENJADI MISTERI
Nasib pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Laut China Selatan dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Bejing pada Sabtu kekal menjadi misteri. Tiada laporan cuaca buruk atau petunjuk kehilangan pesawat Boeing 777-200ER itu dari skrin radar pada 1.30 pagi selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada jam 12.41 pagi. Pakar aviasi merasa hairan bagaimana pesawat berkenaan boleh hilang tanpa dapat dikesan. Satu sumber industri aviasi berkata juruterbang dilatih membuat panggilan kecemasan semasa menghadapi suasana cemas dengan keutamaan perlu diberikan kepada pesawat agar ia dapat mendarat dengan selamat. "Sesuatu yang ekstrem dan tiba-tiba mungkin telah berlaku di atas pesawat MH370 yang menghalang juruterbangnya daripada membuat pnggilan kecemasan. Ini kerana pesawat Boeing 777-200ER dilengkapi alat 'controller-pilot data link communication' (CPDLC) untuk mengisytiharkan kecemasan," katanya kepada Bernama tanpa enggan dikenali. Namun beliau berkata kotak hitam pesawat mungkin boleh menjelaskan persoalan yang tidak terjawab. Walaupun tiada tanda kehilangan MH370, pesawat itu menyertai sebilangan pesawat misteri yang tidak diketahui sehingga kini. Antara kes terbaharu yang paling diingati ialah pesawat Air France yang membawa 228 penumpang dari Brazil ke Perancis yang hilang dalam ribut di Lautan Atlantik pada 2009. Pesawat Airbus A330 itu menghantar mesej secara automatik empat jam selepas ia berlepas dari Rio de Janeiro, melaporkan berlaku litar pintas. Ia kemudiannya hilang daripada radar. Ia ketika itu difikirkan telah terkena panahan petir. Bangkainya ditemui dua tahun kemudian beserta 104 mayat. Mayat 74 penumpang kekal tidak ditemui, demikian menurut Mirror Online, yang berpangkalan di United Kingdom. Pengembara Amerika, Amelia Earhart hilang pada Julai 1939 semasa percubaannya untuk mengelilingi dunia. Teori popular yang tersebar ialah kapal terbangnya terhempas ke dalam lautan dan tidak pernah ditemui, menurut harian Mirror online yang berpangkalan di United Kingdom. Pesawat British South American Airways (BSAA), Star Tiger hilang semasa terbang dari Santa Maria, Azores ke Bermuda pada 30 Jan 1948. Satu lagi pesawat BSAA, Star Ariel, hilang semasa penerbangan dari Bermuda ke Jamaica pada 17 Jan 1949. Kejadian 'terhempas' ini sekiranya disahkan, akan menandakan kejadian terburuk pesawat buatan Amerika sejak ia memulakan perkhidmatan 19 tahun lalu. Ia mungkin berupa kemalangan kedua melibatkan Boeing 777 dalam tempoh kurang daripada setahun. Pesawat Asiana Airlines Boeing 777-200ER terhempas semasa mendarat di San Francisco pada Julai 2013, membunuh tiga penumpang dan lebih 180 orang cedera. - BERNAMA
KENALI BLUEFIN -21
Jentera Pengesan Kotak Hitam MH370 | Apa itu Bluefin-21? Seperti yang kita sedia maklum, Bluefin-21 ini telah digunakan dalam misi mencari kotak hitam pesawat MH370 yang masih belum diketahui nasibnya. Diantara beberapa produk Bluefin ini, mengapa mesti mereka menggunakan Bluefin-21? Jom kita baca spesifikasi dan keupayaan jentera istimewa ini.
Bluefin-21 adalah kenderaan bawah air yang tinggi modular autonomi yang mampu membawa pelbagai sensor dan muatan pada satu-satu masa. Ia memberikan kapasiti tenaga yang lebih tinggi dalam membantu operasi yang panjang walaupun dalam kedalaman lautan yang luas. Bluefin-21 mempunyai kebolehan yang sangat besar namun begitu, ia juga cukup fleksibel untuk beroperasi daripada pelbagai jenis kapal seluruh dunia. Berikut merupakan spesifikasi Bluefin-21 yang utama:-
Modular Bebas Bocor
Rekacipta kenderaan ini termasuklah seksyen muatan yang boleh ditukar dan modul bateri yang boleh dikonfigurasikan untuk misi yang dijalankan. Subsistem juga boleh diakses dengan cepat untuk bertukar haluan dengan pantas ketika dalam misi. Selain itu, kenderaan ini juga membolehkan penyelenggaraan dilakukan ketika sedang bertugas, seterusnya mempercepatkan rentak operasi.
Kuasa Kuda Yang Efisyen
Bluefin-21 adalah jentera yang efisyen, mempunyai kadar autonomous underwater vehicle (AUV) yang mendalam yang berkebolehan melakukan pemerhatian mengikut kehendak yang lazimnya dihasilkan oleh platform yang jauh lebih besar dan rumit. Saiznya yang kecil dan keupayaannya yang boleh dilancarkan dan disimpan semula melalui A-frame yang mudah atau kepala dek kapal telah membuatkan ia mudah digunakan.
Navigasi Tepat
Bluefin-21 ini mempraktikkan Indian Naval Ship (INS) bagi menyediakan ketepatan navigasi yang sebaik mungkin. Kiraan ketika enjinnya dimatikan lazimnya adalah kurang daripada 0.1% daripada kejauhan perjalanan, seterusnya, menghasilkan kualiti data yang lebih tinggi. Ultra Short BaseLine (USBL) pula membantu untuk memperbaiki ketepatan navigasi
Boleh Diterbangkan
Jentera ini, baterinya dan alatan sokongan yang lain boleh dibuka dan diasing-asingkan dalam pakej-pakej yang berasingan supaya dapat dibawa dengan mudah sama ada menggunakan laluan darat mahupun udara, menjadikan sistemnya ideal untuk masa-masa kritikal dan untuk operasi yang jauh.
Diharapkan, jentera seberat 750kg ini mampu mengesan kotak hitam pesawat MH370 yang dikhabarkan telah berhenti mengeluarkan bunyi ‘ping‘. Sememangnya kuasa manusia langsung tidak dapat menandingi kuasa Yang Maha Esa, namun kita perlu terus berusaha tanpa berputus asa.
MH370: 58 OBJEK KERAS DIKESAN DILAUTAN HINDI
KUALA LUMPUR , 14 Sept.2014
Sebanyak 58 objek keras dikesan di selatan Lautan Hindi dan usaha akan dibuat untuk mengenal pasti sama ada objek-objek berkenaan mempunyai kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hilang daripada radar ketika terbang merentasi Laut China Selatan, pada 8 Mac lepas. – BERNAMA
Perkembangan operasi mencari pesawat MH370, sebanyak 58 objek keras dikesan di selatan Lautan Hindi. Usaha dibuat bagi mengenal pasti sama ada objek-objek berkenaan mempunyai kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines itu yang hilang sejak 8 Mac lalu .
Sehingga kini pada 8.9.2014 ( 6 bulan berlalu ) masih belum ada tanda-tanda kes ini ada penyelesaian nya.
MH370: 22 Serpihan Ditemui Setakat Ini
Sejumlah 22 serpihan ditemukan setakat ini di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania, yang mana dua serpihan disahkan manakala empat lagi hampir pasti daripada pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, serpihan yang disahkan sebuah flaperon yang ditemukan di Pulau Reunion Julai tahun lepas dan kepingan sayap di Pulau Pemba, di perairan Tanzania pada Jun tahun ini, adalah penting untuk memastikan bagaimana insiden ke atas pesawat Malaysia Airlines itu berlaku.
“Pengesahan ini amat bermakna kepada kami kerana kami boleh memastikan tindakan selanjutnya untuk mengkaji keadaan serpihan dan bagaimana insiden sebenar ke atas MH370 berlaku,” katanya.
Beliau berkata empat serpihan yang ditemukan adalah berkemungkinan tinggi daripada MH370 tetapi selebihnya adalah sukar dikenal pasti kerana tiada nombor siri atau butiran lain di atasnya. “Pakar Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata corak hanyutan menunjukkan carian yang kami lakukan dalam kawasan yang betul, kerana itulah kami menemukan serpihan di sepanjang kawasan itu,” katanya. Beliau menekankan bahawa pencarian MH370 dalam baki kawasan pencarian seluas 10,000 km persegi dijangka selesai pada penghujung tahun ini.Setakat ini, pencarian pesawat itu telah meliputi kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, di luar pantai barat Australia.Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac 2014, semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 239 penumpang dan anak kapal.Pesawat itu masih lagi belum ditemukan walaupun pencarian secara besar-besaran di selatan Lautan Hindi dilaksanakan di tempat dipercayai penerbangannya berakhir.
Bahagian bahagian pesawat yang dikenal pasti kepunyaan MH370 yang hilang telah dijumpai di perairan Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania, yang mana dua serpihan disahkan manakala empat lagi hampir pasti daripada pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang.
Diharapkan lebih banyak lagi serpihan ini dapat ditemui bagi memudahkan pakar penerbangan menemukan corak penerbangan yang menyebabkan MH370 hilang.
Pasukan penyiasat Australia mengesahkan pesawat Malaysia Airline MH370 terhempas secara menjunam berdasarkan keputusan analisis terhadap serpihan sayap yang ditemukan di Tanzania.
Pengarah Program Operasi Pencarian MH370 Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Peter Foley berkata, berdasarkan analisis pada bulan lalu, pihaknya percaya serpihan sayap itu tidak berada pada kedudukannya ketika pesawat berkenaan terhempas.
Malah katanya, keputusan analisis tersebut mengenepikan teori yang mendakwa pesawat Boeing 777 berkenaan mendarat secara terkawal yang sepatutnya menyebabkan sayap kapal terbang itu berada dalam keadaan baik. “Teori pesawat itu menjunam dengan laju juga menyokong maklumat satelit yang menunjukkan ketinggian MH370 turun secara mendadak. “Dengan dua keputusan analisis tersebut, teori pesawat itu mendarat secara terkawal atau mengelongsor di atas permukaan laut wajar ditolak,” katanya kepada agensi berita Australian Associated Press (AAP).
Pada 15 September 2016, Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan serpihan yang ditemukan di Kepulauan Pemba dekat kawasan perairan Tanzania pada Jun lalu merupakan milik pesawat MH370. Beliau turut mengesahkan sebanyak 22 objek yang mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 telah ditemukan setakat ini. Pesawat yang membawa 239 penumpang itu hilang pada 8 Mac 2014 semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China sebelum disahkan terhempas di selatan Lautan Hindi.
MH370 MUNGKIN TIDAK BERADA DIKAWASAN PENCARIAN - ATSB
20 Disember 2016:
KUALA LUMPUR: Terdapat kemungkinan besar pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 lalu tidak berada di kawasan pencarian yang telah dikenalpasti sebelum ini.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) hari ini, misi pencarian meliputi kawasan seluas 120,000 persegi setakat ini, namun tiada sebarang petunjuk baharu diperolehi berhubung kehilangan pesawat berkenaan.
"Para pakar merumuskan bahawa sekiranya pencarian terus dilakukan di kawasan ini, lokasi prospektif terletaknya bangkai pesawat berkenaan berasaskan semua analisis yang dibuat setakat ini, ia tidak akan memberi hasil," kata agensi itu dalam laporannya melalui ATSB, agensi utama dalam usaha mencari MH370, berkata analisis bebas terkini tentang data satelit dan pola hanyutan, secara konsisten mengenal pasti lokasi impak paling berkemungkinan berkaitan MH370 ialah berhampiran gerbang ke-7[1] (di kawasan ~25 NM) dalam jajaran kira-kira 33'S hingga 36'S.
ATSB dalam laporan semakan semula utama pertamanya mengenai MH370 berkata pasukan penyiasat juga mengenal pasti satu kawasan yang paling berkemungkinan terletaknya bangkai pesawat itu. Ia terletak kira-kira 25,000 kilometer persegi di utara kawasan pencarian sekarang. Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia menyambut baik laporan yang dikeluarkan itu. Beliau dalam satu kenyataan turut memberi jaminan usaha pencarian pesawat berkenaan tidak pernah diabaikan.
"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa hasrat untuk menemukan lokasi terletaknya MH370 tidak pernah diabaikan dan setiap keputusan yang diambil sentiasa berpandukan semangat kerjasama dalam kalangan ketiga-tiga negara itu."
"Harapan dan doa kami sentiasa mengiringi keluarga dan orang tersayang yang ditinggalkan penumpang serta anak kapal MH370."
Pesawat MH370 yang membawa bersama 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. Misi pencarian yang dijalankan di Selatan Lautan Hindi ketika ini dijangka berakhir Januari depan.
19 Januari 2017 - Misi pencarian MH370 diketuai Australia meliputi 120,000 kilometer persegi membabitkan kos kira-kira RM650 juta yang ditanggung tiga negara iaitu Malaysia, Australia dan China ditangguhkan sementara dan bukan dihentikan sepenuhnya. Menteri Pengangkutan Malaysia , Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan pencarian pesawat berkenaan akan diteruskan jika ada penemuan baharu berkaitan pesawat MAS MH370 itu.
MISI pencarian pesawat MH370 disambung semula tengah bulan ini susulan pemeteraian perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan syarikat Ocean Infinity Limited, hari ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Lai berkata, syarikat berkenaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat akan melakukan operasi pencarian membabitkan 25,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dengan 65 kru termasuk dua daripadanya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Katanya, operasi berkenaan mengambil masa 90 hari dan ia berdasarkan terma 'tiada penemuan, tiada bayaran'.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman manakala, syarikat Ocean Infinity diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Oliver Plunkett
MISI pencarian pesawat MH370 disambung semula tengah bulan ini susulan pemeteraian perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan syarikat Ocean Infinity Limited, hari ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Lai berkata, syarikat berkenaan yang berpangkalan di Amerika Syarikat akan melakukan operasi pencarian membabitkan 25,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi dengan 65 kru termasuk dua daripadanya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Katanya, operasi berkenaan mengambil masa 90 hari dan ia berdasarkan terma 'tiada penemuan, tiada bayaran'.
Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman manakala, syarikat Ocean Infinity diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Oliver Plunkett