Sunday, December 13, 2015

#PAU2015


Najib Tun Razak merangkap Presiden Umno ( empat, kanan) menyampaikan ucapan pada sidang media selepas Mesyuarat Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn, 9 September. - Foto Bernama


9 September 2015 , Kuala Lumpur - Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada 8 hingga 12 Disember ini, kata Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri berkata, ini berikutan bulan November dipenuhi dengan persidangan antarabangsa yang mana Malaysia menjadi tuan rumah.

"Jadi kita akan buat pada bulan Disember selepas persidangan Parlimen selesai nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Najib berkata, Umno akan terus memberi fokus terhadap kerja parti untuk membela rakyat. Beliau berkata, Umno sebagai parti yang menunjangi kerajaan, bukan hanya akan memberi fokus kepada usaha membangunkan negara tetapi menyelesaikan masalah rakyat.

"Apa yang dikatakan dekat di hati rakyat hendaklah kita memberi fokus yang secara berterusan termasuk penyediaan bajet yang akan datang. Ini saya harap kita dapat cadangan-cadangan yang baik daripada pelbagai pihak untuk dimuatkan dalam belanjawan negara," katanya.

15 Ogos 2015, Grandball Room Hotel Promenade Tawau - Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tawau telah bersidang. Tawau dengan jayanya. Persidangan tersebut telah dirasmikan oleh  Ybhg.Dato' Hj.Mohamad Fatmi Hj.Che Salleh Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu , Kelantan


Perwakilan 7 yang telah dipilih untuk mewakili UMNO Bahagian Tawau ialah;
1. Abdul Hamid bin Damang - AJK Bahagian
2. Hj.Karim bin Tumak - AJK Bahagian
3. Yusof bin Hj.Ahmad - AJK Bahagian
4. Nurdin bin Hj.Nusu - AJK Bahagian
5. Mohd.Zain bin Ahmad - Ketua Cawangan Kg.Ranggu
6. Sanusi bin Hj.Abdul Rahman - Cawangan Tiku
7. Abd.Hatta bin Lagid - Cawangan Kg.Hidayat



9 Disember 2015 , Dewan Tun Dr.Ismail di PWTC Kuala Lumpur - Ucapan Dasar  Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia YB.Datuk Hjh.Mas Ermieyati Hj.Samsudin semasa Perhimpunan Agung UMNO ke - 69 tahun 2015 - Pemerkasaan Wanita , satu suara satu nada,satu gerakan

“Kalau tidak kerana bulan
tidaklah matahari terbit tinggi
Kalau tidak sokongan kalian
Tidaklah saya berdiri disini.”
Sudah hampir 15 tahun kita bersama-sama dalam perjuangan ini. Jika Puteri UMNO diibaratkan sebuah taman, maka, masa yang berlalu itu tentu telah kita manfaatkan untuk sama-sama menyemai baja perpaduan, dan hasil semaian tersebut haruslah sentiasa mekar dengan sifat sentiasa bersatu hati. Dalam memastikan kemekaran itu, saya melihat pentingnya untuk sentiasa bersama-sama berada dalam satu suara, satu nada dan satu gerakan demi pemerkasaan wanita muda.

Rekod kita selama ini jelas menunjukkan hanya pergerakan Puteri UMNO sahaja yang mampu menjadi platform bagi agenda pemerkasaan wanita muda. Sebagai Ketua Puteri UMNO, saya dan barisan kepimpinan dengan ini menegaskan bahawa agenda pemerkasaan wanita muda adalah isu paling utama dan perlu mendapat sokongan padu.

Dalam hal ini, Allah berfirman:

 
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُوْلِى اْلأَمْرِ مِنكُمْ
 
“Wahai orang-orang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul serta pemimpin daripada kalangan kamu.” (Surah An-Nisaa, 4: 59)

Dengan berpandukan semangat firman di atas, saya menyeru agar para ahli Puteri UMNO sekalian menginsafi inti pati ayat ini. Bersatu padu dan bersolidariti dengan pemimpin lebih utama daripada menjatuhkan sesama sendiri. Jangan hanya dengan kelemahan-kelemahan pemimpin kita yang kecil, kita bertindak keterlaluan untuk menjatuhkan mereka. Ayuh, dengan kesedaran ini, saya menyeru kita semua, barisan Puteri bersolidariti dengan kepimpinan dan sesiapa sahaja yang menyuruh ke arah kebaikan parti.

Ingatlah, solidariti kepada kepimpinan sangat penting. UMNO bolehlah diumpamakan seperti sebuah rakit yang diikat oleh kesetiaan dan semangat solidariti. Jika kita bertelagah, perbuatan tersebut bolehlah disamakan seperti memotong tali yang menghubungkan kayu-kayu itu. Apabila tali diputuskan, apakah akan terjadi kepada rakit? Rakit itu akan berubah menjadi batang-batang kayu yang dihanyutkan oleh arus dan badai.

Begitu juga dengan UMNO dan Sayap Puteri. Tanpa solidariti, UMNO dan Puteri akan goyah. Dalam jangka masa panjang, UMNO akan musnah. Apakah sahabat seperjuangan sekalian mahu melihat rakit umno kita musnah? Tepuk dada, fikirlah dengan mendalam!


9 Disember 2015 , Dewan Tun Hussien Onn di PWTC Kuala Lumpur - Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia YBhg.DSP Shahrizat Abdul Jalil di Perhimpunan Agung UMNO ke - 69 tahun 2015 - Wanita Tunggak Penyatu UMNO


Bukan kacang sebarang kacang,
Kacang melilit di pohon kayu,
Bukan datang sebarang datang,
Datang demi parti yang satu.
Alhamdulillah dengan Izin dan rahmatNYA, kita dipertemukan semula di Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Tahun 2015 dalam suasana penuh permuafakatan demi menunaikan tanggungjawab seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO.


Bagi pihak barisan kepimpinan tertinggi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, saya mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran 983 orang perwakilan wanita dari 191 bahagian seluruh negara ke perhimpunan ini. Jangan lupa kehadiran puan-puan hari ini mewakili 1,339,268 (satu juta tiga ratus tiga puluh sembilan dan dua ratus enam puluh lapan ribu) ahli Wanita UMNO dengan membawa mesej dan harapan dari peringkat akar umbi.


Kita mesti menerima hakikat bahawa dunia ini baharu, tiada siapa yang kekal melainkan ALLAH SWT yang Maha Esa. Saat demi saat keadaan sentiasa berubah, apatah lagi kita dalam arena politik. Perubahan itu datang dengan pelbagai rupa. Kadangkala kita yang membawa perubahan, dan ada kalanya kita terpaksa menerima perubahan. Yang pentingnya sebagai pemimpin UMNO apa jua perubahan yang kita pelopori maupun yang terpaksa kita lalui, mesti berpaksikan perjuangan kepada Agama, Bangsa dan Negara. 
Firman Allah dalam Surah al-Mu'min ayat 39,
"Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu sahaja) dan sesungguhnya hari akhirat itu sahajalah yang kekal."


Wanita UMNO kini jauh melangkah ke hadapan. Selaku Ketua Wanita, saya amat insaf bahawa saya perlu berani memimpin puan-puan untuk kita sama-sama berjuang di atas landasan yang tepat, ke arah matlamat yang jelas, bagi menentukan Wanita UMNO sentiasa dalam satu barisan dan setia kepada parti dan pemimpin sebagaimana “seikat bak sireh, serumpun bak serai”.

Kita mesti menjadi Tulang Belakang yang mampu memberi kekuatan kepada perjuangan parti. Untuk terus relevan di hati rakyat, kita mesti sepakat, sepadu, sehati, sejiwa dan seperjuangan dalam melayari samudera keikhlasan demi memacu wanita Malaysia ke mata dunia.Di tahun ketiga pasca PRU 13, Wanita UMNO tidak penat lelah menjalankan kerja tradisi yang kini disulami dengan pelbagai pembaharuan dan penambahbaikan. Gerak kerja Jalinan Rakyat diperincikan ke setiap seorang pengundi. Pentadbiran dimantapkan. KPI pemimpin wanita di peringkat Pusat, Negeri dan Bahagian saya mengikutinya. Skuad Sayang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan agar dapat bertindak pantas membantu dalam situasi yang memerlukan. Syukur Alhamdulillah, Skuad An-Nur semakin diresapi semangatnya dan dirasai kehadirannya di seluruh pelusuk negara.

Tahniah Puan-puan, saya amat berbangga di atas kekentalan semangat yang ada pada puan-puan umpama Saidatina Siti Khadijah Khuwailid, Ummul Mukminin penguat jiwa Rasulullah SAW untuk terus memimpin umat Islam di kala suka dan duka. Hakikatnya begitulah dengan kita, tiada wanita sunyilah parti, tiada wanita hilangnya seri, tiada wanita program tak menjadi.


 

9 Disember 2015 , Dewan Tun Dr.Ismail PWTC Kuala Lumpur - Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia YB.Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Perhimpunan Agung UMNO ke - 69 -  Idealisme Perjuangan

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Kahfi ayat 13-14, yang bermaksud:
"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayat petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadaNya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran".
Di dalam ayat-ayat ini, Allah menceritakan siapakah kelompok anak muda Ashabul Kahfi, yang mulia di bumi juga di langit. Mereka adalah anak-anak muda yang beriman dan berani dalam menegakkan kebenaran. Allah menegaskan mereka ini qaamu yakni bangun, peka kepada ehwal sekeliling dan tidak hanya berpeluk tubuh dan memikirkan hal kepentingan sendiri. Bahkan mereka berani berdiri demi menegakkan kebenaran berhadapan raja yang zalim. Allah juga menyebut mereka qaalu yakni berkata, dengan maksud bukan sahaja berilmu tetapi tidak berdiam diri dan membisu daripada menegakkan kebenaran dan menyanggah kebatilan.
 


Inilah sifat-sifat sejati anak muda yang dimuliakan Allah - beriman, berani, berilmu dan tidak berdiam diri daripada tanggungjawab menegakkan kebenaran. Dalam erti kata lain, selain beriman, anak muda tidak boleh tidak punyai pendirian, sejajar dengan penegasan Rukun Pemuda kita yang pertama – berprinsip!

Menyedari akan hakikat itulah, Pemuda harus sentiasa mendampingi rakyat, mendengar rintihan rakyat serta membawa suara dan aspirasi rakyat ke tengah gelanggang perjuangan kita. Ini sudah sekian lama menjadi idealisme perjuangan kita. ‘Pemuda UMNO: Tradisi Membela Rakyat dulu, kini dan selamanya’ bukanlah slogan yang dicipta hari ini oleh saya, tetapi sudah menjadi DNA politik kita, sebati selari dengan matlamat setiap daripada kita dalam menyertai gelanggang politik. Kita tidak masuk politik untuk mengejar jawatan atau meraih kekayaan – agenda peribadi tidak harus wujud sama sekali. 

Pemuda hanya mahu parti keramat kita kekal keramat, kekal memimpin. Untuk itu, parti kita perlu menang pilihanraya. Untuk menang pilihanraya, pemimpin kita mesti dihormati dan disegani oleh orang ramai. Sebab itulah kita bangkitkan isu-isu penting yang sudah lama bersarang di benak fikiran rakyat terutamanya orang muda. Bukan susah untuk diterima dan menjadi popular di kalangan rakyat. Kalau ada tuduhan, jawab dengan cepat dan menyeluruh. Buktikan kita telus dan mengamalkan tadbir urus yang baik. Tunjukkan pada semua tidak ada apa yang hendak kita sembunyikan.
 
Bila Pemuda mampu memberi generasi muda apa yang mereka dahaga dan inginkan, tanpa perlu dikerah tanpa perlu diupah, mereka akan datang berbondongan. Inilah idealisme orang muda Melayu hari ini. Sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki diri dan masa depan mereka. Buktinya, Kursus ProSkill anjuran Biro Profesional Muda yang mengajar tentang pengucapan awam, bagaimana hendak berjaya dalam temuduga, amat baik sambutannya; Simposium Pengurusan Ringgit, atau SUPER yang memberikan pendedahan bagaimana hendak mengurus kewangan dan mengelak bankrap, pun sama juga – sampai berdiri dan hampir melimpah keluar dewan pesertanya. Anak muda Melayu atas pagar, yang tiada kepentingan politik tetapi membentuk kelompok terbesar di kalangan generasi muda di luar sana, pun ramai yang hadir. Ini kerana program yang dibuat menarik minat dan memberi manfaat kepada mereka.




Duduk bersimpuh di tepi tabir,
Manis wajahnya pandang tak jemu;
Maruah Melayu bukan di bibir,
Ditongkat akal, didukung ilmu.
Jangan dibuang batang jerami,
Buat diikat atap yang senget;
Biar mengalir darah ke bumi,
Asal maruah terjulang ke langit

Para Pemuda bakal mewarisi parti ini pada satu masa nanti. Wariskanlah kepada kami, sebuah parti yang kuat, teguh, bersatu lagi dihormati seperti mana pemimpin terdahulu telah mewariskannya kepada pemimpin pada hari ini.
 
Dalam sebuah kesempatan, Amirul Mukminin Saidina Umar bin Khattab berkata: “jika aku sedang menghadapi masalah besar, maka yang kupanggil adalah para pemuda.” Yakinlah bahawa berdirinya kami barisan Pemuda hari ini adalah untuk bersama Presiden, juga barisan kepimpinan di peringkat Pusat, Negeri, Bahagian, Cawangan dan juga setiap ahli partiuntuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.

Marilah bersamasaya dalam mendukung idealisme perjuangan kita ini. Bersama kita pastikan agar parti ini dapat kembali berpijak di bumi nyata. Agar akarnya kembali berlegar subur mendekati, mendampingi rakyat. Agar pohonnya tumbuh subur merendang, untuk terus memberikan naungan kepada negara bangsa. Agar UMNO akan terus menjadi nadi dan semangat orang Melayu untuk dulu, kini dan selamanya.

Hidup UMNO!   Hidup UMNO!   Hidup UMNO!




09 Disember 2015 @09.00 pagi , PWTC Kuala Lumpur - Sesi Pendaftaran Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2015. Semua Perwakilan , Yusof Hj.Ahmad , Nurdin Hj.Nusu , Hj.Karim Tumak , Abd.Hatta Lagid , Sanusi Hj.Abdul Rahman , Mohd.Zain bin Ahmad dan Abdul Hamid bin Damang.

Pertama kali dalam sejarah karier Politik didalam parti UMNO menjejakkan kaki ke Dewan Merdeka bersama rakan rakan yang terpilih sebagai wakil 7 yang mewakili UMNO Bahagian Tawau ke Perhimpunan Agung UMNO yang ke - 69 di Bangunan PWTC ini. Biasa nya kami datang hanya sebagai Pemerhati dan melihat dan mendengar perbahasan melalui LCD diDewan yang disediakan. Pengalaman ini akan kami abadikan dalam memori kami dimana entah bila lagi kami akan mendapat peluang seperti ini.


5 orang Perwakilan 7 UMNO Bahagian Tawau menetap di Regalia Suite ditingkat 33 manakala 2 orang lagi menginap di Hotel Sunway. Bersama rakan rakan yang terpilih mewakili UMNO Bahagian Tawau adalah peluang yang jarang diperolehi , kerana hanya 7 orang wakil saja yang terpilih dari begitu ramai ahli yang ada.


10 Disember 2015@7.00 pagi , Regalia Suite - Regalia Building Kuala Lumpur - Bersedia untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO di Bangunan PWTC pada hari pertama perhimpunan tersebut.

 
10 Disember 2015 , Dewan Perhimpunan Agung UMNO PWTC Kuala Lumpur pada hari Perasmian Perhimpunan Agung UMNO , para perwakilan mengambil tempat masing masing yang telah disediakan mengikut Bahagian yang telah dilabelkan. Perwakilan dari UMNO Bahagian Tawau telah sedia berada didalam Dewan Merdeka tempat persidangan ini berlangsung seawal jam 8.00 pagi


Perhimpunan Agung Umno 2015 bermula Khamis dengan Majlis Perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Majlis dimulakan dengan upacara perbarisan dan menaikkan Bendera UMNO Sang Saka Bangsa di Dataran Putra pada pukul 9 pagi.



Penyampaian ucapan dasar oleh Najib, yang juga Perdana Menteri di hadapan 2,762 perwakilan. Perhimpunan agung kali ini berlangsung selama lima hari bermula Selasa. Sebanyak 5,738 perwakilan terdiri daripada 2,762 perwakilan perhimpunan agung Umno serta 993 perwakilan Wanita, 992 (Pemuda) dan 991 (Puteri) menghadiri persidangan kali ini. 

Datuk Seri Najib selaku Presiden Parti dan juga Perdana Menteri menyampaikan ucapan Dasar yang penuh dengan ketegasan dan wadah sebagai seorang pemimpin yang berpegang teguh kepada asas perjuangan parti dan keperluan orang orang Melayu sebagai sandaran kepada membentuk sebuah Negara yang Maju dan dihormati.

Seperti yang telah disebutkan oleh Setiausaha Agung parti, saya selaku Presiden, mengalu-alukan sejumlah 2,762 perwakilan, dari 191 Bahagian seluruh negara, bermula di Arau Perlis, membawa ke Kalabakan Sabah. 
"Biar menggunung cabaran menghalang, meski hebat apapun tantangan yang tiba, saya,… tidak boleh sesekali menyerah kalah, bahkan,… dengan beraninya,… harus berdepan bagi merungkaikan masalah dan menyelesaikannya, untuk terus memimpin UMNO mara menuju kemenangan".

Dalam Ucapan Dasar , Datuk Seri Najib mengingatkan semua bahawa Orang menyebut, tiada yang dulu, tiada yang sekarang. Satu lagi kelompok yang merupakan pasukan penyokong tegar kepada parti, waima telahpun meninggalkan medan perjuangan secara rasmi, tetap taat dan setia, mencurah khidmat dan nasihat kepada parti tercinta. Ayuh,… kita sama-sama memberi tepukan penghargaan, tanda terima kasih kepada golongan veteran UMNO. Kepada para pendahulu yang telah pergi lebih awal dan kembali berpulang kepada-Nya, sayugia hanya Allah-Hu Ta’ala yang mampu memberi balasan setimpal, atas segala kebaikan yang telah dilakukan.

Pucuk pangkalnya, setiap daripada kita yang berhimpun, di sinilah rumah Umno. Saya dan saudara saudari semua, bukanlah hanya sekadar bagian daripada Umno, akan tetapi kita adalah Umno.

"Kitalah tiang serinya, lantai dan dindingnya, jenang dan jendelanya, atap genting dan atap rumbianya, pasak dan tunjangnya, saling bergabung, lengkap melengkapi, yang akan terus mengibar megah sang saka bangsa, panji keramat kepada parti yang berdaulat ini".

Kata orang, 


"Alang-alang mahu berjuang, walau langit turun menimpa, meski bumi terbagi dua, dengan cogankata Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat, Umno ini satu-satunya parti milik kita, pertahankanlah, pertahankan bersama". 

Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, perhimpunan kali ini berbeda dan tidak sama dengan kali kali yang lalu. Dengan kata lain, ekspektasi terhadap perhimpunan ini, luar biasa.
 
Kerana ternyata suasana dan kejadian-kejadian yang kita lalui, sejak setahun yang lalu, penuh liku-liku dan cabaran yang melintang. Berpijak di bumi yang nyata, saya tahu daripada 191 bahagian, tidak semuanya seiring pandangan. Apatah lagi pada perhimpunan kali ini, setelah episod-episod tidak terduga telah terjadi, pastinya ada sesetengah yang datang, dengan segala bentuk perasaan dan rasa serta hal-hal yang terbuku di dada.
 
Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, saya yakin dan percaya, melihat akan rentak dan semangat yang ditampilkan, selama beberapa hari ini, majoritinya masih teguh berikat dengan kepimpinan saya.


Perhimpunan Agung UMNO pada hari ini 10 Disember 2015 amat memberansangkan , kagum dengan semangat perjuangan oleh ahli ahli UMNO yang hadir. Memenuhi Dewan Merdeka , Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur ini adalah sesuatu yang perlu dihayati dalam maksud perjuangan sesebuah parti dan kebetulan pula kami dari UMNO Bahagian Tawau turut serta menjadi perwakilan di Perhimpunan ini.Dengan Pakaian warna merah kelihatan semarak mega membanggakan dan menyuntik semangat perjuangan patriotisma anak bangsa.

Tetapi bagi saya, I am a gentleman, apa-apa kekusutan pun, marilah berjumpa, duduk berbincang, kita selesaikan melalui saluran yang betul. Dalam pengertian yang lebih langsung, jika sekalipun pada suatu masa kelak, baton kepimpinan ini akan diserahkan kepada orang lain, dalam Bahasa Inggerisnya,…. to me,……. I can’t just abandon our cause and drop our mission, tanpa dengan terlebih dahulu berikhtiar, mempastikan bukan sahaja isu-isu berbangkit dilangsaikan, malah,… keadaan parti dan jamaah ini hendaklah kembali dipulihkan seperti sediakala,… sebabnya,… jika tidak,… seperti yang dinasihatkan oleh para alim ulama, saya tidak boleh menjadi seorang pengecut, bahkan, itu bacul namanya.

"Biar mati berkalang tanah, perjuangan UMNO tidak akan dibiar musnah. gantungkan lah azam dan semangat yang tinggi,… setinggi bintang di langit, biarpun ada yang berpaling tadah,..biar berkali-kali kita ditolak supaya rebah,…there shall be no retreat, no surrender,..no retreat!!! no surrender!!!"

Demi kepentingan Islam, Melayu, UMNO dan Perpaduan Ummah.
Berpaut dan bertawakkal kepada Allah,… perjuangan UMNO ini, kita sempurnakan jua.

Ayo , bangkit lah orang orang Melayu dengan semangat juang yang tinggi , teruskan perjuangan dan pertahankan yang ada demi kesinambungan anak bangsa yang akan menjadi pewaris kepada perjuangan hari ini. Jangan ada masa bersengketa sesama sendiri yang akan mengakibatkan kelemahan terpacul keluar dengan minda yang kering kontang. Ayo , Hiduplah Bangsa ku demi kesatuan dan perpaduan antara kita sesama kita. Jangan kita lalai dan alpa , sentiasa kita ambil sumber rujukan yang telah disediakan oleh Rasullullah saw iaitu Qur'an dan Hadis. 

"TAATILAH PARA PEMIMPIN"
(Menurut Al-Qur'an & Hadis)

Firman Allah Ta'ala:

يأيهاالذينءامنواأطيعواالله وذأطيعواالرسول وأولى الامرمنكم
 

Ya ayyuhal lazina 'aamanu 'ati'ullaha waati'ul rasullah wa 'awlil umri minkum

"Wahai orang-orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul dan para pemimpin di kalangan kamu".(An-Nisa:59)

Sabda Nabi s.a.w(maksud):

1)"Sesiapa taat kepada pemimpin maka dia telah taat kepadaku dan sesiapa yang menderhakai pemimpin maka dia telah derhaka kepadaku".(HR Bukhari no.2957)

2)"Kamu wajib patuh dan setia,samada dalam keadaan susah atau senang,suka atau duka dan walaupun merugikan kepentinganmu".(HR.Muslim no.1836)

3)Seorang Sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w:Ya Nabi Allah,bagaimana menurutmu jika para penguasa yang memimpin kami yang selalu mengutamakan hak mereka tetapi mereka tidak bersedia memenuhi hak kami?Nabi menjawab:"Tunduk dan patuhlah kamu,sesungguhnya mereka akan bertanggungjawab atas kepimpinanya,manakala kamu juga akan bertanggung jawab terhadap ketaatan kamu kepadanya".(HR.Muslim no.1846)

4)"Sesiapa yang dipimpin oleh seseorang pemimpin lalu dia melihat pemimpinnya berbuat maksiat kepada Allah,maka hendaklah dia membenci perbuatannya,namun jangan dia melepaskan ketaatan daripadanya".(HR.Muslim no.1855)

5)"Sesungguhnya sepeninggalanku akan muncul para pemimpin yang bertindak sesuka hatinya dan membuat berbagai kebajikan yang kamu tidak menyukainya".Para Sahabat bertanya apa harus mereka lakukan ketika itu,Nabi menjawab:"Tunaikanlah kewajipan kamu dan mintalah hak kamu(berdoa) kepada Allah".(HR.Muslim,1843)

6)"Sesiapa yang tidak menyukai sesuatu daripada pemimpinnya maka hendaklah dia sabar.Kerana sesungguhnya tiada seseorang pun daripada manusia yang memisahkan diri daripada pemimpinnya sekalipun hanya sejengkal lalu dia mati melainkan matinya dalam keadaan Jahiliyah".(HR Muslim no.1849)


Bersama Ketua Menteri Sabah DSP Musa Hj.Aman Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah , DSP Salleh Said Keruak Bendahari UMNO Malaysia, Datuk Taufiq bin DSP AB Titingan Ketua Bahagian UMNO Tawau , Datuk Hj.Syed Abas bin Hj.Syed Ali Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tawau serta rakan rakan seperjuangan UMNO Bahagian Tawau semasa makan tengahari di Perhimpunan Agung UMNO yang ke - 69 di PWTC Kuala Lumpur.


11 Disember 2015 , Dewan Merdeka PWTC Kuala Lumpur - Seawal jam 8.00 pagi telah berada di PWTC untuk menghadiri Perhimpunan Agung dimana pada hari ini dijangkakan akan lebih ramai para pembahas akan muncul dan juga pembentangan Usul akan berterusan untuk menunaikan tugas yang diamanahkan semasa Perhimpunan ini.


Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang masuk hari kedua hari ini, diteruskan dengan menyambung semula sesi perbahasan usul ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bermula 8.30 pagi ini, 10 lagi pembahas dijadual membentangkan hujah masing-masing, termasuk wakil Pergerakan Wanita, Puteri dan wakil Kelab UMNO Luar Negara. Sesi perbahasan kemudian, akan diikuti dengan pembentangan usul ekonomi serta agama dan pendidikan. Dua usul itu, masing-masing dijadual dibahaskan 19 wakil negeri-negeri dan Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri. Semalam, Najib yang juga Perdana Menteri merasmikan Perhimpunan Agung UMNO kali ke-69 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).


Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan Ketua Bahagian UMNO Tawau yang mewakili Negeri Sabah membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2015 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.


Kerajaan perlu mengambil tindakan lebih proaktif bagi mengatasi masalah jenayah rentas sempadan yang sering berlaku di Sabah. katanya antara langkah yang boleh diambil termasuk mengadakan operasi bersepadu secara berterusan memeriksa setiap rumah di kawasan berisiko. Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah, berkata demikian bagi mewakili UMNO Sabah semasa membahaskan ucapan dasar presiden parti pada hari kedua Perhimpunan Agung UMNO 2015 di sini hari ini. Tawfiq berkata, walaupun sejak kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) insiden pencerobohan perairan Sabah oleh kumpulan militan tidak berulang, Pantai Timur negeri itu masih lagi terdedah kepada jenayah rentas sempadan termasuk beberapa siri kejadian penculikan.




"Malah saya difahamkan penduduk di sekitar Kampung Tanduo dan kawasan berhampiran seolah-olah trauma apabila melihat atau mendengar bunyi bot di lautan dan mereka yang berpakaian ala tentera khususnya pada sebelah malam. Sampai bila kerisauan dan kegusaran ini bakal berakhir?" katanya.
Sejak tahun lepas, siri insiden penculikan berlaku di Sabah sehingga membawa kepada pembunuhan rakyat Malaysia, Bernard Then Ted Fen yang diculik empat lelaki bersenjata di Sandakan, Sabah pada Mei lepas.


Rehat dan makan tengahari Perhimpunan akan bersambung semula pada jam 3.00 petang bagi sesi perbahasan.

12 Disember 2015 , Persiapan hendak ke Dewan Merdeka PWTC Kuala Lumpur untuk meneruskan Perhimpunan Agung UMNO ke-69. Rakan rakan semua sudah bersedia dan hari ini adalah hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO dimana pada sebelah petang nanti akan berlangsung ucapan pengulungan dan seterusnya penutupan oleh YAB DS Mohd.Najib bin Tun Hj.Abd.Razak Presiden UMNO Malaysia merangkap Perdana Menteri Malaysia.  



Berada didalam Dewan Merdeka PWTC untuk mendengar Perbahasan yang akan diteruskan pada jam 9.00 pagi.
 


12 Disember 2015 , Hari Ketiga Perhimpunan Agung UMNO ke-69 yang berlangsung di Dewan Merdeka Bangunan PWTC Kuala Lumpur. Rehat tengahari dan boleh jalan jalan kerana acara akan bersambung semula pada jam 3.00 petang nanti



Santai bersama rakan rakan , menunggu masuk semula kedalam Dewan Perhimpunan untuk Ucapan Penggulungan oleh Presiden UMNO DS Mohd.Najib bin Tun Razak yang dijangkan akan berlangsung pada jam 3.00 petang ini. Kesempatan diambil untuk membeli belah dikawasan perniagaan yang telah beroperasi sejak 8 Disember 2015 lagi. Banyak barang barang jualan seperti Kain , Baju , dan pelbagai macam jualan yang boleh dijadikan hadiah kepada rakan dan taulan apabila balik ketempat masing masing. 


Menuju ke Dewan Merdeka untuk acara penutupan dimana sebelum itu YAB DS Mohd.Najib bin Tun Hj.Abd.Razak akan membuat ucapan penggulungan.

Menuju ke Dewan Merdeka untuk acara penutupan dimana sebelum itu YAB DS Mohd.Najib bin Tun Hj.Abd.Razak akan membuat ucapan penggulungan.



ALHAMDULILLAH bersyukur ke hadrat Allah SWT kita telah sampai kepada penghujung persidangan kita. Saya lihat bahawa persidangan kita kali ini ada banyak kelainan, antara yang teristimewa bila kita berkumpul dengan berpakaian baju Melayu merah. Meremang bulu roma saya melihat pemimpin-pemimpin UMNO yang gah dalam satu saf kepimpinan. (suara laungan Hidup Najib)

Sebelum saya melanjutkan ucapan, baik saya habiskan ritual menyampaikan ucapan penghargaan terlebih dahulu. Pertamanya terima kasih penghargaan kepada Pengerusi Tetap persidangan kita, yang dengan gaya tersendirinya gunakan bahasa Kedah yang 'berloqlaq’ tak habis-habis. Tapi, dengan wiselnya kali ini, mudah-mudahan Kedah menang pada malam ini. (Pengerusi Tetap meniup wisel)



Datuk Seri Najib Tun Razak memilih untuk berjiwa besar dengan membuka pintu dan menghulurkan tali silaturahim kepada semua ahli serta pemimpin UMNO agar bersatu padu dan mengukuhkan ikatan. Bagaimanapun Perdana Menteri memberi amaran jika mana-mana pihak menolaknya dan mahukan pertelagahan maka ia menunjukkan perkara itu bukan lagi soal peribadi.

“Mereka bukan menentang saya sebagai Najib Razak, Presiden parti tetapi mereka yang menolak untuk mencari titik perdamaian dalam jemaah UMNO,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2015 (PAU 2015).

Saya nak mulakan ucapan penggulungan saya dengan mengingatkan kepada kita;
Surah Al-Asri: “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang beriman dan beramal soleh. Mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”.
Saya tanya alim ulama pengertian kerugian itu apa? Mereka kata kerugian itu kalau kita asyik menabur fitnah, berbohong, politik adu domba, jadi tukang kipas, ini semua dengan apa yang dikatakan dalam kerugian. Secara peribadi dan saya dengan rakan-rakan juga bila menjelang Perhimpunan Agung pada kali ini berasa dengan penuh debaran, memikir tentang bagaimana agaknya perjalanan perhimpunan pada kali ini kerana berbagai-bagai kejadian, berbagai-bagai episod yang luar dugaan terutama mutakhir ini yang berlaku sebelum persidangan kita.

Tetapi, 


Surah Ali-Imran ayat ke-54:
"Wamakaru wamakarullah...”
Kita merancang, Allah merancang, 

Namun Alhamdulillah perancangan Allah itu yang paling sempurna.

Namun, Alhamdulillah dengan izin Tuhan segala-gala telah berjalan dengan lancar dan baik. Saya ucap setinggi-tinggi tahniah kepada sidang perwakilan sekalian.





Hakikatnya dalam satu organisasi seperti UMNO ini, apa dia sendi kepada UMNO? Apa dia prinsip-prinsip yang kita anuti, yang sepatutnya kita amalkan, yang sepatutnya kita jadikan panduan?

Yang pertama, kita parti bangsa Melayu. 

Yang kedua, kita parti yang menjunjung tinggi syiar Islam.

Jadi dalam sifat kemelayuan kita, budaya kita, sebagai orang Melayu, kita diajar apa? Kita diajar sikap hormat-menghormati, kita diajar untuk taat dan setia kepada pemimpin, kita diajar untuk menghormati dan bersantun budi. 

Setiap itu ada kaedahnya, ada susilanya, hatta untuk menegur pemimpin dan menyuarakan pandangan pun, ada adabnya. Begitu halusnya orang Melayu, inilah dikatakan jati diri, akal budi orang Melayu yang kita perlu amalkan. Kalau nak tegur pun, ada kaedahnya. Dalam UMNO pun, nak tegur pun, ada kaedahnya.

Betul? betul (perwakilan jawab).

Baik, kalau itu cara orang Melayu bersopan tertib. Kalau nak kata pun dalam sindiran. Dia tak bantai tegak-tegak, dia tak luku, dia tak tibai, dia tak balun, manakala parti yang menjunjung Islam pula, agama kita mengajar kita untuk saling percaya mempercayai dan mesti ada roh dan jiwa Islam.
Kalaulah dalam ucapan dasar saya sebut prinsip wala', saya nak lengkapkan prinsip itu dengan konsep tabayyun atau pun penelitian, yang disebut oleh beberapa orang jurucakap seperti surah al-Hujurat ayat keenam yang kita tahu, kalau datang apa-apa khabar kita tak boleh terima bulat-bulat.
Kita perlu apa? Selidik (disambut sorakan), siasat (sorakan), teliti (sorakan perwakilan) supaya jangan terjadi fitnah-memfitnah. Dengar cerita entah dari mana eh (terus) terima, 1MDB rugi RM42 bilion entah mana dia dapat, terima. Tak ada bukti, tukar cerita (jadi) RM27 bilion. Ya, bila orang tanya ada bukti? Tak ada, sebab itu saya tak buat laporan polis, sebab apa? Tak ada bukti. 

Tapi dah sebut, ini ayat al-Quran mengingatkan pada kita jangan kita terima yang jadi masalah bila kita kata bahawa dalam perbahasan, jurucakap kata ini perang persepsi, tapi Islam dah beritahu kita kalau kita teliti, perang persepsi tidak akan mempengaruhi kita sebenarnya. 




Dahsyatnya fitnah ini, kita tahu orang boleh kena bunuh kerana fitnah. Khalifah yang ketiga, Khalifah Uthman Ibn Affan yang sangat santun, lemah lembut dibunuh dengan kejam kerana angkara fitnah sesama bangsa. Sebab itulah, prinsip wala’ taat setia dan juga tabayyun penting, sebab kita tahu, dalam sejarah peradaban Melayu, kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511. Kerana apa? Kerana permusuhan dalaman. Runtuhnya empayar besar Othmaniah, dianggap oleh para ahli sejarah tak mungkin, kalau ikut hukum akal tak mungkin runtuh tapi akhirnya hancur berkecai kerana apa? Kerana masalah dalaman menyebabkan empayar besar pun runtuh.

Sebab itulah kalau kita sebut UMNO ini apa? UMNO ini satu institusi politik, UMNO inilah tempat orang Melayu berteduh bergantung harap, tempat inilah untuk perlindungan anak cucu cicit kita. UMNOlah parti yang akan menentukan kegemilangan bangsa Melayu kita (disambut sorakan dan tepukan gemuruh).

Sebab itulah kalau tidak ada tanzim disiplin, tidak ada ketaatan, kalau kita tak ada kesetiaan UMNO juga boleh rebah. Nauzubillah. Sebab itulah ahli sejarah yang tersohor George Santayana, berkata "If you do not learn from history, history will condemn you". Kalau tak faham, faham sahaja tak payah ulas.

Kini bukan lagi soal peribadi, mereka bukan menentang saya sebagai Najib Razak Presiden parti, bahkan sebenarnya ternyata mereka telah tolak untuk mencari titik-titik perdamaian dan menolak keputusan syura, parti atau jemaah UMNO kita ini.

Apa guna kita bermusuh? Berpatah arang dan berkerat rotan, kerana yang menang akan jadi arang dan yang kalah pula jadi abu, nanti orang lain pulalah yang dapat untung.
Sebagai kesimpulannya, begitulah realiti kehidupan masa kini. Ada pasang, ada surutnya. Ada masanya susah, ada waktunya gemilang. Meminjam falsafah hidup pemikir ulung Nusantara, Hamka.
Katanya, hidup ini pertengahan antara pahit dan manis. Jika selalu sahaja manis, hati tentu berasa bosan. Kalau selalu pula pahit, jiwa pula pasti menjadi rawan.

Walau rentung dibakar difitnah, walau bercerai anggota daripada badan, walau bercacak panah dan lembing, panji-panji UMNO kita tegakkan juga. Patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat lutut, there should be no retreat, no surrender, no retreat, no surrender.
Wabillahitaufik Walhidayah Warahmatullahhiwabarokatuh.



2,762 perwakilan, dari 191 Bahagian seluruh negara, bermula di Arau Perlis, membawa ke Kalabakan Sabah memenuhi Dewan Merdeka , salute to UMNO Presiden , Patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat lutut, there should be no retreat, no surrender, no retreat, no surrender.








No comments:

Post a Comment