Perhimpunan Agung UMNO 2004 diadakan pada 21 - 25 September 2004 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, Malaysia. Perhimpunan ini diadakan selepas PRU 11 diadakan pada 2004. Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi mengambil alih jawatan Perdana Menteri Malaysia daripada Dr Mahathir bin Mohamad pada 31 Oktober 2003.
Hari pertama: 21 September (Selasa)
Petang:
Majlis Taklimat Presiden
3.00: Ketibaan jemputan
3.30: Ketibaan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi
3.40: Ketibaan Datuk Seri Najib Tun Razak
3.50: Ketibaan Datuk Seri Abdullah
4.00: Ucapan Aluan Tan Sri Megat Junid
4.10: Amanat Datuk Seri Presiden UMNO.
Malam:
Perasmian Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri
8.00: Pendaftaran Perwakilan
8.30: Peerwakilan Mengambil Tempat
8.45: Ketibaan Exco Wanita/Pemuda/Puteri
9.00: Ketibaan Datuk Seri Najib Tun Razak
9.10: Perasmian Persidangan
i) Bacaan Doa.
ii) Nyanyian.
iii) Ucapan Perasmian oleh Datuk Seri Najib
Hari Kedua: 22 September (Rabu)
1) Perhimpunan Agung Pergerakan WANITA UMNO
Dewan Tun Hussein Onn
Pagi:
8.30: Bacaan Doa.
8.35: Persidangan Wanita UMNO dimulakan.
10.00: Jamuan Teh.
10.30: Persidangan Disambung semula.
1.00: Persidangan Ditangguhkan.
Petang:
2.30: Persidangan disambung semula.
4.30: Jamuan Teh
5.00: Persidangan disambung semula
6.30: Persidangan Ditangguhkan
: Negaraku
: Selawat Nabi S.A.W
***Keputusan pemilihan akan diumumkan sebelum persidangan ditangguh.
Bil | Nama calon | Undi diperolehi | Negeri | |
---|---|---|---|---|
1 | Raja Ropiaah Raja Abdullah | 627 | Johor | |
2 | Norhayati Onn | 593 | Selangor | |
3 | Datuk Mastika Junaidah Husin | 591 | Perlis | |
4 | Datuk Dr Norraesah Mohamad | 590 | ||
5 | Zaleha Hussin | 588 | Kelantan | |
6 | Melati Ali | 580 | ||
7 | Datuk Maznah Mazlan | 577 | ||
8 | Datin Paduka Mesrah Selamat | 574 | ||
9 | Datuk Khamsiyah Yeop | 538 | Perak | |
10 | Datuk Azizah Mohd Dun | 507 | Sabah | |
11 | Hasnah Salam | 503 | ||
12 | Rosni Zahari | 482 | Pahang | |
13 | Datin Shuhanie Deraman | 481 | Kelantan | |
14 | Datuk Norhayati Omar | 471 | Negeri Sembilan | |
15 | Datuk Kamilia Ibrahim | 468 | ||
16 | Nik Azizah Nik Yahya | 468 | ||
17 | Azihani Ali | 466 | Perlis | |
18 | Datuk Halimah Mohamad Sadique | 454 | Johor | |
19 | Datuk Armani Mahiruddin | 449 |
20 | Ilani Isahak | Kelantan |
2) Perhimpunan Agung Pergerakan PEMUDA UMNO
Dewan Merdeka
Pagi:
8.30: Bacaan Doa.
8.35: Persidangan Pemuda UMNO dimulakan.
10.00: Jamuan Teh.
10.30: Persidangan Disambung semula.
1.00: Persidangan Ditangguhkan.
Petang:
2.30: Persidangan disambung semula.
4.30: Jamuan Teh
5.00: Persidangan disambung semula
6.30: Persidangan Ditangguhkan
: Negaraku
: Selawat Nabi S.A.W
***Keputusan pemilihan akan diumumkan sebelum persidangan ditangguh.
Bil | Nama calon | Undi diperolehi | Negeri |
---|---|---|---|
1 | Datuk Mukhriz Mahathir | 694 | |
2 | Datuk Pirdaus Ismail | 682 | |
3 | Reezal Merican Bin Naina Merican | 618 | |
4 | Datuk Subahan Kamal | 591 | |
5 | Mohd Hasnol Ayub | 587 | |
6 | Datuk Azimi Daim | 496 | |
7 | Shamsul Najmi Shamsuddin | 473 | |
8 | Idris Haron | 468 | |
9 | Shamsul Anuar Nasarah | 461 | |
10 | Abdul Azeez Abdul Rahim | 443 | |
11 | Ir Mohd Ikhsan Samsudin | 437 | |
12 | Ahmad Ikmal Ismail | 437 | |
13 | Kamarulzaman Kamdias | 426 | |
14 | Azizul Nizam Bidin | 407 | |
15 | Marzuki Yahya | 394 | |
16 | Md Jais Sarday | 391 | |
17 | Johan Abd Aziz | 380 | |
18 | Harrison Hassan | 379 | |
19 | Suhaimi Ghazali | 350 | |
20 | Mohd Anis Hisham Abd Aziz | 346 |
3) Perhimpunan Agung Pergerakan PUTERI UMNO
Dewan Tun Dr Ismail
Pagi:
8.30: Bacaan Doa.
8.35: Persidangan Puteri UMNO dimulakan.
10.00: Jamuan Teh.
10.30: Persidangan Disambung semula.
1.00: Persidangan Ditangguhkan.
Petang:
2.30: Persidangan disambung semula.
4.30: Jamuan Teh
5.00: Persidangan disambung semula
6.30: Persidangan Ditangguhkan
: Negaraku
: Selawat Nabi S.A.W
***Keputusan pemilihan akan diumumkan sebelum persidangan ditangguh.
Bil | Nama calon | Undi diperolehi | Negeri |
---|---|---|---|
1 | Nordiana Shafie | 651 | |
2 | Azlina Mehtab Mohd Ishaq | 641 | |
3 | Nolee Ashilin Mohammed Radzi | 580 | |
4 | Marzita Mansor | 570 | |
5 | Shahanim Mohammad Yusoff | 539 | |
6 | Ismalina Ismail | 539 | |
7 | Maizatul Akmam Alwi | 536 | |
8 | Norhamizah Mat Tahir | 515 | |
9 | Azlinda Mohd Rashad | 489 | |
10 | Norlaili Mohamed | 475 | |
11 | Haslinda Zerain | 475 | |
12 | Noraslina Zainal Abidin | 458 | |
13 | Noraini Idris | 454 | |
14 | Nik Noriza Nik Salleh | 447 | |
15 | Azlinda Zubir | 430 | |
16 | Idamoerni Zakaria | 416 | |
17 | Fahariyah Md Nordin | 407 | |
18 | Siti Azizah Omar | 392 | |
19 | Nora Azmin Radzuan | 390 | |
20 | Habibah Mohd Yusof | 388 |
Hari Ketiga: 23 September (Khamis)
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Pagi:
8.00: Pendaftaran Perwakilan
8.45: Perwakilan mengambil tempat.
9.00: Ketibaan:
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan disambut oleh Ahli MT
9.10: i) Memeriksa Perbarisan Pergerakan Wanita/Pemuda/Puteri
ii) Menaikkan Bendera UMNO.
9.30: Upacara Perasmian Perhimpunan Agung.
-Bacaan Doa
-Nyanyian Negaraku/UMNO/BN
-Membentangkan Peringatan Persidangan 2003
-Ucapan & Pesanan Pengerusi
-Amanat Pemangku Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
10.30: Jamuan Teh.
11.00: Perhimpunan Agung dimulakan
-Pemilihan Pembantu Sementara kepada Pengerusi Persidangan
-Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi dijalankan sehingga selesai.
Petang:
3.00: Perhimpunan Agung disambung semula
4.30: Jamuan Teh
5.00: Perhimpunan Agung disambung semula
6.30: Perhimpunan Agung ditangguh
***Keputusan pemilihan akan diumumkan sebelum persidangan ditangguh.
Bil | Nama calon | Undi diperolehi | Negeri |
---|---|---|---|
1 | Datuk Dr. Hilmi Haji Yahya | 1,239 | |
2 | Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo | 2,015 | |
3 | Datuk Ahmad Zahid Hamidi | 1,981 | |
4 | Datuk Seri Musa Aman | 1,837 | |
5 | Datuk Ir Mohd Zin Mohamed | 1,765 | |
6 | Datuk Dr. Jamaluddin bin Mohd Jarjis | 1,740 | |
7 | Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil | 1,705 | |
8 | Datuk Mohd Shafie Apdal | 1,672 | |
9 | Datuk Noh Omar | 1,672 | |
10 | Datuk Annuar Haji Musa | 1,668 | |
11 | Tengku Putera Tengku Awang | 1,660 | |
12 | Datuk Seri Syed Hamid Albar | 1,649 | |
13 | Datuk Mohamed Khaled Nordin | 1,590 | |
14 | Datuk Seri Shahidan Kassim | 1,570 | |
15 | Tan Sri Rahim Thamby Chik | 1,545 | |
16 | Datuk Seri Mohamad bin Haji Hasan | 1,518 | |
17 | Datuk Seri Syed Razak Bin Syed Zain Barakhbah | 1,471 | |
18 | Datuk Abdul Ghani Othman | 1,466 | |
19 | Datuk Dr. Awang Adek Hussien | 1,444 | |
20 | Datuk Azalina Othman Said | 1,433 | |
21 | Datuk Dr. Norraesah Mohamad | 1,402 | |
22 | Datuk Abdul Aziz Samsudin | 1,374 | |
23 | Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor | 1,359 | |
24 | Datuk Abd. Rahman Bakar | 1,358 | |
25 | Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad | 1,312 |
Malam:
8.00: Jamuan Presiden di Dewan Pameran Tun Razak (1).
Hari Keempat: 24 September (Jumaat)
Pagi:
8.00: Perhimpunan disambung semula.
10.00: Jamuan Teh
10.30: Perhimpunan disambung semula
11.30: Perhimpunan Agung ditangguhkan
-Solat Jumaat
Petang:
3.00: Perhimpunan Agung disambung semula
4.30: Jamuan Teh
5.00: Perhimpunan disambung semula.
6.30: Perhimpunan ditangguhkan.
Malam:
8.00: Jamuan Timbalan Presiden di Dewan Pameran Tun Razak (1)
Hari Kelima: 25 September (Sabtu)
Pagi:
8.00: Perhimpunan Agung disambung semula
10.00: Jamuan Teh
10.30: Perhimpunan disambung semula
1.00: Perhimpunan ditangguhkan.
Petang:
2.30: Perhimpunan Agung disambung semula
4.30: Jamuan Teh
5.00: Perhimpunan Agung disambung semula.
6.30: Perhimpunan Agung ditangguhkan
-Negaraku
Selawat Nabi S.A.W
UCAPAN PERASMIAN SERENTAK PERSIDANGAN PERWAKILAN WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO TAHUN 2004 OLEH DATUK SERI MOHD NAJIB TUN ABDUL RAZAK
ALHAMDULILLAH syukur ke hadrat Allah s.w.t. yang telah mengizinkan kita berhimpun pada malam ini bersama para Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri. Saya juga bersyukur kerana telah diizinkan Allah buat pertama kalinya saya diberi penghormatan merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.
Perjumpaan malam ini mencatatkan sejarah tersendiri kerana buat julung kalinya, kita menyaksikan pucuk pimpinan ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri telah menang tanpa bertanding.
Syabas kepada Datuk Seri Rafidah Aziz, syabas kepada Datuk Hishammuddin Hussien dan syabas kepada Noraini Ahmad. Begitu juga diucapkan syabas kepada Naib-Naib Ketua Pergerakan ketiga-tiga sayap yang turut menang tanpa bertanding.
Kita juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga pergerakan yang telah berjaya melaksanakan tanggungjawab mengadakan mesyuarat di peringkat Bahagian dengan sempurna. Kita turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Azalina Othman Said yang telah berjaya memimpin Pergerakan Puteri sejak ia ditubuhkan dengan jayanya.
Perasaan bangga dan terima kasih juga tidak dapat kita bendung-bendung lagi untuk dizahirkan kepada ketiga-tiga sayap pergerakan yang telah bekerja dengan gigih, sabar dan berani bagi kemenangan besar Barisan Nasional pada pilihan raya yang lalu.
Wanita dengan semangat kental, penuh pengalaman, gigih, tidak jemu-jemu merayu, naik turun tangga dari rumah ke rumah meninggalkan keluarga dan anak-anak, terus bekerja tanpa mengira masa demi untuk kemenangan parti tercinta.
Peranan Pemuda pula dengan gerak gempurnya persis seorang pendekar terbilang berjuang bermati-matian dengan seluruh kekuatan jentera di setiap peringkat.
Demikian juga Puteri dengan jari-jari halusnya menyentuh komputer, mengatur program membuat analisis serta turut merayu undi sehingga lawan tidak dapat berbuat apa-apa lantas terkesima dan hilang pertimbangan.
Kita juga amat berbangga, kerana belum pun sempat kering peluh dan hilang penat daripada Pilihan raya Umum Ke-11, sekali lagi Wanita, Pemuda dan Puteri bingkas menyahut panggilan parti, bertungkus-lumus dengan penuh komitmen, turun ke padang menghadapi pilihan raya DUN Kuala Berang dan Alhamdullilah, kita telah menang dengan majoriti yang bertambah. Syabas kepada semua.
Marilah kita bersama-sama, merakamkan ucapan terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah berjaya bukan sahaja memimpin negara dan parti selama lebih 22 tahun tetapi juga telah berjaya mengekalkan tradisi peralihan pucuk pimpinan parti dan kerajaan, dengan penuh bijaksana, penuh teratur dan penuh tertib.
Seterusnya, Alhamdulillah, tampil pula Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sebagai Perdana Menteri yang kelima, dengan perwatakan yang sederhana, diwarisi daripada sifat ayahnya seorang ulama.
Pendekatan yang dibawa bersifat mesra rakyat, dengan ethos bekerjalah bersama saya, dan bukan untuk saya, bersama iltizam politiknya untuk mengurangkan kerenah birokrasi, meningkatkan sistem penyampaian kerajaan, membudayakan ketelusan, memerangi rasuah, membasmi kemiskinan, ternyata berjaya memikat hati rakyat sehingga Barisan Nasional telah memenangi pilihan raya Umum Ke-11 dengan peratusan kerusi yang tertinggi sepanjang sejarahnya. Syabas kita ucapkan kepada Perdana Menteri kita.
Segala penat lelah selama ini juga terjawab apabila kita telah berjaya menongkah arus politik semasa dengan memenangi hati dan perasaan generasi muda. Lazimnya orang orang muda di kebanyakan negara bersikap menentang kerajaan atau anti-establishment, tetapi dalam pilihan raya yang lalu, majoriti besar di kalangan generasi muda telah menyokong UMNO.
Dengan hakikat ini ternyata UMNO mampu menampilkan imejnya sebagai parti yang masih segar, dinamik dan dapat memenuhi aspirasi golongan muda di negara ini.
Lantaran itulah UMNO sebagai sebuah parti yang perkasa dan berkuasa dapat kita pertahankan terus menerus dengan izin Allah s.w.t.
Pilihan raya umum Ke-11 juga telah mempamerkan dengan jelas bahawa UMNO masih merupakan parti pilihan utama orang Melayu. Tidak hairanlah, ungkapan UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO masih terpahat sebagai kata-kata keramat. Sesungguhnya orang Melayu menolak politik sempit. Orang Melayu juga menolak fahaman melampau atau ekstrem dan orang Melayu tidak lagi mahu pemimpin yang hanya pandai beretorik sahaja.
Makanya Malaysia di bawah kepimpinan UMNO yang matang, telah membuktikan kepada dunia yang kini dibelenggu dengan ancaman keganasan dan fahaman militan bahawa kita sebenarnya dapat menundukkan golongan yang berfahaman demikian melalui peti undi dan bukannya dengan jalan kekerasan. Inilah di antara kelebihan dan keunggulan UMNO; parti kita semua, parti keramat, parti yang kita banggakan.
Pepatah lama berbunyi: Kelebihan Nabi dengan mukjizatnya, kelebihan umat dengan muafakatnya.
Oleh itu bermuafakatlah kita semua di bawah pimpinan ketua kita, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikasihi.
Bagi saudara-saudari yang masih muda dan baru mengenali UMNO, hayatilah cogan kata yang telah dipilih oleh pengasas-pengasas UMNO terdahulu iaitu BERSATU, BERSETIA DAN BERKHIDMAT. Apabila kita bersatu, maka kekuatan akan bersekutu, apabila kita bersetia, bangsa jadi mulia, dan apabila kita berkhidmat nescaya direstui umat.
Sesungguhnya ganjaran yang paling besar kepada perjuangan kita ialah apabila sentiasa mendapat sokongan dan dokongan daripada rakyat. Dari rakyat kita datang, kepada rakyat kita menyumbang. Jika mandat telah diberi, itulah amanah yang perlu dihargai.
Setiap bangsa yang maju adalah bangsa yang mempunyai sejarah perjuangan yang panjang. Sejarah mereka inilah yang menjadi pengajaran dan landasan untuk bangkit dan membina tamadun seterusnya. Walaupun ada orang yang berpendapat bahawa sejarah bangsa Melayu tidak seganding dengan tamadun bangsa-bangsa lain, tetapi jika diteliti secara mendalam, bangsa Melayu sememangnya, mempunyai kekuatan dan kelebihannya yang tersendiri, sehingga telah berjaya berada pada tahap kita hari ini.
Jika benarlah salah satu daripada teori ahli antropologi, bahawa bangsa Melayu berasal dari Himalaya dan turun dengan seluruh kekuatannya membuka dan memajukan tanah pamah di selatan hingga ke Semenanjung Tanah Melayu; seterusnya dari Sungai Melayu di Palembang dan Tasik Malaya di Jawa serta seluruh kepulauan di Pasifik hingga ke Antananarivo (Tanah Ribu) ibu negara Madagascar; maka, dapatan ini eloklah dijadikan renungan dan azimat kepada kita untuk menjejaki bagaimana Melayu telah menempatkan dirinya dalam arus ketamadunan manusia.
Soalnya: Pada ketika dunia didominasi tamadun Hindu - Buddha, di manakah Melayu? Sewaktu dunia di bawah kegemilangan tamadun Islam, di manakah Melayu? Sewaktu dunia didominasi kuasa imperialis Barat, di manakah Melayu? Pada ketika timbulnya negara-negara yang baru merdeka daripada penjajahan Barat selepas Perang Dunia Kedua, di manakah Melayu? Pada ketika dunia di bawah penguasaan kuasa unipolar kini, di manakah Melayu? Dan hari ini, semasa umat Islam sedang mencari-cari jawapan kepada segala kelemahan mereka, di manakah Melayu?
Jawapannya, dalam semua episod sejarah yang tersebut, orang Melayu lah yang memainkan peranan utama. Ini kerana orang Melayulah yang menubuhkan Kerajaan Sri Vijaya di Sungai Melayu di Palembang, orang Melayu juga yang mempelopori Kerajaan Langkasuka, Majapahit dan Gangga Negara. Orang Melayu lah yang mula-mula menyahut seruan Islam di Melaka. Orang Melayu lah juga yang menerajui kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka, Demak, Acheh, Ligor dan Champa.
Kitalah juga yang menjadi pejuang di barisan hadapan yang menentang penjajah dan berjaya mencapai kemerdekaan. Orang Melayu lah yang bangkit dengan berani menidakkan kata-kata kuasa besar, dengan berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan kebenaran. Alhamdulillah, itulah sebabnya kita dapat terus bertapak kukuh, mengamalkan budaya, menguasai politik dan pemerintahan, mempertahankan maruah Islam yang suci serta menjadi bangsa yang berdaulat.
Terbukti, dengan pendekatan kita yang sederhana, bijaksana, toleransi yang tinggi, sanggup berjuang bermati-matian, tabah dan berani maka kita akhirnya berjaya menerajui negara yang maju, progresif dan dinamik seperti Malaysia yang kita cintai.
Walhal, tercatat dalam sejarah, bahawa banyak bangsa yang telah tenggelam ditelan zaman seperti Aztec dan Maya di Amerika Selatan, Gipsi di Eropah, Red Indian di Amerika, pribumi di Australia dan Kepulauan Pasifik.
Saya bawa isu ini, untuk dijadikan iktibar, bahawa, sesungguhnya bangsa Melayu memang memiliki asas jati diri yang kuat, berdaya tahan utuh, mempunyai unsur keupayaan untuk bersaing, mampu menyesuaikan diri dan menyumbang kepada survival bangsa serta kesinambungan kuasa pemerintahan. Sejarah telah membuktikan bahawa kita pernah cemerlang. Maka tidak hairanlah jika kita sedang bangkit sekali lagi untuk mewarnai dan mencipta watak-watak agung sebaris dan setanding dengan orang lain yang maju di dunia pada hari ini.
Berbagai fenomena yang berlaku telah merubah landskap politik dunia hari ini. Penjurusan dan kecenderungan kepada sistem kuasa unipolar dalam politik antarabangsa, pembentukan orde baru dunia, arus globalisasi serta konsep dunia tanpa sempadan, ternyata telah mengundang ketidakpastian.
Kita amat simpati dengan penderitaan rakyat Palestin yang masih tidak terbela sehingga hari ini. Kita juga prihatin tentang konflik yang sedang berlaku di Iraq. Konflik ini telah meragut begitu banyak nyawa rakyat yang tidak berdosa.
Dunia juga seolah-olah tidak boleh berbuat apa-apa apabila negara-negara berdaulat dicerobohi sewenang-wenangnya tanpa alasan yang kukuh atau pembuktian yang nyata. Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu yang diharapkan sebagai satu badan antarabangsa untuk melindungi kepentingan ahli-ahlinya, ternyata gagal, memainkan peranan sehinggakan ketetapan-ketetapan yang dibuat olehnya tidak diendahkan malah diabaikan begitu sahaja.
Pada masa yang sama, persekitaran ekonomi global juga telah berubah dengan mendadak. Antara lain, negara China telah bangkit sebagai sebuah kuasa baru ekonomi dan gergasi dagangan yang amat menakjubkan.
Dasar pasaran terbuka yang telah dilaksanakan di China sejak awal tahun 90-an telah menyaksikan kemasukan dana dan pelaburan asing yang begitu banyak ke negara itu, sehinggakan negara-negara lain di rantau ini amat terasa kesannya. Ramai pelabur yang sebelum ini melabur di rantau Asia Tenggara, kini mengubah haluan ke China, kerana tarikan kos pengeluaran yang jauh lebih rendah dan pasaran domestik yang besar.
Dalam pada itu, India juga telah mula muncul sebagai sebuah lagi kuasa baru ekonomi di Asia di samping China. India semakin diyakini sebagai pusat baru pertumbuhan ekonomi Asia khususnya dalam sektor teknologi maklumat dan farmaseutikal.
Selain daripada saingan kuasa-kuasa ekonomi baru ini, kita mula menerima kesan dari arus globalisasi. Perjanjian WTO, AFTA dan juga berbagai perjanjian perdagangan bebas dua hala antara negara semakin menuntut keterbukaan pasaran secara menyeluruh. Semakin hari, kita semakin hampir dengan kenyataan bahawa tiada lagi perlindungan terhadap pasaran kita dan kita perlu bersedia menghadapi saingan dari syarikat-syarikat asing di peringkat global.
Berdasarkan senario dunia ini, kita perlu mempersiap-siagakan dan memperkuatkan bangsa kita supaya mampu menghadapi cabaran global dengan cemerlang. Kepentingan dunia Melayu dan Islam, kepentingan negara-negara ASEAN dan kepentingan rantau Asia Timur, tidak boleh kita abaikan dalam setiap percaturan dan perhitungan demi masa depan bangsa.
Hanya bangsa yang kuat sahaja akan disegani oleh kawan dan lawan. Apabila kita disegani barulah suara kita akan didengari oleh orang lain.
Sejak kebelakangan ini, polemik agenda ekonomi Melayu telah dibangkitkan semula oleh para pemikir kita.
Mereka mengakui Dasar Ekonomi Baru telah berjaya mengubah kedudukan orang Melayu dengan amat ketara dari tahun 70-an sehingga 90-an. Walaupun begitu, mereka berpendapat kejayaan selama lebih 20 tahun itu, nampaknya kini seolah olah terhakis dan tidak lagi dipertahankan.
Biar apa pun pandangan yang diberikan, persoalan agenda ekonomi Melayu ini perlu dikupas dan dibahas dalam konteks dan kerangka yang lebih tepat. Kita perlu mempunyai perspektif seimbang dan bersifat jangka panjang.
Secara mutlaknya, kita tidak boleh nafikan bahawa pencapaian ekonomi orang Melayu sejak tiga dekad yang lalu, amatlah menakjubkan.
Pada tahun 70-an, Bumiputera hanya mampu memiliki modal saham syarikat berhad sebanyak RM125 juta. Pada tahun 2002, angka ini mencecah RM73 bilion, iaitu peningkatan purata sebanyak 22% setahun atau 595 kali ganda daripada jumlah asal. Manakala pendapatan isi rumah pula, purata pendapatan kasar Bumiputera meningkat daripada RM492 sebulan pada tahun 1980 kepada RM2,376 pada tahun 2002 iaitu peningkatan purata sebanyak 7.4 peratus setahun.
Selain itu, golongan profesional juga sering dijadikan kayu ukur kepada kemajuan bangsa. Sebagai contohnya, pada tahun 1980, cuma terdapat 341 doktor Bumiputera di negara ini. Pada tahun 2002, bilangan doktor Bumiputera meningkat lebih sepuluh kali ganda kepada 5,346 orang. Kalau dahulu bilangan doktor Bumiputera cuma 10 peratus, satu jumlah yang amat kecil berbanding doktor daripada kaum-kaum lain tetapi pada hari ini peratusan doktor Bumiputera telah meningkat kepada 39 peratus dan merupakan kumpulan yang paling besar dalam bidang ini.
Begitu juga dengan pencapaian kita dalam membasmi kemiskinan yang mana impaknya terlalu besar ke atas bangsa Melayu. Dalam masa tiga dekad yang lampau, kita telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 50 peratus menurun kepada 5 peratus dan kerajaan berikrar untuk terus menghapuskan kemiskinan tegar dalam masa lima tahun ini.
Saya ajukan fakta-fakta ini untuk mengingatkan kita semua bahawa Melayu sudah mara jauh ke hadapan dari segi ekonomi tanpa perlu dibandingkan dengan orang lain.
Hakikatnya, kita mampu mencapai perubahan besar ini dalam tempoh satu generasi sahaja. Jikalau dahulu ayahnya seorang petani, kini anaknya menjadi profesional yang berjaya di bandar. Kalau dahulu ibunya seorang bidan kampung, anaknya kini menjadi pakar sakit puan di hospital. Kenyataannya, inilah satu kejayaan mobiliti sosial menegak (vertical social mobility) pembangunan bangsa yang amat menakjubkan. Kita patut bersyukur dan berbangga atas kejayaan kita ini yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Di sebalik kejayaan yang telah dicapai, kita juga harus sedar bahawa agenda ekonomi orang Melayu merupakan satu agenda perjuangan yang belum selesai.
Landasan untuk menjadi bangsa yang terbilang menuntut kita mengambil langkah-langkah yang tepat dan terancang.
Langkah pertama: Mengukuhkan kepentingan ekonomi Melayu. UMNO amat sedar akan tanggungjawab ini dan tidak akan lari dari prinsip serta pegangan untuk terus mengukuhkan kepentingan ekonomi orang Melayu.
Secara relatifnya, jika dibandingkan penguasaan modal, pendapatan isi rumah dan bilangan usahawan Bumiputera, dengan peratusan orang-orang bukan Bumiputera, kita belum lagi mencapai satu tahap peratusan yang seimbang. Di sinilah saya ingin menegaskan bahawa UMNO ingin melihat roh, semangat dan prinsip Dasar Ekonomi Baru hidup, bersemarak dan berterusan.
Jelasnya, agenda kita untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi orang Melayu tidak pernah terhenti malah akan terus diperhebatkan. Sesungguhnya kejayaan orang Melayu dalam bidang ekonomi perlu dilihat sebagai satu faktor penting dalam menjamin kestabilan negara dan ia sebenarnya membawa keuntungan bukan sahaja kepada orang Melayu bahkan juga kepada orang-orang bukan Melayu di negara ini. Kita akan memastikan pengagihan kekayaan negara dengan adil dan saksama.
Langkah kedua: Mengamalkan nilai-nilai murni. Orang Melayu hendaklah pandai menjana semula nilai-nilai tradisional yang diadunkan dengan nilai-nilai kontemporari untuk terus memacu kejayaan.
Sememangnya sejak dahulu kala orang Melayu terkenal dengan sifat amanah, kesetiaan, kejujuran, keikhlasan, kesabaran, kesederhanaan, kesopanan dan semangat kekeluargaan yang tinggi. Nilai-nilai tersebut perlulah dimantapkan lagi dengan pemikiran global, saintifik, strategik dan budaya pencapaian tinggi (high performance culture).
Kita perlu berubah daripada sikap sambil lewa kepada sikap bersungguhsungguh, daripada sikap berlebih kurang kepada sikap lebih tepat (precision society), daripada kepercayaan karutmarut kepada kepercayaan saintifik dan daripada pemikiran beremosi (emotional thinking) kepada pemikiran rasional (rational thinking), daripada tumpuan taktikal kepada pemikiran strategik dan seterusnya daripada pemikiran yang bercelaru, kepada pemikiran yang mementingkan keutamaan (priority/awlawwiyat).
Hanya dengan adunan kedua-dua nilai tersebut dapat kita pastikan bahawa orang Melayu mampu menangani cabaran persekitaran global tanpa mengorbankan jati diri yang berpaksikan Islam dan Melayu itu sendiri.
Kisah kejayaan kita sebenarnya, telah pun dipelopori oleh pemimpin dan orang-orang Melayu yang terdahulu. Dalam hal ini, ada satu cerita rakyat yang boleh kita ambil iktibar:
Pada zaman binatang boleh bercakap, ada sepasang musang jantan betina. Hidup mereka sekeluarga amatlah susah dan si jantan sentiasa mengeluh. Maka suatu hari mereka berdua telah ke istana berjumpa Raja Sulaiman dan menceritakan hal kesusahan mereka. Titah Raja Sulaiman, engkau baliklah nescaya kesenangan akan mengekori kamu.
Bila sampai di rumah, ia pun cuba melihat ekornya, tetapi tidak kelihatan kesenangan, kekayaan dan emas. Dia pun menyuruh musang betina melihat kalau-kalau di ekornya ada kesenangan, kekayaan atau emas. Ternyata tiada! Oleh sebab tidak puas hati, mereka pun sekali lagi ke istana untuk berjumpa Raja Sulaiman dan mengadu di ekor mereka tiada terdapat kesenangan, kekayaan dan emas sebagaimana dijanjikan.
Jawab Raja Sulaiman, sebenarnya jika kamu berjalan ke hadapan, terus berusaha, bekerja keras nescaya kesenangan, kekayaan, kemakmuran akan mengekori kamu.
Justeru, setelah saya diberi kepercayaan oleh Perdana Menteri untuk bertanggungjawab ke atas FELDA, saya dapati ada satu pengajaran besar yang ingin saya kongsi bersama dalam majlis ini.
FELDA adalah satu contoh rancangan pembukaan tanah secara besar-besaran yang berjaya. Dalam masa hampir 50 tahun sejak penubuhannya pada tahun 1956, FELDA pada hari ini muncul sebagai ladang kelapa sawit dan getah yang terbesar di dunia. Usaha ini melibatkan tenaga seramai 103,000 orang peneroka, membuka tanah melebihi 800,000 hektar di 275 rancangan. Kini FELDA telah menyumbang sebanyak RM8.5 billion kepada pendapatan tahunan negara dan menghasilkan 12.5 peratus keperluan minyak sawit dunia. Atas kejayaan ini, FELDA merupakan projek kerajaan yang cukup dikagumi oleh dunia ketiga.
Semuanya ini dimungkinkan tercapai, hasil daripada perahan keringat dan pembantingan tulang orang Melayu. Jiwa dan semangat meneroka (pioneering spirit dan roh hijrah) Melayu yang diwarisi mereka dari nenek moyang dulu, ternyata luar biasa. Inilah buktinya, apabila orang Melayu dibimbing dengan perancangan yang jitu, dengan wawasan yang jelas, ia pasti akan membuahkan hasil yang membanggakan. Bak kata pepatah, kalau sudah benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.
Persoalannya sekarang, dengan kehidupan kita yang lebih selesa, baik di bandar-bandar mahupun di kampung-kampung, mampukah orang Melayu menghidupkan semangat juang dan memupuk kekuatan rohani dan jasmani seperti semangat meneroka FELDA ini?
Mungkinkah orang Melayu sudah mula cepat berasa puas hati dengan kejayaan dan keselesaan yang ada? Maka, cabaran pemimpin Melayu, khususnya pemimpin UMNO ialah untuk membentuk bangsa Melayu yang sentiasa mencari peluang dan berusaha untuk menjadi lebih baik daripada keadaan yang sedia ada.
Langkah ketiga: Mementingkan penguasaan ilmu dan pendidikan. Bangsa yang cemerlang adalah bangsa yang mementingkan penguasaan ilmu dan pendidikan. Seandainya sesuatu bangsa itu berada dalam kegelapan dan kejahilan ilmu pengetahuan, nescaya ia tidak dapat menilai sesuatu yang penting dan bermakna kepada mereka.
Dalam hal ini, saya ingin membawa satu kisah benar tentang penemuan Batu Bersurat yang memiliki nilai sejarah amat tinggi dan bermakna dalam menandakan kedatangan Islam serta hukum-hakamnya di rantau sebelah sini, sekali gus menjadi bukti bahawa orang-orang Melayu telah memeluk agama suci ini sejak abad ke-13. Batu Bersurat yang bertarikh 702 Hijrah ini telah ditemui pada tahun 1887 Masihi di kawasan Padang Tara di tepi Sungai Tara, Kampung Buluh Kuala Berang, Terengganu.
Sayangnya, disebabkan kejahilan orang-orang Melayu pada ketika itu, Batu Bersurat tersebut tidak dapat dinilai kepentingannya. Batu Bersurat itu telah dijadikan alas tempat membasuh kaki di masjid selama hampir 16 tahun sebelum ditemui oleh seorang pedagang dari Riau Lingga yang bernama Saiyed Hussein Ghulam Al-Baukhari pada tahun 1902. Hanya 20 tahun selepas itu, iaitu pada tahun 1922, gambar batu bersurat itu telah dihantar kepada seorang Inggeris yang bernama C. O. Blegden untuk dikaji dan dibuat pembacaan.
Bayangkanlah, tanpa ilmu pengetahuan, kita tidak dapat menilai dan menghargai sesuatu perkara yang sangat signifikan dalam sejarah dan tamadun kita.
Malahan kita terpaksa bergantung pula kepada orang asing untuk mengkaji dan menterjemahkan bukti sejarah dan tamadun kita sendiri. Ironisnya Batu Bersurat tersebut ditulis di dalam bahasa Melayu dan tulisan jawi!
Lantaran itu, penekanan dan keutamaan kepada soal ilmu dan pendidikan akan diteruskan kerana ia merupakan kunci kepada kejayaan. Kita harus mampu mengadakan anjakan terhadap pencapaian bangsa. Daripada ilmu kapal layar kepada ilmu kapal selam; daripada ilmu layang-layang kepada ilmu angkasawan; daripada ilmu hasil tani kepada ilmu ekonomi berasaskan pengetahuan.
Menerusi pendemokrasian pendidikan, kita membuka peluang seluas - luasnya kepada semua, sama ada di bandar atau di desa untuk menerima pendidikan yang berkualiti. Bagi menjamin kualiti pendidikan bertaraf dunia, dari peringkat dasarnya lagi, kita akan memperkasakan sekolah sekolah kebangsaan sehingga ia menjadi pilihan utama semua kaum. Ini bukan sahaja meletakkan mutu pendidikan ke taraf yang lebih tinggi malah dapat mempercepatkan proses perpaduan di negara ini.
Lanjutan dari itu, kita akan terus berusaha untuk meningkatkan nisbah mereka yang berjaya memasuki institusi pengajian tinggi sama ada di peringkat diploma atau ijazah dalam bidang-bidang strategik. Dari segi kualiti pula, kerajaan akan memastikan negara kita menjadi pusat pendidikan serantau yang cemerlang, berdaya saing, bermutu tinggi dan berjaya melahirkan graduan ulung bertaraf dunia.
UMNO amat prihatin dengan kehendak semasa rakyat dalam usaha memartabatkan mutu pendidikan negara. Misalnya resolusi melalui suara Pemuda suatu masa dahulu telah mendesak institusi- institusi korporat menyumbang secara langsung dalam perkembangan pendidikan. Hasilnya, tertubuhlah Universiti Tenaga Nasional, Universiti Telekom dan Universiti Petronas.
UMNO juga menyokong kuat sebarang usaha untuk memenuhi apa-apa tuntutan pendidikan orang Melayu yang semakin hari semakin bertambah.
Kendatipun begitu, dalam kesungguhan melahirkan golongan profesional dan pengurusan, kita tidak seharusnya lupa kepada cabang-cabang pendidikan yang berbentuk teknikal dan kemahiran vokasional.
Sesungguhnya kebimbangan yang wujud di kalangan negara-negara yang sedang membangun ialah ketandusan tenaga mahir di bidang teknikal dan vokasional.
Justeru, saya menyeru kepada Wanita, Pemuda dan Puteri agar bangkit dalam satu gerakan besar-besaran untuk membangunkan sumber manusia atau human capital sebagai nadi utama kepada kejayaan negara kita.
Jadilah barisan utama yang memperjuangkan agenda pendidikan dengan tumpuan ke arah melahirkan generasi muda yang lebih terdidik dengan ilmu dan kemahiran, agar UMNO mampu menjadi contoh ikutan dalam masyarakat .
Wanita, Pemuda dan Puteri seharusnya menjuarai gerakan ini di kawasan dan bahagian masing-masing, berperanan sebagai penggerak agenda pendidikan di peringkat akar umbi dengan memastikan tidak ada seorang pun anak bangsa yang tercicir daripada mendapat pendidikan asas selama 11 tahun.
Proses ini tidak akan terhenti selepas tempoh 11 tahun ataupun di peringkat SPM sahaja, malah anak-anak bangsa kita perlu terus diberi peluang menyambung pengajian mereka. Kepada yang cenderung dalam bidang akademik mereka akan ke pusat-pusat pengajian tinggi dan sebahagian yang lain ke arah pendidikan bercorak kemahiran dan teknikal seperti di Kolej Komuniti, Vokasional dan Politeknik berlandaskan konsep pendidikan sepanjang hayat.
Langkah keempat. Penguasaan bahasa asing.
Penguasaan bahasa asing amatlah penting sebagai satu lagi kekuatan kita untuk menjadi bangsa yang lebih kompetitif, bermaklumat, berteknologi dan saintifik.
Sesungguhnya cinta kepada bahasa ibunda tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memahirkan diri kita berkomunikasi dalam bahasa lain, selain daripada bahasa Melayu. Tokoh-tokoh pejuang bangsa dan bahasa terdahulu, yang kuat faham kebangsaannya dan amat bersifat anti penjajah, juga tidak menafikan kepentingan menguasai bahasa asing sebagai strategi menghadapi lawan.
Contohnya, siapa tidak kenal Zainal Abidin Ahmad atau Zaba. Sebagai Pendeta Bahasa Melayu yang terulung, Zaba juga memahirkan dirinya dengan berbagai bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris.
Dalam konteks ini, saya kira tidak salah kita memberi penghargaan kepada usaha pembikinan filem Puteri Gunung Ledang. Tersohornya filem legenda Melayu ini di persada antarabangsa, yang penuh dengan keindahan bahasa kita, dimungkinkan bukan sahaja kerana kita memiliki kekuatan kewangan, tetapi juga kerana kita mampu menggemblengkan kepakaran perfileman dan strategi pemasaran, hasil dari kemampuan kita menguasai bahasa asing.
Tidak syak lagi, kepentingan penguasaan bahasa asing ini bukanlah sekadar omongan kosong atau retorik semata-mata. Ia adalah satu realiti.
Contohnya dalam era teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), Malaysia sekarang menduduki tangga ketiga selepas China dan India dalam senarai negara - negara yang paling berdaya maju dan sesuai bagi aktiviti kongsi perkhidmatan(shared services), sumberan luar (outsourcing), operasi pejabat pentadbiran (back office operations) dan pusat panggilan serantau (regional call centre). Ini kerana, selain daripada faktor kos berniaga yang kompetitif dan produktiviti pekerja yang tinggi ternyata, keupayaan kita berkomunikasi dalam berbagai bahasa dengan baik menjadi satu lagi daya tarikan yang penting.
Berdasarkan kelebihan ini, kita bakal menjana kekayaan baru kepada negara dan tidak hanya sekadar menjadi penonton kepada ledakan dunia ICT yang terus berlalu di hadapan kita.
Natijahnya, kita ingin melihat lahirnya satu generasi bangsa yang berjati diri Melayu, berpaksikan akidah Islam serta berfikiran global dan menguasai berbilang bahasa.
Marilah kita renungi kata-kata hukama Islam yang berbunyi: Satu bangsa yang menguasai sesuatu bahasa dari satu bangsa yang lain sesungguhnya tidak akan tertipu oleh bangsa tersebut.
Dalam surah Ar-Rum pula, ayat 22, Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya : Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebijaksanaan-Nya ialah diciptakan langit dan bumi, dan perbezaan bahasa serta warna kulit (bangsa). Sesungguhnya yang demikian itu menjadi bukti dan keterangan bagi orang-orang yang berilmu.
Ayat ini menganjurkan supaya kita umat Islam membuka luas minda ke arah konsep keantarabangsaan dengan tujuan bukan sahaja untuk berkenalan dan mengeratkan silaturrahim malah menjangkau jauh bagi melakukan urusan antara manusia melalui konsep muamalah di atas muka bumi ini.
Langkah kelima: Memilih pemimpin berasaskan merit. Sesungguhnya pemilihan pemimpin adalah perkara yang amat serius. UMNO adalah tonggak kedaulatan bangsa Melayu. Maka pemimpinnya adalah akar yang menunjangi tonggak itu. Kuat pemimpin teguhlah tonggak, gagahlah bangsa. Lemah pemimpin, goyahlah tonggak, layulah bangsa. Oleh itu pemilihan pemimpin di dalam UMNO adalah suatu perkara yang akan memberi kesan kepada masa depan parti dan bangsa.
Sama seperti pilihan raya, memilih pemimpin di dalam parti juga merupakan tanggungjawab dan amanah bagi mereka yang berhak memilih. Bagi perwakilan, tugas mereka adalah amat berat, kerana mereka dipertanggungjawabkan untuk memilih barisan kepimpinan yang bakal menentukan hala tuju dan haluan parti pada masa yang akan datang.
Pada tahun ini, tanggungjawab perwakilan nampaknya menjadi semakin berat apabila makin ramai calon yang menawarkan diri untuk bertanding. Apa yang cantiknya, semakin ramai calon yang layak bertanding, ia memberi kelebihan kepada perwakilan untuk memilih pemimpin yang terbaik antara yang bertanding.
Jika pemimpin yang terpilih adalah pemimpin yang beramanah, bijaksana, cekap, jujur, ikhlas, berwawasan dan berdisiplin, maka perjalanan parti untuk tahun-tahun akan datang pastinya lebih mudah dan lancar, malah parti akan berada pada kedudukan yang lebih kukuh. Sebaliknya jika pemimpin yang dipilih tidak berdasarkan kriteria yang saya sebutkan, sudah tentu ia akan merumitkan pengurusan dan perjalanan parti. Lebih buruk daripada itu, ia mungkin menjejaskan imej parti pada pandangan umum dan akhirnya UMNO akan menjadi lemah dan hilang pengaruhnya.
Perkara yang sedemikian bukanlah perkara baru. Banyak parti politik yang telah memperjuangkan kemerdekaan bagi negara mereka, dahulunya gagah perkasa dan tidak langsung tergugat oleh cabaran mana-mana pihak, tetapi akhirnya menjadi lemah dan hancur kerana kepimpinan yang tidak berkebolehan dan tidak berkemampuan untuk mempertahankan kedudukan parti mereka.
Alhamdulillah, UMNO kuat dan akan terus kuat. Kita bersyukur kerana UMNO dipimpin oleh barisan pemimpin yang cekap dan berwibawa, yang mampu membawa perjuangan ini terus maju ke hadapan sehingga kita mengecapi kejayaan yang dinikmati hari ini.
Saya ingin menyeru khususnya kepada Pemuda dan Puteri, sebagai golongan muda di dalam parti, pemimpin yang saudara-saudari pilih hari ini adalah pemimpin yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan parti pada hari esok. Masa depan UMNO terletak di tangan mereka. Malah masa depan agama, bangsa dan negara juga berada di dalam genggaman mereka. Oleh itu, pastikanlah saudara saudari tidak mensia-siakan amanah yang diberikan ini.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancurannya. Sahabat bertanya, bagaimanakah yang dikatakan mensia-siakan amanah itu?. Rasulullah menjawab; Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya. (Hadis Riwayat Bukhari)
Oleh yang demikian, kita amat mengharapkan UMNO membuat pemilihan pemimpin berdasarkan merit. Ini bererti, pilihlah pemimpin yang beretika. Pilihlah pemimpin yang terbukti kewibawaannya. Pilihlah mereka yang memiliki kemampuan untuk memimpin dengan cemerlang. Dan yang paling penting pilihlah pemimpin yang benar-benar mengerti nilai - nilai perjuangan UMNO dan bangsa.
Inilah perkara-perkara yang harus diambil kira dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita untuk memilih pemimpin parti. Janganlah kita tersilap dengan membesarkan proses pemilihan sebaliknya lupa kepada matlamat yang ingin dicapai iaitu untuk memilih pemimpin yang terbaik. Dengan cara ini, insya-Allah, UMNO akan terus kuat, terus hebat lagi bersemangat.
Langkah keenam: Menjadi pengikut yang baik. Demikianlah juga halnya dengan orang yang dipimpin. Sekiranya kita memiliki pemimpin yang hebat seharusnya kita memiliki pengikut yang juga hebat.
Seperti dalam satu kisah selepas pembunuhan Saidina Uthman dan Saidina Ali dilantik menjadi khalifah keempat. Ketika ini bangkitlah pengikut Muawiyah, Amru al-As, Talhah dan Zubir al-Awam bersatu menentang perlantikan Saidina Ali. Keadaan umat Islam menjadi kucar-kacir dan bersengketa sesama sendiri.
Maka telah datanglah seorang sahabat menemui Saidina Ali. Sahabat itu bertanya kepada Saidina Ali; kenapakah sewaktu Rasulullah, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar memimpin dahulu, keadaan umat Islam kuat dan bersatu padu tetapi sewaktu engkau ya Ali menjadi pemimpin, keadaan umat Islam lemah dan berpecah belah?
Maka jawab Saidina Ali; sewaktu mereka menjadi pemimpin dahulu, orang seperti akulah yang menjadi pengikutnya. Tetapi apabila aku menjadi pemimpin, sayangnya orang seperti kamulah yang menjadi pengikutku.
Kisah ini menggambarkan isu pemimpin dan yang dipimpin tidak boleh dipandang remeh. Kita memerlukan bukan sahaja pemimpin yang berkualiti tetapi yang dipimpin juga perlu memiliki ciri-ciri umat yang unggul. Ini akan menjamin masyarakat lebih tertarik untuk ikut serta dalam perjuangan UMNO.
Langkah ketujuh: Membudayakan meritokrasi. Orang Melayu sudah seharusnya menerima konsep meritokrasi, menghayati dan mengamalkannya sebagai satu budaya untuk mengukur tahap kelayakan dan pencapaian dalam semua lapangan. Kita tidak akan benarkan orang lain menentukan corak dan rupa meritokrasi yang sedang dan akan dilaksanakan di negara ini. Bahkan meritokrasi akan bermula di kalangan masyarakat Melayu itu sendiri.
Ini bererti dalam semua bidang, orang Melayu harus diberi peluang mengikut kelayakan dan merit masing-masing. Pertimbangan haruslah diberikan kepada mereka yang menguasai ilmu, mempunyai kemampuan dan kemahiran, bukan semata mata berdasarkan kepada siapa yang kita kenal. Tentu sekali bukan kepada mereka yang menjual kontrak atau mereka yang berkemungkinan menggagalkan agenda Melayu. Dengan mengamalkan meritokrasi sebegini, insya-Allah kita akan dapat membina daya tahan Melayu dan sekali gus menyelamatkan bangsa.
Sebenarnya, kita telah pun memulakan langkah meritokrasi ini dalam kepimpinan syarikat-syarikat milik kerajaan. Kerajaan amat komited untuk menyalurkan tenaga mahir untuk menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.
Sebelum daripada ini lagi, telah ada Melayu yang cemerlang berdasarkan meritokrasi dan diiktiraf di peringkat dunia. Sekadar untuk kita maklumi dan turut rasa bangga bahawa pada hari ini orang Melayu telah berjaya mencapai peringkat tertinggi pengurusan syarikat Shell International di Belanda dan ada yang telah diiktiraf sebagai Gabenor Bank Pusat yang terbaik di Asia.
Begitulah juga dengan Petronas yang kini berusia 30 tahun, muncul sebagai salah satu daripada 500 syarikat gergasi di dunia. Petronas dipimpin oleh pengurusan Melayu, dianggotai tenaga profesional, tenaga mahir dan teknikal yang juga terdiri daripada orang Melayu.
Kita perlu mengambil iktibar daripada kejayaan Petronas mengubah sikap dan minda orang Melayu untuk menjadi lebih terbuka dan global. Pada awal tahun 90-an, orang Melayu banyak mempersoalkan apakah perlunya Petronas membelanjakan jumlah wang yang begitu besar untuk mengembangkan operasinya ke luar negara.
Pengurusan Petronas sendiri hangat membincangkan keperluan dan kemampuan mereka untuk menjadi syarikat multi-nasional. Hari ini rakyat Malaysia cukup berbangga dan kagum dengan Petronas yang berjaya mengembangkan sayapnya ke lebih 35 buah negara.
Lebih 40 peratus daripada pendapatan Petronas yang jumlahnya RM97 billion pada tahun lepas, datangnya daripada luar negara. Ternyata, jika kepimpinan Petronas tidak meyakinkan diri untuk mengambil langkah berani keluar dari Malaysia pada awal tahun 90-an, Petronas tidak mungkin mencapai prestasi yang begitu cemerlang pada hari ini.
Orang Melayu juga telah berjaya membuanakan pemikiran mereka. Kalau dahulu orang Melayu kurang berminat untuk bertugas di luar negara, yang sudah tentunya lebih mencabar, dan sebaliknya lebih selesa bekerja dan hidup didampingi keluarga, sanak-saudara dan sahabat, pada hari ini orang Melayu sedar bahawa untuk benar-benar berjaya, mereka perlu memiliki pengalaman global yang datangnya daripada peluang bertugas di perantauan.
Pengalaman Petronas jelas membuktikan bahawa Melayu mampu menjadi lebih dari sekadar jaguh kampung. Jika kita gigih mencari ilmu, memiliki keyakinan diri yang tinggi, berani mencuba sesuatu yang baru, dan yang penting sekali, mampu keluar dari ruang selesa atau comfort zone masing-masing, insya-Allah kita akan berjaya.
Langkah kelapan: Membina masyarakat Islam Hadhari. Jika disingkap dari kisah-kisah anbiya sewaktu Nabi Allah Adam diperintahkan ke dunia, baginda telah dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan yang luas. Baginda diutus ke dunia sebagai khalifah yang telah bersih dari dosa untuk memakmurkan dunia serta menjadikannya sebagai bayangan kepada syurga, dan bukannya melakukan kerosakan di atas muka bumi.
Kisah ini membawa mesej yang sangat indah dan sangat menarik terhadap agama Islam dan tugas kita sebagai khalifah di muka bumi.
Konsep membentuk masyarakat Islam Hadhari adalah amat penting untuk membuktikan keindahan Islam itu. Konsep ini membawa pendekatan memajukan masyarakat berasaskan tuntutan akidah. Ertinya, sebagai manusia yang taat dan patuh kepada Allah s.w.t, kita dituntut mencapai kemajuan tinggi di bidang sains dan teknologi, tamadun kebendaan serta kekuatan ekonomi.
Kita sememangnya telah memulakan proses ini semenjak mencapai kemerdekaan. Dasar-dasar kerajaan, program dan aktiviti yang dilaksanakan, semuanya menjurus ke arah membentuk masyarakat Malaysia yang bertamadun.
Dalam usaha membina masyarakat Islam Hadhari untuk memartabatkan maruah bangsa dan agama, kita tidak seharusnya melihat Islam dengan pandangan yang sempit dan jumud. Islam bukanlah agama yang tertumpu kepada amalan ritual semata-mata.
Islam mencakupi semua aspek dan lapangan sebagai satu ajaran yang syumul (menyeluruh) dan kamil (lengkap).
Penggarapan kefahaman Islam yang betul amatlah mustahak dalam dunia yang serba mencabar ini. Kita lihat maruah umat Islam sering kali dihina, kerana kehidupan melarat, kelesuan dalam menghadapi cabaran dan ancaman, malah dilabelkan pula sebagai kumpulan pengganas. Sebaliknya, sebahagian negara-negara Islam lain yang diberikan kelebihan dan kekayaan hasil bumi, nikmatnya tidak pula dapat dikongsi secara menyeluruh dan saksama dalam membantu mengurangkan penderitaan umat.
Bertolak dari konsep inilah, kita perlu memahami tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah dan memegang amanah dalam membawa kebaikan, kesejahteraan dan kedamaian di muka bumi Allah ini.
Kesimpulannya, konsep masyarakat Islam Hadhari bertujuan untuk meningkatkan mutu kehidupan seharian, menyumbang kepada peradaban manusia, memupuk akhlak, memperteguhkan akidah, mengimarahkan ilmu, mempertegakkan keadilan, menyemai sikap toleransi dan menjadikan pembangunan yang kita kehendaki seimbang serta holistik demi kesejahteraan bangsa dan negara.
Untuk memastikan segala agenda terlaksana, maka Wanita, Pemuda dan Puteri harus peka terhadap peranan masing-masing dengan menghayati firman Allah dalam Surah-Surah Al-Muzzammil, Al-Mudathir dan As-Saff.
Ketiga-tiga surah ini jelas memberi perintah kepada Rasulullah dan kita semua, agar bangun dari tidur, lepaskan selimut dan membuat persiapan diri dengan melawan hawa nafsu, bersihkan pakaian, jauhi kejahatan dan mengatur strategi dalam satu barisan yang tersusun rapi untuk berjuang.
Hanya orang yang sentiasa bersiap sedia, gagah jasmaninya, kuat rohaninya dan berfikiran strategik sahaja, yang mampu untuk memikul tanggungjawab mengangkat maruah bangsanya dengan mengambil langkah-langkah yang tersusun dan terancang ke arah menjadi bangsa yang terbilang.
Kita yakin Wanita sebagai tulang belakang parti terus memperjuangkan kepentingan kaum ibu supaya tetap menjadi magnet dan tempat bergantung harap seluruh wanita di negara ini. Kita terus mengharapkan lahirnya lebih ramai pemimpin yang berkualiti dari kalangan Wanita.
Dalam konteks ini kita mengalu-alukan ketetapan kerajaan supaya 30 peratus daripada jawatan tertinggi dalam semua peringkat pembuat dasar dan keputusan sektor awam, akan diwakili oleh golongan Wanita dalam tempoh yang secepat mungkin.
Pemuda pula harus mengambil tanggungjawab sebagai agen perubahan dan jurubicara umat. Pemuda mesti mencerminkan cita rasa generasi muda. Pemuda perlu sentiasa menzahirkan idealisme parti, iaitu idealisme yang bertunjangkan sikap yang pragmatik di samping memperjuangkan isu-isu yang menyentuh nurani dan aspirasi orang Melayu.
Kita percaya Pemuda akan terus menyahut seruan dan menjawab panggilan parti. Saya berharap proses peremajaan parti yang telah berlaku dengan penampilan 112 Ketua Pemuda Bahagian yang baru, akan menjadi pemangkin kepada perjuangan yang lebih dinamis.
Kita menghargai peranan Puteri yang telah berjaya menambah bilangan ahli UMNO di kalangan generasi muda. Usaha Puteri tanpa mengenal penat lelah yang telah berjaya memenangi hati dan perasaan rakyat melalui aktiviti-aktiviti pendidikan, kebajikan dan sosial haruslah diteruskan. Jadikanlah warna merah jambu itu sebagai warna pemikat hati rakyat.
Apabila melihat segala kejayaan demi kejayaan yang telah dilakukan, maka bangkitlah wahai Wanita, Pemuda dan Puteri. Teruskan perjuangan yang murni ini demi kejayaan bangsa yang berpanjangan sebagai bekalan dan survival generasi kita pada masa hadapan. Kita harus sentiasa ingat bahawa kita adalah parti teras dan tonggak dalam Barisan Nasional.
Secara sedar ataupun tidak, UMNO bukan sahaja dilihat sebagai komponen utama Barisan Nasional di Malaysia tetapi UMNO adalah satu-satunya part yang memegang rekod dunia sebagai parti paling lama memerintah secara berterusan.
Ternyata di bawah UMNO, Allah telah memberikan kekuatan kepada kita untuk menerajui negara dengan aman, stabil, harmoni dan terus menuju kejayaan. Seperti yang telah disebutkan, proses peremajaan parti yang berlaku, telah memperkukuhkan lagi keyakinan kita terhadap masa depan parti yang lebih cemerlang di tangan generasi muda pada hari ini.
Alhamdulillah, jika beginilah kewibawaan dan dinamika kepimpinan generasi muda yang telah dipamerkan, maka kita dengan yakin dan berani mempertaruhkan nasib dan masa depan bangsa kepada saudara dan saudari semua.
Berbagai cabaran yang menanti, menuntut kita agar berubah. Namun sejarah menunjukkan bukanlah satu tugas yang mudah untuk mengubah sesuatu bangsa. Banyak onak dan duri yang harus ditempuhi. Walaupun UMNO, parti tonggak bangsa Melayu kini berada pada kedudukan yang kuat, malah mungkin antara yang terkuat sejak ia ditubuhkan, namun itu tidak bermakna kita tidak perlu melakukan sebarang perubahan untuk menjamin kelangsungan bangsa kita.
Sedari awal ucapan saya, yang bertemakan Kesinambungan dan Perubahan, dapatlah kita simpulkan bahawa, untuk menjadi satu bangsa yang perkasa dan berjaya, kita harus berusaha untuk berada pada satu tahap yang lebih baik daripada bangsa-bangsa lain.
Inilah masa terbaik untuk kita memulakan usaha ke arah memastikan kesinambungan kepada kejayaan-kejayaan kita dengan melakukan perubahan. Intisarinya: Memastikan kesinambungan untuk mengukuhkan ekonomi dan tahap pendidikan bangsa dengan perubahan terhadap komitmen kepada prinsip-prinsip meritokrasi dan juga kecemerlangan.
Memastikan kesinambungan dalam amalan nilai-nilai tradisional yang murni dengan membuat perubahan menerima pakai dan mengadunnya dengan nilai-nilai kontemporari.
Memastikan kesinambungan kuasa yang ada pada UMNO dengan membuat perubahan dalam kaedah memilih barisan pimpinan yang berdasarkan merit.
Yakinilah, UMNO kini semakin hari semakin kuat. Dengan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang penuh berhemah; dengan mandat besar daripada rakyat dalam pilihan raya yang lalu; dengan terlaksananya dasar-dasar kerajaan yang mengutamakan masyarakat terbanyak; dengan perancangan masa depan yang jitu; ditambah dengan ketandusan isu daripada pembangkang; insya-Allah, tidak ada sesiapa pun, waima, mana-mana pihak dari luar atau dari dalam yang dapat menggugat perpaduan dan keutuhan parti yang tercinta ini.
Untuk mengakhiri ucapan saya pada malam ini, saya mengajak semua merenung sejenak pesanan pujangga yang penuh bermakna ini:
Bila benci musuhmu dan sayang temanmu tidak lagi mempengaruhi tegakmu yang adil,
Bila engkau telah sanggup mengambil hikmat dari aliran zaman, mengambil manfaat dari perubahan, Maka semuanya dapat kau tawan, bukannya engkau yang ditawan.
Bila semuanya sanggup kau hadapi, Kesetiaanmu pada perjuangan murni ini tidak berbelah bahagi, Maka engkaulah pahlawan pertiwi, engkaulah yang berhak mempusakai bumi dan seisi, Engkaulah sebenarnya Wanita, Pemuda dan Puteri bangsa sejati.
Di mulut ku lafazkan hasrat
Di hati ku bakar semangat
Pada Wanita, Pemuda dan Puteri ku pohon tekad
Pada Allah Yang Maha Esa ku pohon kudrat.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan penuh rasa tawadhuk merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Tahun 2004 dengan ucapan selamat bersidang
UCAPAN DATUK AZALINA DATO’ OTHMAN SAID KETUA PUTERI UMNO MALAYSIA SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2004 22 SEPT 2004
‘MEMPERTEGUHKAN AKAR BANGSA’
Bismillahirrahmannirrahim
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, kepadaNya saya berserah dan bertawakal, dan hanya kepada-Nya tempat bergantung” Ybhg Saudari Pengerusi Tetap, Jawatankuasa Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Perwakilan dan para pemerhati yang saya kasihi
Bunga melati di taman kasturi, Wangi semerbak harum sekampung
Perwakilan PUTERI sopan bestari, Sumbangan besar harapan menggunung
Wangi semerbak harum sekampung, Anak muda bergalah ke muara
Sumbangan besar harapan menggunung, Mohon saya bermadah bicara
Assalamualaikum warahmatullahi taa’ala wabrakatuh dan Selamat Datang ke Perhimpunan Agung Puteri UMNO Malaysia ke 2 bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2004
1. Terlebih dahulu izinkan saya memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana limpah kurnia-Nya kita berjaya mengadakan Perhimpunan Agung Pergerakan PUTERI UMNO yang cukup bersejarah dalam suasana yang dijiwai semangat juang, serta setiakawan yang kental mendalam. Semangat inilah yang telah menjalin ikatan yang teguh di kalangan kita semua para anggota dan Perwakilan PUTERI dari seluruh ceruk rantau tanahair. Semangat ini juga telah meletakkan kita dalam satu barisan yang padu dan ampuh, sayap muda di bawah naungan parti induk kita UMNO, untuk menghadapi dan menangani pelbagai cabaran abad baru demi bangsa, agama dan tanah air tercinta.
2. Saudari perwakilan sekalian. Perhimpunan Agung PUTERI UMNO pada hari ini mempunyai erti yang begitu istimewa dan bersejarah bagi kita semua. Saudari-saudari sekalian tentu sedia maklum bahawa PUTERI dari segi usia boleh diibaratkan bayi setahun jagung yang lahir ke persada pertiwi dan cuba mendewasa dengan menghirup sinar mentari pagi yang kelak semakin panas bahangnya. Ilham mendirikan PUTERI UMNO tidak lama dahulu sebagai sayap muda UMNO, telah menjadi kenyataan berkat sokongan dan dukungan semua pihak, khususnya berkat sokongan, asuhan dan bimbingan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Presiden UMNO yang ke-5 dan mantan Perdana Menteri yang ke-4, dan berkat sokongan dan bimbingan Pemangku Presiden UMNO kini, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang ke-5. Justeru itu izinkan saya bagi pihak PUTERI UMNO merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Yang Amat Berbahagia Tun dan Yang Amat Berhormat Dato Seri Abdullah atas jasa besar mereka yang kekal abadi kepada PUTERI UMNO.
3. Walaupun PUTERI UMNO masih sangat muda, namun impaknya ke atas pentas politik tanahair sudah terasa bahangnya. Warna ‘merah jambu’ yang melambangkan semangat PUTERI UMNO sudah tidak asing lagi di desa dan di kota, di pedalaman dan pesisir, dan berjaya menarik perhatian pemudi anak bangsa yang semakin memberikan sokongan dan komitmen kepada perjuangan kita. Dengan semangat rendah hati dan tanpa bermaksud takabur, boleh kita simpulkan bahawa PUTERI UMNO telah memainkan peranan yang penting dalam menawan hati wanita muda kepada UMNO, dan sekaligus membantu meraih sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional sehingga BN memperolehi kemenangan terbesar di dalam pilihanraya Umum ke 11 pada 21 Mac yang lalu. Tahniah saya ucapkan!
4. Kewujudan dan perjuangan Puteri bukanlah berbekalkan semboyan kosong dan semangat buih “pepsi cola”. Puteri dibimbing oleh idealismenya sendiri yang membara, dengan akarnya yang teguh pada tradisi bangsa. Puteri juga memupuk minda sejagat yang luas, semangat yang tabah dan berani, serta mengatur strategi yang bijak untuk mendaki hingga ke puncak kejayaan bagi generasi muda. Para pemimpin dan anggota PUTERI perlu sentiasa membakar semangat ini dalam diri masing-masing, dan maju kehadapan dengan penuh keyakinan pada usaha dan cita-cita yang kita perjuangkan.
Yang Berbahagia Saudari Pengerusi

Hadirin sekalian
5. Dimanakah PUTERI UMNO hari ini? PUTERI UMNO telah membuktikan kemampuan sebagai satu sayap UMNO yang mantap dan berkesan melalui beberapa Pilihanraya Kecil dan Pilihanraya Umum 2004 lalu. Walaupun masih baru, kita berjaya melakukannya berkat dari usaha bersama yang cemerlang. Penubuhan Puteri MIC dan Puteri Keadilan menjadi bukti betapa berjayanya PUTERI UMNO dalam memberi kesedaran kepada kepimpinan negara tidak kira kerajaan atau Pembangkang agar tidak menidakkan hak wanita muda dalam politik tanah air.
6. PAS juga terpaksa mengetengahkan calon wanita dalam Pilihanraya Umum 2004 semata-mata ingin memberitahu masyarakat tentang sikap mereka yang juga ingin dilihat memperjuangkan hak wanita. Mereka yang akan menubuhkan Srikandi PAS pula bakal membawa cabaran, melambangkan satu usaha untuk menyekat kekuatan PUTERI UMNO. Mungkin dahulu PUTERI diperlekeh dan dihina kerana gaya anggun yang agresif tidak disenangi PAS tetapi akhirnya di Muktamar PAS baru-baru ini, Dewan Pemuda PAS mengangkat tabik hormat kepada kita, PUTERI UMNO tetap hebat dan berjaya!
7. Apakah tanda hormat ini kepada PUTERI UMNO? Adakah ia kiasan bertapis tanda menyindir? Atau adakah PAS sudah mengangkat bendera putih? Sebenarnya ia adalah tanda perjuangan PUTERI UMNO yang semakin memuncak. PUTERI UMNO sudah mengecapi kejayaan tetapi ini bukanlah bermakna perjuangan kita sudah tamat. Saya percaya, membina sesebuah pergerakan itu mudah, tetapi mengekalkan keunggulannya itulah cabarannya.
8. Melayu jangan mudah lupa. Malaysia merdeka dengan kebijaksanaan pemimpin kita. Sejarah jelas menunjukkan bangsa Melayu pernah menjadi pedagang-pedagang masyhur di zaman Kesultanan Melayu Melaka dan pelabuhan kita terkenal seantero dunia. Inilah yang PUTERI UMNO perlu lakukan. Jati diri yang kukuh dan penuh azam perlulah dipasak sekukuhnya agar kita kuat dan berjaya. Sudah menjadi tanggungjawab kita agar UMNO terus gagah dan berkuasa. Jangan dibuai lena mimpi yang berpanjangan. “Perjuangan kita belum selesai”.
Yang Berbahagia Saudari Pengerusi Tetap
Serta para perwakilan yang dikasihi
9. Pada Pilihanraya Umum 2004 yang lepas, 4 wakil PUTERI telah diberikan kepercayaan Barisan Nasional dan rakyat telah memilih mereka untuk membawa suara rakyat. Sambutan yang menakjubkan dalam keahlian PUTERI UMNO juga, telah memperlihatkan betapa golongan wanita muda amat mempercayai pergerakan ini. Kita bukan sahaja bercakap isu politik orang Melayu, tetapi boleh bercakap juga tentang isu pembangunan negara. Kita tidak lagi hanya penyeri majlis tetapi pejuang dalam politik Melayu. Segala kritikan dan tohmahan sama ada didalam atau di luar UMNO yang mempersoalkan cara dan gaya kita selama ini, boleh disimpan semua itu untuk selamanya. Inilah pendekatan kita.
10. Saudari para anggota PUTERI sekalian. Negara kita Malaysia baru sahaja merayakan ulangtahun 47 kemerdekaannya. Kemerdekaan negara dan bangsa kita mempunyai erti yang amat besar lagi bersejarah. Kemerdekaan itu dicapai dengan usaha jerih payah perjuangan dan pengorbangan angkatan terdahulu. Hasil daripada pelbagai dasar Kerajaan dan sokongan seluruh rakyat, Malaysia telah mencapai tahap kemajuan yang amat membanggakan dalam pelbagai bidang. Kita telah bebas daripada belenggu penjajahan, dan kini berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelbagai bangsa dan negara lain di dunia. Para pemimpin kita telah mewariskan kepada kita, generasi baru, tanah air yang aman dan damai serta rakyat yang berbilang kaum yang bersatu padu. Kita tidak harus mensia-siakan warisan dan harapan mereka.
11. Dalam hubungan mewarisi cita-cita angkatan terdahulu serta meneruskan perjuangan bangsa inilah, maka izinkan saya berbicara sedikit mengenai cabaran dan peranan PUTERI UMNO pada hari ini dan akan datang.
Yang Berbahagia Saudari Pengerusi,
12. Kita sedia maklum bahawa 75 peratus penduduk Malaysia pada hari ini lahir selepas kemerdekaan pada 1957, dan tidak mempunyai pengalaman pahit maung penjajahan. Bahkan sebahagian besar daripada generasi pasca-kemerdakaan ini sebenarnya adalah jauh lebih muda, terdiri daripada mereka yang lahir selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan Penggubalan Dasar Ekonomi Baru pada 1970. Para anggota PUTERI kesemuanya terdiri daripada generasi ini, iaitu generasi yang lahir dan dewasa dalam zaman baru pasca-13 Mei dan DEB yang telah menyaksikan perubahan besar kepada negara dan nasib orang Melayu sendiri. Ini menunjukkan bahawa generasi anggota PUTERI amat bertuah kerana sejak lahir lagi, kita berada dalam negara dan masyarakat yang menyaksikan kemewahan, kemajuan dan amalan dasar-dasar hak keistimewaan Bumiputera. Kebanyakan daripada kita tidak mengenal kesusahan dan kemiskinan yang dilalui dan dirasai oleh generasi terdahulu, mahupun satu perasaan yang ‘inferior’ dan segan sungguhpun di bumi kita sendiri – kesemua ini asing bagi kebanyakan kita.
13. Namun zaman baru membawa cabaran baru yang tidak kurang hebatnya, cabaran yang perlu kita fahami dan tangani dengan bijak dalam perjuangan Puteri untuk memartabatkan agama, bangsa dan tanahair. Kita sedang melalui zaman revolusi maklumat seiiring dengan perkembangan pesat ICT dan kita sedang meniti gelombang era globalisasi. Natijah daripada itu, kita terus menerus terdedah kepada ledakan pelbagai idea seperti hak asasi manusia, masyarakat sivil, pemerkasaan (empowerment), demokrasi, governan (atau urus tadbir), ketelusan, persaingan, dan meritokrasi. Lantas kita berdepan dengan senario baru yang berbeza sama sekali dengan zaman pra-DEB dan zaman DEB. Zaman kita ini menyaksikan keterbukaan ekonomi, persaingan yang sengit di pasaran terbuka, peningkatan arus liberalisasi, deregulasi dan penswastaan, serta asakan demi asakan ke atas peranan pemerintah supaya ia mengundurkan diri dan membiarkan kuasa pasaran menentukan peraturan permainan (rules of the game). Idea-idea ini bukan sahaja semakin menawan imaginasi rakyat negara kita generasi muda amnya dari pelbagai kaum, bahkan juga telah menjadi agenda perjuangan pelbagai pihak atas nama “keadilan’ dan “kesamarataan”.
14. Saudari-saudari yang saya muliakan. UMNO lahir di persada tanah air hampir 60 tahun yang lalu memperjuangkan apa yang kita sebut sebagai “agenda melayu”. Pergerakan PUTERI yang lahir ke pentas politik negara kita tidak lama dahulu juga menghayati dan mendukung agenda tersebut. Penggubalan dan perlaksanaan DEB oleh kerajaan yang didukung oleh UMNO, antara lain, ialah untuk menangani agenda Melayu ini. Pada hari ini, isu “agenda melayu” bergema lagi baik di bandar mahupun di luar bandar, dan mendapat reaksi yang berbeza-beza. Ada saranan agar kita menghidupkan kembali DEB untuk menangani ketidakseimbangan dalam pembangunan dan kemajuan masyarakat melayu dan Bumiputera ini berbanding dengan golongan bukan Bumiputera, manakala ada pula yang merasakan orang melayu sudah mula mempunyai daya saing dan tidak perlu bergantung pada “tongkat” lagi yang lambat launnya akan membiarkan kita lemah.
15. Sebagai amanat kepada PUTERI, izinkan saya berbicara sedikit mengenai agenda Melayu serta peranan dan tanggungjawab PUTERI UMNO. Pada hemat saya, agenda Melayu adalah tonggak dalam agenda Nasional dan tunjang kepada agenda Malaysia. Mengapa saya berkata demikian? Golongan Melayu dan Bumiputera lain merupakan kira-kira 60 peratus penduduk, dengan sebahagian besarnya masih berada di luar bandar dan tidak berupaya menyertai arus pembangunan perdana sedangkan mereka merupakan bilangan pengundi yang amat penting. Sementara itu, di sektor korporat, matlamat 30 peratus pemilikan ekuiti yang ditetapkan oleh DEB masih tidak tercapai sehingga ke hari ini di mana angka pemilikan itu turun naik di sekitar 18.5 peratus saja. Jurang antara kaum yang sudah mengecil pada zaman DEB sudah berkembang semula khususnya selepas 1990an. Dengan kata lain, matlamat DEB untuk merapatkan jurang antara kaum demi perpaduan nasional dan kestabilan sosial yang tercapai dalam batas tertentu suatu masa dahulu kini mula menghadapi cabaran baru.
16. Pada masa yang sama, satu fenomena baru yang semakin ketara ialah jurang didalam sesuatu kaum antara golongan berada dengan golongan yang kurang berada serta golongan dibandar dan golongan di luar bandar juga turut melebar. Antara manifestasi jurang ini ialah kemunculan apa yang dikatakan the “digital devide” atau jurang digital antara bandar dengan luar bandar yang perlu segera ditangani. Maka, apa yang kita hadapi pada hari ini ialah dua jenis jurang yang serius, iaitu jurang antara kaum dan juga jurang di dalam kelompok kaum itu sendiri.
17. Berdepan dengan senario sedemikian, bagaimanakah harus kita memperjuangkan agenda Melayu? Pada hemat saya, kita perlu memperjuangkan agenda Melayu dalam konteks agenda nasional yakni agenda Malaysia dengan mengambil kira perubahan situasi dalam negeri dan antarabangsa yang saya sebutkan pada awal tadi. Saya percaya semua warganegara Malaysia, Melayu dan bukan Melayu, menerima hakikat bahawa kita hidup bersama dalam satu negara yang kita miliki bersama dan nasib masa depan kita saling berpaut dan saling bergantung seperti yang diamanatkan pada perutusan Hari Kebangsaan ke 47 oleh YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri. Kita tidak mahu jurang antara kaum yang menjadi salah satu faktor di sebalik Peristiwa 13 Mei dahulu melebar semula sehingga menggugat perpaduan antara kaum dan perpaduan nasional. Perpaduan antara kaum yang menjadi tonggak perpaduan nasional dan kestabilan sosial harus terus menerus diperteguh dan dipertingkatkan. Perpaduan nasional yang utuh akan menjamin kekuatan negara kita agar kita dapat menghadapi cabaran globalisasi dengan lebih berkesan.
18. Namun, pada masa yang sama, kita perlu mengakui bahawa jurang di dalam kaum yakni jurang dikalangan kaum Melayu serta jurang dikalangan orang bukan-Melayu memang ketara. Justeru, agenda Melayu yang kita perjuangkan pada hari ini ialah agenda yang sekaligus mengambil kira kepentingan merapatkan kedua-dua jurang ini. Dengan kata lain, titik berat dalam perjuangan agenda Melayu ialah merapatkan jurang antara kaum, Melayu dan bukan-Melayu, serta jurang di kalangan masyarakat Melayu sendiri, iaitu antara golongan Melayu berada dan yang kurang berada. Kita tidak boleh memandang remeh jurang di kalangan orang Melayu, kerana jurang ini boleh mencetuskan – bahkan telah mencetuskan – perpecahan dikalangan masyarakat Melayu. Merapatkan jurang di kalangan orang Melayu akan memperkukuhkan asas politik parti kita, serta perpaduan orang Melayu, dengan demikian, menjamin undi mereka yang berterusan kepada UMNO dan Barisan Nasional. Dengan mengecilkan jurang di kalangan orang Melayu serta memperkukuhkan perpaduan kita, dengan sendirinya akan memperkasakan kita untuk memperjuangkan agenda merapatkan jurang antara kaum.
19. Terbit daripada analisis di atas, pergerakan PUTERI perlu mempunyai visi yang luas serta mengatur strategi dan rancangan yang rapi dan praktikal untuk menyumbang secara berkesan kepada usaha merealisasikan agenda Melayu. Sesuai dengan idealisme golongan muda yang berbekalkan peluang yang tersedia bagi generasi pasca-merdeka dan pasca-DEB, dan memandangkan peri pentingnya modal manusia untuk meningkatkan daya saing masyarakat Melayu dalam era globalisasi, Pergerakan PUTERI perlu mengorak langkah untuk memikirkan apakah peranan kita – peranan yang akan membawa sumbangan bermakna kepada agenda Melayu masa kini.
20. Di dalam kita lantang menyuarakan cabaran-cabaran yang menghadapi masyarakat Melayu di hari ini, dan mendesak agar kepentingan orang-orang kita senantiasa dijaga dan diberikan perhatian paling utama oleh kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab kita, tanggungjawab pewaris parti keramat UMNO yang memegang tampuk kepimpinan bangsa dan negara, untuk sama-sama memikirkan apa yang dapat kita lakukan. Janganlah kita tidak mengendahkan peranan yang dapat dimainkan oleh kita secara kolektif, untuk berdepan dengan segala cabaran yang melanda orang Melayu. Mahu tidak mahu, paksa tidak paksa, hakikatnya: hanya kekuatan dan keupayaan pada diri sendiri sahaja yang akan dapat menjamin bahawa orang Melayu dapat menempuhi sebarang senario di peringkat tanah air kita, mahupun keadaan di persada dunia yang lebih mengancam.
Saudari-saudari yang saya hormati sekalian,
21. Bukanlah asing bagi PUTERI UMNO, sungguhpun masih kecil usia dan gerak kerja kita, untuk mengambil peranan pro-aktif dalam menentukan nasib bangsa kita. Sebagai anak yang tahu mengenal budi, generasi muda yang tahu mengenang jasa, sejak awal penubuhan pergerakan kita lagi PUTERI telah merancangkan dan melaksanakan pendekatan dan program yang sesuai, bagi menyumbang kepada usaha peningkatan modal manusia yakni sumbangan kita terhadap pembangunan keupayaan orang Melayu, terutamanya di kalangan remaja dan kanak-kanak, khususnya wanita. Malah, usaha-usaha PUTERI tidak terbatas pada sempadan Malaysia, tetapi turut dirasai di Afghanistan di mana kita telah membina sebuah sekolah.
22. Program seperti English On Wheels membolehkan PUTERI menyumbang kepada usaha memupuk budaya ingin belajar serta keperluan anak-anak kita untuk menguasai suatu kemahiran yang begitu penting iaitu bahasa Inggeris. Sunggupun usaha PUTERI dalam hal ini telah dianggap sebagai usaha yang harus dicontohi, pada hemat saya sumbangan kita ini masih terlalu kecil. Menitikberatkan pendidikan anak-anak tani, nelayan, peneroka Felda, pekebun kecil, kaum buruh, dan golongan berpendapatan rendah yang lain di kalangan orang Melayu dengan mengambil langkah intervensi masyarakat adalah usaha yang sangat penting dan murni - usaha ke arah menyumbang secara langsung atau tidak langsung kepada perjuangan untuk membina insan yang berilmu, kumpulan yang tinggi taraf pendidikannya dan berdaya saing, dan seterusnya menyumbang kepada usaha untuk merapatkan jurang di kalangan orang Melayu di Bandar dan luar Bandar mahupun jurang antara orang Melayu dan bukan-Melayu.
23. PUTERI UMNO berada dalam kedudukan yang cukup baik untuk menarik minat kanak-kanak bukan sahaja kepada pembelajaran bahasa Inggeris, tetapi juga kepada membaca, kepada pelajaran sains dan matematik dan kepada budaya dahagakan ilmu secara amnya. Program celik IT yang dibawa oleh pergerakan kita kepada orang-orang muda juga dapat meningkatkan pengetahuan mengenai teknologi maklumat, sains dan inovasi. Usaha sedemikian tidak boleh dilakukan secara bermusim, tetapi sebagai usaha berterusan yang bersinambungan – usaha yang wajar dijadikan agenda tetap Pergerakan PUTERI UMNO. Saya menaruh harapan agar-agar saudari-saudari perwakilan PUTERI UMNO yang hadir pada hari, dapat memberikan sedikit pandangan mahupun rancangan-rancangan yang lebih konkrit supaya dapat kita bersama-sama melaksanakan agenda ini.
Yang Berbahagia Saudari Pengerusi
Serta para perwakilan yang dikasihi
24. PUTERI UMNO menyokong sepenuhnya kerajaan di bawah pucuk kepimpinan YAB Presiden UMNO yang dikasihi. Pendekatan-pendekatan kerajaan seperti dasar memodenkan sektor pertanian dan membangunkan industri asas tani; penekanan terhadap orang muda dan belia sebagai aset negara; usaha-usaha memerangi dan membanteras rasuah; matlamat mengurangkan karenah birokrasi; pandangan jauh untuk menjadikan masyarakat dan negara kita di antara yang cemerlang, gemilang dan terbilang di mata dunia; dan bermacam-macam pendekatan lagi telah mendapat sambutan yang begitu baik dari rakyat dan pengundi sehingga membawa kepada kejayaan bersejarah UMNO dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2004. Kita tidak boleh lupa – sungguhpun ahli-ahli kita komited, barisan kita mantap, matlamat dan perjuangan kita jelas dan nyata, asas utama pada kekuatan sebuah parti politik akhirnya terletak pada sokongan rakyat. Suara rakyat harus bergema melalui PUTERI, kepentingan rakyat harus diperjuangkan oleh PUTERI, hasrat rakyat harus menjadi hasrat PUTERI. Jika inilah pendekatan kita, datanglah lawan mana pun, tubuhlah Srikandi apa jua pun – pergerakan PUTERI akan tetap maju ke hadapan, selangkah lebih jauh, senada lebih tinggi, mantap dan unggul sebagai pergerakan wanita muda yang terulung, dulu, kini dan selamanya!
25. Pergerakan PUTERI UMNO harus mempunyai barisan kepimpinan yang teguh, dinamik, mahir dan berwawasan, mempunyai misi yang jelas, komitmen yang tinggi, jujur dan ikhlas, gaya kepimpinan yang mesra ahli dan rakyat, serta strategi yang luas untuk mendampingi dan memenangi hati nurani rakyat. Barisan kepimpinan PUTERI juga perlu menyusun program yang sesuai bagi anggota dan penyokong pergerakan ini, serta mengkaji dari semasa ke semasa keberkesanan program tersebut. Lebih daripada itu, PUTERI perlu menyusun program latihan kepimpinan untuk barisan kepimpinan PUTERI pelbagai peringkat demi mendalami cabaran-cabaran semasa yang terbit daripada arus pembangunan nasional dan arus globalisasi. PUTERI perlu memahami impaknya kepada orang Melayu dan generasi muda; serta memahami dan menguasai pelbagai isu perjuangan pada hari ini seperti hak asasi manusia, demokrasi, masyarakat sivil, gender, ketelusan, urus tadbir dan sebagainya. Tanpa memahami dan menguasai pelbagai isu seperti ini, kita akan ketingalan zaman dan tidak dapat mengajukan agenda perjuangan bangsa Melayu secara berkesan dalam konteks perubahan yang begitu pantas pada abad ke-21 ini.
26. Ringkasnya, barisan kepimpinan Pergerakan PUTERI UMNO haruslah menjadi kepimpinan yang berilmu dan berwawasan, barisan kepimpinan yang penuh dedikasi, peka dengan isu rakyat dan menguasai perkembangan semasa, teguh pada akar bangsa, mempunyai minda sejagat yang luas serta semangat berani mendaki ke puncak demi mencapai kejayaan. Pada hemat saya, inilah jalan terbaik bagi Pergerakan PUTERI untuk melangkah ke hadapan dengan langkah yang mantap pada abad baru ini.
Yang Berbahagia Saudari Pengerusi,
27. Saudari-saudari para perwakilan PUTERI sekalian, kaum wanita merupakan separuh daripada penduduk negara, dan sebahagian besar daripada mereka terdiri daripada golongan muda Melayu yang harus didekati dan di dampingi oleh PUTERI UMNO. Kita perlu mengenalpasti beberapa cabaran besar dan masalah yang dihadapi oleh golongan ini demi meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing dalam arus globalisasi. Zaman yang kita tempuhi pada hari ini ialah zaman keterbukaan yang penuh dengan persaingan dan risiko. Zaman ini menuntut kita meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dengan kehendak zaman agar kita dapat mengenalpasti cabaran dan peluang; kita tidak boleh mundur dan merintih, apalagi mengaku kalah sebelum berdepan.
28. Pada hemat saya, Pergerakan PUTERI perlu menyusun program dan aktiviti yang sesuai dan berterusan bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan, dan kemahiran golongan wanita Melayu muda di pelbagai peringkat. Keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan kaum wanita dalam Bajet 2005 amat dialu-alukan. Peruntukkan sejumlah RM 37.8 juta dalam usaha mewujudkan masyarakat penyayang sama sekali akan melibatkan Puteri UMNO secara langsung atau tidak langsung dalam usaha ini. Perhatian yang diberikan oleh kerajaan ini membuktikan bahawa golongan wanita diiktiraf dan dihormati oleh Kerajaan Barisan Nasional. Pada perhimpunan pergerakan kita tahun lepas, PUTERI UMNO telah menuntut agar kerajaan memastikan penyertaan kaum Hawa dalam apa jua pun penggubalan dasar, termasuklah undang-undang Syariah. Keputusan untuk memastikan Jawatankuasa Teknikal dalam penggubalan undang-undang Syariah, dianggotai oleh wanita adalah antara langkah yang baik ke arah ini. Terima kasih YAB Perdana Menteri.
29. Islam Hadhari yang dibawa oleh kerajaan adalah satu mekanisme perkembangan insan yang jelas dapat membangunkan ummah keseluruhannya, dan begitu bermakna bagi kaum wanita secara khususnya. Pendekatan Islam yang menekankan pembangunan ukhrawi dan duniawi, pembangunan akidah mahupun ekonomi, keadilan dan kesaksamaan, pembangunan sebuah tamadun dan masyarakat secara syumul, tak mungkin menidakkan penyertaan wanita sebagai rakan-kongsi dalam perjuangan. Islam Hadhari mewajibkan kita menjadi bangsa dan umat yang bukan sahaja beriman dan bertakwa tetapi juga bangsa yang bersedia menghadapi cabaran serta realiti dunia semasa, baik di tanahair sendiri mahupun di pentas dunia.
30. Saya amat mengharapkan ahli-ahli PUTERI akan menjadi contoh insan yang begini, insan yang dikehendaki agama kita yang suci, pandai mengimbangkan kesemua tuntutan Islam, maju di bumi, selamat di akhirat.
31. Saya turut berharap untuk meninggalkan Puteri yang sentiasa prihatin dan mengamalkan kerja kebajikan sebagai salah satu ‘core business’. Saya percaya, politics is not all about power, it’s also about caring. Program-program Puteri seperti Operasi Bakti Puteri, program membaca untuk orang buta, khidmat bantuan guaman, kempen derma darah, kempen kesedaran terhadap sumbang mahram dan bermacam-macam lagi akan terus diperhebatkan. Memupuk masyarakat Puteri prihatin merupakan agenda pergerakan yang “tidak lekang dek panas, tidak basah dek hujan”. Tidak rugi bagi kita melaksanakan kerja-kerja kebaikan kerana kita lakukannya sebagai tanda kesyukuran kita pada Allah s.w.t.
Yang Berbahagia Saudari Pengerusi,
Saudari perwakilan yang saya hormati,
32. YAB Pemangku Presiden kerap kali menyebut tentang azam untuk membasmi politik wang. Beliau juga berkali-kali memperingatkan betapa perlunya kita berkhidmat dengan integriti, jujur, cekap dan adil. Puteri UMNO percaya kepada kejujuran dan ketelusan dalam parti. Politik wang akan hanya melemahkan Parti kerana jika kita hanya memilih pemimpin bukan kerana kebolehan dan keupayaan, tetapi kepada berapa banyak yang kita dibayar, apakah yang akan terjadi jikalau esok lusa, orang luar yang memimpin melalui proxy.
Amalan politik wang ibarat barah,
Sedikit demi sedikit menghancur parti,
Bersamalah berusaha, usaha dikerah,
Agar melayu sentiasa dihormati.
Emosi Melayu mesti dikawal,
Kepada nafsu jangan menyerah,
Mesti seimbang budi dan akal,
Jangan hidup berpecah belah
Kepimpinan itu adalah amanah
Kepada yang layak ia diberi
Jangan anggap ini perkara mudah
Amanah tak boleh dijual beli
33. Kepimpinan adalah satu faktor kepada kekuatan sesebuah organisasi atau parti. Memilih pemimpin ibarat “dimakan mati mak diluah mati bapak”. Ada sahaja yang tidak kena pada awalnya. Ini juga berlaku dalam PUTERI. Pemilihan exco juga memainkan peranan dalam ketentuan kekuatan pergerakan ini. Bangsa yang kuat perlu dipimpin oleh mereka yang berwawasan dan berkualiti. Pemimpin sebenarnya adalah mereka yang berjiwa besar tidak takut kepada ancaman. Mereka mesti meletakkan parti di tingkat tertinggi dari hal peribadi. Masa depan parti bergantung kepada pemimpin yang dipilih.
34. Tiga tahun tempoh amatlah singkat untuk menilai sesuatu pencapaian pergerakan atau organisasi. Tetapi tidak kepada PUTERI. Semangat kerjasama dan perpaduan demi kebaikan dan kekuatan pergerakan yang ditunjukkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Puteri UMNO baru-baru ini jelas menunjukkan perpecahan bukanlah suatu benteng penghalang kepada pergerakan kita. Bagi kami politik adalah gelanggang perjuangan. “Survival” adalah perkataan yang sentiasa bermain di fikiran ahli politik. Hari ini anda mungkin seorang pemimpin tetapi esok belum ada jawapannya. Setiap perjuangan itu perlukan pengorbanan dan PUTERI telah membuktikan bahawa pertandingan dan perlawanan di antara kita, tetap berlandaskan pada pegangan bahawa kalah atau menangnya mana-mana individu, perjuangan parti tetap kita dahulukan. Dan insya-Allah dengan kerjasama dan persefahaman yang erat, tiada sesiapun yang harus merasakan dirinya kalah. Setiap pengorbanan itu, insya-Allah, diiringi kejayaan. Ahli politik yang berjaya adalah mereka yang tidak tunduk kepada cabaran dan dugaan tetapi menganggap ia sebagai tali pengukur kekuatannya dalam perjuangan.
35. Barisan kepimpinan PUTERI perlu memelihara dan meningkatkan perpaduan sesama sendiri, saling menyokong dan membantu, dan harus bekerja sebagai satu pasukan, bekerjasama dengan bahagian-bahagian lain dalam UMNO dan Barisan Nasional untuk cita-cita bersama. Mereka perlu menghayati sejarah tanah air dan tradisi perjuangan angkatan terdahulu dalam UMNO agar tradisi ini dapat dipertahankan dan dikembangkan. Besar harapan saya agar kerjasama serta semangat persahabatan yang erat dapat terus dianggap biasa dalam Puteri, sesuatu yang berjaya kita lakukan pada tahun-tahun yang sudah.
36. PUTERI UMNO dilahirkan dalam keadaan Malaysia yang aman dan damai, parti UMNO diiktiraf sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan diberi kepercayaan memimpin bangsa dan negara. Perlu diingatkan bahawa keamanan dan kekuatan yang ada tidak semestinya akan terjamin tanpa dipertahankan. Saya ingin memberi amaran bahawa keamanan dan kekuatan kita boleh dicabul jikalau kita Puteri tidak menjadi ahli parti yang tabah dan bertanggungjawab tetapi sebaliknya menjadikan politik sebagai vehicle kepentingan sempit dan kekayaan yang cepat. Gaya kita bergerak dengan acuan kita yang tersendiri telah terbukti membawa hasil. Kekalkan gaya PUTERI dan jangan pula kita terikut-ikut dengan amalan-amalan yang belum pernah dikatikan dengan PUTERI. Benci membenci kerana jawatan; perpecahan di kalangan parti, bersikap hipokrit dan takut menyuarakan kebenaran kerana takut kehilangan jawatan; fitnah-memfitnah, menggadaikan harga dan maruah diri dengan menjual undi adalah antara amalan yang mengakibatkan UMNO dicaci lantas hilang sokongan pada tahun 1999.
37. Puteri dilihat sebagai tekanan politik baru. “A new breed or Young Breed”. Kita ditubuhkan untuk memberi nafas baru kepada UMNO, untuk menjaminkan sokongan orang muda masih kekal kepada parti, dan untuk menyemarakkan kembali semangat idealisme dalam perjuangan agama, bangsa dan negara. PUTERI kini berada disini kerana kita diberi tanggungjawab yang besar bagi memastikan hak golongan wanita muda melayu terpelihara. Kata Yang Amat Berhormat Presiden, “We hold the people’s trust. We must therefore, be trustworthy” – Kita diberi kepercayaan, seharusnya kita mesti boleh dipercayai. Kita bertanggungjawab diantara satu sama lain dan kepada rakyat. Kerana itu juga kita dipilih menjadi perwakilan pada perhimpunan ini. Kita memikul tanggungjawab untuk menyuarakan dan mewakili Puteri di bahagian dan cawangan. Puteri adalah harapan besar parti untuk membentuk yang terbaik dari warisan UMNO dan terbagus antara segala yang ingin kita kecapi.
Yang Berbahagia Saudari Pengerusi
Para Perwakilan yang dihormati.
38. PUTERI tidak muncul bersendirian. Oleh itu, terdapat berbagai-bagai faktor dalaman dan luaran yang bakal mengancam kestabilan pergerakan ini. Kita mesti sentiasa bersedia mempertahankan identiti PUTERI, budaya PUTERI dan nilai PUTERI bagi memastikan Pergerakan PUTERI sentiasa terbaik sepanjang zaman. Setiap ahli yang bernama PUTERI UMNO perlulah peka kepada segala perkembangan semasa dan bertindak menggunakan akal yang dianugerahkan Allah s.w.t sebaik mungkin. Kehebatan sesebuah pertubuhan itulah yang menjadi penentu kepada pencapaian pertubuhan tersebut.
39. PUTERI mesti memastikan PUTERI itu sama seperti ia dilahirkan. Perubahan dan pembangunan perlu dilakukan dari semasa ke semasa tapi identiti harus dikekalkan. Ingat!!, musuh kita mahu melemahkan PUTERI. Srikandi PAS akan ditubuhkan untuk mencabar PUTERI. Ahli-ahli UMNO sendiri yang tidak bertanggungjawab mungkin cuba untuk memperalatkan PUTERI. Kita harus bersedia dan menjadikan Puteri lebih kental dan berpengaruh. Program keahlian harus dijadikan agenda utama Puteri. Saya lontarkan cabaran bagi setiap pemimpin PUTERI, iaitu saudari-saudari perwakilan sekalian mengesyorkan keahlian pergerakan akan bertambah sekurang-kurangnya dua kali ganda, menjelang perhimpunan agung pergerakan PUTERI UMNO Malaysia pada tahun 2005 nanti.
Y. Bhg. Saudari Pengerusi
Yang dikasihi barisan perwakilan.
40. Wawasan 2020 cuma tinggal 15 tahun lagi. Generasi inilah yang akan melangkah garisan sasaran untuk mengecapinya. Sebagai Anak Wawasan yang hanya boleh menoleh kebelakang untuk memahami sejarah kita tetap perlu berlari pantas kehadapan untuk mengelakkan kita ketinggalan. Dunia globalisasi ini kadangkala merentap semangat, menggoncang niat dan membawa akibat. PUTERI harus memastikan bahawa generasi wanita muda terutamanya didalam UMNO akan sentiasa mantap, bukan sahaja untuk mencapai wawasan ini bahkan untuk menjadi aspirasi kepada mereka yang lain.
41. Seperti ucapan pada perhimpunan yang lepas, isu perpaduan dalam parti serta kekuatan pergerakan kita tetap menjadi wadah perjuangan PUTERI UMNO. Perpaduan amatlah penting bagi memastikan kejituan dan masa depan sempurna UMNO dan tanpa perpaduan, lemahlah parti. Jawatan dan kuasa adalah satu ujian daripada Allah s.w.t dan jika tanggungjawab ini dapat disempurnakan secara jujur cekap dan adil, akan berjayalah seseorang hamba-Nya menghadapi ujian Ilahi. Di sebaliknya, kegagalan memenuhinya akan menjadi satu tanggungan untuk dihadapi baik di dunia mahupun di akhirat. PUTERI UMNO masa depan perlu memastikan perpaduan menjadi pegangan. Letakkan perjuangan parti lebih tinggi dari kepentingan peribadi. Kuasa bukanlah hak kita. Kuasa adalah hak Allah s.w.t. Bila-bila masa ia akan ditarik balik jika kita bersikap angkuh dan sombong. Anggaplah segala yang terjadi itu ada hikmah disebaliknya.
42. Perpaduan ini harus kita langsungkan ke peringkat kerjasama kita bersama anggota-anggota keluarga UMNO yang lain. Segala onak dan duri perlulah ditangani bersama. PUTERI yang sudah melebihi had umur akan menjadi ahli Pergerakan Wanita dan mempunyai peluang untuk terus bergiat dalam keluarga UMNO kita yang besar. Yang penting, perjuangan kita dalam kekuatan UMNO boleh dijadikan satu anugerah pada orang Melayu.
43. Saudari-saudari perwakilan PUTERI sekalian yang saya hormati. Tempoh saya memimpin PUTERI sudah berakhir namun perjuangan kita belum selesai/ ibarat kata pepatah, “Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti”. Saya percaya bahawa “yang berganti” nanti akan lebih baik daripada “yang pergi” – kebolehan untuk meninggalkan pertubuhannya dalam keadaan yang lebih baik dan lebih kuat dari keadaan ketika dia mula-mula memimpin, adalah antara matlamat yang paling penting bagi mana-mana pemimpin. Saya berundur dengan iringan doa dan keyakinan bahawa barisan kepimpinan baru PUTERI dengan sokongan padu seluruh perwakilan dan anggota pergerakan ini akan terus mambawa PUTERI ke puncak kejayaan baru demi bangsa, agama dan negara. Insya-Allah!
44. Berilah sokongan pada Ketua PUTERI UMNO Malaysia yang bakal mengambil alih tanggungjawab saya, Saudari Noraini Ahmad, sebagaimana sokongan telah diberikan kepada saya. Berilah peluang dan kepercayaan bagi beliau serta ahli-ahli jawatankuasanya untuk bersama-sama bekerja dengan saudari-saudari sekalian. Saya yakin, mereka tidak akan mengecewakan kita semua.
45. Izinkan saya mengambil kesempatan di sini, dengan berasa rendah hati melafazkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan rasa terhutang budi kepada semua anggota PUTERI, khususnya kepada barisan kepimpinan PUTERI yang telah menyokong dan mendukung saya selama ini. Sokongan dan kerjasama yang saudari-saudari sekalian berikan itu begitu bermakna – lebih dari itu, tanpanya, tidak mungkin saya dapat memimpin dan bekerja untuk ahli-ahli PUTERI dan UMNO seterusnya. Semangat dan ilham yang saudari semua berikan, akan saya hargai, dan pahat pada ingatan hingga ke akhir.
46. Kata pepatah “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang Negara”. Tanpa tiang yang teguh Negara akan roboh. Jesteru begitulah peri pentingnya Pergerakan PUTERI kepada UMNO dan bangsa kita. Bersama-samalah kita, bina dan perkukuhkan lagi tiang ini. I’m proud of you. Dengan semangat dan kesedaran itu, saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan mengucapkan selamat maju jaya kepada Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia, selamat bersidang.
Wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

RABU, 22 SEPTEMBER 2004
MEMENUHI TUNTUTAN PERJUANGAN
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.
Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap,
Yang Berhormat Timbalan Pengerusi Tetap,
Wakil-wakil Majlis Tertinggi UMNO;
Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamad Nazri Tan Sri Aziz,
Yang Amat Berhormat Dato’ Idris Jusoh,
Yang Berbahagia Tan Sri Musa Mohamad,
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,
Para Perwakilan dan Pemerhati. Assalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
1. Enam bulan sudah berlalu sejak kemenangan kita dalam Pilihan Raya Umum Ke-11. Bagi setiap daripada kita, tentunya saat itu amat menggembirakan dan tidak akan dilupai. Ia amat bermakna lebih-lebih lagi apabila kemenangan kita diperolehi selepas lebih dari tiga tahun kita membulatkan tekad, merancang gerakan, memantapkan barisan dan melipat gandakan tindakan. Kita amat bersyukur apabila segala usaha kita diberkati dan doa kita dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Alhamdulillah, Barisan Nasional (BN) sekali lagi menerima mandat rakyat dan UMNO kekal sebagai pilihan terbaik umat.
2. Pada hari yang bersejarah ini, bagi pihak seluruh warga Pergerakan Pemuda UMNO, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Y.A.B Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi di atas kejayaan beliau memimpin Barisan Nasional mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum yang lalu. Sesungguhnya, keperibadian dan kepemimpinan beliau telah berjaya menarik sokongan sejumlah besar rakyat Malaysia, terutamanya pengundi muda.
3. Pergerakan Pemuda UMNO juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Y.A.B. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dan Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah diberi kepercayaan oleh seluruh ahli UMNO untuk meneruskan kesinambungan kepemimpinan parti dalam suasana tertib dan teratur. Keyakinan yang diberikan oleh ahli-ahli parti merupakan bukti pengiktirafan kepemimpinan Y.A.B Dato’ Seri berdua. Kami, seluruh warga Pergerakan Pemuda UMNO, sebulat suara berikrar untuk terus memberi segala sokongan dan kerjasama demi keutuhan parti. Kami berdoa semoga gandingan kepemimpinan Y.A.B. Dato’ Seri akan terus membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat.
4. Alhamdulillah, berkat kemantapan gandingan teraju kepemimpinan, kegigihan barisan jentera pilihan raya dan sokongan tidak berbelah bahagi ahli-ahli akar umbi, Barisan Nasional menempa sejarah dengan memenangi 191 dari 219 kerusi Parlimen - suatu pencapaian terbaik semenjak negara merdeka. UMNO sendiri telah mencipta kejayaan yang amat gemilang. Jika pada tahun 1999, UMNO hanya memperolehi 72 dari 104 kerusi Parlimen yang ditandingi, kini suasana amat jauh berbeza. UMNO memenangi 108 dari 117 kerusi yang ditandingi dan kembali menerajui kerajaan Negeri Terengganu.
5. Kejayaan besar ini menunjukkan kasih umat Melayu tetap kepada UMNO. UMNO merupakan parti yang menyatukan umat Melayu. UMNO adalah parti yang memerdekakan umat Melayu. UMNO adalah pembela nasib, pelindung hak, pelopor pembangunan, pemangkin kesejahteraan dan pejuang survival umat Melayu. Tidak ada mana-mana parti di negara ini yang boleh menyatakan dengan berani dan terbuka bahawa mereka benar-benar berjuang untuk umat Melayu melainkan UMNO.
6. Saya gembira dan bersyukur kerana Pemuda merupakan sebahagian dari kejayaan UMNO ini. Kejayaan ini lahir dari keinsafan bahawa tugas yang diamanahkan kepada saya sebagai Pemangku Ketua Pemuda pada tahun 1998 perlu dipikul dan dipenuhi. Sejak itu, kita telah mengharungi pelbagai detik dan episod yang mendebarkan dalam perjuangan. Bangkit dari segala kepayahan dan kesukaran, kita letakkan asas perjuangan Pemuda di atas landasan yang betul. Kita bertekad menggagaskan perjuangan nilai dan makna serta berjuang menjunjung tradisi membela dan membangun bersama rakyat.
7. Kita telah memperkasakan semula Pemuda melalui strategi, pendekatan, pemikiran dan budaya kerja baru. Kita perteguhkan pegangan Islam yang kita junjung. Persepsi terhadap Pemuda telah kita rubah secara kolektif. Kita menjaguhi gerakan keilmuan dan kita halakan sikap radikal kita kepada proses perubahan dan pembaharuan agar UMNO tetap relevan di alaf baru dan kekal sepanjang zaman. Tanpa menoleh ke belakang, seluruh kekuatan Pemuda telah kita gembeling dengan satu suara, satu nada; bila, di mana, walau bagaimanapun jua.
Pelayaran ini bukannya mudah
Hari-hari hitam yang dilalui
Detik-detik putih yang ditempuhi
Datang dan pergi
Namun api yang menyalakan semangat
Tiada pernah padam
Biar siang ataupun malam
Pelayaran ini kau (aku) teruskan
Dan alam pun melihat kerlipan bintang-bintang
Siti Zaleha M.Hashim, 1990
8. Terima kasih kepada seluruh warga Pemuda di atas kerjasama, kesungguhan dan pengorbanan dalam memulihkan imej dan maruah Pemuda UMNO. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Yang Berhormat Dato’ Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan semua rakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sesi 2000-2004 di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan selama saya memimpin pergerakan ini. Kini terbukti bahawa dengan keikhlasan tujuan, kegigihan tekad dan kesatuan hati serta fikiran, kita berjaya membuktikan bahawa kita mampu memberikan nilai dan makna yang besar kepada parti, kepada umat Melayu dan kepada rakyat Malaysia. Kepada Yang Berbahagia Dato’ Khalid Yunus, yang memilih untuk meninggalkan Pergerakan ini, Pemuda ingin merakamkan jutaan terima kasih atas bimbingan dan sumbangan selama menjadi Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Saudara sidang Perwakilan sekalian,
9. Kita bersyukur kerana keikhlasan dan kesungguhan Pemuda telah mendapat perhatian pucuk pimpinan parti. Seramai 52 orang calon Pemuda UMNO telah diberi kepercayaan untuk menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-11. Dari jumlah itu, 48 orang telah berjaya memenangi kerusi masing-masing. Pada masa yang sama, ramai di kalangan pemimpin Pemuda yang telah diberi kepercayaan dan amanah untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan, baik di peringkat pusat mahupun negeri. Ada yang dilantik sebagai Menteri, Menteri Besar, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Exco Kerajaan Negeri, Setiausaha Politik dan pelbagai jawatan lagi.
10. Namun begitu, semakin kita mencatat kemenangan, semakin lebar tuntutan yang perlu dipenuhi. Semakin kita beroleh kejayaan, semakin tinggi cabaran yang perlu didaki. Justeru, saya ingin mengingatkan diri saya dan seluruh ahli Pemuda agar tidak leka dan selesa. Mandat besar dan pengiktirafan ini datang bersama amanah yang besar. Inilah waktunya untuk membalas kepercayaan pucuk pimpinan, kepercayaan parti dan kepercayaan rakyat terhadap kita. Inilah ketikanya untuk kita memastikan bahawa setiap ikrar kepada pucuk pimpinan, setiap komitmen kepada parti dan setiap janji kepada rakyat ditunaikan sebaik-baiknya. Inilah masanya untuk kita memenuhi tuntutan perjuangan dan melaksanakan segala yang terdaya agar umat Melayu tidak ketinggalan dalam kepesatan perubahan dunia dan tenggelam dalam gelora ganas globalisasi. Penuhilah tuntutan kepemimpinan umat ini; umpama ungkapan Melayu:
Menjadi pemimpin ia pilihan
Budi mulia dada beriman
Janji diisi amanah dijalankan
Terhadap rakyat belas kasihan
Terhadap negeri penuh perhatian.
Maruahnya nampak bertuah badan
Ke mana pergi jadi teladan.
Saudara sidang Perwakilan sekalian,
11. UMNO menjadi parti keramat kerana kemurnian dan kesucian matlamat perjuangannya. Kemurnian dan kesucian ini perlu dipelihara dengan membina benteng-benteng kekuatan dan ketahanan. Kitalah yang merupakan benteng-benteng kekuatan dan ketahanan itu, yang dibina berteraskan kepada keikhlasan, kesetiaan, kemurnian dan kesucian perjuangan. Maka, Pemuda tidak akan membiarkan UMNO dilemahkan sekali lagi oleh dalang dan petualang. Pemuda akan menjadi pelindung parti dan tidak akan sama sekali membiarkan mereka yang derhaka kepada perjuangan, kembali menganggotai parti. Jangan sekali-kali kita lupa bahawa penderhaka ini pernah merosakkan perpaduan sesama kita, menjejaskan imej dan ekonomi negara melalui demonstrasi dan rusuhan jalanan serta mengemis campur tangan asing demi memenuhi kehendak politik yang sempit. Pemuda tidak akan membenarkan pengkhianat ini diberi ruang walaupun seinci untuk memusnahkan parti dari dalam buat kali kedua. Mereka yang pernah menentang UMNO, yang pernah membakar bendera UMNO dan yang pernah berarak mempersenda pemimpin UMNO, jangan mimpi untuk kembali berada dalam UMNO, apatah lagi untuk berada dalam tampuk kepemimpinan UMNO.
12. Adakah tanpa mereka UMNO akan lemah? Apakah tanpa mereka UMNO tidak akan mencapai kejayaan? Hakikatnya kecemerlangan parti pada hari ini membuktikan UMNO boleh berjaya tanpa mereka. Survival UMNO tidak sama sekali bergantung pada individu. Apa yang penting ialah ahli-ahli yang sentiasa bersikap jujur, ikhlas dan setia kepada parti dan matlamat perjuangannya. Apa yang penting ialah komitmen perjuangan kita dalam meneruskan pembelaan nasib dan masa depan umat Melayu.
Saudara sidang Perwakilan sekalian,
13. Perjuangan UMNO membela hak, nasib dan masa depan umat Melayu telah bermula sekian lama. Perjuangan yang kita dokong pada hari ini merupakan warisan amanah generasi terdahulu yang telah mengabdikan diri demi bangsa dan agama. Mata air yang terbit adalah linangan air mata mereka, air sungai yang mengalir adalah aliran darah mereka, air hujan yang membasahi bumi adalah titisan keringat mereka. Mereka berjuang untuk bangsa tercinta, mereka berkorban untuk mengembalikan kedaulatan nusa. Hasrat mereka hanya mahu melihat bangsa Melayu dapat berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain. Saya yakin, walaupun mereka tidak lagi berada bersama kita seperti selalu, mereka akan terus berdoa untuk kesejahteraan dan kejayaan UMNO. Pepatah Melayu ada mengatakan, yang patah kan tumbuh yang hilang kan berganti, namun pada perhimpunan kali ini, kita merasai ketiadaan seorang Negarawan Ulung yang telah memimpin kita selama 22 tahun, iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad. Dalam perhimpunan yang bersejarah ini, Pemuda ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berbahagia Tun di atas jasa dan sumbangan beliau selama ini. Pesanan dan nasihat beliau akan sentiasa menjadi panduan dan azimat untuk kita meneruskan perjuangan sebagai sebuah bangsa yang bermaruah.
Saudara sidang Perwakilan sekalian,
14. Bagi setiap bangsa, kemerdekaan punya erti yang tersendiri. Dengan hanya merdeka, tidak bermakna kita akan dihormati. Rupanya kemerdekaan semata-mata tidak mampu mengembalikan semua hak kita yang telah lebih 400 tahun dirampas bangsa asing. Tercetusnya rusuhan kaum 13 Mei 1969 membuktikan kenyataan ini. Pada ketika itu, umat Melayu mulai sedar bahawa kemerdekaan tidak membawa apa-apa erti jika kuasa politik dan ekonomi tidak dikongsi bersama. Lalu, mereka tersentak dari lamunan dan bangkit menuntut hak. Lantas, umat Melayu telah bersatu dan UMNO diamanah dan dipertanggungjawab untuk memastikan bahawa bangsanya tidak lagi merempat dan terpinggir di tanah air sendiri. Kemuncak kepada kesedaran dan keinsafan itu, membawa kepada kelahiran Dasar Ekonomi Baru (DEB).
15. Dasar Ekonomi Baru telah membuka jalan kepada peningkatan penyertaan orang Melayu dalam pelbagai bidang pekerjaan dan sektor ekonomi. Sungguhpun terdapat pihak yang berpendapat bahawa DEB adalah agenda Melayu dan hanya memberi kelebihan kepada orang Melayu, namun Pemuda tidak melihat dasar ini dalam perspektif perkauman. Pemuda menegaskan bahawa DEB adalah agenda nasional yang bertujuan untuk membawa keadilan, kesaksamaan, kemakmuran dan keamanan kepada semua. Tanpanya akan wujud persekitaran sosial yang tidak stabil dan akhirnya boleh meruntuhkan masyarakat. Setiap kaum mesti diberi kefahaman bahawa jika agenda ini gagal disempurnakan, masyarakat akan menjadi porak peranda dan semua pihak yang mengaut keuntungan akhirnya akan rugi jua. Dalam hal ini umat Melayu tidak perlu bersikap apologetik kepada mana-mana pihak.
16. Pergerakan Pemuda menyedari bahawa biar apa pun yang diperkatakan tentang DEB, hakikatnya orang Melayu telah banyak berubah. Hari ini sama ada disedari atau tidak, sama ada diakui mahupun tidak, keseluruhan kelas menengah dan profesional muda Melayu, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung adalah produk yang lahir dari DEB itu sendiri. Namun begitu, walaupun DEB telah memberi banyak manfaat kepada umat Melayu, kini selepas beberapa dekad pelaksanaannya, semangat dan roh DEB seolah-olah telah pudar dan dilupai. Di sebalik pelbagai agenda pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan dan usaha penyusunan semula masyarakat yang berterusan, hari ini umat Melayu, seperti yang disuarakan oleh Profesor Ismail Salleh, masih berada di persimpangan.
17. Biarpun terdapat kejayaan di peringkat awal pelaksanaan DEB, namun kajian terkini menunjukkan bahawa jurang pendapatan, jurang digital, jurang penguasaan sains dan teknologi, jurang pemilikan ekuiti dan jurang pemilikan hartanah antara kaum dan sesama kaum semakin meningkat. Manakala, taraf hidup di antara penduduk bandar dan luar bandar semakin melebar. Beberapa bidang perniagaan dan perusahaan sedia ada pula dikatakan terlalu kompetitif untuk penyertaan umat Melayu. Program Peningkatan ekonomi orang Melayu tidak menampakkan fokus dan arah tuju yang jelas. Penilaian dan kajian dari tahun ke tahun bagi mengukur keberkesanan sesuatu program tidak dibuat secara serius dan bersungguh-sungguh.
18. Sehubungan itu, segala hasil kajian pelaksanaan DEB pada masa lalu perlu diambil kira dalam merangka strategi untuk menggerakkan semula agenda ekonomi Melayu. Strategi ini juga perlu disesuaikan dengan suasana semasa untuk memastikan kepincangan dan kelemahan pada masa lalu tidak berulang semula. Justeru, masanya telah tiba untuk kita melihat pendekatan dan pelaksanaan DEB dalam dimensi baru. Pemuda ingin menegaskan bahawa matlamat asalnya tidak boleh dikompromi selagi ia belum tercapai. Selagi tiada jaminan wujudnya padang permainan yang sama rata, jangan diharap Melayu dapat bersaing secara saksama.
19. Maka, dalam Perhimpunan Agung 2004 ini, Pergerakan Pemuda UMNO menyarankan:-
Pertama : UMNO sendiri perlu segera mengambil inisiatif dan mengembeling seluruh tenaga dan kekuatan parti dalam memastikan dimensi baru DEB ini dilaksanakan secara serius, terancang dan konsisten. Di peringkat Pemuda UMNO, kita akan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas peringkat kebangsaan untuk memperjelaskan pengisian dan hala tuju agenda ini.
Kedua : Kayu pengukur dan tarikh sasaran pencapaian pemilikan 30 peratus ekuiti umat Melayu hendaklah segera ditetapkan. Pemantauan secara berkala melalui indeks prestasi hendaklah dilaksanakan agar peningkatan pemilikan ekuiti umat Melayu ini mencapai sasaran tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Ketiga : Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan agenda meningkatkan ekonomi umat Melayu, jumlah usahawan berkualiti dan bidang yang ingin dijadikan fokus hendaklah juga ditetapkan.
Keempat : Usahawan Melayu yang berjaya dan memiliki perniagaan besar hendaklah bersungguh-sungguh menjadi pemangkin utama dan pengganda bagi mewujudkan lebih ramai peniaga Melayu yang terlatih. Ini turut membolehkan mereka membantu usaha untuk memberi peluang pekerjaan kepada para siswazah Melayu yang sedang menganggur.
Kelima : Penyertaan Melayu dalam sektor baru yang kurang diceburi seperti sektor kewangan, bio-teknologi, Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT), perkhidmatan, petroleum dan gas perlu diberi tumpuan dan perhatian serius. Manakala strategi untuk memberi keutamaan kepada bidang pertanian yang berpotensi besar untuk dimodenkan amat dialu-alukan dan perlu disokong sepenuhnya.
Keenam : Agensi-agensi dan syarikat-syarikat kerajaan sama ada di peringkat pusat ataupun negeri dan institusi-institusi pelaburan Melayu seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji (LTH), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) perlu diperkemas dan kembali menghayati matlamat penubuhan mereka. Untuk tujuan itu, sebuah Unit Penyertaan Bumiputera hendaklah diwujudkan di setiap institusi tersebut untuk memastikan penyertaan dan peningkatan pemilikan ekuiti dan pemilikan hartanah umat Melayu tercapai.
Ketujuh : Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) perlu membuat laporan pemantauan dan penilaian terhadap pencapaian orang Melayu secara berkala, sistematik dan menyeluruh; dan
Kelapan : Pendekatan latihan dan pendidikan vokasional yang lebih kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi hendaklah disediakan bagi melahirkan pelajar-pelajar Melayu yang berdaya saing dan berdikari selaras dengan tuntutan pasaran semasa.
Saudara sidang Perwakilan sekalian,
20. Dalam dunia yang semakin berubah dan kompetetif, Pemuda merasakan bahawa takrif kemiskinan perlu diperluas dan dilihat dari pelbagai sudut. Kemiskinan hari ini bukan sekadar kemiskinan harta benda dan wang ringgit, tetapi termasuk juga kemiskinan budaya, kemiskinan akhlak dan kemiskinan ilmu. Oleh yang demikian, selain kesungguhan meningkatkan penyertaan umat Melayu dalam aktiviti ekonomi, kita juga perlu melihat agenda pendidikan sebagai suatu tuntutan perjuangan. Dengan memiliki dan menguasai ilmu, kita berupaya membina kekuatan untuk membawa umat Melayu keluar dari segala bentuk belenggu kemiskinan tersebut.
21. Menginsafi akan hakikat ini, Pemuda tidak putus-putus menjadi jurubicara agenda pendidikan anak bangsa dan akan terus menjadikan pendidikan sebagai nadi perjuangan. Hari ini, Pemuda telah diberi kepercayaan untuk memainkan peranan langsung dalam agenda ini. Dua orang dari Exco Pemuda UMNO Malaysia telah diberi tanggungjawab sebagai Exco Pendidikan Kerajaan Negeri, Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia pula telah dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi, manakala saya sendiri selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah diamanahkan untuk menerajui Kementerian Pelajaran.
22. Dengan tugas yang diamanahkan kepada kami berempat ini, Pemuda sebenarnya berada pada kedudukan terbaik untuk meneliti, menyusun, menyegar dan menyemarakkan agenda pendidikan bangsa. Semangat dan roh DEB akan kita hidupkan semula dalam bidang pendidikan melalui usaha untuk meningkatkan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan anak Melayu secara berterusan. Jurang pendidikan di antara pelajar miskin dan kaya, antara bandar dan luar bandar, akan kita rapatkan bagi memastikan persaingan yang lebih adil di kalangan pelajar. Dalam melaksanakan segala agenda ini, Pemuda tidak akan sama sekali lupa dan mengabaikan peranan institusi pendidikan sebagai pemangkin kepada pencapaian agenda perpaduan nasional.
23. Justeru, kita akan berusaha memperkasakan Sekolah Kebangsaan agar menjadi wadah terbaik untuk memupuk perpaduan, kerjasama dan semangat cintakan negara. Sekolah Kebangsaan perlu dijadikan menarik agar ia menjadi sekolah pilihan utama setiap ibu bapa. Pemuda ingin melihat Sekolah Kebangsaan yang mampu membawa aspirasi sebenar Bangsa Malaysia dan mampu menterjemahkan semangat bernegara dan berwarga dengan tepat dan betul ke dalam minda, jiwa serta peribadi setiap pelajar. Ianya perlu dijadikan pusat kecemerlangan pendidikan; terbilang dari semua segi, baik dari segi prasarana, disiplin pelajar, pencapaian akademik, pencapaian ko-kurikulum, penguasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), kualiti guru dan pengurusan sekolah. Segala usaha ini akan kita laksanakan tanpa perlu menyekat, menghalang atau menutup sekolah-sekolah dari aliran lain.
24. Semangat dan roh DEB juga akan kita semarakkan melalui usaha untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi pelajar Melayu yang miskin melalui pendidikan. Kemiskinan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kecemerlangan pelajar Melayu dan menjadi punca kepada keciciran mereka dari sistem persekolahan. Bantuan dan sokongan akan terus diberikan kepada pelajar Melayu yang tidak berkemampuan dan kita akan pastikan segala bantuan ini sampai kepada golongan sasar tanpa berlaku sebarang pembaziran dan pertindihan. Pemuda sedar tanpa pemakanan yang seimbang, bahan pembelajaran yang mencukupi, kelas tuisyen yang baik dan persekitaran pembelajaran yang kondusif adalah sukar bagi pelajar-pelajar Melayu untuk bersaing dengan pelajar-pelajar yang lebih bernasib baik. Pemuda juga mahu agar garis kemiskinan di bandar segera diteliti semula kerana kita yakin jika kajian ini dilaksanakan, jumlah pelajar Melayu yang perlu dibantu akan bertambah.
25. Jurang pendidikan di antara pelajar bandar dan luar bandar perlu segera dirapatkan bagi memastikan persaingan yang lebih adil dan saksama. Selain menempatkan guru-guru berpengalaman dan berkebolehan di sekolah-sekolah luar bandar, kemudahan-kemudahan yang sama seperti yang terdapat di bandar, termasuklah infrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) perlu segera disediakan. Selepas segala ini diambil kira barulah medan persaingan menjadi lebih rata dan peluang anak Melayu untuk berjaya dapat ditingkatkan.
26. Dalam dunia tanpa sempadan, saya suka mengingatkan bahawa hari ini kita tidak lagi bersaing di antara kaum di Malaysia sahaja, sebaliknya kita bersaing dengan seluruh masyarakat dunia. Justeru, kita harus bersedia untuk mendepani cabaran yang amat besar ini. Kita mesti berusaha meningkatkan kemahiran dan nilai tambah di kalangan pelajar Melayu, lebih-lebih lagi dalam bidang sains dan teknologi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan penguasaan pelbagai bahasa, terutamanya bahasa Inggeris yang merupakan bahasa komunikasi utama di dunia ketika ini. Dalam kecenderungan dan kesungguhan menyahut cabaran untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, Pemuda ingin menegaskan bahawa status bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara dan sebagai identiti Bangsa Malaysia tidak boleh dikompromi.
27. Menyedari akan hakikat persaingan sengit yang hadir bersama arus globalisasi, Pemuda mengajak seluruh masyarakat Melayu untuk melihat pelaksanaan sistem meritokrasi dari perspektif yang positif. Apa yang nyata, sejak pelaksanaannya, sistem meritokrasi telah menyebabkan perubahan minda dan sikap para pelajar, ibu bapa dan masyarakat Melayu terhadap pendidikan. Cabaran ini telah disahut dengan berani oleh anak-anak Melayu dan hasilnya, sejak tahun 2002, kita dapati kemasukan pelajar Melayu ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melepasi tahap 60 peratus; satu peratusan yang jauh lebih tinggi dari yang ditetapkan di bawah sistem kuota. Walaupun perkembangan ini baik, namun kita perlu berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan peluang kemasukan pelajar Melayu ke dalam kursus-kursus kritikal di IPTA. Di samping itu, kita juga perlu berusaha untuk menambahkan jumlah graduan Melayu dalam kursus-kursus kritikal di Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) dan Institusi Pengajian Tinggi di luar negara bagi mengimbangi jumlah pelajar bukan Melayu di institusi-institusi ini.
28. Insya-Allah, tanggungjawab ini tidak akan kita persia-siakan dan kita berjanji untuk terus melipat gandakan usaha bagi memastikan kepentingan pendidikan anak bangsa tidak terabai. Usaha ini mesti dianggap sebagai satu jihad penting, jihad utama dan jihad paling besar dalam menatang perjuangan kita memartabatkan umat.
Saudara sidang Perwakilan sekalian,
29. Di sinilah titik pertemuan agenda Melayu dan Islam Hadhari, iaitu gagasan yang membawa kita untuk memahami intipati sebenar ajaran Islam yang progresif, yang membentuk cara hidup yang komprehensif, yang berteraskan kepada pembangunan dan tamadun, yang dahagakan ilmu pengetahuan, yang dinamis, yang toleran dan paling penting, yang mampu menjawab permasalahan umat Islam masa kini. Pemuda menyokong penuh usaha kerajaan untuk membawa umat Islam melihat ajaran Islam dari perspektif yang lebih luas; tidak jumud dan tidak sempit dalam hal-hal tertentu sahaja seperti mementingkan bentuk dari intipati.
30. Pemuda percaya, umat Islam mesti menguasai segala cabang ilmu pengetahuan dan kemahiran agar tidak dipersenda, diperolok dan dipermainkan oleh bangsa-bangsa lain di dunia. Umat Islam perlu mengutamakan perpaduan dan membentuk kekuatan agar boleh menjadi pelindung kepada yang lemah dan pembela kepada yang teraniaya. Selain itu, umat Islam juga perlu memastikan keamanan dan kemakmuran sentiasa dipelihara agar ajaran Islam dan penganutnya dihormati oleh masyarakat antarabangsa. Pemuda akan terus mendokong gagasan Islam Hadhari yang diperjuangkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebagai suatu pendekatan untuk memastikan Malaysia menjadi model Negara Islam yang boleh menjadi teladan kepada dunia.
31. Perlu diingat, Islam Hadhari bukan suatu agama atau aqidah baru. Malah amalan Islam Hadhari merupakan panduan kita sejak dari dahulu. Jika terdapat pihak yang mempertikaikan pendekatan Islam Hadhari, pihak itu hanyalah parti PAS yang mempertikaikannya bukan kerana ia menyalahi Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi semata-mata kerana ia menyedarkan rakyat bahawa ideologi politik PAS yang memperalatkan agama terlalu dangkal, beku dan tidak relevan lagi.
Saudara sidang Perwakilan sekalian,
32. Dalam perhimpunan kali ini, saya atas nama Ketua Pemuda UMNO Malaysia telah menghuraikan segala persoalan, cabaran, halangan dan masa depan umat Melayu dalam usaha kita memenuhi tuntutan perjuangan bangsa. Saya suarakan perkara ini di rumah UMNO, di hadapan ahli keluarga UMNO kerana saya sedar bahawa pencapaian orang Melayu hari ini adalah hasil dari perjuangan seluruh warga UMNO. Saya sedar bahawa setiap kali Melayu berada di persimpangan, Parti UMNO tampil menjadi penyelamat keadaan. Percayalah, segalanya ini tidak berlaku secara kebetulan. UMNO merupakan Parti keramat umat Melayu. UMNO lahir bukan kerana berseronok suka, tetapi atas perjuangan orang Melayu dan untuk orang Melayu. Kita berhak membicarakan mengenai kemiskinan umat Melayu kerana UMNO dilahirkan oleh datuk nenek kita di surau-surau, di bawah rumah, di bawah pokok, di sawah ladang daripada kalangan segenap lapisan masyarakat dari seluruh pelosok tanah air. Kita berbicara mengenai masa depan bangsa kerana UMNO adalah parti seluruh umat Melayu yang tersemat pada hati, pada jiwa, pada nurani, pada setiap degupan jantung umat tercinta ini.
33. Sedarilah betapa besarnya harapan dunia Melayu dan harapan dunia Islam yang disandarkan kepada kita. Berjanjilah. Berjanjilah pada diri kita masing-masing dan kepada Allah S.W.T yang kita akan berjuang untuk menyahut seruan Agama, Bangsa dan Negara. Tidak ada sebaik-baik janji melainkan kepada diri sendiri dan kepada Allah S.W.T kerana tiada yang lebih sayu dari melihat bangsa sendiri menjadi hamba. Tiada yang lebih pilu dari melihat anak bangsa melarat dan menderita di tanahairnya sendiri.
Saudara sidang Perwakilan sekalian,
34. Izinkan saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas mandat dan kepercayaan yang telah diberikan sehingga memungkinkan saya terus memimpin Pergerakan ini. Insya-Allah, kepercayaan yang saudara sekalian berikan tidak akan dipersia-siakan. Saya berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk menunaikan segala amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik-baiknya. Namun begitu, bukan mudah untuk memikul amanah ini secara bersendirian. Justeru, saya ingin memohon dan merayu kepada saudara-saudara sekalian untuk memberikan saya barisan kepimpinan Pemuda yang mampu membantu saya membawa pergerakan ini dalam memenuhi harapan dan aspirasi bangsa.
35. Sebentar lagi, tibalah masanya untuk kita membuat pilihan dan penentuan. Pisau dan mentimun berada di tangan saudara. Di tangan saudara sekalian terletak keputusan untuk menentukan masa depan pergerakan ini. Ambillah sedikit masa yang ada untuk kita sama-sama berfikir jauh, untuk sama-sama melihat ke hadapan dan untuk sama-sama bertanya kepada diri sendiri siapakah individu yang ingin kita pilih bagi memimpin pergerakan keramat ini. Di tangan saudara sekalian terletak keputusan untuk memilih barisan kepimpinan yang terbaik berdasarkan kelebihan, kepakaran dan kebolehan yang mereka miliki. Letakkanlah kepentingan agama, bangsa dan negara di tempat teratas, Insya-Allah, pilihan saudara akan memberikan nilai dan makna kepada gagasan perjuangan kita memperkasa bangsa dan membina peradaban gemilang.
Perahu payang layarnya merah
Belayar menuju arah utara
Keris dipegang bersintukkan darah
Adat pahlawan membela negara
36. Dengan harapan itu, jadikanlah perhimpunan ini medan untuk kita menyusun kekuatan agar matlamat untuk menjulang martabat umat akan tercapai. Bersamalah kita bulatkan tekad, tingkatkan iltizam, bersatu Memenuhi Tuntutan Perjuangan.
Sekian, selamat bersidang.
Ucapan YB Datuk Seri Rafidah Aziz, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia di Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Wanita UMNO pada Hari Rabu 22 September 2004 di PWTC
YBhg Pengerusi Tetap
YBhg Timbalan Pengerusi Tetap
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi
Yang Berhormat dan Yang Berbahagia Naib Ketua dan Ahli-Ahli EXCO Pergerakan Wanita UMNO
Dif-dif jemputan,
Para Perwakilan dan Pemerhati sekelian
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum w.b.t.
Bersyukur kita ke Hadhrat Allah s.w.t. kerana dengan IzinNya, dapat kita melangsungkan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO Tahun 2004 ini, setelah selesai mesyuarat di peringkat Cawangan dan Bahagian.
Kepada puan-puan yang berjaya memenangi jawatan masing-masing, saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah, dan berharap puan-puan akan dapat bersama-sama berkhidmat dalam pasukan Wanita UMNO, yang berwibawa, berdisiplin dan kukuh. Tanggungjawab pemimpin, dalam mana-mana peringkat jua, adalah berat, dan perlu memegang amanah ahli-ahli parti, serta melaksanakan peranan, untuk ketahanan dan kejayaan parti.
Kepada bekas-bekas pemimpin wanita, seperti bekas Pengerusi Tetap Tan Sri Aishah Ghani, dan pemimpin-pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan, saya rakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan Terima Kasih, atas segala sumbangan bakti yang telah diberikan. Semoga bekas pemimpin-pemimpin wanita akan terus bersama parti, dan terus memberi semangat dan dorongan, serta bimbingan, kepada pemimpin-pemimpin baru.
Para Perwakilan sekelian,
Barisan Nasional dan UMNO telah, dengan izin Allah S.w.t. mencapai kemenangan cemerlang, dalam Pilihanraya Umum yang baru lalu, dengan kejayaan memerintah semula Negeri Terengganu, dan memenangi begitu banyak kerusi di Negeri Kelantan dan hampir-hampir menawan semula negeri tersebut.
Di sini, saya bagi pihak Pergerakan Wanita UMNO ingin merakamkan setinggi-tinggi Tahniah kepada YAB Dato’ Seri Abdullah, Presiden UMNO, atas kejayaan memimpin UMNO dan Barisan nasional ke tahap kejayaan yang luar biasa itu.
Dengan kemenangan itu, maka lengkaplah proses peralihan kuasa dalam pucuk pimpinan UMNO, dan dapatlah Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Abdullah, meneruskan kesinambungan kejayaan Negara, dengan sokongan tidak berbelah bagi ahli-ahli parti, dan sokongan kuat sebahagian besar rakyat berbilang kaum.
Di sini juga, saya, bagi pihak Pergerakan Wanita UMNO ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga, kepada YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, yang telah selama lebih dua dekad, membawa Malaysia ke mercu kejayaan.
Perdana Menteri keempat telah berjaya menggerakkan potensi rakyat dan Negara, serta mencetuskan impian-impian yang sudahpun menjadi kenyataan, dan yang menjadi kebanggaan rakyat, dan pengiktirafan dunia.
Negara akan sentiasa terhutang budi kepada YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagi kaum wanita, YABhg Tun Dr Siti Hasmah melambangkan seorang wanita contoh, yang telah berjaya berada bersama-sama di sisi suaminya, dalam masa-masa pahit dan maung, dan dalam masa-masa gembira dan manis, tabah memberi dorongan, dan sokongan, dan pasti menjadi satu sumber kekuatan yang utama.
Kepada kedua-dua YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad YABhg Tun Dr Sti Hasmah, saya, dan seluruh Pergerakan Wanita UMNO, mendoakan, semoga sentiasa di Berkati Allah S.w.t. dengan sihat walafiat, dan kesejahteraan serta kebahagiaan dengan keluarga.
Para Perwakilan Sekelian,
Kemenangan cemerlang UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum 2004, mencerminkan bahawa, rakyat menerima baik, pendekatan politik, dan pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional yang jelas telah berupaya, dan berjaya, mengemudikan Negara keluar daripada krisis demi krisis, dan sehingga kini, ekonomi Negara telah kembali pulih, dan berada atas landasan pertumbuhan yang kukuh. Kesemua asas ekonomi, atau “economic fundamentals”, menunjukkan tahap ketahanan ekonomi yang tinggi, serta keupayaan Negara mencatatkan pertumbuhan ekonomi secara berterusan.
Jelas juga bahawa, rakyat memilih kestabilan, dan ketentuan atau predictability, dan menolak gejala-gejala yang mirip atau berasaskan pecah belah, ganggu-gugat, extremisma, keganasan, serta unsur-unsur yang membawa kepada keadaan tidak tenteram, tidak stabil, dan tidak berketentuan.
Saya ingin menggesa supaya ahli-ahli UMNO mengelak daripada secara langsung, atau tidak langsung, menyokong, ataupun terbabit dengan, pihak-pihak yang telah terbukti, sekian lama, bertindak dengan cara yang membawa mudharat kepada masyarakat, dan mengganggu gugat suasana yan stabil.
Para Perwakilan Sekelian,
Kemenangan besar Barisan Nasional dan UMNO dalam Pilihanraya Umum, dengan sendirinya, membawa banyak tanggungjawab, dan beban kerja, kepada ahli-ahli Parti. Manifesto Barisan Nasional telah menggariskan halatuju Kerajaan Barisan Nasional, untuk membawa pembangunan dan kemajuan berterusan, kepada rakyat berbilang kaum, dan mengukuhkan ekonomi Negara.
Sebagai ahli-ahli sebuah parti yang menjadi tunjang Kerajaan, maka ahli-ahli umno, khususnya Pergerakan Wanita UMNO, mesti menyusun strategi, dan gerakerja, di semua peringkat, supaya dapat membantu, dengan berkesan, Kerajaan Barisan Nasional, merealisasikan janji-janji dalam Manifesto Pilihanraya. Ahli-ahli UMNO mesti efektif, dalam menjadi perantaraan, antara Kerajaan dan Rakyat, dan menjadi pemantau kepada perlaksanaan setiap program dan dasar Kerajaan.
Kepada Pergerakan Wanita UMNO, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih, atas kejayaan melaksanakan strategi perayu undi K30, sehingga dapat diramalkan dengan tepat, kedudukan calon-calon Barisan Nasional di setiap kawasan.
Saya ingin menyarankan supaya sistem dan pendekatan K30 ini diteruskan, dan digunapakai setiap masa, supaya Ahli-ahli Wanita di peringkat akar umbi, sentiasa rapat dengan dengan ahli-ahli masyarakat, dan dapat dilibatkan mereka ke dalam setiap aktiviti yang dijalankan oleh Wanita UMNO, di peringkat Cawangan, atau Bahagian.
Yang penting ialah Pergerakan Wanita UMNO mampu memberi kepimpinan kepada kaum Wanita, khususnya, dan masyarakat amnya, di semua peringkat.
Kepimpinan yang dimaksudkan ialah keupayaan mendatangkan kemajuan dan pembaharuan, serta keupayaan mengubah minda dan sikap, selaras dengan keperluan masa, dan tuntutan keadaan. Perjuangan UMNO mempunyai 5 cabang iaitu:
Politik
Agama
Ekonomi
Sosial
Kebudayaan
Dalam mana-mana satu, atau semua, cabang perjuangan UMNO itu, terdapat pelbagai ruang, bagi ahli-ahli, dan pemimpin-pemimpin UMNO, menjalankan aktiviti-aktiviti yang melibatkan masyarakat setempat, supaya UMNO dapat dianggap sebagai mampu menaungi, bukan sahaja ahli-ahli UMNO, tetapi juga, masyarakat amnya.
Penerimaan masyarakat setempat akan kepimpinan UMNO, akan memudahkan mereka menerima UMNO dan Barisan Nasional, dalam masa Pilihanraya, dan menerima naungan UMNO dan Barisan Nasional.
Para Perwakilan sekelian,
Tidak boleh dinafikan bahawa, persekitaran politik dan ekonomi serantau, dan global, semakin mencabar.
Pencerobohan Iraq oleh Amerika, secara unilateral, telah menghasilkan porak peranda, dan keganasan yang berlarutan. Belum kelihatan apa-apa penyelesaian, atau keredaan situasi di Iraq.
Keganasan berterusan di negara-negara lain, dan keadaan di kalangan rakyat Palestin masih tegang.
Amat menyedihkan bahawa, dalam Alaf Baru ini, manusia telah memilih untuk kembali ke zaman dahulu, di mana, penyelesaian sengketa, hanya berada di hujung pedang, dan di mulut senapang.
Apa yang berlaku di setengah-setengah negara, mesti menjadi pengajaran di Malaysia, supaya tidak sekali-sekali dibenarkan gejala-gejala yang mengizinkan, atau yang berasaskan, keganasan, huru-hara, serta penggunaan senjata.
Tidak ada penyelesaian masalah yang akan dimungkinkan oleh pertempuran bersenjata, dan keganasan.
Malaysia mempunyai visi jangka panjang, untuk mencapai status negara maju, pada tahun 2020. Dan Malaysia tidak mampu mencapai matlamat ini, jika sepanjang jalan ke arah 2020, terdapat ganggu gugat, dan halangan-halangan. Dengan itu untuk merealisasikan matlamat-matlamat jangka panjang negara, maka perlulah dipertahankan suasana politik yang boleh mendorongkan pertumbuhan ekonomi, dan kemajuan masyarakat, mengikut sasaran-sasaran yang ditentukan.
Malaysia sekarang terpaksa menghadapi saingan, daripada negara-negara lain, terutama dalam pasaran, dan dalam usaha menarik pelabur-pelabur asing ke dalam sektor-sektor ekonomi yang telah dikenal pasti. Saingan ini perlu dihadapi, melalui peningkatan dayasaing negara, dan melalui pelbagai strategi-strategi, untuk mempastikan Malaysia dapat meneruskan prestasi ekonomi yang baik, serta meningkatkan ketahanan ekonomi.
Komitmen Kerajaan Barisan Nasional untuk merealisasikan Agenda Negara mesti diiringi oleh komitmen rakyat, untuk bersama-sama dengan Kerajaan, dalam usaha tersebut. Dan bagi ahli-ahli UMNO, komitmen kita ialah untuk terus memperkukuhkan parti, melaksanakan amanah parti, dan merapatkan parti dengan rakyat.
Jelas, tidak ada ruang, dan tempat, bagi sesiapa mencuba mendahulukan agenda peribadi, atau menggunakan UMNO untuk kepentingan individu.
Perlu diingatkan bahawa termaktub di dalam Agenda Negara itu, ialah Agenda Melayu dan Bumiputera, dan tidak boleh diasingkan antara kedua-duanya.
Agenda Melayu hanya akan direalisasi jika ekonomi negara terus berkembang, dan terbuka peluang-peluang bagi orang-orang Melayu dan Bumiputera, mengambil tempat masing-masing dalam ekonomi negara. Apa-apa halangan untuk mencapai sasaran-sasaran pertumbuhan ekonomi negara, akan, dengan sendirinya, membantutkan usaha-usaha meningkatkan prestasi ekonomi orang-orang Melayu dan Bumiputera. Apa-apa bentuk kegawatan ekonomi negara, akan, secara langsung, mengurangkan keupayaan Kerajaan mencapaikan matlamat-matlamat Agenda Melayu dan Bumiputera. Apabila ekonomi negara terganggu, dan tergencat, maka Agenda Melayu dan Bumiputera juga, terhalang pencapaiannya.
Oleh itu, orang-orang Melayu sendiri mesti sedar akan hakikat, bahawa, mereka perlu memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional, yang bertulangbelakangkan UMNO, supaya Kerajaan lebih kukuh, dan lebih berupaya, menghadapi dan mengatasi, apa jua cabaran terhadap Agenda Negara, dan seterusnya cabaran kepada Agenda Melayu dan Bumiputera. Perpecahan di kalangan orang-orang Melayu dan Bumiputera, hanya akan menghakis keupayaan Kerajaan, merealisasikan Agenda Melayu dan Bumiputera.
Jelaslah bahawa terdapat peranan 3 pihak, dalam mempastikan Agenda Melayu dan Bumiputera itu dapat dicapai, seperti yang diharapkan.
Pertama ialah peranan pihak Kerajaan sendiri, yang mana selagi UMNO teras Kerajaan, maka Agenda Melayu dan Bumiputera akan sentiasa merupakan prioriti, atau keutamaan.
Yang kedua ialah peranan orang-orang Melayu dan Bumiputera sendiri, dalam membuat persediaan-persediaan yang wajar, serta melakukan apa-apa yang perlu, untuk meningkatkan keupayaan dan kebolehan masing-masing. Kerapkali, halangan-halangan terhadap kejayaan dan prestasi baik orang-orang Melayu dan Bumiputera, timbul daripada sikap, nilai dan anggapan mereka sendiri, yang tidak positif, dan tidak mendorongkan kejayaan.
Dalam persekitaran yang semakin kompetitif, orang-orang Melayu dan Bumiputera mesti sanggup memperolehi ilmu pengetahuan, selaras dengan tuntutan-tuntutan semasa, dan menokok tambah kemampuan dan keupayaan, supaya lebih berdaya saing. Mereka tidak boleh dikongkong, dan dibelenggu, oleh kelaziman-kelaziman yang usang, pendekatan-pendekatan yang lapuk, serta nilai dan fahaman yang bertentangan dengan arus kemajuan.
Masa tidak mengizinkan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata mengeloh akan nasib mereka, atau memandang serong akan pihak-pihak lain yang telah, atau lebih berjaya. Orang-orang Melayu dan Bumiputera wajar bersikap positif dan tegas, untuk mengenalpasti kelemahan-kelemahan dan kekurangan-kekurangan, dan bertindak memperbetulkannya. Islam adalah agama yang sentiasa mengajak umatnya menuju kejayaan.
Dan adalah tanggungjawab kita, orang-orang Islam, untuk membuat apa yang wajar untuk berjaya.
Orang Melayu dan Bumiputera mesti proaktif bersama-sama Kerajaan dalam mengubah dan memperbaiki, kedudukan dalam ekonomi dan masyarakat.
Kejayaan tidak akan datang bergolek. Ia memerlukan ilmu pengetahuan, keupayaan, disiplin dan ketegasan, dan motivasi untuk mencapai kecemerlangan, dalam apa jua bidang.
Peranan yang ketiga ialah peranan UMNO sendiri, sebagai penaung orang-orang Melayu dan Bumiputera, dan sebagai pendorong Agenda Melayu dan Bumiputera. Dalam konteks ini, UMNO perlu berupaya mendorong dan menggerakkan ahli-ahlinya, dan orang-orang Melayu dan Bumiputera, ke arah kejayaan, serta memberi kepimpinan yang berkesan, kepada bukan sahaja Ahli-ahli UMNO, tetapi juga kepada semua orang-orang Melayu dan Bumiputera. Kepimpinan bukan hanya bererti kepimpinan politik, tetapi juga kepimpinan ekonomi, sosial dan agama.
UMNO, melalui program-program yang dirangka khusus, perlu berjaya mengubah sikap, dan minda, di kalangan orang-orang Melayu, supaya dapat memandang kehadapan, dan tidak dibelenggu oleh masa lalu yang tidak begitu mendorong kejayaan. Kita seharusnya mengambil iktibar daripada masalah-masalah dan kegagalan-kegagalan di masa lalu, supaya dapat menentukan masa hadapan yang berjaya.
Bagi Pergerakan Wanita UMNO, peranan merealisasikan agenda Melayu dan Bumiputera, ialah dalam menggerakkan minda, dan mengubah sikap.
Peranan ini melibatkan proses menjana keupayaan wanita, atau the “empowerment of women”, dalam serba bidang, supaya kaum wanita, terutamanya Wanita Melayu dan Bumiputera, dapat mengenalpasti, memupuk dan memanafaatkan, keupayaan mereka.
Dan, proses ini bermula dengan diri sendiri, dalam keluarga, dan dalam masyarakat.
Wanita tidak wajar menganggap diri mereka sebagai kaum yang lemah, ataupun yang kurang keupayaan, berbanding dengan kaum lelaki. Kerapkali kelemahan berpunca daripada anggapan dan sikap diri sendiri, yang menghalang wanita memanafaatkan sepenuhnya, bakat dan keupayaan mereka.
Sebenarnya, wanita mempunyai peluang untuk mencapai tahap-tahap kejayaan setinggi mungkin, dan pindaan kepada Perlembagaan Malaysia, tidak membenarkan apa-apa bentuk diskriminasi berasaskan jantina, atau gender.
Maka terpulanglah kepada kaum wanita sendiri, untuk memanafaatkan segala peluang dan kesempatan yang ada, untuk memajukan diri, dan mencapai kecemerlangan.
Bagi Wanita UMNO, setiap program dan gerakerja, mesti dapat menambah nilai, atau “add-value”, kepada keupayaan, pengetahuan dan kecekapan wanita yang terlibat. Program-program Wanita UMNO mesti berupaya mendorongkan wanita ke arah memajukan diri, dan keluarga masing-masing. Di samping itu, program-program Wanita UMNO juga wajar mempastikan bahawa, nilai-nilai asas seperti disiplin, amanah, hormat menghormati dan kekeluargaan, dapat dipelihara dan diperteguhkan. Nilai-nilai asas ini adalah sebahagian daripada ramuan-ramuan penting, untuk membolehkan seseorang wanita memupuk keupayaan, dan kekuatan, untuk mengambil tempat dan peranan yang sewajarnya, dalam masyarakat.
Sangat penting Budaya Kecemerlangan, atau “the Culture of Excellence”, disemai dan dipupuk seawal mungkin dalam masyarakat, supaya budaya tersebut akan menjadi pendorong kuat, kepada motivasi untuk sentiasa berjaya, dan menghasilkan yang terbaik.
Kerapkali, saranan dibuat oleh pucuk kepimpinan, tentang perlunya dayasaing negara diperkukuhkan, supaya Malaysia dapat berjaya bersaing di peringkat serantau, dan global.
Pada asasnya, dayasaing negara merupakan jumlah menyeluruh, kecekapan setiap pihak yang menyumbang kepada keupayaan negara. Ini termasuklah kecekapan warga-warga Malaysia dalam menjalankan aktiviti-aktiviti ekonomi, kecekapan pentadbiran sektor awam, dan kecekapan Kerajaan merumus dan melaksana dasar-dasar yang mendorongkan peningkatan dayasaing. Kaum wanita tidak boleh membenarkan apa-apa halangan, menyekat keupayaan mereka dalam meningkatkan kecekapan dan dayasaing, dan Pergerakan Wanita UMNO ada peranan dalam membasmi apa-apa halangan yang ada.
Para Perwakilan Sekelian,
Zaman ini telah diberi nama Era Maklumat, di mana ilmu dan pengetahuan boleh memberikan maklumat, dalam serba serbi bidang, dan Teknologi Komunikasi dan maklumat merupakan alat yang sangat berkuasa, untuk menentukan kemajuan sesuatu bangsa, atau masyarakat.
Dalam hal ini, sangat penting bagi negara mempastikan tidak wujud jurang-jurang antara kaum, dan antara jantina atau gender, yang berpunca daripada keadaan tidak seimbang, dalam mendapat ilmu pengetahuan dan maklumat.
Kalau setakat ini, jurang ekonomi dilihat dari segi perbezaan pencapaian dalam sektor koporat dan dalam pemegangan dan milik modal, maka di masa akan datang jurang-jurang ekonomi antara kaun dan jantina, akan mempunyai punca-punca dan manifestasi-manifestasi baru seperti:
a) jurang pengetahuan
b) jurang kemahiran
c) jurang kemampuan
Perlulah dikenalpasti sekarang, dimanakah terdapat punca-punca jurang tersebut, dan langkah-langkah diambil, untuk memperbetulkan keadaan.
Tidak seharusnya terdapat kaum wanita di Malaysia, yang terpaksa terpinggir, kerana tidak diberi peluang untuk memperolehi ilmu pengetahuan. Begitu juga kejayaan orang-orang Melayu dan Bumiputera, tidak wajar terganggu, dan terhalang, semata-mata kerana tidak memperolehi Ilmu Pengetahuan yang diperlukan.
“Kemiskinan Ilmu” pasti akan merupakan dilemma baru orang-orang Melayu, jika anak-anak muda Melayu sentiasa ketinggalan dalam pembelajaran, atau tidak meletakkan perolehan ilmu pengetahuan, sebagai prioriti.
“Kemiskinan Ilmu” akan meminggirkan generasi muda Melayu, daripada arus kemajuan, dan mengurangkan keupayaan mereka, untuk bertindak secara kreatif dan inovatif.
Kekurangan ini pula akan membantutkan proses maju diri, dan, dengan itu menghalang proses memajukan bangsa.
Untuk pengelakkan daripada “Kemiskinan Ilmu” menjadi belenggu kepada kemajuan orang-orang Melayu, maka perlu dipastikan supaya, semua anak-anak orang Melayu dapat “access” kepada pendidikan, dan supaya semua sekolah-sekolah di luar Bandar diseimbangkan infrastruktur, dan bentuk pendidikan, dengan sekolah-sekolah di bandar.
Perlulah ada keseragamanan, dalam kemudahan, dan bahan-bahan, pendidikan, supaya tidak terdapat sekolah-sekolah, terutama di kawasan-kawasan luar bandar, yang serba kekurangan, sambil terdapat pula sekolah-sekolah yang lengkap dengan serba serbi kemudahan, di tempat-tempat tertentu.
Konsep “sekolah bistari” hendaklah diinterpretasi semula, supaya tidak semata-mata mementingkan bangunan dan rupa bentuk sekolah, atau infrastruktur yang eksklusif kepada sekolah-sekolah tertentu sahaja.
Negara perlu menghalakan dasar dan program pendidikan, kepada “Pembelajaran Bistari” yang merangkumi pendekatan-pendekatan belajar yang kreatif dan berinovasi, tenaga guru dan pengajar yang bijak menyampaikan pendidikan dan maklumat, serta pelajar-pelajar yang bermotivasi untuk menerap ilmu. “Smart learning”, atau “Pembelajaran Bistari”, memerlukan juga kajian menyeluruh sistem dan kaedah latihan guru, supaya dapat dihasilkan tenaga pengajar yang benar-benar proaktif, dalam mendidik generasi muda Malaysia, yang dinamis dan berdayasaing.
Peralatan canggih serta module-module yang sofistikated, tidak boleh menjadi pengganti, kepada komitmen seorang guru terhadap profesyennya sebagai pengajar; dan bahan-bahan untuk mengajar hanya berkesan digunakan jika guru mempunyai azam, dan kebanggaan dalam mendidik anak bangsa, dan menyampaikan ilmu.
Para Perwakilan sekelian,
Kaum wanita dalam mana-mana negara, termasuk Malaysia, mengharapkan perlindungan, serta pembelaan, daripada Undang-Undang dan peraturan-peraturan yang adil dan saksama. Apabila wanita telah teraniaya, atau dianiaya, maka Undang-Undanglah tempat berlindung dan mendapat pembelaan.
Di waktu kini, telah begitu ketara kejadian-kejadian, samada dalam keluarga atau di luar keluarga, yang menjadikan wanita mangsa, seperti rogol, penindasan dan keganasan.
Dalam hampir semua kejadian, wanita adalah mangsa tanpa kerelaan mereka.
Maka Undang-undang mesti berupaya, membela dan membetulkan keadaan.
Tetapi akhir-akhir ini telah timbul unsur-unsur baru yang memberi penekanan kepada ketepatan tarikh dan waktu kejadian-kejadian seperti rogol, untuk mana-mana kes diberi pengadilan.
Adalah sukar untuk diterima, bahawa seseorang wanita yang dianiayai, dan dirogol, mesti dapat mengingatkan, dengan tepat, tarikh dan waktu kejadian berlaku, terutama dalam kes-kes di mana perogol seorang ahli keluarga, dan perbuatan rogol itu dilakukan berulangkali.
Mangsa rogol, terutama yang muda, akan mengalami tekanan jiwa, dan trauma, dan tidak mungkin akan melaporkan serta merta, kejadian rogol itu.
Lebih-lebih lagi rogol tidak akan merupakan perkara yang ringan kepada mangsa, dan wanita akan gagal dibela oleh Undang-Undang, jika keperluan Undang-undang untuk menentukan tarikh dan masa kejadian, merupakan unsur asas pengadilan.
Para Perwakilan sekelian,
Baru-baru ini, Kerajaan telah melancarkan Pelan Integriti Negara, sebagai kerangka untuk memupuk masyarakat yang beramanah, dan bernilai baik dan positif.
Pelan tersebut merangkumi setiap peringkat masyarakat, dan cuba menyedarkan masyarakat, tentang pentingnya integriti menjadi teras segala tindakan dan lakuan.
Dalam hal ini, UMNO, dan ketiga-tiga, komponen UMNO, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri, mesti menerap aspek-aspek penting Pelan Integriti Nasional, supaya integriti manjadi pendorong asas perjalanan parti di semua peringkat.
Sebenarnya integriti dan Amanah wajar menjadi pegangan setiap ahli masyarakat, supaya tidak timbul penyelewengan, dan salah laku, yang menjejaskan masyarakat dan negara, seperti unsur-unsur rasuah, salahguna kuasa, pecah amanah, dan tindakan-tindakan tidak bertanggungjawab.
UMNO perlu bertindak memperteguhkan imejnya, dan kebersihannya, supaya UMNO dihormati dan disegani, dan terus disokong oleh semua pihak.
Jawatan dalam UMNO hanya bermakna, jika masyarakat menghormati penjawat, atau pemegang jawatan tersebut. Jawatan dalam UMNO hanya akan dihormati, jika orang yang memegang jawatan itu, berintegriti, beramanah, dan benar-benar mempunyai sifat-sifat kepimpinan. Dan jawatan dalam UMNO hanya diiktiraf oleh orang lain, jika penjawat jawatan bermaruah, berwibawa, dan dihormati serta disegani.
Sebenarnya, bukan jawatan yang penting, tetapi orang yang menyandang jawatan. Maka jika orang-orang yang kurang layak, atau tidak layak, mendapat jawatan, atau berjaya membeli jawatan, maka UMNO akan terjejas, dan keupayaan UMNO merealisasikan Agenda Melayu dan Bumiputera, akan tergugat.
Maka saya ingin menyarankan kepada semua pemegang jawatan dalam UMNO, khususnya dalam Pergerakan Wanita UMNO, supaya menjaga imej jawatan masing-masing, dan berfungsi dengan penuh amanah, disiplin, dan rasa tanggungjawab.
Jawatan yang dipegang membuka ruang untuk berkhidmat dan menyumbang, demi untuk kepentingan Ugama, Bangsa dan Negara.
Sebenarnya, setiap orang Melayu memerlukan UMMO, seperti UMNO memerlukan setiap orang Melayu, untuk merealisasikan agenda Melayu, dalam sebuah negara yang terus maju dan membangun.
Masa sudah berlalu bagi orang-orang Melayu dan Bumiputera berhujjah dan berpolemik.
Allah S.w.t telah menganugerahkan kuasa kepada UMNO dan Barisan Nasional. Perlulah kita gunakan kuasa ini dengan bijak, dengan beramanah dan bertanggungjawab, dan menepati kehendak rakyat dan negara.
Masa tidak menunggu kita. Dan agenda kita masih banyak yang perlu ditangani dan dilaksana.
Bersatulah kita mengukuhkan UMNO, supaya UMNO dapat terus memimpin bangsa, dan supaya UMNO terus berjaya berjuang untuk Ugama, Bangsa, dan Negara, ke tahap Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.
Sekianlah. Selamat Bersidang.
Wabillahi Taufik Walhidayah
Wasalamualaikum Warahmatullahi
Wabarkartuh.

UCAPAN YAB DATO’ SERI ABDULLAH AHMAD HAJI BADAWI, PRESIDEN UMNO DI PERHIMPUNAN AGUNG UMNO YANG KE-55, PADA 23 SEPTEMBER 2004 DI PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTERA (PWTC).
“ MELANGKAH KE HADAPAN – MENEROKA KECEMERLANGAN”
Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap
Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Naib Presiden-Naib Presiden UMNO
Ketua Pergerakan-Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri
Setiausaha Agong dan Ketua Penerangan UMNO
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd. Ali
Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi-Pesuruhjaya Tinggi dan Duta-Duta
Menteri-Menteri dan Ketua Menteri-Ketua Menteri
Barisan pemimpin parti-parti komponen BARISAN NASIONAL
Wakil parti-parti dari luar negara
Para perwakilan dan para pemerhati
Saudara-saudari hadirin yang dihormati
MUKADIMAH
Saya bersyukur ke hadrat ILAHI kerana dengan limpah rahmat dan inayat dariNya juga, Perhimpunan Agung UMNO sekali lagi dapat dilangsungkan. Saya berterima kasih kepada setiap seorang ahli UMNO dan setiap peringkat jentera parti; Cawangan, Bahagian, Badan Perhubungan, Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri, serta rakan-rakan dalam Majlis Tertinggi yang telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing termasuk menyempurnakan mesyuarat-mesyuarat tahunan parti hingga memungkinkan perhimpunan hari ini dapat berlangsung.
2. Saya mengucapkan tahniah kepada saudara-saudari yang mendapat sokongan dan telah diberi kepercayaan memimpin parti di peringkat cawangan dan bahagian. Saya juga mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baru Pergerakan-Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah dipilih dalam perhimpunan Pergerakan masing-masing yang telah berlansung hari semalam. Penuhilah harapan dan kepercayaan ahli-ahli secara bertanggungjawab – secara amanah; demi kepentingan perjuangan parti untuk memartabatkan bangsa, negara dan agama.
3. Perhimpunan hari ini dilangsungkan dalam suasana negara baru merayakan hari ulang tahun kemerdekaan kali ke empat puluh tujuh. Perhimpunan ini dilangsungkan ketika UMNO telah mencapai usia 58 tahun. Perhimpunan kali ini juga meletakkan satu tanggungjawab baru kepada saya, untuk pertama kalinya mengisi agenda, menyampaikan ucapan dasar Presiden parti.
4. Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenali dengan nama UMNO merupakan parti politik terbesar di tanahair kita dengan keahlian sejumlah 3.2 juta orang. Parti yang mula diasaskan di bawah pimpinan Dato Onn Jaafar (Allahyarham) telah bersilih ganti pimpinannya dari Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Al Marhum), Tun Abdul Razak Hussin (Allahyarham), Tun Hussein Onn (Allahyarham) dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebelum tanggungjawab pimpinan parti diserahkan kepada saya. Alhamdulillah, dalam perjalanan menempuh usia 58 tahun, UMNO bertambah kukuh – bertambah matang.
5. Kita terhutang budi kepada setiap seorang dari mereka yang telah mewariskan kepada kita UMNO yang kukuh lagi matang. Kepada mereka yang telah kembali ke Rahmatullah, kita doakan semoga roh mereka berada di kalangan para solehin. Sempena perhimpunan ini sama-samalah secara ikhlas kita bacakan Surah Al Fatihah. Semoga bacaan tersebut diterima sebagai amal soleh oleh Allah SWT. Semoga ganjaran dari amal ini di sampaikan kepada roh-roh para pejuang UMNO yang telah kembali ke Rahmatullah. Al Fatihah.
6. Kita merakamkan setinggi penghargaan kepada mereka yang telah pernah memimpin UMNO dan kini telah memilih mengundurkan diri dari barisan kepimpinan. Walaupun begitu, mereka kekal aktif dan cekal bersama menyokong usaha kita. Perkhidmatan, jasa bakti dan pengorbanan mereka amatlah berharga, kekal terukir dalam ingatan – kekal terpahat dalam kenangan. Kita mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan mereka dan keluarga, terutamanya kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad, Presiden UMNO kelima yang hadir bersama Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd. Ali di Majlis ini. Dalam usia 58 tahun UMNO, Tun Dr. Mahathir mencatat sejarah sebagai Presiden UMNO yang paling lama, memimpin UMNO selama lebih 22 tahun. Dalam tempoh masa beliau memimpin UMNO dan memimpin kerajaan, beliau telah membawa perubahan besar kepada pembangunan negara dan bangsa. Keputusan beliau mengundur diri ketika gagah berada di puncak kuasa adalah tanda bukti sifat ikhlas seorang negarawan yang tidak tamak kepada kuasa.
7. Kita juga amat menghargai kehadiran bekas-bekas pemimpin UMNO di pelbagai peringkat. Kehadiran setiap seorang dari mereka adalah tanda bukti hubungan kasih – ikatan setia mereka kepada UMNO. Mereka bukan sahaja pernah menjadi pemimpin yang dapat dijadikan teladan, malah adalah contoh ahli UMNO yang benar-benar menghayati semangat BERSATU! BERSETIA! BERKHIDMAT!
Saudara-saudari,
8. Pilihanraya umum kesebelas telah berlangsung pada 21hb Mac 2004. UMNO mencapai kejayaan gemilang. 109 dari 117 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada UMNO telah kita menangi. Calon-calon UMNO di peringkat Dewan Undangan Negeri telah memenangi 303 dari 338 kerusi yang kita tandingi. Bersama parti-parti komponen, BARISAN NASIONAL telah memenangi 199 dari 219 kerusi Parlimen dan 452 dari 505 kerusi Dewan Undangan Negeri. BARISAN NASIONAL sekali lagi berjaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan menguasai 12 kerajaan negeri. Kerajaan Terengganu kembali kepada BARISAN NASIONAL menguasai 28 dari 32 kerusi Dewan Undangan Negeri. Satu kemenangan besar. Di Kelantan, kita menjadi anggota pembangkang yang kuat, menguasai 21 dari 45 kerusi Dewan Undangan Negeri. Bagi kawasan Parlimen, BARISAN NASIONAL memenangi 9 dari 14 kerusi. BARISAN NASIONAL di Kelantan, adalah satu tenaga politik yang dinamik dan penuh potensi. BARISAN NASIONAL di Kelantan tidak lagi melukut di tepi gantang.
9. Dalam pilihanraya kecil yang diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri Kuala Berang pada 28hb Ogos 2004, BARISAN NASIONAL bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi tersebut, tetapi merekodkan kejayaan lebih besar dengan meningkatkan majoriti undi dari majoriti 1,695 yang diperoleh ketika pilihanraya umum kepada majoriti 2,059. Bagi Dewan Undangan Negeri Ba’Kelalan juga, BARISAN NASIONAL turut berjaya mempertahankan kerusi tersebut.
10. Saya berterima kasih kepada ahli-ahli parti yang tekun berusaha – kuat bekerja, dengan penuh disiplin – penuh komitmen, menyusun jentera secara teratur – mengatur program secara tersusun, memungkinkan parti mencipta kejayaan – mencipta kegemilangan. Saya berterima kasih kepada parti-parti komponen BARISAN NASIONAL yang sama-sama bekerja kuat, dengan kesefahaman erat, mendukung satu manifestasi perjuangan untuk membangunkan Malaysia yang lebih sejahtera; Malaysia yang lebih bersatu; Malaysia yang lebih maju. UMNO dan rakan-rakan dalam BARISAN NASIONAL kekal senada dalam bersuara – serentak bertindak dalam bergerak. Saya lebih berterima kasih kepada sokongan rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia yang memperlihatkan kematangan berpolitik. Rakyat Malaysia yang objektif membuat penilaian – rasional membuat pilihan. Rakyat Malaysia yang sama-sama menghayati semangat ‘Bekerja Bersama Saya’; lalu memberikan kepercayaan kepada kita untuk membawa Malaysia mencapai tahap cemerlang, gemilang, terbilang.
11. Keputusan pilihanraya memperlihatkan bahawa pendekatan progresif dan amalan sederhana berjaya mengalahkan ideologi konservatif dan amalan ekstremisme. Keputusan pilihanraya meyakinkan kita bahawa dalam menghadapi diayah PAS, kita tidak perlu mengubah falsafah – kita tidak perlu mengubah kaedah perjuangan – kita tidak harus latah. Kita sama sekali tidak harus terperangkap dengan cara perjuangan mereka. Kita tidak perlu terikut-ikut dengan muslihat memperalatkan agama. Yakinlah! cahaya kebenaran, tidak mungkin terlindung selama-lamanya oleh kabus kepalsuan.
12. Kejayaan UMNO adalah kejayaan perjuangan yang mengamalkan kesederhanaan – perjuangan yang mengutamakan kemajuan. Perjuangan yang insaf dan sedar bahawa umat Islam perlu menjadi umat yang maju. Untuk maju, umat Islam perlu mencipta kejayaan di dunia di samping membekalkan diri untuk menghadapi alam akhirat. UMNO kini membuktikan kepada dunia akan contoh pendekatan Islam secara progresif. Untuk itu UMNO harus meningkatkan penghayatan akan konsep pembangunan yang kita bawa melalui Islam Hadhari.
ISLAM
Saudara-saudari
13. Islam adalah sebaik-baik ajaran dan panduan dari Allah SWT untuk manusia sejagat. Sebagai hamba Allah, manusia wajib menzahirkan kesyukuran kepada Allah yang Maha Mencipta, bermuhasabah dan bersedia merenung kelemahan diri. Sebagai hamba Allah yang senantiasa bertahmid dan bertasbih kepada Penciptanya, manusia bertanggungjawab melaksanakan tuntutan dan bertanggungjawab meletakkan Islam di mercu kemuliaan. Sebagai rakyat kepada sebuah negara, manusia wajar berterima kasih kepada negara dan berterima kasih kepada kepimpinan negara – kepimpinan yang berjaya menguruskan sebuah negara yang aman lagi makmur dengan adil dan beramanah. Sebuah negara yang dapat menyediakan kemudahan dan memperlengkapkan persekitaran untuk memudahkan manusia mencipta kejayaan demi kejayaan, serta hidup dalam permuafakatan dan kesejahteraan.
14. Sejak ditubuhkan, dari perjuangan menentang penubuhan Malayan Union, disusuli dengan perjuangan mencapai kemerdekaan, mengisi kemerdekaan, memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru, dan pelbagai perkara lain yang diperjuangkan, UMNO memilih pendekatan yang tidak mengamalkan kekerasan. Di sebaliknya, kekuatan UMNO terbukti dilandaskan kepada pendekatan perjuangan penuh berhikmah (bilhikmah). Perjuangan yang berasaskan tamadun bangsa yang mementingkan kebijaksanaan akal dan pemikiran rasional. Perjuangan berpandukan budi pekerti tinggi dan jiwa yang tenang.
15. Pendekatan sedemikian akan terus diamalkan dan dijadikan budaya UMNO, selaras dengan seruan yang terkandung di dalam Al Quran,
16. Kerana itu dakwah Islam diseru untuk disampaikan secara penuh hikmah, secara memberi peringatan, secara nasihat, secara seruan – disampaikan dengan baik melalui dialog dan pertukaran fikiran. Perjanjian Hudaibiyah adalah pengajaran besar yang wajib dijadikan petunjuk, betapa kejernihan hati nurani umat Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW yang berpegang kepada prinsip bahawa peperangan dan kekerasan bukan satu jalan pintas yang boleh membawa kejayaan. Kalimah-kalimah Allah yang terkandung di dalam Al-Quran disampaikan dengan penuh berhikmah, menyeru, menegur, memperingatkan dan menasihati manusia ke jalan kebaikan – jalan yang menuju kedamaian – jalan yang mendapat keredaan ILAHI.
Saudara-saudari
17. Islam Hadhari memberi tekanan kepada pembangunan. Pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan. Mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal. Mempertingkatkan mutu kehidupan dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik. Pembangunan sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.
18. Islam Hadhari bukanlah agama baru. Islam Hadhari bukan ajaran baru. Islam Hadhari bukannya mazhab baru. Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas – kepada fundamental. Asas dan fundamental menurut yang terkandung dalam Al Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditafsir secara ikhlas – jika difahami secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas akidah. Bukannya budaya UMNO untuk bermain dengan agama. UMNO tidak pernah membenarkan agama dijadikan alat. UMNO menentang tegas agama dipolitikkan. UMNO menentang keras jika Islam dijadikan alat – dijadikan instrumen yang boleh memesongkan akidah. Kerana itu UMNO memastikan bahawa Islam dan umat Islam senantiasa dilindungi. Atas kesedaran tersebut, UMNO ketika terlibat secara langsung menggubal Perlembagaan Persekutuan, memasukkan artikel-artikel tertentu mengenai Islam dan meletakkan Islam di bawah naungan bidang kuasa Ketua Negara dan Ketua Negeri.
19. Sebagai parti yang bertanggungjawab melindungi kesucian Islam dan memastikan umat Islam tanpa tergelincir akidah, akan dapat menghadapi cabaran dan realiti semasa, pintu ijtihad perlu terbuka supaya tafsiran yang diwarisi dapat dikaitkan dengan bentuk dan corak pembangunan mengikut masa – mengikut tempat. Adalah perlu diteliti semula pelbagai pendekatan dan kaedah untuk diperkemaskan supaya lebih seimbang dan menyeluruh, merangkumi pembangunan prasarana dan pembangunan ekonomi, diperkukuhkan dengan pembangunan manusia melalui program pendidikan yang komprehensif, diperlengkap pula dengan program pembangunan rohani untuk menyemaikan nilai-nilai murni dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan.
20. Islam Hadhari akan memastikan pencapaian sepuluh prinsip utama:
I. Keimanan dan ketakwaan kepada ILAHI
II. Kerajaan adil dan beramanah
III. Rakyat berjiwa merdeka
IV. Penguasaan ilmu pengetahuan
V. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif
VI. Kehidupan berkualiti
VII. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita
VIII. Keutuhan budaya dan moral
IX. Pemeliharaan alam semula jadi
X. Kekuatan pertahanan
21. Prinsip-prinsip ini adalah menurut acuan yang diadunkan supaya amalan dan pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana pihak dalam sebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang agama – berbilang kaum. Pendekatan yang digariskan juga adalah untuk memperkasakan umat Islam supaya berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.
22. Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada pembangunan ekonomi dan tamadun yang menyeluruh – berupaya menjadi penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing bangsa Melayu. Warisan dan tamadun Islam yang memperlihatkan kejayaan cemerlang umat Islam dalam semua bidang perlu dijadikan rujukan dan sumber inspirasi memajukan bangsa Melayu.
23. Perubahan minda Melayu memerlukan satu tindakan secara menyeluruh, secara drastik, secara sistematik, dan tidak bersifat sektor atau partisan. Ini memerlukan satu perubahan tasawur (pandangan global) bangsa Melayu. Selaras dengan itu, konsep hidup sebagai pengabdian kepada Tuhan dan konsep kerja sebagai ibadah, manusia sebagai khalifah dan kewajipan mencapai kekuatan dalam semua bidang kehidupan perlu dititikberatkan, khususnya prinsip maqasid al Syariah adalah berkaitan dengan lima perkara seperti berikut:
I. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan agama
II. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan akal
III. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan nyawa
IV. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan harta
V. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan keturunan
24. Usaha yang konsisten hingga menghasilkan kejayaan yang berterusan perlu dirancang. Segala bentuk pemikiran yang mengelirukan dan tidak bersesuaian dengan kefahaman Islam perlu dikikis supaya pemikiran dan jati diri bangsa Melayu dapat dibentuk. Perubahan sikap dan budaya Melayu memerlukan peranan berijtihad dan berjihad. Konsep jihad perlu ditafsirkan secara lebih luas, meliputi aspek kehidupan manusia seperti menuntut ilmu, menguasai sains dan teknologi serta melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi. Peningkatan kualiti (itqan) dalam semua urusan dan kegiatan kehidupan merangkumi bidang pendidikan, penguasaan sains dan teknologi serta aktiviti-aktiviti ekonomi, hendaklah dijadikan budaya. Ijtihad membina ummah dalam zaman moden ini perlu diberikan perhatian dan diberikan pengiktirafan.
25. Bangsa Melayu perlu diberikan kefahaman Islam yang membolehkan bangsa menghayati dan mewarisi wawasan ketamadunan global (Rahmatan Lil’alamin) untuk membolehkan bangsa berperanan secara berkesan diperingkat global. Semangat persaudaraan (ukhuwah Islamiah) perlu dipupuk dan disemarakkan bagi menghasilkan rangkaian sosial yang mantap sebagai satu strategi ke arah meningkatkan daya saing Melayu. Bangsa Melayu perlu menghargai dan menghayati sifat berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak lain. Sikap dan nilai-nilai negatif bangsa Melayu diubah kepada nilai-nilai yang terkandung di dalam tasawwur Islam.
26. Bangsa Melayu perlu dijadikan masyarakat iqra dalam hasrat mahu membina kemampuan bangsa dari segi peningkatan penguasaan ilmu, kemahiran dan kepakaran. Tuntutan Islam mewajibkan umat menguasai ilmu dalam semua bidang perlu dihayati. Perlu diperbetulkan sebarang salah faham terhadap konsep ilmu agar tidak berlaku pemisahan antara ilmu sekular dengan ilmu agama. Bahawa penguasaan sains dan teknologi serta peningkatan kemahiran dan kepakaran merupakan sebahagian dari tuntutan Islam. Begitu banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang menyentuh soal penguasaan sains dan teknologi, yang perlu diberikan perhatian oleh bangsa Melayu. Sumbangan tamadun Islam dalam sains dan teknologi yang membawa kepada kelahiran renaissance di Eropah wajib diketahui oleh semua pelajar Islam. Usaha melahirkan saintis Melayu yang dapat menghasilkan penemuan-penemuan baru perlu diperbanyakkan.
Saudara-saudari
27. Melayu, UMNO dan Islam di negara ini tidak dapat dipisahkan. Ianya adalah satu cantuman yang telah membina satu budaya – satu bangsa – satu identiti. UMNO bertanggungjawab melalui perkataan – melalui perbuatan, mencerminkan imej – membina budaya Islam sebenar. Budaya yang mengimbangkan tanggungjawab dunia dengan tanggungjawab akhirat. Antara fardu kifayah dengan fardu ain. Bahawa tanggungjawab dunia yang dilakukan secara sempurna dengan niat ikhlas, InsyaAllah mendapat keredaan ILAHI, diterima sebagai amal yang dapat dijadikan bekalan untuk kehidupan di akhirat.
28. UMNO hendaklah membawa wadah perjuangan yang dapat membawa umat menghadapi dunia secara positif. Bahawa dunia adalah satu perjalanan yang harus dimanfaatkan dalam proses pengabdian manusia kepada Allah SWT dengan menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayah secara sempurna – secara jujur – secara telus – secara amanah. Manusia tidak mungkin berjaya memanfaatkan dunia ini dengan baik jika sikap dan pandangannya terhadap dunia tidak tepat sebagaimana mestinya, kerana alam dan fenomenanya diciptakan dan ditundukkan oleh Allah SWT untuk manusia diturunkan sebagai khalifah. Kerana itu, amatlah penting untuk umat manusia itu diperlengkap dengan ilmu – dengan pengetahuan – dengan kemahiran, supaya membolehkan manusia menguasai dunia.
29. Amatlah penting umat Islam dipimpin memahami dan menghayati Islam sebagai sistem kehidupan menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan satu tamadun. Kehidupan menyeluruh yang bijak mengimbangkan tanggungjawab dunia dengan tanggungjawab akhirat. Islam bukanlah satu ritual kerana ritualisme memberi tumpuan kepada akhirat semata-mata. UMNO juga tidak pernah bersifat sekularisme yang menolak akhirat dan memberi tumpuan kepada dunia semata-mata. Islam mestilah dihayati sebagai sistem yang mengintegrasikan kehidupan duniawi dan persiapan ukhrawi.
HUBUNGAN ANTARABANGSA
Saudara-saudari
30. Kita adalah sebuah negara yang aman lagi stabil. Kita adalah sebuah negara demokrasi yang berjaya mengamalkan sistem pilihanraya yang terbuka lagi telus. Kita menjadi negara Islam contoh, yang berjaya mengimbangkan pembangunan fizikal dengan pembangunan rohani. Kita merupakan negara pelbagai agama – pelbagai kaum yang menjadi contoh dari segi kejayaan memupuk perpaduan dan berkongsi kuasa politik. Kita adalah negara contoh dari segi pencapaian ekonomi dan kestabilan politik di kalangan negara membangun.
31. Dalam tempoh kurang setengah abad kita berjaya sampai ke peringkat kejayaan ini. Kejayaan yang mungkin merupakan satu impian kepada banyak negara di dunia ini. Untuk itu kita bersyukur ke hadrat ILAHI dan kita amat berterima kasih kepada rakyat yang senantiasa bersama kita, sepakat dalam fikiran – senada dalam bersuara – selangkah dalam tujuan – seiring dalam bertindak. Segalanya kita capai – kita peroleh bersama, mencipta kejayaan – mengukir sejarah, dalam semangat bulat muafakat – dalam semangat ringan dijinjing, berat dipikul. Segalanya kita capai – kita peroleh, bersandarkan prinsip kemanusiaan – bertiangkan keadilan – berlandaskan kebenaran – bernaungkan bimbingan ILAHI. Kita berpegang dan terus berpegang kepada keyakinan bahawa Allah SWT akan melimpahkan rahmat dan perlindungan kepada hamba-hambaNya yang beriman dan bertakwa, berusaha lagi bersyukur.
32. Tahap pencapaian ini telah meningkatkan keyakinan dunia kepada kita, lalu kita serentak diberikan peranan penting – diberi kepercayaan menjadi Pengerusi kepada Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Kita menerima amanah – kita menerima tanggungjawab ini. Kita bersyukur dengan penghormatan ini – kita menghargai kepada sokongan yang diperolehi. Pengharapan tinggi diletakkan kepada kita dalam memenuhi peranan sebagai Pengerusi OIC dan NAM.
33. Perpaduan di kalangan anggota-anggota OIC perlu diusahakan. OIC secara kolektif perlu membersihkan prasangka buruk yang dilukiskan terhadap umat Islam di seluruh dunia. Masyarakat antarabangsa hendaklah berhenti dari mewarnakan Islam dengan keganasan, kemiskinan dan kemunduran. OIC perlu menangani unsur-unsur pertentangan yang semakin menimbulkan kerenggangan hubungan antara Islam dengan dunia barat. Pada masa yang sama, tahap kemajuan dan pembangunan di kalangan anggota NAM perlu ditingkatkan. Potensi kerjasama yang dapat dijalinkan untuk membantu perkembangan dan pembangunan ekonomi di kalangan anggota NAM perlu diterokai secara optimum.
34. Dengan rasa penuh tanggungjawab kita berazam untuk memenuhi amanah tersebut sebaik mungkin, berpandukan petunjuk dari ILAHI serta bersandarkan persefahaman – berlandaskan persepakatan dari negara-negara anggota. Kita berazam meningkatkan hubungan kerjasama OIC dan NAM, terutama dalam bidang-bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan. Kita akan perkukuhkan OIC dan NAM menjadi organisasi yang lebih mantap di pentas politik antarabangsa. Kita yakin OIC yang bersatu – NAM yang bersatu, OIC dan NAM yang maju lagi membangun, merupakan satu tenaga – satu ‘force’ yang boleh mencorakkan dunia lebih aman, lebih tenteram, lebih stabil, lebih makmur. Kita akan terus berusaha meningkatkan kesedaran dan fahaman dunia betapa pentingnya di rangka agenda antarabangsa untuk membasmi kemiskinan di peringkat global.
35. Isu Palestin yang masih belum selesai merupakan isu sentral yang perlu dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan komuniti global. Kita akan terus berusaha dan bersuara, mencari sebaik penyelesaian, penyelesaian yang adil dan berkekalan berhubung Palestin, selaras dengan Roadmap Quartet untuk Palestin yang telah dipersetujukan. Masyarakat antarabangsa harus sama-sama membela hak rakyat Palestin untuk memiliki sebuah negara berdaulat lagi merdeka dengan ibu negaranya terletak di Al Quds Al Shariff (Jerusalem).
36. Kita mahukan dunia yang aman – dunia yang damai. Malaysia akan terus merintis usaha untuk memastikan dunia yang lebih aman – dunia yang lebih damai. Bahawa orde dunia yang aman dan damai hanya dapat diwujudkan apabila ia dilandaskan kepada beberapa prinsip utama:
I Menghormati undang-undang dan institusi antarabangsa
II Menghormati kedaulatan kemerdekaan sesebuah Negara
III Menyelesaikan pertikaian secara rundingan
IV Tidak menggunakan kekerasan melainkan dengan mendapat restu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
V Mengagihkan kekayaan secara saksama demi kebahagian manusia sejagat
37. Dasar luar Malaysia berpegang dan akan terus berpegang kepada gagasan yang mengutamakan kepentingan nasional kita. Malaysia tidak mempunyai sebarang ideologi untuk dieksport. Malaysia juga tidak ada agenda sulit untuk dilaksanakan di mana juga tempat di dunia ini. Malaysia kekal mempertahankan dasar luar yang bebas lagi berkecuali. Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara lain untuk memajukan persekitaran serantau dan persekitaran antarabangsa yang stabil lagi aman. Untuk membangunkan dan memakmurkan negara, Malaysia tidak mungkin melaksanakannya secara bersendirian. Kita perlu membina rangkaian kerjasama dengan negara-negara lain. Malaysia perlu meningkatkan diplomasi ekonominya, bukan sahaja di peringkat bilateral malah di peringkat serantau dan di peringkat global.
38. Kita akan meneruskan jalinan dengan negara-negara di dunia dan akan saling bekerjasama dalam usaha mencapai matlamat perjuangan yang sama. Kita mengutamakan kemakmuran serantau. Untuk itu kita cekal berusaha meningkatkan persefahaman kerjasama dengan negara-negara ASEAN berteraskan semangat asal penubuhan ASEAN untuk mewujudkan sebuah rantau yang aman, stabil lagi berkecuali. Malaysia akan meningkatkan usaha memperteguh ASEAN dan memperkukuhkan kedudukannya di arena antarabangsa. Kita akan mempertingkatkan usaha untuk memastikan ASEAN mencapai tahap integrasi politik dan integrasi ekonomi dalam usaha membina komuniti ASEAN. Secara bersungguh Malaysia akan menerokai segala usaha diplomasi memastikan terjalinnya perkongsian yang lebih bermakna antara negara-negara ASEAN dengan tiga negara Asia Timur – Cina, Jepun dan Republik Korea, dengan tujuan untuk Sidang Kemuncak Asia Timur dapat dilangsungkan.
39. Kita berazam menjadikan Asia Timur kawasan yang maju dan makmur. Kita berusaha ke arah membentuk Asia yang aman dan stabil. Kita kekal mengamalkan pemikiran terbuka merangkaikan hubungan diplomasi yang bermakna dari segi politik, ekonomi, perdagangan dan kebudayaan dengan semua negara selagi dasar saling menghormati terus diamalkan. Bahawa kedaulatan dan kemerdekaan setiap negara perlu dihormati. Bahawa corak pemerintahan sesebuah negara adalah milik warga di negara berkaitan untuk menentukannya.
40. Dunia memerlukan persekitaran lebih conducive untuk memungkinkan orde antarabangsa yang lebih adil dan saksama dapat diwujudkan. Dunia tentunya merasa bimbang dalam keadaan terdapat satu kuasa besar sahaja yang melakukan dominasi ketenteraan, dominasi ekonomi, dominasi politik dan dominasi budaya. Dunia akan menjadi lebih aman dan lebih makmur jika kekayaan dapat diagihkan secara lebih saksama – jika penindasan politik, penindasan ketenteraan, penindasan ekonomi dan penindasan perdagangan dapat dihentikan. Kekayaan dunia perlu diagihkan secara seimbang – perdagangan dunia perlu berbentuk lebih saksama. Kekayaan perlu digunakan untuk membantu membangunkan ummah dunia dari segi perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan kebajikan. Kita mahukan sebuah dunia yang memberi keadilan kepada yang lemah, yang lemah diberikan peluang, yang lemah merasakan ada harapan meningkatkan taraf sosial dan taraf ekonomi mereka. Kita akan berusaha ke arah yang dapat merapatkan jurang antara negara mundur dengan negara maju.
41. Dunia menjadi lebih bahagia dan pastinya memberi keselesaan kepada negara-negara maju, apabila manusia sejagat dapat diseimbangkan pencapaian mereka dari segi sosial dan dari segi ekonomi. Dunia tidak seharusnya dipisahkan sebagai negara maju dan negara mundur, negara kaya dan negara miskin, negara utara dan negara selatan, negara timur dan negara barat, negara Islam dan bukan Islam. Dunia bukan galeri untuk mempamerkan peralatan perang. Dunia bukannya padang sasar untuk menguji kehebatan senjata. Allah SWT tidak mencipta dunia untuk dimusnahkan oleh manusia.
42. Kita akan terus memainkan peranan dalam arus perdana hubungan antarabangsa. Kita akan berusaha memperkukuhkan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjadi satu badan dunia yang kekal berkecuali, bebas, adil dan saksama, diterima dan dihormati serta mendapat kepercayaan semua negara. Adalah menjadi hasrat kita supaya PBB dapat berfungsi secara lebih bermakna dan lebih berkesan, lebih representatif sifatnya kepada realiti dunia semasa. PBB perlu diberikan kuasa bukan sahaja untuk menjamin keselamatan dan keamanan dunia, malah dapat menjamin kedaulatan kemerdekaan dan keutuhan wilayah sesebuah negara. PBB perlu diberikan peranan yang sewajarnya untuk memerangi keganasan.
43. Keganasan yang mensasarkan orang awam sebagai mangsa perlu ditentang secara tegas. Keganasan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, baik oleh negara atau oleh mana-mana kumpulan militan tidak dapat diterima. Istilah “jihad” tidak harus disalahgunakan – tidak harus diselewengkan tafsirannya untuk menghalalkan keganasan. Perbuatan sedemikian hanya mencemarkan kesucian ajaran Islam. Islam sama sekali tidak menghalalkan keganasan. Keganasan jika dibiarkan akan membiakkan kezaliman yang tidak akan membawa sebarang faedah.
44. Dalam usaha membendung keganasan, isu-isu utama yang menyentuh rakyat di negara atau wilayah tertentu perlu diselesaikan secara adil. Malaysia akan terus berusaha mempengaruhi pendirian negara-negara Barat khususnya, supaya meneliti semula dan mengubah dasar-dasar mereka di Asia Barat. Pendirian mereka terhadap isu Palestin, dan tindakan-tindakan melampau negara-negara tertentu melanggar undang-undang antarabangsa seperti serangan ke atas Iraq, adalah antara faktor yang menyebabkan keganasan terus berlaku.
45. Kita menyokong supaya pembangunan Iraq pasca serangan luar dilaksanakan sepenuhnya di bawah pengawasan PBB. Kita akan aktif membantu usaha di bawah naungan PBB untuk memulihkan Iraq. Iraq adalah sebuah negara yang mempunyai nilai sentimental kepada umat Islam di seluruh dunia. Iraq bukan sahaja sebuah negara bangsa yang pernah merdeka dan berdaulat tetapi mempunyai kekayaan – memiliki kepakaran. Iraq adalah satu tamadun, satu simbol kehebatan Islam. Baghdad adalah sebuah kota yang pernah melahirkan ulama dan cendekiawan Islam dalam pelbagai bidang. Baghdad adalah kota ilmu – gedung yang menghasilkan dan khazanah yang menyimpan tamadun berharga. Segalanya telah musnah – segalanya telah hancur. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama negara-negara Islam lain, memainkan peranan aktif, membantu proses pembangunan semula Iraq. Jika negara-negara Islam tidak tampil ke hadapan untuk berperanan aktif membantu pembangunan semula Iraq, dibimbangkan Iraq akan dibangunkan melalui pengaruh dan acuan orientalis barat.
PERJUANGAN BANGSA
Saudara-saudari
46. Kita bersyukur dan amat bersyukur atas segala nikmat dan rahmat. Namun kejayaan tidak akan kekal selamanya. Kejayaan akan tinggal dalam sejarah sebagai cermin lama untuk memapar wajah tua, jika kita gagal menghadapi cabaran semasa – cabaran yang senantiasa berubah, cabaran baru yang menuntut kepada pendekatan baru. Cabaran baru membawa gelombang baru yang perlu direnangi dengan azam dan tekad, dengan kesungguhan dan ketabahan.
47. Dunia global mencabar bangsa Melayu untuk berjiwa global, bangsa Melayu yang memahami senario global, bangsa Melayu yang dapat mengharungi gelombang global. Bangsa Melayu berilmu – berpengetahuan, menguasai kemahiran – menguasai teknologi. Bangsa Melayu yang berupaya bersaing – berupaya merangkaikan hubungan dengan bangsa-bangsa lain di dunia – yang setanding – berdiri sama tinggi – berlari sama pantas. Bangsa Melayu yang berupaya berkomunikasi dan berinteraksi melalui bahasa yang difahami oleh masyarakat global, misalnya Bahasa Inggeris. Bahasa yang memudahkan hubungan perdagangan dijalinkan secara efisien, bahasa yang dapat memudahkan penyebaran dan penguasaan ilmu secara berkesan.
48. Ahli-ahli UMNO perlu faham akan impak era baru ekonomi global kepada bangsa Melayu. Kita mahu menjadi bangsa yang maju, kita mahu Malaysia yang maju. Kita tidak dapat mengelak daripada bersaing dengan negara-negara maju dan negara-negara yang sedang meningkat maju. Kita perlu faham di peringkat global, tidak mungkin tergubal satu dasar khusus untuk membantu bumiputera. Ekonomi global tidak mengenali istilah kuota. Tidak akan disediakan projek khas untuk bumiputera. Kamus ekonomi global hanya mengiktiraf istilah-istilah seperti persaingan, kompetitif, produktiviti, inovasi, kreativiti, keaslian, kecekapan dan kecemerlangan.
49. Globalisasi dan liberalisasi menimbulkan cabaran kepada negara dan menimbulkan cabaran lebih besar kepada bumiputera. Kini kuasa pasaran berperanan lebih penting dan menjadi penentu. Mereka yang gagal bersaing akan kecundang. Tidak ada payung yang dapat memberikan perlindungan melainkan daya saing yang sedia terbina dalam urus niaga sesuatu kumpulan. Ekonomi global telah bergerak dari ekonomi berbentuk pengeluaran kepada ekonomi berpaksikan pengetahuan. Keuntungan tidak sekadar bersumberkan barangan yang dihasilkan tetapi melalui idea, melalui penciptaan dan melalui perisian yang menjadi hak milik. Era baru ekonomi global menggunakan kayu ukuran – menggunakan dacing timbangan di peringkat global. Pengeluar barangan dari Kangar hingga ke Johor Baru, dari Klang hingga ke Tawau, perlu bersaing dengan pengeluar di Shanghai, di Tokyo, di Bangalore, di Los Angeles, di Johannesburg, di Milan dan di Sydney.
50. Dalam menghadapi cabaran global ini, langkah-langkah pengukuhan kerajaan dalam melaksanakan dasar untuk meningkatkan daya saing bumiputera perlulah dihalakan kepada sektor perkhidmatan dan sektor-sektor yang mempunyai nilai ditambah (value add) yang tinggi di samping mengenal pasti sumber pertumbuhan baru ekonomi. Kaedah pengeluaran berteknologi tinggi perlu diterokai, bukan sahaja di bidang perkhidmatan dan pembuatan tetapi dalam bidang pertanian dan bidang-bidang ekonomi prima. Begitu ramai orang Melayu luar bandar yang berkecimpung dalam sektor pertanian. Namun usaha mereka terbatas kepada hasil pertanian mentah dan belum proses. Satu pendekatan pertanian lebih produktif dan radikal perlu dilakukan segera sebagai salah satu pendekatan untuk menjadikan bidang pertanian memiliki nilai ekonomi tinggi.
51. Dalam kelajuan melaksanakan langkah pengukuhan untuk membantu bumiputera di era Dasar Ekonomi Baru, kita lebih menumpukan kepada kuantiti. Membantu seramai boleh bumiputera dalam usaha menyusun semula struktur ekonomi dan struktur sosial masyarakat supaya lebih seimbang di antara kaum. Usaha yang dilaksanakan memperlihatkan tanda-tanda positif di peringkat awal. Usaha meningkatkan pegangan ekuiti dan pemilikan harta bumiputera menampakkan hasil. Semasa Dasar Ekonomi Baru dilancarkan dalam tahun 1970, pegangan ekuiti bumiputera berada pada tahap 2.4 peratus, berjaya meningkat kepada 19.3 peratus pada tahun 1990. Nilai pegangan ekuiti bumiputera meningkat secara ketara dari 477 juta ringgit pada tahun 1970 kepada 20.9 bilion ringgit pada tahun 1990 dan berada pada tahap 73.2 bilion ringgit pada 2002. Peningkatan pegangan ekuiti bumiputera adalah hasil dari pelbagai usaha Kerajaan dengan menubuhkan syarikat-syarikat pelaburan dan saham amanah seperti Permodalan Nasional, Lembaga Urusan Tabung Haji dan sebagainya. Namun jangka masa dua puluh tahun masih tidak mencukupi untuk menghasilkan sasaran 30 peratus pegangan ekuiti bumiputera. Di sebaliknya, timbul kebimbangan apabila pegangan ekuiti bumiputera menguncup ke paras 18.7 peratus pada tahun 2002, penurunan 0.6 peratus.
52. Dasar Ekonomi Baru, disusuli dengan Dasar Pembangunan Negara telah berjaya menghasilkan golongan profesional, saintis dan teknologis di kalangan bumiputera. Jumlah profesional bumiputera berada di tahap 21 peratus pada tahun 1990 telah meningkat ke paras 30 peratus pada akhir tahun 2002. Sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan kadar kemiskinan keseluruhan di Malaysia dapat dikurangkan dari 52 peratus pada tahun 1970 kepada 5 peratus pada tahun 2002. Kadar kemiskinan penduduk luar bandar telah menurun dari 59 peratus pada tahun 1970 kepada 11 peratus pada tahun 2002. Pendapatan purata isi rumah Malaysia meningkat dari 660 ringgit sebulan pada tahun 1970 ke 2,966 ringgit pada tahun 2002.
53. Walaupun dasar-dasar yang diperkenalkan telah mempertingkatkan status ekonomi bumiputera, kejayaan sepenuhnya masih belum tercapai. Pencapaian secara keseluruhan masih di peringkat mutlak dan bukan dari segi relatif. Kita masih melihat bahawa pendapatan isi rumah bumiputera berada di bawah pendapatan isi rumah kaum Cina. Golongan profesional bumiputera telah bertambah, tetapi jumlah profesional bukan bumiputera masih berada di hadapan.
54. Dalam keghairahan hasrat melaksanakan dasar untuk membantu bumiputera, didapati kita kurang memberi perhatian kepada aspek kualiti. Perlaksanaannya lebih mengutamakan jumlah tetapi kurang menitikberatkan faktor membina keupayaan dan nilai ditambah. Bumiputera lalu digambarkan sebagai kurang berdaya saing – kurang daya ketahanan. Pelbagai pihak telah menyeru supaya dilakukan satu anjakan sikap, satu revolusi mental bagi bumiputera. Bumiputera diseru supaya lebih berdikari, lebih mementingkan ilmu pengetahuan, lebih gigih berusaha, lebih kuat bekerja.
55. Revolusi mental ditegaskan amat penting dalam menghadapi dunia yang semakin kompetitif. Ekonomi negara kini menghadapi tekanan dari luar, seperti WTO dan AFTA, produk dan perkhidmatan kita menghadapi persaingan dari negara lain. Jika kita lambat menukar sikap – jika kita gagal meningkatkan daya saing, kita akan terus kehilangan pelaburan, kehilangan pekerjaan dan kehilangan peluang perniagaan kepada negara lain yang lebih efisien dengan kos pengeluaran yang lebih kompetitif.
56. Keadaan bumiputera yang masih tertinggal ini bukanlah satu kesedaran baru – bukan satu penyataan radikal. Majoriti bumiputera sedar akan keadaan ini dan kebimbangan mereka akan keadaan yang tempang ini. Ramai yang bertanggapan bahawa masalah bumiputera berpunca dari minda dan sikap. Bumiputera pula tidaklah menidakkan tanggapan ini. Sebenarnya, terdapat percanggahan di dalam pelbagai hujah dan pandangan. Ramai bumiputera menyeru supaya kita berubah sikap untuk membolehkan kita berdikari dan lebih berdaya saing, tetapi dalam nafas yang sama, tuntutan mahu diperbanyakkan bantuan, mahu diperluaskan perlindungan, terus disuarakan. Bumiputera dirasakan masih lemah dan belum bersedia menghadapi pasaran terbuka.
57. Bumiputera sedar bahawa dirinya bertongkat dan berhasrat mahu berjalan tanpa tongkat, tetapi masih berasa takut untuk membuang tongkat. Kerana kebimbangan ini, kembali berputik kecenderungan terhadap pendekatan lama, mencari jalan pintas dengan menyalahkan orang. Jika kecenderungan ini terus dibiarkan hidup subur, bumiputera berkemungkinan bertambah lemah, dari jalan bertongkat dibimbangkan menjadi semakin tidak upaya bersaing hingga satu hari nanti lumpuh dan perlu ditolak di kerusi roda.
58. Saya memahami kebimbangan yang dihadapi oleh bumiputera. Saya berpegang teguh kepada matlamat utama UMNO diwujudkan. UMNO diwujudkan untuk memperjuangkan hak bangsa Melayu. Saya berpegang teguh kepada agenda nasionalis bangsa Melayu. Adalah penting untuk kita berfikir secara kritikal dan menggariskan strategi perjuangan menghadapi globalisasi dunia. UMNO tidak harus membiarkan Melayu menerima sikap mengalah – sikap defeatis, sikap yang mengandaikan bahawa Melayu sememangnya ditakdirkan menjadi lemah sepanjang hayat.
59. Perjuangan terhadap hak dan nasib Melayu adalah perjuangan untuk memartabatkan bangsa. UMNO bertanggungjawab menolong bangsa Melayu menjadi lebih kuat, lebih upaya, lebih yakin, lebih berani. UMNO akan berusaha untuk membantu anak-anak Melayu mencapai prestasi akademik yang tinggi di sekolah dan di pusat pengajian tinggi. UMNO akan terus mendorong supaya pekerja dan profesional Melayu yang mendapat jawatan tinggi diasaskan kepada prestasi. UMNO akan membantu kemajuan usahawan dan perniagaan bumiputera. Tetapi dalam usaha tersebut UMNO harus menyediakan minda bangsa yang berupaya menghadapi realiti persekitaran perjuangan sebenar.
60. Jika kita jujur dengan diri, kita akan menerima hakikat bahawa tiada kekuatan hakiki bagi mereka yang memperoleh sesuatu dengan terlalu mudah. Tidak akan ada harga diri bagi mereka yang mendapat jawatan, peluang perniagaan atau biasiswa tanpa usaha dan keupayaan sebenar. Jika kita gagal membina daya saing bangsa, akhirnya kita akan menjadi bangsa yang kalah dan mengalah. Orang Melayu akan senantiasa dipandang rendah, orang Melayu akan terus merasa tidak yakin, orang Melayu akan dilihat sebagai beban oleh orang lain.
61. Kekuatan Melayu tidak seharusnya terbatas dengan kekuatan politik semata-mata. Kekuatan politik Melayu tidak mungkin dapat bertahan tanpa berakar kukuh dengan penguasaan ilmu, penguasaan kemahiran dan direndang dengan dahan-dahan penguasaan ekonomi, penguasaan sains dan penguasaan teknologi. Kuasa politik Melayu tanpa akar kekuatan sebenar begitu rapuh, begitu mudah ditumbangkan, malah begitu mudah digadai dan didagangkan. Kekuatan Melayu hendaklah diasaskan kepada harga diri. Kekuatan politik yang kita miliki hari ini hendaklah kita gunakan secara bijaksana untuk menggerakkan keupayaan bangsa supaya UMNO tidak lagi dilihat menjadi jurubicara dan pemudah cara kepada bangsa yang lemah.
62. Perangkaan menunjukkan bahawa prestasi ekonomi bukan bumiputera tumbuh lebih pesat. Ini bermakna semasa ekonomi berkembang pada kadar 8 peratus setahun pada awal tahun 1990an, bukan bumiputera dapat memanfaatkan pertumbuhan tersebut secara cekap dan bijak. Penurunan peratus pencapaian bumiputera secara relatif berpunca dari dua sebab. Pertama, kaum-kaum lain nyata lebih tekun berusaha dengan meletakkan fokus yang tepat lalu membolehkan mereka memiliki daya pecutan lebih laju, meletakkan mereka melonjak ke hadapan, di samping memiliki stamina untuk kekal lama dalam litar urus niaga. Kedua, yang lebih membimbangkan, kaum bumiputera tidak mempunyai daya bertahan yang lama, di samping berlakunya ketirisan kepada apa yang diperuntukkan sebagai pegangan bumiputera.
63. Bangsa Melayu perlu di ingatkan untuk kembali menghayati nilai-nilai murni yang menjadi sebahagian dari budaya bangsa. Budaya yang telah berjaya membina kekuatan dan tamadun bangsa. Kayakan bangsa dengan ilmu supaya mereka menjadi Melayu yang bijaksana,
Timang tinggi- tinggi, sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi, sudah pandai baca kitab.
64. Bangsa Melayu adalah bangsa yang tekun – bangsa yang rajin berusaha seperti yang terkandung dalam pepatah, ‘sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain’, ‘jika tidak dipecahkan ruyung di mana akan dapat sagunya’. Bangsa Melayu menyedari hakikat bahawa kesenangan tidak datang secara mudah, bahawa perlunya ‘berjagung-jagung dahulu sementara menanti padi masak’, ‘berakit ke hulu – berenang ke tepian, bersakit dahulu – bersenang kemudian’, bahawa kekayaan itu perlu diusahakan secara tekun – secara gigih dan tidak berlaku secara mendadak, ‘sikit-sikit lama-lama menjadi bukit’. Bangsa yang pada keseluruhannya sedar akan pentingnya amalan berhati-hati demi menjamin survival di hari muka, ‘Jangan curahkan air tempayan bila mendengar guruh di langit’ Akan baiknya membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan, lalu ‘sediakan payung sebelum hujan’.
65. Tetapi! Apabila terdapatnya segelintir Melayu lebih terpengaruh kepada nilai-nilai negatif, maka rosaklah bangsa. Lalu terdapat Melayu yang ‘sedia papa untuk bergaya’, terdapat Melayu yang bersifat ‘pagar makan padi’, ada yang mengharap kepada ‘bulat datang menggolek – pipis datang melayang’. Ada yang mengharap ‘bulan jatuh ke riba’. Sedarlah! ‘Si pungguk boleh terus merindukan bulan tetapi bulan tidak pernah jatuh ke riba’. Akhirnya pungguk merindu yang semakin pupus. Bulan tetap beredar di langit.
66. Kerana adanya Melayu yang terpengaruh dengan nilai-nilai negatif tersebut, terbinalah budaya kerja yang songsang, mengharapkan hasil lumayan tanpa mahu memeras otak – memerah keringat. Budaya kerja yang songsang ini bertanggungjawab kepada berlakunya ketirisan ekonomi yang diperuntukkan kepada bumiputera. Lalu segala usaha yang dicurahkan bagaikan menuang air ke pasir. Sebanyak mana sekalipun dituang, akan meresap ditelan bumi. Kerana adanya segelintir Melayu yang bersifat demikian, imej keseluruhan bangsa Melayu tercemar, kerana yang lain bagaikan terpalit lumpur – kerana putih susu di belanga beralih warna disebabkan nila setitik.
67. Jika kita benar-benar berhasrat membangunkan bangsa Melayu yang dihormati, kita wajib berusaha. Sekaranglah masanya untuk membina keupayaan dan daya saing Melayu. UMNO harus berusaha melahirkan lebih ramai tokoh Melayu yang setanding pemikiran dan kemahirannya dengan tokoh-tokoh di dunia global, sehingga terkumpul ‘critical mass’ yang dapat mencerminkan kejayaan bangsa secara tulen.
UMNO
Saudara-saudari
68. UMNO adalah parti politik terbesar di negara ini. Apa juga dasar yang ditetapkan oleh UMNO memberikan impak kepada seluruh warga Malaysia, malah mendapat perhatian dari negara-negara jiran dan juga dunia antarabangsa. Realiti masyarakat pelbagai agama – pelbagai kaum menuntut budaya saling menghormati – saling memahami di kalangan warga. Perpaduan warga yang berbilang agama – berbilang kaum adalah penentu kepada kestabilan politik, keamanan dan keharmonian negara. UMNO dan pimpinan UMNO hendaklah peka kepada isu-isu sensitif yang menyentuh agama, kaum, budaya dan bahasa. UMNO selama ini telah menunjukkan contoh terbaik. Kerana itu UMNO diterima oleh parti-parti komponen BARISAN NASIONAL untuk memimpin mereka dan UMNO diterima rakyat jelata untuk memimpin negara.
69. UMNO berperanan dan diterima sebagai peneraju pucuk pimpinan politik negara. Sekali gus kita menjadi peneraju kepada kerajaan yang diamanahkan kuasa oleh rakyat di negara ini. Di samping memimpin perjuangan bangsa Melayu, UMNO adalah juga untuk pemimpin warga Malaysia pelbagai agama – pelbagai kaum. Sesungguhnya rakyat telah memberi kepercayaan kepada parti kita untuk sekali lagi menubuhkan kerajaan. Rakyat meletakkan harapan untuk kita terus membawa kemajuan supaya negara kekal aman, lebih makmur dan bertambah padu.
70. Oleh itu UMNO harus mengamalkan satu bentuk etika dan disiplin di dalam parti untuk menjadi sebuah parti yang benar-benar dihormati dan disegani. UMNO tidak harus bermegah dengan angka keahlian yang ramai jika ahli-ahli di dalam UMNO tidak dapat mendukung nama baik UMNO. UMNO perlu tegas – UMNO tidak akan berkompromi dengan ahli-ahli yang merosakkan nama UMNO. Apatah lagi di kalangan mereka yang pernah mencerca, menghina dan menderhaka kepada UMNO. UMNO tidak harus membenarkan mana-mana pihak sekalipun memperalatkan UMNO untuk dijadikan tangga bagi melonjakkan mana-mana orang perseorangan.
71. Kekuatan UMNO adalah himpunan kekuatan tenaga bangsa secara kolektif, tenaga dan semangat dari ahli-ahli yang setia kepada parti, ahli-ahli yang mengabdikan diri berkhidmat untuk parti dan atas nama parti, sama ada yang menyandang jawatan, diberi pangkat, mahupun sebagai ahli biasa. UMNO akan menjadi parti yang lemah dan tidak mempunyai kekuatan secara berkesinambungan, jika, kekuatan parti disandarkan kepada mana-mana orang perseorangan. Tidak ada pemimpin – tidak ada individu yang akan kekal hidup selama-lamanya. Pemimpin datang dan pergi. Yang kekal adalah UMNO. Kepimpinan UMNO memperkasakan parti. Kekuatan UMNO meneguhkan kepimpinan.
72. Atas keinsafan pentingnya dibina satu budaya parti yang penuh disiplin dan sebagai menyahut permintaan majoriti ahli-ahli UMNO, Majlis Tertinggi berusaha dan berikhtiar menggariskan langkah-langkah untuk memantau urusan pemilihan pimpinan parti, dari peringkat cawangan membawa ke bahagian, hinggalah ke peringkat pimpinan Pergerakan-Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta Majlis Tertinggi. Setiap kali pemilihan diadakan, perwakilan membangkitkan suara menentang politik wang. Majlis Tertinggi diminta mengambil tindakan.
73. Segala langkah yang diambil oleh Majlis Tertinggi adalah pendekatan terbaik yang dapat kami fikirkan. Ianya mungkin belum yang terbaik. Namun, hakikatnya, disiplin diri datangnya dari dalaman. Tarikan yang terdorong oleh nafsu hanya dapat dikawal oleh fikiran yang rasional dan hati yang tulus. Betapa ruginya parti, kekuatan persepakatan yang kita padukan semasa menghadapi pilihanraya umum, kini bagaikan retak kerana proses pemilihan pemimpin parti. Surat layang kembali tersebar, fitnah kembali ditabur. Insaflah, dalam tempoh lima tahun dari sekarang, kita akan kembali menghadapi rakyat. Kita akan ditentang di setiap tempat oleh calon-calon parti lawan. Pemimpin dan ahli UMNO yang telah kita lukakan – yang telah kita calarkan, akan mempunyai parut. Mungkin kerana perbuatan kita, ada di antara rakan-rakan kita yang menjadi tempang – ada pula yang telah dicacatkan. Tidakkah kerana perbuatan kita hari ini, boleh menjadi punca kelemahan kita lima tahun dari sekarang.
74. Begitu mudah kita melupakan keadaan genting yang kita hadapi dalam pilihanraya umum 1999. Maruah parti baru kita tebus pada pilihanraya umum baru lalu. Malah terlalu baru untuk membolehkan kita mula bersengketa. Kita tidak akan hidup selamanya. Sebagai umat Islam setiap perbuatan kita disaksikan malaikat. Orang Islam itu adalah saudara mu. Ahli-ahli UMNO itu adalah rakan seperjuangan mu. Elaklah perbuatan yang boleh memberatkan timbangan dosa. Murnikanlah hati untuk menambahkan timbangan pahala.
75. Tanyalah pada hati, putuskanlah dengan pemikiran rasional, landaskanlah pertimbangan berasaskan matlamat untuk kebaikan parti – untuk kepentingan perjuangan. Pilihlah barisan pemimpin yang dapat bergerak secara kolektif memperkukuhkan parti, barisan pemimpin yang dapat memperjuangkan agama, negara, bangsa dan parti, barisan pemimpin yang dapat membawa UMNO, bangsa, negara dan agama mencapai puncak persada perjuangan.
76. Pilihlah barisan anggota Majlis Tertinggi dari kalangan orang-orang yang berwibawa lagi beramanah yang dapat memberikan pimpinan yang baik. Mereka yang kita pilih hendaklah memiliki keupayaan menjadi pemimpin nasional yang dihormati di dalam UMNO, pemimpin nasional yang disegani oleh parti-parti komponen BARISAN NASIONAL, pemimpin nasional yang diterima oleh rakyat. Keputusan pemilihan bukan hanya untuk memberi kemenangan kepada mana-mana individu, mana-mana kumpulan atau mana-mana negeri. Keputusan pemilihan ini hendaklah memberi kemenangan kepada parti dengan memberi barisan kepimpinan yang berwibawa. Kita tidak mahu berlakunya keadaan, individu menang – tetapi UMNO kalah.
77. Saya dan Dato’ Sri Najib memerlukan bantuan dari satu pasukan kerja yang kuat di peringkat Majlis Tertinggi, dari kalangan mereka yang berpegang kuat kepada prinsip dan asas perjuangan, dari kalangan mereka yang bersemangat cekal – berjiwa kental. Mereka yang telah terbukti sanggup dan sedia berkorban untuk parti, untuk bangsa, untuk negara, untuk agama.
78. Sedarilah! bahawa tugas pemimpin itu amat berat. Tanggungjawab memimpin itu adalah satu amanah yang akan dinilai di dunia dan di akhirat. Manusia adalah makhluk yang telah berani mengambil tanggungjawab kepimpinan ini walaupun telah ditolak oleh makhluk-makhluk lain, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah surah al-Ahzab:72,
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya), dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan.”
79. Setiap seorang saudara-saudari hari ini memegang amanah – amanah dari ahli parti – amanah bangsa. Penentuan yang dibuat oleh saudara-saudari akan mempengaruhi corak dan warna, barisan pemimpin yang akan membantu tugas-tugas saya dan Dato’ Sri Najib nanti. Penuhilah amanah itu secara jujur – secara bertanggungjawab. Semoga Allah SWT memberikan petunjuk supaya parti kita berada di bawah barisan pimpinan yang terbaik – barisan pemimpin yang dapat membawa perjuangan parti mendapat keredaan ILAHI.

“Dan katakanlah: Telah datang kebenaran dan hilang lenyaplah perkara yang salah; sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang telah lenyap.” (Al-Israa’:81)

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.”
(An-Nahl:125)
“Dan tidakkan sama (kesan dan hukumnya) perbuatan yang baik dengan perbuatan jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepada kamu) dengan cara yang baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.”
(Fussilat:34)
16. Kerana itu dakwah Islam diseru untuk disampaikan secara penuh hikmah, secara memberi peringatan, secara nasihat, secara seruan – disampaikan dengan baik melalui dialog dan pertukaran fikiran. Perjanjian Hudaibiyah adalah pengajaran besar yang wajib dijadikan petunjuk, betapa kejernihan hati nurani umat Islam di bawah pimpinan Rasulullah SAW yang berpegang kepada prinsip bahawa peperangan dan kekerasan bukan satu jalan pintas yang boleh membawa kejayaan. Kalimah-kalimah Allah yang terkandung di dalam Al-Quran disampaikan dengan penuh berhikmah, menyeru, menegur, memperingatkan dan menasihati manusia ke jalan kebaikan – jalan yang menuju kedamaian – jalan yang mendapat keredaan ILAHI.
Saudara-saudari
17. Islam Hadhari memberi tekanan kepada pembangunan. Pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan. Mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal. Mempertingkatkan mutu kehidupan dengan mengamalkan sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik. Pembangunan sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta bersedia menangani cabaran semasa dunia global.
18. Islam Hadhari bukanlah agama baru. Islam Hadhari bukan ajaran baru. Islam Hadhari bukannya mazhab baru. Islam Hadhari adalah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas – kepada fundamental. Asas dan fundamental menurut yang terkandung dalam Al Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan tamadun Islam. Islam Hadhari jika ditafsir secara ikhlas – jika difahami secara jelas, sama sekali tidak akan memesongkan mana-mana umat Islam dari asas akidah. Bukannya budaya UMNO untuk bermain dengan agama. UMNO tidak pernah membenarkan agama dijadikan alat. UMNO menentang tegas agama dipolitikkan. UMNO menentang keras jika Islam dijadikan alat – dijadikan instrumen yang boleh memesongkan akidah. Kerana itu UMNO memastikan bahawa Islam dan umat Islam senantiasa dilindungi. Atas kesedaran tersebut, UMNO ketika terlibat secara langsung menggubal Perlembagaan Persekutuan, memasukkan artikel-artikel tertentu mengenai Islam dan meletakkan Islam di bawah naungan bidang kuasa Ketua Negara dan Ketua Negeri.
19. Sebagai parti yang bertanggungjawab melindungi kesucian Islam dan memastikan umat Islam tanpa tergelincir akidah, akan dapat menghadapi cabaran dan realiti semasa, pintu ijtihad perlu terbuka supaya tafsiran yang diwarisi dapat dikaitkan dengan bentuk dan corak pembangunan mengikut masa – mengikut tempat. Adalah perlu diteliti semula pelbagai pendekatan dan kaedah untuk diperkemaskan supaya lebih seimbang dan menyeluruh, merangkumi pembangunan prasarana dan pembangunan ekonomi, diperkukuhkan dengan pembangunan manusia melalui program pendidikan yang komprehensif, diperlengkap pula dengan program pembangunan rohani untuk menyemaikan nilai-nilai murni dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan.
20. Islam Hadhari akan memastikan pencapaian sepuluh prinsip utama:
I. Keimanan dan ketakwaan kepada ILAHI
II. Kerajaan adil dan beramanah
III. Rakyat berjiwa merdeka
IV. Penguasaan ilmu pengetahuan
V. Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif
VI. Kehidupan berkualiti
VII. Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita
VIII. Keutuhan budaya dan moral
IX. Pemeliharaan alam semula jadi
X. Kekuatan pertahanan
21. Prinsip-prinsip ini adalah menurut acuan yang diadunkan supaya amalan dan pendekatannya tidak akan menimbulkan salah faham dan kebimbangan kepada mana-mana pihak dalam sebuah negara yang komposisi rakyatnya berbilang agama – berbilang kaum. Pendekatan yang digariskan juga adalah untuk memperkasakan umat Islam supaya berupaya menghadapi cabaran dunia semasa.
22. Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada pembangunan ekonomi dan tamadun yang menyeluruh – berupaya menjadi penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing bangsa Melayu. Warisan dan tamadun Islam yang memperlihatkan kejayaan cemerlang umat Islam dalam semua bidang perlu dijadikan rujukan dan sumber inspirasi memajukan bangsa Melayu.
23. Perubahan minda Melayu memerlukan satu tindakan secara menyeluruh, secara drastik, secara sistematik, dan tidak bersifat sektor atau partisan. Ini memerlukan satu perubahan tasawur (pandangan global) bangsa Melayu. Selaras dengan itu, konsep hidup sebagai pengabdian kepada Tuhan dan konsep kerja sebagai ibadah, manusia sebagai khalifah dan kewajipan mencapai kekuatan dalam semua bidang kehidupan perlu dititikberatkan, khususnya prinsip maqasid al Syariah adalah berkaitan dengan lima perkara seperti berikut:
I. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan agama
II. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan akal
III. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan nyawa
IV. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan harta
V. Menjaga, memartabatkan dan memperkasakan keturunan
24. Usaha yang konsisten hingga menghasilkan kejayaan yang berterusan perlu dirancang. Segala bentuk pemikiran yang mengelirukan dan tidak bersesuaian dengan kefahaman Islam perlu dikikis supaya pemikiran dan jati diri bangsa Melayu dapat dibentuk. Perubahan sikap dan budaya Melayu memerlukan peranan berijtihad dan berjihad. Konsep jihad perlu ditafsirkan secara lebih luas, meliputi aspek kehidupan manusia seperti menuntut ilmu, menguasai sains dan teknologi serta melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi. Peningkatan kualiti (itqan) dalam semua urusan dan kegiatan kehidupan merangkumi bidang pendidikan, penguasaan sains dan teknologi serta aktiviti-aktiviti ekonomi, hendaklah dijadikan budaya. Ijtihad membina ummah dalam zaman moden ini perlu diberikan perhatian dan diberikan pengiktirafan.
25. Bangsa Melayu perlu diberikan kefahaman Islam yang membolehkan bangsa menghayati dan mewarisi wawasan ketamadunan global (Rahmatan Lil’alamin) untuk membolehkan bangsa berperanan secara berkesan diperingkat global. Semangat persaudaraan (ukhuwah Islamiah) perlu dipupuk dan disemarakkan bagi menghasilkan rangkaian sosial yang mantap sebagai satu strategi ke arah meningkatkan daya saing Melayu. Bangsa Melayu perlu menghargai dan menghayati sifat berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak lain. Sikap dan nilai-nilai negatif bangsa Melayu diubah kepada nilai-nilai yang terkandung di dalam tasawwur Islam.
26. Bangsa Melayu perlu dijadikan masyarakat iqra dalam hasrat mahu membina kemampuan bangsa dari segi peningkatan penguasaan ilmu, kemahiran dan kepakaran. Tuntutan Islam mewajibkan umat menguasai ilmu dalam semua bidang perlu dihayati. Perlu diperbetulkan sebarang salah faham terhadap konsep ilmu agar tidak berlaku pemisahan antara ilmu sekular dengan ilmu agama. Bahawa penguasaan sains dan teknologi serta peningkatan kemahiran dan kepakaran merupakan sebahagian dari tuntutan Islam. Begitu banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang menyentuh soal penguasaan sains dan teknologi, yang perlu diberikan perhatian oleh bangsa Melayu. Sumbangan tamadun Islam dalam sains dan teknologi yang membawa kepada kelahiran renaissance di Eropah wajib diketahui oleh semua pelajar Islam. Usaha melahirkan saintis Melayu yang dapat menghasilkan penemuan-penemuan baru perlu diperbanyakkan.
Saudara-saudari
27. Melayu, UMNO dan Islam di negara ini tidak dapat dipisahkan. Ianya adalah satu cantuman yang telah membina satu budaya – satu bangsa – satu identiti. UMNO bertanggungjawab melalui perkataan – melalui perbuatan, mencerminkan imej – membina budaya Islam sebenar. Budaya yang mengimbangkan tanggungjawab dunia dengan tanggungjawab akhirat. Antara fardu kifayah dengan fardu ain. Bahawa tanggungjawab dunia yang dilakukan secara sempurna dengan niat ikhlas, InsyaAllah mendapat keredaan ILAHI, diterima sebagai amal yang dapat dijadikan bekalan untuk kehidupan di akhirat.
“Dan carilah apa yang telah dianugerahkan Allah kepada mu (kebahagian) akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagian mu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepada mu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.”
(al Qasas:77)
28. UMNO hendaklah membawa wadah perjuangan yang dapat membawa umat menghadapi dunia secara positif. Bahawa dunia adalah satu perjalanan yang harus dimanfaatkan dalam proses pengabdian manusia kepada Allah SWT dengan menyempurnakan tanggungjawab fardu kifayah secara sempurna – secara jujur – secara telus – secara amanah. Manusia tidak mungkin berjaya memanfaatkan dunia ini dengan baik jika sikap dan pandangannya terhadap dunia tidak tepat sebagaimana mestinya, kerana alam dan fenomenanya diciptakan dan ditundukkan oleh Allah SWT untuk manusia diturunkan sebagai khalifah. Kerana itu, amatlah penting untuk umat manusia itu diperlengkap dengan ilmu – dengan pengetahuan – dengan kemahiran, supaya membolehkan manusia menguasai dunia.
29. Amatlah penting umat Islam dipimpin memahami dan menghayati Islam sebagai sistem kehidupan menyeluruh untuk menggerakkan pembinaan satu tamadun. Kehidupan menyeluruh yang bijak mengimbangkan tanggungjawab dunia dengan tanggungjawab akhirat. Islam bukanlah satu ritual kerana ritualisme memberi tumpuan kepada akhirat semata-mata. UMNO juga tidak pernah bersifat sekularisme yang menolak akhirat dan memberi tumpuan kepada dunia semata-mata. Islam mestilah dihayati sebagai sistem yang mengintegrasikan kehidupan duniawi dan persiapan ukhrawi.
HUBUNGAN ANTARABANGSA
Saudara-saudari
30. Kita adalah sebuah negara yang aman lagi stabil. Kita adalah sebuah negara demokrasi yang berjaya mengamalkan sistem pilihanraya yang terbuka lagi telus. Kita menjadi negara Islam contoh, yang berjaya mengimbangkan pembangunan fizikal dengan pembangunan rohani. Kita merupakan negara pelbagai agama – pelbagai kaum yang menjadi contoh dari segi kejayaan memupuk perpaduan dan berkongsi kuasa politik. Kita adalah negara contoh dari segi pencapaian ekonomi dan kestabilan politik di kalangan negara membangun.
31. Dalam tempoh kurang setengah abad kita berjaya sampai ke peringkat kejayaan ini. Kejayaan yang mungkin merupakan satu impian kepada banyak negara di dunia ini. Untuk itu kita bersyukur ke hadrat ILAHI dan kita amat berterima kasih kepada rakyat yang senantiasa bersama kita, sepakat dalam fikiran – senada dalam bersuara – selangkah dalam tujuan – seiring dalam bertindak. Segalanya kita capai – kita peroleh bersama, mencipta kejayaan – mengukir sejarah, dalam semangat bulat muafakat – dalam semangat ringan dijinjing, berat dipikul. Segalanya kita capai – kita peroleh, bersandarkan prinsip kemanusiaan – bertiangkan keadilan – berlandaskan kebenaran – bernaungkan bimbingan ILAHI. Kita berpegang dan terus berpegang kepada keyakinan bahawa Allah SWT akan melimpahkan rahmat dan perlindungan kepada hamba-hambaNya yang beriman dan bertakwa, berusaha lagi bersyukur.
32. Tahap pencapaian ini telah meningkatkan keyakinan dunia kepada kita, lalu kita serentak diberikan peranan penting – diberi kepercayaan menjadi Pengerusi kepada Persidangan Negara-Negara Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Kita menerima amanah – kita menerima tanggungjawab ini. Kita bersyukur dengan penghormatan ini – kita menghargai kepada sokongan yang diperolehi. Pengharapan tinggi diletakkan kepada kita dalam memenuhi peranan sebagai Pengerusi OIC dan NAM.
33. Perpaduan di kalangan anggota-anggota OIC perlu diusahakan. OIC secara kolektif perlu membersihkan prasangka buruk yang dilukiskan terhadap umat Islam di seluruh dunia. Masyarakat antarabangsa hendaklah berhenti dari mewarnakan Islam dengan keganasan, kemiskinan dan kemunduran. OIC perlu menangani unsur-unsur pertentangan yang semakin menimbulkan kerenggangan hubungan antara Islam dengan dunia barat. Pada masa yang sama, tahap kemajuan dan pembangunan di kalangan anggota NAM perlu ditingkatkan. Potensi kerjasama yang dapat dijalinkan untuk membantu perkembangan dan pembangunan ekonomi di kalangan anggota NAM perlu diterokai secara optimum.
34. Dengan rasa penuh tanggungjawab kita berazam untuk memenuhi amanah tersebut sebaik mungkin, berpandukan petunjuk dari ILAHI serta bersandarkan persefahaman – berlandaskan persepakatan dari negara-negara anggota. Kita berazam meningkatkan hubungan kerjasama OIC dan NAM, terutama dalam bidang-bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan. Kita akan perkukuhkan OIC dan NAM menjadi organisasi yang lebih mantap di pentas politik antarabangsa. Kita yakin OIC yang bersatu – NAM yang bersatu, OIC dan NAM yang maju lagi membangun, merupakan satu tenaga – satu ‘force’ yang boleh mencorakkan dunia lebih aman, lebih tenteram, lebih stabil, lebih makmur. Kita akan terus berusaha meningkatkan kesedaran dan fahaman dunia betapa pentingnya di rangka agenda antarabangsa untuk membasmi kemiskinan di peringkat global.
35. Isu Palestin yang masih belum selesai merupakan isu sentral yang perlu dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia dan komuniti global. Kita akan terus berusaha dan bersuara, mencari sebaik penyelesaian, penyelesaian yang adil dan berkekalan berhubung Palestin, selaras dengan Roadmap Quartet untuk Palestin yang telah dipersetujukan. Masyarakat antarabangsa harus sama-sama membela hak rakyat Palestin untuk memiliki sebuah negara berdaulat lagi merdeka dengan ibu negaranya terletak di Al Quds Al Shariff (Jerusalem).
36. Kita mahukan dunia yang aman – dunia yang damai. Malaysia akan terus merintis usaha untuk memastikan dunia yang lebih aman – dunia yang lebih damai. Bahawa orde dunia yang aman dan damai hanya dapat diwujudkan apabila ia dilandaskan kepada beberapa prinsip utama:
I Menghormati undang-undang dan institusi antarabangsa
II Menghormati kedaulatan kemerdekaan sesebuah Negara
III Menyelesaikan pertikaian secara rundingan
IV Tidak menggunakan kekerasan melainkan dengan mendapat restu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
V Mengagihkan kekayaan secara saksama demi kebahagian manusia sejagat
37. Dasar luar Malaysia berpegang dan akan terus berpegang kepada gagasan yang mengutamakan kepentingan nasional kita. Malaysia tidak mempunyai sebarang ideologi untuk dieksport. Malaysia juga tidak ada agenda sulit untuk dilaksanakan di mana juga tempat di dunia ini. Malaysia kekal mempertahankan dasar luar yang bebas lagi berkecuali. Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara lain untuk memajukan persekitaran serantau dan persekitaran antarabangsa yang stabil lagi aman. Untuk membangunkan dan memakmurkan negara, Malaysia tidak mungkin melaksanakannya secara bersendirian. Kita perlu membina rangkaian kerjasama dengan negara-negara lain. Malaysia perlu meningkatkan diplomasi ekonominya, bukan sahaja di peringkat bilateral malah di peringkat serantau dan di peringkat global.
38. Kita akan meneruskan jalinan dengan negara-negara di dunia dan akan saling bekerjasama dalam usaha mencapai matlamat perjuangan yang sama. Kita mengutamakan kemakmuran serantau. Untuk itu kita cekal berusaha meningkatkan persefahaman kerjasama dengan negara-negara ASEAN berteraskan semangat asal penubuhan ASEAN untuk mewujudkan sebuah rantau yang aman, stabil lagi berkecuali. Malaysia akan meningkatkan usaha memperteguh ASEAN dan memperkukuhkan kedudukannya di arena antarabangsa. Kita akan mempertingkatkan usaha untuk memastikan ASEAN mencapai tahap integrasi politik dan integrasi ekonomi dalam usaha membina komuniti ASEAN. Secara bersungguh Malaysia akan menerokai segala usaha diplomasi memastikan terjalinnya perkongsian yang lebih bermakna antara negara-negara ASEAN dengan tiga negara Asia Timur – Cina, Jepun dan Republik Korea, dengan tujuan untuk Sidang Kemuncak Asia Timur dapat dilangsungkan.
39. Kita berazam menjadikan Asia Timur kawasan yang maju dan makmur. Kita berusaha ke arah membentuk Asia yang aman dan stabil. Kita kekal mengamalkan pemikiran terbuka merangkaikan hubungan diplomasi yang bermakna dari segi politik, ekonomi, perdagangan dan kebudayaan dengan semua negara selagi dasar saling menghormati terus diamalkan. Bahawa kedaulatan dan kemerdekaan setiap negara perlu dihormati. Bahawa corak pemerintahan sesebuah negara adalah milik warga di negara berkaitan untuk menentukannya.
40. Dunia memerlukan persekitaran lebih conducive untuk memungkinkan orde antarabangsa yang lebih adil dan saksama dapat diwujudkan. Dunia tentunya merasa bimbang dalam keadaan terdapat satu kuasa besar sahaja yang melakukan dominasi ketenteraan, dominasi ekonomi, dominasi politik dan dominasi budaya. Dunia akan menjadi lebih aman dan lebih makmur jika kekayaan dapat diagihkan secara lebih saksama – jika penindasan politik, penindasan ketenteraan, penindasan ekonomi dan penindasan perdagangan dapat dihentikan. Kekayaan dunia perlu diagihkan secara seimbang – perdagangan dunia perlu berbentuk lebih saksama. Kekayaan perlu digunakan untuk membantu membangunkan ummah dunia dari segi perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan kebajikan. Kita mahukan sebuah dunia yang memberi keadilan kepada yang lemah, yang lemah diberikan peluang, yang lemah merasakan ada harapan meningkatkan taraf sosial dan taraf ekonomi mereka. Kita akan berusaha ke arah yang dapat merapatkan jurang antara negara mundur dengan negara maju.
41. Dunia menjadi lebih bahagia dan pastinya memberi keselesaan kepada negara-negara maju, apabila manusia sejagat dapat diseimbangkan pencapaian mereka dari segi sosial dan dari segi ekonomi. Dunia tidak seharusnya dipisahkan sebagai negara maju dan negara mundur, negara kaya dan negara miskin, negara utara dan negara selatan, negara timur dan negara barat, negara Islam dan bukan Islam. Dunia bukan galeri untuk mempamerkan peralatan perang. Dunia bukannya padang sasar untuk menguji kehebatan senjata. Allah SWT tidak mencipta dunia untuk dimusnahkan oleh manusia.
42. Kita akan terus memainkan peranan dalam arus perdana hubungan antarabangsa. Kita akan berusaha memperkukuhkan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjadi satu badan dunia yang kekal berkecuali, bebas, adil dan saksama, diterima dan dihormati serta mendapat kepercayaan semua negara. Adalah menjadi hasrat kita supaya PBB dapat berfungsi secara lebih bermakna dan lebih berkesan, lebih representatif sifatnya kepada realiti dunia semasa. PBB perlu diberikan kuasa bukan sahaja untuk menjamin keselamatan dan keamanan dunia, malah dapat menjamin kedaulatan kemerdekaan dan keutuhan wilayah sesebuah negara. PBB perlu diberikan peranan yang sewajarnya untuk memerangi keganasan.
43. Keganasan yang mensasarkan orang awam sebagai mangsa perlu ditentang secara tegas. Keganasan yang dilakukan oleh mana-mana pihak, baik oleh negara atau oleh mana-mana kumpulan militan tidak dapat diterima. Istilah “jihad” tidak harus disalahgunakan – tidak harus diselewengkan tafsirannya untuk menghalalkan keganasan. Perbuatan sedemikian hanya mencemarkan kesucian ajaran Islam. Islam sama sekali tidak menghalalkan keganasan. Keganasan jika dibiarkan akan membiakkan kezaliman yang tidak akan membawa sebarang faedah.
44. Dalam usaha membendung keganasan, isu-isu utama yang menyentuh rakyat di negara atau wilayah tertentu perlu diselesaikan secara adil. Malaysia akan terus berusaha mempengaruhi pendirian negara-negara Barat khususnya, supaya meneliti semula dan mengubah dasar-dasar mereka di Asia Barat. Pendirian mereka terhadap isu Palestin, dan tindakan-tindakan melampau negara-negara tertentu melanggar undang-undang antarabangsa seperti serangan ke atas Iraq, adalah antara faktor yang menyebabkan keganasan terus berlaku.
45. Kita menyokong supaya pembangunan Iraq pasca serangan luar dilaksanakan sepenuhnya di bawah pengawasan PBB. Kita akan aktif membantu usaha di bawah naungan PBB untuk memulihkan Iraq. Iraq adalah sebuah negara yang mempunyai nilai sentimental kepada umat Islam di seluruh dunia. Iraq bukan sahaja sebuah negara bangsa yang pernah merdeka dan berdaulat tetapi mempunyai kekayaan – memiliki kepakaran. Iraq adalah satu tamadun, satu simbol kehebatan Islam. Baghdad adalah sebuah kota yang pernah melahirkan ulama dan cendekiawan Islam dalam pelbagai bidang. Baghdad adalah kota ilmu – gedung yang menghasilkan dan khazanah yang menyimpan tamadun berharga. Segalanya telah musnah – segalanya telah hancur. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama negara-negara Islam lain, memainkan peranan aktif, membantu proses pembangunan semula Iraq. Jika negara-negara Islam tidak tampil ke hadapan untuk berperanan aktif membantu pembangunan semula Iraq, dibimbangkan Iraq akan dibangunkan melalui pengaruh dan acuan orientalis barat.
PERJUANGAN BANGSA
Saudara-saudari
46. Kita bersyukur dan amat bersyukur atas segala nikmat dan rahmat. Namun kejayaan tidak akan kekal selamanya. Kejayaan akan tinggal dalam sejarah sebagai cermin lama untuk memapar wajah tua, jika kita gagal menghadapi cabaran semasa – cabaran yang senantiasa berubah, cabaran baru yang menuntut kepada pendekatan baru. Cabaran baru membawa gelombang baru yang perlu direnangi dengan azam dan tekad, dengan kesungguhan dan ketabahan.
47. Dunia global mencabar bangsa Melayu untuk berjiwa global, bangsa Melayu yang memahami senario global, bangsa Melayu yang dapat mengharungi gelombang global. Bangsa Melayu berilmu – berpengetahuan, menguasai kemahiran – menguasai teknologi. Bangsa Melayu yang berupaya bersaing – berupaya merangkaikan hubungan dengan bangsa-bangsa lain di dunia – yang setanding – berdiri sama tinggi – berlari sama pantas. Bangsa Melayu yang berupaya berkomunikasi dan berinteraksi melalui bahasa yang difahami oleh masyarakat global, misalnya Bahasa Inggeris. Bahasa yang memudahkan hubungan perdagangan dijalinkan secara efisien, bahasa yang dapat memudahkan penyebaran dan penguasaan ilmu secara berkesan.
48. Ahli-ahli UMNO perlu faham akan impak era baru ekonomi global kepada bangsa Melayu. Kita mahu menjadi bangsa yang maju, kita mahu Malaysia yang maju. Kita tidak dapat mengelak daripada bersaing dengan negara-negara maju dan negara-negara yang sedang meningkat maju. Kita perlu faham di peringkat global, tidak mungkin tergubal satu dasar khusus untuk membantu bumiputera. Ekonomi global tidak mengenali istilah kuota. Tidak akan disediakan projek khas untuk bumiputera. Kamus ekonomi global hanya mengiktiraf istilah-istilah seperti persaingan, kompetitif, produktiviti, inovasi, kreativiti, keaslian, kecekapan dan kecemerlangan.
49. Globalisasi dan liberalisasi menimbulkan cabaran kepada negara dan menimbulkan cabaran lebih besar kepada bumiputera. Kini kuasa pasaran berperanan lebih penting dan menjadi penentu. Mereka yang gagal bersaing akan kecundang. Tidak ada payung yang dapat memberikan perlindungan melainkan daya saing yang sedia terbina dalam urus niaga sesuatu kumpulan. Ekonomi global telah bergerak dari ekonomi berbentuk pengeluaran kepada ekonomi berpaksikan pengetahuan. Keuntungan tidak sekadar bersumberkan barangan yang dihasilkan tetapi melalui idea, melalui penciptaan dan melalui perisian yang menjadi hak milik. Era baru ekonomi global menggunakan kayu ukuran – menggunakan dacing timbangan di peringkat global. Pengeluar barangan dari Kangar hingga ke Johor Baru, dari Klang hingga ke Tawau, perlu bersaing dengan pengeluar di Shanghai, di Tokyo, di Bangalore, di Los Angeles, di Johannesburg, di Milan dan di Sydney.
50. Dalam menghadapi cabaran global ini, langkah-langkah pengukuhan kerajaan dalam melaksanakan dasar untuk meningkatkan daya saing bumiputera perlulah dihalakan kepada sektor perkhidmatan dan sektor-sektor yang mempunyai nilai ditambah (value add) yang tinggi di samping mengenal pasti sumber pertumbuhan baru ekonomi. Kaedah pengeluaran berteknologi tinggi perlu diterokai, bukan sahaja di bidang perkhidmatan dan pembuatan tetapi dalam bidang pertanian dan bidang-bidang ekonomi prima. Begitu ramai orang Melayu luar bandar yang berkecimpung dalam sektor pertanian. Namun usaha mereka terbatas kepada hasil pertanian mentah dan belum proses. Satu pendekatan pertanian lebih produktif dan radikal perlu dilakukan segera sebagai salah satu pendekatan untuk menjadikan bidang pertanian memiliki nilai ekonomi tinggi.
51. Dalam kelajuan melaksanakan langkah pengukuhan untuk membantu bumiputera di era Dasar Ekonomi Baru, kita lebih menumpukan kepada kuantiti. Membantu seramai boleh bumiputera dalam usaha menyusun semula struktur ekonomi dan struktur sosial masyarakat supaya lebih seimbang di antara kaum. Usaha yang dilaksanakan memperlihatkan tanda-tanda positif di peringkat awal. Usaha meningkatkan pegangan ekuiti dan pemilikan harta bumiputera menampakkan hasil. Semasa Dasar Ekonomi Baru dilancarkan dalam tahun 1970, pegangan ekuiti bumiputera berada pada tahap 2.4 peratus, berjaya meningkat kepada 19.3 peratus pada tahun 1990. Nilai pegangan ekuiti bumiputera meningkat secara ketara dari 477 juta ringgit pada tahun 1970 kepada 20.9 bilion ringgit pada tahun 1990 dan berada pada tahap 73.2 bilion ringgit pada 2002. Peningkatan pegangan ekuiti bumiputera adalah hasil dari pelbagai usaha Kerajaan dengan menubuhkan syarikat-syarikat pelaburan dan saham amanah seperti Permodalan Nasional, Lembaga Urusan Tabung Haji dan sebagainya. Namun jangka masa dua puluh tahun masih tidak mencukupi untuk menghasilkan sasaran 30 peratus pegangan ekuiti bumiputera. Di sebaliknya, timbul kebimbangan apabila pegangan ekuiti bumiputera menguncup ke paras 18.7 peratus pada tahun 2002, penurunan 0.6 peratus.
52. Dasar Ekonomi Baru, disusuli dengan Dasar Pembangunan Negara telah berjaya menghasilkan golongan profesional, saintis dan teknologis di kalangan bumiputera. Jumlah profesional bumiputera berada di tahap 21 peratus pada tahun 1990 telah meningkat ke paras 30 peratus pada akhir tahun 2002. Sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan kadar kemiskinan keseluruhan di Malaysia dapat dikurangkan dari 52 peratus pada tahun 1970 kepada 5 peratus pada tahun 2002. Kadar kemiskinan penduduk luar bandar telah menurun dari 59 peratus pada tahun 1970 kepada 11 peratus pada tahun 2002. Pendapatan purata isi rumah Malaysia meningkat dari 660 ringgit sebulan pada tahun 1970 ke 2,966 ringgit pada tahun 2002.
53. Walaupun dasar-dasar yang diperkenalkan telah mempertingkatkan status ekonomi bumiputera, kejayaan sepenuhnya masih belum tercapai. Pencapaian secara keseluruhan masih di peringkat mutlak dan bukan dari segi relatif. Kita masih melihat bahawa pendapatan isi rumah bumiputera berada di bawah pendapatan isi rumah kaum Cina. Golongan profesional bumiputera telah bertambah, tetapi jumlah profesional bukan bumiputera masih berada di hadapan.
54. Dalam keghairahan hasrat melaksanakan dasar untuk membantu bumiputera, didapati kita kurang memberi perhatian kepada aspek kualiti. Perlaksanaannya lebih mengutamakan jumlah tetapi kurang menitikberatkan faktor membina keupayaan dan nilai ditambah. Bumiputera lalu digambarkan sebagai kurang berdaya saing – kurang daya ketahanan. Pelbagai pihak telah menyeru supaya dilakukan satu anjakan sikap, satu revolusi mental bagi bumiputera. Bumiputera diseru supaya lebih berdikari, lebih mementingkan ilmu pengetahuan, lebih gigih berusaha, lebih kuat bekerja.
55. Revolusi mental ditegaskan amat penting dalam menghadapi dunia yang semakin kompetitif. Ekonomi negara kini menghadapi tekanan dari luar, seperti WTO dan AFTA, produk dan perkhidmatan kita menghadapi persaingan dari negara lain. Jika kita lambat menukar sikap – jika kita gagal meningkatkan daya saing, kita akan terus kehilangan pelaburan, kehilangan pekerjaan dan kehilangan peluang perniagaan kepada negara lain yang lebih efisien dengan kos pengeluaran yang lebih kompetitif.
56. Keadaan bumiputera yang masih tertinggal ini bukanlah satu kesedaran baru – bukan satu penyataan radikal. Majoriti bumiputera sedar akan keadaan ini dan kebimbangan mereka akan keadaan yang tempang ini. Ramai yang bertanggapan bahawa masalah bumiputera berpunca dari minda dan sikap. Bumiputera pula tidaklah menidakkan tanggapan ini. Sebenarnya, terdapat percanggahan di dalam pelbagai hujah dan pandangan. Ramai bumiputera menyeru supaya kita berubah sikap untuk membolehkan kita berdikari dan lebih berdaya saing, tetapi dalam nafas yang sama, tuntutan mahu diperbanyakkan bantuan, mahu diperluaskan perlindungan, terus disuarakan. Bumiputera dirasakan masih lemah dan belum bersedia menghadapi pasaran terbuka.
57. Bumiputera sedar bahawa dirinya bertongkat dan berhasrat mahu berjalan tanpa tongkat, tetapi masih berasa takut untuk membuang tongkat. Kerana kebimbangan ini, kembali berputik kecenderungan terhadap pendekatan lama, mencari jalan pintas dengan menyalahkan orang. Jika kecenderungan ini terus dibiarkan hidup subur, bumiputera berkemungkinan bertambah lemah, dari jalan bertongkat dibimbangkan menjadi semakin tidak upaya bersaing hingga satu hari nanti lumpuh dan perlu ditolak di kerusi roda.
58. Saya memahami kebimbangan yang dihadapi oleh bumiputera. Saya berpegang teguh kepada matlamat utama UMNO diwujudkan. UMNO diwujudkan untuk memperjuangkan hak bangsa Melayu. Saya berpegang teguh kepada agenda nasionalis bangsa Melayu. Adalah penting untuk kita berfikir secara kritikal dan menggariskan strategi perjuangan menghadapi globalisasi dunia. UMNO tidak harus membiarkan Melayu menerima sikap mengalah – sikap defeatis, sikap yang mengandaikan bahawa Melayu sememangnya ditakdirkan menjadi lemah sepanjang hayat.
59. Perjuangan terhadap hak dan nasib Melayu adalah perjuangan untuk memartabatkan bangsa. UMNO bertanggungjawab menolong bangsa Melayu menjadi lebih kuat, lebih upaya, lebih yakin, lebih berani. UMNO akan berusaha untuk membantu anak-anak Melayu mencapai prestasi akademik yang tinggi di sekolah dan di pusat pengajian tinggi. UMNO akan terus mendorong supaya pekerja dan profesional Melayu yang mendapat jawatan tinggi diasaskan kepada prestasi. UMNO akan membantu kemajuan usahawan dan perniagaan bumiputera. Tetapi dalam usaha tersebut UMNO harus menyediakan minda bangsa yang berupaya menghadapi realiti persekitaran perjuangan sebenar.
60. Jika kita jujur dengan diri, kita akan menerima hakikat bahawa tiada kekuatan hakiki bagi mereka yang memperoleh sesuatu dengan terlalu mudah. Tidak akan ada harga diri bagi mereka yang mendapat jawatan, peluang perniagaan atau biasiswa tanpa usaha dan keupayaan sebenar. Jika kita gagal membina daya saing bangsa, akhirnya kita akan menjadi bangsa yang kalah dan mengalah. Orang Melayu akan senantiasa dipandang rendah, orang Melayu akan terus merasa tidak yakin, orang Melayu akan dilihat sebagai beban oleh orang lain.
61. Kekuatan Melayu tidak seharusnya terbatas dengan kekuatan politik semata-mata. Kekuatan politik Melayu tidak mungkin dapat bertahan tanpa berakar kukuh dengan penguasaan ilmu, penguasaan kemahiran dan direndang dengan dahan-dahan penguasaan ekonomi, penguasaan sains dan penguasaan teknologi. Kuasa politik Melayu tanpa akar kekuatan sebenar begitu rapuh, begitu mudah ditumbangkan, malah begitu mudah digadai dan didagangkan. Kekuatan Melayu hendaklah diasaskan kepada harga diri. Kekuatan politik yang kita miliki hari ini hendaklah kita gunakan secara bijaksana untuk menggerakkan keupayaan bangsa supaya UMNO tidak lagi dilihat menjadi jurubicara dan pemudah cara kepada bangsa yang lemah.
62. Perangkaan menunjukkan bahawa prestasi ekonomi bukan bumiputera tumbuh lebih pesat. Ini bermakna semasa ekonomi berkembang pada kadar 8 peratus setahun pada awal tahun 1990an, bukan bumiputera dapat memanfaatkan pertumbuhan tersebut secara cekap dan bijak. Penurunan peratus pencapaian bumiputera secara relatif berpunca dari dua sebab. Pertama, kaum-kaum lain nyata lebih tekun berusaha dengan meletakkan fokus yang tepat lalu membolehkan mereka memiliki daya pecutan lebih laju, meletakkan mereka melonjak ke hadapan, di samping memiliki stamina untuk kekal lama dalam litar urus niaga. Kedua, yang lebih membimbangkan, kaum bumiputera tidak mempunyai daya bertahan yang lama, di samping berlakunya ketirisan kepada apa yang diperuntukkan sebagai pegangan bumiputera.
63. Bangsa Melayu perlu di ingatkan untuk kembali menghayati nilai-nilai murni yang menjadi sebahagian dari budaya bangsa. Budaya yang telah berjaya membina kekuatan dan tamadun bangsa. Kayakan bangsa dengan ilmu supaya mereka menjadi Melayu yang bijaksana,
Timang tinggi- tinggi, sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi, sudah pandai baca kitab.
64. Bangsa Melayu adalah bangsa yang tekun – bangsa yang rajin berusaha seperti yang terkandung dalam pepatah, ‘sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain’, ‘jika tidak dipecahkan ruyung di mana akan dapat sagunya’. Bangsa Melayu menyedari hakikat bahawa kesenangan tidak datang secara mudah, bahawa perlunya ‘berjagung-jagung dahulu sementara menanti padi masak’, ‘berakit ke hulu – berenang ke tepian, bersakit dahulu – bersenang kemudian’, bahawa kekayaan itu perlu diusahakan secara tekun – secara gigih dan tidak berlaku secara mendadak, ‘sikit-sikit lama-lama menjadi bukit’. Bangsa yang pada keseluruhannya sedar akan pentingnya amalan berhati-hati demi menjamin survival di hari muka, ‘Jangan curahkan air tempayan bila mendengar guruh di langit’ Akan baiknya membuat persiapan untuk menghadapi kemungkinan, lalu ‘sediakan payung sebelum hujan’.
65. Tetapi! Apabila terdapatnya segelintir Melayu lebih terpengaruh kepada nilai-nilai negatif, maka rosaklah bangsa. Lalu terdapat Melayu yang ‘sedia papa untuk bergaya’, terdapat Melayu yang bersifat ‘pagar makan padi’, ada yang mengharap kepada ‘bulat datang menggolek – pipis datang melayang’. Ada yang mengharap ‘bulan jatuh ke riba’. Sedarlah! ‘Si pungguk boleh terus merindukan bulan tetapi bulan tidak pernah jatuh ke riba’. Akhirnya pungguk merindu yang semakin pupus. Bulan tetap beredar di langit.
66. Kerana adanya Melayu yang terpengaruh dengan nilai-nilai negatif tersebut, terbinalah budaya kerja yang songsang, mengharapkan hasil lumayan tanpa mahu memeras otak – memerah keringat. Budaya kerja yang songsang ini bertanggungjawab kepada berlakunya ketirisan ekonomi yang diperuntukkan kepada bumiputera. Lalu segala usaha yang dicurahkan bagaikan menuang air ke pasir. Sebanyak mana sekalipun dituang, akan meresap ditelan bumi. Kerana adanya segelintir Melayu yang bersifat demikian, imej keseluruhan bangsa Melayu tercemar, kerana yang lain bagaikan terpalit lumpur – kerana putih susu di belanga beralih warna disebabkan nila setitik.
67. Jika kita benar-benar berhasrat membangunkan bangsa Melayu yang dihormati, kita wajib berusaha. Sekaranglah masanya untuk membina keupayaan dan daya saing Melayu. UMNO harus berusaha melahirkan lebih ramai tokoh Melayu yang setanding pemikiran dan kemahirannya dengan tokoh-tokoh di dunia global, sehingga terkumpul ‘critical mass’ yang dapat mencerminkan kejayaan bangsa secara tulen.
UMNO
Saudara-saudari
68. UMNO adalah parti politik terbesar di negara ini. Apa juga dasar yang ditetapkan oleh UMNO memberikan impak kepada seluruh warga Malaysia, malah mendapat perhatian dari negara-negara jiran dan juga dunia antarabangsa. Realiti masyarakat pelbagai agama – pelbagai kaum menuntut budaya saling menghormati – saling memahami di kalangan warga. Perpaduan warga yang berbilang agama – berbilang kaum adalah penentu kepada kestabilan politik, keamanan dan keharmonian negara. UMNO dan pimpinan UMNO hendaklah peka kepada isu-isu sensitif yang menyentuh agama, kaum, budaya dan bahasa. UMNO selama ini telah menunjukkan contoh terbaik. Kerana itu UMNO diterima oleh parti-parti komponen BARISAN NASIONAL untuk memimpin mereka dan UMNO diterima rakyat jelata untuk memimpin negara.
69. UMNO berperanan dan diterima sebagai peneraju pucuk pimpinan politik negara. Sekali gus kita menjadi peneraju kepada kerajaan yang diamanahkan kuasa oleh rakyat di negara ini. Di samping memimpin perjuangan bangsa Melayu, UMNO adalah juga untuk pemimpin warga Malaysia pelbagai agama – pelbagai kaum. Sesungguhnya rakyat telah memberi kepercayaan kepada parti kita untuk sekali lagi menubuhkan kerajaan. Rakyat meletakkan harapan untuk kita terus membawa kemajuan supaya negara kekal aman, lebih makmur dan bertambah padu.
70. Oleh itu UMNO harus mengamalkan satu bentuk etika dan disiplin di dalam parti untuk menjadi sebuah parti yang benar-benar dihormati dan disegani. UMNO tidak harus bermegah dengan angka keahlian yang ramai jika ahli-ahli di dalam UMNO tidak dapat mendukung nama baik UMNO. UMNO perlu tegas – UMNO tidak akan berkompromi dengan ahli-ahli yang merosakkan nama UMNO. Apatah lagi di kalangan mereka yang pernah mencerca, menghina dan menderhaka kepada UMNO. UMNO tidak harus membenarkan mana-mana pihak sekalipun memperalatkan UMNO untuk dijadikan tangga bagi melonjakkan mana-mana orang perseorangan.
71. Kekuatan UMNO adalah himpunan kekuatan tenaga bangsa secara kolektif, tenaga dan semangat dari ahli-ahli yang setia kepada parti, ahli-ahli yang mengabdikan diri berkhidmat untuk parti dan atas nama parti, sama ada yang menyandang jawatan, diberi pangkat, mahupun sebagai ahli biasa. UMNO akan menjadi parti yang lemah dan tidak mempunyai kekuatan secara berkesinambungan, jika, kekuatan parti disandarkan kepada mana-mana orang perseorangan. Tidak ada pemimpin – tidak ada individu yang akan kekal hidup selama-lamanya. Pemimpin datang dan pergi. Yang kekal adalah UMNO. Kepimpinan UMNO memperkasakan parti. Kekuatan UMNO meneguhkan kepimpinan.
72. Atas keinsafan pentingnya dibina satu budaya parti yang penuh disiplin dan sebagai menyahut permintaan majoriti ahli-ahli UMNO, Majlis Tertinggi berusaha dan berikhtiar menggariskan langkah-langkah untuk memantau urusan pemilihan pimpinan parti, dari peringkat cawangan membawa ke bahagian, hinggalah ke peringkat pimpinan Pergerakan-Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta Majlis Tertinggi. Setiap kali pemilihan diadakan, perwakilan membangkitkan suara menentang politik wang. Majlis Tertinggi diminta mengambil tindakan.
73. Segala langkah yang diambil oleh Majlis Tertinggi adalah pendekatan terbaik yang dapat kami fikirkan. Ianya mungkin belum yang terbaik. Namun, hakikatnya, disiplin diri datangnya dari dalaman. Tarikan yang terdorong oleh nafsu hanya dapat dikawal oleh fikiran yang rasional dan hati yang tulus. Betapa ruginya parti, kekuatan persepakatan yang kita padukan semasa menghadapi pilihanraya umum, kini bagaikan retak kerana proses pemilihan pemimpin parti. Surat layang kembali tersebar, fitnah kembali ditabur. Insaflah, dalam tempoh lima tahun dari sekarang, kita akan kembali menghadapi rakyat. Kita akan ditentang di setiap tempat oleh calon-calon parti lawan. Pemimpin dan ahli UMNO yang telah kita lukakan – yang telah kita calarkan, akan mempunyai parut. Mungkin kerana perbuatan kita, ada di antara rakan-rakan kita yang menjadi tempang – ada pula yang telah dicacatkan. Tidakkah kerana perbuatan kita hari ini, boleh menjadi punca kelemahan kita lima tahun dari sekarang.
74. Begitu mudah kita melupakan keadaan genting yang kita hadapi dalam pilihanraya umum 1999. Maruah parti baru kita tebus pada pilihanraya umum baru lalu. Malah terlalu baru untuk membolehkan kita mula bersengketa. Kita tidak akan hidup selamanya. Sebagai umat Islam setiap perbuatan kita disaksikan malaikat. Orang Islam itu adalah saudara mu. Ahli-ahli UMNO itu adalah rakan seperjuangan mu. Elaklah perbuatan yang boleh memberatkan timbangan dosa. Murnikanlah hati untuk menambahkan timbangan pahala.
75. Tanyalah pada hati, putuskanlah dengan pemikiran rasional, landaskanlah pertimbangan berasaskan matlamat untuk kebaikan parti – untuk kepentingan perjuangan. Pilihlah barisan pemimpin yang dapat bergerak secara kolektif memperkukuhkan parti, barisan pemimpin yang dapat memperjuangkan agama, negara, bangsa dan parti, barisan pemimpin yang dapat membawa UMNO, bangsa, negara dan agama mencapai puncak persada perjuangan.
76. Pilihlah barisan anggota Majlis Tertinggi dari kalangan orang-orang yang berwibawa lagi beramanah yang dapat memberikan pimpinan yang baik. Mereka yang kita pilih hendaklah memiliki keupayaan menjadi pemimpin nasional yang dihormati di dalam UMNO, pemimpin nasional yang disegani oleh parti-parti komponen BARISAN NASIONAL, pemimpin nasional yang diterima oleh rakyat. Keputusan pemilihan bukan hanya untuk memberi kemenangan kepada mana-mana individu, mana-mana kumpulan atau mana-mana negeri. Keputusan pemilihan ini hendaklah memberi kemenangan kepada parti dengan memberi barisan kepimpinan yang berwibawa. Kita tidak mahu berlakunya keadaan, individu menang – tetapi UMNO kalah.
77. Saya dan Dato’ Sri Najib memerlukan bantuan dari satu pasukan kerja yang kuat di peringkat Majlis Tertinggi, dari kalangan mereka yang berpegang kuat kepada prinsip dan asas perjuangan, dari kalangan mereka yang bersemangat cekal – berjiwa kental. Mereka yang telah terbukti sanggup dan sedia berkorban untuk parti, untuk bangsa, untuk negara, untuk agama.
Sabda Rasulullah SAW
“ Sebaik-baik pemimpin dan pemerintah kamu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihi kamu. Mereka mendoakan untuk kamu dan kamu mendoakan untuk mereka. Manakala pemimpin kamu yang jahat pula ialah mereka yang kamu benci dan mereka membenci kamu. Kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu”
78. Sedarilah! bahawa tugas pemimpin itu amat berat. Tanggungjawab memimpin itu adalah satu amanah yang akan dinilai di dunia dan di akhirat. Manusia adalah makhluk yang telah berani mengambil tanggungjawab kepimpinan ini walaupun telah ditolak oleh makhluk-makhluk lain, sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah surah al-Ahzab:72,
“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya), dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara yang tidak patut dikerjakan.”
79. Setiap seorang saudara-saudari hari ini memegang amanah – amanah dari ahli parti – amanah bangsa. Penentuan yang dibuat oleh saudara-saudari akan mempengaruhi corak dan warna, barisan pemimpin yang akan membantu tugas-tugas saya dan Dato’ Sri Najib nanti. Penuhilah amanah itu secara jujur – secara bertanggungjawab. Semoga Allah SWT memberikan petunjuk supaya parti kita berada di bawah barisan pimpinan yang terbaik – barisan pemimpin yang dapat membawa perjuangan parti mendapat keredaan ILAHI.
STRATEGI
Saudara-saudari
80. Kita adalah sebuah negara demokrasi. Kita menghargai pemilihan rakyat dan menghormati hak rakyat menentukan kerajaan. Tidak ada sebab mengapa mana-mana golongan perlu bertindak di luar lingkungan demokrasi atau di luar batasan undang-undang. Ketika sebilangan negara di dunia dilanda pelbagai ancaman yang menggugat kestabilan mereka, Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman dan selamat. Kita dapat membangunkan negara dan menikmati kejayaan kerana kita senantiasa dirahmati dengan adanya keamanan dan kestabilan politik. Kita wajib menghargai nikmat ini dengan penuh kesyukuran.
81. Perjalanan kita masih jauh. Agenda pembangunan bangsa dan negara masih banyak. Kita tetap bersama rakyat menjayakan program pembangunan negara dan bangsa. Apa juga halangan dan rintangan atau rusuhan dan keganasan, akan kita hadapi dengan penuh ketegasan berlandaskan undang-undang.
82. Agenda Melayu adalah asas perjuangan kita. Agenda yang harus diperjuangkan secara berterusan. Kemerdekaan negara harus membawa erti kepada bangsa Melayu. Pencapaian seimbang dan saksama di kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera dengan kaum-kaum lain, adalah faktor penentu kepada sebuah negara yang stabil dan aman. Orang Melayu dan kaum bumiputera, akan menjadi lebih terbuka dan lebih bertoleransi sifatnya, jika, status sosial dan status ekonomi mereka berada di paras yang seimbang dengan kaum-kaum lain di negara ini.
83. Langkah-langkah pengukuhan masih perlu difikirkan tetapi perlu dilaksanakan dengan dimensi pendekatan untuk membina kekuatan bangsa menghadapi cabaran globalisasi. Agenda pembangunan bangsa hendaklah bertujuan untuk membina kapasiti bumiputera yang kompetitif. Bumiputera yang menghargai dan mengerti akan istilah meritokrasi. Bumiputera yang gigih berusaha untuk mencapai taraf yang dihormati, penghormatan yang disandarkan kepada merit.
84. Langkah-langkah pengukuhan perlu kita tumpukan untuk membina kapasiti bumiputera supaya dapat menguasai sesuatu secara berkekalan dan secara berpanjangan. Kita tidak lagi boleh meneruskan pendekatan memberi ikan tetapi kita perlu terus membantu membekalkan mata kail dan perahu, membekalkan pukat dan kapal, membekalkan kompas dan peta, supaya mereka sendiri berupaya mengharungi gelombang – dan bersedia mencari ikan di laut dalam. Percayalah! Yakinlah! Jika cabaran ini berani diambil, mereka akan mendapat ikan yang lebih besar atas usaha sendiri dari mengharap pemberian ikan yang telah berada di dalam kolam.
85. Sumber manusia bumiputera ini perlu ditingkatkan nilai ditambah mereka. Ilmu, pengetahuan dan kemahiran berperanan penting. Usaha meningkatkan kapasiti bumiputera untuk menguasai ilmu, menguasai pengetahuan dan menguasai kemahiran perlu dilipat gandakan. Oleh itu, usaha melahirkan lebih ramai profesional, teknokrat dan usahawan bumiputera yang berkualiti merupakan satu tanggungjawab yang wajib kita laksanakan, dan dilaksanakan dengan segera. Usaha membangunkan Masyarakat Sains dan Teknologi Bumiputera perlulah diberikan fokus dalam usaha membela nasib bangsa dan dalam hasrat mengimbangkan tahap pencapaian bumiputera dengan bukan bumiputera.
86. Usaha membasmi kemiskinan, sama ada kemiskinan mutlak mahupun relatif wajib ditingkatkan. Sektor pertanian berupaya memacu pertumbuhan ekonomi negara. Sektor pertanian yang maju memberi kesan langsung membangunkan ekonomi luar bandar. Majoriti petani yang berada di luar bandar terdiri dari orang-orang Melayu. Bertani adalah profesion kerja yang begitu sebati dengan masyarakat Melayu. Mereka memerlukan pembelaan agar taraf hidup mereka dapat ditingkatkan. Usaha-usaha akan diperhebat untuk membantu masyarakat tani meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan nilai ditambah kepada hasil pertanian mereka. Sektor pertanian perlu diperluas dan diperkasakan. Produktiviti petani perlu ditingkatkan dan pelbagai aktiviti hiliran ditambah nilai perlu diperbanyakkan. Industri kecil dan sederhana asas tani perlu dijayakan dengan penyertaan bumiputera seramai mungkin.
87. Langkah menyusun semula tenaga profesional perlu dilipat gandakan. Usaha-usaha secara lebih fokus perlu dirangka untuk meramaikan golongan menengah bumiputera supaya dapat menjadi pemangkin bagi memperbesarkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. Di samping syarikat milik kerajaan, sektor swasta milik bumiputera hendaklah menunjukkan contoh membantu merealisasikan pencapaian semangat Dasar Ekonomi Baru dengan memberikan peranan lebih signifikan kepada tenaga profesional dan usahawan bumiputera. Kepada syarikat-syarikat milik bukan bumiputera, saya mengingatkan supaya mereka sama-sama mendukung aspirasi nasional ini dengan memberi kepercayaan kepada tenaga kerja profesional bumiputera terutama di peringkat pengurusan tinggi.
88. Saya menyeru kepada bumiputera yang telah berjaya supaya tampil ke hadapan bersama membantu hasrat – bersama menyokong usaha untuk melahirkan lebih ramai masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera, masyarakat usahawan bumiputera, masyarakat profesional dan teknokrat bumiputera, masyarakat sains dan teknologi bumiputera. Jadikanlah hasrat ini sebagai satu aspirasi bersama bangsa Melayu – bangsa Melayu yang tidak redha melihat ayam kelaparan di kepuk, itik kehausan di air, anak di riba mati tak makan.
89. Melahirkan Masyarakat Sains dan Teknologi Bumiputera adalah satu keperluan kritikal. Untuk itu kaedah pendidikan yang menggalakkan kecenderungan kepada kreativiti dan penyelidikan hendaklah diberikan keutamaan. Pendidikan yang mengutamakan kualiti adalah satu kemestian. Pendidikan vokasional dan latihan kemahiran perlu dirangka selaras dengan perkembangan teknologi terkini.
90. Program pendidikan hendaklah holistik sifatnya. Di samping membekalkan ilmu, pengetahuan dan kemahiran, di samping membantu pembangunan intelek, ia juga bertanggungjawab membina insan secara menyeluruh dari segi pembangunan rohani, jasmani, sosial dan moral. Warga muda Malaysia hendaklah dididik mempercayai kepada tuhan, berakhlak mulia, menghargai nilai keluarga, berkeyakinan, dan patriotik terhadap negara.
91. Lebih 70 peratus penduduk negara berusia di bawah empat puluh tahun dan hampir 50 peratus penduduk adalah wanita. Wanita dan golongan muda adalah aset berharga penuh potensi. Pandangan kumpulan ini sangatlah penting untuk ditimbangkan dalam merangka dasar-dasar negara. Wanita dan golongan muda perlu di bawa bersama di peringkat perundingan, di peringkat perancangan dan diuji, malah diberikan kepercayaan di peringkat perlaksanaan. Wanita dan golongan muda adalah tenaga berpengaruh yang akan menentukan kejayaan kita. Untuk itu, dasar-dasar yang digariskan oleh negara tidak harus menyisihkan kumpulan ini. Kumpulan ini perlu di bawa bersama untuk memahami dan menyertai perjuangan kita. Kita pula wajib memahami idealisme dan cita rasa kumpulan ini.
92. Kesungguhan dan komitmen semua pihak diperlukan dalam melaksanakan agenda memartabatkan bangsa Melayu. Ia adalah usaha jangka panjang. Ia menuntut kepada ketabahan, kesabaran, kesungguhan dan pengorbanan. Ia melibatkan pembangunan sikap. Ia melibatkan pembangunan mental.
93. Agenda dan usaha ini tidak terpikul oleh kerajaan semata-mata. Agenda dan usaha memartabatkan bangsa adalah tanggungjawab bagi setiap mereka yang sayang dan kasih kepada bangsa. Badan-badan swasta milik bumiputera dan individu bumiputera yang telah mendapat nikmat awal – yang telah mencapai kejayaan, hendaklah memainkan peranan sebagai pemangkin untuk melahirkan lebih ramai bumiputera yang berjaya. Alangkah kuatnya asas ekonomi bangsa, jika bumiputera yang telah pernah diberikan pertolongan – yang telah diberikan kemudahan sejak Dasar Ekonomi Baru dilancarkan, lebih ramai yang mencipta kejayaan pada hari ini. Tentulah mereka dapat memberikan kesan pertambahan secara mendadak membangunkan lebih ramai anak bangsa khususnya Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera.
94. Masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan dalam usaha memartabatkan bangsa yang memerlukan kita bermuhasabah. Kita jangan hanya mencari kelemahan kerajaan – carilah juga kelemahan diri sendiri. Dalam mengharapkan peranan kerajaan, kita juga mesti sanggup mengambil tanggungjawab. Kita sendiri hendaklah bersedia melakukan perubahan untuk membawa pembaharuan, bermula dari dalam diri – bermula dari dalam parti.
95. Oleh itu, kita memerlukan keteguhan iman, ketangkasan mental dan kekuatan fizikal. Pendekatan menjayakan Islam Hadhari adalah satu pendekatan yang dapat memperkasa perjuangan bangsa yang lebih besar, di dunia dan di akhirat.
PENUTUP
Saudara-saudari
96. Kuasa politik yang kita miliki ini hendaklah kita optimumkan penggunaannya untuk mengorak perubahan – untuk membawa pembaharuan. Di tahun 2020, sesuai dengan sasaran menjadi negara maju, bangsa Melayu hendaklah menjadi warga yang memiliki sifat-sifat positif sebagai peneraju utama sebuah negara maju. Bangsa Melayu di tahun 2020 hendaklah dihormati, berpendidikan tinggi, berkemahiran, berdiri sama tinggi, berlari sama pantas. Jadikanlah ini azam. Bangunlah bangsaku! Wanita, pemuda dan puteri bangsaku, membina Melayu berjiwa berani, Melayu berilmu, Melayu berkemahiran, Melayu berdikari – Melayu yang sukses, Melayu yang berjaya, sama ada nelayan atau petani, guru atau pendita, peniaga atau usahawan, penulis atau penerbit, pentadbir atau pengurus. Bangunlah bangsaku! Bangunlah bangsaku! Tanah dan air ini adalah tanahair pusaka bangsa kita. Kitalah yang akan memberikan nilai. Kitalah yang akan menentukan maruah kedaulatannya. Ingatlah bangsaku! Jangan kalah dalam saingan – perlu menang dalam perjuangan.
97. Kepada Allah SWT kita mohon mendapat petunjuk dan hidayah memandu kita atas jalan siratulmustaqim, jalan yang mendapat keredaan dariNya.
BERSATU! BERSETIA! BERKHIDMAT!
HIDUP UMNO!
HIDUP MELAYU!
Ucapan penggulungan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO ke-55, 25 September, 2004.
''Ikrar mendokong kepimpinan"
Nama saya Mohd. Najib bin Abdul Razak, nama yang agak panjang ini membuat saya gusar hati ketika mendengar ucapan perwakilan dari Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang telah menyatakan bahawa beliau perlu menukar namanya kerana kalau nak berjaya dalam politik mesti ada nama yang glamor.
Jadi beliau nak tukar nama beliau kepada Pak Min. Saya fikir punya fikir cuba nak tukar nama kepada `Pak Jib` tapi Pak Jib bunyinya tak sesedap `Pak Lah'. Mujur saya bukan keturunan Jawa, kalau keturunan Jawa, nama saya `Wak Jib'.
Kalau saya pergi ke Kelantan orang panggil saya `Pok Jib'. Ada juga nama glamor yang lain, ada orang kata panggillah saya `Abang Jib,' jangan panggil `Ayah Jib.' Macam-macam pun tak kena _ panggillah saya Najib kerana yang penting, yang mustahak kita mesra sesama kita.
Saya mengambil kesempatan merakamkan ucapan ribuan terima kasih, setinggi-tinggi penghargaan tidak terhingga kepada sidang perwakilan yang telah memilih saya menduduki jawatan Timbalan Presiden tanpa bertanding. Sesungguhnya saya sedar tanggungjawab ini amat besar dan saya menerima jawatan ini dengan perasaan penuh rendah diri.
Saya berharap para perwakilan akan terus mendoakan supaya Allah memberi petunjuk dan kekuatan kepada kita semua dalam memikul tanggungjawab demi kesempurnaan parti, kemuliaan agama, kemakmuran bangsa dan kejayaan negara. Saya juga mengingatkan pada diri saya bahawa dalam menjalankan tugas sebagai timbalan presiden parti, saya adalah pembantu utama kepada presiden.
Barangkali ramai yang tidak tahu bahawa saya dengan Yang Amat Berhormat (YAB) Pak Lah mempunyai hubungan yang sudah begitu lama. Semasa pentadbiran Allahyarham ayahanda saya, YAB Pak Lah telah diberi peranan yang begitu penting dalam menangani pelbagai isu, terutama sekali dilantik sebagai Setiausaha kepada Majlis Gerakan Negara atau Mageran yang ditubuhkan sebaik sahaja Peristiwa 13 Mei.
Sesungguhnya takdir telah menentukan segala-galanya. Kalau lebih 30 tahun yang lalu YAB Pak Lah telah menyumbang khidmat bakti kepada Allahyarham ayahanda saya, kini tiba giliran saya ditakdirkan membantu dan berkhidmat dan setia kepada YAB Datuk Seri Abdullah ataupun Pak Lah.
Macam kata Tan Sri Isa, dia tak ada rekod lawan sesiapa, saya pun tidak ada rekod mencabar sesiapa. Pada Pak Lah _ teruskan kerja. Saya tetap akan berada di belakang Pak Lah dan saya bukanlah timbalan yang menyerang dari belakang.
Sungai Pahang airnya deras,
Sudahlah deras berliku-liku,
Antara Pekan dan Kepala Batas,
Kita mendukung hasrat yang satu.
Saya juga ambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada team Naib-Naib Presiden yang telah dipilih oleh para perwakilan iaitu Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Datuk Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Saya percaya ketiga-tiga Naib-Naib Presiden ini mempunyai pengalaman yang luas bagi membantu perjalanan parti terutama sekali dalam urusan Jawatankuasa Pengurusan dan seterusnya membantu YAB Presiden dalam menentukan parti UMNO kita akan terus berjaya sebagai parti yang terkuat di bumi bertuah ini.
Hati kuman sama dicicah,
Hati gajah sama dilapah,
Ke bukit sama didaki,
Ke luruh sama dituruni,
Yang ringan sama dijinjing,
Yang berat sama dipikul.
Saya ingin ambil kesempatan untuk melahirkan ribuan terima kasih rakan seperjuangan saya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang telah berkhidmat dengan begitu gigih dan bersemangat walaupun tiada jawatan dalam kerajaan tetapi telah bertungkus-lumus membantu parti terutama sekali sebagai ketua penyelaras waktu pilihan raya kecil.
Sebagai ketua penyelaras di DUN Kuala Berang, Tan Sri Muhammad Taib berada di sana dua minggu berturut-turut. Cuma satu hari dia minta cuti pada saya _ untuk caj baterinya. Saya cuba hendak menyentuh satu perkara berhubung urusan parti yakni dalam soal peraturan baru yang kita tetapkan tentang pembayaran yuran yang boleh dibuat di cawangan sebelum mesyuarat cawangan diadakan.
Peraturan baru ini dibuat untuk tujuan yang baik kerana kita dapati bahawa banyak ahli UMNO tidak sempat membayar yuran kerana terlalu sibuk dengan urusan pilihan raya dan juga kita berkehendakan penyertaan yang meluas.
Namun oleh kerana masalah-masalah tertentu berbangkit yang kita tidak duga dan atas hasrat perwakilan maka kita akan pinda peraturan ini supaya pembayaran yuran akan dibuat seperti biasa iaitu pada 31 Disember setiap tahun atau satu tarikh yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi. Setiap tahun ataupun satu tarikh yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi.
Berkenaan dengan soal Felda, dalam hal ini saya yang telah diberikan tanggungjawab oleh Perdana Menteri ke atas urusan Felda, saya dapati bahawa keadaan dalam Felda ini merupakan satu program reformasi tanah yang paling berjaya di dunia.
Wakil dari Kedah sebut waktu perbahasan usul Islam Hadhari pagi tadi bahawa waktu peneroka datang, mereka datang dengan sehelai sepinggang, dengan tikar mengkuang segulung _ itulah gambarannya. Setelah diberi tempat di Felda, tengok hari ini corak hidup 103,000 keluarga Felda di seluruh negara.
Namun demikian kita tidak berpuas hati, sedar bahawa banyak lagi yang perlu kita lakukan.
Sehubungan dengan ini, saya ingin menyatakan kita dalam proses merumuskan model baru untuk menentukan kesejahteraan yang lebih tinggi lagi kepada setiap warga Felda di seluruh negara.
Felda insya-Allah, dalam proses merunding perkara ini dengan peneroka-peneroka Felda di mana kita akan menyumbang kepada saraan tiap-tiap bulan yang lebih tetap, lebih terjamin dan lebih tinggi daripada jumlah yang dinikmati oleh peneroka.
Kita juga bercadang untuk memodenkan pusat-pusat pertumbuhan ekonomi. Setiap rancangan Felda kita akan melihat potensinya dan kita juga akan memberi tumpuan kepada anak-anak Felda supaya mereka akan dapat latihan vokasional yang lebih meluas lagi.
Saya sudah minta pengurusan Felda untuk menggariskan satu perancangan di mana setiap anak Felda yang tak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti, ke politeknik, hendaklah diberi latihan vokasional dan teknikal yang sewajarnya.
Satu prinsip yang amat serius yang akan menentukan kejayaan kita ataupun tidak dalam memartabatkan dan meningkatkan maruah bangsa ialah nilai murni yang perlu dihayati oleh kita pejuang bangsa.
Tidak cukup bagi kita hanya memiliki pemikiran yang hebat atau kemahiran yang hebat atau pengalaman yang hebat sedangkan nilai yang kita amalkan ialah nilai yang rendah, nilai perosak ataupun nilai yang buruk. Nilai-nilai seperti inilah yang akan menggagalkan semua cita-cita dan hasrat dan harapan bangsa apabila tidak dibendung.
Sejak Datuk Seri Pak Lah mengambil alih pimpinan negara, Yang Amat Berhormat telah menekankan betapa pentingnya kita memperjuangkan usaha-usaha meninggikan lagi integriti dalam kerajaan, dalam semua lapisan masyarakat kita. Saya percaya inilah salah satu daripada faktor yang telah menyebabkan kemenangan yang begitu cemerlang dalam pilihan raya umum ke-11 yang baru lalu.
Jika itulah keadaannya, jika kita telah dapat atau cuba menerapkan nilai-nilai integriti di dalam kerajaan, di dalam badan-badan yang lain mengapa pula tidak kita cuba menerapkan di dalam UMNO kita sendiri sebagai parti yang berkuasa. Saya sedar bahawa perkara ini bukanlah mudah untuk diperjuangkan. Saya juga mengambil kira pandangan para perwakilan.
Saya juga ambil kira apa yang disuarakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob sebentar tadi tentang perlunya ada definisi-definisi terperinci tentang politik wang yang boleh dijadikan panduan kepada para perwakilan.
Perkara ini insya-Allah kita akan kaji, Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan mengkaji dengan lebih mendalam lagi supaya pemilihan yang akan datang akan berjalan dengan lebih teratur lagi supaya melalui usaha ini UMNO akan lebih dihormati sebagai parti yang bermaruah.
Merah-merah semarak api,
Di dalam paya pohon berduri,
Marah-marah bukan ku benci,
Agar bangsa tegak berdiri.
Sidang perwakilan sekelian, terdapat banyak saranan yang bernas yang telah diajukan oleh perwakilan termasuklah langkah-langkah yang boleh diambil untuk memantapkan lagi perjuangan agenda Melayu. Gesaan orang Melayu tidak kira ahli politik, teknokrat, ahli perniagaan, cendekiawan, pentadbir kerajaan terlibat sama dalam perjuangan ini, saya fikir amat tepat sekali.
Wakil wanita telah menyatakan bahawa langkah Laksamana Hang Tuah telah menyebut `Tak kan Melayu hilang di dunia' dan dianggap agenda pertama orang Melayu.
Tetapi adakah itu adalah agenda atau hanyalah kata-kata keramat. Pada hemat saya sebarang agenda mesti diasaskan dengan matlamat yang jelas, perancangan yang jitu, strategi yang tepat, dan pelaksanaan yang tegas lagi berkesan. Sebab itulah mungkin `Tak kan Melayu hilang di dunia' tetapi awas Melayu boleh tenggelam secara perlahan-lahan tanpa disedari di buminya sendiri. Maka itulah sebabnya perhimpunan telah bersuara, ketetapan telah dibuat, agenda Melayu hendaklah diutamakan.
Perahu sudah di air, dayung telah di tangan, maka mari kita sama-sama bertindak memperkasakan orang Melayu. Insya-Allah selepas persidangan ini, di bawah pimpinan Datuk Seri Presiden, kita akan menggerakkan jentera UMNO dan kerajaan untuk mengisi agenda Melayu, seperti harapan besar perhimpunan ini.
Di sini saya kira sudah tiba masanya untuk MT UMNO sebagai badan pembuat dasar terpenting di dalam parti, kembali menjadi penggerak dan pemangkin dalam memikirkan langkah-langkah konkrit dan strategik. Kita boleh gunakan biro-biro dalam MT yang perlu diaktifkan pada tahap yang lebih hebat.
Supaya kita boleh menggemblengkan tenaga pemikir-pemikir di dalam parti, di luar parti untuk merumuskan strategi pendekatan yang lebih berkesan agar harapan perhimpunan agung ini dapat kita laksanakan dengan jayanya.
Biarlah di akhir persidangan ini kita sekali lagi merakamkan pernyataan tekad kita khususnya, kerana inilah persidangan di mana kita telah meletakkan, menobatkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden parti.
Dengan berikrar untuk mendokong keputusan parti bersama dengan Pak Lah dalam setiap keputusan yang diambil dan berikrar untuk meninggalkan setiap amalan yang boleh melemahkan parti dan mengorbankan kepentingan parti, bangsa dan negara.
Bak kata orang tua-tua, hidup memegang amanah, taat setia kepada agama, taat setia kepada sumpah, mahu mati memegang janji, mahu binasa memegang petua, mahu melarat memegang amanah, cakapnya dapat dipegang, janjinya boleh disandang.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan persidangan kita.
Kepada seluruh tenaga Ibu Pejabat UMNO yang berkerja bertungkus lumus di sepanjang perhimpunan kita pada kali ini, juga saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pemilihan yang telah mengawal selia pemilihan dengan begitu licin tanpa menimbulkan sebarang masalah.
Begitu juga dengan Jawatankuasa Usul, anggota-anggota keselamatan dan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan perhimpunan kita.
Terima kasih di atas perhatian sidang perwakilan.
Doa saya agar Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk meneruskan agenda Melayu yang mulia ini.
Saya doakan agar kita semua dirahmati Allah.
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kepada semua perwakilan yang datang,
Boleh kita berjumpa lagi

Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada sesi penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO ke-55, 25 September 2004.
ALHAMDULILLAH saya bersyukur kepada Allah kerana pada hari ini buat kali pertama memberi ucapan penggulung perbahasan (sebagai Presiden) dan seterusnya menamatkan Perhimpunan Agung UMNO kita kali ini.
Tadi saya bertanya kepada (Setiuasaha Agung UMNO), Datuk Radzi Sheikh Ahmad, saya ini hendak bercakap di sebelah sana atau sebelah sini? Saya tanya sebabnya dulu Tun Dr. Mahathir Mohamad suka (berucap) di sebelah sana. Saya suka sebelah sini sebab dekat dengan isteri saya sikit (ketawa).
Oleh kerana Yang Berbahagia Tun Dr. Mahathir yang masa itu Yang Berhormat Presiden kita suka sebelah sana, jadi saya ini tidak terikut tradisi dialah. Cara dia kadang-kadang saya tidak terikut walaupun saya sudah ganti dia sebagai Presiden dan juga sebagai Perdana Menteri.
Datuk Badaruddin Amiruddin membuat satu penilaian yang dia kata tepat, kata dialah. Dia kata Dr. Mahathir ini keras dulu selepas itu lembik; Pak Lah lembik dulu lepas itu keras, tak sama. Jadi walau bagaimanapun, sama ada di sebelah sana atau sebelah sini tetapi pandangan saya tetaplah kepada semua (perwakilan) yang ada di hadapan.
Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah swt kerana pada hari ini kita sudah sampai ke tahap perhimpunan ini ditangguhkan. Dan saya amat bersyukur sekali kerana dengan selesainya Perhimpunan Agung UMNO pada hari ini bermakna empat pagar yang saya kena lompat itu sudah dapat saya laksanakan.
Apabila saya mengambil alih sebagai Perdana Menteri dulu, saya memang tertanya kepada diri saya, apakah yang hendak saya laksanakan. Itulah yang ada dalam fikiran saya. Orang tanya saya Pak Lah jadi Perdana Menteri ini rasa macam mana?
Saya kata, apa yang saya tahu kerja banyak. Itu saja yang saya tahu. Lain daripada itu saya belum tahu lagi.Tetapi apabila tugas itu telah diberikan kepada saya oleh Tun Dr. Mahathir saya amat memahami bahawa saya mewarisi satu kerajaan yang cukup berjaya.
Kejayaan Tun sebagai Perdana Menteri memang diketahui di seluruh dunia _ membangunkan Malaysia menjadi negara yang maju dan terkenal. Di samping itu pula saya kena memangku jawatan presiden parti. Itu pun adalah satu tugas yang amat berat yang terpaksa saya pikulkan.
Kepada siapa lagi yang hendak saya mintak tolong melainkan mula-mula sekali kepada Allah swt kerana Dialah yang mentakdirkan segala-galanya. (Abdullah kemudian membacakan ayat al-Quran yang bermaksud orang merancang, buat itu dan buat ini, Allah pun merancang tapi Allah lebih baik perancangannya kerana Allah berkuasa atas segala-galanya).
Itulah takdirnya. Maka saya terpaksa memegang dua jawatan itu walaupun saya amat menghargai kepercayaan yang diberi oleh Tun Dr. Mahathir kepada saya. Kepada Tuhan, yang pertama sekali saya mengadap, sujud kesyukuran meminta bantuan. Kerana-Mu Allah, maka hamba-Mu ini ditakdirkan memegang amanah dan tanggungjawab yang begini besar.
Pohon minta pertolongan, pohon minta hidayah, pohon dirahmati, pohon dijauhkan daripada apa-apa yang boleh membawa bala bencana dan mala petaka akibat perbuatan saya kepada negara dan kepada bangsa. Selepas daripada itu, saya meminta restu daripada ibu di Kepala Batas dan meminta fahaman dan sokongan pula daripada isteri.
Yang akhir sekali tentulah yang amat penting juga, meminta kerjasama dan sokongan daripada kawan-kawan yang ada dalam Jemaah Menteri dan Majlis Tertinggi UMNO. Dan akhir sekali tentulah kepada semua ahli-ahli UMNO yang tuan-tuan, saudara saudari yang menjadi wakilnya pada hari ini.
Kepada tuan-tuanlah saya menyerahkan diri meminta kerjasama dan sokongan supaya kita sama-sama memajukan negara, sama-sama menjayakan perjuangan kita. Itulah yang dapat saya lakukan.
Alhamdulillah, perkara yang pertama yang perlu ditangani pada waktu itu ialah hal-hal yang berkaitan dengan kerajaan, hal-hal yang berkaitan dengan ekonomi yang berada dalam keadaan defisit yang perlu ditangani dengan berhemah supaya ia tidak meningkat, supaya ekonomi masih terus bergerak. Itulah pendekatan yang perlu diambil. Kalau tidak diambil maka akan menjadi masalah.
Saya pun masa itu menghadapi bermacam-macam pandangan dan cakap-cakap orang, sama ada Pak Lah ini boleh buat atau tidak, sama ada si lembik ini boleh buat kerja atau tidak.
Bukan senang hendak ganti Dr. Mahathir. Dalam satu dialog yang diadakan macam-macam soalan ditanyakan kepada saya untuk cuba melihat saya boleh jawab atau tidak. Macam-macam soalan ekonomi dan sebagainya termasuk politik. Kadang-kadang juga ada soalan yang berkaitan dengan peribadi.
Ada seorang bangun bertanya saya setelah dia mengisahkan pembangunan negara ini. Katanya, Tunku Abdul Rahman menjadi Bapa Kemerdekaan, Tun Razak Bapa Pembangunan, Tun Hussein Bapa Penyatuan, Tun Mahathir Bapa Kemodenan, Pak Lah hendak jadi bapa apa?
Saya kata dengan terus-terang, Pak Lah hendak jadi Pak Lah, tak ada lain lagi. Itu sahaja. Tetapi hari ini kata mereka bagi nama lain kepada saya pula. Saya tak tahu, tak dengar.
Walau bagaimanapun, saya terpaksa menjalankan cara saya sendiri; tidak terikutlah saya dengan cara Dr. Mahathir. Tetapi satu perkara yang saya tahu, kerja saya mesti saya laksanakan dengan sebaik-baiknya.
Saya masih teringat satu peristiwa pada 20 Jun tahun 2002 iaitu di dewan ini juga pada waktu mana Dr. Mahathir memberi ucapan. Pelik bunyinya dan perkataan-perkataan yang digunakannya itu pun saya tidak berapa hendak dengar kerana dia telah meminta maaf, berkali-kali meminta maaf.
Katanya, ``saya minta maaf. Saya tak dapat buat apa lagi dah dengan orang Melayu ini; tak boleh hendak ubah fikiran mereka, tak boleh ubah sikap.''Macam-macam lagi katanya yang saya percaya saudara-saudari mungkin ingat. Perkara itu cukup besar ertinya kepada kita dan sampai hari ini semua orang UMNO masih mengingatinya.
Sambil beliau berkata begitu, beliau kata, ``saya sudah gesa, saya sudah marah, saya sudah rayu, saya sudah doa, saya menangis.'' Saya pun hairan, kenapa orang tua ini cakap begini. Macam lain tabiatnya pulak. Rupa-rupanya beliau mengumumkan hendak letak jawatan, hendak bersara daripada politik dan kerajaan.
Itulah yang mengejutkan kita semua. Tetapi pada saya itulah satu peristiwa yang saya cukup ingat. Saya ingat sekali kata-kata Tun Dr. Mahathir pada waktu itu, terutama perkara-perkara yang beliau tidak dapat laksanakan.
Saya tertanya diri saya, mungkin itulah ruang yang saya perlu penuhi sebab pada fikiran dia itu adalah aspek yang paling penting sekiranya orang Melayu hendak maju ke hadapan, dengan semangat Malaysia boleh, Melayu boleh. Maka segala pemikiran saya ditujukan kepada matlamat untuk menjadikan Melayu boleh sebab itu nyata ada ruangnya.
Bukan senang menggantikan Dr. Mahathir. Untuk menokok tambah kerja-kerjanya yang begitu baik, begitu cemerlang bukan senang. Kalau kita menggantikan orang bodoh kita senang nampak cerdik. Kalau kita menggantikan orang malas yang tidak buat kerja, kita senang menunjukkan kita buat kerja. Ini menggantikan orang yang begitu rajin buat kerja, dan bersungguh-sungguh juga.
Dengan perkiraan itulah saya memperkenalkan idea iaitu kalau itulah yang perlu diisikan untuk mencukupi, untuk menjamin kesinambungan perjuangan kita, kesinambungan kerja yang telah diusahakan selama ini, untuk menokok tambah kepada apa pun yang telah diusahakan dengan elok dan cemerlang itu, kita dengan itu perlu memastikan orang Melayu mesti boleh ditambah nilainya.
Untuk menambah nilai orang Melayu supaya berkemampuan, kita mesti menjadi bangsa apa yang kita katakan cemerlang, gemilang dan terbilang.
Kata orang, Tun Dr. Mahathir sudah buat segala hardware. Saya cakap kepada pegawai-pegawai kerajaan, bangunan-bangunan yang cukup elok di Putrajaya ini hardware. Tetapi softwarenya ialah manusia yang ada dalam bangunan yang serba indah dengan alat-alat kelengkapan dengan teknologi terkini dan sebagainya.
Sebab itu dalam satu ucapan, saya kata, kita ini jangan jadi satu bangsa yang mempunyai kemudahan-kemudahan kelas pertama tetapi fikiran dan cara kita kelas ketiga.
Ini adalah satu pembaziran yang amat besar. Jika kita tidak mampu menggunakan kemudahan-kemudahan yang begini baik untuk menghasilkan kerja-kerja yang lebih baik, kita sebenarnya telah menganiaya diri kita sendiri.
Apabila kita tidak tahu menggunakan sesuatu yang sudah jadi milik kita, tidak tahu menggunakan sesuatu yang telah pun diserahkan kepada kita untuk menggunakannya, kita menganiaya diri kita sendiri. Kita membazirkan peluang baik yang begitu banyak yang boleh membantu kita menjalankan kerja kita dengan baik.
Oleh kerana adalah amat penting untuk kita meningkatkan lagi kemampuan dan kebolehan diri maka saya juga kata, pekerja-pekerja mesti ditingkat nilai mereka supaya nanti kita dapat menjadi pekerja yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Atas usaha-usaha seperti ini, saya juga kembangkan idea ini kepada pelajar-pelajar kita. Saya bercakap kepada mereka, atas rasa seorang bapa. Saya kata kepada mereka, kamu diberi sekolah sama, guru sama, makmal sama, buku-buku yang digunakan sama, pensyarah sama, profesor sama.
Jadi usahakanlah supaya capai kejayaan yang lebih besar lagi. Kalau orang lain pun dalam keadaan yang sama mampu mencapai kejayaan yang lebih baik mengapa kita tidak jadi lebih baik. Saya gesa mereka supaya menghadapi, memahami dan menghargai apa yang terbaik yang dapat diberikan kepada mereka dalam bentuk peluang-peluang pengajaran dan pembelajaran yang bermutu, lebih baik mutunya daripada masa dulu.
Maka itulah, pada waktu ini memang kena idea cemerlang, gemilang dan terbilang itu dijadikan amalan, dijadikan budaya _ sesuatu yang mesti dapat dihambat oleh pelajar-pelajar kita.
Maka dengan itu lahirlah idea cemerlang, gemilang dan terbilang supaya kita jadikan ini sebagai apa yang orang kata keriakan kita, yang melambangkan bahawasanya kita rakyat Malaysia khususnya bangsa Melayu memahami kejayaan yang telah kita peroleh selama ini yang telah dihasilkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah kita terima ini digunakan sebaik-baiknya supaya kita menjadi bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Maka dengan itulah kita perlu mengubah minda kita. Kita perlu ubah sikap kita, cara kita bekerja untuk membolehkan kita menghasilkan sesuatu yang lebih baik.
Ini bukan sesuatu yang tidak kena. Kepada saya ini memang sudah kena. Kita tidak mahu nanti segala pembangunan yang lain terlalu ke hadapan tetapi kita ketinggalan di belakang. Orang lain mengguna kemudahan-kemudahan yang dibawa oleh pemimpin kita, orang lain mendapat kejayaan yang lebih besar daripada kita, tetapi kita makin ketinggalan walaupun kemudahan itu ada di sekeliling kita.
Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku kepada kita. Atas sebab itulah ketika membentangkan bajet buat pertama kalinya di Parlimen, saya telah memilih perancangan yang besar iaitu memberikan perhatian kepada sektor pertanian yang sebegitu lama telah dianggap sebagai sektor yang paling lembab. Sektor paling tinggi sektor perkilangan. Datuk Seri Rafidah Aziz tahu sektor perkhidmatan itu yang tinggi, sektor perkilangan agak lembab.
Kita (orang Melayu) begitu ramai sekali ada dalam sektor pertanian ini. Maka saya amat yakin dan percaya bahawa sektor pertanian boleh memperkasakan orang Melayu dalam usaha membangunkan ekonomi mereka. Kita akan buktikan ia boleh dilakukan dan saya akan pastikan ia akan berlaku.
Saudara Shahiruddin (Moin) dari Pahang semasa berucap di sini mengatakan kerajaan perlu mengadakan satu jawatankuasa untuk buat sesuatu supaya nanti kita dapat membangunkan ekonomi kita.
Kita mahu mencadangkan akan ada satu jawatankuasa industri yang akan kita tubuhkan dan akan kita laksanakan nanti program-program yang difikirkan boleh membuat kemajuan kepada rakyat Malaysia khususnya orang Melayu.
Sebenarnya apa yang (beliau) hasratkan telah pun diwujudkan. Saya sendiri menjadi pengerusinya, Jawatankuasa Kabinet Industri Kecil dan Sederhana yang sekretariatnya di Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa. Kita akan laksanakan apa juga program termasuk industri kecil dan sederhana asas tani.
Ini list hendak buat industri kecil tetapi buat yang besar. Kalau buat yang besar pun tidak boleh yang kecil pun belum boleh macam mana kita hendak dapat apa-apa. Sebenarnya dalam dunia ini banyak syarikat-syarikat gergasi pada hari ini bermula sebagai industri kecil dan sederhana.
Jadi mampukah tidak kita apabila terlibat dengan bidang ini kita mengembangkannya?
Insya-Allah dengan rancangan-rancangan yang telah kita ambil, dan akan kita jayakan kita harap kita akan melihat perubahan yang besar di kawasan luar bandar nanti.
Memang saya amat memahami dalam usul ekonomi yang diluluskan oleh perhimpunan di mana telah ditetapkan pada tahun 2010 kita hendak capai matlamat 30 peratus bumiputera dalam masyarakat perdagangan dan industri.
Kalau itulah yang menjadi matlamatnya, kita tidak ada pilihan melainkan kena berkerja bersungguh-sungguh dengan kuat supaya kita dapat mencapai kejayaan. Ia memerlukan ketekunan dan kecekalan. Ia memerlukan kerajinan dan kesabaran. Ia memerlukan kita sentiasa meningkatkan lagi keupayaan menguasai ilmu pengetahuan. Itu akan kita laksanakan.
Ada juga yang meminta supaya diwujudkan monitoring ataupun satu agensi yang akan memantau segala tindakan yang diambil untuk menentukan sejauh manakah pencapaian bumiputera dalam bidang ekonomi nanti. Itu telah pun kita laksanakan, cuma saya tidak umumkan.
Ia telah pun kita laksanakan kerana saya masih berpegang kuat pada rancangan Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun ia tamat pada 1991 dan digantikan dengan rancangan baru. Semangat dasar itu telah diputuskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada masa saya berada di Majlis Gerakan Negara (Mageran).
Saya tahu bagaimana ia bermula. Saya tahu bagaimana hasrat yang dibayangkan oleh mereka yang ketika itu berbincang berbulan-bulan lamanya untuk melahirkan sesuatu yang boleh menjamin bahawa orang Melayu boleh mempertingkatkan dirinya dan tidak menjadi bangsa yang terbiar dan tertinggal dan menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan masalah politik lagi akibat keadaan yang begitu.
Mereka tidak mahu berlaku lagi peristiwa seperti 13 Mei. Saya memahami apa yang berlaku dalam Majlis Perundingan Negara pada waktu itu, di mana semua kaum daripada pelbagai pertubuhan berbincang secara tertutup.
Hasil perbincangan itulah kita dapat mengambil intipatinya, apa yang dikehendaki oleh mereka. Itulah yang menjadi ramuan untuk mewujudkan DEB, ramuan untuk membesarkan ikatan Barisan Nasional, ramuan yang telah menwujudkan Rukunegara.
Kita tahu bahawa yang dikehendaki oleh rakyat pada waktu itu ialah satu pembangunan yang adil dan saksama untuk semua. Tidak ada golongan yang akan terbiar. Tiada siapa yang tahu tetapi kekayaan telah diagih kepada semua.
Itulah semangat yang melahirkan DEB dan dengan semangat itulah pada hari ini saya masih kekal memegang semangat DEB itu.
Matlamat yang hendak kita capai belum lagi tercapai. Saya kira ia bukanlah sesuatu yang berlawan dengan aspirasi nasional, aspirasi Bangsa Malaysia. Masih ada lagi kerja-kerja yang perlu kita laksanakan untuk mencapai cita-cita yang telah kita tetapkan, tetapi dalam kerangka, matlamat dan pendekatan yang lain.
Namun kita tetap caranya dengan hikmah. Maka dengan itu, dengan adanya badan yang akan mengawas dan menyelaras, kita akan tahu pada setiap masa cara kita bergerak: Apakah kita berada pada landasan yang betul atau kita telah tergelincir dan tidak dapat mencapai matlamat yang diharapkan.
Ini adalah kerja-kerja yang mesti kita laksanakan. Memang lebih senang bercakap daripada buat tetapi kita mahu juga berusaha supaya kerja kita pun jadi senang. Insya-Allah dengan muafakat kita akan dapat laksanakan.
Dengan kerja-kerja yang telah pun dibuat, dengan apa yang anda semua ketahui sebab itulah dalam pilihan raya lalu kita mendapat kemenangan besar.
Saya memang takut mula-mula menghadapi pilihan raya. Bukan takut Barisan Nasional tidak boleh menang. Boleh menang. Tetapi kita ini terlalu biasa menang mesti tidak kurang daripada dua pertiga. Itu sudah jadi kebiasaan UMNO, kebiasaan Barisan Nasional. Sebagai pemimpin, jika kejayaan itu tidak diperoleh mungkin hari ini saya tidak berdiri di sini lagi sebagai Presiden parti.
Tetapi kita berusaha berkat sokongan semua sahabat-sahabat saya dalam kabinet, sokongan saudara-saudara kita semua berkerja bersungguh-sungguh. Kita mahu menang sekurang-kurangnya dua pertiga.
Oleh sebab kita bekerja bersungguh-sungguh dan rakyat tahu kita bekerja bersungguh-sungguh, maka akhirnya kita mendapat kemenangan luar biasa yang belum pernah diperoleh Barisan Nasional selama ini.
Orang memberi pujian ini sebagai kejayaan Pak Lah, macam-macam pujian. Mungkin mereka nampak saya berkempen di sana-sini. Kejayaan ini kalau pun kerana saya, sebenarnya kejayaan kita semua. Alhamdullillah, kita bersyukur kepada Allah.
Hari ini, dengan adanya pemilihan ini, maka mungkinlah apa yang Tan Sri Isa Samad katakan tadi generasi baru selepas generasi pejuang kemerdekaan, kitalah generasi baru. Tahun 1957, saya masih di sekolah. Tahun 1946 itu pula terlalu kecil untuk mengambil bahagian dalam apa-apa yang ada hubung-kaitnya dengan perjuangan masa itu.
Tetapi sebagai anak UMNO, saya memahami dan yakini Datuk Najib memahami, Datuk Hisham memahami, semua kawan-kawan saya memahami bahawasanya perjuangan bangsa kita yang dimulakan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan itu adalah perjuangan untuk menjadikan kita ini bukan sahaja bermaruah, bukan sahaja bangsa yang maju, bukan sahaja bangsa yang berjaya tetapi bangsa yang benar-benar maju, yang saya katakan begitu cemerlang, yang lebih gemilang dan yang menjadi terbilang.
Ini wasiat mereka dan kita mesti mengambil berat. Kalau kita telah diberikan parti yang begitu baik untuk kita mewarisinya, jentera yang begitu kuat untuk kita mewarisinya dan kita perlu menggunakannya untuk mencapai kejayaan yang lebih hebat lagi pada masa hadapan. Hasrat mereka perlu kita penuhi.
Saudara-saudari sekalian, tanya ahli-ahli UMNO yang ada, walaupun kita melalui proses pemilihan baru-baru ini, ramai yang bimbang apakah yang akan berlaku dengan UMNO.
Macam-macam tuduhannya. Tetapi kita melalui proses ini dan akhirnya sampailah ke dewan ini, di mana kita membuat pemilihan, di mana kita menyingkirkan kepimpinan parti kita dan dengan itu muncullah barisan kepimpinan baru parti UMNO untuk meneruskan perjuangannya.
Parti kita cukup berpengalaman, hebat, teguh, masih berperanan induk dalam BN. Rakyat memahami dan memberi kita satu mandat dan amanah yang begitu besar. Mandat itu adalah amanah. Apabila kita terima amanah, kita mesti laksanakan. Kita akan laksanakan dengan segala kekuatan yang ada pada kita.
Dengan kekuatan yang ada, kita berusaha melaksanakannya. Kalau tidak, kita tidak akan mencapai apa-apa. Kita mesti ingat jalan ke hadapan bukan sahaja jauh dan mendatar. Jalan ke hadapan ialah jalan yang jauh, jalan kita memanjat bukit. Tahun 2020 berada di puncak gunung bukan 200 atau 300 kilometer lagi.
Apabila negara maju, kita hendak tambah lagi kemajuannya. Apabila berjaya cemerlang kita mahu gemilang. Apabila gemilang kita mahu terbilang.
Perjalanan kita bukan mudah malah memerlukan segala tenaga dan muafakat yang teguh. Kita perlu dengan berani menerima dan melaksanakan amanah yang diterima. Kita meenrima amanah ini bukan untuk kita bermegah.
Kita tubuh kerajaan, jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri, ketua menteri dan exco bukan untuk berlagak. Itu pada saya tidak ada erti. Yang ada erti ialah kuasa yang mesti kita gunakan dengan sebaik-baiknya.
Tidak ada erti bermegah dengan kebesaran fizikal yang pada kita jika sekiranya kita buat tak kena dan tak baik, jika sekiranya kita rasuah dan menyalahgunakan kuasa. Buat apa? Depan kita orang kata ``Apa khabar Yang Berhormat'' tapi belakang kita ``Pergi da!''
Saya tidak mahu begitu. Apa orang kata depan kita baik; kita tidak ada pun, orang cakap baik. Kita kenalah berusaha bersungguh-sungguh dalam perkara ini.
Insya-Allah, dengan kepercayaan yang diberikan itu kita boleh memastikan apa yang dikehendaki dan dihajati oleh bangsa dan rakyat Malaysia akan dapat dilaksanakan.
Saya masih ingat lagi apabila saya membuat ucapan dasar kelmarin, yang jelas dan terang mengenai Islam Hadhari, hal Melayu dan hidup Melayu di depan ketua komponen BN. Mereka mendengar ucapan pasal Islam Hadhari yang agak panjang. Banyak ayat al-Quran yang berulang-ulang saya sebut hingga ada orang kata Pak Lah dah mula berkhutbah.
Tetapi sebab hendak menerangkan satu pendekatan baru yang kita ambil, itulah yang mereka dengar _ pemimpin Islam mesti beramanah, bersikap adil kepada manusia bukan hanya kepada orang Islam.
Yang kita buat itu adalah yang baik, nilai-nilai universal yang juga mereka pegang kuat.
Mereka rasa bukan sesuatu yang menakutkan bahkan amat berbangga jika sekiranya UMNO dapat melaksanakan program ini menggunakan agama sebagai pencetus daya dan usaha kerana orang Melayu mudah dicetuskan semangat, dipujuk jika pendekatan Islam itu dapat digunakan.
Kalau kita dapat cetuskan idea dan kekuatan baru dengan didorong oleh semangat Islam Hadhari itu, InsyaAllah kita akan jadi bangsa yang tidak lagi mengharapkan apa-apa lagi bantuan tetapi kita sendiri boleh membantu dengan kebolehan kita.
Pada saya amat malang jika sekiranya sampai bila-bila pun kita menjadi bangsa mengharapkan bantuan daripada orang lain. Tidak boleh, ia mesti dihentikan. Tidak boleh bertongkat lama, nanti lutut bengkok. Kita mesti terdedah kepada saingan, rintangan dan cabaran kerana itu semua akan memberi kekuatan kepada kita.
Ini adalah kepercayaan saya tetapi kita juga membantu. Saya tidak kata bahawa kita tidak membantu lagi. Kita bantu yang patut dan wajar. Yang sudah elok mesti berusaha dengan sendiri. Ini penting. Jangan lagi diharap bantuan kerajaan.
Sepatutnya yang sudah elok dan kuat bongkok sendiri. Ini penting. Jangan sudah elok dia suruh pula kerajaan bantu. Tidak boleh begitu.
Ini yang saya katakan, kita sebenarnya sudah mula ada kekuatan. Tenaga profesional, tenaga saintis dan teknologi serta usahawan ini sepatutnya jadi pelengkap dan pembantu kepada kerajaan iaitu sebagai pemangkin supaya proses untuk maju ke hadapan akan menjadi lebih cepat lagi.
Sebab itu tuan-tuan sendiri menyuarakan bahawa syarikat milik kerajaan (GLC), tentang betapa penting swasta bekerja dengan kita. Saya mendengar semua itu dan saya akan bawa mesej tuan-tuan kepada syarikat-syarikat ini supaya mereka memahami perjuangan dan tuntutan kita dalam hal ini.
Maka dengan kekuatan yang kita ada Insya-Allah kita akan lebih maju tapi peliharalah kekuatan ini, peliharalah UMNO ini. UMNO adalah satu kekuatan politik yang pada kita dan kita patut bersyukur kerana UMNO telah diserahkan kepada kita untuk kita memajukannya.
Sebarang masalah yang boleh merosakkan dan melemahkan UMNO, ini mesti kita elak dan ketepikan.
Saudara-saudari. Macam-macam perkara tidak elok yang kita dengar; disogok juga dengan hal politik wang. Ini tidak boleh ada. Apa yang penting ialah kita mesti membina kekuatan kita dan menjauhkan daripada apa juga yang boleh melemahkan parti. Ini adalah prinsip perjuangan yang mesti kita patuh.
Saya cukup ingat kejayaan. Apabila kita kata sudah berjaya maka kita akan berjaya selama-lamanya. Perjuangan Melayu diasaskan kepada fahaman bahawa orang Melayu itu mesti tuntut merdeka; kita sudah lama dijajah.
Kita tahu bahawa ucapan di zaman awal tuntutan kemerdekaan ketika saya masih bersekolah tetapi saya faham iaitu `Hidup Melayu!'.
Hang Tuah kata `Takkan Melayu hilang di dunia'. Hebat betul. Saudara tahu atau tidak, semasa Hang Tuah berkata demikian semasa itu dia sebagai panglima dan laksamana yang hebat dan gagah pada zaman Kesultanan Melaka yang juga Empayar Melayu yang terkenal di seluruh dunia.
Tetapi apa jadi kepada Kesultanan Melayu itu? Tidak tahan lama kerana apa? Kerana dalam istana ada politik pemimpin yang melemahkan Melaka dan membolehkan Portugis masuk seterusnya menawan Melaka. Itu sejarahnya.
Selama 400 tahun Melayu tetap ada di Semenanjung Tanah Melayu ini tetapi Melayu tidak ada darjat. Melayu di bawah penjajahan, selepas Portugis datang Belanda, selepas Jepun datang Inggeris.
Mujurlah ada UMNO. Kalau Hang Tuah kata ``Takkan Melayu hilang di dunia', Pak Lah kata `Melayu hidup biar bermartabat'.
Kita mesti isikan pembangunan. Kita mesti memberi martabat kepada bangsa kita. Kita telah jadi bangsa berdaulat kerana kita ada kerajaan dan memerintah. Yang menyelamatkan Melayu dan memartabatkan bangsa ini dan menamatkan penjajahan selama 400 tahun ialah UMNO yang membela orang Melayu.
Inilah pusaka dan kekuatan yang perlu kita hargai sungguh-sungguh supaya dalam zaman moden ini kita dapat capai kegemilangan yang diharapkan.
Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana mesyuarat kita ini dapat diikuti di seluruh dunia. Kita ada UMNO TV yang telah menyiarkannya melalui internet. Saya diberitahu yang UMNO TV ini telah mendapat `hit' sebanyak 1.2 juta. Saya kira ini merupakan satu kejayaan, Alhamdulillah.
Mereka mengikutinya semenjak ia ditubuhkan dan tidak sampai tiga bulan, dan sepanjang kita bermesyuarat selama empat hari, sudah ada 700 hit yang datang terutama dari Amerika. Mereka hendak tahu apa yang sudah berlaku. Mereka hendak ambil peduli pasal UMNO. Dulu mereka tidak peduli.
Mereka hendak ambil tahu kerana UMNO adalah parti tunggak kerajaan hari ini, kerana kepimpinan UMNO juga kepimpinan nasional dan kepimpinan kerajaan.
Mereka hendak tahu apa kita cakap. Mereka hendak tahu apa kita buat. Mereka hendak tahu ke arah mana kita hendak bawa parti kita ini. Semua ini menjadi minat mereka.
Sebab itulah bukan hanya surat khabar Malaysia sahaja tetapi surat khabar antarabangsa juga melaporkan apa yang berlaku semasa kita bersidang.
Minat mereka kepada kita begitu tinggi sebab kita sudah jadi orang yang berjaya, parti yang berjaya. Inilah yang perlu kita fahami.
Kita perlu sensitif terhadap apa yang sedang berlaku, mudah-mudahan kita mendapat kejayaan seperti mana yang kita harapkan di masa hadapan. Kita perlu sentiasa sensitif terhadap kehendak rakyat dan kehendak masa depan.
Saudara saudari sekalian, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang mendapat kemenangan, yang telah dipilih dan diberi amanah untuk memimpin parti
Kita akan berkerja sama. Ada orang tanya: Pak Lah, siapa kawan kamu di sana? Saya kata: Semua yang ada di sini adalah kawan saya.
Tiap-tiap orang UMNO adalah orang saya. Saya bukan pemimpin kepada mana-mana kumpulan tertentu. Saya menjadi pemimpin kepada semua orang UMNO kerana saya tetap adil dan saksama pada semua orang, tidak ambil kira daripada mana.
Saya ucapkan tahniah kepada mereka.
Moga-moga kami akan berkerja sebagai satu pasukan yang baik. Saya masih ingat masa saya kalah dulu, orang lama ingatlah, tempat ini jugalah saya buat ucapan.
Pada masa itu saya baca ayat Al-Quran yang agak panjang tetapi kali ini saya baca ayat yang lain pula sebab kali ini saya menang, menang tanpa bertanding pula.
Ini adalah satu pedoman dari kitab al-Quran yang patut kita jadikan panduan pada perjuangan kita. Ini bermakna kalau kamu menang, janganlah sombong. Besar sangatkah dengan kemenangan itu?
Ingat, kita menang kerana orang sokong, kalau tidak menang nanti kena turun ke bawah (pentas). Itu perkara biasa, bukan saya anggap yang di bawah itu hina, tidak.
Saya tidak kata begitu. Kita kena menghargai sokongan dan jadilah orang yang baik. Sokongan itu adalah satu amanah. Kerja mesti kita laksana dengan sebaik-baiknya.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberi kerjasama. Saya agih-agihkan kerja kerana hendak bagi semua orang ada kerja supaya jawatankuasa pengurusan pun ada kerja, Naib-Naib Presiden semua ada kerja.
Tan Sri Muhyiddin buat kerja pentadbiran dan perlembagaan parti, Tan Sri Muhammad bantu bila ada pilihan raya kecil. Najib jaga hal-hal yang berkaitan dengan pendaftaran parti termasuk pendaftaran sebagai pengundi pilihan raya. Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita masing-masing dengan peranan mereka.
Terima kasih kepada Muhammad Taib kerana walau tidak bersama lagi dengan MT, saya percaya mereka akan bersama-sama kita dengan biro-biro yang akan kita wujudkan.
Saya setuju saudara akan ada peranan di sini, kawan yang lain juga, Shafie Salleh, Datuk Adnan, Datuk Azmi, Datuk Kadir, siapa lagi tiga menteri yg tak lekat, Datuk Mustapa.
Semua ini saya harap akan terus bersama bekerja dengan kita.
Dalam perjuangan tidak ada pencen. Tiada siapa yang patut bersara daripada berjuang. Sekali berjuang, selamanya berjuang sampai mati. Kalau tidak boleh pun, berjuang dengan doa.
Kepada kawan-kawan yang baru iaitu Isa, Ali Rustam dan Muhyiddin, kepada Rafidah, Hisham, Noraini, kita akan berkerja sebagai satu pasukan yang menghargai semangat UMNO, berjuang kerana UMNO.
Selepas ini saya akan pergi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York untuk bagi ucapan di sana.
Untuk membawa mesej negara, OIC, NAM, mudah-mudahan akan diterima baik oleh PBB, Insya Allah.
Itu sudah jadi tugas, saya pohon doa agar saya selamat melaksanakan tugas saya.
Doakan saya kerana saya membawa mesej saudara-saudara semua.
Marilah kita memulakan peranan baru. Tugas kita sama-sama laksanakan.
Dengan itu mari kita baca Al-Fatihah di bawah fasa kedua generasi selepas merdeka, macam kata Isa.
Moga kita diberkati sepanjang jalan untuk agama, bangsa dan negara. Moga tak tersimpang jalan kita.
Tiada doa yang terbaik selain Umul Kitab Al-Quran, surah Al-Fatihah. Mari kita berdoa dan beribadat beramai-ramai, berselawat kepada Rasul, keluarga dan muslimin serta muslimat sekalian.
Terima kasih kepada Jawatankuasa Pemantau,
''Melayu hidup biar bermartabat''

Ayat ini juga untuk semua yang hadir dan yang menang. (Membaca potongan ayat) Maknanya:
``Apabila kamu telah dirahmati Allah dengan kemenangan, kekayaan dan kejayaan dalam persaingan, kamu hendaklah berlembut hati dengan mereka. Dan sekiranya kamu kasar, maka mereka akan jauh hati dan mereka akan lari dari sisi kamu.
``Ampunilah mereka, berdoalah kepada Allah. Apabila kamu telah melakukan semua ini, berazamlah betul-betul, bertawakallah kepada Allah kerana Allah sayang pada mereka yang bertawakal.''
Ini adalah satu pedoman dari kitab al-Quran yang patut kita jadikan panduan pada perjuangan kita. Ini bermakna kalau kamu menang, janganlah sombong. Besar sangatkah dengan kemenangan itu?
Ingat, kita menang kerana orang sokong, kalau tidak menang nanti kena turun ke bawah (pentas). Itu perkara biasa, bukan saya anggap yang di bawah itu hina, tidak.
Saya tidak kata begitu. Kita kena menghargai sokongan dan jadilah orang yang baik. Sokongan itu adalah satu amanah. Kerja mesti kita laksana dengan sebaik-baiknya.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah memberi kerjasama. Saya agih-agihkan kerja kerana hendak bagi semua orang ada kerja supaya jawatankuasa pengurusan pun ada kerja, Naib-Naib Presiden semua ada kerja.
Tan Sri Muhyiddin buat kerja pentadbiran dan perlembagaan parti, Tan Sri Muhammad bantu bila ada pilihan raya kecil. Najib jaga hal-hal yang berkaitan dengan pendaftaran parti termasuk pendaftaran sebagai pengundi pilihan raya. Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita masing-masing dengan peranan mereka.
Terima kasih kepada Muhammad Taib kerana walau tidak bersama lagi dengan MT, saya percaya mereka akan bersama-sama kita dengan biro-biro yang akan kita wujudkan.
Saya setuju saudara akan ada peranan di sini, kawan yang lain juga, Shafie Salleh, Datuk Adnan, Datuk Azmi, Datuk Kadir, siapa lagi tiga menteri yg tak lekat, Datuk Mustapa.
Semua ini saya harap akan terus bersama bekerja dengan kita.
Dalam perjuangan tidak ada pencen. Tiada siapa yang patut bersara daripada berjuang. Sekali berjuang, selamanya berjuang sampai mati. Kalau tidak boleh pun, berjuang dengan doa.
Kepada kawan-kawan yang baru iaitu Isa, Ali Rustam dan Muhyiddin, kepada Rafidah, Hisham, Noraini, kita akan berkerja sebagai satu pasukan yang menghargai semangat UMNO, berjuang kerana UMNO.
Selepas ini saya akan pergi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York untuk bagi ucapan di sana.
Untuk membawa mesej negara, OIC, NAM, mudah-mudahan akan diterima baik oleh PBB, Insya Allah.
Itu sudah jadi tugas, saya pohon doa agar saya selamat melaksanakan tugas saya.
Doakan saya kerana saya membawa mesej saudara-saudara semua.
Marilah kita memulakan peranan baru. Tugas kita sama-sama laksanakan.
Dengan itu mari kita baca Al-Fatihah di bawah fasa kedua generasi selepas merdeka, macam kata Isa.
Moga kita diberkati sepanjang jalan untuk agama, bangsa dan negara. Moga tak tersimpang jalan kita.
Tiada doa yang terbaik selain Umul Kitab Al-Quran, surah Al-Fatihah. Mari kita berdoa dan beribadat beramai-ramai, berselawat kepada Rasul, keluarga dan muslimin serta muslimat sekalian.
Terima kasih kepada Jawatankuasa Pemantau,
Jawatankuasa Disiplin,
Setiausaha Kerja dan semua.
Terima kasih banyak.
END
No comments:
Post a Comment