Saturday, December 2, 2017

MAULIDUR RASUL 1439H PERINGKAT NEGERI SABAH DI TAWAU







TAWAU, 1 Disember 2017 – Daerah Tawau telah terpilih sebagai tuan rumah Sambutan Maulidur Rasul 1439H Peringkat Negeri Sabah pada tahun ini. Sambutan ini telah diserikan dengan perarakan kontinjen yang terlibat bermula dari perkarangan Majlis Perbandaran Tawau dan berakhir di Padang Bandaran Tawau.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil berkata kontinjen terlibat terdiri daripada agensi kerajaan, badan beruniform, swasta dan sekolah.

Katanya, Jawatankuasa Induk Sambutan turut memutuskan untuk menjemput penceramah terkenal dari Indonesia untuk memeriahkan sambutan itu, di samping acara bacaan doa dan al-Quran.

"Kontinjen akan berkumpul sekitar pukul 7 pagi di perkarangan MPT sebelum berarak sejauh 1.5 kilometer menuju ke padang perbandaran Tawau," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

YAB Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman Ketua Menteri Sabah turut sama menyertai perarakan ini bersama-sama YB Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Menteri-Menteri Kabinet Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin setempat. Seramai 80 lebih Kontinjen telah menyertai perarakan ini yang meliputi agensi kerajaan, swasta, sekolah rendah, menengah serta NGO’s sekitar negeri Sabah. 




Seawal jam 6.00 pagi para peserta perarakan Sambutan Maulidur Rasul telah berkumput dihadapan bangunan Majlis Perbandaran Tawau iaitu tempat permulaan perarakan menuju ke Padang Bandaran Tawau.



Turut hadir Ybhg.Datuk Hj.Nizam bin DSP AB Titingan Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah yang akan bersama sama berarak ke Padang Bandaran Tawau dimana Majlis ini akan berlangsung.




Kumpulan Imam imam di Daerah Tawau juga tidak terkecuali untuk sama sama menyerikan sambutan Maulidur Rasul tahun ini.





Turut hadir Yang Berhormat DSP Hj.Syed Abas bin Hj.Syed Ali Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.




Dari Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tujuh golongan, Allah akan menaungi mereka pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya:

Pertama : Imam (pemimpin) yang adil.

Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah.

Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan masjid.

Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah.

Kelima : Insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata : ‘Sesungguhnya aku takutkan Allah’.

Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang di belanjakan oleh tangan kanannya.

Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Berdasarkan daripada hadis di atas , dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa terdapat tujuh golongan manusia yang beriman dan bertaqwa yang akan mendapat rahmat dan perlindungan dari Allah SWT di hari akhirat nanti. Golongan tersebut adalah seperti berikut:

Pertama : Imam (pemimpin) yang adil. Seorang pemipin akan ditanya di akhirat nanti adakah mereka memimpin dengan adil, amanah, jujur dan sentiasa berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah.
"Maksud adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya, tidak boleh dikatakan adil selagi seseorang pemimpin itu tidak menggunakan neraca Islam dan neraca Allah SWT di dalam setiap keputusan dan perlaksanaan di dalam pemerintahannya. Tidak ada undang-undang dan peraturan yang lebih adil melainkan ianya datang dari Pencipta manusia dan alam semesta iaitu Allah SWT". 


Kedua : Pemuda yang membesar dengan beribadah kepada Allah. Pemuda adalah golongan penting di dalam masyarakat Islam, kerana merekalah yang akan mewarisi kepimpinan negara akan datang. Sesuatu umat akan menuju kepada kehancuran apabila pemuda-pemudinya telah rosak akidah dan akhlaknya , lemah daya pemikiran dan intelektualnya dan hilang semangat jihad. 
"Pemuda yang menjadi ahli ibadah dan terpilih mendapat naungan Allah ini adalah mereka yang hati dan jiwanya sentiasa mengingati Allah , kuat imannya dan baik akhlaknya dan sentiasa berterusan dan istiqamah dalam menjalani proses tarbiyyah dan dia juga berusaha mengajak pemuda lain untuk duduk dalam jemaah Islam dan melaksanakan amal ma’ruf nahi mungkar". 


Ketiga : Insan yang hatinya terpaut dengan masjid. Masjid adalah tempat ibadah , di sinilah tempat umat Islam berkumpul untuk melaksanakan ibadah khusus terutama solat, membaca al-Quran, berzikir, tempat majlis-majlis ilmu dijalankan dan tempat perhimpunan dan perbincangan umat Islam untuk menyelesaikan masalah mereka. Para malaikat mendoakan dan memohon rahmat kepada Allah SWT kepada ahli-ahli masjid yang menunaikan ibadah dan menuntut ilmu di sini. Di zaman Rasulullah SAW, masjid berfungsi sebagai tempat semua urusan umat Islam (pusat pemerintahan, ibadah dan majlis ilmu). 
"Mereka yang terpaut hati dengan masjid dan melaksanakan semua fungsi tadi akan mendapat naungan Allah di akhirat nanti". 


Keempat : Dua insan yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah. Dua orang saudara Muslim bertemu semata-mata untuk merapatkan ukhwah dan kasih sayang, saling nasihat-menasihati, lengkap-melengkapi dan merancang sesuatu atas tanggungjawab untuk menyelamatkan umat ini daripada hanyut di bawa arus jahiliyah dan terselamat daripada mendapat azab Allah SWT. Mereka berpisah adalah semata-mata kerana Allah disebabkan masing-masing kembali ke tempat asal mereka untuk memenuhi tuntutan dakwah dan tarbiyyah, walaupaun berjauhan namun perasaan ukhwah dan kasih sayang tetap berterusan. Allah SWT akan memberi pahala dan ganjaran yang besar apabila seluruh masa, tenaga dan wang ringgit dicurahkan semata-mata kerana Allah SWT. Atas usaha-usaha yang berterusan seperti ini, bertemu dan berpisah kerana Allah SWT, memang sesuailah mereka mendapat naungan Allah SWT di akhirat nanti. 
Dalam sebuah Hadis Qudsi yang diriwayatkan di dalam Kitab Al-Muwattha’ Imam Malik, Nabi S.A.W telah bersabda bahawa Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: 
“Kasih-sayangKu lebih utama untuk mereka yang berkasih-sayang pada jalanKu, golongan berhimpun dan berkelompok semata-mata keranaKu, golongan yang saling ziarah-menziarahi keranaKu, dan golongan yang sentiasa berbelanja dijalanKu” 


Kelima : Insan yang diajak (digoda) oleh wanita yang berpangkat dan cantik, lalu ia berkata : “Sesungguhnya aku takutkan Allah.” Perbuatan zina adalah satu perbuatan yang keji dan hina. Zina boleh merosakkan keturunan, menimbulkan pergaduhan dan perpecahan dalam keluarga dan masyarakat. Seseorang yang melakukan zina, dan hasil daripada zina ini apabila mendapat anak, ia sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa atau pun membuangnya merata tempat tanpa belas kasihan semata-mata untuk menutup malu pada keluarga dan masyarakat. Peribadi seperti ini kedudukannya lebih rendah dari haiwan kerana haiwan pun mempunyai perasaan kasih sayang pada anak-anaknya. 
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dan sesiapa yang berzina dengan seorang perempuan, sewaktu berbangkit dari kuburnya kelak, sesungguhnya ia merasa sangat haus.” 
Oleh kerana betapa besarnya mudharat zina ini, Allah SWT akan memberi ganjaran pahala yang besar dan memberi naungan-Nya di akhirat nanti kepada sesiapa sahaja dikalangan hamba-hamba-Nya yang sanggup menolak ajakan zina oleh perempuan cantik dan berpangkat dengan kata-kata, 
“Sesungguhnya aku takut kepada Allah.” sepertimana Nabi Yusuf a.s. menolak ajakan isteri pembesar Mesir ketika itu untuk melakukan zina. 


Keenam : Insan yang bersedekah dengan cara yang tersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya. Islam menggalakkan amalan bersedekah dari golongan kaya kepada golongan miskin, supaya jurang perbezaan di antara mereka dapat dikurangkan. Dalam hadis yang lain Nabi SAW ada menyatakan bahawa salah satu golongan yang akan masuk syurga bersama-sama golongan yang mati syahid dan ulama adalah dermawan yang menyumbangkan hartanya di jalan Allah semata-mata mencari keredhaan-Nya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya. 
"Insan budiman lagi dermawan ini akan mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak". 


Ketujuh : Insan yang mengingati Allah secara bersunyian lalu menitiskan air matanya. Doa dan munajat adalah senjata orang mukmin. 
Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Ku, sesungguhnya Aku dekat. Aku menyahut doa orang berdoa, tatkala dia berdoa kepada-Ku, justeru sahutlah seruan-Ku.” (Surah al-Baqarah ayat 186). 
Orang mukmin pada siang harinya dia menjadi ‘singa’, bekerja bersungguh-sungguh dalam semua urusan . Dalam urusan kerjayanya mencari nafkah, dalam urusan dakwah dan tarbiyyah dan dalam urusan membantu masyarakat. Tetapi pada malam hari menjadi abid, membaca al-Quran, berzikir, bersolat tahajjud dan berdoa kepada Allah hingga menitiskan air mata. Dia rasa dirinya kerdil dan terlalu banyak dosa yang dilakukan. Sekiranya tanpa belas kasihan Allah SWT dia merasakan dia tidak dapat menyelamatkan diri dari azab-Nya di hari akhirat nanti.

Sahabat yang dikasihi, marilah sama-sama kita berusaha untuk meningkatkan amal ibadah dan amal soleh kita semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Jalan keselamatan untuk terselamat di hari akhirat telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua iaitu tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan Allah SWT. Oleh itu, berusaha dan berdoalah semoga kita menjadi sebahagian daripada golongan tersebut. 




Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tawau bersama Ketuanya Ybhg.Datuk Hjh.Rosdianah binti Md.Nor berkesempatan bertemu dengan Pemimpin mereka di Perhimpunan Perarakan Maulidur Rasul di Hadapan Bagnunan Majlis Perbandara Tawau. Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Hj.Syed Abas bin Hj.Syed Ali Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah , Datuk Hj.Nizam bin DSP AB Titingan Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sabah dan Tuan Hj. Hamil bin Hj.Awang Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Tawau. 


Bertemu rakan seperjuangan Tuan Hj.Yahyah bin OKK Hj. Zainal Pengerusi Majlis Ugama Islam Tawau  dan  Tuan Hj.Ahmad Puniman bersama rombongan USIA Tawau.



Rakan rakan Media Massa dan Media Elektronik serta rakan rakan dari Laman Facebook dan Whatsupps. Mereka banyak membantu untuk menyampaikan ketepatan berita yang disiarkan kepada orang awam. Sofizar Usrah , Hamadi Mangka dan Nozy Hj.Nordin .



Turut serta Biro Agama Islam Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah. Kelihatan Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Hj.Hajiji bin Hj. Noor  Menteri di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah. Turut hadir Yang Berhormat Datuk Hj. Mohd. Arifin bin Hj. Mohd. Arif Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah.



 Kumpulan PERKIPS dari Hospital Tawau







Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Hj.Syed Abas bin Hj.Syed Ali dapat meluangkan masa bertemu dan bermesra dengan kumpulan Permuafakatan Rukun Tetangga Daerah Tawau yang diketuai oleh Pegawai Perpaduan Daerah Tawau Puan Rosmah binti Wading. Turut Hadir En.Bacho Kalo Timbalan Pengerusi Permuafakatan Rukun Tetangga Daerah Tawau berserta Pengerusi Pengerusi Rukun Tetangga Daerah Tawau.



Kumpulan dari UMNO Bahagian Tawau yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tawau dan Ketua ketua cawangan UMNO Tawau.



Kumpulan dari UMNO Bahagian Kalabakan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Kalabakan dan Ketua ketua cawangan UMNO Kalabakan.


Kumpulan Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah



Kumpulan dari Kampung Batu Payung




Kumpulan dari Jabatan Pertanian Negeri Sabah


Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Hj.Syed Abas bin Hj.Syed Ali dan Datuk Hj.Nizam bin DSP AB Titingan dapat meluangkan masa bertemu dan bermesra dengan  BENTA dari kumpulan anak syarikat Yayasan Sabah.





12 Rabiulawal mengingatkan kita akan kelahiran Nabi besar junjungan kita Muhammad SAW. Justeru kita memperingati Maulud Nabi untuk mengungkapkan rasa cinta yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah SAW yang tercinta.

Kalau ada yang mengatakan bahawa sambutan Maulud Nabi itu perbuatan bidaah, tidak mengapa kerana orang tahu kita ini pelaku bidaah yang mencintai Nabi. Dan kalau Islam itu tidak menghormati Rasulullah SAW, maka layaklah kita untuk menyatakan ucapkan selamat tinggal kepada Islam.

Perayaan yang kita sambut sebagai bukti cinta iaitu kenikmatan menyebut nama orang yang kita cintai. Dalam satu peristiwa setelah Nabi SAW wafat, Bilal tidak mahu lagi mengumandangkan azan. Tetapi setelah didesak oleh orang ramai termasuk Saidina Fatimah akhirnya Bilal kembali melaksanakan tugasnya.

Ketika azan dikumandangkan dan sampai kata “wa asyhadu anna Muhammad...” suara Bilal terhenti. Suaranya tersekat-sekat dan dia menangis sekuat-kuatnya. Nama “Muhammad”, kekasih yang baru saja kembali ke Rabbul Izzati, menggetarkan jantung Bilal.

Bagi Bilal ia berhenti azan kerana nama itu mengingatkan dia kepada kehilangan besar kepada seluruh umat Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling dekat dengan aku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak membaca selawat kepadaku”.

Terlalu banyak untuk diperkatakan tentang keagungan dan keperibadian Nabi Muhammad SAW yang menjadi teladan bagi semua peringkat manusia. Baginda adalah sebaik-baik makhluk Tuhan seluruhnya.

Menghayati

Umat Islam dituntut bukan sekadar untuk menghayati ajaran Rasulullah SAW tetapi memantapkan rasa cinta dan penghargaan atas jasa-jasa serta pengorbanannya yang tidak ternilai.

Sehingga Allah SWT dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohonkan maghfirah untuk Nabi SAW serta menganjurkan umat Islam untuk menyampaikan selawat dan salam sejahtera kepada Baginda dan keluarganya.

Keluhuran budi Nabi SAW bukan hanya dinyatakan oleh Allah dan diyakini umat Islam, berdasarkan firman Allah yang bermaksud “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia (Al-Quran surah Al-Qalam ayat 4) tetapi juga diakui oleh kawan dan lawan. Malah ketika diminta untuk mengutuk, Nabi SAW menjawab: “Aku bukan diutus sebagai pengutuk, tetapi aku diutus untuk mengajak kepada kebaikan dan penyebar rahmat”.

Tidakkah kita merasa malu kepada Nabi kita dengan sikap kita hari ini yang menjadi makhluk yang berfikiran perosak untuk menggunakan tangan merosakkan bangsa sendiri. Dengan jari-jemari mereka mengolah cerita atau memanjangkan cerita yang boleh merosakan bangsa, menyadurkan fitnah terhadap bangsa sendiri melalui telefon pintar.

Sifat kasih sayang Nabi terhadap sesama makhluk tidak akan ditemui pada seorang manusia pun yang lebih tinggi rasa kasih sayangnya, lemah lembutnya serta perbuatan baiknya kepada makhluk Tuhan.

Allah menegaskan dalam firmannya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya’. (Surah Al-A’Raaf ayat 158)

Sebahagian ulama tafsir menyimpulkan bahawa Nabi SAW telah meneladani sifat-sifat terpuji para Nabi sebelumnya. Nabi Nuh a.s dikenali sebagai seorang yang gigih dan tabah dalam berdakwah.

Nabi Ibrahim pula terkenal kerana sifat pemurahnya serta tekun bermujahadah mendekatkan diri kepada Allah. Nabi Daud a.s kerana amat kuat rasa syukur dan penghargaan terhadap nikmat Allah.

Manakala Nabi Zakaria a.s., Yahya a.s. dan Isa a.s. adalah nabi yang berupaya menghindar kenikmatan dunia demi mendekatkan diri kepada Allah SWT. Nabi Yusuf yang begitu tabah menahan cubaan. Nabi Musa yang dikenali seorang nabi yang berani dan tegas.

Demikian seterusnya, dan Nabi Muhammad SAW meneladani semua keistimewaan mereka itu.

Keagungan Nabi SAW menjadikan beliau sebagai teladan yang baik sekali gus sebagai syahid (pembawa berita gembira dan pemberi peringatan). Baginda menziarahi orang-orang sakit, bersama-sama mengiringi jenazah dan memenuhi undangan walaupun daripada seorang kanak-kanak.

Apabila berjabat tangan baginda tidak menarik tangan baginda selagi orang itu tidak melepaskan tangannya. Jika baginda melawati sekumpulan orang, baginda akan sentiasa tersenyum dan akan menyapa dengan penuh kelembutan dan berhikmah.

Kesopanan baginda terhadap orang kebanyakan dan sikap terpuji yang baginda tunjukkan kepada orang yang sombong menyebabkan baginda dihormati dan disanjung tinggi.

Dalam kesibukan baginda memimpin, baginda sentiasa menerima sesiapa pun dengan tangan terbuka dan lapang dada walaupun seorang Badwi yang kasar sifatnya. Kita memohon kepada Allah agar mengukuhkan keberadaan dan perjalanan hidup kita di jalan Rasulullah SAW, menjadikan kita sebagai pengikut setia baginda, memberi kita kesempatan untuk meneguk air telaga kasihnya dan menghimpunkan kita di bawah panji kemuliaannya.

Justeru, sambutan Maulidur Rasul yang disambut saban tahun adalah antara tanda kasih sayang dan rasa terima kasih kita terhadap Rasulullah SAW. 


Selawat dan salam untuk baginda.




Kumpulan UPPM DUN.N59 Tg.Batu bersama Yang Berhormat Datuk Hjh. Hamisah binti Samad Pembantu Menteri kepada Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat  Negeri Sabah yang beliau juga adalah ADUN kawasan tersebut.




Setelah nyata kepada kita kewajipan menyintai dan mengasihi Nabi Muhammad SAW berdasarkan dalil-dalil naqli dan aqli yang jelas, marilah pula kita cuba membincangkan tanda dan bukti kasih dan kecintaan seseorang terhadap baginda . Deklarasi cinta yang tidak disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja masih belum mencukupi untuk membentuk cinta sejati.Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas-murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.
Keutamaan mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang pencinta Allah SWT dan NabiNya SAW yang tidak asing lagi, Rabi’ah al Adawiyyah dalam syairnya: “Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat-patuh kepada yang dikasihinya.”

Selain memiliki semangat di atas, orang-orang yang benar-benar mengasihi Nabi SAW harus terdapat pada dirinya bukti dan tanda berikut:

1. Menjunjung agama Nabinya, mengamalkan Sunnahnya, menurut perkataan dan perbuatannya dalam setiap keadaan, melaksanakan suruhannya dan menjauhi larangannya. Dia juga mengamalkan adab-adab kehidupan Rasulullah SAW dalam segala keadaan, sama ada ketika susah atau pun senang, ketika gembira atau pun sedih. Ikatan antara ‘kasih’ dan ‘taat’ ini terlihat jelas dalam firman Allah SWT: “Katakanlah (wahai Muhammad), “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu.” (ali ‘Imran: 31)

Namun semangat semata-mata tidak memadai jika tidak berpaksikan di atas ilmu yang kukuh. Lebih-lebih lagi pada zaman fitnah ini, kegagalan seseorang itu mengenal mana satu Sunnah dan bidaah akan memungkinkan terjebak ke dalam lubuk bidaah yang dianggap sebagai Sunnah. Akhirnya Sunnah dipinggirkan dan bidaah ditegakkan.

Orang yang tersemat di dalam hatinya kasih yang sejati terhadap Rasulullah SAW juga, tidak akan mempedulikan kemarahan manusia lain dalam usahanya mentaati Allah SWT dan Rasul SAW.

2. Sudah menjadi adat dan lumrah berkasih, seorang kekasih akan sering menyebut dan mengingati kekasihnya. Justeru, apabila hati seseorang itu telah mengisytiharkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW, maka lidahnya akan sering menyebut nama Kekasihnya SAW dan kotak fikirannya akan sentiasa mengingati Baginda SAW.

Selaku umat Muhammad SAW, kita amat bertuah kerana telah diajar berselawat ke atas kekasih kita Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu bentuk ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT. Maka kita beruntung kerana dapat beribadah dengan menyebut, memuji dan berselawat kepada insan yang paling kita cintai dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang memuji Nabi SAW serta lafaz selawat yang diajar sendiri oleh Baginda SAW.

Kita juga dididik oleh Nabi SAW dan ulama pewaris Baginda SAW menghormati hari dan bulan kebesaran Islam seperti Maulid al-Rasul SAW dan Isra’ Mikraj dengan mengisinya dengan pelbagai amalan yang kesemuanya ada kaitan dengan Nabi SAW dalam kerangka ubudiah kepada Allah SWT. Walaupun ada segelintir di kalangan orang Islam sendiri mencurigai bacaan dan amalan-amalan ini.

Menghayati dan memperjuangkan agama seiring dengan berkasih-sayang dengan Nabi SAW dirasakan begitu indah dan menyegarkan. Sebaliknya tanpa dimensi ini, menghayati agama boleh terasa gersang dan membebankan serta cenderung membentuk jiwa keagamaan yang keras dan kasar.

3. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan sentiasa berasa rindu untuk bertemu dengan Baginda SAW; untuk melihat zatnya di alam yang kekal abadi kelak, atau sekurang-kurangnya jika dapat menatap kelibat wajahnya yang mulia barang seketika dalam mimpi-mimpi mereka. Sudah pasti setiap kekasih sangat merindui untuk bersua dan menatap wajah kekasihnya.

Kerinduan sebeginilah yang dapat kita rasakan jika kita menyorot kehidupan generasi sahabat. Misalnya, kita dapat turut berkongsi keriangan dan kegembiraan Abu Musa al Asy’ari r.a dan rombongan kaumnya dari Yaman yang berkunjung ke Madinah.

Mereka mempercepatkan langkah dan begitu girang untuk menemui Rasulullah sambil mendendangkan syair kegembiraan: “Esok kita akan bertemu dengan para kekasih kita, Muhammad dan sahabat-sahabatnya!” Setibanya mereka di Madinah dan Masjid Nabi, mereka terus menghadap dan memuliakan Nabi SAW. (riwayat Al-Baihaqi)

4. Seseorang yang mengasihi Baginda SAW juga akan membesarkan diri dan suruhan Baginda termasuk memuliakannya ketika menyebut namanya. Malah ada yang sehingga menunjukkan rasa rendah dan hina diri ketika mendengar nama Baginda SAW disebut di hadapan mereka.

Berkata Ishaq al-Tujibi r.a, sahabat-sahabat Nabi SAW selepas kewafatan Baginda SAW tidak akan menyebut nama Baginda SAW melainkan mereka akan merendahkan diri dan menggigil serta menangis kerana diselubungi perasaan rindu yang dalam akibat berpisah dengannya.

Hal ini sangat berbeza dengan sesetengah mereka yang mengaku sebagai ahli agama pada zaman kita yang tidak mahu membesarkan dan menobatkan keistimewaan Nabi Muhammad SAW tetapi hanya menumpukan kepada risalahnya dan sunnah yang dibawa olehnya. Seolah-olah Nabi SAW hanyalah berperanan seumpama posmen penghantar surat atau orang suruhan bawahan!

Sedangkan apabila seseorang makhluk itu mempunyai sifat-sifat istimewa tersebut, maka sifat-sifat itu hanya sekadar yang bersesuaian dengan kemanusiaannya yang diciptakan terbatas dan diperolehi dengan izin, kurniaan dan kehendak-Nya.

Mengasihi Nabi SAW

Ada juga sesetengah mereka yang menolak penggunaan gelaran Sayyidina bagi Nabi SAW sedangkan Nabi SAW lebih daripada layak mendapat gelaran tersebut tetapi dalam masa yang sama mereka bebas menggunakan pelbagai gelaran dalam kehidupan mereka.

5. Orang yang mengasihi Nabi SAW juga sepatutnya akan mengasihi orang yang dikasihi oleh Nabi SAW terutamanya nasab keturunannya dari kalangan ahli-ahli bait dan sahabat-sahabatnya yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan Ansar.

Mereka juga akan memusuhi orang yang memusuhi mereka dan membenci orang yang membenci mereka dan keturunan mereka.

Hakikatnya, sesiapa yang mengasihi seseorang, dia akan mengasihi semua perkara yang disukai oleh orang yang dikasihinya.

Ini ialah sirah para Salaf al-Salih; mereka akan mengasihi segala yang dikasihi oleh Rasulullah SAW sehinggakan terhadap perkara-perkara yang sekadar diharuskan dan digemari oleh nafsu (yang tidak diharamkan oleh syarak).

Anas ibn Malik r.a misalnya, setelah melihat Rasulullah SAW mencari-cari labu di dalam dulang ketika sedang menikmati makanan, maka semenjak hari itu dia turut sentiasa suka kepada labu.

6. Orang yang mengasihi Nabi SAW akan membenci apa yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya, menjauhi orang yang menyalahi Sunnahnya, melakukan perkara bidaah dalam agamanya dan memandang berat setiap perkara yang bercanggah dengan syariatnya.

Allah SWT menjelaskan: Engkau tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, tergamak berkasih mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. (al-Mujadalah: 22)

“Mereka” yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah para sahabat Baginda SAW yang telah membunuh orang yang mereka kasihi dan juga bapa-bapa mereka yang ingkar dan kafir semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Ibnu Abbas RA menyatakan, di antara sahabat Baginda SAW yang dimaksudkan di dalam ayat itu ialah Abu Ubaidah al-Jarrah.

Beliau sanggup membunuh bapanya dalam peperangan Uhud manakala Saidina Abu Bakar r.a sanggup berlawan satu lawan satu dengan anaknya sebelum memulakan peperangan Badar, tetapi dihalang oleh Rasulullah SAW. Inilah antara bukti cinta yang tidak berbelah-bagi terhadap Baginda SAW.

7. Orang yang benar-benar mencintai Nabi SAW juga pasti akan kasih terhadap al-Quran yang diutuskan kepada Rasulullah SAW yang dengannya manusia mendapat petunjuk. Mereka akan mengikut jejak Baginda SAW yang menjiwai al-Quran dan berakhlak dengannya seperti yang ditegaskan oleh Ummul Mukminin, Aisyah r.ha dalam katanya, “Akhlak Baginda SAW adalah al- Quran itu sendiri”.

Mengasihi al-Quran bererti membacanya, beramal dengannya, memahaminya, menjunjung suruhan dan meninggalkan larangannya.

8. Tanda kasih terhadap Nabi SAW juga ialah berasa kasih dan belas terhadap umatnya dengan memberi nasihat kepada mereka, berusaha melakukan kebaikan dan menghapuskan kemudaratan daripada mereka.

Inilah sebahagian daripada bukti dan tanda yang harus ada pada para pencinta Nabi SAW. Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwa semata-mata?

Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesempurnaan kecintaan kepada Rasulullah SAW!




Perarakan bermula dari perkarangan Bangunan Majlis Perbandaran Tawau menuju ke Padang Perbandaran Tawau di Dahului oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Hj.Aman diringi oleh Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Hj.Syed Abas bin Hj.Syed Ali bersama Jemaah Menteri dan Pembantu Menteri Kabinet Negeri Sabah. 




Perarakan dari Perkarangan Bangunan Majlis Perbandaran Tawau menuju ke Padang Perbandara Tawau melalui bangunan deretan kedai sambil berselawat keatas Nabi Besar Muhamad SAW.

Selawat ke atas Nabi SAW adalah perintah wajib daripada Allah SWT. Selawat ke atas Nabi-nabi yang lain tidak diperintah, cuma adabnya apabila kita menyebut nama mana-mana Nabi atau Rasul adalah elok kalau diucapkan selamat atau sejahtera ('Alaihi al-Salam).

Manakala apabila kita mendengar orang menyebut Rasulullah atau apa-apa nama baginda hendaklah berselawat ke atas baginda (Sallallahu alaihi wa sallam). Bagi mereka yang tidak mengendahkan selawat ke atas baginda digolongkan dalam golongan yang bakhil dan rugi serta macam-macam ancaman lain. 





Maka ada beberapa perkara yang perlu diketahui umum kenapa wajib kita berselawat ke atas Nabi SAW berbanding Nabi-Nabi yang lain.

1. Apabila seseorang itu berselawat ke atas Rasulullah SAW kerana menurut perintah Allah SWT sedang Allah juga berselawat ke atas baginda maka selawat Allah SWT bermaksud pujian dan kemuliaan baginda berbanding Rasul dan Nabi yang lain. Manakala selawat manusia ke atas baginda bermaksud doa supaya Allah SWT mengangkat kedudukan baginda ke tempat yang lebih terpuji.

2. Sebagai mentaati perintah Allah SWT ke atas hamba-hambanya agar berselawat ke atas baginda SAW. 
Dalam surah al-Ahzab Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SWT); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (al-Ahzab: 56)

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa berterusan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Juga bermaksud kedudukan baginda serta kenikmatan yang diperoleh baginda sama ada di dalam alam barzakh mahupun di dalam syurga adalah sentiasa bertambah dan lebih mulia berbanding dengan Nabi-nabi yang lian.

Sekali gus para ulama berpendapat bahawa Allah SWT hanya berselawat ke atas baginda Rasulullah SAW secara khusus berbanding dengan Nabi-nabi yang lain. Adapun Nabi dan Rasul-rasul yang lain menerima ucapan kesejahteraan dengan ucapan salam tanpa selawat. 
Di dalam sepotong hadis diriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat yang bernama Bashir bin Sa'ad: Kami diperintah Allah agar mengucapkan selawat ke atas kamu wahai Rasulullah, maka bagaimana caranya kami harus mengucapkan selawat itu, lalu baginda diam terlalu lama sehingga ada yang mengharap alangkah baiknya kalau dia tidak bertanya soalan itu kepada baginda. Kemudian barulah baginda bersabda bahawa: " Ya Allah selawatlah atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau telah memberikan selawat ke atas Nabi Ibrahim dan keluarga Nabi Ibrahim. Dan anugerahi ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana engkau anugerahi Nabi Ibrahim dan ahli keluarga Nabi Ibrahim di dalam alam sekelian, sesungguhnya engkau adalah yang Maha terpuji lagi Maha Mulia. Kemudian ucapkanlah salam sebagaimana yang telah kamu ketahui. (riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasaie, al-Tarmidzhi).

3. Berselawat ke atas Rasulullah SAW adalah wajib berdasarkan ayat di atas. Kewajipan ini ditunaikan melalui solat lima waktu yang menjadi selawat itu wajib dalam setiap tasyahud.

4. Baginda Rasulullah SAW adalah penutup seluruh Anbiya, baginda telah menyempurnakan syariat bagi panduan hidup manusia.

5. Baginda Rasulullah SAW adalah pemilik syafaat di mahsyar, bagi mereka yang taat kepada perintah Allah dan Rasul Nya juga memperbanyakkan selawat ke atas baginda akan mendapat syafaat.

6. fadilat selawat yang sangat agung, melalui selawat Allah menjanjikan keampunan, kelapangan, keberkatan, kerahmatan dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang menanti orang yang banyak berselawat.






Kumpulan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah




Kumpulan dari Kg.Batu Payung yang turut memeriahkan acara Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1439H tahun 2017 bagi Peringkat Negeri Sabah yang di laksanakan di Perbandaran Tawau.


Kumpulan Imam Imam Daerah Tawau


Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah di Tawau dari Perkarangan Bangunan Majlis Perbandaran Tawau menuju ke Padang Bandaran Tawau lebih kurang 2 kilometer jaraknya. 

Tanggal 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta ini. Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik, tidak mengenal pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan terhadap berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan adalah suatu kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta membunuh adalah suatu keberanian. Sehubungan ini Allah mengutus seorang Rasul yang ditunggu oleh umat manusia untuk menghentikan semua kerosakan ini dan membawanya kepada cahaya Ilahi.


Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Hj.Aman , Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Hj.Syed bin Hj.Syed Ali , Yang Berhormat Datuk Hj.Mohd. Arifin bin Mohd.Arif Pembantu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri , Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin Timbalan Ketua Menteri / Menteri Pertanian dan Industri Makanan , Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Hj.Hajiji bin Hj. Noor  Menteri di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah dan Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Masidi Manjun Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar. Mereka telah sampai ke lokasi berkumpul perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah di Padang Perbandaran Tawau.





Perarakan Perbarisan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Tawau telah berada dikemuncaknya dimana sebaik semua kontinjen sampai di Padang Perbandaran Tawau acara seterusnya akan bermula seperti yang telah diaturkan mengikut aturcara yang telah disediakan.

               

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman hari ini meminta rakyat di negeri ini mempertahankan keharmonian pelbagai kaum dan agama di Sabah dan tidak membiarkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan. Katanya selama ini Sabah menikmati keamanan yang didasari persefahaman dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama. “Kita tidak mahu ada pihak yang cuba menangguk di air keruh, yang cuba mempolitikkan agama.

“Tidak ada isu agama di negeri kita yang tercinta, yang ada hanya persefahaman dan harmoni dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya pada sambutan Maulidur Rasul peringkat Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata keharmonian masyarakat di Sabah juga antara tarikan pelancong ke negeri itu selain keindahan alam semula jadi.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam khasnya, menghayati dan mencontohi keperibadian Rasulullah SAW dalam mengeratkan ukhuwah sesama hamba Allah SWT.

Asas dan kunci kejayaan Sabah pada masa depan bukan terletak pada kekayaan sumber alam semata-mata tetapi kerjasama serta sokongan rakyat penting bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dalam suasana masyarakat yang penuh keharmonia, kedamaian dan keamanan, katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Awang Sahari EM Nadzeer terpilih menerima Anugerah Maulidur Rasul dan Ketua Polis Daerah Kudat, Supt Douglas Nyeging Taong pula menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul.

Awang Sahari yang merupakan anak Mambakut, Sabah, bersara wajib pada tahun lalu dan diiktiraf atas sumbangannya dalam Polis Diraja Malaysia selama 39 tahun perkhidmatan termasuk dalam tugas-tugas berisiko tinggi.

Douglas pula yang berasal dari Kapit, Sarawak dipilih berdasarkan semangat serta kebersamaannya yang terjalin dengan masyarakat setempat sekalipun berbeza budaya dan agama.

Kedua-dua anugerah itu disampaikan oleh Musa pada sambutan berkenaan yang turut menyaksikan kira-kira 10,000 peserta merangkumi 83 kontinjen daripada sektor kerajaan, swasta serta intitusi pendidikan berarak sejauh 1.8 kilometer. negeri.-

Turut serta dalam perarakan ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yahya Hussin, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Syed Abas Syed Ali dan menteri Kabinet Sabah, wakil rakyat, serta ketua-ketua jabatan Persekutuan dan Negeri








Bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer diumumkan Tokoh Maulidur Rasul (Kategori Lelaki) sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 2017 di Padang Bandaran Tawau di sini, hari ini.

Awang Sahari, 61, yang bersara pada November tahun lalu selepas hampir 40 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai pengalaman 30 tahun dalam cawangan khas serta tujuh tahun di bidang jenayah perdagangan.

Beliau yang berasal dari Kampung Brunei, Membakut pernah menjadi Ketua Cawangan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Sabah.

Pengerusi Tetap Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Tawau, Mardianah Shahrun, 69, diumumkan Tokoh Maulidur Rasul (Kategori Wanita).

Anugerah kepada kedua-dua tokoh itu disampaikan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.



Terdahulu, kira-kira 10,000 umat Islam menyertai perarakan dari dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menuju ke Padang Bandaran sejauh satu kilometer bermula kira-kira jam 7.25 pagi.

Sebanyak 83 kontinjen mewakili agensi kerajaan dan swasta, badan berkanun, badan beruniform, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar universiti awam serta institusi pengajian tinggi serta sekolah menyertai perarakan.

Turut berarak ialah barisan kepemimpinan negeri diketuai Musa selain dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali serta Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan anggota Kabinet negeri.

Sempena sambutan itu, turut diadakan ialah pertandingan sepanduk, kontinjen terbaik dan kontinjen paling ramai.

Sementara itu, Musa dalam ucapannya menggesa rakyat negeri ini bersikap positif dan responsif bagi menjayakan usaha transformasi kerajaan bagi memacu kemajuan negeri.

Katanya, dalam konteks masyarakat hari ini transformasi perlu bagi mencorak hala tuju hidup secara holistik, seterusnya memacu kemajuan pembangunan negeri ke arah kecemerlangan dan kesejahteraan ummah.

Katanya, keharmonian masyarakat di negeri ini terbina atas landasan persefahaman, muafakat dan kerjasama dalam kepelbagaian latar belakang kaum, etnik dan agama.

"Dengan semangat toleransi dan saling hormat menghormati antara satu sama lain, tentu matlamat transformasi akan dapat dicapai sepenuhnya sebagaimana dipraktikkan nabi junjungan Muhammad SAW," katanya.






end

No comments:

Post a Comment