Wakilnya, Nazliah Ali berkata, 
keinsafan dalam diri setiap pe­mimpin UMNO perlu dijelmakan jika sudah berada dalam kategori liabiliti, kerana jika terus berkuasa mereka akan dianggap seperti ‘ikan busuk di pasar’. Katanya, tanggungjawab itu wajib dilaksanakan kerana laungan transformasi telah lama dibangkitkan dan jika pemimpin yang menjadi liabiliti terus kekal dalam parti, adalah tidak mustahil UMNO bakal berdepan kebinasaan.


“Kita mohon pemimpin yang menjadi liabiliti kepada parti keramat ini mengundur diri. Kami sudah penat berbalah hujah menegakkan benang yang basah sedangkan jelas tiap silap dan salah. “Kami tidak mahu pemimpin rasuah. Kami tidak mahu pemimpin yang sesuka hati membuat kenya­taan hingga rakyat menjadi marah, apa kejadah (halnya),”katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Nazliah juga mendesak agar aspek kepemimpinan UMNO perlu diubah segera terutama dengan memastikan tiada dalam kalangan pemimpin parti bersifat elitis sehingga tidak mesra rakyat. Menurutnya, semua aspek tersebut perlu dilaksanakan dengan semangat solidariti agar hasilnya nanti menepati transformasi kerana rakyat tidak akan menunggu lama untuk menghukum UMNO jika pemimpin sedia ada takut untuk berubah.

Sementara itu, beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Tawau, Sabah, berkata, sayap pergerakan tersebut tidak tamak memburu kuasa di sebalik laungan peremajaan parti tetapi hanya menuntut pucuk pimpinan mengilap pemimpin dalam kalangan mereka.
“Kami tidak akan meminta jawatan menteri, timbalan menteri, pengerusi syarikat milik kerajaan (GLC) atau ahli lembaga pengarah. Kami minta kalau ada permata di antara kami gilaplah, agar mampu menabur bakti kepada pertiwi,” katanya.