Sunday, March 29, 2009

#PAU2008





KUALA LUMPUR, 20 Mac – Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung Selasa ini padat dengan pelbagai agenda yang telah diatur sebagai gerak kerja bagi melancarkan perjalanan persidangan tahunan di samping pemilihan yang akan berlangsung dua hari kemudian.

Seperti biasa, persidangan akan dimulakan dengan majlis tertutup Taklimat Presiden pada hari pertama persidangan dengan dihadiri oleh ahli Majlis Tertinggi (MT), exco Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta para perwakilan dari Bahagian-bahagian.

Perhimpunan Agung UMNO kali ke-59 ini akan membahaskan tiga usul iaitu:
• Ucapan Dasar Presiden
• Ekonomi
• Agama dan Pendidikan

Berikut adalah atur cara majlis:

24 Mac (Selasa) 
– Pendaftaran Perwakilan (9.00 Pagi)
– Majlis Taklimat Presiden (Tertutup)
– Perasmian Wanita, Pemuda, Puteri (8.00 malam)

25 Mac (Rabu)
– Persidangan Wanita, Pemuda, Puteri
– Proses Pengundian Wanita, Pemuda, Puteri
– Mesyuarat Majlis Tertinggi Khas
– Pengumuman keputusan pengundian Wanita, Pemuda, Puteri

26 Mac (Khamis) 
– Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2008
– Proses pengundian untuk pemilihan UMNO
– Jamuan “Jasamu Dikenang”
– Pengumuman keputusan pengundian (jangka 10 malam)

27 Mac (Jumaat) 
– Perbahasan (tempoh perbahasan dipanjangkan hingga ke malam)

28 Mac (Sabtu) 
– penggulungan & penangguhan (berakhir jam 1.00 tgh)

JUMLAH CALON BERTANDING 

• Jawatan Majlis Tertinggi – 63 orang
o Pengerusi Tetap – calon 2 orang (1)
o Timbalan Presiden – calon 2 orang (1)
o Naib Presiden – calon 8 orang (3)
o Ahli Majlis Tertinggi – calon 50 orang(25)

• Pergerakan Wanita UMNO
– Timbalan Pengerusi Tetap – calon 4 (1)
– Ketua Wanita – calon 2 (1)
– AJK – calon 49 (20)

• Pergerakan Pemuda UMNO
– Pengerusi Tetap – calon 2 (1)
– Timbalan Pengerusi Tetap – calon 6 (1)
– Ketua Pemuda – calon 3 orang (1)
– Naib Ketua Pemuda – calon 2 orang (1)
– AJK – calon 64 (20)

• Pergerakan Puteri UMNO
– Pengerusi Tetap – calon 2 (1)
– Timbalan Pengerusi Tetap – calon 3 (1)
– Ketua Puteri – calon 6 (1)
– Naib Ketua Puteri – calon 4 (1)
– AJK – calon 53 (20)

Sebanyak 45 parti dari 42 buah negara di peringkat antarabangsa telah diundang ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini sementara sebanyak 63 perwakilan Kelab UMNO Luar Negara telah mengesahkan kehadiran daripada 70 kelab yang diundang ke Perhimpunan Agung UMNO 2008.

Seramai 2,509 orang perwakilan Perhimpunan Agung sementara, 796 perwakilan untuk Perhimpunan Agung Wanita UMNO, 791 perwakilan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO dan 789 Perhimpunan Agung Puteri UMNO.


Perhimpunan Agung UMNO 2009 merupakan Perhimpunan Agung UMNO kali ke-58 yang dirancangkan pada bulan Mac 2008, kemudian ia sepatutnya akan diadakan pada 16 Disember 2008 iaitu selepas semua parti komponen mengadakan mesyuarat agung. Majlis Tertinggi UMNO memutuskan tarikh perhimpunan Agung UMNO ditunda ke 24 hingga 28 Mac 2009. Selepas Pilihan Raya Umum Malaysia 2008 yang menyaksikan kerajaan Barisan Nasional / UMNO kecundang di banyak kawasan telah mendesak agar perhimpunan khas diadakan pada bulan Mei 2008. Pada perhimpunan kali ini, pemilihan pemimpin UMNO dilakukan. Sebelum ini pemilihan UMNO diadakan pada 2004 selepas Barisan Nasional / UMNO menang besar dalam PRU 11.



DALAM tempoh beberapa hari akan datang, kota metropolitan Kuala Lumpur menjadi tumpuan ahli-ahli Umno dari seluruh negara.

Mereka berkampung di ibu negara menjelang berlangsungnya perhimpunan agung tahunan Umno Mac ini, yang bakal mencipta sejarah, sebagai detik peralihan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Selain ribuan perwakilan dari seluruh pelosok tanah air, ribuan lagi pemerhati menjejaki bangunan PWTC atas nama dan tiket perjuangan parti.

Inilah yang berlaku pada setiap kali perhimpunan parti di setiap tahun – ia dinantikan dengan penuh minat oleh setiap ahli Umno di mana mereka berlumba-lumba dan berusaha mencari peluang dan kesempatan untuk sama-sama hadir biarpun sekadar sebagai pemerhati.


Kesempatan mereka datang ke Kuala Lumpur turut dipergunakan untuk berkunjung ke pelbagai destinasi pelancongan menarik selain “menyerbu” pusat beli-belah sekitar Lembah Klang.

Tidak hairanlah jika dalam tempoh terdekat ini, kita sering terjumpa dengan ahli-ahli Umno berljalan-jalan di pusat beli-belah seperti The Mall, Sogo,sepanjang jalan Chow kit dan jalan Tuanku abdul Rahman.


Dan seperti lazimnya juga, selepas berakhirnya perhimpunan agung parti nanti, ramai juga ahli Umno akan ke Nilai, Negeri Sembilan, yang sememangnya terkenal sebagai tempat jualan borong pelbagai barangan yang menawarkan kadar harga yang cukup murah.

Bagi ahli Umno dari Sabah (satu-satunya negeri di seberang Laut China Selatan) yang mempunyai bahagian parti ini, perhimpunan tahunan parti telah menjadi seperti suatu pesta yang cukup meriah.




Selain perwakilan yang sememangnya dibiayai untuk hadir, ramai lagi pemerhati hadir menyertai rombongan bahagian masing-masing. Kewujudan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, memberi peluang kepada ramai orang untuk datang ke Kuala Lumpur. Mereka membuat tempahan awal, sama ada secara persendirian atau berkumpulan.

Sejak beberapa hari lalu, saya sendiri terserampak dengan ramai orang Sabah di Kuala Lumpur. Ada yang tinggal di hotel, manakala sebahagian pula menumpang dengan sanak-saudara atau pun anak-anak yang bekerja di ibu negara.

Ada yang saya temui itu kali pertama datang ke Kuala Lumpur. Ada juga yang saya temui pada setiap tahun perhimpunan parti diadakan.


Bagi pemerhati, perhimpunan ini menjadi ruang masa mereka “melancong” selain mengikuti proses dan perjalanan mesyuarat parti yang dianggotai bersama.

Tidak hairanlah, mereka menggunakan pelbagai cara dan kaedah untuk dapat bersama-sama hadir. Ada yang melobi pemimpin, ada yang mencari penaja sendiri. Tidak kurang juga yang datang dengan biaya sendiri.

Kesempatan untuk hadir bukan sekadar dapat mengikuti suasana dan kemeriahan perhimpunan itu sendiri, tetapi lebih penting dapat mengenali serta menjalin muafakat sesama ahli Umno dari tempat dan negeri lain.




Pertemuan ini bukan sekadar dapat mengeratkan muhibah dan integrasi antara kaum dan wilayah, tetapi lebih penting dapat membantu memperkukuhkan Umno yang menunjangi pemerintahan negara kita.

Ini kerana para pemerhati berkesempatan untuk berkongsi cerita dan pengalaman sesama pemerhati ketika berjalan-jalan di luar dewan persidangan.


Berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelum ini, ada segelintir pemerhati menjadi golongan yang lebih “excited” menghadiri perhimpunan kerana mungkin dengan agenda tersendiri mereka.

Bagi saya, kehadiran dalam perhimpunan, terutama di kalangan pemerhati, adalah satu hal yang subjektif. Yang penting adalah komitmen perjuangan untuk survival parti.


Saya katakan demikian kerana perjuangan ke arah memperkukuhkan parti tidak ada noktah dan penghujung. Usaha mesti berterusan bagi menentukan Umno sentiasa dan terus relevan.
Justeru bagi perwakilan, mereka mempunyai tanggungjawab dan amanah cukup besar untuk ditunaikan pada perhimpunan kali ini.

Perwakilan bukan sekadar bertanggungjawab untuk mempertahankan parti dan memelihara kestabilan yang sudah terjalin, tetapi lebih penting bakal menentukan halatuju dan masa depan Umno menerusi proses pemilihan yang bakal dibuat pada kali ini.


Perwakilan perlu memilih barisan kepimpinan untuk mengemudi perjuangan parti, sekurang-kurangnya untuk tiga tahun ke hadapan.

Dengan persetujuan telah dicapai bagi proses peralihan jawatan Presiden daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kini gelanggang terbuka bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Tertinggi selain daripada kepimpinan dalam sayap Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.

Selamat Bersidang!


KUALA LUMPUR, 24 Mac -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden UMNO melambai kepada perwakilan ketika tiba di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini untuk menghadiri majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2008.



Kuala Lumpur PWTC 24 Mac 2009 @3.00 Petang , Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berbual dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menghadiri Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2008 di Dewan Merdeka PWTC semalam.Gambar : Izham Jaafar



Kuala Lumpur 24 Mac 2009. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2008 di Dewan Merdeka PWTC semalam.Gambar : Izham Jaafar



KUALA LUMPUR-24 MAC 2009, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bercakap sesuatu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum beliau memberi amanat pada majlis taklimat Presiden menjelang Perhimpunan Agung Umno 2009. Gambar ASWAD YAHYA Pemberita Am


KUALA LUMPUR 24 MAC 2009 _ Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Ahli Majlis Tertinggi UMNO hadir pada Majlis Taklimat Presiden di Dewan Merdeka PWTC semalam. GAMBAR ZULAZHAR SHEBLEE / PEMBERITA : TEAM UTUSAN

 

KUALA LUMPUR 24 MAC 2009 - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersalaman dengan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selepas sidang media pada Majlis Taklimat Presiden di Dewan Merdeka, PWTC Kuala Lumpur semalam. Gambar : Pemuda UMNO / Pix Only
Perhimpunan itu, yang berlangsung sehingga 28 Mac ini, menyaksikan 4,885 perwakilan memilih 267 calon yang bertanding merebut pelbagai jawatan dalam Majlis Tertinggi UMNO dan ketiga-tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri.
 
NYANYIAN lima lagu membuka tirai perhimpunan agung Umno malam tadi ketika Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, merasmikan serentak ketiga-tiga sayap parti – Pemuda, Wanita dan Puteri di Dewan Merdeka PWTC.

Perwakilan kelihatan begitu bersemangat ketika menyanyikan lagu-lagu itu, lambang keperkasaan jiwa mengharungi perjuangan di gelanggang politik tanah air.




KUALA LUMPUR 24 MAC 2009 _ Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak memberi ucapan pada Majlis Perasmian Perhimpunan Permuda, Wanita dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka PWTC semalam. GAMBAR ZULAZHAR SHEBLEE / PEMBERITA TEAM UTUSAN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, yang bakal menerajui Umno minggu ini, malam tadi menggariskan visi beliau bahawa ahli-ahli Umno perlu melakukan perubahan dan pembaharuan komprehensif bagi membolehkan ia kekal relevan sebagai parti pilihan penting orang Melayu dan rakyat negara ini.
Berucap merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, yang pertama selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008, beliau memberi amaran Umno akan kehilangan sokongan sekiranya ia tidak melakukan perubahan.
Ucapan beliau itu yang bertemakan Menakhoda Zaman merupakan terakhir selaku Timbalan Presiden Umno, malah dilihat sebagai bayang-bayang awal tentang visi kepimpinannya apabila menerajui Umno mulai minggu ini secara rasmi.
Najib akan menerima tampuk kepimpinan daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden Umno.


KUALA LUMPUR 24 MAC 2009 _ Ketua Pemuda UMNO, Datuk Hishamuddin Tun Hussin Onn bersama Ketua Wanita, Tan Sri Rafidah Aziz menepuk tangan semasa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Permuda, Wanita dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka PWTC semalam. GAMBAR ZULAZHAR SHEBLEE / PEMBERITA TEAM UTUSAN

"Berubahlah, jika tidak, kita rebah," kata beliau.
Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil oleh parti itu iaitu mengubah cara Umno menentukan pemimpin dan sekaligus membendung masalah politik wang dan mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik untuk anggota-anggota.
Umno, katanya, perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar agar pemilihan parti lebih mencerminkan hasrat lebih tiga juta anggotanya di peringkat akar umbi.
"Situasi hari ini menuntut Umno sebagai wahana perdana politik orang Melayu agar memperbetulkan kembali visi dan hala tujunya, sekali gus mengenal pasti langkah-langkah bugar untuk mentransformasi Umno supaya kembali menjadi parti pilihan orang Melayu," katanya.

Kuala Lumpur 24 Mac 2009 : Perhimpunan Agong Umno 2008 di PWTC,semalam. Gambar : Shaifudin Mohd Nor / Pemberita : Team UMNO

Malah Najib juga meminta para perwakilan Umno memberinya "satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi berdedikasi."
"Safkanlah kepada saya sekumpulan pimpinan yang ampuh dan padu," katanya.
Justeru kata beliau, tanggungjawab para perwakilan pada tahun ini adalah yang paling berat dalam sejarah Umno berbanding sebelum ini kerana yang menjadi pertaruhan kali ini bukan hanya sejumlah jawatan, kedudukan atau status bagi manamana individu.
"Yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival Umno itu sendiri. Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah," katanya.
Najib juga berkata, Umno memerlukan "barisan pemimpin yang berupaya lagi mengupayakan; pemimpin yang berani berubah dan sanggup menerima perubahan; yang berani menegur dan terbuka pula menerima teguran".
Najib turut melahirkan harapannya agar permuafakatan yang wujud dalam parti diteruskan apabila beliau memegang jawatan presiden nanti.
"Saya juga percaya sokongan yang seumpamanya jua akan diberikan kepada Timbalan Presiden Umno baru yang bakal dipilih kelak.
"Dengan penuh semangat saya yakin bahawa, jika kita semua terus bersatu dan berganding bahu, yang berat akan tetap mampu dipikul, yang ringan dapat pula dijinjing bersama menakhoda zaman," katanya.
Intipati ucapan Najib:
- Tugas perwakilan Umno kali ini adalah yang paling berat dalam sejarah Umno kerana pemilihan kali ini bukan hanya mempertaruhkan sejumlah jawatan, kedudukan dan status individu tetapi survival Umno itu sendiri
- Keputusan yang akan dibuat oleh para perwakilan Umno kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah
- Ahli Umno tidak harus apologetik dalam berhadapan dengan retorik dan tohmahan parti-parti pembangkang
- Ahli Umno perlu berpijak di bumi nyata dan tidak terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan baru
- Ahli Umno mestilah menghapuskan politik wang sehingga ke akar umbi dan jika tidak, mereka akan samasama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan parti itu
- Umno perlu hentikan amalan jelek cantas mencantas serta menyekat manamana pihak supaya tidak dilihat sebagai parti yang anti idea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda
- Situasi hari ini menuntut Umno memperbetulkan kembali visi dan hala tujunya, sekali gus, mengenal pasti langkah-langkah bugar untuk mentransformasi parti itu supaya kembali menjadi parti pilihan orang Melayu
- Umno perlu mengkaji semula perlembagaan parti daripada aspek proses pemilihan kepimpinan parti bagi memastikan lebih ramai ahli dari semua peringkat dapat menyertainya, sebagai salah satu langkah membendung politik wang
- Umno perlu pemimpin yang ampuh dan padu serta pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi


Kuala Lumpur PWTC 24 Mac 2009 @8.00 malam GARIS VISI... Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Timbalan Presiden UMNO ketika berucap merasmikan serentak persidangan perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada Perhimpunan Agung UMNO 2008 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi. Beliau antara lain meminta orang Melayu kembali kepada ajaran Islam dan tidak terjebak kepada budaya fitnah memfitnah yang semakin menghimpit perpaduan kaum itu sejak kebelakangan ini. Perhimpunan itu, yang berlangsung sehingga 28 Mac ini, menyaksikan 4,885 perwakilan memilih 267 calon yang bertanding merebut pelbagai jawatan dalam Majlis Tertinggi UMNO dan Wanita, Pemuda dan Puteri. -fotoBERNAMA




Saudara-saudari sidang perwakilan dan pemerhati sekalian,

1. Alhamdulillah, marilah sama-sama merafakkan syukur setulusnya ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita berhimpun pada malam ini.

2. Pertama sekali, kita ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di atas tanggungjawab melaksanakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian dengan sempurna.

3. Sesungguhnya Wanita, Pemuda dan Puteri adalah tulang belakang dan sayap parti Umno. Jatuh bangun, gagal jaya parti bergantung kepada semua ahli terutama saudara dan saudari. Bersama semangat dan azam, Wanita, Pemuda serta Puteri mesti berusaha dengan penuh iltizam untuk menjadi satu pasukan yang terus menyalakan obor perjuangan. Yakinlah bahawa, kita sedang mengibarkan panji-panji kebenaran. Yakinlah bahawa, kita sedang bergerak di landasan yang mulia. 



Kuala Lumpur 24 Mac 2009 - Tan Sri Rafidah Aziz berkata sesuatu kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semasa mesyuarat Wanita UMNO di PWTC, semalam. Gambar: Ahmad Zakki Jilan / Pemberita: Faizah (am)


4. Baru-baru ini, kita menghadapi dua pilihan raya kecil iaitu Parlimen Permatang Pauh dan Parlimen Kuala Terengganu. Sekalipun nasib tidak menyebelahi kita, saya berterima kasih kerana Wanita, Pemuda dan Puteri tetap menunjukkan semangat yang tinggi dalam perjuangan. Begitulah kita yakin komitmen seumpama ini akan diserlahkan jua dalam tiga pilihan raya kecil yang bakal kita hadapi pada 7 April nanti.



Saudara dan saudari,



5. Sememangnya, perhimpunan kali ini adalah yang julung kali selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac, 2008. Jelas sekali, keputusan pilihan raya tersebut adalah yang terburuk pernah dialami oleh parti. Buat pertama kali kita kehilangan majoriti dua pertiga semenjak tertubuhnya Barisan Nasional lebih tiga dekad yang lampau. Walau pahit bak hempedu, walau kelat bak ketereh, itu adalah realiti yang perlu kita terima.



6. Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa ia berkait rapat dengan beberapa kelemahan yang sedang menular dalam parti. Pada persepsi ramai orang, hala tuju Umno telah menyimpang jauh dari perjuangan asal penubuhan parti. Ternyata, ada sesuatu telah menyebabkan sejumlah besar rakyat yang dahulunya bersama Umno kini menukar haluan mereka.



7. Lantaran itu, tugas saudara dan saudari, perwakilan pada tahun ini, adalah yang paling berat dalam sejarah Umno. Berbeza dengan tahun-tahun pemilihan lalu, yang dipertaruhkan kali ini bukan hanya sejumlah jawatan. Bukan pula sekadar kedudukan atau status bagi mana-mana individu. Yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival Umno itu sendiri. Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.


Kuala Lumpur 24 Mac 2009 - Tan Sri Rafidah Aziz bersalaman dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semasa mesyuarat Wanita UMNO di PWTC, semalam. Gambar: Ahmad Zakki Jilan / Pemberita: Faizah (am)



8. Hakikatnya, Umno masih disayangi oleh orang-orang Melayu. Tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan Umno sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat walaupun dinafikan majoriti dua pertiga. Atas sebab itu, Umno wajib mengambil iktibar yang betul dari mesej yang disampaikan oleh orang Melayu. Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli.


Saudara dan saudari,

9. Sebagai orang Islam, dalam menghadapi kemelut dan pelbagai cabaran, eloklah kita kembali merujuk kepada ajaran agama. Marilah merenung tiga ayat berikut sebagai panduan dan pedoman.


Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 bermaksud:

Ya Allah yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau mahu dan Engkau jua yang mencabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang Engkau mahu dan Engkau hinakan pula sesiapa yang Engkau kehendaki.


Dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 ditegaskan:

Bagi manusia ada malaikat yang berganti-ganti mengintip, di hadapan dan di belakang . Mereka itu menjaganya dari perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tiada mengubah keadaan suatu kaum kecuali jika mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.


Surah Az-Zumar ayat 53 Allah memberikan harapan bahawa :

Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.


10. Mengambil maklum dan iktibar daripada ayat-ayat suci itu, makanya, kita berkumpul pada malam ini bukan untuk bersedih mahu pun untuk berduka lara di atas musibah yang berlaku, akan tetapi kita berhimpun sebagai sebuah parti atas satu tujuan untuk mencarta dan memeta arah tuju seterusnya kepada perjuangan Umno.



11. Pujangga mengatakan, untuk melihat masa depan, kita mesti merenung sejarah lampau dan menakul peristiwa semasa. Sejarah telah membuktikan sepanjang enam puluh tiga tahun kewujudannya, Umno telah banyak menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara. Umno telah menjadi parti peneraju kepada usaha mencapai kemerdekaan. Inilah kejayaan monumental yang dicapai apabila Umno mendukung aspirasi massa dan mewakili denyutan nadi rakyat terbanyak.



12. Ketika itu juga, menyedari usaha untuk mendapatkan kemerdekaan tidak boleh dijayakan oleh orang-orang Melayu sahaja, satu formula perkongsian kuasa yang bitara di antara kaum telah diasaskan oleh pucuk pimpinan Umno. Umno juga telah membuat pengorbanan besar apabila di dalam Pilihan Raya Umum Pertama pada tahun 1955, sanggup memberi kerusi majoriti Melayu untuk diwakili oleh parti-parti bukan Melayu. Pengorbanan mulia tersebut telah menjadi tradisi Umno sehinggalah kini.




Saudara dan saudari,



13. Pencapaian Umno lebih enam dekad penubuhannya bukanlah kejayaan kecil atau enteng. Ia tidak terhenti setakat memperoleh kemerdekaan malah telah berjaya mengisi kemerdekaan dengan prestasi rekod yang sangat cemerlang. Oleh itu, ahli-ahli Umno tidak harus apologetik dalam berhadapan dengan retorik dan tohmahan parti-parti pembangkang.



14. (Dekad Pertama Pasca Merdeka 1957-1970). Umno hadir di persada politik tanah air bukan sekadar pemerhati di gerigi sejarah sebaliknya Umno telah terlibat secara pro aktif dalam melakar, mencanai, mencorak serta membentuk perjalanan bangsa dan negara. Pada dekad pertama kemerdekaan, sebaik sahaja tamatnya darurat, bukankah pucuk pemimpin Umno yang telah melancarkan perang terhadap kemiskinan melalui pembukaan tanah-tanah rancangan Felda serta membangunkan kawasan luar bandar.



15. (Dekad Kedua Pasca Merdeka 1971-1980). Pada dekad kedua kemerdekaan pula, apabila ketidakpuasan hati rakyat dimanifestasikan melalui tragedi 13 Mei 1969, bukankah kepimpinan Umno telah bingkas mengenal pasti kelemahan yang timbul lalu menggubal Dasar Ekonomi Baru. Hasilnya, pelaksanaan DEB telah berjaya mencipta kelas menengah Melayu pada skala besar dan menjadi asas kepada tiga dekad pertumbuhan seterusnya ekonomi Malaysia.



16. (Dekad Ketiga Pasca Merdeka 1981-1990). Dalam dekad ketiga kemerdekaan pula, apabila berlaku kemelesetan ekonomi kesan jatuhnya harga komoditi, bukankah kepimpinan Umno yang telah mencetuskan inisiatif industrialisasi dan memulakan program penyediaan prasarana secara besar-besaran?



17. (Dekad Keempat Pasca Merdeka 1991 – 2000). Selanjutnya, dalam dekad keempat kemerdekaan, bukankah kepimpinan Umno yang telah menggariskan Wawasan 2020 untuk menyediakan tapak bagi melonjakkan Malaysia memasuki era teknologi maklumat dan globalisasi? Semasa kegawatan kewangan tahun 1997 dan tahun 1998, apakah tidak Umno juga yang menyelamatkan Malaysia dari terjerumus ke dalam perangkap krisis ekonomi Asia? Malah, kita telah berjaya mencorakkan formula tersendiri sekali gus keluar dari kemelut kewangan, menolak telunjuk IMF. Ironisnya hari ini, cara kita telah menjadi ikutan negara-negara yang dulunya lantang mengkritik.



18. Alhamdulillah, memang ternyata Umno mampu mengubah kesengsaraan menjadi harapan. Telah terbukti juga Umno adalah parti yang berupaya membina satu bangsa bermaruah dan dihormati di seantero dunia. Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja. Hakikatnya, Umno parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman.



Saudara dan saudari,

19. Waima apa pun kehebatan dan pencapaian parti, ahli-ahli Umno hari ini perlu berpijak di bumi nyata. Lanskap politik negara telah berubah sama sekali. Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru. Sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari tuntutan zaman, kita tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa-jasa semalam.

20. Merujuk sudut demografi, lebih satu pertiga (41.5 peratus pada tahun 2005 diunjurkan 40.2 peratus pada 2010) daripada jumlah rakyat Malaysia berada dalam kategori belia yakni lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun. Lebih 70 peratus pula berada di bawah usia 40 tahun yang lahir pasca tragedi 13 Mei 1969. Secara keseluruhannya, 90 peratus adalah generasi merdeka. Manakala, anak-anak pasca tamatnya Dasar Ekonomi Baru iaitu mereka yang lahir pada tahun 1991 pula akan layak sebagai pengundi menjelang tahun 2012.

21. Secara langsung, perubahan yang disertai dengan kemajuan di bidang ICT, pengangkutan, ekonomi dan pendidikan telah melahirkan kelompok pengundi lebih bermaklumat, mendesak lagi kritikal. Harus diingat bahawa generasi ini mungkin tidak dapat menjiwai perjuangan lalu kerana mereka tidak hadir dalam peristiwa-peristiwa tersebut dan sekadar mengetahuinya melalui buku-buku atau cerita-cerita sahaja.

22. Kendatipun begitu, tidak bermakna kita ingin memperkecilkan kepentingan hasil perjuangan golongan terdahulu. Akan tetapi ia menuntut kita untuk kembali menjadi peneraju perubahan dalam memenuhi aspirasi orang-orang Melayu khususnya. Demi mencapai matlamat ini kita mesti melakukan proses muhasabah, pembaruan dan islah. Jelasnya, kondisi untuk maju ke hadapan, memerlukan kita mengenal pasti apakah kelemahan dan kekuatan. Kelemahan perlu diperbaiki manakala kekuatan sedia ada perlu diperkukuhkan dan dimantapkan. Jika kita tidak melakukan proses ini, Umno akan dilihat sebagai sebuah parti yang terus-terusan berada dalam penafian. Usaha pembaruan ini amat menuntut kita untuk menggilap semula idealisme perjuangan.

23. Untuk itu, Umno harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat. Umno dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang. Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan.

24. Jelas, kalau tidak dibendung dan membarah, kelaknya pemimpin dan pengikut akan menganggap ia sesuatu yang biasa hingga timbul ungkapan ‘ beri salah, tidak beri kalah’. Barangkali juga semua dalam dewan ini tahu apa itu SK dan SI, Salam Kosong dan Salam Isi ... Ini bukan satu gurauan. Kita mestilah menghapuskan politik wang hingga ke akar umbinya. Jika tidak, nantinya kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan Umno, parti tercinta ini.


Saudara dan saudari,

25. Umno sama sekali tidak boleh dilihat sebagai parti yang anti idea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda. Kita adalah parti yang bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka. Kini, 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi. Angka diunjur ini akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus apabila tibanya 2020. Apa yang penting, janganlah kita biarkan hasil semaian Umno ini terlepas ke tangan pihak lain. Sebolehnya, kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka.

26. Kita mesti juga memastikan amalan jelek cantas mencantas dan sekat menyekat mana-mana anak-anak Melayu, tua atau muda, terpelajar atau tidak, dihentikan pada detik, saat dan ketika ini juga. Sikap tercela ini akan hanya menjauhkan kita dari mereka yang penuh ikhlas ingin berkongsi perjuangan. Hal ini jika tidak dikawal, sedikit demi sedikit akan menyemai bibit-bibit kemusnahan kepada parti yang selama ini menjadi tonggak bangsa dan negara.

27. Selain itu, sama ada kita sedar atau tidak, banyak pihak hari ini menanggap, terdapat keterpisahan antara aspirasi Umno dan aspirasi massa. Bagi mereka, cita rasa Umno bukan lagi cita rasa rakyat. Oleh yang demikian, orang-orang Umno janganlah terperangkap dalam kepompong sendiri dan terlalu asyik dengan proses dalaman parti. Janganlah begitu teruja dalam merebut kedudukan sehingga lupa tentang kayu ukur sebenar kejayaan parti demokratik itu adalah, memenangi pilihan raya atau pun tidak. Apalah gunanya kita menduduki jawatan dalam sebuah parti yang tidak ada kuasa dan tidak menerajui kerajaan?

28. Selanjutnya, kita akui bahawa bukan semua orang Melayu adalah ahli Umno. Dari itu, percayalah Umno akan kuat jika pintu kemasukan dibuka seluas-luasnya kepada orang-orang Melayu dan Umno terus kekal menjadi parti yang mewakili aspirasi mereka. Umno juga akan menjadi hebat jika budaya merendah diri dan sikap suka berkhidmat kepada masyarakat menjadi amalan ahli-ahlinya. Umno akan menjadi lebih kukuh jika ahli-ahli Umno berhenti mempersoalkan apakah yang mereka boleh dapat dari parti, sebaliknya apakah sumbangan kepada agama, bangsa dan negara melalui Umno.

29. Lalu, sewajibnya dikikis serta dibuang jauh, imej serta tanggapan bahawa pimpinan Umno kini elitis dan terasing dari dakapan rakyat. Pemimpin Umno mestilah cekap menafsir apakah hasrat dan apa yang sebenar sedang berlaku di kalangan masyarakat. Janganlah kita seperti kadok naik junjung seraya lupa bahawa Umno itu adalah parti akar umbi, lupa akan hakikat Umno itu, parti yang lahir dari semangat membara rakyat kebanyakan. Insaflah, di jemala Umno terjunjung amanah membela untung nasib rakyat.

30. Jika benar kita telah menyimpang dari roh dan semangat asal perjuangan suci Umno, maka haruslah kita berubah dan balik semula ke pangkal jalan. Kita bawa semula Umno menelusuri landasan sebenar. Untuk itu, kita perlukan barisan pemimpin yang berupaya lagi mengupayakan; pemimpin yang berani berubah dan sanggup menerima perubahan; yang berani menegur dan terbuka pula menerima teguran.

Saudara dan saudari,

31. Sebagai komponen terbesar sayap Umno, pergerakan Wanita di bawah kepimpinan Tan Sri Rafidah Aziz telah mempamerkan iltizam yang kukuh dalam apa jua keadaan terutamanya di setiap pilihan raya. Perpaduan pergerakan Wanita sangat penting untuk Umno. Oleh itu, janganlah disebabkan keghairahan sementara, kita meruntuhkan pula apa yang terbina selama ini. Kita tidak mahu melihat wujudnya sebarang perpecahan. Bersatulah, kerana sesungguhnya yang menang tidak akan menang semua dan yang kalah tidak akan kalah segala-galanya. Yang menang hendaklah berjiwa besar dan berlapang dada menerima yang kalah, manakala yang tewas, hendaklah akur dan menghormati keputusan demi meneruskan perjuangan parti. Bak kata pepatah apabila biduk berlalu kiambang pun bertautlah kembali.

32. Kepada Pemuda, saudara semua adalah hulubalang yang menjadi perisai parti. Pemuda memang terkenal kerana selama ini berada di barisan hadapan perjuangan. Dekad lampau yang penuh ranjau menyaksikan barisan Pemuda teguh membentengi parti. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang telah berjaya mengetuai Pemuda dari era kegetiran kepada era kestabilan, seterusnya memberi kepimpinan yang komited dalam menyokong aspirasi perjuangan selama lebih satu dasawarsa.

33. Begitulah juga, Puteri Umno yang ditubuhkan hampir sedekad lalu, memang, telah berjaya mencetuskan minat golongan wanita muda untuk membabitkan diri dalam arus politik perdana. Terima kasih diucapkan kepada Datuk Noraini Ahmad yang telah menjalankan tugas dengan lancar sepanjang beliau memegang tampuk kepimpinan Puteri Umno. Yang mustahak, kita ingin melihat Puteri terus bersemangat dan gigih bekerja sebagai elemen yang sentiasa berupaya menyegarkan perjuangan parti.

Saudara dan saudari,

34. Persidangan kali ini menjadi tanda penyerahan obor perjuangan kepada generasi kepimpinan baru. Perjuangan lima dekad pertama selepas kemerdekaan hendaklah menjadi asas kepada perjuangan 50 tahun mendatang. Oleh itu, untuk Umno terus kekal relevan, generasi kepimpinan baru wajar menyedari bahawa 50 tahun kedua kemerdekaan amat berbeza dengan apa yang pernah Umno lalui. Pemimpin-pemimpin Umno seharusnya memastikan parti sentiasa berada di hadapan kelok pembaruan bukannya penaklid yang mengekor di belakang. Hal ini menuntut kepada penelitian semula pendekatan, sikap dan sistem nilai ahli-ahlinya.

35. Contoh yang paling mudah, jika diimbau pada pilihan raya 1999, pada peringkat awal munculnya pengaruh media baru, kita bersikap tidak acuh pada perkembangan itu. Lima tahun kemudian semasa pilihan raya tahun 2004, kita masih mengambil mudah kebangkitan media alternatif. Kita telah alpa dengan mandat besar yang diberikan oleh rakyat hatta tidak bersiap siaga untuk menghadapi peperangan alam siber. Natijahnya, semasa pilihan raya Mac tahun 2008, kita telah tersentak dari lamunan dek kegagalan memahami kesan pengaruh media baru.

36. Suka atau tidak, kita tidak boleh menjadikan hambatan medium ini sebagai musuh. Generasi muda kepimpinan Umno harus berperanan sebagai pelaku proaktif di tengah-tengah fenomena. Generasi muda kepimpinan Umno perlu berbicara dalam lenggok bahasa komuniti siber. Generasi muda kepimpinan Umno juga mesti menjadi pemuka kepada penggunaan teknologi sebagai senjata politik. Barulah kita, boleh mengaku sebagai parti yang mewakili bisikan nurani sebenar rakyat terutamanya di kalangan generasi muda. Barulah kita, boleh menang dalam persaingan idea dan pertarungan pengaruh di antara parti-parti politik.

Saudara dan saudari,

37. Dalam tradisi Melayu Islam, apabila sesat di tengah jalan kita dianjurkan kembalilah semula ke pangkalnya melalui proses muhasabah dan introspeksi. Oleh itu, sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW marilah kita mengambil semangat dan pengajaran dari perjalanan sirah Baginda sebagai contoh pemimpin transformasi yang teragung. Baginda telah berjaya memimpin dan mentarbiah masyarakat jahiliah yang diliputi kegelapan menuju sirna ketamadunan.

38. Rasulullah juga semasa berhijrah telah mempersatukan antara kaum Auz dan Khazraj. Kemudian mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Selepas itu menyatupadukan pula orang-orang Islam dan bukan Islam. Semua ini dilakukan kerana Rasulullah menyedari peri pentingnya perpaduan sebagai asas kota Madinah ketika itu. Ini menunjukkan kejayaan atau kegagalan, kecemerlangan mahupun kebungkaman sesuatu tamadun dan bangsa itu tidaklah ditentukan oleh faktor fizikal semata-mata. Faktor yang lebih utama adalah faktor emosional, spiritual serta sistem nilai yang mendasari pegangan juga amalan masyarakat dan kepimpinannya.

39. Tersenarai antara nilai-nilai utama yang menentukan maju mundur sesuatu bangsa adalah muafakat, berdisiplin, menghormati waktu, mengotakan janji, dedikasi kepada tugas, pelaksanaan yang cekap, ketekunan bekerja dan meletakkan kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri. Inilah sebenarnya nilai-nilai sarwajagat Islam yang telah diterapkan oleh Rasulullah dalam membimbing umat mencapai al-falah.

40. Sejarah turut membuktikan apabila orang-orang Melayu berpegang teguh kepada amalan Islam kita akan menjadi bangsa yang dihormati. Menyingkap kecemerlangan tamadun Islam, makanya demi survival, Umno dan orang-orang Melayu perlulah melakukan hijrah dengan membuat pembaruan transformasi yang bersifat total dan tuntas. Mengambil iktibar daripada sirah, dapat disimpulkan bahawa perpaduan kebangsaan sewajibnya bermula dengan perpaduan di kalangan orang Melayu. Sayangnya, perpaduan Melayu hari ini diasak dari pelbagai sudut dengan budaya fitnah memfitnah, separuh benar dan pembohongan yang dahsyat. Hari ini, fitnah bukan sahaja berlaku di kalangan orang munafik tetapi sudah menjadi permainan golongan yang kononnya, mendakwa diri mereka sebagai pemimpin Islam dan agamawan.

41. Bertolak dari situ, situasi hari ini menuntut Umno, sebagai wahana perdana politik orang Melayu agar memperbetulkan kembali visi dan hala tujunya, sekali gus, mengenal pasti langkah-langkah bugar untuk mentransformasi Umno supaya kembali menjadi parti pilihan orang Melayu.

42. Untuk mencapai matlamat ini, pertama sekali, adalah sangat mustahak untuk mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik. Di semua peringkat ahli-ahli Umno perlu dididik dan diberi kefahaman secukupnya agar menjadi penyokong yang celik tentang sejarah parti. Barulah nanti akan wujud kesetiaan yang berasaskan kepada keyakinan terhadap perjuangan Umno. Kita tidak boleh mengambil mudah tentang proses ini yang sebenarnya telah menjadi punca kepada jatuh bangun sesebuah tamadun dan bangsa. Jadinya, kita perlu memperkukuhkan proses pendidikan dan pengkaderan melalui kursus-kursus politik secara terancang, berperingkat lagi tersusun berdasarkan kurikulum yang digubal khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan 'esprit de corps.'

43. Kita ingin mencadangkan kursus atau latihan kepimpinan berbentuk 3 hari 2 malam atau 4 hari 3 malam diperhebat di kem atau di pusat latihan seluruh negara. Modul kursus seumpama ini wajarlah padat dengan pengukuhan nilai murni perjuangan dan bertujuan melatih ahli menjadi pemimpin yang mulia. Kaedah latihan juga wajar bercorak lebih lasak termasuk modul kembara di hutan atau di laut untuk membina semangat kekitaan dan mengeratkan tali persaudaraan sesama ahli dan pimpinan.

44. Keduanya, kita mesti mengubah cara Umno menentukan pemimpin termasuklah sistem kuota. Kita perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar. Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi perhimpunan Agung Umno hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian. Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli Umno di peringkat akar umbi di seluruh negara. Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan Umno dari aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan Umno dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat.

45. Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa. Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi. Apabila rakyat sudah berpaut dengan kita, barulah Umno akan kembali menjadi perkasa. Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli Umno menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat. Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan.

Saudara dan saudari,

46. Hari ini kira-kira dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Atas kejayaan dasar-dasar yang digubal oleh Umno juga sebahagian besar masyarakat Melayu telah menjadi masyarakat bandar. Sehubungan dengan perkembangan ini, Umno bukan sahaja perlu terus memperkasa usaha memerangi kemiskinan di luar bandar tetapi juga perlu peka dengan masalah kemiskinan bandar. Perlu difahami bahawa sebilangan keluarga di bandar yang berpendapatan rendah kini sukar untuk memenuhi tuntutan kehidupan seharian.

47. Berdasarkan itu, bahagian-bahagian Umno di bandar perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengetengahkan rintihan golongan Melayu bandar yang berpendapatan rendah. Nyatanya pun, terbukti sejak sekian lama rekod kepimpinan Umno telah hampir berjaya membasmi kemiskinan tegar luar bandar melalui pelbagai rancangan. Sekarang tibalah masanya kita mengulangi kejayaan itu dalam membasmi kemiskinan bandar bersesuaian dengan konteks semasa. Lantas, Umno sebagai parti tonggak pemerintahan akan memastikan agenda ini diberi keutamaan oleh kerajaan.

Saudara dan saudari,

48. Umno menjunjung kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Raja-raja Melayu sebagai payung negara dan payung negeri menjadi elemen penting kepada supremasi perlembagaan. Walaupun dalam sistem ini raja bertakhta tapi tidak memerintah, setiap kerajaan tetap mentadbir atas nama baginda sebagai ketua cabang eksekutif. Oleh itu, jika orang-orang Melayu sendiri tidak menunjukkan rasa hormat kepada raja-raja kita yang selama ini menjadi asas kestabilan dan simbol perpaduan, maka, siapa lagi?

49. Justeru itu, janganlah mana-mana pihak memutarbelitkan fakta sejarah tentang tindakan Umno meminda undang-undang berkaitan raja-raja. Tindakan itu dibuat bukan dengan mala fide tetapi dengan hasrat yang murni untuk tetap mengekalkan dan melindungi kemuliaan raja-raja dalam usaha memperteguhkan doktrin pengasingan kuasa yang mendasari sebuah kerajaan demokrasi. Di sini, suka saya mengingatkan kepada semua orang Melayu, janganlah nanti sudah terhantuk baru terngadah. Pada pihak yang telunjuknya lurus tetapi kelingking berkait, janganlah pagi sembah setia tetapi petang sembah derhaka.

Saudara dan saudari,

50. Dengan segala cabaran nasional serta global, sedang dan akan dihadapi, kita sudah tiada masa. Krisis ekonomi yang melanda adalah di luar dugaan malah ia adalah krisis yang terburuk semenjak kemelut The Great Depression. Makanya, kita tidak boleh sekali-kali leka dibuai rasa selamat dan tidak berpaut dengan realiti. Zahirnya, ekonomi Malaysia hari ini amat berbeza dengan ekonomi 50 tahun dahulu. Hari ini, Malaysia adalah antara 20 negara dagang terbesar di dunia dengan nilai dagangan antarabangsa melebihi satu trilion ringgit setahun.

51. Tidak dapat dielakkan, apa yang berlaku di persekitaran ekonomi dunia memberi kesan langsung terhadap ekonomi kita. Kemakmuran yang kita nikmati hari ini adalah berasaskan kemakmuran global. Malaysia tidak boleh maju jika ekonomi dunia terus merudum. Kita juga tidak boleh pulih jika rakyat tidak mempunyai keyakinan. Malah prasyarat kepada pemulihan ekonomi adalah kestabilan politik dan keutuhan institusi negara. Dalam hal ini, janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Suka saya menyeru, marilah kita bersama meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik yang jumud dan sempit.

Saudara dan saudari,

52. Bahasa itu jiwa bangsa. Indahnya bunyi ungkapan. Di noktah ini saya ingin tegaskan bahawa kedaulatan bahasa Melayu akan tetap kita pertahankan walau apa pun yang terjadi. Namun begitu, harus diingat, tanpa bangsa apa gunanya bahasa. Misalnya, bahasa Latin telah hampir lenyap dan hanya hidup menjadi bahasa akademik di menara-menara gading serta istiadat dengan runtuhnya empayar Roman. Apatah lagi nasib bahasa Sanskrit, Inca dan Aztec yang mati dan tenggelam bersama bangsa penuturnya. Inilah nasib bahasa apabila bangsa penutur itu sendiri sudah tiada lagi. Lagipun, siapa yang hendak belajar bahasa yang dipertuturkan oleh bangsa yang lemah, miskin dan tidak berilmu.

53. Dek yang demikian, kelangsungan sesuatu bahasa bergantung penuh kepada kemapanan bangsanya. Hanya bangsa yang maju akan menjulang martabat bahasa, budaya dan sistem nilainya. Pokok pangkalnya, sesuatu bangsa itu perlu diperteguh dan diperkasakan terlebih dahulu. Ini memerlukan kepada penguasaan ilmu dan pengetahuan yang hari ini kebanyakannya didasari bahasa Inggeris. Seyogia, generasi muda terutamanya perlu bukan sahaja menguasai bahasa Inggeris malah sekurang-kurangnya tiga bahasa utama dalam usaha menakluki pasaran dunia (dan ini tidak termasuk dialek-dialek seperti Jawa, Bugis, Banjar dan dialek “Kelate”). Usahlah bimbang, mempelajari pelbagai bahasa tidak akan melunturkan jati diri kita sebagai orang Melayu sebaliknya akan lebih mengukuhkan keyakinan diri bangsa untuk berhadapan dengan era globalisasi.

54. Oleh yang demikian, jangan berlengah lagi. Hentikan segala polemik yang tidak bermanfaat. Hentikanlah juga segala bentuk kerenah politik yang menjengkelkan. Marilah kita bersama-sama menyingsing lengan mengumpul kudrat nasional demi memastikan kemakmuran negara akan berterusan. Ingatlah, Umno bukan parti siasah yang biasa seperti parti pembangkang, kita adalah parti yang telah diamanahkan oleh rakyat Malaysia untuk menjadi peneraju kepada kerajaan yang memerintah. Kendati itulah rakyat Malaysia sentiasa bergantung harap kepada Umno sebagai parti yang mampu memberi kepimpinan dan mencipta penyelesaian.

55. Melayu dan Umno tidak dapat dipisahkan. Bagai aur dengan tebing, bagai irama dengan lagu, apabila orang Melayu dan Umno bergerak sederap dan seiring, sejarah telah membuktikan bahawa maruah dan martabat bangsa telah berjaya diangkasakan. Namun apabila orang Melayu mula menjadi seperti enau dalam belukar ingin melepaskan pucuk masing-masing sehingga ada yang sanggup membelakangkan kepentingan bangsa, maka anasir-anasir tertentu telah mula menyelinap dan menangguk di air yang keruh. Kini orang Melayu tampak seolah-olah hilang punca dan kekuatan. Akibatnya, telah mula ada pihak-pihak yang mempersoalkan apa yang sudah dipersetujui dan termaktub dalam perlembagaan. Ada pula yang berani menuduh kita mengamalkan dasar aparteid. Sedangkan ini jauh menyimpang dari kebenaran.

56. Ketahuilah sesungguhnya, dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan bagi membantu orang Melayu bukan kerana kita merasakan bahawa bangsa Melayu lebih mulia dari sesiapa tetapi dasar-dasar ini digubal atas sebab bangsa Melayu masih ketinggalan di belakang bangsa-bangsa lain. Malah, jika membiarkan bangsa Melayu dan Bumiputera yang membentuk lebih dua pertiga rakyat negara terpinggir tanpa pembelaan itulah sebenarnya satu formula ketidakstabilan. Oleh sebab itu, kita akan meneruskan dasar yang adil bagi semua, tanpa mengira kaum.

57. Kesimpulannya, untuk kekal lestari Umno mesti memenangi semula hati dan pemikiran orang Melayu. Jadinya, mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah. Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah.

Saudara dan saudari,

58. Patah tumbuh hilang berganti. Di sini, saya bagi pihak Umno ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Presiden parti yang telah memimpin Umno sepanjang lima tahun lalu. Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dalam rangka mempertingkatkan keyakinan terhadap institusi kehakiman, telah menubuhkan Suruhanjaya Perlantikan Hakim. Begitu juga usaha berterusan beliau memerangi rasuah dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

59. Kita turut berterima kasih kepada Pak Lah di atas segala sumbangan khususnya dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial dari segi memerangi kemiskinan tegar dan memperkasakan industri pertanian negara.

60. Menjadi asas kepada semua ini adalah pemerkasaan modal insan yang sering ditekankan oleh YAB Perdana Menteri. Pak Lah melihat bahawa menjelang separuh abad kita merdeka, negara telah pun memiliki prasarana fizikal yang moden dan bertaraf antarabangsa. Kemajuan fizikal ini tidak lengkap tanpa dikendalikan oleh modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi. Usaha memperkasakan modal insan ini telah dijadikan teras seperti tergaris dalam misi nasional dan akan kita teruskan dalam perjalanan menuju wawasan negara.

Saudara dan saudari,

61. Menoleh perjalanan politik saya, sudah lebih 33 tahun saya bersama dengan sayap-sayap Umno setiap kali persidangan. Alangkah hiba rasanya, malam ini, saya berdiri di hadapan saudara dan saudari buat kali terakhir sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri. Saya juga berasa terharu dan tawadhuk kerana diri ini diamanahkan dengan kepercayaan padu akar umbi untuk memimpin parti dan seterusnya negara.

62. Sesungguhnya, saya diperinsafkan oleh hakikat bahawa laluan kepimpinan yang bakal diwarisi ini telah dirintis oleh pemuka-pemuka bangsa yang agung, bermula dari Allahyarham Datuk Onn Jaafar diikuti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, kemudian pula ayahanda saya yang dikasihi Allahyarham Tun Abdul Razak. Berikutnya beliau disusuli Allahyarham Tun Hussein Onn sebelum diambil alih oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad. Kini amanah yang dipikul oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan diserah pula kepada saya. Maka kini, dalam suasana yang begitu mencabar kepada parti dan negara, tergalas di bahu ini satu tugas besar bagi meneruskan tanggungjawab mulia parti Umno membela untung nasib rakyat.

63. Di sini, dengan ikhlas dirakamkan penghargaan peribadi kepada setiap ahli Umno yang telah menyokong saya. Saya juga ingin memahatkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya selama saya memegang jawatan Timbalan Presiden Umno.

64. Adalah diharapkan agar permuafakatan yang sebegini diteruskan apabila saya memegang jawatan Presiden nanti. Saya juga percaya sokongan yang seumpamanya jua akan diberikan kepada Timbalan Presiden Umno baru yang bakal dipilih kelak. Dengan penuh semangat saya yakin bahawa, jika kita semua terus bersatu dan berganding bahu, yang berat akan tetap mampu dipikul, yang ringan dapat pula dijinjing bersama menakhoda zaman.

65. Akhir kata, safkanlah kepada saya sekumpulan pimpinan yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi berdedikasi. Dipanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Esa, insya Allah, laungan perjuangan Umno sebagai pembela nasib rakyat akan terus bersemarak dan bergema di Dewan Merdeka ini. Patah sayap bertongkat paruh, gunung nak didaki, didaki jua.

66. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Persidangan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2008.

Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

KUALA LUMPUR 24 MAC 2009 _ Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak bersalaman selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Permuda, Wanita dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka PWTC semalam. GAMBAR ZULAZHAR SHEBLEE / PEMBERITA TEAM UTUSAN
 
Majlis perasmian tersebut menjadi detik bermulanya perhimpunan parti yang akan berlangsung sehingga hujung minggu ini.

Dalam ucapannya yang bertemakan “Menahkoda Zaman” itu, Datuk Seri Najib menitipkan peringatan dan pesanan cukup bermakna buat pemimpin dan ahli parti, termasuk di peringkat akar-umbi.

Lebih penting lagi, beliau mengemukakan beberapa cadangan dan pandangan yang menjurus ke arah memperkukuh dan memperkasakan lagi Umno, untuk dipertimbangkan perwakilan demi survival dan masa depan bangsa.

Datuk Seri Najib, yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan Umno daripada Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, turut meminta perwakilan yang berhimpun kali ini agar memberikannya satu saf kepimpinan yang padu untuk bersama-sama beliau mengharungi perjuangan.

Antara yang digariskannya termasuk barisan pemimpin mestilah setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi, agar ia menjadi sebuah armada yang cukup gagah menempuhi apa jua cabaran.

Justeru, peringatan dan nasihat serta harapan dan permintaan Datuk Seri Najib itu hendaklah dihayati oleh setiap pemimpin dan ahli Umno demi kelangsungan perjuangan parti.

Turut ditegaskannya ialah keberanian membuat perubahan dan menerima perubahan.

Bermakna, terpikul di bahu perwakilan Umno pada perhimpunan kali ini bagi menentukan masa depan dan halatuju Umno.

Pemimpin dan ahli Umno perlu mesra rakyat, mendekati rakyat dengan penuh dedikasi tanpa mengharapkan imbuhan.

Inilah juga antara lain mesej yang disuarakan oleh Datuk Seri Abdullah ketika menyampaikan amanat pada majlis Taklimat Presiden, petang Selasa di Dewan Merdeka PWTC.

Pak Lah antara lain mahukan agar barisan kepimpinan baru yang bakal dipilih pada perhimpunan ini, hendaklah terdiri daripada satu barisan kepimpinan yang disenangi rakyat.

Memandangkan perhimpunan kali ini adalah yang julung kali selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008, maka setiap perwakilan sewajarnya menoleh jejak-jejak yang telah ditinggalkan untuk membolehkan kita melangkah dengan penuh keyakinan.

Ini kerana banyak pengalaman menjadi pengajaran dalam pilihan raya umum lepas, antaranya kelemahan dalaman parti yang terbiar tanpa usaha memperbetulkan keadaan.

Kini adalah masa terbaik bagi ahli Umno, khususnya perwakilan untuk melestarikan parti supaya Umno kekal relevan sepanjang zaman.

Selamat Bersidang!


 
Bukit Bintang Kuala Lumpur , March 25 , 2009 hari ini Pergerakan Wanita UMNO , Pemuda dan Puteri meneruskan persidangan dan seterusnya mengadakan Pemilihan Penaraju kepimpinan sayap masing masing . Di PWTC pada ketika ini sungguh hangat dengan masing masing mempunyai penyokong untuk meraih undi pada saat saat akhir. Walau apa pun keputusan adalah ditangan para perwakilan yang layak memilih. Tahniah , UMNO akan terus suci dan terpeliharan dengan kematangan dan kesaksamaan para Ahli nya yang sentiasa berpijak di Bumi yang nyata.



Lot 10, Bukit Bintang Kuala Lumpur March 25 , 2009 Kesempatan yang ada ronda ronda keliling Kuala Lumpur sambil belanja yang mana perlu.


Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tawau yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang ke - 59 yang diadakan di PWTC Kuala Lumpur. 


Berada diPerhimpunan Agung UMNO 2008 yang begitu meriah dan memberangsangkan dimana pada ketika itu diadakan Pemilihan untuk Jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO Malaysia. 


Kuala Lumpur 24 Mac 2009 - Tan Sri Rafidah Aziz berkata sesuatu kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil semasa mesyuarat Wanita UMNO di PWTC, semalam. Gambar: Ahmad Zakki Jilan / Pemberita: Faizah (am)


25 March 2009 , Hishammuddin Tun Hussein dan barisan pemimpin Pemuda UMNO melaungkan kata-kata semangat sebelum Persidangan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

TEPAT pukul 10.42 pagi semalam, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima Keris Pancawarisan daripada Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai amanah membawa perjuangan Pemuda ke peringkat lebih tinggi.

Setelah 11 tahun menerajui Pemuda, Hishammuddin yang kelihatan menitis air mata akan meninggalkan pergerakan itu bagi meneruskan langkah lebih jauh dalam arena politik negara. Beliau yang akan bertanding jawatan Naib Presiden hari ini, sudah pasti akan mengingati segala jasa Pemuda yang mendidiknya menjadi pemimpin yang berjaya.

Hishammuddin tidaklah mengambil jawatan Ketua Pemuda dalam dulang emas pada tahun 1999, sebaliknya beliau ibarat menerima jawatan berkenaan dalam penuh kegetiran. Ketika itu UMNO berhadapan dengan krisis politik yang amat berat, ia tercetus berikutan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Hishammuddin dipilih memangku jawatan berkenaan apabila penyandang jawatan itu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan tersebut.

Sejak itu bermula era kepimpinan Hishammuddin yang penuh dengan kegetiran, namun sebagai seorang yang mewarisi bakat politik bapanya yang merupakan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, Hishammuddin tabah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan sehinggalah beliau berjaya meletakkan Pemuda sebagai satu barisan yang diterima oleh semua lapisan masyarakat.

Bagaimanapun sudah pasti Hishammuddin meninggalkan Pemuda dengan satu kenangan yang akan terpahat dalam sejarah politik negara apabila menjadi satu-satu pemimpin Melayu yang mendaulatkan kembali keris sebagai lambang keperkasaan Melayu.

Kemunculan pertama kali keris Pancawarisan ke pentas persidangan Pemuda UMNO pada tahun 2005 telah mencetuskan kontroversi. Walaupun dalam Perhimpunan Agung UMNO 2007, beliau menjelaskan mengenai kedudukan keris berkenaan namun apabila dalam pilihan raya umum 2008, Barisan Nasional (BN) mencatatkan keputusan teruk, isu keris turut dibangkitkan.

Dalam hujah sesetengah pihak mereka menganggap keris berkenaan telah menyebabkan kaum lain tidak mahu mengundi BN. Berikutan itu Hishammuddin telah meminta maaf seandainya perbuatan menghunus keris mengguris perasaan kaum lain tetapi beliau sama sekali tidak pernah meminta maaf kerana memartabatkan keris sebagai lambang kemelayuan yang mendukung kedaulatan, kekuasaan, maruah, jati diri, amanah dan tanggungjawab.

Tindakan Hishammuddin memohon maaf telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak dan menganggap ia sebagai pengkhianatan kepada orang Melayu. Lanjutan itu, dalam kempen merebut jawatan Naib Presiden, bertebaranlah SMS dan surat layang yang memburuk-burukkan beliau.

Berikutan itu, Hishammuddin secara tegas dalam ucapannya semalam berkata, beliau sama sekali tidak akan mengkhianati orang Melayu dan menyerahkan kepada Tuhan terhadap perbuatan fitnah yang ditujukan kepadanya.

Dalam persidangan semalam juga, Hishammuddin sekali lagi mengucup keris Pancawarisan. Apa yang berlainan kali ini ia tidak dihunuskan bagi mengelakkan mana-mana pihak memanipulasikan perbuatan berkenaan. Seperti mana beliau jelaskan dalam Perhimpunan Agung 2007, perbuatan mengucup keris bukan sekadar menerima kuasa tetapi ada kaitan dengan tugas yang datang bersamanya. Perlakuan ini ada hubungannya dengan kesediaan menjunjung tinggi tugas yang diwarisi dengan penuh keinsafan dan kejujuran.

Kini Hishammuddin meninggalkan Pemuda dan beliau telah diamanahkan membawa bersama Keris Pancawarisan sebagai amanah meneruskan perjuangan pergerakan itu ke peringkat lebih tinggi. Hishammuddin akan mengikut jejak Datuk Seri Najib Tun Razak yang suatu ketika dulu daripada Ketua Pemuda bertanding Naib Presiden.

‘‘Kejayaan Hishammuddin di peringkat Naib Presiden amat penting bagi memberikan isyarat bahawa Pemuda adalah kilang yang mengeluarkan pemimpin pelapis UMNO,” kata seorang pemimpin Pemuda ketika ditemui.

Hishammuddin dilihat salah seorang pemimpin yang berjaya dilahirkan Pemuda sejak 18 tahun lalu. Beliau bermula sebagai perwakilan mewakili Bahagian Ledang dan Tenggara, dipilih menganggotai barisan exco sebelum menjadi Naib Ketua Pemuda dan akhirnya diberi mandat untuk mengemudi pergerakan itu selama 11 tahun.

Bagaimanapun Hishammuddin pernah memberitahu penulis bahawa beliau tidak akan ‘meninggalkan’ Pemuda, sebaliknya semangat Pemuda akan terus bersemadi dalam sanubarinya sepanjang perjuangan dalam arena politik negara.

Berikutan peninggalan Hishammuddin, Pemuda akan diterajui oleh ketua baru iaitu Khairy Jamaluddin dan sudah pasti tugas ketua baru bukanlah mudah, apatah lagi beliau mewarisi kepimpinan Pemuda ketika tuntutan begitu mendesak bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.

Kewujudan hampir dua juta pengundi baru yang terdiri daripada generasi baru sudah pasti menjadikan tugas sebagai Ketua Pemuda semakin berat.

Atas sebab itulah dalam ucapan dasarnya, Hishammuddin mengingatkan kepimpinan baru Pemuda perlu terus berusaha menarik minat golongan muda untuk menyertai UMNO dan menyemarakkan semangat berkhidmat untuk parti.

Bagi melaksanakan tugas berkenaan, ketua yang baru tidak harus melihat mereka yang tewas dalam pertandingan yang berlangsung sebagai musuh. Ini kerana calon yang tewas turut juga mempunyai kemampuan, kewibawaan dan kredibiliti masing-masing.

Berdasarkan hakikat itu, Ketua yang baru perlu berusaha merapatkan barisan dengan menghulurkan salam persahabatan kepada bekas pesaing-pesaingnya untuk mereka sama-sama menyumbang kepada kemantapan perjuangan Pemuda. 


Perasaan benci, sakit hati dan dengki harus disingkirkan kerana perjuangan utama Pemuda bukanlah merebut undi dalam parti tetapi merebut undi rakyat.

Jika Pemuda berpecah sudah pasti segala amanah yang ditinggalkan oleh Hishammuddin tidak dapat dilaksanakan dan ini akan menyebabkan pergerakan itu terus menjadi lemah, sedangkan tanpa keutuhan Pemuda tidak akan mungkin UMNO mampu menarik sokongan generasi muda.

Justeru segala pesanan Hishammuddin yang boleh disifatkan meninggalkan Pemuda dalam keadaan berpadu dan mantap harus dipelihara oleh kepimpinan yang baru.



Kegembiraan terpancar diwajah calun Pergerakan Ketua Wanita UMNO Malaysia apabila diumumkan telah memenangi undian  Shahrizat memenangi jawatan Ketua Wanita dengan mendapat 507 undi, manakala penyandang, Datuk Seri Rafidah Aziz, memperoleh 280 undi.Demikian juga penyokong penyokong beliau yang telah bekerja keras untuk meraih undi bagi menentukan kemenangan berpihak kepada mereka.

Kuala Lumpur 26 Mac 2009 : Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ditemani isterinya Jeanne Abdullah turut diiringgi Najib Tun Razak serta isteri Rosmah Mansor memasuki ruang dataran PWTC pada Perhimpunan Agung UMNO 2008 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur, semalam. Gambar: Nooradzrene Mohd Noor / Pemberita: Team Utusan Malaysia & Team Kosmo!



Kuala Lumpur 26 Mac 2009 - Perasmian Perhimpunan Agung UMNO Malaysia di PWTC semalam. Gambar Hayat Sueet.


Menaikkan Bendera UMNO Sang Saka Bangsa oleh YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Presiden UMNO denga disaksikan oleh YAB Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohd.Najib bin Tun Hj.Abdul Razak  dan Tan Sri Muhyiddin Yassin


KUALA LUMPUR 26 MAC 2009 - Nyanyian lima lagu membuka tirai perhimpunan agung Umno yang akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Merdeka Presiden UMNO Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Merdeka , PWTC Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur 26 Mac 2009, Tengku Razaleigh Hamzah turut hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2008 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur, semalam. Gambar: Nooradzrene Mohd Noor / Pemberita: Team Utusan Malaysia & Team Kosmo!




KUALA LUMPUR 26 MAC 2009 - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2008 dan turut kelihatan Datuk Seri Najib Tun Razak di PWTC semalam. Gambar ASWAD YAHYA


Kuala Lumpur 26 Mac 2009 - Datuk Seri Najib Tun Razak berpelukan dengan Datuk Seri Abdullah Badawi selepas ucapannya semasa perasmian Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka PWTC, semalam. Gambar: SHAIFUDIN MOHD NOR / Pemberita: Team UMNO (am).



KUALA LUMPUR 26 MAC 2009 - Para perwakilan bersorak Hidup UMNO pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2008 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur semalam. Gambar : Abd Rahman Saleh / Pix Only / Pemberita: Team UTUSAN


Kuala Lumpur 26 Mac 2009- PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tersenyum sebelum membuang undi semasa proses pembuangan undi dalam Pemilihan Majlis Tertinggi Perhimpunan Agung UMNO 2008 di Dewan Merdeka, PWTC semalam. Gambar: Mohd Naim Aziz / Pemberita: TEAM UMNO UTUSAN /KOSMO!



Kuala Lumpur 26 Mac 2009- PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memerhatikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak membuang undi semasa proses pembuangan undi dalam Pemilihan Majlis Tertinggi Perhimpunan Agung UMNO 2008 di Dewan Merdeka, PWTC semalam. Gambar: Mohd Naim Aziz / Pemberita: TEAM UMNO UTUSAN /KOSMO!


Kuala Lumpur 26 Mac 2009 - Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengangkat tangan sebagai tanda kemenangan setelah kedua-duanya berjaya menyandang jawatan Ketua Wanita serta Ketua Puteri pada majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO Malaysia di PWTC semalam. Gambar Hayat Sueet.




Kuala Lumpur 28 Mac 2009 - Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berucap semasa Perhimpunan Agong Umno 2008 di PWTC semalam. Gambar : Shaifudin Mohd Nor / Pemberita : Team UMNO .



Gandingan Pimpinan Mantap Merintis Pembaharuan UMNO
Debaran mengenai keputusan pemilihan pucuk pimpinan Umno berakhir malam tadi. Teka-teki siapa membarisi saf baru bagi penggal 2008-2011 sudah terjawab.

Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak diberikan oleh perwakilan gandingan pimpinan baru untuk memperkasakan Umno mengharungi cabaran, merealisasikan pembaharuan dan memenuhi harapan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baru, menewaskan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dengan majoriti 659 undi. Muhyiddin memperolehi 1,575 undi manakala Muhammad pula 916 undi.

Sementara tiga Naib Presiden yang dipilih ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.


Ahmad Zahid memperolehi 1,592 undi, manakala Hishamuddin (1,515) dan Shafie (1,445).

Barisan kepimpinan baru Umno dimantapkan lagi dengan pemilihan 25 jawatan Majlis Tertinggi (MT) yang menggandingkan muka lama dan baru.

Terdapat beberapa kejutan dalam pemilihan kali ini – ada nama besar kecundang, ada pemimpin tidak berjawatan dipilih.

Apapun, perwakilan telah membuat keputusan pemilihan sebuah barisan baru untuk membantu Presiden menahkoda zaman dan melestarikan Umno.

Pemilihan yang dibuat oleh perwakilan pada peringkat MT ini adalah kesinambungan suntikan imunisasi politik pembaharuan yang dibuat, bermula di peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sebelum ini.

Umumnya, melihat kepada trend pemilihan yang dibuat, nampaknya ahli-ahli parti bersuara senada mahukan pembaharuan dan perubahan bagi menyegarkan semula Umno yang dilihat semakin layu.

Saf kepimpinan baru yang dipilih itu pastinya menjadi sandaran harapan perwakilan dan ahli Umno di peringkat akar-umbi, untuk berani melakukan anjakan paradigma supaya parti terus unggul dan relevan merentasi zaman.

Mereka perlu tangkas untuk mengembalikan semula kegemilangan Umno selepas prestasi buruk dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Ini bermakna terpikul di bahu setiap pemimpin berkenaan suatu amanah dan tanggungjawab besar untuk bangsa, agama dan negara.

Seperti disebutkan oleh Shafie: "Cabaran besar pertama yang akan dihadapi ialah untuk memenangi tiga pilihan raya kecil pada 7 April depan iaitu Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Ai (Sarawak)".

Beliau berkata Umno perlu mengangkat agenda rakyat sebagai perjuangan utama jika parti itu mahu mengembalikan semula sokongan rakyat yang lebih padu.

"Umno harus berubah dari segi pendekatan, melihat apa keperluan rakyat di akar umbi, termasuk konsep penyatuan rakyat," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan Datuk Seri Najib yang menang jawatan Presiden tanpa bertanding dan Tan Sri Muhyiddin yang dipilih sebagai Timbalan Presiden, sebagai satu gandingan yang mantap.

Katanya, para perwakilan telah membuat keputusan yang bijak.Beliau juga gembira dengan barisan anggota Majlis Tertinggi (MT) yang terpilih.

"Saya melihat 50 peratus anggota MT adalah muka baru, ketiga-tiga Naib Presiden juga adalah muka-muka baru."Ini adalah pasukan yang akan membantu Presiden untuk menunaikan tanggungjawab dan menterjemahkan agenda parti," katanya.

Hishammuddin yang merupakan bekas Ketua Pemuda Umno pula mengakui setiap pemimpin yang dipilih dalam barisan kepimpinan baru mempunyai peranan untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan Umno terus diterima rakyat.

"Yang penting adalah membentuk satu pasukan yang mantap yang mampu memimpin negara, bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi seluruh rakyat jelata," katanya.

Natijahnya, perwakilan telah membuat pilihan bijak dengan menyediakan suatu gandingan mantap kepimpinan Umno yang pastinya diyakini mampu membawa perubahan besar.

Sememangnya, Umno perlu melalui proses transformasi untuk kekal sebagai tunjang keutuhan Barisan Nasional (BN) yang menjadi pengharapan segenap lapisan rakyat.
 
Setelah lima hari berkampung di PWTC, Kuala Lumpur, perwakilan Umno dari seluruh negara mula berangkat pulang ke kawasan masing-masing dengan membawa harapan baru bagi memulakan perubahan serta transformasi kepada parti.

Perjalanan pulang perwakilan pastinya diiringi dengan kenangan manis ekoran beberapa peristiwa berlaku semasa persidangan kali ini.

Paling ketara dan bersejarah pastinya proses peralihan kepimpinan yang berjalan lancar dan penuh tertib.

Bermula peralihan jawatan Presiden daripada Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, disusuli pula pemilihan jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) selain pada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sebelum itu.




Sejarah juga tercipta pada Sabtu apabila bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, hadir pada sesi penggulungan perbahasan di Dewan Merdeka, PWTC, biarpun sebelum itu telah menyatakan pendirian tidak akan menghadirinya.

Tambah mengembirakan lagi apabila Dr Mahathir memberi bayangan tentang kesediaannya untuk menyertai Umno dalam tempoh terdekat ini.


Perwakilan telah membuat pilihan sebuah saf kepimpinan yang dianggap oleh Najib sebagai cukup ampuh buat Umno untuk mengharungi cabaran mendatang.

Timbalan Presiden yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tiga Naib Presiden baru, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, merupakan gandingan mantap yang diyakini mampu membawa perubahan buat parti.

Berdasarkan perbahasan perwakilan, rata-rata menyifatkan saf kepimpinan yang diterajui Datuk Seri Najib ini sebagai yang terbaik lantaran menggabungkan muka lama dan baru.

Kini terpikul tanggungjawab besar pada bahu setiap pemimpin yang dipilih untuk merealisasikan impian bagi pembaharuan itu sebagai satu realiti.

Harapan begitu tinggi disandarkan oleh perwakilan untuk melihat perubahan dan pembaharuan itu dalam tempoh yang tidak begitu lama. Proses ke arah itu tidak boleh dilambatkan atau diperlahankan, kerana ahli di peringkat akar-umbi memerhati perkembangan dan mengikuti setiap gerak-geri pemimpin yang diharapkan.

Sepanjang berkampung di PWTC, begitu banyak suara harapan kedengaran dari segenap kawasan, yang mahukan suatu anjakan paradigma untuk parti, supaya Umno kekal unggul dan relevan.

Umno perlu berubah segera sebelum hanyut dan terjerumus dalam putaran arus politik yang ganas.

Seperti diakui oleh Datuk Seri Mohd Najib sendiri, bahawa Umno harus berubah kerana, jika tidak, parti akan rebah dalam pilihan raya akan datang.

Melihat kepada nada suara perwakilan dan pimpinan pelbagai peringkat, jelas bahawa Umno kini berada di landasan betul untuk mengharungi proses transformasi.

Keyakinan bagi Umno melakukan perubahan ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan tegas Datuk Seri Najib pada ucapan penggulungannya.

Antara yang ditekannya, sebagai bukti keseriusan Umno untuk melakukan perubahan ialah cadangan bagi meminda perlembagaan parti, bagi menghapuskan sistem kuota, dan menggubal sistem pemilihan parti yang baru sempena dengan perhimpunan agungnya bagi 2009 hujung tahun ini.

Cadangan itu yang diucapkannya dengan penuh bersemangat mendapat tepukan bergemuruh daripada perwakilan dan pemerhati, sekali gus menunjukkan ia sebagai satu suntikan semangat baru paling bermakna buat ahli-ahli Umno.


SEKALUNG tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Ketiga-tiga mereka telah dipilih oleh perwakilan Umno untuk mengetuai sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, dalam pemilihan yang diadakan malam kelmarin.
Shahrizat memenangi jawatan Ketua Wanita dengan mendapat 507 undi, manakala penyandang, Datuk Seri Rafidah Aziz, memperoleh 280 undi.
Sementara Khairy pula menang dengan memperolehi 304 undi, menewaskan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (254 undi) dan Datuk Muhkriz Mahathir (232).
 

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar memenangi jawatan Ketua Puteri dengan 245 undi, mengalahkan lima calon lain.
Kemenangan mereka membuktikan penerimaan ahli terhadap kepimpinan dan keyakinan terhadap kewibawaan mereka mengemudi perjuangan.

Di sebalik sokongan itu, sebenarnya tersimpan harapan tinggi perwakilan untuk melihat perubahan dan pembaharuan bagi menjadikan Umno terus kukuh dan unggul serta diterima rakyat seluruhnya.

Apapun analisa mengenai jumlah undi yang diterima atau faktor-faktor yang membawa kemenangan, kemenangan mereka adalah manifestasi kekuatan sebagai pemimpin terbaik pada pengamatan para perwakilan. Yang turut bertanding, tetapi tewas, juga sebenarnya dari kalangan pemimpin terbaik, cuma tidak mencukupi sokongan untuk diangkat dan dijulang sebagai ketua.

Kecuali sayap Wanita, jawatan Ketua Pemuda dan Puteri menjadi rebutan berikutan kedua-dua penyandangnya melepasi had kelayakan dan mengambil keputusan melepaskan jawatan.

Pemilihan ketua baru bagi ketiga-tiga sayap parti itu menunjukkan suntikan imunisasi politik yang diberikan perwakilan seiring dengan perubahan yang mahu digarap oleh pucuk kepimpinan parti.

Biarpun senario pemilihan ketua ketiga-tiga sayap parti itu mungkin berbeza, namun keputusan yang dibuat oleh perwakilan menunjukkan mereka mahukan sesuatu yang baru untuk membawa keyakinan baru kepada halatuju perjuangan parti.


Datuk Seri Mohd.Najib bin Tun Hj.Abdul Razak bersama Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan Ahli Jawatankuasa Exco Wanita UMNO yang baru dipilih. Terpancar kelegaan dan kepuasan diwajah mereka yang akan menggalas perjuangan Pergerakan itu untuk beberapa tempuh waktu mendatang. Kita ucapkan Syabas dan Tahniah , jadikan lah kemenangan tersebut sebagai satu Amanah Perjuangan yang harus diteruskan demi menjunjung kesinambungan perjuangan membela Agama , Bangsa dan Tanah Air tercinta. HIDUP UMNO !



Sabtu , March 28, 2009 Ucapan Penggulungan Timbalan Presiden,  Datuk Seri Najib Razak di Perhimpunan Agung UMNO 2008


Laksana kehendak rakyat

ALHAMDULILLAH, dengan izin Allah jua maka persidangan yang diadakan kali ini yang amat bersejarah telah sampai ke penghujungnya.

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua sidang perwakilan yang telah menjalankan tugas dan kewajipan masing-masing, yang telah menyempurnakan persidangan yang amat bersejarah ini dan lebih-lebih lagi yang telah memilih kepimpinan UMNO yang baru untuk meneruskan perjuangan.

Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memenangi jawatan Timbalan Presiden. Saya amat menghargai ucapan beliau tadi, beliau telah memberi pengakuan bahawa akan bersama-sama sebagai rakan setia membantu saya untuk memperkasakan lagi UMNO.

Tan Sri Muhyiddin bukanlah seorang yang asing bagi saya, kami sudah lama dalam Pemuda, boleh bertegur sapa, kalau saya kata Muhyiddin, “You kena senyum lebih sikit, ” dia tidak terasa hati dan saya amat percaya bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kebolehan dan kemampuan untuk menjadi seorang Timbalan Presiden yang baik.

Saya juga ucap tahniah kepada Naib-Naib Presiden yang baru, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden yang juga tidak asing pada saya, pernah menjadi Setiausaha Politik kepada saya. Saya juga ucap tahniah kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang saya kenali sejak kecil lagi.

Saya juga ucap tahniah kepada Datuk Shafie Apdal yang pertama dari Sabah menang sebagai Naib Presiden dari keturunan Bajau Laut, saya tak kata lanun, saya kata Bajau Laut.

Saya juga ucap tahniah kepada Majlis Tertinggi, sebelum itu tahniah kepada Ketua Wanita baru, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tahniah kepada Saudara Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda, kepada Datuk Rosnah dan tahniah kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) yang baru terpilih sama ada yang ada di atas (pentas) mahupun ada di bawah. Ada juga yang di bawah dan ada juga di atas.

Saya juga terharu melihat sikap pemimpin-pemimpin UMNO walaupun nasib tidak menyebelahi mereka, sama ada tidak boleh bertanding atau pun tewas di gelanggang tetapi tetap setia pada perjuangan.

Saya memuji sikap Datuk Ali. Saya memuji sikap Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan rakan-rakan lain yang telah bertanding sama ada dalam MT mahupun dalam Wanita, Pemuda dan Puteri.

Kalau kalah atau tak menang bukan bererti perjuangan sudah pun tamat, selagi parti kuat selama itu kita boleh berjuang.

Saudara saudari sekalian, persidangan pada kali ini amat penting kerana persidangan ini merupakan persidangan yang pertama selepas Pilihan Raya Ke-12 yang lalu. Kita perlu mengambil iktibar daripada isyarat yang telah diberikan oleh rakyat, sebab itulah sayalah antara pemimpin yang pertama yang telah mengungkapkan ‘berubah sebelum diubah’ dan ‘berubah sebelum kita rebah’.

Saya tetap yakin bahawa UMNO adalah sebuah parti yang merupakan pilihan utama orang-orang Melayu.

Mereka tidak menolak UMNO sebenarnya mereka mahu UMNO berubah. Dan sebab itulah saya mengucap terima kasih kepada sidang perwakilan yang telah memberikan kepada saya saf kepimpinan yang mampu, mampu bukan membawa perubahan tetapi membuat perubahan yang besar kepada parti dan kerajaan.

Saya telah menggariskan dalam ucapan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri bahawasanya bagilah, safkanlah, barisankanlah kepada saya kepimpinan yang ampuh dan padu.

Saya telah merayu pada sidang perwakilan untuk memberi dan menekankan empat nilai atau ciri yang amat penting dalam kepimpinan dan ini ada banyak persamaan dengan Rukun Perjuangan yang telah dihuraikan oleh YAB Pak Lah kita sebentar tadi.

Saya telah menegaskan empat cirinya iaitu bersetia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi. Insya-Allah empat ciri ini boleh dijadikan panduan bukan sahaja kepada pemimpin-pemimpin yang berada di atas tetapi peringkat akar umbi dalam struktur kepimpinan dalam parti yang kita kasihi ini.

Saudara dan saudari sekalian, dalam soal perubahan, saya telah memberi pengakuan bahawasanya persidangan akan datang merupakan persidangan khas untuk meminda Perlembagaan UMNO. Di antara perkara yang kita akan pinda ialah untuk menjadikan proses pemilihan dalam UMNO ini lebih terbuka, telus dan demokratik.

Pada masa ini kepimpinan tertinggi UMNO ditentukan oleh hanya lebih kurang 2,600 ahli UMNO sahaja. Ahli-ahli UMNO yang bersidang mewakili tiga juta ahli UMNO. Banyak yang berpendapat bilangan itu tidak mungkin mencerminkan kehendak dan aspirasi tiga juta ahli UMNO.

Ada juga yang khuatir jumlah yang kecil ini boleh bukan sahaja nama sahaja mereka kita hafal, muka kita ingat dan nombor telefon pun kita tahu. Salam pun ada. Ada yang kata, salam SK (salam kosong) dan ada yang kata salam SI (salam isi). Oleh kerana kita perlu sedar bahawa imej UMNO yang bersih itu.

Proses pemilihan UMNO yang berintegriti adalah jalinan kelangsungan kuasa kita sebagai parti yang berdaulat. Selagi proses ini tercemar, selama itulah orang akan hilang kepercayaan kepada UMNO.

Oleh itu, bukan sahaja untuk menjamin perkara ini tetapi untuk menjaga pemimpin-pemimpin kita juga. Bukan kita salahkan pemimpin, kadang-kadang kita rasa, tak beri kalah, beri salah. Pemimpin dalam keadaan sedemikian. Jadi kita mesti jaga juga. Jangan kita korbankan pemimpin.

Oleh itu, pada masa akan datang pemilihan UMNO akan dibuat serentak di 191 bahagian UMNO. Dalam zaman teknologi moden ini kita boleh bina prasarananya. Biarlah 60,000 ahli UMNO memilih pemimpin-pemimpin UMNO masa depan.

Biarlah kita benar-benar merupakan pemimpin akar umbi. Pemimpin menjadi pemimpin atas nama suara rakyat dan suara ahli. Oleh itu, dengan persetujuan sidang perwakilan, kita kena pinda Perlembagaan UMNO. Perwakilan setuju?

Kali ini juga, seperti yang disebutkan oleh Pak Lah dalam ucapan persidangan perasmiannya, kami berdua ada pemikiran yang sama iaitu sudah sampai masanya perubahan ini dilakukan.

Apa lagi yang harus kita ubah? Kuota untuk jawatan perlu diubah. Saya mulakan dengan jawatan presiden parti. Saya tidak mahu berselindung di belakang kuota untuk menjadi Presiden UMNO. Pada masa sekarang ini untuk menjadi presiden perlu pencalonan daripada 58 bahagian. Tak mungkin boleh dapat 58 bahagian, tak mungkin!

Untuk jadi calon Naib Presiden perlu ada 20 pencalonan. Kalaulah kebetulan, dapat 19 sahaja, melilau nak cari lagi satu itu. Saya tidak sebut menyelinap. Nak dapat satu lagi itu, kalau tidak, kita tidak boleh bertanding kerana tak cukup kuota.

Ini boleh menimbulkan pelbagai tuduhan sama ada realiti atau persepsi. Oleh itu, kuota kita akan kaji semula. Kita akan tentukan syarat kelayakan yang paling minimum supaya jangan ada pula jokers (badut) yang hendak bertanding.

Begitu juga, janganlah sampai untuk jawatan presiden perlu ada 58 bahagian. (Sebaliknya) saya hanya rela menjadi presiden kalau ahli UMNO menyokong saya sebenarnya.

Jadi, perkara-perkara lain kita akan semak dan sebuah jawatankuasa khas akan kita ditubuhkan dan mengadakan perbincangan dengan bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara.

Kita akan dapat pendapat, cadangan daripada bahagian kemudian MT akan rumuskan dan membuat cadangan.

Persidangan tahun ini adalah persidangan tahun sudah. Jadi kita kena bersidang sekali lagi. Jadi marilah kita gunakan kesempatan itu untuk meminda Perlembagaan UMNO supaya UMNO menjadi parti yang lebih dihormati oleh rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Melihat pada perbahasan yang berlangsung, banyak yang berminat tentang konsep parti menguasai kerajaan. Saya fikir kalau kita sebut parti, pasti kerajaan, kita ada dua komponen, apa dia? Parti dan kerajaan.

Saya nak masukkan satu lagi komponen, apa dia? Rakyat, parti dan kerajaan. Sebab apa? Sebab tidak ada gunanya kita ada jawatan dalam parti kalau parti tidak berkuasa. Oleh itu, parti mesti tahu aspirasi dan denyutan nadi rakyat. Betul tidak?

Parti sudah tahu denyutan hati rakyat maka parti terjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan oleh kerajaan, apabila kerajaan dikuasai oleh parti melaksanakan kehendak rakyat, masa itu segala akan jadi parti yang gagah perkasa dan akan terus melangsungkan pemerintahan kita maknanya UMNO parti yang berkuasa.

Jadi bila orang luar dengar parti menguasai kerajaan, kita tambah rakyat, parti kerajaan. Jadi insya-Allah ini adalah ramuan yang terbaik bagi kita untuk kita melangsungkan kuasa kita, ini lima negeri dah kalah ni, dapat satu balik, itu pun masih dipertikaikan. Bila lagi kita nak sedar, dah sedar tak?

Dah sedar, jadi dah sedar, turunlah maruah, mesra dengan rakyat, berkhidmat pada rakyat, bukan saya yang penting, saya pernah dengar orang kata maruah saya, sebenarnya bukan maruah saya, maruah parti, itu yang mesti kita ingat.

Saudara saudari sekalian, saya juga telah mengikuti perbincangan dalam persidangan ini dan banyak juga perkara-perkara yang telah dilontarkan, wakil daripada Tawau minta supaya agenda Islam jangan ditinggalkan, bukan ditinggalkan sebaliknya kita akan membawa agenda mendaulatkan agama Islam ini akan sentiasa ditingkatkan pada semua sudut rohani, ekonomi, sosial mahupun budaya hidup. 



Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya, jadi usaha UMNO untuk mengembangkan syiar Islam tidak akan pernah kunjung padam, kita akan teruskan perjuangan untuk mendaulatkan agama Islam.

Saudara Saudari sekalian.

Wakil dari Bukit Mertajam mengingatkan kepada kita supaya usaha memartabatkan bangsa Melayu mesti diunggulkan. Agenda ini kita akan teruskan mobiliti sosial secara menegak telah berlaku dalam masyarakat kita hanya dalam tempoh satu generasi sahaja.

Hasilnya anak-anak nelayan, anak-anak penoreh getah, anak-anak buruh, pesawah, peneroka telah diangkat martabat dan telah dapat jawatan dan pekerjaan yang tinggi dalam tempoh masa satu generasi sahaja hasil perjuangan UMNO.

Insya-Allah perkara ini kita akan teruskan dengan usaha yang lebih gigih lagi termasuk memberi pertimbangan dan mengambil berat kepada pendidikan awal kanak-kanak kerana ini adalah asas orang Melayu boleh bersaing di masa hadapan.

Ke hadapan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Kita juga jangan lupa bahawa kita adalah ketua kepada rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN). Apa yang telah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin selama ini atas permuafakatan kaum ini, kita akan teruskan, kita harap juga pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional akan faham juga dalam kita menjaga perasaan mereka, mereka juga mesti menjaga perasaan orang-orang Melayu.

Saudara saudari sekalian. Fitnah adalah racun berbisa menghancur bangsa, Yang Amat Berhormat Pak Lah telah sebut beberapa kali tentang soal fitnah ini, dan akhir-akhir ini fitnah disembur dan dilempar merata-rata dengan niat penuh nista, sesungguhnya fitnah itu lebih besar dosanya daripada membunuh.

Selalu kini kepada yang berdiam tidak melatah di anggap sudah sah melakukan dosa, kepada pemfitnah-pemfitnah yang bermaharajalela pula dianggap benar sebagai pejuang nusa, lihatlah Firman Allah SWT yang bermaksud:

‘‘Katakanlah telah datang kebenaran dan telah lenyap yang batil, sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap.’’

Oleh itu janganlah keadilan itu ada dua standard, satu untuk kerajaan dan satu untuk pembangkang jika mana-mana pembangkang dituduh dibawa ke mahkamah, kata pembangkang hakim tidak adil, didakwa menganiaya.

Kes pun tidak betul, kalau mana-mana tokoh kerajaan bukan sahaja dituduh, belum apa-apa sudah dianggap bersalah oleh mereka. Bukti yang tidak ada dicipta-ciptakan, gambar yang tidak ada diwujud-wujudkan malah saksi yang tidak betul diupah-upahkan.

Justeru itu jika beginilah tafsiran kebenaran dan keadilan dari kaca mata pembangkang maka ia adalah lebih buruk daripada undang-undang rimba, tiada siapa yang akan selamat dari undang-undang sebegini, para kelicikan, para pembohongan yang dahsyat bohong kosong boleh melompong.

Yang peliknya ada orang itu suatu ketika dahulu pernah duduk dalam kerajaan, tapi kini bila sudah menjadi pembangkang tiba-tiba dianggap bersih seperti malaikat, putih bersih seperti bayi yang baru lahir, hakikatnya saya dan kita semua tahu siapa dia sebenarnya.

Saudara saudari sekalian.

Persidangan kita pada kali ini merupakan satu persidangan yang bukan sahaja bersejarah tapi merupakan satu persidangan yang menyayat hati kerana kita mengucapkan selamat tinggal pada Presiden parti kita selama lima tahun menjadi Presiden parti.

Ramai yang tidak tahu bahawa Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan saya mempunyai hubungan yang telah terjalin sekian lama bermula dari zaman Allahyarham ayahanda saya lagi.

Saya berasa amat-amat terharu sebenarnya, kerana Yang Amat Berhormat Pak Lah telah memberi laluan yang mudah kepada saya untuk mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan.

Saya tahu bukan senang nak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri. Nak lepaskan jawatan ketua UMNO bahagian pun susah, nak lepaskan jawatan ketua UMNO cawangan pun susah. Inikan pula jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan.

Pak Lah membuat keputusan ini (lepaskan jawatan) dengan cara begitu baik sekali di mana Pak Lah telah berunding dengan saya dengan saya banyak kali dan tiap kali berjam-jam lamanya.

Orang tidak tahu perkara ini dan saya tidak pernah cakap tentang perkara ini. Saya amat terharu dengan Pak Lah yang membuat proses itu amat mesra dan penuh dengan perasaan kemanusiaan dan personal (peribadi) sifatnya sehinggakan Pak Lah sebelum saya datang, dia boleh berbincang dengan Datin Seri Jeanne Abdullah agak-agaknya Najib ini suka makan apa.

Pak Lah tahu apa saya suka dan yang saya sukalah itu yang dihidangkan. Bila masa proses peralihan kuasa berlaku, ia dilakukan secara tersusun dan amat tertib serta penuh dengan harmoni. Tradisi UMNO telah kembali semula.

Tradisi yang kita pertahankan sekian lama sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj lagi. Bila Tun Dr. Mahathir serah kepada Datuk Seri Abdullah ia dibuat ketika Perhimpunan Agung UMNO dan kini Pak Lah serah kepada saya pun dalam Perhimpunan Agung UMNO yang penuh dengan ketertiban, tradisi dan sebagainya.

Saya sebenarnya pernah ungkapkan satu rahsia peribadi waktu Pergerakan Pemuda UMNO buat Seminar Tun Abdul Razak dan saya zahirkan satu rahsia peribadi dan saya nak ulang balik dalam persidangan ini bahawa Pak Lah pernah sebut, dia cakap dengan saya dalam bahasa Inggeris, dia kata berkenaan Allahyarham Tun Abdul Razak.

Kata Pak Lah: You are his biological son and i am his political son. Pak Lah menyebut kepada saya bahawa saya anak Tun Abdul Razak dan dia anak didik Tun Abdul Razak.

Pak Lah dalam perbincangan ini juga turut menyatakan kepada saya tiga perkara dan saya nak berkongsi dengan perwakilan.

Pertamanya, dia kata: I want to see you succeed, dia nak lihat saya berjaya jadi katanya buatlah yang terbaik dan dia akan sokong.

Kedua, dia kata: ‘‘Saya tidak akan kritik, I will not criticise you in public” dan ketiga “Saya sanggup beri nasihat dan pandangan saya pada bila-bila masa.’’

Pak Lah, saya amat menghargai, amat-amat menghargai apa yang dinyatakan oleh beliau secara peribadi kepada saya. Saya akan kenang sampai bila-bila, kekanda saya dalam politik. YAB Pak Lah terpahat dalam hati saya.

Saya juga berasa begitu bangga pada hari ini bahawa seorang lagi negarawan kita, Tun Dr. Mahathir ada dalam persidangan. Saya nak cuba mentafsir kehadiran dia, tapi saya percaya dalam hati kecil beliau, dalam darah beliau adalah darah UMNO.

Saya ada harapan ialah bersama-sama dua negarawan iaitu Datuk Seri Abdullah dan Tun Dr. Mahathir bersama berbincang masalah dan masa depan parti dan negara.

Walaupun mungkin pertemuan pertama kekok sedikit agaknya, tetapi lama-kelamaan kemesraan akan terjalin, insya-Allah. yang penting bukan perasaan diri tetapi yang penting ialah masa depan UMNO dan negara kita.

Insya-Allah, kalau pemimpin seperti negarawan tunjuk teladan yang baik, kita boleh rapatkan barisan dan yang di bawah boleh ikut bersama dan terus mendapat inspirasi dari isyarat-isyarat dari negarawan-negarawan kita.

Insya-Allah, kita akan menghadapi banyak cabaran tapi kalau pemimpin-pemimpin, negarawan kita bersama-sama mendokong perjuangan kita, bersama-sama melahirkan ideanya, bersama-sama tidak mengkritik secara terbuka tetapi berfikir secara baik, secara dalaman kerana parti inilah yang pernah berjasa kepada kita, kepada ahli UMNO dan juga negarawan-negarawan kita.

Sudah sampai masanya bila kita jadi pemimpin, ahli-ahli setia kepada kita bila kita sudah bersara, kita pertahankan parti yang pernah berjasa kepada kita.

Ini prinsip yang saya pegang dan saya percaya kita boleh jadikan perkara ini satu kenyataan. Inilah juga kehendak para perwakilan.

Kepada para perwakilan, semboyan telah dibunyikan, bingkaslah bangun, bangunkan hati rakyat, kibarkan panji-panji perjuangan demi untung nasib rakyat Malaysia.

UMNO akan diperkasa, UMNO akan didaulatkan dan Insya-Allah, perjuangan kita akan berjaya. Terima kasih.


Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.





KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang secara rasmi menyerahkan jawatan Presiden Umno kepada Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berpesan kepada anggota parti agar memelihara perpaduan dan menghidupkan semangat kekeluargaan.

Perdana Menteri turut meminta mereka agar tidak sekali-kali mengkhianati parti dan berhenti daripada memfitnah pemimpin.

Menekankan semangat setiakawan, Abdullah berkata hanya dengan cara itu kekuatan parti dapat dipertingkat.

"Ini adalah penting. Kita mahu supaya kekuatan parti akan dapat diteguhkan lagi, akan dapat ditingkatkan lagi. Kita mesti terus menjadi penyokong, penyokong yang kuat bukan saja kepada pemimpin, tapi kita sebenarnya menyokong parti kita melalui pemimpin-pemimpin kita.

"Kita menjadi penyokong dan kawan setia, kawan pada masa susah, kawan pada masa senang. Inilah ertinya setiakawan, inilah ertinya keluarga dalam parti kita," katanya semasa menggulung buat kali terakhir perbahasan usul-usul pada perhimpunan Agung Umno 2008 di sini sebagai presiden Umno.

Bagi membuktikan kata-katanya, Abdullah secara terbuka berkata beliau memaafkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekalipun beliau tidak pernah marah dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Umno yang baru itu.

"Muhyiddin, saya ingin menyatakan di hadapan semua yang ada, saya sebenarnya tak pernah marah, tak pernah kepada dia (Muhyiddin), saya juga tak pernah balas apa yang dia cakap.

"Siapa yang cakap 'Pak Lah marah pada Muhyiddin' saya akan marah. Dan apa yang saudara (Muhyiddin) lakukan, saya memang maafkan saudara (Muhyiddin)," kata Abdullah, disambut tepukan gemuruh perwakilan dan tetamu yang memenuhi Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tempat berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno.

Dalam ucapannya yang hanya mengambil masa 20 minit itu, Abdullah menegaskan rakyat sentiasa memerhati perkembangan dalam parti itu dan Umno yang kuat, teguh dan bersatu padu akan disukai masyarakat.

Justeru katanya, anggota Umno harus memberi sokongan penuh kepada pucuk pimpinan baru parti yang telah dipilih pada perhimpunan agung kali ini.

"Saya percaya barisan kepimpinan ini akan membawa perubahan seperti yang diharapkan dan dapat menguatkan lagi parti kita, supaya parti kita selepas ini akan menjadi parti yang tetap di hati rakyat, dan insyaAllah akan menjadi parti yang pertama dan parti yang terus berjuang dan berjaya memajukan bangsa, agama, dan negara kita," katanya.


Namun kata Abdullah, pemimpin juga harus menyokong anggota parti.

Dalam ucapannya itu Abdullah juga memohon maaf kepada semua.

"Saya ingin mengucapkan (memohon) berbanyak-banyak maaf kepada semua yang mungkin terasa hati atau kecil hati dengan tingkah saya, dengan laku saya dan dalam apa-apa yang telah saya lakukan.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan meminta maaf kepada semua, siapa juga yang orang ingat saya tak suka, saya marah dan kepada mereka semua saya maafkan.

"Saya mahu bersara dengan rasa senang hati, tidak ada perasaan-perasaan yang tidak baik yang hendak saya bawa bersama," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.


Perhimpunan Agong UMNO 2008 telah berakhir pada 28 Mac 2009 dengan kehadiran YABhg Tun Mahathir sebagai the grand finale. Rasanya para perwakilan dan pemerhati kembali ke rumah masing-masing (tak boleh kata kembali ke kampong kerana kira-kira dua-pertiga negara kita kini adalah bertaraf bandar) dengan harapan yang menggunung bahawa UMNO kini akan bernafas baru, berwajah baru dan bersemangat baru di bawah pasukan kepimpinan yang baru



TETAP HADIR...Perhimpunan Agung UMNO 2008 berakhir dengan penuh ceria apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kanan) menghadiri hari terakhir perhimpunan itu yang berlangsung di Dewan Merdeka, PWTC. Beliau turut mengesahkan kesediaannya menyertai semula parti yang pernah diterajuinya itu. Kehadirannya mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada perwakilan selain disambut dengan pelukan oleh para pemimpin lama dan baru parti termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kanan), Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri). 



Kuala Lumpur 28 Mac 2009, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melambaikan tangan buat kali terakhir kepada pihak media sebelum meninggalkan Dewan Merdeka pada Perhimpunan Agung UMNO 2008 hari terakhir di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur, semalam. Gambar: Nooradzrene Mohd Noor / Pemberita: Team Utusan & Team Kosmo!




----- end -----


 

No comments:

Post a Comment