Thursday, June 30, 2016

TAWAU HISTORICAL VALUE 9

TINAGAT LIGHT HOUSE ATAU RUMAH API TINAGAT


Tinagat Light House atau Rumah Api Tinagat  telah dibin a dalam tahun 1916 dan ia adalah merupakan bangunan yang paling tertua di Tawau.Rumah  Api ini terletak diatas bukit Tinagat yang menghala ke Lautan Celebes dan Teluk Cowie. Ia digunakan oleh kapal dagang yang ingin masuk ke Pelabuhan Tawau pada waktu malam. Dari atas bukit ini juga dapat melihat Lautan yang luas terbentang.Semasa berlaku Peperangan Dunia Kedua pihak tentera Jepun yang masuk keTawau pada mulanya telah mendarat di Bukit Tinagat. Dari dini mereka terus masuk ke Bandar Tawau dan sekitarnya. Begitu jugalah semasa tentera bersekutu menyerang kedudukan tentera Jepun diTawau , Bukit Tinagat akan sentiasa menjadi sasaran serangan. Kesan dari serangan tersebut masih dapat dilihat pada dinding Rumah Api ini yang berlubang akibat tembakan senjata berat dari Kapal Terbang British.


Dalam Tahun 1960an tempat ini sering menjadi tempat kunjungan murid – murid sekolah yang datang bersama Guru – Guru mereka untuk tujuan lawatan sambil belajar. Kepada pelaut dan juga ahli pelayaran , dengan adanya ‘light house’ ini pelayaran yang mereka tempohi akan bertambah mudah dan keselamatan kapal adalah terkawal. Cahaya lampu ini akan dapat dilihat berbatu nautika jauhnya.


Semasa zaman konfrantasi Ganyang Malaysia oleh Negara jiran Indonesia dalam tahun 1962 – 1966 Rumah Api Tinagat ini lah tempatnya markas tentera darat yang dapat meninjau persekitaran Lautan Tawau dan Celebes. Tentera Malaysia , Tentera British dan Australia juga berada disini serta menubuhkan Rascom atau sistem perhubungan ketenteraan sekiranya berlaku pencerobohan oleh Tentera Indonesia ke Bandar Tawau ketika itu. Tempat ini memang sangat stratejik kerana dari sini dengan mudah untuk melihat pergerakan tentera dibahagian Pulau Sebatik ( Indonesia ). 


Selepas Konfrantasi Indonesia – Malaysia berakhir serta peningkatan prasarana serta sistem kawalan laluan lautan , Jabatan Laut telah mengambil alih pentadbiran Rumah Api Tinagat dengan menempatkan beberapa orang pekerja disini. Para petugas yang bertugas disini adalah terdiri daripada penduduk tempatan.Antaranya ialah Haji Atak , Haji Ajak ,Haji Sani bin Hamid , Omar bin Hamid , Abdullah bin Gangau. Oleh kerana tempat ini berada diparas yang tinggi dibina juga kuarters untuk kakitangan agar mereka boleh berada disini pada setiap masa. Mereka berada disini bersama-sama dengan keluarga mereka dengan itu mereka dapat menjalankan tugas pada setiap masa yang telah ditetapkan.
Mereka hanya akan memulakan tugas sekita jam 6.00 petang dimana lampu akan dipasang dan dipancarkan kebahagian Lautan sehingga pukul 6.00 pagi. Begitu lah rutin yang dilakukan sehingga lah pada tahun 2010  Rumah Api yang baru telah dibina dengan reka bentuk modern serta sistem radar yang canggih ditempatkan untuk mengawal perairan Tawau. Dengan itu Rumah Api yang lama telah dijadikan tanda ingatan yang akan dijadikan bahan arkib untuk tatapan generasi akan datang.



No comments:

Post a Comment