PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2018
Majlis Tertinggi UMNO telah memutuskan PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2018 akan diadakan pada 28 – 30 September 2018.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 akan diadakan pada 30 September manakala persidangan semua sayap pada 29 September ini, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata perhimpunan tersebut disegerakan daripada Disember kepada September berikutan parti telah melaksanakan pemilihan di semua peringkat.
“Kita awalkan sebab kita sudah adakan pemilihan di semua peringkat oleh sebab itu mesyuarat kali ini penting untuk disegerakan kerana usul yang akan dikeluarkan melibatkan usul ucapan presiden sahaja,” katanya dalam satu sidang media di PWTC pada Jumaat.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad bin Hasan , Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub , Setiausaha Kehormat UMNO Datuk Seri Anuar Musa dan Ketua Penerangan UMNO Dato' Dr. Shamsul Annuar Nasarah.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata UMNO memerlukan dana untuk mengadakan PAU.
Justeru itu menurutnya, UMNO telah melantik peguam untuk menuntut dikembalikan akaun parti yang dibekukan dalam kadar yang segera.
“Betul kita perlukan dana untuk PAU. Jadi kita telah lantik firma guaman untuk failkan tuntutan kita terhadap akaun parti yang masih dibekukan,” katanya.
Setiausaha Agung UMNO YB Tan Sri Annuar Bin Musa bersama Dato Mohd Sumali Bin Reduan Setiausaha Kerja UMNO serta YB Dato’ Shamsul Anuar Bin Nasarah Ketua Penerangan UMNO semasa memberikan taklimat PAU2018 kepada media.

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Pas secara lisan bersetuju untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang berlangsung pada 29 hingga 30 September ini.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, kehadiran Pas memberi makna besar dalam konteks gabungan pembangkang yang tidak boleh bergerak secara berasingan dalam usaha menumpaskan Pakatan Harapan (PH)
“Secara verbal sudah disahkan, sebabnya mereka yang lebih awal menjemput kita (ke muktamar Pas) dan kita hadir dan mereka (Pas) sudah mengesahkan mereka hadir.
“Pas akan hadir di persidangan sayap dan Perhimpunan Agung UMNO,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn, di sini hari ini.
Annuar berkata, dalam perhimpunan kali ini seramai 5,730 perwakilan dijangka hadir termasuk dalam kalangan anggota sayap pergerakan pemuda, puteri dan wanita.
Katanya, berbanding tahun sebelumnya, tahun ini Perhimpunan Agung UMNO akan dimulakan dengan ucapan dasar presiden dan ucapan berkenaan akan dibahas serta dikupas pembahas.
“Dalam perhimpunan ini kita akan banyak berbincang tentang soal parti, hala tuju parti dan mendengar suara hati ahli akar umbi.
“Kita juga beri kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua jurucakap tanpa sebarang garis panduan yang terlalu banyak. Terutama dari segi isi dan kita tidak akan beri arahan-arahan yang spesifik,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)…yang menjadi lokasi Perhimpunan Agung UMNO 2018 tetap berseri sekalipun pertama kali perhimpunan tahunan parti itu diadakan dalam suasana Barisan Nasional bukan lagi berkuasa di Putrajaya.
Mulai 28 September hingga 30 September 2018 , akan berlangsung Perhimpunan Agung UMNO 2018. Seluruh ahli UMNO dari pelbagai cawangan, bandar, pekan, kampung atau FELDA, akan bertemu dan berhimpun di dewan keramat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Sepanjang tempoh ini, kita akan melihat kekuatan orang Melayu bersatu di bawah satu payung bernama UMNO. Percaya atau tidak, Perhimpunan Agung UMNO amat dinantikan-nantikan oleh rakyat di luar sana. Mereka akan mengikuti dan memerhati dengan penuh minat ucapan dan perbahasan ahli-ahli UMNO.
Pada tahun ini UMNO Bahagian Tawau akan menghantar ramai peserta yang terdiri daripada Wakil 7 UMNO Bahagian Tawau , Perwakilan Pergerakan Wanita , Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Perwakilan Puteri . Sementara itu Para Pemerhati dari Ahli Jawatankuasa Bahagian , Pergerakan Wanita , Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri turut sama hadir di Perhimpunan tersebut. Beberapa orang Ahli dari Cawangan UMNO Juga turut serta dalam perhimpunan ini.
Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan di PWTC setiap tahun akan dihadiri oleh para Ahli UMNO dari seluruh Negara. Negeri Sabah khasnya khususnya dari UMNO Bahagian Tawau yang saban tahun akan menghantar perwakilan dan juga pemerhati. Para peserta tiba di Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat MAS dan Juga AirAsia. Beberapa flight MAS dan AirAsia pada 28 September 2018 membawa para peserta ke KLIA dan KLIA2. Dari KLIA dan KLIA2 para peserta akan menaiki Bas sewa khas ke Pusat Bandar Kuala Lumpur.
UMNO akan terus mempertahankan empat perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan daripada digugat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Empat perkara itu adalah agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.
"Kita lihat ada dalam kalangan tokoh politik hari ini yang cuba mencabar dan menyamakan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.
"Walaupun Islam adalah agama Persekutuan seperti disebut dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, agama lain masih boleh diamalkan. Jadi, apabila soal agama ini mahu disamaratakan, saya fikir ia tidak boleh diterima kerana (dilindungi) Perlembagaan," katanya.
Ahmad Zahid berkata, walaupun UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini sebagai pembangkang, kerajaan hari ini tidak harus berbeza pendapat terhadap perkara yang sudah dilindungi dalam Perlembagaan.
Katanya, parti keramat orang Melayu itu akan terus mempertahan dan memperjuangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagaimana peranan penting golongan istana yang memberi perkenan bagi kemerdekaan negara.
"Maka, institusi Raja-Raja Melayu harus dipertahankan bukan saja oleh UMNO, tetapi semua rakyat di negara ini. Begitu juga soal hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu.
"Mengambil contoh Universiti Teknologi MARA (UiTM), tanah rizab orang Melayu dan bahasa Melayu, ia sudah termasuk dalam Perlembagaan. Kita bukan menolak hak bangsa lain, tetapi perkara ini sudah termaktub (dalam Perlembagaan)," katanya.
ATURCARA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
1. Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO
Tarikh : 28 September 2018 (Jumaat)
Masa : 8.00 malam
Tempat : Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
2. Acara Menaikkan Bendera UMNO - Sang Saka Bangsa
Tarikh : 29 September 2018 (Sabtu)
2. Acara Menaikkan Bendera UMNO - Sang Saka Bangsa
Tarikh : 29 September 2018 (Sabtu)
Masa : 7.30 pagi
Tempat : Plaza Merdeka, Aras 4, PWTC
3. Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO
Tarikh : 29 September 2018 (Sabtu)
3. Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO
Tarikh : 29 September 2018 (Sabtu)
Masa : 8.00 pagi
Tempat :
Tempat :
i. Perhimpunan Agung Wanita UMNO ,
Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
ii. Perhimpunan Agung Pemuda UMNO ,
ii. Perhimpunan Agung Pemuda UMNO ,
Dewan Tun Dr Ismail, Aras 2, PWTC
iii. Perhimpunan Agung Puteri UMNO ,
iii. Perhimpunan Agung Puteri UMNO ,
Dewan Tun Hussein Onn, Aras 2, PWTC
4. Pembukaan Perhimpunan Agung UMNO 2018
Tarikh : 29 September 2018 (Sabtu)
Masa : 7.45 malam
Tempat : Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
5. PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2018 - Perbahasan
Tarikh : 30 September 2018 (Ahad)
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
6. Usul
▪ Usul Ucapan Dasar Presiden
7. Jemputan:
i. Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara
Seramai 15 perwakilan Kelab UMNO Luar Negara telah mengesahkan kehadiran yang terdiri daripada 11 wakil negara selain empat wakil Badan Perhubungan Negara.
ii. Perwakilan Mahasiswa Nasional
Seramai 48 perwakilan Mahasiswa Nasional akan turut serta dalam Perhimpunan Agung UMNO 2018.
iii. Anggaran jumlah perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2018
Perhimpunan Agung UMNO 2,760 orang Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 993 orang Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 997 orang Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 989 orang
JUMLAH 5,739 orang
8. Media
▪ Perhimpunan Agung UMNO 2018 akan menempatkan semua media massa di Laman Media di Bilik Mawar, Aras 2, PWTC.
▪ Sebanyak 52 buah agensi media melibatkan media cetak dan elektronik membabitkan 39 agensi tempatan dan 7 agensi antarabangsa dengan penglibatan seramai 562 petugas media telah berdaftar ke Perhimpunan Agung UMNO 2018.
▪ Bilik Sidang Media - untuk sidang media sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2018 turut disediakan di dalam Laman Media.
9. ETIKA SEMASA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2018
Sila beri perhatian berkaitan etika yang telah dinyatakan dan WAJIB dipatuhi sepanjang persidangan ini.
10. PELAN DEWAN-DEWAN PERSIDANGAN
Dilampirkan semua pelan dewan-dewan persidangan bermula dengan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri seterusnya Perhimpunan Agung UMNO 2018.
11. KARNIVAL JUALAN SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2018
Gerai-gerai jualan akan mula beroperasi pada 27 September 2018 (Khamis) di Ruang Legar UMNO, Aras 2, PWTC .
1. Perasmian Perhimpunan Agung
Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO
Tarikh : 28 September 2018 (Jumaat)
Masa : 8.00 malam
Tempat : Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad bin Hasan tiba di Dewan Merdeka diiringi oleh Tan Sri Annuar Musa Setiausaha Agung UMNO Malaysia bersama sama dengan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Dato' Dr.Noraini Ahmad , Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan.
Bacaan Doa sebelum acara ucapan perasmian yang akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO YB. Dato'Seri Utama Mohamad bin Hj.Hasan di Perasmian Perhimpunan Agung serentak ketiga tiga sayap UMNO Pergerakan Wanita , Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri.
Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad bin Hasan sedang memberikan ucapan di Dewan Merdeka untuk merasmikan Perhimpunan Agung sayap sayap UMNO iaitu Pergerakan Wanita , Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri serentak.

PAU 2018: UMNO DAN MALAYSIA YANG BERUBAH – Ucapan Perasmian Pergerakan Sayap UMNO YB.Datuk Seri Mohamad bin Hj.Hasan , Timbalan Presiden UMNO Malaysia
YB Dato’ Dr Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia dan kepimpinan Exco Wanita.
Yang Berbahagia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan kepimpinan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Yang Berbahagia Datuk Zahida Zarik Khan, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan kepimpinan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Ketua-ketua Wanita parti komponen Barisan Nasional, para jemputan serta semua saudara/saudari perwakilan sayap-sayap UMNO Malaysia yang saya sayang.
Para Perwakilan sekalian;
1. Pertama sekali saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada sayap-sayap parti iaitu Wanita, Pemuda, dan Puteri yang telah berjaya mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian dalam jangkamasa yang singkat.
2. Seterusnya tahniah juga saya ucapkan kerana telah berjaya menganjurkan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada malam ini.
3. Saya tidak tahu bagaimana harus saya memulakan ucapan saya pada kali ini.
4. Sangat berkecamuk perasaan ini. Bukan mudah untuk berhadapan dengan ahli UMNO dan orang Melayu, dan memikul pertanggungjawaban terhadap kehilangan kuasa UMNO sebagai pemerintah negara.
5. Malam ini, sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya ingin kembali kepada fitrah manusiawi. Mengambil pertanggungjawaban, sebagai nilai yang dituntut dari seorang pemimpin.
6. Justeru, bagi pihak diri saya dan kepimpinan UMNO, saya harus memohon maaf setulusnya kerana gagal menjayakan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke 14 yang lepas.
7. Saya dan kepimpinan baru UMNO mengambil tanggungjawab atas kekalahan tersebut.
8. Walaupun tidak sedikit usaha yang telah kita semua curahkan dalam pilihan raya lepas, tetapi ternyata kita gagal untuk menongkah gerak gempa yang dicetuskan oleh kebangkitan rakyat Malaysia.
9. Maka kita terimalah hakikat yang sangat pahit ini.
10. Apa lagi yang harus kita lakukan kecuali menerima kenyataan ini. Hidup dengannya dan melaluinya. Dengan terbuka dan berlapang dada.
11. Saya tahu ia sukar, malah sangat asing kepada kita. Tapi inilah lumrah dan harga sebuah perjuangan.
12. Kita tidak akan sentiasa menang hingga seribu tahun. Kita tidak akan kuat selama ada bulan dan bintang.
13. Kita lambat laun akan terjatuh dan terjerumus jua, pada satu waktu dalam garisan masa. Dan Mei 2018, garisan masa tersebut telah menjadi nyata.
Para perwakilan yang sangat saya kasihi;
14. Untuk pertama kalinya, dalam sejarah panjang UMNO, kita bersidang dalam kedudukan kita bukan lagi sebagai parti pemerintah.
15. UMNO telah hilang kuasa dan susut pengaruhnya.
16. UMNO bukan lagi seperti dulu. Ia telah hilang pesonanya pada bangsa Melayu.
17. Kenapa semua ini berlaku? Di mana perginya ketahanan UMNO setelah tujuh dasawarsa ia wujud, hidup dan berfungsi?
18. Bagaimana parti yang telah membidani kelahiran Malaysia ini dan memimpinnya selama lebih 60 tahun, boleh begitu mudah terjerumus dalam kancah kekalahan?
19. Maka ternyata, jangka masa 70 tahun itu gagal menyediakan kita dengan kematangan sebagai sebuah parti yang moden dan bersifat sezaman.
20. Ini adalah kerana kegagalan kita memahami dan menggarap bahawa Malaysia yang kita didiami waktu ini, yang kita hirup udaranya, malah yang kita bangunkan adalah Malaysia yang sudah berubah.
21. Bukan Malaysia yang dahulu. Tetapi Malaysia yang telah berubah. Malaysia yang moden, yang global dan yang berkemajuan.
22. Kita gagal menghargai bahawa segenap struktur sosial, pendekatan ekonomi dan amalan politik Malaysia, telah melalui pelbagai fasa modenisasi dan transformasi.
Saudara-saudari sekalian;
23. Bagi saya di samping faktor-faktor dalaman dan luaran parti, ada tiga fenomena penting yang mendasari kegagalan UMNO dalam pilihan raya lepas.
24. Pertama, dampak globalisasi yang dipacu oleh kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi telah melahirkan generasi baru Malaysia. Generasi yang bukan sekadar mengangguk dan mengiyakan semua perkara atau ‘comfirmist’.
25. Kedua, modenisasi Malaysia telah melahirkan generasi Melayu yang tidak lagi mempunyai nilai dan hubungan sentimental dengan UMNO.
26. Ketiga, kegagalan UMNO dan BN untuk berubah mengikut tuntutan sezaman. Struktur, budaya, dasar dan pemikiran politik UMNO dan BN adalah citra kurun ke-20, sedangkan Malaysia telah jauh berada dalam kurun ke-21.
27. Akan tetapi, di sebalik segala alasan dan faktor ini, krisis paling besar kepada UMNO bukanlah kehilangan kuasa. Menang kalah pilihan raya itu adat demokrasi.
28. Tetapi, yang sangat mendukacitakan ialah UMNO tewas kerana ia telah kehilangan kepercayaan orang Melayu. Kepada sesetengah orang Melayu, UMNO telah ‘hilang kompas moral dan nilainya’.
29. Lihat sahaja bila ekonomi kita bertumbuh dengan pesat. Bila Malaysia semakin maju, telah lahirlah jumlah kelas atasan dan menengah Melayu yang besar.
30. Ini telah menyebabkan munculnya semacam kepercayaan baru, iaitu “kewangan yang maha berkuasa” atau “the power of money”.
31. Dan yang lebih parah, budaya ini telah merebak pula ke dalam wilayah politik. UMNO dan pemimpinnya pula menjadi pemangkin. Membenih dan menyuburkan kepercayaan “kewangan yang maha berkuasa” ini.
32. Segala-galanya adalah tentang wang. Segala-galanya memerlukan imbuhan, memerlukan ganjaran dan habuan material.
33. Natijahnya, perkara yang diperjuangkan UMNO bukan lagi kemaslahatan bangsa Melayu.
34. Bukan lagi tentang Bahasa Melayu. Bukan lagi kebolehsaingan Melayu. Atau pendidikan terbaik untuk anak bangsa. Bukan lagi sistem politik matang dan baik. Bukan kepimpinan yang amanah pada perjuangan bangsanya.
35. Tetapi, yang diperjuangkan ialah ‘survival’ tokoh tertentu yang mampu memberikan segala macam imbuhan. Kontrak dan Projek. Bukan lagi wadah gerakan massa bangsa Melayu yang jujur.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
36. Kegagalan UMNO memimpin bangsa Melayu dengan kompas moral dan nilai, telah mendatangkan impak sangat luar biasa kepada kedudukan orang Melayu.
37. Yang terhambat, adalah bangsa Melayu. Bangsa Melayu, pada pandangan jujur saya, sedang berhadapan dengan apa yang saya panggil zaman kesusutan atau “the age of decline”.
38. Bangsa kita, dalam menghadapi segala gelombang perubahan ini, tidak mempunyai “mekanisme pertahanan diri” (self defence mechanism) ataupun strategi kebudayaan (cultural strategy) yang kuat.
39. Maka kerana itulah, UMNO mesti keluar dari sindrom penafian. Kita tidak boleh terlalu defensif, terlalu sensitif dan menganggap semua teguran dan kritikan kepada kita adalah cubaan untuk menjatuhkan kuasa politik orang Melayu.
40. Hujah sebegini sudah lapuk, sudah tidak boleh diterima.
41. Sebaliknya, kita mesti menerima naratif bahawa, selagi lantang dan kerap orang Melayu menyuarakan pandangan dan teguran kepada UMNO, semakin sayang dan peduli mereka dengan kita.
42. Dan segala teguran, kritikan, malah hukuman mereka kepada kita, sewajarnya menjadi asas yang menyedarkan kita bahawa UMNO memerlukan pengislahan yang sebenar-benarnya.
43. Bukan pada struktur. Bukan hanya sekadar melaksanakan pemilihan dan mempunyai kepimpinan baharu. Bukan sekadar menukar nama atau slogan. Semua itu kosmetik. Semua itu hanya ranting-ranting kecil sahaja.
44. Sebaliknya, UMNO mesti dibangunkan semula dengan nilai, dengan moral, dengan ideologi yang paling tuntas.
45. UMNO mesti melupakan sebentar nafsunya untuk meraih kuasa.
46. UMNO harus tampil, bekerja keras meyakinkan semula bangsa Melayu bahawa ia, UMNO, akan menumpukan seluruh kudratnya dalam masa sepuluh tahun akan datang, untuk menjadi gerakan kebangkitan dan pencerahan bagi bangsa Melayu.
47. UMNO, mesti membangunkan ‘DEKAD PENCERAHAN’ untuk bangsa Melayu. Atau apa yang saya panggil “The New Malay Renaissance”!
48. Jadi, hari ini saya mengambil kesempatan, membuat peringatan dan seruan secara tegas dan ikhlas. Kepada semua yang ada di sini. Dan juga kepada semua mereka di luar sana. Khususnya kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.
49. Bahawa bangsa Melayu sedang berada di persimpangan paling getir kelangsungannya.
50. Dan UMNO, di sebalik kesusutan pengaruh dan kuasanya, tidak boleh membiarkan kondisi bangsa kita terus susut.
51. UMNO mesti bangun, menjadi lebih bingkas dan memimpin bangsa Melayu dalam Malaysia yang berubah ini.
52. Biarpun tewas, UMNO masih memiliki potensi besar, pengalaman sejarah yang panjang, dan modal sosial yang handal untuk memberi solusi.
53. Akan tetapi, yang membimbangkan saya ialah bila kita berada dalam kedudukan tewas seperti ini, kita hilang arah. Kita gelabah, kita jadi hilang pedoman dan kewarasan.
54. Kita seolah-olah tidak tahu apa yang harus dilakukan.
55. Perlu saya ingatkan, UMNO tidak akan kembali pulih kalau kita sekadar memohon maaf dan mengambil tanggungjawab sahaja. Ia sangat tidak memadai.
56. Apa yang penting waktu ini, yang mesti kita sama-sama fikirkan, ialah ke mana dan bagaimana akan kita bawa UMNO selepas ini?
57. Kita tidak boleh lagi berlengah, memberi pelbagai alasan, kenapa sehingga hari ini, kita gagal melakarkan hala tuju dan perjalanan masa depan UMNO kepada ahli dan orang Melayu.
58. Semakin lama kita menangguhkan pelan pencerahan untuk UMNO, semakin ramai yang akan kehilangan keyakinan kepada kita.
59. Lihat sahaja kebelakangan ini. Ramai yang telah memilih untuk meninggalkan wadah perjuangan parti ini.
60. BAK KATA BIDALAN ORANG NISMILAN, 2-3 EKOR AYAM TAK BERKOKOK, HARI AKAN TETAP SIANG JUGA. Kepada mereka yang meninggalkan perjuangan ini, kita ucapkan selamat maju jaya.
61. Ramai juga yang sangat yakin bahawa UMNO akan mati dan terkubur selamanya. Kita berlapang dada dengan kenyataan sedemikian.
62. Dan memang benar, UMNO waktu ini, laksana hidup segan mati tak mahu. Separuh nyawanya pergi.
63. Kehilangan kuasa menjadikan UMNO kehilangan arah. Kerana UMNO selama ini hanya tahu satu kehidupan. Berkuasa.
64. Tanpanya, ia kusut, bercelaru dan menghampiri mati. Kerana ramai dalam UMNO mencari kehidupan dengan UMNO. Bukan menghidupkan UMNO untuk kebaikan bangsa.
Para Perwakilan Sekalian;
65. Membangunkan UMNO pasca PRU-14 adalah sangat sukar. Saya jangkakan bahawa ia memerlukan satu proses yang akan merentas zaman untuk pulih.
66. Kita ditakdirkan untuk memulihkan UMNO. Mungkin sebagai kifarah atas kesalahan kita kerana cuai dalam amanah pada bangsa.
67. Lalu sekarang, kita harus memilih. Mahu meneruskan UMNO ini. Atau membiarkan ia luput dari persada politik Malaysia.
68. Saya memilih untuk meneruskan hayat UMNO. Bukan itu sahaja, saya berikrar membangunkan kembali dan menjadikan UMNO lebih baik.
69. UMNO yang lebih moden. UMNO yang lebih maju. UMNO yang benar-benar diyakini sebagai parti perjuangan. Bukan parti untuk politik naungan bagi bangsa Melayu.
70. Jadi, pada malam yang penting ini, saya mengajak semua perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri sekalian, marilah kita memberikan penghidupan baru untuk UMNO.
71. Marilah bersama-sama saya dan kepimpinan parti, meneroka jalan sukar. Jalan berliku. Jalan yang belum tentu akan menemui fajar baru. Untuk merawat, memulih dan mencerahkan UMNO ini.
72. Biar saya nyatakan kenapa kita harus memilih jalan sukar ini. Bukan jalan singkat. Bukan jalan belakang. Bukan jalan tidak demokratik.
73. Pertama, inilah parti yang satu-satunya kita semua dukung.
74. Yang lebih separuh usia dari usia kita, diabadikan untuknya. Yang dalam darah kita ini, DNA-nya hadir dan mengalir.
75. Kita tidak pernah kenal parti lain. Dan kita tidak mahu pun menjadi parti lain. Dalam baik, dalam lemah, dalam kuat, dalam lelahnya, inilah parti kita.
76. Kita mesti menerima UMNO dengan segala kebaikan yang ada padanya dan segala kelemahan yang ada padanya.
77. Kita bukan orang yang kasihkan UMNO hanya pada kala berada. Kala senang. Kala berjaya.
78. Kita kasihkan UMNO setiap ketika. Pada saat paling sukar, saat paling manis. Kita kekal, kita setia bersama.
79. Dengan UMNO, yang berat sama kita pikul, ringan sama kita jinjing. Dengan UMNO, hubungan kita seperti ikatan perkahwinan. Hanya cangkul dan tanah jua yang boleh memisahkan.
80. Jadi, sekali terjatuh, jangan kita buang UMNO ini. Itu bukan cara kita. Dan saya pasti itu juga bukan cara para perwakilan semua.
81. Malah, kita mesti bangun, dan kita mesti hidupkan UMNO ini kembali.
82. Ini ikrar dan nilainya sebuah perjuangan. Dan jika kita orang perjuangan, kita harus menggalasnya bersama.
83. Kedua, kita memilih untuk bersetia kerana kita mesti mengambil tanggungjawab kerana tewasnya UMNO.
84. Kita tidak boleh lari dari memikul tanggungjawab atas penolakan rakyat terhadap UMNO.
85. Saya memberitahu diri saya, seumur masa, saya akan dihantui oleh rasa bersalah kerana tewasnya UMNO. Dan saya pasti ia akan menghantui hidup saudara sekalian juga.
86. Maka kerana itu, mana mungkin kita tinggalkan UMNO ini, bila saya dan kita semua, menjadi sebahagian dari kejatuhannya.
87. Justeru, kita mesti bangkit melunaskan tanggungjawab kita untuk memulih semula UMNO ini.
88. Kita mesti menebus rasa bersalah itu dengan mengambil tanggungjawab, membangunkan semula UMNO yang telah tercedera parah.
89. Membebat dan merawatnya. Mengubat dan memulihkannya. Mengembalikan UMNO dulu yang sangat kita cintai dan kita rindui.
90. Ketiga, kita memilih untuk kekal kerana, di negara ini, sudah tidak ada lagi parti Melayu yang dominan kecuali UMNO.
91. UMNO mesti menjadi ‘the safety net for the Malays’.
92. Kalau kita biarkan UMNO ini tanpa peduli, siapa lagi yang akan memperjuangkan kepentingan strategik bangsa.
93. PH tidak mewakili majoriti parti Melayu. Terlalu kecil peranannya dalam politik Melayu.
94. Kerana itu, tuntutan membangunkan semula UMNO, merawatnya, memulihkan wibawanya, bukan lagi satu pilihan. Tetapi kewajipan.
95. Tanpanya kita akan hilang gerakan ‘Melayu’ yang sebenarnya. Tanpanya, kita akan hilang parti kebangsaan untuk Melayu. Tanpanya, tiada lagi wadah kebaikan untuk orang Melayu.
96. Percayalah, kehilangan perjuangan kebangsaan dari pentas politik Malaysia akan menjerumuskan bangsa Melayu ke kedudukan yang lemah dan terancam kelangsungannya.
97. Keempat, kita mesti membangunkan UMNO kerana selama 60 tahun, kita telah menerima banyak sekali manfaat darinya.
98. Apa yang kita tidak nikmati dari hasil perjuangan UMNO? Jangan hanya kerana kita tewas, kita memilih untuk melihat UMNO sebagai gerakan yang sifar jasa, sifar sumbangannya.
99. Janganlah kita jadi mereka yang kufur kepada nikmat. Terlalu cepat melupakan kebaikan. Habis madu sepah dibuang.
100. Kita bukan orang yang lupa pada mereka yang berbudi dan berbakti. Kita orang yang berterima kasih.
101. Sebab itulah, kita harus bersetia untuk UMNO, kerana kita mengenang bakti luar biasa yang pernah UMNO curahkan pada bangsa Melayu.
102. Terakhir, kita mesti membangunkan UMNO, kerana kita mahu mengukuhkan demokrasi di Malaysia.
103. Kita tidak dapat lari dari menerima hakikat bahawa landskap politik Malaysia telah deras berubah.
104. Perubahan Kerajaan yang memerintah akan menjadi lumrah dalam Malaysia yang semakin matang demokrasinya.
105. Kerana itu, kita harus memastikan bahawa dalam Malaysia yang semakin demokratik ini, UMNO terus dapat berperanan dan berfungsi.
106. Walau siapa pun yang memerintah, jika parti yang tewas itu kuat dan berfungsi dengan baik, maka pemenang paling besar ialah demokrasi. Dan apabila demokrasi menang, rakyat akan menang.
Tuan-tuan dan Puan-puan;
107. Pertemuan kita hari ini adalah sangat penting. Kita mesti merencanakan segera pemulihan dan kebangkitan UMNO.
108. Waktu inilah peranan Wanita, Pemuda dan Puteri sangat penting. Sangat kritikal dan sangat didambakan.
109. Wahai pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri!
110. Anda semua mesti tampil sebagai pencerah. Anda semua mesti memberikan kepimpinan. Pada bahu anda semualah, terletaknya tanggungjawab untuk mengembalikan matlamat moral UMNO atau “UMNO’s moral purpose”.
111. Bagaimana harus saudara-saudari sekalian lakukan? Saya tiada formulanya. Dan dalam UMNO kurun 21 ini, solusinya tidak datang dari Presiden dan MKT. Itu zaman UMNO pra PRU14.
112. UMNO pasca PRU 14, mesti beroperasi di luar kelaziman.
113. Maknanya saudara dan saudari harus menggunakan segala imaginasi, kebitaraan dan modal intelektual anda semua, untuk mencipta dan melakukan seribu satu pendekatan bagi merangsang rejuvenasi UMNO.
114. Wujudkan gelombang baharu. Jana tenaga dan semangat yang membara. Tinggalkan amalan lapuk dan bangkitlah dengan misi yang meyakinkan.
115. Percayalah, ikhtiar memulihkan UMNO sangat memerlukan penerokaan idea-idea besar dan luar biasa. Bukan satu solusi untuk semua! Dan dari saudara-saudarilah saya harapkan idea-idea segar dan luar biasa ini datang.
116. Tetapi sukalah saya memberikan sedikit panduan. Walau apa pun idea segar dan pendekatan luar kelaziman yang saudara-saudari sekalian akan kemukakan untuk mencerahkan UMNO ini, saya menyarankan agar nilai dan prinsip berikut dijadikan pedoman.
117. Pertama, UMNO mesti kembali ke landasan lahiriahnya. Kembali kepada ideologinya untuk membuah dan menciptakan kebaikan kepada bangsa Melayu.
118. Maknanya kebangkitan semula UMNO mesti berlandaskan nilai, serta berpaksikan moral dan ideologinya. Kita mesti menjadi parti dengan ideologi yang jelas dan berpegang teguh kepadanya.
119. Tugas kita waktu ini ialah bagaimana untuk melakukannya.
120. Bagaimana kita akan menanam, dalam setiap diri ahli UMNO akan ideologi UMNO yang sebenar-benarnya. Iaitu sebagai sebuah Gerakan Pencerahan. Sebuah Gerakan Ikhtiar dan amal bakti. Dan sebuah Gerakan Jalan Tengah.
121. Setiap pendukung, setiap ahli UMNO, setiap Bahagian, harus faham ideologi dan doktrin UMNO yang sebenar-benarnya.
122. Kita tidak lagi boleh hanya menjadi ahli, tetapi tidak tahu kenapa kita menjadi ahli dan apa yang kita dukung dan perjuangkan.
123. Kedua, sangat penting untuk UMNO ini diposisikan semula di tengah arus perubahan lokal, nasional, dan global.
124. Maknanya UMNO mesti ada pelan, ada strategi dan kayu ukur untuk memulihkannya. Kita mesti menjadi parti politik yang moden.
125. Kita mesti mempunyai ‘blueprint’ yang jelas tentang bagaimana UMNO ini mesti direjuvenasikan.
126. Dan semua pelan ini mesti ada kayu ukurnya. Mesti boleh dinilai pencapaiannya.
127. Maka saya cadangkan. Wanita, Pemuda dan Puteri bersama-sama melakarkan jalan ke hadapan untuk UMNO dengan menggubal Pelan UMNO 2030 (UMNO BLUEPRINT 2030).
128. Pelan yang akan memperincikan dengan jelas, strategi apa yang akan kita gunakan untuk meyakinkan orang Melayu agar kembali bernaung dengan UMNO.
129. Pelan ini mesti boleh menjelaskan dengan terperinci, sedekad dari sekarang, bagaimana UMNO akan ditransformasikan sebagai pelopor sebenar kepada perubahan. Menjadi pengawal keutuhan agama Islam, bangsa Melayu, bahasa Melayu dan institusi raja-raja Melayu. Dalam masa yang sama, UMNO juga akan menjadi pembela kepada kemajmukan pelbagai kaum, bahasa dan budaya di Malaysia ini. Dan menjadi katalis dan penggerak kemajuan umat.
130. Kita mesti jelas. Membangunkan semula UMNO tidak sesekali bererti hanya mengambil alih kuasa sahaja.
131. Dan bukan sekadar untuk kita melaungkan slogan keramat ‘Hidup Melayu’. Tetapi bagaimana untuk Melayu dalam abad ke-21 mesti hidup secara maju. Dan ianya dipimpin oleh UMNO.
132. Kita mesti boleh mengungkap cara bagaimana kita akan membidani kelahiran Melayu Maju dan bukan lagi Hidup Melayu.
133. Dan menjadikan UMNO sebagai wadah untuk mengajak dan menggalang seluruh kekuatan bangsa.
134. UMNO mesti lebih besar dari hanya menggunakan kekuatannya untuk berbicara tentang politik dalamannya sahaja. Atau mengambil alih kuasa.
135. Ketiga, ikhtiar pengislahan UMNO mesti dibezakan dengan strategi untuk menang pilihanraya.
136. Maksudnya, kita memerlukan dua strategi berbeza. Dua pendekatan berbeza.
137. Pertama, kita memerlukan bleuprint untuk memulihkan semula wibawa UMNO sebagai sebuah gerakan kebangkitan bangsa Melayu. Ini sangat mengambil masa, ‘non linear’ dan bukan ada jalan pintas.
138. Kedua, UMNO mesti mempunyai strategi khusus untuk memenangi pilihan raya ke 15.
139. Strategi moden, fleksibel dan bersandar data. Jika sekiranya Jalinan Rakyat (JR) tidak lagi berkesan, kita mesti cari jalan lain.
140. Kita perlukan ‘social media intelligence’. Kita mesti menggunakan big data secara besar-besaran. Kita mesti ada pasukan media sosial yang paling ‘sophisticated’. Kita mesti ada calon yang bersih, berwibawa dan sanggup bekerja dari sekarang. Kita mesti ada sukarelawan yang berdedikasi. Dan kita mesti ada jentera parti yang handal.
141. Maknanya, kita mesti ada cara untuk membezakan dan tidak mencampur adukkan agenda membangunkan semula parti dengan cita-cita kita untuk memenangi pilihan raya ke 15.
142. Keempat, kita mesti mengemukakan solusi pada pelbagai masalah nasional sekarang. Berdasarkan dapatan kajian yang sahih. Pemikiran yang cerdas.
143. UMNO, terutamanya melalui Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, mesti mengemukakan cadangan dasar-dasar pencerahan yang kreatif dan inovatif. Pendirian UMNO. Ketetapan UMNO. Pemikiran UMNO.
144. Jangan cakap-cakap sahaja. Jangan hanya sekadar kenyataan akhbar.
145. Mulai sekarang, UMNO mesti ada pendirian yang terperinci tentang UEC misalnya. Tentang pendidikan, ekonomi, perdagangan antarabangsa, dasar luar dan pelbagai lagi dasar awam (public policy).
146. Dan pendirian UMNO mesti menjadi pendirian orang Melayu. Bukan pendirian Presiden atau MKT. Ingat, UMNO adalah lebih besar dari institusi Presiden dan MKT.
147. Parti politik adalah suatu urusan yang serius, ‘a serious business’. Ia mesti menyumbang kepada peningkatan kualiti dasar, program dan ikhtiar negara dalam berbagai bidang.
148. Maka UMNO mesti tampil dan mengemukakan model-model unggul dalam memperbaiki kemaslahatan masyarakat, baik dalam bidang pendidikan, sosial, kesihatan, pengupayaan ekonomi mahupun keterlihatan antarabangsa.
Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri
149. Saya telah gariskan sedikit sebanyak, pandangan yang mungkin boleh kalian jadikan pedoman untuk misi kalian membangunkan parti.
150. Terpulanglah bagaimana saudara-saudari ingin mengemudi parti ini bersandarkan nasihat tidak seberapa ini.
151. Yang pasti, saya dan rakan kepimpinan parti, menyimpan harapan yang menggunung pada saudara-saudari.
152. Saudara saudari sekalian, sebelum berakhir, saya mohon izin untuk menitipkan beberapa pesanan untuk saudara-saudari sekalian.
153. Pertama, perjalanan perjuangan kita semua dalam UMNO, tidak lagi akan disimbahi sinar mentari terang atau cahaya bulan purnama.
154. Zaman kegemilangan UMNO telah berakhir. Ini zaman pancaroba. Dan pancarobanya sangat menguji dan luar biasa.
155. Perjuangan kita sekarang adalah lebih rumit dan lebih sulit.
156. Dalam UMNO dan di luar UMNO, kita harus melawan kealpaan. Melawan sikap dan pemikiran yang tidak berkemajuan. Melawan sikap dingin dan penolakan mereka pada perjuangan kita.
157. Kita tidak punya pilihan. Pada saudara-saudarilah, terletaknya tanggungjawab untuk meyakinkan generasi muda Melayu bahawa UMNO masih lagi wadah politik terbaik untuk mereka memberikan sumbangsih pada bangsa dan negara.
158. Kepada Noraini, Asyraf dan Zahida. Keputusan kami, kepimpinan parti, menggalaskan tugas dan tanggungjawab yang besar ini kepada kalian, sebetulnya satu penghormatan.
159. Kami tidak akan mempertaruhkan nasib bangsa kepada mereka yang kami rasakan tidak mampu.
160. Kami yakin, saudara-saudari akan ikhlas dan gigih mencari jalan penyelesaian untuk parti. Malah kami mendoakan, yang saudara-saudari akan menemui jalan baharu untuk UMNO, insya-Allah.
161. Kedua, biar tewasnya kita dalam pilihan raya, jangan singkirkan cita-cita besar. Kita mesti menyimpan cita-cita setinggi bintang di langit untuk bangsa kita.
162. Benar, saya sedih kita tewas dalam pilihan raya. Tapi, saya akan jauh lebih sedih, malah gusar, jika UMNO dipenuhi dengan orang muda yang lemah semangatnya.
163. Apabila orang muda kita putus asa, tidak ada cita-cita dan menjadi tukang turut sahaja, pada saya, itulah ketewasan dan kekalahan yang sebenar-benarnya.
164. UMNO yang tewas, tidak harus membenarkan orang mudanya tewas.
165. UMNO yang tewas, tidak harus membenarkan cita-citanya yang menggunung juga tewas.
166. Tanpa cita-cita, hidup adalah sekadar hidup. Tetapi tidak akan ada kehidupan.
167. Jangan biarkan keremajaan dan jiwa muda saudara-saudari disumbingkan oleh cita-cita yang kecil dan rendah. Apa lagi ditewaskan oleh sang negarawan yang telah lanjut usianya.
168. Ingatlah, perjuangan parti ini landasan kepada orang muda untuk membawa kebaikan kepada orang Melayu. Tugas sayap-sayap bukan sekadar mencari tukang sorak dan penghayun bendera yang berbayar. Ia lebih dari itu.
169. UMNO memerlukan cita-cita baru yang lebih luar biasa untuk orang Melayu. Bukan sekadar slogan dan laungan ‘Hidup Melayu’. UMNO memerlukan jalan baru, yang menjangkaui perjuangan hak dan kepentingan Melayu.
170. Kerana itulah, pemimpin masa depan Melayu mesti mempunyai cita-cita besar. Impian besar. Dan ilham yang luar biasa.
171. Cita-cita dan ilham besar akan mengajak kita memperindah martabat manusia, memuliakannya, mendekatkan pada kesempurnaan. Cita-cita yang besar akan membuatkan seseorang itu menjadi orang besar, dengan jiwa dan karakternya yang unggul.
172. Cita-cita besar, pada saya, bak gelombang laut yang dahsyat.
173. Tidak ada seorang pun mampu menghentikannya. Sekalipun dipasang jerejak dan halangan, tetapi perlahan-lahan semua itu akan terkikis oleh badai yang tidak jemu menghempas pantai.
174. Cita-cita besar tidak dapat dipenjarakan. Ia ada di dalam hati. Ia sentiasa hidup dan berlegar-legar dalam kotak pemikiran. Tidak ada manusia yang boleh memenjarakan cita-cita yang besar.
175. Cuma ingatlah, dalam keasyikan membidik bintang di langit tinggi, jangan sesekali lupa rumput di bumi.
176. Ketiga, saatnya telah tiba untuk kepimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri memberikan kepimpinan. Bukan lagi sekadar menjadi ketua gerombolan yang hanya menurut.
177. Saya teringat pesan Sukarno pada bangsa Indonesia. Lebih baik jadi singa untuk satu hari daripada menjadi kucing seumur hidup.
178. Maka, pimpinlah bangsa ini. Pimpinlah parti ini dengan sebenar-benar kepimpinan.
179. Akui kelemahan dan kekurangan yang ada. Cari dan beri pencerahan. Serlahkan kepimpinan anda semua pada kala negara berada dalam persimpangan kritikal seperti ini.
180. Tunjukkan kecerdasan baharu, pada kala UMNO sangat-sangat memerlukannya.
181. Jadilah pemimpin yang mengemukakan kecerdasan pada bangsa dan memberikan jalan keluar pada segala masalah nasional. Bukannya pemimpin yang keluar ke jalan dan menjadi pemaki hamun dan pencerca dangkal.
182. Jadilah pemimpin yang berkarya, bukan yang bersiulan sahaja.
183. Jadilah pemimpin untuk semua, bukan hanya untuk UMNO.
184. Kerana negara ini adalah negara milik semua. Bukan negara untuk satu orang. Bukan negara untuk satu golongan. Bukan negara untuk satu bangsa.
Wahai Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO!
185. Bersedialah untuk menempuh perjuangan yang sukar dan memberi khidmat pada watan dengan jujur dan sebenar-benarnya.
186. Tanamkan iltizam untuk memberikan yang terbaik kepada bangsa dan ibu pertiwi kita.
187. Semua ini, jika dilunaskan dengan amanah dan ikhlas, akan menjadi ibadah yang dipandang oleh Allah swt.
188. Sesungguhnya UMNO adalah sebuah parti untuk mereka yang bekerja keras. Dan kita mesti bekerja keras.
189. Biar apa pun pandangan dan saranan orang lain, pada saya, pemulihan dan kebangkitan UMNO harus bermula dengan sayap-sayap parti. Kerana, jika sayap-sayap parti tidak kuat, mana mungkin kita terbang tinggi?
190. Marilah kita berikrar untuk berikhtiar dan bersabar. Kerana, ikrar tanpa ikhtiar, itu bohong. Ikhtiar tanpa sabar, itu kosong.
191. Insya-Allah, semoga semua usaha ini akan membuahkan kebaikan. Pada orang Melayu. Pada agama Islam. Dan sudah pastinya, pada Malaysia yang sangat istimewa ini.
192. Saya akhiri ucapan ini dengan mengambil peringatan dari putera terbaik bangsa, Almarhum Sasterawan Negara, Usman Awang.
Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung Sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia 2018.
Terima kasih.
Dato Seri Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO Malaysia
28 September 2018
Dewan Merdeka, PWTC KL
Tarikh : 29 September 2018 (Sabtu)
YB.Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi Presiden UMNO Malaysia tiba di Plaza Merdeka Aras 4 PWTC di iringi oleh Timbalan Presiden UMNO Dato' Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO Malaysia Tan Sri Annuar Musa turut mengiringi Ketua Ketua Pergerakan Sayap UMNO YB.Dato' Dr.Noraini Ahmad Ketua Pergerakan Wanita , Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan.
Sebelum menaikkan Bendera UMNO Sang Saka Bangsa Lagu Negaraku dinyanyikan sebagai penghormatan kepada Agama , Bangsa dan Negara.
Menyanyikan lagu UMNO "Bersatu-Bersetia-Berkhidmat" sambil menaikkan Bendera UMNO Sang Saka Bangsa sebagai tanda kesetiaan kepada Parti UMNO dan semangat Perjuangan demi membela Agama , Bangsa dan Negara. Semua yang hadir menyanyikan lagu UMNO dengan pada waktu yang sama Presiden UMNO YB. Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa yang akan berkibar disini selama waktu Perhimpunan Agung UMNO 2018 ini berlangsung.
Para Pemerhati dari UMNO Bahagian Tawau yang berada di PWTC untuk mendengar ucapan dan perbahasan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2018. Mereka adalah terdiri dari Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Ketua ketua Cawangan.
Ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tawau turut hadir di Perhimpunan Agung UMNO 2018.

dan sesi bergambar bersama Presiden
Tarikh : 29 September 2018 (Sabtu)
Masa : 7.30 pagi
Upacara menaikkan Bendera UMNO Sang Saka Bangsa yang dihadiri oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO , Exco Wanita , Exco Pemuda dan Exco Puteri.YB.Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi Presiden UMNO Malaysia tiba di Plaza Merdeka Aras 4 PWTC di iringi oleh Timbalan Presiden UMNO Dato' Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO Malaysia Tan Sri Annuar Musa turut mengiringi Ketua Ketua Pergerakan Sayap UMNO YB.Dato' Dr.Noraini Ahmad Ketua Pergerakan Wanita , Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan.
Sebelum menaikkan Bendera UMNO Sang Saka Bangsa Lagu Negaraku dinyanyikan sebagai penghormatan kepada Agama , Bangsa dan Negara.
Menyanyikan lagu UMNO "Bersatu-Bersetia-Berkhidmat" sambil menaikkan Bendera UMNO Sang Saka Bangsa sebagai tanda kesetiaan kepada Parti UMNO dan semangat Perjuangan demi membela Agama , Bangsa dan Negara. Semua yang hadir menyanyikan lagu UMNO dengan pada waktu yang sama Presiden UMNO YB. Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa yang akan berkibar disini selama waktu Perhimpunan Agung UMNO 2018 ini berlangsung.
Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung UMNO bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia
Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung UMNO bersama Ahli Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia
Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung UMNO bersama Ahli Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung UMNO bersama Ahli Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia
Para Pemerhati dari UMNO Bahagian Tawau yang berada di PWTC untuk mendengar ucapan dan perbahasan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2018. Mereka adalah terdiri dari Ahli Jawatankuasa Bahagian dan Ketua ketua Cawangan.
Ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tawau turut hadir di Perhimpunan Agung UMNO 2018.
3. Perhimpunan Agung Wanita/Pemuda/Puteri UMNO
Tarikh : 29 September 2018 (Sabtu)
Masa : 8.00 pagi
PAU 2018: KEMBALI KE KHITTAH PERJUANGAN –
Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Berikut merupakan teks Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia.
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh
Segala puji-pujian kehadrat Allah S.W.T.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., keluarga serta para sahabat Baginda.
SALUTASI
1. Yang Berbahagia Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Hajah Saripah Aminah Syed Mohd,
2. Yang Berhormat Naib Presiden UMNO Malaysia,
Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob,
3. Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr. Azizah Johor,
4. Yang Berbahagia Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,
Datuk Norliza Abdul Rahim,
5. Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia,
Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir,
Yang Berhormat Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican,
Yang Berhormat Datuk Md Alwi Che Ahmad,
6. Barisan Pegawai-Pegawai, Exco-Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,
7. Para perwakilan yang saya kasihi sekalian,
8. Dif-dif jemputan, tetamu-tetamu khas, ibu-ibu pejuang agama dan bangsa, para pemerhati sama ada di dalam ataupun di luar dewan yang mulia ini,
9. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh bersama-sama delegasinya. Terima kasih di atas kesudian meluangkan masa untuk bersama-sama kami di pagi ini.
10. Tuan-tuan dan puan-puan, wakil-wakil media, serta semua yang saya hormati sekalian.
IFTITAH KATA
Alhamdulillah dengan izin-NYA dapat kita berkumpul pada pagi yang mulia ini, untuk menunaikan tugas dan tanggung jawab demi kelangsungan perjuangan UMNO – parti keramat yang kita sayangi ini.
11. Saya mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran 994 orang perwakilan Wanita UMNO Malaysia dari 191 bahagian, merangkumi 20,730 cawangan di seluruh negara.
Sidang perwakilan sekalian,
12. Sebelum saya meneruskan ucapan, marilah kita mengambil berkat dengan menghadiahkan Al-Fatihah kepada para pemimpin Wanita UMNO dari seluruh negara yang telah kembali ke rahmatullah.
13. Kita iringi doa semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatihah.
14. Bagi seluruh ahli Wanita UMNO, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan kerana dipilih sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti.
15. Saya juga mengucapkan tahniah atas pemilihan Yang Berbahagia. Dato’ Saripah Aminah Syed Mohd dan Yang Berbahagia Datuk Dr. Azizah Johor sebagai Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.
16. Tahniah juga kepada Yang Berbahagia Datuk Norliza Abdul Rahim kerana dipilih sebagai Naib Ketua Wanita UMNO yang baru.
17. Pada kesempatan ini, saya bagi pihak Wanita UMNO Malaysia ingin mengalungkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Presiden UMNO, Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah memimpin parti sejak tahun 2009. UMNO terhutang budi kepada beliau yang telah menerajui parti pada zaman dan era yang sangat mencabar.
18. Sesungguhnya, saya dan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia mendoakan semoga Dato’ Sri dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan. Semoga Dato’ Sri tabah untuk menghadapi setiap ujian. Budi dan bakti Dato’ Sri, akan terus abadi dalam ingatan kami. Seperti dipantunkan orang:
Sungguh melati senang dipetik,
Harumnya masyhur seluruh alam;
Budimu tuan bukan sedikit,
Langit dan bumi ada di dalam.
19. Bagi pihak Pergerakan Wanita UMNO Malaysia juga, saya ingin mengalungkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ibu Terbaik Bangsa, Yang Berbahagia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, mantan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang telah memimpin Wanita UMNO hampir satu dasawarsa. Di tangan beliau, Pergerakan Wanita UMNO telah dibawa ke satu tahap yang baharu.
20. Yang Berbahagia Tan Sri;
Burung kedidi si burung helang,
Hinggap mari di pohon jati;
Budi Tan Sri tidak kan hilang,
Sudah meresap ke dalam hati.
21. Kepada seluruh kepimpinan Wanita UMNO yang terdahulu;
Jikalau tidak kerana bulan,
Tidak bintang terbit pagi;
Jikalau tidak kerana kalian,
Tidak kami berada di sini.
22. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang telah mengamanahkan saya untuk menerajui kepimpinan Wanita bagi penggal 2018/2021. Saya insaf bahawa jawatan ini bukan tasyrif (kebesaran) tetapi ianya adalah taklif (tanggungjawab).
23. Atas rasa rendah hati, saya memohon kemaafan kepada seluruh bangsa Melayu dan Bumiputera kerana Pergerakan Wanita UMNO tidak dapat melunaskan hasrat, harapan dan impian rakyat terbanyak sehingga kita gagal mempertahankan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14.
24. Saya yakin, seluruh barisan kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO akan memastikan tanggungjawab yang tergalas dilaksanakan dengan amanah.
25. Saya juga percaya, perwakilan sekalian akan memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi dan semangat juang yang tinggi bagi membantu Presiden serta barisan kepimpinan UMNO untuk memulihkan, memperkasa dan membawa parti ke tahap yang lebih tinggi.
26. Usah pertikai kesetiaan Wanita UMNO kepada parti. Janganlah oleh sebab tindakan seorang dua yang goyah dan gelabah, ditafsir sebagai petanda bahawa kita turut goyah dan gelabah. Wanita kekal setia di sisi kepimpinan parti demi masa depan agama, bangsa dan negara. Percayalah!
PERHIMPUNAN TEKAD
Sidang perwakilan yang budiman,
27. Perhimpunan kali ini berbeza daripada perhimpunan-perhimpunan sebelum ini. Saya mahu mengajak perwakilan memikirkan bersama apakah makna atau signifikan perhimpunan kali ini.
28. Jadikanlah perhimpunan ini sebagai wadah untuk kita bersama-sama istiqamah, memperbaiki kelemahan, mempertingkatkan diri dan bangkit membina semula kekuatan parti.
29. Perhimpunan ini bukan business as usual. Ia adalah perhimpunan yang kritikal, perhimpunan yang bukan sahaja akan menjadi penentu kepada kelangsungan perjuangan parti, malah hidup dan mati perjuangan UMNO itu sendiri.
30. Justeru, mari kita jadikan Perhimpunan Agung UMNO kali ini sebagai “Perhimpunan Tekad” yang akan menjadi penanda aras baharu untuk parti.
31. Ia akan menentukan samada kita akan bangkit semula atau hanya tinggal dalam lipatan sejarah, diperkecilkan, dilupakan dan hanya sekadar menjadi nota kaki atau footnote sejarah. Marilah kita membawa UMNO kembali semula ke khittah perjuangannya.
32. Kita mempunyai sebab untuk berasa sedih, kecewa, hampa dan sayu dengan apa yang berlaku. Namun, dalam demokrasi, people’s power atau kuasa rakyat amat penting.
33. Rakyat telah memilih dan kita harus terima dengan redha dan hati terbuka. Kita tidak boleh menyalahkan rakyat kerana tidak memberi mandat, walaupun track record kita cemerlang sepanjang menerajui tampuk pemerintahan negara.
Sidang perwakilan sekalian,
34. Selama lebih enam dasawarsa menjadi tunjang pemerintahan, kita telah berjaya mengubah negara ini dalam pelbagai bidang dan disiplin. Kita mampu menukar skyline kota-kota. Kita memberikan kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara serta seluruh isinya.
35. Sebagai parti yang ditubuhkan untuk membela bangsa dan agama, kita telah melakukan yang terbaik. Melalui dasar-dasar kita, UMNO telah melahirkan generasi cerdik pandai, profesional dan usahawan Melayu dan Bumiputera yang berjaya.
36. Kita telah berjaya menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan, hingga memungkinkan anak-anak Melayu/Bumiputera memimpin syarikat konglomerat dan syarikat raksasa.
37. Sebenci mana sesetengah pihak kepada kita, sumbangan kita dalam membangunkan negara tidak dapat mereka dinafikan. Malaysia tidak mungkin menjadi negara semaju dan sebegini gah tanpa sentuhan emas kita.
38. Namun demikian, bak kata peribahasa Melayu “panas setahun, punah dek hujan sehari.” Akhirnya, rakyat menolak kita.
39. Kita boleh menyalahkan fitnah, persepsi buruk, peranan media sosial, kebencian sesetengah pihak atau menjurus kepada pelbagai teori konspirasi tentang kekalahan kita. Tetapi itu semua hanya teori semata-mata.
40. Perhimpunan kali ini, bukan gelanggang untuk kita mencurah geram, amarah atau menuding jari mencari salah. Ia sepatutnya menjadi wahana untuk kita bermuhasabah, membuat introspeksi dan menilai diri.
41. Kita cari titik persamaan bukan garis perbezaan, kita cari kesatuan bukan perpecahan, kita cari kekuatan bukan kelemahan – untuk kita bergerak ke hadapan atau moving forward.
42. Saya ingin mengajak keluarga besar Wanita UMNO, untuk memulakan gerak kerja baru, memanfaatkan sejarah kekuatan dan komitmen dari peringkat akar umbi bagi memulakan langkah, meski getir dan sukar, tapi penuh yakin.
43. Sedarkah kita semua apa yang kita hadapi ketika ini? Parti kita telahpun Diasak! Digertak! Diaibkan!
Di belakang kita duri!
Di hadapan kita api!
Kita akan berjuang di perbukitan!
Kita akan berjuang di perlembahan!
Kita tidak akan menyerah kalah!
SEJARAH ADALAH GURU TERBAIK
Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,
44. Sejarah adalah guru yang terbaik. Mungkin dengan mengambil sedikit masa melihat sejarah parti-parti yang besar di dunia akan memberikan pengajaran kepada kita.
45. Kita imbau sejarah parti-parti politik yang dilabelkan sebagai “Grand Old Party” seperti Parti Republikan di Amerika Syarikat atau Parti Kongres di India. Kedua-dua parti ini pernah jatuh dan bangun.
46. Lihat juga parti yang lebih kurang seangkatan dengan UMNO seperti Parti Kuomintang atau KMT di Taiwan dan Parti Liberal Demokratik atau LDP di Jepun. Kedua-dua parti ini pernah jatuh dan bangun dalam sejarah politik kepartian negara mereka.
47. Kita susur pula sejarah Parti Golongan Karya atau Golkar di Republik Indonesia yang digagas pada tahun 1964. Golkar adalah parti besar dan hebat yang digerakkan oleh prinsip Orde Baru.
48. Golkar memerintah Indonesia selama hampir tiga dekad. Tiada siapa yang pernah membayangkan Golkar akan tewas. Ironisnya, sejak ia digulingkan lebih 20 tahun yang lalu, hari ini Golkar hanya menjadi parti serpihan.
49. Ada pengajaran dari apa yang berlaku kepada Golkar. Parti itu tidak pernah kalah sebelum ini, seperti juga UMNO.
50. Saya berasa sayu malah takut untuk membuat perbandingan di antara Golkar dengan UMNO. Tetapi jauh di lubuk hati, saya juga tidak mahu UMNO mengalami nasib seperti Golkar.
51. Maafkan saya kerana terpaksa membuat perbandingan ini, tetapi inilah realitinya. Kita perlu akui, “katakanlah kebenaran, sekalipun ianya pahit.’’
52. Saya mahu kita berfikiran positif dengan melihat bagaimana Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun berjaya mendepani kekalahannya dengan cekal dan penuh keinsafan, kemudian kembali memerintah.
53. LDP tumbang dalam pilihanraya tahun 2009 di tangan Parti Demokratik Jepun (DPJ). Mandat pemerintahan yang diberi kepada DPJ, bukanlah manifestasi kepercayaan rakyat Jepun terhadap parti itu. Sebaliknya, ia merupakan sebuah hukuman kepada LDP.
54. Namun, LDP memulihkan kelemahan mereka dengan cepat. Kepimpinan mereka dengan pantas mengatur strategi. Natijahnya, LDP kembali berkuasa di Jepun pada tahun 2012.
55. Tiga tahun sahaja yang diperlukan oleh mereka untuk bangkit semula. Persoalannya, berapa tahun pula yang UMNO perlukan?
56. Igauan PRU-14, sepatutnya sudah cukup menginsafkan. Kita boleh memilih untuk terus berdukacita, mencari salah atau tuduh menuduh sesama kita. Atau kita terus mengambil langkah proaktif mencari kaedah memperbaiki diri, memulihkan keyakinan rakyat dan kembali berkuasa.
57. UMNO yang digagas pada 11 Mei 1946, lahir dengan cabaran yang selari dengan era ketika itu. Ini abad ke-21, maka itu, kita harus menyesuaikan keperluan dan tuntutan hari ini, untuk “rebranding” atau menjenamakan semula UMNO.
SENJATA PEMBINASA BERSKALA MASSA
(WEAPON OF MASS DESTRUCTION – WMD)
Sidang perwakilan sekalian,
58. Wanita UMNO harus bermula dengan berani berkata benar. Wabak denial syndrome tidak menguntungkan kita. Dalam dunia niaga ada konsep SWOT Analysis – yakni mengenalpasti Strengths (kekuatan), Weaknesses (kelemahan), Opportunities (peluang) and Threats (ancaman). Analisa segera harus dilakukan, bagi membolehkan kita bergerak ke hadapan.
59. Sudah tiba masanya, kita mengkaji setiap aspek yang membabitkan parti samada dari segi budaya, cara kerja, nilai, juga sasaran atau orientasi baharu.
60. Kita harus melihat secara jujur, seluruh aspek operasi, juga cara kita berkomunikasi dengan rakyat terbanyak. Saya mencadang dilakukan overhaul secara total.
61. Sudah sampai masanya UMNO melalui perubahan drastik dan menolak budaya negatif yang telah mencalarkan imej kita selama ini, termasuklah dominasi warlords dalam parti.
62. Dunia telah berubah sejak lahirnya UMNO. Masyarakat dunia telah melalui transformasi yang luar biasa. Teknologi telah mengubah kehidupan manusia. Kini kita berada dalam era pasca ledakan teknologi internet.
63. Kita harus mengakui bahawa teknologi maklumat merupakan double-edged sword atau pedang bermata dua. Ia boleh membawa manfaat yang besar kepada manusia dan kemanusiaan, hidup dan kehidupan. Di sebalik itu, ia juga boleh membinasakan.
64. Tidak mampu disangkal lagi, teknologi maklumat menjadi peralatan baharu yang mengubah cara kita bekerja, berurusan, mentadbir, bersosial, berkomunikasi malah berkerajaan.
65. Tetapi di tangan orang yang berkepentingan peribadi dan berniat jahat, ia boleh menjadi Weapon of Mass Destruction (WMD) atau senjata pembinasa berskala massa.
66. Parti kita sendiri telah menjadi mangsa musibah ini. Kita telah difitnah, diperkecilkan, dituduh dan diperlekehkan oleh kekuatan pengguna media sosial “di sebelah sana”.
67. Hakikatnya, kita sendiri tidak berupaya menangani apatah lagi menguruskan cabaran baharu itu. Dalam usaha kita untuk memenangi hati dan minda (winning the heart and mind), kita tidak kebal.
68. Kita telah tewas di gelanggang siber dan kita kalah dalam medan perang persepsi umum atau public opinion.
69. Maka itu, kita harus berfikir di luar kotak. Kita harus melihat secara tuntas pendekatan kita dalam semua hal. Salah satu elemen yang harus kita perbaiki adalah aspek keahlian parti kita.
70. Tabiat kita yang selama ini beranggapan bahawa UMNO tidak akan rebah kerana bilangan ahli yang ramai, ternyata khilaf!
71. Sekian lama, kita yakin dan selesa dengan alasan bahawa pada setiap pilihan raya, jumlah anggota UMNO selain ahli parti-parti komponen sudah cukup untuk memenangkan parti.
72. Hakikatnya, keanggotaan parti yang ramai tidak secara automatisnya diterjemahkan kepada bilangan undi yang kita perolehi.
73. Ambillah iktibar peristiwa besar Perang Badar al-Kubra – pertempuran pertama umat Islam melawan musuh. Dengan pertolongan Allah, tentera Muslim berjumlah 313 (tiga ratus tiga belas) orang menang, berbanding jumlah tentera Quraish seramai 1,000 (seribu) orang.
74. Apakah rahsia kemenangan Perang Badar? Majoriti ulama menyimpulkan, rahsianya ialah wala’ – iaitu kecintaan dan kesetiaan total kepada pemimpin dan perjuangan. Falsafah kecintaan dan kesetiaan inilah yang harus dijunjung oleh setiap ahli UMNO kepada pemimpin dan perjuangan parti.
75. Kesimpulannya mudah. Kita tidak perlu hanya bergantung kepada ahli parti yang berdaftar sahaja. Kita perlukan dukungan massa, kumpulan yang di luar kerangka parti kita, tetapi mereka memahami, menghargai dan bersimpati dengan perjuangan UMNO.
76. Mari kita sama-sama kembali ke perjuangan asal ini. Kita ambil semangat teras perjuangan kita – daripada mereka yang berjuang tanpa memikirkan kepentingan diri sebaliknya meletakkan parti di atas segala-galanya.
Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,
77. Kita juga perlu kenal diri Melayu kita sendiri. Seperti sebuah kisah tiga (3) NGA yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu Jawa.
78. Falsafah ‘NGA’ yang pertama; Apabila agama dan bangsa diasak, sifat pertama orang Melayu adalah NGALAH. Maknanya, mudah beralah.
79. Falsafah ‘NGA’ yang kedua pula: Apabila agama dan bangsa diasak dan diprovokasi, orang Melayu akan NGALIH. Maknanya, beralih atau mengelak ke arah lain.
80. Falsafah ‘NGA’ yang ketiga; Apabila agama dan bangsa diasak, diprovokasi, diancam dan ditekan bertalu-talu sehingga hilang tahap kesabarannya, sifat terakhir orang Melayu adalah NGAMUK.
81. Dalam konteks perjuangan bangsa dan agama, barang diingat, janganlah sampai ada pihak lain yang cuba mempertikaikan Hak Ketuanan Melayu, Hak-Hak Keistimewaan Raja-Raja Melayu, apatah lagi Kesucian Agama Islam.
82. Dalam kata yang mudah, orang Melayu memiliki kesabaran dan kecekalan yang amat tersanjung, semenjak Zaman Bahari lagi.
83. Telusurilah sejarah panjang amukan Wanita Melayu bermula daripada yang tersurat dalam Tuhfat al-Nafis yang menyebut Ratu Ma/lang/kik dan Sultanah Nahrasiyah dalam Babad Jawa.
84. Hatta, jika diselak lembaran Sejarah Melayu, kita akan bertemu dengan nama-nama besar wanita Melayu berdarah pejuang seperti Tun Kudu anak Bendahara Seri Wak Raja, Tun Fatimah anakanda Bendahara Tun Mutahir, Paduka Cik Siti Wan Kembang dari Pantai Timur, sehinggalah kepada Raja Hamidah dari jalur Kesultanan Riau-Lingga.
85. Memang benar, kita wanita Pentas Sunda terkenal dengan sabar dan cekal. Kita selalu memilih jalan untuk tidak berkelahi atau non-confrontational pada hampir setiap ketika dan keadaan.
86. Tetapi, jangan sampai kita diprovokasi sehingga nasib, maruah bangsa dan agama kita dibangsatkan. Kita tidak akan sekali-kali berkompromi dengan tindakan sebegitu.
Para perwakilan sekalian,
87. Sebagai pembangkang yang berwibawa, kita wajib mendesak Kerajaan Pakatan Harapan memikul tanggungjawab serta akauntabiliti terhadap setiap tindakan mereka. Memang benar, Manifesto 10 Janji 100 Hari bukanlah kitab suci. Tetapi, setiap janji perlu ditepati!
88. Taktik “kejap-kejap terkejut” – dan alasan klise “akan dikaji”, dan kemudiannya “sedang dikaji” bukanlah cara untuk mentadbir kerajaan. Sebelum PRU, bergegar janji mereka untuk melakukan macam-macam perkara. Tetapi sesudah mendapat kuasa dan jawatan, mereka berikan pelbagai alasan.
89. Kononnya hendak menghapuskan GST (Goods and Services Tax) yang membebankan rakyat. Tetapi kini rakyat terpaksa pula menanggung SST (Sales and Services Tax).
90. Kita lihat pula dalam isu PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Dulu ada orang berdegar-degar mengatakan sangat bersimpati dengan penerima PTPTN.
91. Tetapi sesudah mendapat kuasa dan kedudukan, mereka kata; “Tiada tanggungjawab moral kalau peminjam tak bayar PTPTN.”
92. Begitu juga janji oleh seorang individu yang kini menjadi menteri, untuk menghapuskan tol dari Simpang Renggam ke Johor Bharu. Kononnya, sebanyak RM248 (dua ratus empat puluh lapan Ringgit Malaysia) dapat dijimatkan dalam sebulan. Sekarang mana pergi janji tersebut?
93. Jangan lupa juga kepada laungan mereka di sebelah sana – yang kononnya kerajaan akan menurunkan harga petrol RON 95 kepada RM1.50 seliter pada hari pertama Pakatan Harapan menang. Sehingga hari ini, sesudah 142 hari mereka memerintah, harga masih di takuk lama.
94. Provokasi terhadap agama Islam juga semakin ketara. Isu LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender), kebebasan beragama, isu matrimonial dan pelbagai lagi merengsakan kehidupan umat Islam di Malaysia.
95. Sudah-sudahlah menyalahkan kerajaan terdahulu dan menjadi kerajaan yang flip-flop. Kalau pandai mentadbir, secupak pun akan menjadi segantang.
Para perwakilan sekalian,
96. Mutakhir ini, seorang demi seorang pemimpin UMNO diaibkan dan ada di antara pemimpin yang terpaksa berdepan dengan tekanan politik. Bagaimana kita mahu mencergaskan urusan pentadbiran parti, jika akaun-akaun UMNO di peringkat pusat dan negeri dibekukan.
97. Jujur! Saya sangat khuatir dengan perkembangan ini yang dilihat seolah-olah sebagai langkah permulaan untuk membatalkan pendaftaran parti keramat ini.
98. Dalam menghadapi pelbagai tekanan yang melanda parti, hal yang paling asas – ialah kita perlu memastikan kesatuan hati dalam kalangan kita sendiri. Kita perlu ada kekuatan luar biasa dan daya tahan serta juang yang tinggi.
PENYATUAN UMAT MELAYU
Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,
99. UMNO sukar dihancurkan dari luar, tetapi mudah dipecahkan dari dalam. Sedarkah kita bahawa ada usaha berterusan untuk memecahbelahkan parti dari dalam oleh musuh kita.
100. Parti kita sudah tidak mampu lagi menanggung sebarang perpecahan selepas kekalahan teruk pada PRU-14. Sepatutnya kita berusaha untuk berpadu bak perumpamaan silam; “Serumpun bak serai, sejunjung bak sirih.” Bukan sahaja sesama ahli parti, bahkan dengan parti-parti yang sehaluan dengan perjuangan kita.
101. Sehubungan itu, kerjasama UMNO–PAS wajar dilihat sebagai landasan untuk menyatukan umat Islam Melayu. Sekali gus menjadi suara check and balance dalam usaha mengukuhkan blok pembangkang di negara ini.
102. Kerjasama ini pastinya mempunyai cabaran. Namun, diharap ia mampu menjadi permuafakatan dua parti politik Melayu terbesar di negara ini.
LIMA PETUNJANG UTAMA
Sidang perwakilan yang bijaksana,
103. Dalam menghadapi cabaran ke arah pilihan raya akan datang, saya gariskan Lima Petunjang Utama yang akan memandu Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, iaitu:
PERTAMA: EMPOWERING CORE VALUES (Memperkasa Nilai Teras)
104. Teras yang pertama ialah Agama Islam. Sebagai ibu dan wanita dalam keluarga, kita perlu memperkasakan ajaran Agama Islam – bermula dari dalam diri sendiri, dan kemudiannya sesama ahli keluarga.
105. Teras yang kedua ialah Budaya Kekeluargaan. Nilai-nilai positif perlu ditanam dan dipupuk dalam keluarga besar Wanita UMNO untuk memastikan generasi seterusnya memiliki jati diri dan peribadi yang terbaik. Kita perlu sedar bahawa kita adalah wakil kepada masyarakat.
106. Teras yang ketiga ialah Keluhuran Perlembagaan. Saya ingin bertanya berapa ramai antara kita yang benar-benar membaca perlembagaan parti? Jika kita jujur mahukan parti kembali diterima rakyat, kita perlu menjiwai setiap inti perlembagaan parti.
KEDUA: PROPAGATOR OF CHANGE (Propagator Perubahan)
107. Wanita UMNO perlu mencergaskan usaha untuk menambah baik serta memperkasa parti dalam bidang pengumpulan data penyelidikan, penguasaan media, dan pemujukan persepsi awam.
108. Dalam era kita bukan lagi menjadi tonggak pemerintahan, kita akan berperanan mengumpul dan menganalisa maklumat – serta sentiasa peka dengan isu semasa.
109. Ringkasnya, melalui data-data penyelidikan yang terkumpul itu nanti, ia akan dapat membantu Wanita UMNO mengatur strategi dan menguruskan persepsi rakyat. Sekali gus akan menjadikan kita pembangkang yang knowledgeable dan lebih efisyen.
KETIGA: REBIRTH OF WOMEN MOVEMENT (Kelahiran Semula Pergerakan Wanita)
110. Tidak dapat dinafikan, Wanita UMNO melalui jentera Jalinan Rakyat (JR) telah terbukti memberi impak selama ini. Kita perlu memperakui bahawa degup jantung jentera JR telah membantu parti selama ini. Sekiranya jentera JR ini berhenti, maka matilah seluruh raga parti.
111. Namun perlu diingatkan, pendekatan dan pemikiran JR perlu berubah agar sesuai dengan keadaan sekarang. JR digesa agar lebih giat melaksanakan pendekatan bottom-up – tanpa perlu meninggalkan pendekatan top-down. Kita perlu menggunakan apa juga cara yang ada untuk lebih rapat dengan rakyat – terutama melalui aplikasi media sosial.
112. Melalui jentera Wanita UMNO, kita akan terus menyantuni setiap lapisan masyarakat secara bersemuka atau face-to-face – tetapi melalui penambahbaikan yang disesuaikan dengan kekangan dana kita hadapi sekarang.
KEEMPAT: STRATEGIC PARTNERSHIPS (Perkongsian Strategik)
113. Kerjasama yang strategik perlu diwujudkan – seiring memperkukuhkan hubungan sedia ada – dengan organisasi luar. Ini termasuklah Badan Bukan Kerajaan atau Non-Governmental Organization; Kumpulan Berkepentingan atau Interest Group; dan Organisasi Media yang boleh membantu parti dalam meraih semula mandat rakyat.
114. Untuk itu, para aktivis dan profesional wanita yang mempunyai pengalaman, pengetahuan, serta kelebihan perlu disantuni. Kita perlu menyediakan landasan kepada rakyat sebagai stakeholders – supaya mudah mereka melontarkan idea dan menyumbangkan kudrat tanpa mengira agama dan bangsa.
KELIMA: PERFECTING THE ART OF LISTENING (Mendengar Dengan Teliti)
115. Kita perlu realistik, terbuka dan peka dengan perubahan sekeliling. Kembali mendengar seruan dan tuntutan perubahan – keluh kesah dan hasrat ahli serta rakyat terhadap kita dengan sebening-bening kejujuran hati. We must perfect the art of listening!
116. Wanita UMNO perlu memfokuskan seluruh tindakan ke arah usaha memahami perilaku manusia secara menyeluruh. Ini termasuklah para ibu tunggal, warga emas, kelainan upaya dan lain-lain.
117. Saya mahu mengajak keluarga besar Wanita UMNO, mendekati dan menarik lebih ramai simpatisan UMNO, non-card-carrying members dan volunteers. Inilah yang sepatutnya menjadi keutamaan kita kini dan masa-masa hadapan.
PENUTUP
118. Sebelum saya menoktahkan bicara pada persidangan ini, saya memanjatkan harapan kepada Presiden parti, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar dapat dipertimbangkan suara dan harapan Pergerakan Wanita UMNO;
i. Wanita menggesa: Agar parti memastikan satu reformasi terpimpin terhadap Perlembagaan UMNO dibuat bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli, khususnya wakil rakyat yang keluar parti secara semberono. Ini kerana ia melibatkan soal kesetiaan dan integriti, malah pengkhianatan besar terhadap mandat rakyat.
ii. Wanita mendesak: Agar parti mengambil tindakan kepada mana-mana wakil rakyat yang menang di atas tiket UMNO dan Barisan Nasional. Pada masa yang sama, mereka perlu memulangkan semula kerusi kepada kita sekiranya mereka bertindak keluar parti.
Walaupun ia bukanlah satu kesalahan dari segi undang-undang sivil, namun tindakan wakil rakyat yang melompat parti telah melanggar kontrak sosial. Mereka telah menghancurkan kepercayaan parti dan mengkhianati amanah pengundi.
iii. Wanita mencadangkan: Agar parti melaksanakan Aku Janji Taat Setia (bai’ah) UMNO ke atas semua ahli bagi membuktikan ketaatan dan kesetiaan kepada parti. Ia juga bertujuan membendung ahli mengkhianati parti.
iv. Wanita mengesyorkan: Agar parti mengizinkan UMNO Sabah diberi kuasa autonomi untuk menentukan beberapa polisi utama yang bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan di negeri itu.
Ini amat relevan kerana trend, persepsi dan lanskap politik kita yang telah berubah. Tuntutan semasa ini memerlukan political alignment dilakukan, bermula daripada peringkat Pusat hingga ke Cawangan.
v. Wanita meminta: Agar parti mempertimbangkan cadangan mewujudkan sebuah gabungan baharu bagi memperkasakan Barisan Nasional yang kini dianggap semakin lesu. Gabungan parti-parti baharu ini harus mengutamakan kemajmukan masyarakat negara ini tanpa meminggirkan kepentingan kaum masing-masing.
Sidang perwakilan sekalian,
119. Roh sebenar UMNO bersikap tidak terlalu membezakan pengikut dengan pemimpin – seperti saling perlunya aur dan tebing; isi dengan kuku. Sebagaimana adab yang dipesan oleh seorang sasterawan kelahiran Riau:
Yang didahulukan selangkah,
Yang ditinggikan seranting,
Yang dilebihkan serambut,
Yang dimuliakan sekuku.
120. Maksudnya, jarak seorang pemimpin dengan rakyatnya tidak boleh terlalu jauh. Jika ditinggikan sekalipun, memadai sekadar yang patut sahaja. Andai pemimpin perlu dilebihkan, biarlah berpada-pada. Dan, jika wajar dimuliakan, usahlah berlebih-lebihan pula.
121. Akhirul kalam, marilah kita segarkan kembali hasrat dan aspirasi perjuangan. Kita pamerkan semangat tinggi untuk bangkit semula dalam skop dan kerangka perjuangan asal, tanpa mengetepikan perlembagaan dan kedudukan kaum lain yang ada di negara ini.
122. Ingatlah pesan seorang ulama tersanjung: “Hanya dua tempat bertanya, pertama Tuhan, kedua hati. Jika hartamu sudah tidak ada, belumlah kita bernama rugi. Tetapi jika keberanian sudah tidak ada, seluruh kehidupan menjadi porak peranda”.
123. Kita bulatkan tekad dalam menghadapi dugaan ini ketika mata masih celik, telinga belum tuli dan jantung masih berdenyut. Percayalah! Ikhtiar dan hikmah kita akan menzahirkannya.
Sekian dan Selamat Bersidang!
WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH,
WASSALAMUALAIKUM
PAU 2018: BANGKIT KEMBALI –
Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Berikut merupakan teks Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia.
Ybhg. Datuk Seri Razali Ibrahim dan Ybhg. Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan wakil Ahli Majlis Tertinggi ke Perhimpunan Agung Pemuda di Dewan Tun Dr.Ismail ,Aras 2 PWTC Kuala Lumpur
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Shahril Hamdan
Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh,
SIDANG PERWAKILAN PEMUDA SEKALIAN,
1. Alhamdulillah dengan setinggi rasa syukur kepada Allah S.W.T dan iringan semangat ukhuwwah serta perjuangan, saya mewakili saf kepimpinan Pergerakan PEMUDA Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Malaysia mengalu-alukan kehadiran para perwakilan, pemerhati dan para jemputan seluruh negara ke Perhimpunan Agong Pergerakan PEMUDA UMNO 2018.
2. Walaupun parti UMNO bukan lagi berada di puncak kuasa, namun dengan hati yang tulus ikhlas dari Perlis sampailah ke Sabah, kita hadir pada hari ini atas nama sebuah perjuangan. Saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada seluruh kerabat PEMUDA terutamanya Ketua-ketua PEMUDA Bahagian, Naib-Naib Ketua PEMUDA Bahagian dan saf-saf kepimpinan PEMUDA Bahagian, kerana kalian adalah pejuang sejati.
3. Dalam sejarah dan tradisi UMNO, Perhimpunan Agong bukan sekadar rutin tahunan, bahkan menjadi medan muhasabah terbesar untuk menilai prestasi parti dalam menggarap aspirasi rakyat, memperteguh idealisme Islam, mereformasi kelemahan organisasi dan merangka garis-garis besar bagi menentukan haluan perjuangan.
4. Selepas 7 dasawarsa, kita berhimpun dalam suasana penuh keinsafan dan kesedaran kerana buat pertama kalinya dalam sejarah, bahtera UMNO ini hampir karam, nakhodanya bertukar, layarnya koyak rabak dan anak-anak kapalnya tidak ketentuan. Malah lebih parah lagi, ada Juragan yang terjun meninggalkan bahtera.
5. Tentu sekali dalam keadaan sebegini, eloklah kita berlabuh seketika di dermaga, membina kembali barisan kemudi bahtera dan anak-anak kapalnya. Mengganti dayung yang patah, menampal layar yang carik, membina kembali kekuatan sebelum meneruskan pelayaran biarpun kita ketahui badai dan ombak yang bakal melanda cukup hebat.
6. Namun percayalah bahtera ini kita warisi daripada sebuah perjuangan yang ikhlas dan suci, walaupun nakhoda dan kelasinya datang dan pergi, silih berganti, hakikatnya semuanya ada jasa dan budi. Yang buruk kita jadikan sempadan, yang baik jadikan azimat untuk kita terus mengemudi bahtera perjuangan ini.
7. Untuk itu, mewakili seluruh saf kepimpinan Pergerakan PEMUDA, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan setinggi penghargaan kepada YB KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR serta seluruh saf kepimpinan terdahulu atas segala segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan buat parti kita ini.
MUHASABAH DI SEBALIK KEKALAHAN
Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,
8. Tanggal 9 Mei 2018 pastinya tercatat sebagai sejarah hitam yang tidak dapat dilupakan. UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerima kekalahan dalam Pilihanraya Umum ke-14. Buat pertama kali sejak merdeka, UMNO hilang kuasa kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri kecuali di Pahang dan Perlis.
9. Kita menerima kekalahan ini dengan penuh SEDAR dan INSAF, sebagai takdir yang telah ditentukan oleh ALLAH ‘AZZA WAJALLA. Inilah hukuman rakyat kepada kita. Dahulu, mereka mendokong dan mengangkat kita tetapi kerana sikap kealpaan kita, mereka menolak dan hilang keyakinan terhadap kita, lantas dengan mudah rakyat memberikan undi mereka kepada lawan kita.
10. Terimalah kekalahan ini. Terimalah kekalahan dengan hati yang terbuka. Percayalah, kekalahan ini bukan kerana musuh kita kuat dan hebat. Tetapi kekalahan ini berlaku kerana kesilapan dan salahlaku kita sendiri. Kita tewas lantaran tingkah kita yang bertentangan dengan norma hukum dan bercanggah dengan budaya bangsa kita. Maka Allah SWT menghukum kita dengan balasan kekalahan yang amat perit sekali.
11. Kerana pangkat dan kuasa, kita berantakan sesama sendiri. Kerana mengejar harta dan khazanah, kita sanggup mencantas sesama ahli. Akhirnya kita tergelincir hingga perjuangan Melayu dan Islam sanggup kita perjudi dan khianati.
12. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 16:
“Dan jika Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, maka Kami perintahkan (terlebih dahulu) orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya mentaati Allah), tetapi mereka melakukan penderhakaan dan kefasikan, maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya”.
13. Ayat ini umpama “Menepuk Air di Dulang Terpercik ke Muka Sendiri”. Hakikatnya kitalah penduduk negeri yang digambarkan Allah dengan limpahan kemewahan dan kemasyhuran selama lebih 60 tahun di puncak kuasa. Malangnya, kita kufur atas nikmat kurniaan Allah itu, kita ingkar dengan perintahNya, kuasa yang ada digunakan untuk mewajarkan segala kecurangan dan pengkhianatan tanpa peduli dosa, naluri dan perasaan rakyat.
14. Hakikatnya yang bersalah bukan UMNO. Mana mungkin parti yang memerdekakan negara ini begitu buruk sekali takdirnya. Mana mungkin parti yang telah mengangkat martabat Islam begitu hodoh sekali rupanya. Yang perlu dipersalahkan adalah para pendokong dan pemegang amanah perjuangan UMNO yang telah mengkhianati dan menanggalkan idealisme perjuangan serta meleburkan pedoman Islam.
15. Justeru, ini adalah waktu terbaik untuk kita melihat siapakah pemimpin yang benar-benar setia kepada perjuangan ini? Setia kepada perjuangan bukan hanya di waktu berkuasa. Setia kepada perjuangan bukan hanya di saat dilimpahi kesenangan. Tetapi setia yang sejati adalah di saat UMNO sedang diuji dengan pelbagai mehnah dan dugaan.
16. Bukan seperti segelintir pimpinan yang telah meninggalkan kita di kala UMNO dilanda badai. Kononnya lompat kerana prinsip perjuangan, kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang…kami tahu sebabsebabnya….! Ingatlah UMNO yang kalian sisihkan inilah, yang pernah menatang anda di waktu senang, mendokong anda hingga ke puncak. Ingatlah jerit perih wanita yang setia memerah keringat turun naik dari rumah ke rumah, puteri-puteri meninggalkan anak-anak yang masih kecil di rumah hanya untuk memenangkan kalian
17. PEMUDA dengan ini mendesak pucuk pimpinan agar mengambil tindakan tegas buat petualang-petualang ini termasuklah tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanding atas nama parti, memanfaatkan jentera parti dan menggunakan wang parti sebelum ini, akhirnya sanggup curang kepada akar umbi.
18. Bagi PEMUDA kami tidak sesekali menjadi “Seludang Menolak Mayang”, melupakan parti yang banyak jasanya kepada kita. Malah kita akan terus setia bersama wadah keramat ini bak kata pujangga “Sakit Sama Mengaduh, Luka Sama Mengeluh”. Bahkan jika satu ketika kita hilang kemudi hatta nakhoda sekalipun, kami PEMUDA UMNO tidak akan undur walau selangkah meninggalkan wadah. Sekalipun jika di waktu itu semua beralih arah meninggalkan UMNO dan kalian terpandang di belakang, hanya seorang sahaja yang tinggal memegang panji UMNO, maka dialah PEMUDA UMNO.
KEMBALI KEPADA AKAR PERJUANGAN
Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,
19. Saya yakin, masih ramai yang sayangkan UMNO. Tetapi terlalu banyak persepsi buruk dicampakkan ke atas UMNO sekaligus terpalit kepada kita yang masih berada dalam parti. Persoalannya:
• BOLEHKAH KITA MENJERNIHKAN KEMBALI PERSEPSI BURUK INI?
• MAMPUKAH KITA MEMBERSIHKAN SEGALA IMEJ NEGATIF TERHADAP PARTI UMNO INI?
• UPAYAKAH KITA MENGEMBALIKAN KEPERCAYAAN RAKYAT TERHADAP AGENDA PERJUANGAN UMNO?
20. Realitinya, generasi PEMUDA mewarisi bahtera UMNO yang hampir karam. Namun, wahai PEMUDA-PEMUDAKU! Janganlah terus dirundung kehampaan, janganlah terus diselimuti rasa kekecewaan. Kita hakikatnya mampu bangkit kembali. Ini bukan omongan kosong. Kita bukannya “Membakar Air Hendakkan Abu”. Inilah yang selalu saya tekankan pada setiap kali turun ke lapangan sejak 3 bulan lalu, bagaimana pengajaran tragedi Uhud yang merakamkan peristiwa kekalahan tentera Islam, lantaran ingkar perintah Nabi SAW pada awalnya, namun dijanjikan Allah untuk kembali bangkit memperoleh kemenangan.
“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang telah menimpa kamu), padahal kamulah orang yang bakal diangkat martabatnya kembali (mencapai kemenangan) jika kamu benar-benar beriman.”
21. Inilah harapan. Inilah prasyarat kebangkitan. Syarat utama untuk UMNO bangkit kembali daripada kekalahan, adalah untuk kita PEMUDA kembali kepada akar keimanan dan tunjang agama. PENEGASAN IDEALISME PERJUANGAN MELAYU-ISLAM Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian,
22. Selama 7 dekad UMNO di persada politik negara, UMNO tidak pernah bersifat ekstrim baik KE KANAN (atau istilah popular hari ini; far right/ rightist) mahupun KE KIRI (far-left/leftist). Ertinya parti ini sentiasa berada di jaluran tengah atau istilah Al-Qurannya: Wasatiyyah yang membawa makna Adil, Cemerlang dan Seimbang.
23. Orientasi Wasatiyyah yang mendasari perjuangan UMNO ini bukan sekadar retorika slogan. Perjuangan Islam yang dipelopori UMNO juga bukan hanya sekadar sorakan semangat laungan takbir semata-mata. Perjuangan Islam UMNO jauh sekali mewajarkan gejala PELAMPAUAN ektrimisme mahupun perbuatan melonggarkan agama atau liberalisme.
24. Sebaliknya orientasi Wasatiyyah yang diperjuangkan UMNO inilah yang telah diterjemahkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan dijadikan asas kepada segala dasar, polisi dan program dalam membina negara bangsa yang berbilang agama dan kaum. Sehingga negara lain menghormati Malaysia sebagai negara Islam yang progresif, aman dan sederhana.
25. Semua ini kerana kita memahami ajaran Islam yang sifatnya memberi kesejahteraan dan rahmat kepada semua tanpa mengira agama dan bangsa sebagaimana yang terungkap melalui konsep Rahmatan Lil Aalamin iaitu kesejahteraan kepada seluruh alam. Seiring dengan firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya’ ayat 107;
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau ( wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”
26. Sejajar dengan itu PEMUDA menyokong penuh mana-mana pihak yang ingin mengangkat wacana Rahmatan Lil ‘Aalamin ini. Namun PEMUDA ingin tegaskan konsep Rahmatan Lil ‘Aalamin mestilah benar-benar difahami dan diselami maknanya yang asli berpandukan suluhan ilmu yang benar dan panduan ulamak yang jelas.
27. PEMUDA ingin mengingatkan, jangan sesekali memperdagangkan konsep ini hanya untuk meraih undi. Jangan berselindung di sebalik Rahmatan Lil ‘Aalamin demi kepentingan politik parti. Jangan sesekali mempromosi konsep ini demi menghalalkan dasar kebebasan dan keterbukaan tanpa batas sehingga menampakkan kerajaan ‘Malaysia Baharu’ seakan mula lunak meraikan mahupun membuka ruang kepada ideologi-ideologi songsang seperti Syiah, Qadiani mahupun kelompok LGBT. AGENDA MELAYU BUKAN RASIS Sidang Perwakilan Sahabat Perjuangan Sekalian,
28. Yang menyedihkan, Pasca PRU-14, makin banyak suara-suara sumbang yang meremehkan perjuangan kita berpaksikan Melayu dan Islam. Seolah-olah keputusan PRU-14 mencerminkan kehendak majoriti rakyat yang menolak politik berasaskan kaum dan agama. Sedangkan tidak ada satu kajian yang membuktikan kenyataan itu.
29. Sebaliknya, kebanyakan kajian yang dijalankan badan bebas dan berkecuali menggariskan pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada penolakan rakyat kepada UMNO dan BN, seperti skandal kepemimpinan dalam kes 1MDB, kelemahan urus tadbir, integriti, kos sara hidup, dan GST yang menyentuh tentang perasaan dan perut rakyat yang tiada kaitan sama sekali dengan orientasi perjuangan memartabatkan Bumiputera-Melayu-Islam.
30. Lebih menyedihkan apabila ada di kalangan pemimpin UMNO sendiri yang mula rasa bersalah atau “apologetic” apabila berbicara mengenai agenda Agama dan Bangsa.
31. Persoalannya kenapa kita perlu rasa malu dan bersalah dengan agenda Melayu, Islam dan Bumiputera? Seolah-olah memperjuangkan Bangsa dan Agama sebagaimana yang terpateri dalam Perlembagaan ini suatu yang hina dan rasis. Sedangkan bangsa lain yang berjuang menegakkan hak dan kepentingan mereka, sehingga kadangkala melangkaui batas Perlembagaan tidak pula dianggap rasis bahkan dijustifikasi pula atas nama hak asasi.
32. RASIS! Kamus Oxford memaknakannya sebagai satu kefahaman bahawa sesuatu bangsa itu lebih mulia berbanding bangsa lain hingga menebal nilai prejudis yang membawa kepada perlakuan diskriminatif dan menindas hak bangsa lain kerana dianggap lebih rendah martabatnya berbanding bangsa mereka.
33. Sekali lagi saya ingin bertanya: Adakah UMNO selama ini bersikap rasis saudara-saudara? Adakah sepanjang 60 tahun UMNO menakhodai kerajaan, bangsa lain ditindas dan dinafikan hak mereka? Adakah agama lain juga diperkotak-katikkan oleh kita?
34. UMNO tidak pernah mendakwa Melayu-Bumiputera lebih mulia daripada bangsa lain. UMNO juga tidak pernah mendesak Kerajaan melaksanakan dasar menindas sehingga menafikan hak bangsa lain seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
35. Sebaliknya perjuangan UMNO sentiasa bersifat inklusif. Apabila kita berjuang untuk Melayu, kita juga berjuang untuk bangsa lain. Apabila kita berjuang untuk Islam, kita juga mempertahankan hak agama-agama lain. Kerana inilah tradisi kita. Inilah fitrah kita. Fitrah orang Melayu yang sentiasa menyantuni. Fitrah orang Melayu yang tinggi toleransi. Fitrah orang Melayu yang diakari oleh ajaran Islam yang menuntut kita untuk sentiasa menghormati agama-agama dan bangsa-bangsa lain.
36. Sebab itulah sepanjang menerajui pemerintahan, UMNO melaksanakan pelbagai dasar yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira agama dan bangsa secara saksama. Bahkan sehingga hari ini, kekayaan dan kemewahan ekonomi yang dinikmati oleh bangsa minoriti tidak pernah sesekali dipersoalkan, jauh sekali untuk dizalimi hak mereka untuk hidup mewah dalam negara ini.
37. Cuma saya ingin mengingatkan kepada segelintir puak yang mula angkuh, jangan sesekali lupa daratan, jangan dijolok sarang tebuan, diberi betis, jangan pula mengidamkan peha. Ingatlah bidalan sasterawan negara Almarhum Usman Awang: Watak Melayu menolak permusuhan Setia dan sabar tiada sempadan Tapi jika marah tidak nampak telinga Musuh dicari ke lubang cacing Tak dapat tanduk telinga dijinjing Maruah dan agama dihina jangan Hebat amuknya tak kenal lawan
KECELARUAN ‘MALAYSIA BAHARU’
Saudara-saudara sidang perwakilan sekalian,
38. Apa yang saya lakarkan ini adalah untuk kita lebih meyakini akan akar perjuangan parti kita, sekaligus tidak sesekali berkompromi dengan apa jua bentuk idealogi-ideologi era pasca-moden yang mula berani menjelmakan wajah-wajah mereka dibawah pemerintahan baru Kerajaan Pakatan Harapan.
39. Hakikatnya, PEMUDA UMNO merasakan bahawa era “Malaysia Baharu” kini diselaputi dengan pelbagai kecelaruan. Kecelaruan dari segi politik dan pentadbiran, kecelaruan dalam aspek perundangan, kecelaruan dalam pengurusan ekonomi negara dan lebih membimbangkan apabila rakyat turut dicelarukan dengan pelbagai penyimpangan agama dan nilai.
40. Nampaknya Kerajaan hari ini kalau mengikut bidalan Melayu lama “Agak Lebih, Daripada Agih” iaitu lebih banyak bercakap dan menyalah daripada bekerja. Lebih banyak berdalih daripada cuba mengota “Seperti Air Besar Sampah Tak Hanyut” dengan pelbagai harapan dan janji-janji yang akhirnya dikhianati.
41. Kononnya nak hapuskan hutang PTPTN sehinggakan orang muda berjaya diumpan untuk menukar kerajaan, tetapi bila berkuasa, maruah mereka pula disergah dengan melabelkan mereka tidak tahu malu kerana tak bayar hutang.
42. Kononnya atas dasar penjimatan, BR1M, bantuan sara hidup nelayan, kenaikan gaji penjawat awam tidak diteruskan, tetapi pada masa sama projek-projek yang menguntungkan para kroni dan kapitalis seperti Projek Kereta Nasional Ke-3 hendak dibangunkan semula.
43. Kononnya nak bela warga kota yang terbeban kos sara hidup dengan menghapuskan tol, tetapi bila sudah menang bagi alasan kerajaan pula yang terbeban kerana kos pengambil-alihan konsesi tol mencecah RM400 Bilion.
44. Kononnya nak mengangkat “Rule of Law”, tetapi satu persatu norma perundangan dan kehakiman dicabuli, kes-kes melibatkan kepimpinan kerajaan digugurkan sesuka hati, pemimpin-pemimpin pembangkang pula dimalukan sebelum dibicarakan, dihukum sebelum disabitkan. Di manakah ‘Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang’ yang dicanangkan? Ini semua bukti dendam kesumat, kerakusan dan keserakahan Sang Penguasa sehingga dirobek ‘Kesopanan Dan Kesusilaan’. Kita ingat kerajaan Malaysia Baru ini benar-benar nak angkat “Rule of Law” tetapi rupa-rupanya “Law of the Jungle”.
45. Akhirnya rakyat semakin keliru, negara makin celaru. Tidak tahu fakta mana yang betul. Sekejap kata hutang negara mencecah RM 1 trillion (berbanding catatan rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) RM725.8 billion setakat suku tahun kedua 2018), tetapi setelah berlakunya aliran keluar modal secara besar-besaran, mencecah RM38.27 billion lantaran cemas dengan pendedahan ini (hingga menjejaskan Bursa Saham Malaysia), keluar pula kenyataan yang berbeza.
46. Sekejap kata negara akan bankrap, tetapi baru 4 bulan berkuasa YB Menteri sekali lagi ubah kenyataan asal, mendakwa ekonomi kembali kukuh. ‘Pelik bin Ajaib’, ‘Jampi Serapah’ apa yang digunakan boleh merubah negara yang bankrap menjadi hebat dalam tempoh yang singkat. Itu tidak termasuk salah titik perpuluhan tatkala cuba menyalah kerajaan lama berkenaan angka baki tabung bayaran balik GST.
47. Memang wajarlah kita syorkan Menteri ‘Hentam Saja’ dinobatkan ‘Menteri Kewangan Terbaik Dunia’ kerana tidak pernah dalam sejarah dunia sebuah negara berubah cemerlang hanya 4 bulan berkuasa. Cuma sayangnya beliau rupa-rupanya berhati tisu.
48. Ini baru karenah seorang Menteri, belum lagi Menteri-menteri lain yang berterusan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan memperbodohkan rakyat.
49. Ada Menteri yang kononnya tunjuk prihatin kepada kos sara hidup nelayan setelah dia sendiri mansuhkan segala subsidi dan sara hidup bulanan, dicadangkan pula menanam nenas dan rambutan di belakang rumah bagi menambah pendapatan. Inilah agaknya pandangan luar kotak ‘out of box’ pak menteri, mencetuskan inovasi penanaman nenas dan rambutan di kawasan tanah pasir.
50. Ada pula Menteri yang bangga mendedahkan rahsia keselamatan dan pertahanan negara kononnya hanya 4 sahaja pesawat pejuang negara yang boleh terbang. Tapi pada hari sambutan Kemerdekaan kita dipersembahkan dengan lintas hormat puluhan jet-jet pejuang yang megah terbang. Namun apabila datang daripada seorang Menteri daripada sebuah parti yang kuat melaungkan Rahmatan Lil ‘Aalamin, kita kena bersangka baik, agaknya disewa khas dari Negara Iran.
51. Ada juga Menteri yang begitu teruja untuk menzahirkan keterbukaan, memperjuangkan kebebasan, meraikan semua kelompok minoriti walaupun ada yang sesat lagi menyesatkan. Ada yang dilayan bak raja sehinggakan isu tandas merekapun menjadi agenda nasional. Dahulu Kerajaan BN mengangkat martabat golongan OKU sehingga kemudahan tandas mereka kita bela. Datang Menteri Malaysia Baharu, senang-senang nak menyerahkan hak OKU yang kita bela.
52. Ada juga Menteri yang bijaksana dan bernas pandangannya. Status facebook beliau yang cukup mengesankan saya sehingga hari ini “Pemimpin Yang Bodoh Lahir Dari Tangan Pengundi Yang Bodoh”. Tapi jangan salah faham tuan-tuan, itu status tahun 2015, mungkin lain pandangannya hari ini bila sudah dipilih rakyat dan bergelar YB.
53. Ini hanyalah sebahagian koleksi-koleksi kenyataan Anggota Pentadbiran Kerajaan Baharu yang sempat dikongsikan. Banyak lagi kecelaruan yang dicetuskan oleh Kerajaan Baharu. Sandiwara yang mereka persembahkan setakat hari ini tidak ubah seperti “Berlindung Di Sebalik Telunjuk”, “Sudah Palit, Mudah Pula Mencalit”.
54. Mungkin inilah sebabnya Perdana Menteri semacam sudah hilang percaya dan yakin kepada Memanda Menteri-menterinya sendiri, sehinggakan terpaksa mengekalkan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) walaupun janjinya hanya untuk 100 hari. Tapi kita sudah tidak hairan dengan Janji 100 Hari kerana bak kata Perdana Menteri “Manifesto Bukan Kitab Suci”.
55. Namun PEMUDA ingin tegaskan, janji itu adalah sesuatu yang wajib dipenuhi. Ia adalah tuntutan agama yang tidak wajar dikhianati.
“Wahai Orang Beriman, Wajib Atas Kamu Untuk Mengota segala Janji” (Al-Maidah:1) Apatah lagi sebagai sebuah kerajaan yang perlu membangunkan nilai yang betul kepada rakyat. Mandat rakyat kepada kepimpinan bukan sahaja memenuhi tuntutan pentadbiran tetapi juga menyemai nilai dan moral untuk diteladani.
56. Apa guna mendapat mandat jika berterusan menipu rakyat. Apa guna di Putrajaya kalau kata tak dikota. Apa guna menabur janji tapi akhirnya untuk dikhianati. Benarlah peribahasa Melayu yang dipetik oleh Pak Menteri, “Siakap Senohong Gelama Ikan Duri, Bercakap Bohong Lama-Lama…..?” 14 UCAPAN DASAR ketua pemuda umno TERAS KEBANGKITAN PEMUDA Saudara-saudara rakan seperjuangan
57. Tujuan dibentangkan dan dihidangkan segala kecelaruan dan kebobrokan Kerajaan yang ada pada hari ini bukan sekadar untuk dipersendakan. Segala kelemahan Kerajaan Malaysia Baharu bukannya alasan untuk kita mendabik dada dan memeluk tubuh menantikan buah jatuh ke tanah atau bulan jatuh ke riba.
58. Sebaliknya PEMUDA wajib bangkit. Kita bangkit bukan hanya memenuhi tuntutan parti, tetapi kita bangkit untuk kembali membela rakyat, agar rakyat tidak berterusan diperbodohkan. Kita bangkit untuk memerdekakan minda rakyat, agar rakyat tidak terus terjajah dengan segala fatamorgana janji-janji palsu yang mengujakan.
59. Justeru, saya ingin melakarkan lima (5) TERAS KEBANGKITAN BUAT PEMUDA yang akan menjadi ‘azimat’ buat kita semua dalam menggerakkan agenda penting mengukuhkan dan mereformasi parti sekaligus untuk mendapatkan kembali sokongan dan dokongan rakyat.
60. 5 Teras Kebangkitan PEMUDA yang dimaksudkan adalah:
a. Menjuarai Agenda Rakyat
b. Menyantuni Kepelbagaian Anak Muda
c. Memperkukuh Nilai Inklusif
d. Pengislahan PEMUDA
e. Penjenamaan Semula
PEMUDA TERAS PERTAMA : MENJUARAI AGENDA RAKYAT
Saudara-saudara sahabat seperjuangan,
61. Sebagaimana di awal bicara, kita dihukum dan ditolak oleh rakyat lantaran kealpaan dan kelekaan kita tatkala di puncak kuasa. Kita gagal menyelami suara hati rakyat, kita gagal mendengar denyut nadi rakyat. Ketika rakyat bergelut dengan kelangsungan hidup, pemimpin angkuh memperagakan kemewahan diri. Ketika rakyat dilingkari badai dusta dan fitnah, kita gagal menyanjikan jawapan tuntas akibat dipagari rasa selesa sesama sendiri.
62. Justeru, PEMUDA harus bangkit kembali kepada rakyat. Namun, pendekatan kita haruslah berbeza sesuai dengan kedudukan kita sebagai pembangkang. Kalau kita masih mengimpikan untuk kembali ke puncak kuasa, inilah masa dan ketikanya: ‘Menjadi Juara Rakyat’.
63. Menjadi Juara rakyat adalah menjadi pembangkang berwibawa. Menjadi pembangkang berwibawa adalah menjadi lidah penyambung suara rakyat, mata telinga pemelihara kepentingan rakyat.
64. Bagi tujuan ini. PEMUDA harus mula memantau kerajaan dari pucuk pimpinan hinggalah ke peringkat akar umbi. Dari setiap kementerian, jabatan-jabatan hinggalah ke peringkat agensi-agensi negeri, SyarikatSyarikat Milik Kerajaan (GLC) mahupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Memantau semua polisi, dasar dan projek yang dilaksanakan agar tidak ada lagi penyelewengan, ketirisan mahupun pembaziran. Setiap salah laku dan penyimpangan yang dilakukan baik di peringkat Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Parlimen hinggalah AhliAhli Dewan Undangan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan mestilah segera dilaporkan dan disuarakan tanpa gusar dan goyah, “without fear and favour”.
65. Pembangkang wibawa juga bukan bermakna kita sekadar membangkang tanpa arah dan tujuan. Sebaliknya jika kita mahu menterjemahkan ‘Government in Waiting’, PEMUDA harus mula menyediakan polisi dan dasar alternatif yang terbaik sebagai ruang kepada rakyat untuk menilai keupayaan kita untuk kembali memerintah.
66. Saya ingin tegaskan menjadi juara rakyat bukan kita menjual-beli maruah rakyat. Kepercayaan rakyat kepada kita bukan untuk dijaja. Amanah rakyat kepada kita bukan untuk digadai demi kepentingan diri.
67. PEMUDA ingin ingatkan, dalam keghairahan segelintir yang masih berkira-kira untuk melompat parti ataupun yang mengintai-ngintai peluang untuk kembali berkuasa melalui pintu belakang, ingatlah parti kita masih bermaruah, jangan sesekali menggadai amanah rakyat. Sekali rakyat rasa dicurangi, dibimbangi parti akan tertolak buat selama-lamanya. “Dari Hidup Bercermin Bangkai, Lebih Baik Mati Berkalang Tanah”
TERAS KEDUA: MENYANTUNI KEPELBAGAIAN ANAK MUDA
Sahabat-Sahabat Sidang Perwakilan Sekalian,
68. Seiring dengan iltizam kita untuk menjuarai agenda rakyat, PEMUDA menyedari komponen rakyat mula didominasi oleh pengundi muda. Realitinya lebih 14 juta rakyat Malaysia adalah anak muda. Barubaru ini pula, Kabinet telah memutuskan untuk menurunkan had umur 16 UCAPAN DASAR ketua pemuda umno pengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun, sekaligus menjadikan tambahan lebih 1.5 juta pengundi muda yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih pada PRU akan datang.
69. PEMUDA mengiktiraf bahawa anak-anak muda kini empunya pelbagai recam dan ragam. Dari mereka yang berjanggut tebal hinggalah ke berseluar ketat, dari mereka yang tradisionalis kampung hinggalah ke ‘urban-demokrat’, dari mereka yang ‘Hipster Raver’ hinggalah yang berpencak silat, hatta yang berniaga sendiri hinggalah ke teknokrat.
70. Maka tidak hairanlah jika kerencaman ini melahirkan kepelbagaian ideologi, pemikiran dan pendirian mereka. Anak muda kini lebih terbuka pemikirannya, lebih lantang lidahnya dan lebih berani sikapnya. Pemikirannya juga tidak mahu dikongkong, suaranya tidak mahu dikekang dan tingkah lakunya tidak mahu ditahan.
71. Kepelbagaian ini menuntut kita untuk lebih memahami keperluan mereka, sensitif dengan kehendak mereka dan juga menjiwai aspirasi mereka. Akhirnya PEMUDA tidak boleh sewenang-wenangnya mengikat mereka dengan nilai kita. PEMUDA juga tidak boleh lagi menggunakan pendekatan tipikal dan tradisional dalam menyantuni mereka. Justeru bagi memastikan teras ini menjadi keutamaan PEMUDA saya sarankan dua pendekatan:
72. Pertama, PEMUDA harus memaksimumkan penggunaan teknologi maya untuk berkomunikasi dengan anak muda hari ini, menguasai whatsapp, facebook, twitter, instagram, tik-tok, wee chat dan pelbagai media alternatif yang banyak mempengaruhi sikap, mencorak minda dan membentuk pendirian mereka. Namun, manfaatkanlah teknologi secara berhemah dan tertib, jagalah adab dan nilai. Pamerkan dan zahirkan wibawa dan akhlak kita sebagai pemimpin PEMUDA UMNO di mata rakyat.
73. Kedua, PEMUDA perlu keluar mengenalpasti, mencari dan mendekati anak-anak muda secara fizikal dari kedai mamak sehinggalah ke starbuck, dari celah-celah pokok getah hinggalah ke bangunanbangunan pencakar langit berhawa dingin, dari surau dan masjid ke pusat-pusat karoeke dan hiburan. Bukan untuk kita mencairkan pegangan kita. Tetapi untuk kita lebih menyelami dan melebarkan jalan agar mereka dapat memahami nilai yang kita julangi.
74. Bermula hari ini, PEMUDA ingin tegaskan, tiada lagi pintu-pintu PEMUDA yang ditutup rapi, tiada lagi masalah memohon menjadi ahli berkali-kali. Jaminan saya, tiada lagi bakat-bakat anak Melayu kita yang diketepi, syaratnya mesti mahu ikhlas dan tulus dengan perjuangan UMNO yang kukuh jati diri.
TERAS KETIGA: MEMPERKUKUH NILAI INKLUSIF
Saudara-saudara sahabat seperjuangan,
75. Teras ketiga adalah memperkukuh nilai inklusif. Sejak awal penubuhannya lagi, nilai ini amat sebati dengan orientasi perjuangan UMNO. Kelahiran UMNO adalah berasaskan ijmak cantuman 41 pertubuhan-pertubuhan NGO Melayu dan organisasi Islam, Kemerdekaan Tanah Melayu adalah berasaskan kebijaksanaan UMNO untuk mempelopori nilai inklusif dengan mengajak parti-parti lain yang mewakili pelbagai kaum. Malah pembentukan Malaysia adalah hasil jiwa besar UMNO yang menghayati nilai inklusif untuk mengajak Sabah, Sarawak dan Singapura untuk sama bercantum.
76. Persoalannya, mengapa UMNO hari ini dilihat eksklusif? Parti ini hanya dipandang mewakili golongan tertentu semata-mata. Sebagai wadah politik, UMNO perlu realistik betapa kerelevanannya bergantung kepada nilai kebersamaan dan keterangkuman dengan rakan-rakan strategiknya. Atas asas itu, UMNO perlu lebih menzahirkan nilai inklusif ini sebagai bahtera politik yang mewakili kepelbagaian rakyat Malaysia. Lantaran itu UMNO perlu kembali menyemarakkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dari pelbagai latar.
77. PEMUDA berpendirian, kerjasama yang ada dalam bentuk Barisan Nasional pada hari ini perlu disemak semula. Suatu bentuk gagasan politik baharu yang melangkaui gabungan Barisan Nasional mesti segera diusahakan. Gagasan ini tidak hanya diwakili oleh parti-parti komponen BN yang masih tinggal, bahkan harus disertai parti-parti lain daripada blok pembangkang. Gagasan ini perlu memfokuskan kepada usaha untuk memperkukuhkan pakatan pembangkang yang kuat dan berwibawa demi menjaga kepentingan rakyat. Bagi tujuan ini, PEMUDA mencadangkan satu TASK FORCE atau PASUKAN KHAS mewakili semua parti-parti komponen mestilah segera dibentuk. 18 UCAPAN DASAR ketua pemuda umno
78. Sehubungan dengan itu juga, UMNO harus memulakan inisiatif yang serius bagi menggembeleng seluruh NGO-NGO untuk duduk bersama berkongsi aspirasi dan harapan. Baik NGO Islam dan adat Melayu, NGO Pendidikan, NGO Bahasa, Persatuan-Persatuan Belia dan Mahasiswa, NGO golongan berkepentingan seperti OKU, Persatuan Penduduk, NGO Alam Sekitar dan NGO-NGO Politik Antarabangsa. Kita harus melihat mereka sebagai rakan dan taulan bukan musuh atau saingan. Mereka mempunyai idealisme yang jelas dan jaringan keahlian yang ramai. Semua ini adalah peluang membina kekuatan dan menambah kematangan agar PEMUDA boleh bangkit, membela rakyat.
79. Begitu juga dengan rakan-rakan kita di Sabah dan Sarawak. PEMUDA UMNO melihat kewujudan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak dalam Malaysia sejak 1963 mesti diraikan dengan tepat. Mereka berhak mendapat kuasa autonomi seperti yang dimetrai dalam perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Buat sahabat-sahabat kita PEMUDA SABAH, kami menyokong penuh cadangan UMNO Sabah untuk diberikan ‘autonomi’ merangka strategi politik mereka tersendiri, sesuai dengan keperluan dan tuntutan politik Sabah yang berbeza dengan Semenanjung baik dari segi etnik mahupun agama.
80. Ini sebagai komitmen dan keikhlasan UMNO mengiktiraf status dan kedudukan khas Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita mahu UMNO menjadi parti nasional pertama yang memulakan langkah pragmatik, memberikan autonomi kepada UMNO Sabah sebagai citra iltizam tinggi untuk mengiktiraf kedudukan Sabah sebagai salah satu entiti utama yang membentuk Persekutuan Malaysia. Ia juga sebagai satu pengiktirafan terhadap hak dan kepentingan semua ahli UMNO di Sabah sebagai negeri yang mempunyai jumlah keahlian tertinggi dengan hampir 20 peratus terdiri daripada kalangan Bumiputera bukan Islam.
81. Sifat inklusif UMNO bukan sahaja melibatkan agenda survival politik 1. kuasa, bahkan ia menuntut kita untuk melihat kepada agenda penyatuan ummah yang lebih besar. Apatah lagi berhadapan regim pemerintah kini yang semakin mendedahkan ancaman terhadap martabat Islam yang sekian lama kita bina di negara ini.
82. Inilah sebenarnya terhasrat di sebalik langkah awal untuk kita menjalinkan semula ikatan ukhuwwah yang lama terlerai dengan saudara seakidah kita, PAS. Lebih-lebih lagi apabila Allah mentakdirkan kedua-dua parti ini sama-sama berada dalam blok pembangkang.
83. Saya tahu ada yang suka dan tidak kurang juga mereka yang kurang selesa dek kerana dihantui oleh sejarah lama. Ada juga yang terhiris apabila masih terhambur kenyataan-kenyataan di kalangan sahabat pimpinan PAS yang menggambarkan seolah-olah kita yang terdesak, “Bak Hidung Tak Mancung Pipi Tersorong-Sorong”. Memang bukan mudah untuk melakar suatu yang besar setelah berpuluh tahun bersengketa dan beramarah. Apatah lagi ujian persaudaraan adalah ujian yang paling sulit untuk dihadapi walaupun tuntutannya amat jelas dalam Syariah.
84. Justeru pendirian PEMUDA adalah jelas, kita harus berjiwa besar demi Islam. Muafakat kita dengan PAS adalah semata-mata memenuhi tuntutan agama demi mencari rahmat dan keberkatan. Masingmasing boleh kekal dengan identiti, orientasi dan pendekatan tanpa perlu meleburkan mana-mana ideaslisme parti. Ini kerana apabila satu-satu permuafakatan disandarkan kepada kuasa dan kebendaan semata-mata, ia terdedah kepada risiko wujudnya rasa tidak puas hati apabila berhadapan dengan realiti sebenar di puncak kuasa ataupun dihidangkan dengan pelbagai bentuk peluang-peluang bersifat kebendaan.
85. PEMUDA UMNO ingin menegaskan bahawa kami mendokong sebarang usaha pucuk pimpinan untuk terus mencari formula terbaik bagi mewujudkan apa jua bentuk kerjasama mahupun gabungan pelbagai parti-parti politik dalam blok pembangkang. Namun PEMUDA ingin ingatkan jangan sesekali mengorbankan maruah parti. Kerjasama dengan sesiapapun jangan sampai mencabut tunjang perjuangan parti.
TERAS KEEMPAT: PENGISLAHAN PEMUDA
Sahabat-sahabat Seperjuangan Sekalian,
86. Semasa pemilihan PEMUDA 3 bulan lepas, saya menawarkan kepada saudara-saudara Agenda Pengislahan atau Pemerkasaan PEMUDA berteraskan konsep 5P: Pengkaderan, Pentarbiyahan, Pembudayaan Ilmu, Pemerkasaan Rohani, dan Pengukuhan Jati Diri.
87. Saya persembahkan 5 Agenda Pengislahan ini kepada sahabat-sahabat PEMUDA, tidak lain dan tidak bukan berpaksikan kepada satu nawaitu untuk PEMUDA UMNO kembali kepada akarnya “Back to Basic”. 88. Kembali kepada akar nurani manusia yang secara fitrah amat bergantung kepada PenciptaNya Yang Maha Berkuasa. Kembali kepada akar yang membentuk fikrah parti yang memandu setiap warga dalam misi perjuangannya. Akar yang menunjangi nilai teras anggota parti untuk terus bersatu, bersetia dan berkhidmat.
89. Sebab itulah, perkara pertama yang saya tekankan untuk terus dilaksana sejurus saya menerima mandat besar ini, ialah siri-siri ‘HALAQAH ILMU PEMUDA’ bagi setiap negeri, bahagian hinggalah ke cawangan.
90. Saya percaya strategi ‘HALAQAH’ ini ada barakah dan rahmatnya. ‘HALAQAH’ sebenarnya hanyalah istilah Arab yang bermaksud ‘Pertemuan dalam kumpulan atau linkungan. Halaqah sebenarnya bukan sesuatu asing dalam budaya UMNO, malah ia boleh menjadikan platform untuk kita turun bertemu dengan akar umbi, berbincang strategi parti, di samping memperkukuhkan ukhuwwah persahabatan dengan cara yang lebih berstruktur, tanpa melibatkan kos besar, dan tanpa perlu ke tempat-tempat mewah cara elitis.
91. Idea ‘HALAQAH’ ini tercetus sebagai satu manifestasi usaha kita untuk mengikut model perjuangan Rasul kita, Muhammad SAW tatkala mula mengatur langkah untuk menggerakkan sahabat-sahabat Baginda untuk bangkit berjuang setelah menerima amanah wahyu Ilahi. Saya percaya ini adalah pendekatan pertama kita dalam usaha PEMUDA memperkukuhkan saf dan mengorak langkah untuk bangkit kembali dalam agenda perjuangan yang begitu mencabar masa kini.
92. Halaqah pertama di rumah Al-Arqam Ibnu Abi Al-Arqam yang hanya menghimpunkan beberapa sahabat sahaja pada peringkat awal, ternyata telah menjadi platform penting menyemai budaya ilmu, menjalinkan ikatan persaudaraan, membentuk jatidiri yang kental sekaligus medan merencana strategi organisasi. Walaupun nampak hanya sekadar inisiatif kecil, namun jangan diremehkan usaha kerdil ini kerana daripada hanya sebuah ‘HALAQAH’lah Islam telah berjaya tersebar ke seantaro dunia hingga ke hari ini.
93. Alhamdulillah, saya melihat perkembangan yang amat positif meneliti laporan program ‘HALAQAH’ yang dibuat secara berterusan di semua peringkat cawangan, bahagian dan negeri, melalui ruang-ruang 21 UCAPAN DASAR ketua pemuda umno whatsapp setiap PEMUDA Negeri dan Bahagian. Di peringat Pusat, saya mengucapkan syabas kepada barisan exco-exco saya, walaupun baru 3 bulan, pelbagai strategi sudah dirangka bagi menterjemahkan Agenda 5P melalui sekretariat-sekretariat yang dibentuk. InsyaAllah, strategi dan gerakkerja yang lebih spesifik, kita akan kongsikan sejurus selepas Perhimpunan besar ini.
94. Sejujurnya, saya ingin nyatakan bahawa saya begitu terharu melihat semangat juang dan pengorbanan saudara-saudara, kerana saya cukup memahami bahawa kita semua bergerak dalam keadaan serba kekurangan dengan pelbagai tekanan. Namun saudara telah membuktikan bahawa PEMUDA sudah bersedia untuk melakukan pembaharuan. Inilah sebenarnya makna pengislahan. Ingatlah wahai sang penguasa, kami pemuda pewaris Agama Bangsa. Makin kami ditekan, makin kami akan bangkit melawan.
TERAS KELIMA: PENJENAMAAN SEMULA PEMUDA
Sahabat-sahabat Sidang Perwakilan Sekalian,
95. Keempat-empat TERAS yang saya bentangkan setakat ini merumuskan bahawa PEMUDA UMNO selaku pewaris bangsa dan pemimpin masa depan perlu dipersiapkan untuk suatu penjenamaan baru.
96. Penjenamaan baru PEMUDA UMNO bukan bererti kita melupakan sejarah kegemilangan PEMUDA UMNO yang lalu. Penjenamaan baru PEMUDA juga bukan bermaksud menafikan sumbangan dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu.
97. Maksud penjenamaan semula PEMUDA adalah untuk kita memulihkan kembali wadah kita yang kini mengalami krisis kepercayaan rakyat. Penjenamaan semula juga menuntut PEMUDA untuk ditampilkan dengan personaliti baru dan naratif baru yang lebih memikat.
98. Analogi mudahnya, UMNO hakikatnya sudah mempunyai produk yang baik, namun kita bermasalah dengan para jurujual atau salesman kita. Justeru pilihan kita samaada untuk beri dia motivasi dan nasihat untuk berubah, atau berikan dia latihan secukupnya agar produk yang dijualnya mampu menawan pelanggan, atau jika masih susah untuk berubah, kita ganti sahaja yang baru.
99. Demikian juga dengan situasi UMNO hari ini, kita sudah tidak boleh lagi memejamkan mata, menulikan telinga hatta membisukan bicara terhadap segala penyimpangan dan penyelewengan. Pokoknya naratif ‘Islam dan Melayu’ yang menjadi produk perjuangan UMNO adalah yang terbaik. Namun jurujualnya hari ini yang terpalit dengan pelbagai isu moral, salahlaku dan rasuah, terjerumus dalam masalah integriti dan tadbir urus, tercalit dengan isu pemborosan dan pembaziran.
100. Justeru PEMUDA perlu tampil untuk melayakkan dirinya menjadi model dan jelmaan sebenar ciri-ciri keunggulan Islam dan Melayu. Jelmaan ‘Islam dan Melayu’ PEMUDA UMNO; memperjuangkan nilai-nilai sejagat seperti prinsip keadilan, kesaksamaan, ketelusan, kepelbagaian, kehormatan insan, sekaligus menolak dengan keras segala bentuk aspek salah laku, rasuah, kebobrokan, penyimpangan dan penyelewengan.
101. Dengan ini sebagai tanda kesungguhan dan keseriusan kami, PEMUDA ingin menawarkan secara sukarela untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia, Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara dan mana-mana pihak yang boleh membantu PEMUDA UMNO untuk menambah baik segala aspek tadbir urus dan isu-isu integriti organisasi.
102. PEMUDA UMNO juga selepas ini perlu tampil berani mengkritik dan menegur sesiapa sahaja hatta pimpinan atasan demi memastikan kita sentiasa berada pada landasan yang betul dan tidak sesekali mengkhianati agenda rakyat.
103. Maka buat pemimpin-pemimpin UMNO di semua peringkat, PEMUDA UMNO pada hari ini ingin berpesan, sesiapa sahaja yang merasakan dirinya terpalit dengan apa jua bentuk penyimpangan, undurlah secara terhormat, jangan sesekali menjadikan parti sebagai perisai kepada segala kedurjanaan diri, janganlah mengheret parti bersama-sama dengan kecurangan peribadi.
PENUTUP
Saudara-saudara Seperjuangan Sekalian,
104. Apa yang telah saya bentangkan selama hampir satu jam ini adalah suatu agenda besar untuk kita menuju ke arah PRU Ke-15 nanti. 5 TERAS yang saya gariskan merupakan tunjang penting yang akan menentukan samaada PEMUDA UMNO mampu bangkit kembali.
105. Kebangkitan kita akan menentukan jatuh bangunnya Bangsa, Kebangkitan kita akan menentukan kelangsungan martabat Agama, Kebangkitan kita akan menentukan masa depan negara. Sebenarnya misi ini jauh lebih besar maknanya berbanding hanya percaturan menang kalah pilihanraya.
106. Namun percayalah, hanya yang jujur dan benar-benar ikhlas yang memusatkan sepenuhnya keyakinanan dan tawakkal pada Allah yang akan merasai keajaibannya. Minda kerdil kita takkan mampu menggapai segala keajaiban yang Allah tetapkan. Apa yang penting kita mengakui kekhilafan, menginsafi keterlanjuran, memperbaharui tekad dan membina keazaman untuk PEMUDA BANGKIT KEMBALI.
107. Buat seluruh rakyat Malaysia, kami mengakui bahawa kami tidak sempurna, sepanjang 60 tahun UMNO menerajui tampuk pemerintahan, sudah tentu wujud kekhilafan dan keterlanjuran yang telah kami lakukan. Dengan rasa rendah hati mewakili PERGERAKAN PEMUDA UMNO, kami ingin memohon maaf.
108. Buat penyokong-penyokong dan pengundi-pengundi UMNO di segenap peringkat akar umbi, walaupun kami terbelenggu dan terpalit dengan pelbagai bentuk kekhilafan dan keterlanjuran, kalian masih setia menerima kami. Daripada lubuk hati yang tulus murni, PEMUDA UMNO mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih.
109. Buat pemimpin-pemimpin dan penggerak-penggerak UMNO, ayuh sama-sama kita perkukuhkan parti, teruslah setia dengan perjuangan ini, dokongilah agenda kebangkitan kami. 110. Akhirnya buat adinda-adindaku seluruh wira-wira PEMUDA:
Ayuh…Bangunlah! Bangkitlah!
Darah Kalian… Darah Pejuang
Usah Gundah ..Usah Goyang
Kerna Besok…Belum Kiamat
Biarpun Hati Dan Diri Kita Sudah Dilapah
Jangan Sampai Darahnya Tumpah Melimpah
Biarpun Dinding Layarnya Sudah Di Carik
Jangan Sampai Ianya Rabak Dan Robek
Balutilah Lukamu… Jahitilah Yang Robek
Kita Berjanji Dan Bersumpah Setia
Sedia Mengusir Segala Durjana
Sedia Menyingkir Dosa Dan Noda
Ayuh…Kita Buka Langkah
Seluruh Tenaga Kita Kerah
Jangan Gelabah Usah Telagah
Jangan Cepat Berasa Pasrah
Semarak Semangat Menjulang Maruah
Demi Agama… Demi Negara….Demi Ummah
Ayuh…Kita Genggam Tangan Kanan Bersama
Kita Julang Ke Atas Dan Sematkan Di Dada
Launglah….!
Dengan Suara Yang Tegas
Dengan Semangat Yang Keras
Pemuda Bangkit Kembali! (3 X)
HIDUP ISLAM…. HIDUP MELAYU….
HIDUP RAKYAT… HIDUP UMNO…
ALLLAHU AKBAR!!!!
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim menyampaikan ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2018 di Dewan Tun Dr Ismail Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini. - UTUSAN ONLINE
Pergerakan Pemuda UMNO perlu memikirkan kaedah luar jangka dalam memperjuangkan nasib rakyat bagi memberi kejutan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, hal demikian ini kerana kerajaan PH menyedari kemampuan UMNO yang luar biasa.
Malah, katanya, Pemuda UMNO perlu pendekatan yang segar dan bukan biasa. “Untuk menang, jangan ikut belakang orang. Setahun dari sekarang, saya hendak tengok ikon-ikon Pemuda UMNO yang disegani. “Elakkan kerja yang biasa-biasa sahaja. Musuh-musuh datang daripada kita sendiri. Dari kita (UMNO), lahir Pas, PKR, Parti PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Mereka tahu tentang UMNO. Mereka tahu UMNO luar biasa dan luar jangka. Buat perkara yang tidak dijangka di sebelah sana,” katanya dalam ucapan penangguhan wakil Majlis Tertinggi semasa Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tawau yang menyertai Perhimpunan Agung Puteri UMNO di PWTC Kuala Lumpur.
Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarikh Khan di Perhimpunan Agung Puteri UMNO 2018
PAU 2018: PUTERI BANGKIT –
Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO
Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
1. Pertama sekali, Kak Ida ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan selamat datang dan jutaan terima kasih kepada semua para perwakilan PUTERI yang hadir pada hari yang bersejarah ini.
2. Di kesempatan ini juga, Kak Ida ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Naib Ketua PUTERI, barisan Exco dan semua kepimpinan di Bahagian yang baru sahaja menang pada pemilihan yang lepas.
3. Pertemuan kita pada hari ini merupakan satu pertemuan yang amat berbeza dari tahun-tahun yang sebelumnya. Kerana inilah pertama kali, kita berkumpul bukan lagi sebagai parti yang berkuasa, tetapi sebagai pembangkang, yang tidak lagi memegang tampuk pemerintahan negara ini.
Para Perwakilan yang saya hormati,
4. Sejak Merdeka, inilah kali pertama kita hilang kuasa. Memang pahit untuk ditelan. Namun inilah realiti yang harus kita hadapi.
5. Secara peribadi, pertemuan ini juga sangat bersejarah bagi Kak Ida, kerana inilah pertama kali Kak Ida diamanahkan dengan tanggungjawab sebagai Ketua Pergerakan PUTERI UMNO Malaysia.
6. Bagi Kak Ida, ini adalah cabaran baru dalam kehidupan Kak Ida untuk memimpin sebuah pergerakan yang sebegini penting. Lebih-lebih lagi ia berlaku di saat yang getir ini.
7. Pengalaman ini tak pernah dirasai oleh sesiapa pun sebelum ini, dan Kak Ida tidak dapat belajar dari mana-mana Ketua PUTERI terdahulu.
8. Pengalaman baru ini adalah pengalaman kita bersama. Termasuk yang terpaksa memikul tanggungjawab perjuangan ini di semua peringkat, Bahagian dan Cawangan. Pahit manis, mari kita harungi bersama. Mari kita bina kekuatan baru, kerana apa pun yang kita usahakan, apa pun yang kita harungi, akan menjadi kenangan manis untuk kita tinggalkan buat generasi akan datang.
9. Kekalahan Barisan Nasional dan UMNO pada pilihanraya ke-14 baru-baru ini membuka lembaran baru dalam sejarah perjuangan UMNO. Ia merupakan satu pengalaman yang mengajar kita nilai kerendahan diri, nilai keinsafan dan menuntut kita bermuhasabah, di manakah silap kita sebelum ini.
10. Ia juga mendidik diri kita untuk mengakui bahawa kuasa yang ada, tidak kekal selama-lamanya.
11. Seperti juga kehidupan kita, kuasa adalah sementara. Ia adalah pinjaman yang diberikan Allah swt. Baik apa yang diberikanNya kepada kita, atau, yang diberikan kepada orang lain. Ia boleh ditarik pada bila-bila masa sekiranya Allah mengkehendakinya. Termasuk mereka yang memerintah hari ini.
12. Kalau hari ini kita hilang kuasa, Kak Ida percaya, tidak mustahil, dengan izin Allah swt juga, satu masa nanti, kuasa yang hilang itu akan dapat diperolehi kembali.
13. Paling penting, kita mesti jujur dalam meneruskan perjalanan ini. Ikhlas dalam perjuangan kita. Agar, sekiranya ditakdirkan, kita diberikan lagi kuasa itu, bukanlah masa untuk kita mendabik dada, sombong dan berbuat sesuatu yang menimbulkan kemarahan rakyat di masa depan.
Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,
14. Mari kita tanamkan dalam diri, untuk tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini. Sepertimana yang telah digariskan oleh Timbalan Presiden dalam ucapannya semalam dalam menghadapi cabaran semasa.
15. Pengalaman ini juga merupakan satu petunjuk untuk membezakan di kalangan kita, antara ‘PEJUANG SEJATI’ DAN ‘PEJUANG JADIAN’. ‘Pejuang sejati’ ialah yang kekal dalam apa jua keadaan. ‘Pejuang jadian’ hanya muncul di kala senang dan menang, tetapi, lari ketika susah dan kalah.
16.Kita saksikan juga golongan PELOMBONG POLITIK. Iaitu orang yang hanya berpolitik sekiranya dapat meraih faedah peribadi seberapa banyak yang boleh. Bahkan ketika ini, kita juga dapat melihat mereka yang mendapat kedudukan dari UMNO, tetapi menjual kedudukan itu kepada musuh. Maaf kata, mereka tidak lebih daripada pelacur politik yang tidak bermaruah.
17. Saya yakin, semua yang hadir hari ini, adalah orang UMNO yang komited. Saya percaya, yang ada di dalam dewan ini adalah antara pejuang hakiki dan anak-anak muda yang masih yakin dan menyokong
perjuangan parti keramat ini. Terima kasih sekali lagi Kak Ida dan rakanrakan Exco ucapkan.
18. Kata pepatah: kalah menang adat pertandingan. Adakalanya kita menang. Ada ketikanya kita kalah. Ini lumrah dalam perjuangan dan roda kehidupan, yang kita perlu terima untuk menjadi pejuang sejati.
19. Saya menyeru rakan-rakan seperjuangan semua, untuk mengambil kekalahan lalu sebagai satu pengalaman yang mematangkan, seperti kisah anak burung yang dipaparkan tadi.
20. Anak burung yang kecil pun, mesti melalui pengalaman jatuh dari gunung yang tinggi, terlanggar batu, terguling di bumi, sebelum bangkit kembali, membesar sebagai makhluk yang gagah perkasa, yang boleh terbang lebih tinggi dari gunung tadi.
21.In shaa Allah, UMNO yang jatuh juga, boleh bangkit kembali untuk lebih perkasa, gagah, berani dan dapat memberi yang lebih baik dari apa yang pernah diberikan kepada rakyat sebelum ini.
22. UMNO adalah parti yang besar jasanya. UMNO adalah parti yang memerdekakan negara. UMNO telah membangunkan negara dan UMNO juga lah yang memberikan kemakmuran kepada negara yang berbilang kaum ini.
23. Paling penting, kerana UMNO juga lah AGAMA ISLAM dan BANGSA MELAYU dihargai dan tidak menjadi umat yang merempat di bumi sendiri. Ketakutan orang sebelum kita, apabila melihat nasib Red Indian di Amerika, atau bangsa kulit hitam di Afrika Selatan, atau mana-mana pribumi lain yang terpinggir dibumi sendiri, tidak berlaku di tanah air kita kerana UMNO lah yang sentiasa mempertahankan apa yang sepatutnya menjadi hak kita dan di masa yang sama kita tidak menafikan hak orang lain.
Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,
24. Kita boleh lihat dengan jelas. Melalui UMNO lanskap negara ini berubah. Ketika ditinggalkan penjajah, Melayu dilihat hanya sebagai bangsa desa, bangsa pesawah dan nelayan. Bangsa miskin yang terpinggir, bangsa yang rendah pendidikannya dan bangsa yang serba kekurangan.
25.Namun, berkat kerja keras pemimpin UMNO, yang dibantu oleh pemimpin bangsa lain, kita boleh saksikan bagaimana negara kita boleh berubah menjadi maju dan sejahtera bagi seluruh rakyat di negara ini. Nikmat ini tidak mungkin kita kecapi, tanpa komitmen yang diusahakan oleh UMNO dan Barisan Nasional.
26. Saya masih ingat lagi, mengapa orang-orang China di Indonesia lari ke Malaysia mencari tempat perlindungan. Ianya berpunca dari krisis kewangan yang melanda Indonesia di akhir tahun 90an.
27. Ketika itu kaum pribuminya yang menderita, jatuh miskin akibat krisis itu menghalakan kemarahannya kepada kaum lain yang dilihat menguasai lebih 80 peratus ekonomi negara itu. Ia tidak berlaku di Malaysia, kerana melalui UMNO, melalui dasar dan programnya, kecemburuan kaum kerana faktor ekonomi dan status sosial telah dapat dikurangkan. Ertinya melalui UMNO, kalau kaum lain ada jurutera, doktor, arkitek dan pelbagai profesion yang hebat, kaum pribumi di sini juga ada memilikinya.
28. Melalui UMNO, kita tidak berkira-kira berapa kos yang terpaksa ditanggung untuk membuka kawasan-kawasan felda, membina jeti nelayan, membangun sekolah dan klinik di kawasan yang terceruk atau memberikan pelbagai kemudahan dan subsidi untuk pesawah dan petani.
29. Melalui UMNO juga, kita tidak pernah membenarkan orang pertikaikan berapa banyak masjid yang perlu di bina, madrasah dan tahfiz yang perlu dibantu dan pengembangan syiar Islam menjadi agenda utama negara ini.
Para pemerhati, barisan kepimpinan PUTERI dan perwakilan sekalian,
30. Semua ini bukan berlaku secara kebetulan, dan dalam tempoh sehari dua. Ia memerlukan usaha dan strategi. Ia mengambil masa berpuluh tahun. Ia boleh dilakukan kerana UMNO terus berkuasa ketika itu. Oleh itu bagi rakyat terutama orang Melayu, janganlah angkuh, mendabik dada mengatakan UMNO langsung tidak ada jasa untuk negara dan untuk orang Melayu.
31. Kita bukan ingin bernostalgia semata-mata. Namun, amat perlu bagi kita mengingati sejarah perjuangan bangsa kita. Kerana dengan mengingati sejarahlah, kita akan tahu asal usul kita, membangkitkan jati diri kita dan menjadi sumber kekuatan bangsa kita.
32. UMNO masih relevan, kerana apa yang telah kita bina belum tentu akan diteruskan oleh orang lain. Apakah kita boleh harapkan DAP memperkukuhkan kedudukan Islam dan Melayu? Sudah tentu tidak, kerana ia bukan agenda parti mereka.
33. Kita tidak boleh mengharapkan PKR, kerana PKR bukan parti orang Melayu. Ia parti pelbagai kaum dan tidak mampu untuk meletakkan Islam dan Melayu sebagai fokus perjuangan mereka.
34.Bahkan, parti berlambang Bunga pun hanyalah parti kecil yang terpaksa bergantung kepada parti-parti lain untuk berkuasa. Hidup mereka hanya bergantung kepada individu tertentu dan paling utama kepada DAP yang menjadi abang besar dalam pakatan mereka.
35. Apakah hanya dengan mengambil beberapa orang bekas pemimpin UMNO maka mereka boleh menggantikan UMNO untuk mengisi asas perjuangan UMNO? Ia tidak mungkin boleh berlaku dengan mudah.
36. UMNO bukan sekadar parti politik orang Melayu. Ia adalah institusi orang Melayu, bermula tanpa kuasa. Di kukuhkan dengan kuasa, dan tak boleh dilenyapkan hanya kerana hari ini kita tidak berkuasa lagi.
37. Institusi orang Melayu dibangunkan melalui tradisi, organisasi, cara berfikir yang menyeluruh dan paling penting penglibatan akar umbi yang menjalar ke setiap saluran nadi orang Melayu di negara ini. Ia mengambil masa berpuluh tahun. Ia melalui jatuh bangun tersendiri. Itulah UMNO dan tak mungkin boleh digantikan dengan hanya sebuah parti baru, walaupun diterajui oleh beberapa bekasan orang UMNO.
Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,
38. Kita akui kita kalah, mereka menang. Kita akui kita kalah kerana ada kelemahan kita. Kelemahan kita kerana tak mampu mengatasi penipuan dan persepsi jahat yang digunakan sebagai peluru untuk menyerang kita sebelum ini.
39. Penipuan persepsi ini telah melenyapkan apa jua kebaikan yang kita berikan selama ini. Penipuan persepsi ini telah melenyapkan semua usaha kita mendekati rakyat, menjaga kebajikan rakyat, mengambil berat kesusahan rakyat dan menguruskan pelbagai bencana yang menimpa rakyat. Penipuan persepsi ini juga menjadikan rakyat melihat mereka umpama dewa baru yang boleh memberikan segala-galanya.
40. Penipuan persepsi yang jahat ini bukan sekadar mengaburi mata orang kampung, malah berjaya memperdaya masyarakat bandar dan mereka yang berpendidikan tinggi. Ia umpama virus yang merebak dan merosakkan pemikiran rakyat seluruh negara.
41. Namun, setelah lebih 100 hari, ramai yang baru terjaga dari mimpi indah tadi.
42. Saya nak tanya pada orang Utara atau pun orang Selatan, masa datang ke sini, apakah benar tol sudah dihapuskan?
43. Adik-adik Mahasiswa kita, kena bayar hutang PTPTN lagi tak?
44. Kepada anak-anak Felda, apakah hutang Felda ibubapa kita sudah dihapuskan?
45.Pekerja swasta, apakah mereka berpuas hati dengan kenaikan gaji minimum yang dijanjikan sebanyak RM1500 sebulan kepada hanya RM1050 sebulan?
46. Anak-anak muda yang dijanjikan satu juta peluang pekerjaan, ada ke?
47. Buat seluruh rakyat Malaysia, tanpa GST, harga barang dah turun ke belum? Rupanya digantikan pula dengan SST „Slow Slow Tipu‟.
48. Hari ini empat bulan sudah berlalu. Alasan demi alasan yang diberikan. Janji tinggal janji. Bila ditanya, mereka kata, bagilah masa. ‘Takkan hari ni kahwin esok dah beranak kot‟.
49. Betul! Baru kawin. Masih honeymoon. Tengah berseronok dengan barang baru. (Malaysia Baru konon).
50. Masalahnya, dah lebih seratus hari. Dah lebih empat bulan. Sepatutnya kalau akan dapat anak, tanda-tanda mengandung itu sudah ada.
51. Yang kita nampak, seperti tak ada langsung. Dah buat ujian air kencing ke? Kalau sudah buat, ceritalah sikit. Kalau tidak, orang kata kerajaan ini hanya asyik kencing sahaja.
52. Bagi orang Melayu, janji itu hutang. Kalau tak boleh tunaikan, jangan mudah berjanji. Kalau nak berjanji, fikir masak-masak apakah ia mampu ditunaikan. Bagi orang Melayu, soal maruah seseorang itu terletak kepada sejauh manakah ia berpegang kepada janjinya. Orang yang mungkir janji, ibarat menyimbah air kencing kepada orang yang dijanjikan.
Walaupun begitu ada juga pemimpin kerajaan yang kata‟ manifesto bukan kitab suci!.
Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,
53. Hari ini, kita melihat PENIPUAN PERSEPSI tadi semakin terungkai satu persatu, apabila rakyat semakin terasa, selama ini mereka yang dikencing.
54. Ada juga sebahagian dari rakyat yang mempertahankan keputusan dahulu kerana merasakan masa berbulan madu belum selesai. Masa honeymoon, semuanya indah. Kalau kita beritahu belakang ada kurap. Dia kata itu panau je. Kalau ada kudis dibelakang telinga, dia kata itu jerawat je. Bahkan ada yang mengatakan mereka memilih kerajaan baru bukan kerana janji, tetapi hanya untuk melihat kita dijatuhkan. ‘Takpe bayar SST pun, janji BN tumbang’.
55.Biar masa menentukan untuk rakyat melihat mana kudis, mana kurap. Tunggulah, rakyat pasti melihat realiti sebenar keupayaan kerajaan baru yang sebenarnya apabila topeng yang dipakai ditanggal satu persatu.
56. Bagi kita, kegagalan melaksanakan manifesto dan janji-janji pilihanraya adalah satu dari apa yang kita pertikaikan. Paling menakutkan, sekiranya tampuk kekuasaan yang mereka perolehi akan digunakan untuk merombak asas yang menjadi tonggak penubuhan negara yang bernama Malaysia ini.
57. Ini termasuk persetujuan asal yang menjadi asas kontrak sosial negara kita.
58. Bila kita bercakap soal bahasa Melayu, agenda Melayu, soal kedudukan agama Islam, soal institusi kesultanan untuk melindungi agama dan kedudukan orang Melayu, kita bukan bercakap dari perspektif seorang rasis atau agamawan. Bahkan kita menolak fahaman rasisme yang menganggap satu kaum lebih superior dari kaum lain sehingga boleh menganiaya kaum yang lain pula. Kita tidak akan membenarkan sebarang penganiayaan dalam apa bentuk sekalipun.
59. Kita bercakap tentang apa yang telah dipersetujui dalam perjanjian yang dimeterai oleh pengasas negara sebelum kita. Iaitu apa yang menjadi hak orang melayu dan apa yang menjadi hak kaum-kaum lain yang diberi kerakyatan untuk tinggal di negara bertuah ini.
60. Hari ini, tanda-tanda ada usaha mencabar persetujuan asas begitu ketara. Hanya beberapa hari saja selepas kemenangan mereka, bukan soal rakyat yang diutamakan, tetapi, bahasa Mandarin mula digunakan dalam edaran rasmi kerajaan. Ia adalah ujian, untuk melihat reaksi kita. Sudah ada desakan memberikan hak pemilikan tanah kepada kampungkampung baru yang dikaitkan dengan kaum-kaum tertentu. Yang terbaru, Tuanku Sultan Johor murka apabila ada ahli Majlis Bandaraya Iskandar Puteri menggunakan bahasa cina dalam urusan surat rasmi mereka.
61. Ada pula yang menganggap kerajaan baru, kerajaan yang boleh membenarkan segala-galanya. Mengedarkan nyanyian lagu berunsur penyebaran agama lain untuk anak-anak orang Islam. Ini juga ujian untuk melihat reaksi kita.
62. Bahkan terdapat gerakan baru di bawah kerajaan PH, sesuatu yang bukan menjadi norma masyarakat kita seperti pendewaan golongan LGBT dan sebagainya. Fenomena ini amat merisaukan kita.
63. Pencabulan ‘rule of law’ semakin berleluasa. Pendakwaan terpilih berlaku hampir setiap hari. “orang kita kena dakwa, orang dia terlepas walau ada bukti dan cukup saksi”. Mana ‘rule of law’ yang dilaung-laungkan selama ini? Yang kita dengar ‘rule of jungle‟,adalah ataupun Rule of no
Law”.
64. Ketika ini semua kena bersedia, lebih banyak pendakwaan terpilih akan berlaku, untuk melemahkan semangat kita. ISA dihapuskan oleh kerajaan kita dahulu. Kini pelbagai undang-undang lain digunakan untuk menakutnakutkan kita terutama pemimpin kita.
65. Saya percaya tak lama, akan berlaku trend orng memakai fesyen baru. Baju oren. Jenama lokap dan memakai gelang seperti gari. Tanda protes bagaimana undang-undang digunakan hanya untuk musuh politik, tetapi akan membebaskan sesiapa yg tunduk kepada kemahuan mereka. Kita tak
mahu rule of the jungle mengatasi rule of law di negara tercinta ini”
66. Pastinya, kita akan diasak bertalu-talu dalam mempertahankan apa yang sudah dipersetujui bersama. Siapa lagi yang boleh diharap mempertahankan apa yang dipersetujui dahulu melainkan UMNO, kita lah pendokong UMNO yang sepatutnya menjadi benteng kepada orang Melayu. Kalau bukan kita, siapa lagi?
Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,
67. Memperkukuhkan benteng orang Melayu ini adalah asas hala tuju kita. Bagi Pergerakan PUTERI UMNO sebagai sayap paling bongsu dalam parti, tanggungjawab kita untuk melakukan anjakan paradigma bagi merelevankan pergerakan kita kepada generasi muda khususnya Mahasiswi dan wanita muda.
68. Mind setting kita MESTILAH SEBAGAI PEMBANGKANG, BUKAN LAGI KERAJAAN. Gerak kerja berorientasikan KHIDMAT BUKAN LAGI KEUTAMAAN, tetapi berorientasikan PEMBINAAN MINDA AHLI dan PENGURUSAN PERSEPSI rakyat terhadap kita dan kerajaan yang memerintah.
69. PUTERI akan menjadi suara dan deria untuk memperjuangkan segala masalah wanita muda, penderitaan rakyat dan menegur kerajaan hari ini secara membina dan konstruktif.
70. Anjakan paradigma ini, mampu menghilangkan blind spots yang menjadi antara faktor kekalahan kita pada PRU14.
71. Walaupun kita diasak dari pelbagai sudut, tekad PUTERI, apapun halangan, onak duri dan tawaran, jiwa raga kita tetap bersama UMNO.
Di sana Merak disini Merak,
Merak mana jadi pilihan Puteri,
Disana hendak disinipun hendak,
UMNO tetap pilihan hati.
72. Ayuh PUTERI, kita bangkit bersama. Kita mulakan dengan pemerkasaan dalaman parti terlebih dahulu.
73. Pergerakan PUTERI menggariskan Lima ‘S’ sebagai pra syarat dan teras pemerkasaan dalaman PUTERI Bangkit iaitu:
Pertama : Solidariti
Kedua : Sinergi
Ketiga : Survival
Keempat : Sukarela
Kelima : Strategi.
SOLIDARITI . SINERGI . SURVIVAL . SUKARELA . STRATEGI
74. Teras yang pertama : SOLIDARITI : untuk memperkasakan solidariti di kalangan kita, Pergerakan PUTERI menyokong penuh kepimpinan YB
Dato’ Seri Presiden dan institusi kePresidenan tanpa was-was dan ragu.
75. Institusi kePresidenan adalah tonggak yang perlu dipertahankan dan diperkukuhkan, lemahnya institusi ini akan lemahlah UMNO.
76. Kita yakin dan optimis dengan dedikasi YB Dato’ Seri Presiden, kita mampu merapatkan dan memperkukuhkan saf kepimpinan dan membina kesepaduan.
77. Pergerakan PUTERI, SEDERAP, SEIRING DAN SENADA DENGAN ROH PERJUANGAN yang dilaungkan YB Dato’ Seri Presiden, UMNO BANGKIT- KITA BANGKIT.
78. Teras yang kedua : SINERGI : Sinergi menuntut KITA SALING BEKERJASAMA DAN SALING MEMBANTU, UNTUK MENGHASILKAN IMPAK YANG MAKSIMUM terhadap usaha kerja kita. Dengan itu, wahai KekandaKU Pemuda, BondaKU Wanita, AyahandaKU Presiden dan kepimpinan tertinggi, kami perlukan sokongan, dokongan & bimbingan ANDA semua untuk membina KESALINGAN merangka, menyusun dan memperkukuhkan parti.
79. Teras yang ketiga : SURVIVAL : kita juga perlu menyemai dalam jiwa kita semangat untuk terus hidup dan berjuang, walaupun diasak dengan pelbagai cabaran dan tohmahan. Di saat sukar ini, Jiwa yang kental, jiwa survival akan menentukan kelangsungan perjuangan kita.
80. Biarlah apa orang luar nak kata. Pergerakan PUTERI akan tetap survived dan meneruskan perancangan dan program sedaya mungkin.
81. Kekentalan mengharungi keperitan ini, In shaa Allah akan mematangkan perjuangan politik kita.
82. Teras yang keempat: SUKARELA: Adalah amat perlu bagi kita menanam dalam jiwa kita semangat sukarela dalam usaha untuk memartabatkan parti kita. Sesungguhnya, kita datang ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini secara sukarela, bukan paksa rela.
83. Sampai masanya kita bergandingan secara SUKARELA sepenuh JIWA turun membantu bagi menjayakan apa sahaja program Pergerakan PUTERI tak kira di Cawangan, Bahagian, Negeri dan Nasional.
84. Teras yang kelima: STRATEGI : Dalam menghadapi percaturan politik baru hari ini, kita menyakini STRATEGI adalah elemen terpenting.
85. Kali ini, setiap pencaturan PUTERI UMNO bukan main terpa semberono, gerak kerja mestilah BERSTRATEGIK, dengan mengambil kira keperluan kumpulan sasar, perancangan jangka masa pendek dan panjang, implikasi setiap pilihan dan keputusan yang kita ambil.
86. Lima ‘S’ iaitu Solidariti, Sinergi, Survival, Sukarela, Strategi akan menjadi Anjakan Paradigma kepada PUTERI Bangkit yang akan menjayakan hala tuju Pergerakan PUTERI.
Pulau Pangkor nun di Utara,
Belikan saya nyiur dan lepat,
Kalau sayang pada negara,
Ayuh bersama kak Ida KITA bangkit.
Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,
87. Sebagaimana yang Kak Ida tekankan tadi, Lima ‘S’ akan menjadi teras pemerkasaan dalaman PUTERI, manakala Hala Tuju difokuskan kepada
Tiga ‘P’ iaitu:
Pertama : PENGKADERAN
Kedua : PENGUASAAN MEDIA SOSIAL
Ketiga : PENYEMAIAN AKTIVISME SOSIAL
88. Pembangkang yang kuat dan digeruni bergantung kepada bagaimana kehebatan kita melakukan provokasi, eksploitasi politik dan menjadi juara dalam mengangkat isu-isu penderitaan rakyat, serta mengkritik apa sahaja dasar kerajaan dan pemerintah yang merugikan rakyat dan negara.
89. Pergerakan PUTERI mendokong 100% hasrat dan impian YB Dato Seri Presiden untuk melatih dan MENGKADERKAN seramai mungkin kader-kader parti yang berkaliber dan digeruni.
90. Pergerakan PUTERI merancang menubuhkan SEKOLAH PATRIOTISME WANITA MUDA bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai sistem politik negara, demokrasi dan peranan mereka dalam menentukan hala tuju masa hadapan negara. Modus operandi, silibus dan modul akan digubal oleh kumpulan Akademik, Strategis dan trainers yang telah dikenal pasti.
91. Populariti MEDIA SOSIAL ini tidak dapat disangkal lagi oleh mana-mana pihak. Hebahan berita-berita sensasi menjadikan media sosial sebagai satu medium perantaraan yang sangat digemari dan berpengaruh.
92. Perang saraf sosial media dijangka akan berterusan dan teknologi-teknologi baharu yang muncul akan menentukan hala tuju dunia politik negara pada masa hadapan. Bagi menghadapi rempuhan media social, Pergerakan PUTERI merancang beberapa program dan aktiviti yang akan diumumkan dari masa ke semasa bagi meningkatkan Penguasaan Media Sosial kalangan ahli.
93. Sektor SUKARELAWAN kini sudahpun menjadi bahagian penting dalam aspek-aspek sosio, ekonomi dan politik kebanyakan negara maju.
94. Justeru itu, PUTERI akan lebih banyak menggunakan kaedah ‘engagement’ terhadap kumpulan sasar yang terpinggir dalam masyarakat atau oleh parti-parti politik.
95. Pergerakan Puteri akan menjadikan Penyemaian Aktivisme Sosial atau kesukarelawan sebagai Penjenamaan Pergerakan PUTERI UMNO. Kita akan memperteguhkan rangkaian dengan membina jaringan kerjasama strategik dengan NGO, Mahasiswa, Persatuan, Kelab dan badan sosial lain dalam melaksanakan program kesukarelawan tanpa melibatkan kewangan yang besar. Kita akan lebih banyak mendengar keluhan rakyat, daripada memberi ceramah kepada mereka. Kerana selama ini kita lebih banyak bercakap daripada mendengar. Ayuh bersama-sama kita menyantuni kepelbagaian dalam bingkai kemuafakatan demi #puteribangkit.
Takkan Melayu hilang di bumi
Semangat juang amatlah tinggi
Lima ‘S’ memperkasakan dalaman parti
Tiga ‘P’ menjadi hala tuju PUTERI
Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,
96. Untuk bergerak maju menghadapi senario politik hari ini, ingin saya TEGASKAN bahawa:
a) Pergerakan PUTERI akan memberikan kesetian, tetapi bukan secara membuta tuli. Era ‘Yes Sir‟ sudah berakhir. PUTERI mesti sama taraf dengan sayap lain bahkan akan lebih keras dan tegas di masa akan datang.
b) Pergerakan PUTERI akan mematuhi dan menyokong keputusan majoriti kepimpinan tertinggi, tetapi dengar-dengar jugalah pandangan kami.
c) Pergerakan PUTERI tidak akan teragak-agak untuk menegur dan mengingatkan kepimpinan tertinggi jika mereka tersasar daripada landasan perjuangan, waimma Presiden parti sekali pun.
d) Pergerakan PUTERI tidak lagi akan menjadi satu kumpulan yang eksklusif. Jangan jadi DIVA. Kita akan jadi sebahagian dari orang muda dan masyarakat.
e) Pergerakan PUTERI akan lebih terbuka menerima kepelbagaian latar belakang wanita muda yang ingin bersama.
97. Pergerakan Puteri ingin mencadangkan 2 perkara untuk diambil
PERHATIAN SERIUS oleh YB Dato’ Seri Presiden :
Pertama: Budaya ‘WAR LORD’ perlu ditangani segera kerana ianya mampu meruntuhkan kesepaduan parti.
Kedua: PEREMAJAAN PARTI perlu dipandang serius, berikan takrifan
Sebenar apakah yang dimaksudkan dengan peremajaan parti. Adakah Peremajaan bermaksud ramainya pemimpin muda yang mengetuai parti? Atau penggunaan teknologi terkini dalam urusan parti bermaksud peremajaan parti?
98. Pergerakan Puteri MENDESAK YB Dato’ Seri Presiden:
Pertama: Memberikan kuasa AUTONOMI KEPADA UMNO
SABAH, sesuai dengan perubahan lanskap politik hari ini.
Kedua: Mengambil TINDAKAN TEGAS DAN DRASTIK kepada mana-mana wakil rakyat UMNO yang melompat keluar parti, sama ada menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai parti lain.Termasuk memikirkan tindakan undang-undang.
99. Saya menyeru kepada rakan-rakan dan adik-adik semua. Teguhkan pendirian. Inilah satu-satunya parti yang ada untuk kita berpijak, supaya langit yang dijunjung akan terus melindungi bangsa dan agama kita.
100. Mari kita bersatu hati memberi keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk mencari jalan terbaik demi kelangsungan ummah di negara yang bertuah ini.
Sahabat seperjuangan yang Kak Ida kasihi sekalian,
101. Agenda perpaduan Melayu-Islam harus dilihat secara jujur dan harus diberi keutamaan. Sebagai kaum majoriti kita tak mudah dikalahkan, sekiranya kita bersatu. Melayu-Islam yang berpecah akan mudah diratah oleh sesiapa pun. Walau bagaimanapun kesejahteraan semua kaum tetap menjadi keprihatinan kita.
102. Tidak keterlaluan, untuk saya menyebut di sini, mereka yang menjadi peneraju kerajaan hari ini. Sebahagian besarnya adalah dari UMNO, yang membesar melalui sekolah UMNO dan membangun pengaruh dan kuasa mereka melalui UMNO. Kita akui mereka ada jasa pada UMNO, tetapi mereka mesti mengakui UMNO juga ada jasa kepada mereka.
103. Benar dalam pertarungan baru-baru ini, mereka telah mengalahkan kita. Tetapi, sekiranya ada secebis rasa ingin membunuh UMNO untuk terus luput di bumi bertuah ini, kami sebagai anak merayu agar mereka fikirlah semasak-masaknya.
104. Parti ini bukan sahaja besar jasanya untuk negara, untuk orang Melayu, untuk Islam, tetapi parti ini juga banyak berjasa kepada mereka yang berada ditampuk kekuasaan hari ini.
105. Ingatlah, sebenci mana pun mereka kepada beberapa individu UMNO, kenang-kenanglah, ingat-ingatlah dan insaf-insaflah bahawa dalam diri mereka, keluarga mereka, anak-anak mereka, bahkan rakan-rakan mereka yang diberi kesenangan mengalir darah yang dibangunkan hasil perjuangan orang-orang UMNO yang terdahulu.
106. Ini, termasuk keringat dan susah payah Pak Cik, Mak Cik orang UMNO yang dengan setulus ikhlas berada diceruk rantau negara yang telah memberi sokongan tak berbelah bagi kepada mereka ketika mereka berkuasa dahulu. Ingatlah, ketika mereka pernah diasak, dimaki dan dihamun oleh pembangkang yang menjadi sahabat mereka hari ini. Pakcik dan makcik inilah yang mengeluarkan keringat, airmata dan darah untuk mempertahankan mereka ditampuk kekuasaan dahulu.
107. Sebagai anak muda, kami mahukan kedamaian dalam sebuah keluarga besar orang Melayu.
108. Sejarah kita adalah dari satu rumah yang sama. Mungkin kini kita berada di rumah yang berbeza. Seindah mana pun rumah baru yang dibina, ingatlah rumah lama yang membesarkan kita bersama. Jangan sesekali, cuba di bakar rumah ini. Kerana rumah ini penuh dengan kenangan susah payah, pahit manis kita bersama.
109. Bagi kita yang berada di rumah ini, peliharalah rumah peninggalan nenek moyang kita dengan penuh keikhlasan. Sekiranya ada atap yang bocor mari kita gantikan dengan yang baru. Sekiranya ada tiang yang rosak mari kita baiki agar ia kembali kukuh. Mari kita hiasi taman di halaman rumah kita dengan bunga-bungaan indah kerana inilah rumah kita.
Para perwakilan yang disayangi,
110. Walau apapun berbagai dugaan yang melanda kita, jangan sekali-kali kita patah semangat. Jangan sekali-kali kita tinggalkan perjuangan. Kita harus bangkit dengan lebih bersemangat dan buktikan yang kita tetap setia dan akan terus istiqomah.
111. Kak Ida yakin dan percaya dengan anda semua di depan ini adalah pejuang sejati yang rela berkorban masa dan harta demi perjuangan tercinta.
WAHAI PUTERI-PUTERIKU
Bangkitlah – Bangkitlah – Bangkitlah
Walau Tewas jangan pasrah
Walau Rebah jangan undur
(Kita Bangkit)
Walau perit
Kita bukan pencacai,
Penagih kuasa dan pelombong harta
(Kita Bangkit)
Walau keseorangan Kita tidak akan Berpaling tadah, merangkak mencari sang penguasa baru (Kita Bangkit)
Walau badai melanda Kita Rapatkan saf ketatkan ikatan (Kita Bangkit)
Walau apapun halangan
Kita Genggam janji pejuang
Selagi jasad ini bernyawa
Selagi kudrat ini berdaya (Kita bangkit)
Walau dicemuh
Walau ditertawa
Usah gentar, gundah gelana
Rabbul Jalil pasti merestui
(Kita Bangkit)
Puteri Bangkit
Kita Bangkit
Umno Sebuah Perjuangan
Allahu Akbar
KEBANGKITAN
KEBANGKITAN
KEBANGKITAN
Selamat Bersidang. Wabillahi taufik walhidayah.
4. PEMBUKAAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2018
Tarikh : 29 September 2018 (Sabtu)
Masa : 7.45 malam
Tempat : Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
Presiden UMNO YB.Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi diiringi oleh Timbalan Presiden UMNO YB. Dato' Seri Utama Mohamad bin Hj.Hasan dan Setiausaha Agung UMNO YB.Tan Sri Annuar Musa masuk ke Dewan Merdeka , PWTC Kuala Lumpur.
Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan diadakan selama dua hari sahaja berbanding lima hari seperti yang menjadi kebiasaan sebelum ini. Acara tahunan yang berlangsung seperti itu biasanya diadakan pada akhir November atau awal Disember. Bagaimanapun tahun ini ia akan diadakan penghujung September. Menurut sumber, parti itu memberitahu bahawa perhimpunan sayapnya iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri akan diadakan pada 29 September dan diikuti persidangan parti pada keesokan harinya.
Perhimpunan berkenaan akan tetap diadakan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) iaitu lokasi yang dimiliki parti itu. Antara sebab utama memendekkan acara itu kerana Umno berpendapat parti tersebut tidak lagi berada dalam kedudukan untuk memaksa kerajaan persekutuan mengamati resolusinya. Sebelum ini, Umno memperuntukkan selama dua hari untuk sayap parti dan badan utamanya membahaskan usul mengenai politik, ekonomi, bangsa dan agama. Apabila sesuatu resolusi dibuat ia akan disampaikan terus kepada perdana menteri yang juga presiden Umno.

Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin memulakan mukaddimah sebelum mempersilakan YB.Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi Presiden UMNO menyampaikan Ucapan Dasar di Perhimpunan Agung UMNO tahun 2018.
PAU 2018: UMNO BANGKIT – Ucapan Dasar Presiden UMNO
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyampaikan Ucapan Dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka malam ini. Berikut teks ucapan penuh:
TERIMA KASIH KEPADA SAUDARA/SAUDARI PENGACARA MAJLIS.
ASSALAMMUALAIKUM WBT.
SALUTASI
SEGALA PUJI TERHADAP ALLAH SWT PEMILIK SEMESTA ALAM. SALAM DAN SELAWAT TERHADAP JUNJUNGAN BAGINDA RASULULLAH SAW.
YBHG TAN SRI BADRUDDIN BIN AMIRULDIN
PENGERUSI TETAP
YBHG DATO’ SERI RIZUAN BIN HAJI ABD HAMID
TIMBALAN PENGERUSI TETAP
YB DATO’ SERI UTAMA MOHAMAD BIN HAJI HASAN
TIMBALAN PRESIDEN
YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
YB DATO’ SERI DIRAJA HAJI MAHDZIR BIN KHALID
YBHG DATO’ SERI HAJI MOHAMED KHALED BIN NORDIN
NAIB-NAIB PRESIDEN
YB DATO’ DR NORAINI BINTI AHMAD
KETUA PERGERAKAN WANITA DAN SAF KEPIMPINANNYA
YBHG DATO’ DR. ASYRAF WAJDI BIN DATO’ DUSUKI
KETUA PERGERAKAN PEMUDA DAN SAF KEPIMPINANNYA
YBHG DATO’ ZAHIDA BINTI ZARIK KHAN
KETUA PERGERAKAN PUTERI DAN SAF KEPIMPINANNYA
YB TAN SRI DATUK SERI PANGLIMA HJ. ANNUAR BIN MUSA
SETIAUSAHA AGUNG
YB DATUK SERI UTAMA TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
BENDAHARI AGUNG
YB DATO’ DR. SHAMSUL ANUAR BIN NASARAH
KETUA PENERANGAN
RAKAN-RAKAN AHLI MAJLIS KERJA TERTINGGI, SIDANG PERWAKILAN, TETAMU-TETAMU KEHORMAT, PARA PEMERHATI, PENGAMAL MEDIA, PEJUANG-PEJUANG UMNO SERTA PENDUKUNG-PENDUKUNG UMNO DI SELURUH NEGARA.
MUKADIMAH
1. Alhamdulillah. Ketika melangkah masuk ke dalam dewan sebentar tadi, saya dapat melihat dan kagum, para pejuang UMNO masih setia berdiri gagah dan megah. Wajah keceriaan, penuh semangat. Suatu paparan kesediaan dan iltizam, untuk kita terus menjadi mata rantai suatu perjuangan yang panjang. Semoga Allah SWT merahmati, memberkati dan melindungi perhimpunan kita pada malam ini.
2. Sesungguhnya Allah berfirman dalam Surah Ali-Imran ayat 173:
“Hasbunallahu wanikmal wakil.”
‘Cukuplah Allah sebagai pelindung bagi kita.’
3. Saya merakamkan ucapan tahniah kepada saudara-saudari sekalian kerana walaupun kita tidak lagi berkuasa dan menempuh pelbagai kepayahan, sesungguhnya lebih 20,000 cawangan telah berjaya mengadakan mesyuarat.
4. Ucapan penghargaan dan tahniah saya ucapkan kepada semua 191 UMNO Bahagian yang telah berjaya mengadakan persidangan masing-masing. Ingin saya memaklumkan, kita mempunyai 40% Ketua Bahagian baharu, 43% Ketua Wanita baharu, 84% Ketua Pemuda baharu dan 76% Ketua Puteri baharu. Ini termasuklah 4 tokoh wanita yang telah terpilih sebagai Ketua Bahagian.
5. Jutaan terima kasih yang tidak terhingga juga saya lafazkan atas kehadiran semua ke Perhimpunan Agung UMNO 2018. Penghargaan juga diucapkan kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang telah selesai mengadakan persidangan masing-masing pada siang tadi. Perhimpunan yang penuh bersejarah ini, dilaksanakan dalam suatu suasana yang amat berbeza sekali daripada tahun-tahun sebelum ini. Saya berkeyakinan tinggi bahawa semangat UMNO BANGKIT, semakin membara dan menjulang tinggi dalam diri kita semua.
6. Kita turut mengalu-alukan kehadiran mantan Presiden, YB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dan pemimpin-pemimpin veteran UMNO sekalian. Mereka inilah insan yang berjiwa besar. Tetap setia bersama UMNO!
7. Marilah juga kita sedekahkan Al-Fatihah kepada ahli dan pemimpin UMNO yang telah pergi meninggalkan kita. Bagi yang masih hidup, kita berdoa agar mereka dan keluarga diberkati, dirahmati dan diberikan kesihatan yang baik oleh Allah SWT. Al-Fatihah.
FIKRAH PRESIDEN DAN REALITI SEMASA
Saudara dan Saudari sekalian,
8. Saya penuh sedar dan insaf kerana dalam sejarah UMNO, sayalah Presiden yang pertama menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam kedudukan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Sejak PRU pertama hingga ke-14, inilah kali pertama kita bukan lagi menjadi sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan dan hanya menguasai dua buah negeri sahaja iaitu Perlis dan Pahang. Bagaimanapun, kita juga hampir menubuhkan kerajaan di Negeri Sembilan, Melaka, Perak dan Sabah. Tahniah kepada Perlis dan Pahang!
9. Jika ada wakil rakyat UMNO yang sukar hendak menyesuaikan diri sebagai pembangkang, terutama kepada mereka yang kali pertama menjadi wakil rakyat dan memulakan kerjaya politik sebagai pembangkang, bersabarlah. Inilah takdirNya. Kita insaf dan redha dengan ketentuan Allah SWT. “La tahzan, innallaha ma’ana”, “Janganlah bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.”
10. Justeru, UMNO memohon maaf kepada mereka yang telah meletakkan harapan dan keyakinan yang begitu tinggi kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk terus memimpin dan mentadbir negara pada PRU-14 yang lalu. UMNO mengambil pengajaran dan beriltizam untuk mengembalikan semula keyakinan dan menjadikan harapan ini suatu kenyataan. Insya-Allah.
11. Sejak sekian lama, UMNO diibaratkan seperti pokok rendang. Mempunyai akar tunjang kuat, dahan kukuh dan mengeluarkan buah-buahan yang lazat. Ia juga menjadi tempat rakyat berteduh sejak 72 tahun yang lalu.
12. Namun, ada pihak yang cemburu dan iri hati. Mereka sentiasa berusaha menumbangkannya. Mereka lakukan sedikit demi sedikit. Walaupun tidak rebah, pokok ini telah condong pada tanggal 9 Mei yang lalu. Tatkala itulah, kura-kura mula merangkak menaiki pokok condong yang amat berjasa ini.
13. Berikutan ‘perang saraf dan gerak saraf’ pihak lawan yang berterusan, penilaian negatif rakyat terhadap UMNO dan Barisan Nasional menghancurkan segala-galanya pada PRU-14 lalu. Serangan terhadap ‘the centre of gravity’’ berjaya mempengaruhi rakyat. Lawan kita melakukannya menerusi pembohongan dan penipuan secara berterusan, melalui penyebaran fitnah dan penyaluran maklumat separuh benar. Inilah kepakaran mereka. Tidak aneh, inilah yang mereka lakukan sehingga kini, walaupun mereka telah membentuk kerajaan.
14. Pihak lawan secara halus dan berperingkat, melancarkan serangan bertali arus. Storyboard dan storyline, disusun rapi untuk membesar-besarkan semua kesalahan dan kelemahan Barisan Nasional serta pemimpin-pemimpinnya. Benarlah mutiara kata ungkapan Saidina Ali Karramallahu Wajhah, “KEBENARAN YANG TIDAK TERANCANG, AKAN KALAH KEPADA KEBATILAN YANG TERANCANG”.
15. Kita bagaikan sebuah bahtera di lautan penuh bergelora. Walaupun layar bahteranya robek, setiap anak kapalnya tidak akan meninggalkan bahtera perjuangan. Jauh sekali terjun meninggalkan bahtera atau mematahkan tiang seri layarnya, serta menebuk dinding bahtera dari dalam. Tindakan ini pasti menyebabkan pelayaran bangsa kita tergugat! Yakinlah, nakhoda dan kelasi yang baik, BUKAN datang dari pelayaran di lautan yang tenang!
16. Selepas keputusan yang mengejutkan pada PRU-14 yang lalu, ada segelintir di antara kita meninggalkan parti. Pelbagai alasan diberikan, namun ahli UMNO tetap bijak menilai hati budi mereka. Mereka ini bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Tidak kurang pula yang mula condong dan mahu beralih arah. Namun, masih ramai lagi yang kekal setia, berdiri teguh dan gagah menjulang obor perjuangan, demi agama, bangsa dan tanah air kita!
17. Silakan berdiri semua Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang berada di dalam dewan ini! Sama ada yang di atas pentas, mahu pun yang duduk di kerusi perwakilan! Mari kita berdiri dan memberi tepukan gemuruh kepada para wira UMNO. MEREKA INILAH BENTENG DAN PEJUANG BARISAN HADAPAN KITA!
18. Yakinlah, awan mendung yang melanda akan segera berarak, menipis dan sirna (lenyap). Jika kita bersatu dan kuat, kita pasti akan bangkit! Jika kita berjaya mendepani landskap politik hari ini, kita akan kembali kukuh. Sudah tentu, kita sentiasa bersedia memimpin kerajaan, sekiranya apa-apa terjadi kepada kerajaan sekarang. WE ARE THE BETTER OPTION, KITALAH PILIHAN TERBAIK untuk kembali menjadi kerajaan dalam masa terdekat, atau selepas PRU-15 nanti. Kini, kita juga membentuk ahli Parlimen kita menjadi PEMBANGKANG YANG KONSTRUKTIF dan DINAMIK. Mereka akan terus membela nasib rakyat tanpa mengira kaum dan latarbelakang.
19. Kita mestilah menanam iltizam untuk memperkukuhkan parti. Jangan dititis cuka pada luka. Jika ahli kuat, parti akan kuat! Ahli yang teguh bersatu akan mengukuhkan parti. Kepada mereka yang asyik menyubur dengki, menyemai khianat, mengadu domba, kita minta berhentilah berbuat demikian. BERSEDIALAH SAUDARA DAN SAUDARI SEKALIAN UNTUK MEMBERIKAN JIWA DAN RAGA KEPADA PERJUANGAN MURNI UMNO INI!
MELAYU BANGSA BESAR DAN UNIVERSAL
Saudara dan Saudari sekalian,
20. Sinergi konsep umat Melayu memberi erti yang cukup tersendiri, bagaimana suatu bangsa itu Allah SWT ciptakan supaya menjadi sebahagian umat dari kelompok yang lebih besar. Sunnatullah (sunnah Allah) menetapkan Melayu hidup bersama Cina, India, Iban, Melanau, Bidayuh, Kadazan, Dusun, Murut, serta pelbagai etnik di negara tercinta ini.
21. Islam telah mendidik orang Melayu menghormati penganut agama lain. Kisah Baba dan Nyonya, India dan Portugis Peranakan di Melaka, yang datang ke Malaysia ratusan tahun yang lalu, mereka amat menyantuni budaya, adat dan cara hidup orang Melayu. Mereka tidak dipaksa memeluk Islam, tetapi melakukan asimilasi sosial secara bijaksana, hinggakan wujud perpaduan dan kerjasama dalam kalangan mereka dan orang Melayu.
22. Naratif perjuangan UMNO sejak tahun 1946 merupakan suatu simbiosis yang berterusan sejak zaman berzaman, malah kesaling-hubungan itu telah berjaya mewujudkan persaudaraan dan keharmonian antara kaum, seperti apa yang kita saksikan pada hari ini. Perjuangan panjang menegakkan agama, bangsa dan tanah air ini tidak pernah menghambat atau menjadi batu penghalang kepada kehidupan yang harmonis. Ini adalah kerana UMNO juga memperjuangkan keadilan sosial bagi semua kaum. Kemajmukan dan kepelbagaian budaya, bahasa dan adat resam, menjadi resipi asas dan teras kepada perpaduan.
23. Janganlah disakiti hati dan perasaan orang Melayu lagi. Hakikatnya, mempersoalkan asal usul orang Melayu, samalah dengan mempersoalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu itu sendiri. UMNO tegas dalam perkara ini! Cubaan ‘border testing’, atau tindakan mahu menguji sejauh mana kesabaran orang Melayu ini, sudah pasti akan mengundang reaksi balas dan bakal memakan diri mereka sendiri!
KEMAJMUKAN UMNO
Saudara dan Saudari sekalian,
24. UMNO adalah sebuah parti Rumpun Melayu. Walaupun begitu, di dalamnya terdapat pelbagai kaum dan etnik. Dalam kalangan ahlinya pula, majoritinya beragama Islam, dan ada juga yang beragama Kristian dan Buddha. Parti ini diwarnai pelbagai latar belakang etnik yang menggambarkan kemajmukan UMNO itu sendiri.
25. Atas kemajmukan inilah kita merekacipta sebuah pemerintah yang berteraskan keadilan sejagat sejak mencapai kemerdekaan. Kita yang memartabatkan agenda Melayu Bumiputera sebagai agenda nasional, tanpa mengenepikan kaum lain. Ia diperkukuhkan lagi dengan semangat jujur dan ikhlas bagi membantu semua pihak.
26. Sehubungan itu, jika mahu menang semula, maka kita wajib menjalinkan silaturrahim dan keakraban antara kita, serta sifat membenci perlu diketepikan! Penyatuan mesti datang dari hati yang mukhilisin dan terbuka. Wehdatul fikr (kesatuan pemikiran) mestilah selari dengan wehdatul amal (kesatuan tindakan).
27. UMNO tidak perlu membuka keahliannya kepada kaum-kaum lain untuk kekal relevan. Masyarakat Malaysia sejak dari dahulu sehingga sekarang, tinggal di dalam kelompok dan komuniti masing-masing, dan ia masih kekal begitu. Kebersamaan kita dalam Perikatan dahulu, dan kini dalam Barisan Nasional adalah suatu bukti bahawa kita menghargai peranan parti-parti yang berlandaskan kepada kepelbagaian kaum. Ini dilakukan demi kepentingan negara. Oleh yang demikian sifatnya, saya ingin tegaskan di hadapan saudara dan saudari sekalian, UMNO AKAN TERUS KEKAL MENJADI PARTI ORANG MELAYU DAN BUMIPUTERA!
28. Sesungguhnya, kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita, bahawa UMNO bukanlah sebuah parti yang rasis, berat-sebelah dan prejudis, atau menjadi ancaman kepada mana-mana kaum lain. Orang Melayu tidak pernah menzalimi dan meminggirkan mana-mana kaum. Jauh sekali untuk mengambil hak kaum lain secara paksa!
29. Malah, kita telah membuktikan bahawa kita sentiasa bertindak di atas ‘the Malay wisdom’ atau ‘Bijaksana Melayu’, dan meletakkan prinsip ‘al-adlu wal-ihsan’ (adil dan ihsan) sebagai ‘kompas moral’ dalam setiap tindakan.
30. Hakikatnya, hari ini orang Melayulah yang paling terdedah dengan sikap bias dan prejudis bangsa lain kepadanya. Orang Melayu dituduh bodoh dan kononnya pemalas, terlalu bergantung kepada subsidi dan bantuan kerajaan. Lebih menyedihkan lagi, apabila bangsa kita disebut sebagai BANGSA PENGEMIS, dan amat menghairankan mereka yang berada dalam saf kepemimpinan kerajaan hari ini, RELA BANGSANYA DIHINA SEBEGITU!
31. Akibat daripada sikap prejudis dan bias itu, ramai orang Melayu masih sukar mendapat peluang yang saksama, terutamanya dalam menyertai syarikat swasta yang bukan milik Melayu. Usahawan-usahawan Melayu masih menghadapi masalah menembusi rangkaian perniagaan, dan mendapatkan bekalan pada harga yang kompetitif dari sumber yang dikuasai bukan Melayu. ORANG MELAYU MASIH GAGAL MENGUASAI EKONOMI KERANA DIDISKRIMINASIKAN!
UMNOFOBIA, MELAYUFOBIA DAN ISLAMOFOBIA
Saudara dan Saudari sekalian,
32. Rasulullah SAW telah bersabda, ’al Islamu ya’lu wala yu’la alaih’ yang bermaksud, ‘Islam itu adalah agama yang tertinggi, dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya’. Islam dan Melayu berpisah tiada. Jumlah penduduk MELAYU adalah sekitar 62% di negara ini.
33. Sebab itulah, Malaysia mesti terus dipimpin oleh kita. Namun, ia tidak bermakna kita mengamalkan assabiyyah mahu pun dasar perkauman. Faktor sejarah, undang-undang tubuh negeri-negeri, dan faktor demografiklah yang meletakkan keistimewaan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.
34. UMNO akan terus menjunjung dan menegakkan Islam yang syumul, dan menolak fahaman pluralisme, yang boleh menggugat kesyumulan Islam itu sendiri. UMNO akan terus memberi kefahaman tasawwur yang jelas dan hakiki, agar menjadi pedoman dan asas kepada segala bentuk tindakan.
35. Hingga ke hari ini, adat resam, budaya, bahasa ibunda dan sistem pendidikan, masih dikekalkan mengikut kaum. Inilah yang telah diamalkan oleh kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional sejak kita merdeka. Inilah yang telah dipersetujui oleh 3 kaum terbesar, ketika kita meraih kemerdekaan.
36. Maka sebab itulah, konsep Malaysian Malaysia yang menuntut kesamarataan, tidak boleh diterima. Jelas, ia bercanggah dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. UMNO AKAN TERUS MEMPERTAHANKAN PERKARA 153 INI!
PEMBANGUNAN INSTITUSI KELUARGA
Saudara dan Saudari sekalian,
37. Mutakhir ini, fahaman liberalisme terutamanya LGBT amat membimbangkan kita. Kini isu berkenaan bebas dibincangkan secara umum, sehingga soal tandas mengikut gender yang hendak digunakan pun, jadi perbincangan. Perdana Menteri sendiri menolak budaya LGBT! Perdana Menteri juga menolak pernikahan sejenis!
38. Gerakan penyebaran fahaman Syiah dalam kalangan umat Islam di negara ini semakin berleluasa dan terbuka. Keadaan ini memudaratkan pegangan akidah ahli Sunnah Wal-Jamaah. Budaya Hedonisme (hiburan melampau) kian berkembang dalam kalangan masyarakat kita. Kita bimbang sekiranya gejala-gajala ini tidak dibendung, ia boleh mengganggu-gugat keharmonian masyarakat, sebagaimana yang dapat kita saksikan di negara-negara lain.
39. Apabila pengaruh kebendaan tidak diseimbangkan dengan nilai budaya dan agama, maka jati diri mudah terhakis. Anak-anak dan generasi muda akan mudah terjebak dengan pengaruh dan gaya hidup hedonisme yang nyata merosakkan.
HALA TUJU UMNO
Saudara dan Saudari sekalian,
40. Ada pihak yang mempersoalkan kenapa saya banyak berdiam dan perlahan dalam menentukan hala tuju UMNO. Maaf! Sebenarnya, saya perlu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pengurusan dalaman parti, terutamanya bagi mengekang usaha-usaha melemahkan UMNO. Diam itu emas, bertindak itu berlian! Begitu juga yang diungkapkan oleh seorang ahli falsafah China bernama Lao-Tzu. SILENCE IS A SOURCE OF GREAT STRENGTH!
41. Kita sudah tahu bahawa harta UMNO mahu disita, akaun UMNO telah dibekukan! Terdapat dalam kalangan kita yang ditekan dengan pelbagai siasatan, terdapat juga yang diheret ke mahkamah. Malah terdapat usaha untuk mengharamkan UMNO!
42. Kita sedang bergelut dalam suasana akaun parti yang dibekukan. Hingga hari ini ia masih belum lagi mendapat pelepasan. Saya menyeru kepada pihak berwenang, janganlah berlaku zalim dan tunduk serta takut kepada arahan Sang Penguasa. Ikutlah peraturan yang sedia ada, jangan menindas dan melakukan gertakan murahan! Rakyat melihat dan menilai setiap tindakan-tindakan itu.
43. Sebenarnya, saya menyebut mengenai hala tuju UMNO dalam pertemuan dengan ahli-ahli dan pemimpin parti di seluruh negara. Hala tuju UMNO sekarang adalah untuk MENANG DAN KEMBALI BERKUASA. INILAH HALA TUJU KITA! Jika kita boleh membentuk kerajaan, segala yang ingin kita lakukan untuk kebaikan negara mampu dilaksanakan. Insya-Allah.
44. Semestinyalah hala tuju ini perlu disokong oleh semua orang UMNO berpandukan kepada 7 teras yang perlu kita laksanakan bersama. Di sini, SAYA INGIN MENGGARISKAN 7 TERAS TERSEBUT YANG MERANGKUMI 21 LANGKAH UNTUK MEMBOLEHKAN KITA MENCAPAI KEJAYAAN.
45. Tujuh teras ini adalah hasil daripada rumusan sewaktu kita mengadakan pemukiman baru-baru ini, membabitkan perkara-perkara seperti Perlembagaan, Keahlian, Struktur Parti, Perkaderan dan Latihan, Penerangan dan IT, Tawaran Baharu serta Program Tumpuan dan Institusi Dalaman UMNO.
46. Rumusan pemukiman ini membuktikan bahawa proses membuat keputusan adalah dengan mengambil kira pendapat daripada bawah. Inilah antara proses syura yang sering saya utarakan. Keputusan dibuat secara bersama, dan sikap bertanggungjawab juga seharusnya secara bersama! Jangan biarkan saya keseorangan!
TERAS PERTAMA: MEMBINA KEYAKINAN DAN KEPERCAYAAN
Saudara dan Saudari sekalian,
47. Tugas penting kita sekarang adalah untuk membina keyakinan ahli dan masyarakat. Saya akui, ini bukanlah tugas mudah, ia memerlukan usaha-usaha yang berterusan.
LANGKAH 1
48. Saya mengharapkan agar semua memahami sejelas-jelasnya idealisme perjuangan UMNO. UMNO bukan hanya ditubuhkan bagi memenangi pilihan raya. Tetapi ia adalah sebuah manifestasi perjuangan berpaksikan kepada agama, bangsa dan tanah air. Perkara ini termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Maka, UMNO mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik Melayu yang ideologinya berbentuk konservatif tetapi progresif.
49. Biarpun begitu, kita telah mempunyai ahli-ahli UMNO terdiri dari Kadazan, Dusun, Murut, Siam dan orang Islam serta mualaf dari pelbagai bangsa. Malah Parti KIMMA yang terdiri dari kalangan rakan-rakan India-Muslim turut menjadi ahli bersekutu UMNO sejak Ogos 2010 lagi. Kita juga meraikan ahli-ahli UMNO yang terdiri dari yang beragama Kristian, Buddha dan pelbagai agama lain. Ini harus dihormati.
LANGKAH 2
50. Sekiranya prinsip ketaatan dan kesetiaan kepada parti serta pemimpin untuk bekerja sebagai satu pasukan tidak mampu diterapkan, kita akan hancur! Justeru, saya meminta kepada semua ahli untuk setia kepada parti dan kepemimpinan. Sesungguhnya, inilah antara formula penting membentuk parti yang mantap. Ketaatan ini dituntut selagi mana ia tidak mudarat dan melanggar hukum syarak.
LANGKAH 3
51. Sesungguhnya taat dan setia kepada kepemimpinan, dan bukannya kepada parti seringkali membentuk budaya ‘warlord’’. Inilah punca utama masalah politik wang. Sebagai Presiden, saya komited menjadikan UMNO sebagai sebuah Parti Sifar Rasuah! POLITIK WANG BOLEH MENGHANCURKAN PARTI. POLITIK WANG JUGA AKAN MENYEBABKAN AHLI SALAH MEMILIH PEMIMPIN. POLITIK WANG JUGA MERACUNI KITA MENJADI INDIVIDU YANG GEMARKAN RASUAH DAN HABUAN (GHANIMAH).
52. Sehubungan itu, kita akan menstruktur semula Lembaga Displin parti untuk diberi lebih kuasa dan sebagai sebuah badan bebas. Peranan lembaga ini akan diangkat menjadi lebih berwibawa dan mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil tindakan. Lembaga ini akan dianggotai oleh ahli-ahli perundangan dan pakar-pakar penyiasatan profesional agar tindakan segera dan berkesan boleh diambil tanpa memilih bulu.
LANGKAH 4
53. Saya telah berbincang dengan semua pemimpin tertinggi parti supaya mereka turun ke akar umbi. Bertemu dengan seramai mungkin ahli bagi memperjelaskan hala tuju dan idealisme perjuangan parti. Kita akan meletakkan KPI (penanda aras) kepada setiap program yang dijalankan. Ia sebagai penanda aras bagi mengukur keberkesanan dan akan diolah dari semasa ke semasa. Ini dilakukan melalui pendekatan ‘LOW COST, HIGH IMPACT’! Kos yang rendah tetapi memberi pulangan yang tinggi.
LANGKAH 5
54. Mutakhir ini, terdapat wakil rakyat UMNO melompat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas. Saya akui amat sukar untuk menyekat mereka keluar parti. Tetapi demi menghormati kehendak ahli-ahli parti yang telah dikhianati, KITA TELAH PUN MENGAMBIL LANGKAH DRASTIK MELALUI TINDAKAN UNDANG-UNDANG!
55. Saya ingin menyatakan bahawa writ saman telah pun dihantar kepada beberapa individu terbabit. Kita menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan mereka juga perlu mengosongkan semula kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional. MEREKA TIDAK LAGI MEMPUNYAI ASAS MORAL UNTUK MENJADI WAKIL RAKYAT.
KERUSI ITU MILIK UMNO!
KERUSI ITU MILIK PENYOKONG BARISAN NASIONAL!
56. Saya juga telah berbincang dan bersetuju, SEMUA WAKIL RAKYAT UMNO SEKARANG DIMINTA MENANDATANGANI AKUJANJI. JIKA MEREKA KELUAR PARTI, SAMA ADA MENJADI AHLI BEBAS ATAU PUN MENYERTAI PARTI LAIN, MAKA STATUS MEREKA SEBAGAI WAKIL RAKYAT TERLUCUT SECARA AUTOMATIK! KITA AKAN TUNTUT MEREKA MEMBAYAR PENALTI DAN GANTI RUGI!
TERAS KEDUA: MENENTANG EKSPLOITASI POLITIK
Saudara dan Saudari sekalian,
57. Kita sekarang diperintah oleh sebuah kerajaan baharu. SAYA INGIN BERTANYA, ADAKAH KITA BERPUAS HATI DENGAN PEMERINTAHAN MEREKA? ADAKAH RAKYAT PUAS HATI DENGAN HASIL UNDI MEREKA?
58. SEDARKAH KITA, RIBUAN ORANG TELAH DIBUANG KERJA? BERJUTA MASIH TIADA KERJA! KENAIKAN HARGA BARANG TIDAK MAMPU DIKAWAL! SYARIKAT-SYARIKAT DITINDAS OLEH KRONI KERAJAAN DAN PENYINGKIRAN PEGAWAI-PEGAWAI KANAN YANG CEMERLANG DALAM GLC! MEREKA GAGAL MENUNAIKAN JANJI-JANJI MANIFESTO YANG MEREKA BUAT SENDIRI. MASIHKAH RAKYAT BERPUAS HATI?
59. Lebih menyedihkan, maruah dan kedaulatan negara tercemar, apabila kerajaan menarik balik tuntutan ke atas Pulau Batu Putih. ADAKAH INI KEMAHUAN KITA SEMUA? BANGSA JOHOR, DI MANA ANDA? RELAKAH KITA? HARUSKAH KITA MENGIZINKAN MARUAH KITA DIGADAI SEBEGITU RUPA?
60. Paling membimbangkan, apabila provokasi terhadap Institusi Beraja dan tindakan mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, khasnya DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dibuat secara terbuka.
LANGKAH 6
61. Hari ini, campur tangan eksekutif begitu mencengkam badan kehakiman. Penghakisan dan pencabulan ke atas prinsip ‘Rule of Law’ sedang berlaku sekarang. Apa yang berlaku sekarang adalah CONTESTING AUTHORITY atau MENCABAR AUTORITI. Banyak tindakan mereka mengenepikan Perlembagaan dan keluhuran undang-undang.
62. Maka, UMNO hendaklah memastikan tindakan yang melanggar Rule of Law ini MESTI dihentikan! Setiap wakil rakyat UMNO sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah berperanan lebih berkesan untuk menyekat gejala ini!
LANGKAH 7
63. Pelanggaran dan pencabulan kepada prinsip Rule of Law ini, menjadi malapetaka besar ke atas prinsip pemisahan kuasa (separation of power) yang diamalkan oleh mana-mana negara demokrasi. Hari ini, negara semakin berundur. Wujudnya pendakwaan terpilih dan dilakukan berasaskan kepada fahaman politik. Ada kes yang masih dalam perbicaraan, tiba-tiba digugurkan begitu sahaja. Bak kata pepatah, ‘Tiba di perut dikempiskan. Tiba di mata dipicingkan. Tiba di dada dibusungkan.’ MALAHAN TIDAK DAPAT TANDUK, TELINGA PULA DIPULAS!
64. Mereka yang bertanggungjawab menegakkan The Rule of Law, telah mengotori dan mengoyakkan jubah integriti mereka sendiri. Kita mendesak kerajaan hari ini menghentikan segera pencabulan prinsip Rule of Law! Berhentilah dari melakukan gertakan murahan, apalagi mengaibkan Orang Kena Tuduh (OKT) melalui perbicaraan media massa dan media sosial!
REGIME CHANGE
Saudara dan Saudari sekalian,
65. Perubahan politik yang terjadi hari ini bukanlah sekadar peralihan kepada kepimpinan yang baharu, malah ia merupakan pertukaran keseluruhan jentera kerajaan. Inilah yang dipanggil ‘regime change’. ADAKAH KITA MENGIZINKAN KAKITANGAN KERAJAAN YANG CEMERLANG DAN PEGAWAI-PEGAWAI KANAN GLC DIBUANG DEMI MEMUASKAN SANG PENGUASA?
66. Harus diingat, situasi hari ini memungkinkan wujudnya situasi ‘hung parliament’ atau ‘parlimen tergantung’, di mana kerajaan itu boleh bertukar pada bila-bila masa. Pergolakan dan permasalahan dalaman boleh memusnahkan pakatan atau gabungan dalam sekelip mata. Kerajaan hari ini merupakan pakatan yang amat rapuh dan tidak stabil. Mereka menang tetapi tidak banyak, sementara yang kalah pula sekadar kurang sedikit. Keadaan tidak seimbang ini menyebabkan kedudukan kerajaan begitu rapuh dan boleh terbubar pada bila-bila masa! DALAM KEADAAN ITU, MEREKA AKAN MENCARI SIAPA? DI SINILAH LETAKNYA NILAI HARGA AHLI-AHLI UMNO! MAKA, JANGANLAH MEMANDAI-MANDAI CABUT!
LANGKAH 8
67. Saya ingin menekankan, janganlah disebabkan kerapuhan itu mengorbankan 3 asas keutuhan negara iaitu keamanan, kesejahteraan rakyat dan hubungan diplomatik. Janganlah bergaduh dengan semua orang. Bermusuh dengan jiran tetangga. Jangan sampai kita tidak ada negara rakan. Sikap ‘antagonis’ ini akan menyebabkan Malaysia bukan sahaja dipinggirkan di peringkat antarabangsa, malah usaha menarik pelaburan asing (Foreign Direct Investment) juga akan terbantut. Jika ini berlaku, maka kita akan menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan, apalagi dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
68. Saya bimbang, kesan domino dan dasar populis yang diamalkan kerajaan hari ini, akan menjadi suatu ‘PERFECT STORM’ atau kekacauan yang boleh membawa kepada kehancuran negara. Ketika perut rakyat tidak ditangani dengan baik akibat tiada peluang pekerjaan, ia pasti akan mengundang malapetaka!
69. Oleh itu, saya menyeru kepada barisan Jemaah Menteri kerajaan hari ini. Janganlah dikira berapa banyak ikan di laut. Usahlah mengajak rakyat menanam nanas di atas air, di belakang rumah. Kiralah tiap-tiap titik perpuluhan bila bercakap soal ekonomi. Jangan asyik tersalah letak titik. BAHAYA TU! Dahulu janji menyediakan sejuta peluang pekerjaan, tiba-tiba anak muda pula yang diminta mewujudkan peluang pekerjaan sendiri. Anak-anak yang suci bersih berkasut putih, diarah tukar berkasut hitam. Kasihanilah graduan-graduan kita yang ditipu dengan tindakan U-turn daripada janji manis untuk menghapuskan bayaran balik pinjaman PTPTN. JANGANLAH BERKOKOK, SEDANGKAN EKOR BERGELUMANG NAJIS!
70. Kepada menteri-menteri yang ada hari ini, janganlah leka dengan kejutan budaya sampai mengabaikan tanggungjawab! Tidak hairanlah Perdana Menteri sendiri sering membuat kenyataan bahawa prestasi menteri tidak memuaskan. Katanya mereka semua di bawah par! Ayuhlah, jangan biarkan Perdana Menteri keseorangan!
71. Jika mereka tidak mampu menjadi kerajaan, KEMBALIKAN KUASA KEPADA KAMI! KAMI MAMPU MELAKSANAKAN TUGAS DENGAN KOMITED DAN BERTANGGUNGJAWAB!
72. Kajian sebuah badan penyelidik bebas dan berwibawa memaparkan kebimbangan rakyat terhadap pentadbiran sekarang. Ketiadaan peluang pekerjaan dan pengangguran, yang pastinya menyebabkan jenayah semakin berleluasa. Tiada kerja, tiadalah gaji untuk menyara keluarga. Jenayah dan keganasan membuat rakyat hidup dalam keadaan resah-gelisah.
73. Saya menuntut kerajaan untuk mengambil perhatian serius kepada perkara ini! UMNO harus menjadi mata dan telinga rakyat, kita mesti mendengar setiap keluh kesah rakyat. Turunlah ke bawah dan dengarlah rintihan dan denyut nadi mereka.
TERAS KETIGA: MEMPERKASAKAN PARTI
Saudara dan Saudari sekalian,
74. Untuk memperkasakan parti, hadamlah perkara-perkara berikut:
LANGKAH 9
75. Kerajaan telah memutuskan had umur pengundi diturunkan dari 21 tahun ke 18 tahun. Ini akan memberi kesan besar ke atas pola politik tanah air. Kita juga perlu melakukan usaha ke arah peremajaan parti. Bagi mewujudkan kesedaran politik pada peringkat lebih awal, maka adalah dicadangkan had umur keahlian parti diturunkan dari 18 tahun kepada 16 tahun.
LANGKAH 10
76. Had penggal Presiden. Bagi memastikan keutuhan parti selaras dengan manifesto saya, ketika pemilihan Presiden dan kepimpinan parti, saya mencadangkan kepada sidang hadirin sekalian agar penggal Presiden dihadkan kepada 2 penggal sahaja. Berbincang dan berbahaslah dalam soal ini, demi kepentingan dan survival parti kita.
LANGKAH 11
77. Saya menekankan peri pentingnya budaya keintelektualan disemai dan disuburkan dalam UMNO. Setiap pemimpin mesti mempunyai kemahiran dan kebolehan menguasai pelbagai bidang ilmu, khususnya berkaitan kepimpinan dan politik dalam UMNO. Sukacita saya mengumumkan penubuhan Sekolah Politik, bagi melatih seramai mungkin ahli-ahli UMNO. Sekolah politik ini akan melatih Ahli-ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri untuk menjadi pembangkang yang berkesan di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
LANGKAH 12
78. Bagi memudahkan proses penerimaan kemasukan ahli-ahli ke dalam UMNO, saya mahu agar ia dipermudahkan, dan tidak ada halangan atau sekatan seperti yang berlaku sekarang. Sehubungan dengan itu, saya mengarahkan agar pemutihan ke atas senarai pangkalan data ahli-ahli dikemaskinikan segera. Kita tidak perlu berbangga dengan ahli yang ramai tetapi tidak setia, namun kita mahukan ahli yang berkualiti dan setia kepada parti! Saya mencadangkan agar Badan Perhubungan Negeri dan UMNO Bahagian diberi kuasa untuk pelaksanaannya.
LANGKAH 13
79. Pembangunan modal insan dan penyediaan pemimpin pelapis merupakan keutamaan kepada parti. Namun ia harus mengambil kira keupayaan kita untuk melaksanakan semua program yang dirangka. Justeru, saya mengarahkan agar semua program latihan ini diselaraskan di peringkat Pusat oleh Biro Latihan dan Perkaderan UMNO Malaysia, dan menyelaraskannya bersama Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Ini bagi memastikan pelaksanaan dan keberkesanan program dapat dicapai mengikut piawaian dan KPI yang ditetapkan. Malah, Pergerakan Pemuda UMNO telah menyediakan modul khusus perkaderan untuk dilaksanakan. Program-program perkaderan ini harus dilaksanakan secara intensif.
LANGKAH 14
80. Perkongsian pintar kesemua maklumat dan informasi di peringkat lokaliti Dewan Undangan Negeri dan Parlimen mestilah diselaraskan. Setiap maklumat mesti disalurkan dengan pantas dan berkesan, sesuai dengan letusan teknologi maklumat dan media sosial yang meluas. Sehubungan itu, saya mencadangkan agar ditubuhkan ‘war-room’ untuk menjadi ‘command center’ di peringkat ibu pejabat. Perhubungan Negeri dan Bahagian-bahagian hendaklah dilibatkan secara konsisten dan kemaskini, bukan secara berkala atau sekali-sekala!
LANGKAH 15
81. Di peringkat Penerangan UMNO Malaysia, saya mengarahkan diperkasakan lagi Jabatan Komunikasi Strategik bagi memastikan program yang mampu menjangkau kumpulan sasaran. Segala dasar dan perancangan parti perlu diketahui oleh ahli akar umbi. Penubuhan jabatan ini penting agar program parti dapat dijalankan dengan lebih berkesan mengikut keutamaan. Ini bagi membolehkan parti melaksanakan komunikasi bersepadu kepada kumpulan sasar menerusi teknologi maklumat. Ahli-ahli UMNO perlu bergerak aktif dalam menyebarluas maklumat dan menangkis setiap tohmahan.
TERAS KEEMPAT: HAK KUASA ISTIMEWA
Saudara dan Saudari sekalian,
82. Saya sedar dalam PRU-14 yang lalu, UMNO hanya menang di dua buah negeri iaitu Perlis dan Pahang.
LANGKAH 16
83. Berdasarkan post-mortem dan hasil perbincangan di pemukiman, kita dapati peranan Badan Perhubungan UMNO Negeri harus diberikan kuasa-kuasa tertentu untuk memberi lebih ruang kepada mereka membuat keputusan. Kita bersetuju dengan penurunan kuasa ini yang melibatkan jentera, pengurusan dan hal-ehwal disiplin parti serta melakukan penyelarasan aktiviti ke akar umbi dalam usaha merakyatkan parti.
84. Ini membolehkan pengurusan di peringkat negeri lebih sistematik dan tidak terlalu bergantung serta terikat dengan Pusat. Mereka ada kuasa untuk mempengaruhi sentimen ahli negeri masing-masing.
LANGKAH 17
85. Ingin saya ingatkan, kerajaan kita dahulu telah pun menubuhkan Jawatankuasa Penurunan Hak-Hak Sabah dan Sarawak bagi mengkaji dan memastikan hak-hak mereka diperinci dan dikembalikan selaras dengan Perjanjian Penubuhan Malaysia 1963 (MA63).
86. Ini bagi menjamin kemakmuran ekonomi yang adil di Sabah dan Sarawak, seperti mana yang dikecapi di Semenanjung. Saya menyeru kerajaan hari ini, agar meneruskan agenda pemberian 20% hasil royalti minyak dan gas kepada rakyat Sabah dan Sarawak, sebagaimana yang termaktub di dalam manifesto mereka.
87. Hormatilah hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak, dan janganlah dipermainkan untung nasib mereka. TIDAK USAH BERDOLAK-DALIK LAGI, APA YANG DIJANJI HENDAKLAH DITEPATI, KATA HENDAKLAH DIKOTA!
88. Sudah sampai masanya beberapa dasar penurunan kuasa istimewa politik dilaksanakan untuk negeri Sabah, sesuai dengan perubahan landskap politik hari ini. Saya mengumumkan bahawa sebuah Jawatankuasa Khas telah dibentuk untuk pelaksanaan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Badan Perhubungan UMNO Sabah.
89. Saya ada menerima memorandum daripada UMNO Sabah agar Majlis Kerja Tertinggi membuat pertimbangan, antaranya mengenai pemberian autonomi kepada UMNO Sabah dalam aspek khusus berpandukan kepada Perlembagaan dan Peraturan Parti.
90. Autonomi merujuk kepada tadbir urus sendiri ke atas perkara-perkara yang ditetapkan di bawah undang-undang atau peraturan parti. Antaranya ialah untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan anak negeri, Bumiputera dan masyarakat negeri Sabah secara keseluruhannya.
91. Mesyuarat Agung Luar Biasa akan diadakan bagi memutuskan perkara ini dan perkara-perkara lain yang memerlukan pindaan Perlembagaan UMNO. Pada dasarnya kami menerima syor-syor tersebut.
TERAS KELIMA: MUAFAKAT POLITIK
Saudara dan Saudari sekalian,
LANGKAH 18
92. Hari ini, UMNO menjadi pembangkang. Inilah realitinya. UMNO tidak boleh lagi ada mentaliti sebagai kerajaan. Sebagai pembangkang, kita harus bertaut dengan rakan-rakan pembangkang yang lain. Ini kerana musuh kita adalah sama. Sudah lama kita melakukan kerjasama politik ataupun Tahaluf Siasi dengan MCA, MIC, MyPPP, PBRS dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional.
93. Namun, perlu di terima hakikat, kita akan meneruskan kerjasama dalam Gagasan Pembangkang di atas semangat Ta’awun, iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri.
94. Kerana itu kita yakin bahawa parti-parti berasaskan kaum, bangsa atau etnik bukanlah suatu perkara buruk atau terkebelakang. Dalam sejarah UMNO selama 72 tahun serta sejarah Perikatan dan Barisan Nasional, tidak pernah terjadi negeri-negeri tidak boleh meneruskan mesyuarat agung tahunan, seperti yang berlaku dalam sebuah parti. Temasya baling kerusi dan pukul memukul seolah-olah menjadi sebahagian daripada agenda mesyuarat mereka. Ini bukan amalan kita selama ini!
95. Demi kepentingan rakyat, pintu UMNO sentiasa terbuka untuk jalinan kerjasama dengan sebarang parti politik, asalkan prinsip UMNO tidak tergadai atas jalinan politik itu nanti. KITA TIDAK RELA UMNO DIBUBARKAN!
LANGKAH 19
96. Sebagai Pengerusi Barisan Nasional, saya telah mengambil kira secara serius berhubung hala tuju dan permuafakatan kita. Tindakan segera mesti dilakukan bagi membina keyakinan rakyat. SUKA SAYA MENGUMUMKAN, BARISAN NASIONAL AKAN DIJENAMAKAN SEMULA SEBAIK SAHAJA PERUNDINGAN DENGAN RAKAN-RAKAN KOMPONEN YANG SEDIA ADA SELESAI DAN DIMUKTAMADKAN! Cadangannya, parti gabungan ini bakal dianggotai dengan entiti-entiti berikut:
i. Parti-parti teras merangkumi UMNO, MCA, MIC, MyPPP, dan PBRS
ii. Parti-parti gabungan lain yang memahami aspirasi dan idealisme perjuangan bersama
iii. Parti politik mesra UMNO yang selama ini banyak membantu dan menyokong
iv. Badan Bukan Kerajaan (NGO)
v. Individu ahli langsung (direct membership) iaitu pendekatan di mana individu boleh menjadi ahli Barisan Nasional tanpa melalui mana-mana parti politik
97. Inilah yang akan kita lakukan dalam penjenamaan semula Barisan Nasional
TERAS KEENAM: KERAJAAN MENANTI
Saudara dan Saudari sekalian,
LANGKAH 20
98. Biarpun tidak dapat membentuk kerajaan, UMNO merupakan sebuah parti paling dominan berdasarkan keputusan PRU-14. Sebab itu nilai pemimpin UMNO yang menang pada pilihan raya umum lalu, adalah mahal harganya.
99. Dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji manifesto dan beberapa dasar flip-flop telah membangkitkan kemarahan rakyat, saya percaya UMNO mempunyai harapan cerah untuk mendapat kembali kepercayaan rakyat.
100. Saya telah mewujudkan 4 kluster bagi memastikan prestasi kerajaan hari ini dipantau dengan teliti. Fungsi dan tugas jawatankuasa ini adalah seakan-akan ‘kabinet bayangan’ dan ia adalah seperti berikut:
KLUSTER PERTAMA: Jabatan Perdana Menteri, Perundangan, Sumber Manusia dan Keselamatan
KLUSTER KEDUA: Kewangan, Ekonomi dan Industri
KLUSTER KETIGA: Pendidikan, Sosial dan Budaya
KLUSTER KEEMPAT: Infrastruktur, Teknologi dan Kesihatan
101. Perlu saya tegaskan, kita bukan hanya sebagai pembangkang yang konstruktif dan dinamik, tetapi kita juga adalah KERAJAAN MENANTI atau GOVERNMENT-IN-WAITING!
TERAS KETUJUH: PENGORBANAN JIWA RAGA
Saudara dan Saudari sekalian,
102. Ujian paling besar terhadap ahli UMNO adalah soal pengorbanan. Kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang menjadi penggerak di barisan hadapan kita, teruslah bergerak ke cawangan-cawangan, menjadi mata dan telinga parti, terus memperjuangkan nasib anak bangsa kita!
LANGKAH 21
103. Saya mahu agar semangat kesukarelaan ini perlu terus hidup subur dalam parti. Dalam keadaan serba kepayahan ini, semua sayap-sayap parti harus terus bergerak. Ketengahkanlah permasalahan rakyat, perjuangkanlah hak mereka dalam kebajikan, pendidikan, perumahan, pekerjaan, ekonomi dan sebagainya secara berterusan. Berilah mereka pembelaan yang sepatutnya, sekadar yang kita mampu.
104. Saya mendengar semua ucapan dasar Ketua-ketua sayap. Saya bersetuju dengan Ketua Pergerakan Wanita yang mahu memulakan gerak kerja yang baru untuk akar umbi, walaupun sukar tetapi penuh keyakinan. Oleh itu, marilah kita:
i. Mencari titik persamaan bukan garis perbezaan.
Mencari kekuatan dan bukannya kelemahan.
Bergerak ke hadapan untuk tidak mencurah geram, amarah atau menuding jari mencari salah.
Menjadi wahana untuk bermuhasabah diri dan menilai diri.
ii. Memulakan gerak kerja baru, memanfaatkan sejarah kekuatan dan komitmen dari peringkat akar umbi bagi memulakan langkah, meskipun getir dan sukar tetapi penuh keyakinan.
iii. Bersetuju terhadap saranan penubuhan team penyelidikan, media, strategik dan persepsi untuk menambahbaik serta memperkasakan organisasi sejajar perkembangan politik semasa.
iv. Penubuhan team data politik dan pilihan raya.
v. Penubuhan team prihatin interaktif yang memfokuskan kepada memahami perilaku pengundi secara menyeluruh dengan menumpukan pengumpulan maklumat berdasarkan demografi rakyat.
vi. Menyantuni aktivis dan ahli profesional wanita yang mempunyai pengalaman, pengetahuan serta kepakaran.
vii. Mendekati dan menarik lebih ramai simpatisan UMNO, non-card carrying members dan sukarelawan.
105. Saya juga amat bersetuju dengan saranan Ketua Pergerakan Pemuda yang meminta supaya:
i. Kita menjuarai agenda rakyat,
ii. Menyantuni kepelbagaian anak-anak muda,
iii. Memperkukuhkan nilai inklusif,
iv. Pengislahan Pemuda, serta
v. Melakukan penjenamaan semula Pemuda.
106. Saya juga sehaluan dengan saranan Ketua Pergerakan Puteri iaitu:
i. Akan bekerja keras untuk mengamit sokongan wanita muda untuk terus mendukung dan memberi kepercayaan semula kepada UMNO.
ii. Menggerakkan tenaga profesional muda wanita untuk didekati bagi membantu meraih dan memulihkan UMNO.
iii. Turun ke institusi pengajian tinggi untuk membawa mereka agar turut memahami dan menghayati perjuangan parti.
iv. Bersedia menjadi kumpulan pelapis kepemimpinan, selaras dengan penurunan umur mengundi kepada 18 tahun.
107. Saya yakin Pergerakan Puteri akan bergerak bersama-sama Pergerakan Pemuda untuk memperkukuhkan pelaksanaan program perkaderan bagi memperkasakan kepemimpinan muda UMNO. Ini untuk membolehkan mereka mengambil-alih kepemimpinan UMNO masa depan.
108. Sebagai Presiden UMNO, saya menyelami dan amat memahami hasrat ketiga-tiga sayap parti untuk terus membantu UMNO bagi merealisasikan langkah-langkah hala tuju kita. Saya mengiktiraf semua saranan itu sebagai langkah ke-21 seperti yang saya nyatakan.
RUMUSAN
Saudara dan Saudari sekalian,
109. Berbeza pendapat itu suatu rahmah dan perlu diraikan. Seperti bidalan, bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang! Jangan sampai jong pecah, yu yang kenyang! Jangan sampai perselisihan antara kita, menguntungkan pihak lain. Elakkanlah memberi komen dan menjawab hal-hal berkaitan parti secara terbuka. JANGAN BAGI BOLA TANGGUNG KEPADA PIHAK LAWAN! Kita wajib merapatkan saf kepimpinan dan akar umbi untuk memenangi hati rakyat. Hentikanlah perbalahan dan persengketaan dalam kalangan kita demi kelangsungan perjuangan UMNO.
110. Dalam membina kembali kekuatan keluarga besar UMNO, perbezaan mesti disantuni dengan penuh kebijaksanaan.
Elok basa kan bekal hidup,
Elok budi kan bekal mati!
Yang lorek itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang molek itu budi,
Yang indah itu bahasa.
111. DALAM SAAT KESUSAHAN DAN KEPAYAHAN, JANGAN ADA DALAM KALANGAN KITA MENGAMBIL KESEMPATAN DALAM KESEMPITAN! Saya mengharapkan agar semua ahli dan saf kepimpinan merapatkan barisan dan tingkatkan kemuafakatan. Ayuh, junjunglah rakyat dan letakkanlah parti mengatasi segala-galanya! Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
112. Kita perlu menghormati pemimpin-pemimpin terdahulu yang telah memimpin kita selama ini, dan masih terus bersama-sama kita. Biarpun kepayahan sedang melanda namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kita juga hendaklah terus memanjatkan doa, agar sebarang musibah yang sedang dihadapi akan dilalui dengan penuh ketenangan, dan rasa redha serta tawakal kepada Allah SWT.
113. Saya tertarik dengan bidalan, “tiada yang lama sudah pasti tiadalah yang baharu”. Yang lama menyayangi yang baharu, yang baharu menghormati yang lama. Bak kata Allahyarham Tun Ghaffar Baba, “kalau pelepah bawah jatuh, pelepah atas jangan ketawa”. SESUNGGUHNYA SIFAT TERLAMPAU YAKIN SEHINGGA MENIMBULKAN KEANGKUHAN, TIDAK ADA TEMPAT DI DALAM UMNO!
114. Kepada para perwakilan, marilah kita bersidang dengan penuh tanggungjawab dan berbincang dalam usaha membina semula UMNO.
115. Marilah kita bina UMNO sebagai parti yang penuh falsafah dan berideologi perjuangan. Kita raikan kepelbagaian yang ada di hadapan kita. Mari kita berusaha dan bersedia menjadi kerajaan semula dalam waktu yang terdekat, atau selepas PRU-15 nanti.
116. Saya yakin kita semua tahu dan percaya, untuk membina keyakinan rakyat terhadap UMNO, kita sebagai ahli dan pemimpin hendaklah terlebih dahulu yakin kepada diri kita sendiri, bahawa kita boleh melakukan apa sahaja yang telah kita gariskan dalam perancangan parti kita.
117. Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha mengukuhkan parti dengan mengukuhkan diri kita terlebih dahulu. Tingkatkan iman dan ketaqwaan, kerana dari situlah bermulanya titik-tolak survival perjuangan kita. Jadikan perjuangan ini suatu jihad yang amat bermakna bagi setiap diri kita.
118. Pada musim saya diamanahkan menjadi Presiden, yang saya terima dengan penuh rasa tawadhuk, saya amat mengharapkan agar kita mampu memulihkan UMNO yang telah jatuh daripada persada kerajaan ini, untuk bergerak sebagai suatu pasukan yang mantap, kukuh dan digeruni.
119. Marilah, kita pandang ke hadapan lebih kerap daripada kita saling memerhati rakan-rakan seperjuangan kita. Kita kerahkan tenaga ke arah menggerakkan parti, dan bukan mengumpul cacat-cela rakan-rakan kita. Kita semua adalah manusia, tidak ada yang sempurna
120. Untuk itu,
BANGKITLAH SAUDARA-SAUDARA SEKALIAN!
BANGKITLAH MENYAMBUNG PERJUANGAN INI!
BANGKITLAH MELAUNGKAN SEMANGAT INI!
HIDUP UMNO!
HIDUP MELAYU!
HIDUP RAKYAT!
HIDUP MALAYSIA!
UMNO… (bangkit)
UMNO… (bangkit)
UMNO… (bangkit)
ALLAHUAKBAR!
ALLAHUAKBAR!
ALLAHUAKBAR!
121. Kepada Allah SWT kita berserah. Dengan nama Allah SWT yang Maha Pengasih dan Penyayang, maka dengan lafaz “Fassabih biham dirob bikawas taghfir innahu kanatau waba”, saya dengan segala sukacitanya merasmikan ‘PERHIMPUNAN AGUNG UMNO BAGI TAHUN 2018’. Semoga Allah memberkati perjuangan kita.
Sekian, terima kasih.
5. PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2018
Perbahasan / Usul Ucapan Dasar PresidenTarikh : 30 September 2018 (Ahad)
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Dewan Merdeka, Aras 4, PWTC
Sebagai pembahas pertama usul ucapan dasar Presiden selepas UMNO bergelar pembangkang, Ahli Majlis Tertinggi (MT), Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang terkenal dengan kelantangannya kecewa dengan tindakan sesetengah kepemimpinan kanan parti yang ‘menyepikan’ diri selepas tidak lagi memerintah.
Dengan memakai dastar atau tanjak etnik Iranun, beliau yang berucap mewakili UMNO Sabah menggelar mereka sebagai Tanggang Moden kerana telah memaparkan mesej negatif dan melemahkan semangat ahli yang masih memperjuangkan kebangkitan UMNO.
Lebih memeritkan, tegas beliau, pemimpin berkenaan tanpa segan silu memperlekehkan kepemimpinan terkini secara terbuka seolah-olah beliau sahaja yang betul dalam segala segi.
“Kalau dalam undang-undang tentera, askar yang sedemikian boleh dihukum gantung kerana lari daripada perjuangan.
“Tanggang Moden ini memiliki ilmu pendinding luar biasa dan amat mudah untuk dipelajari, jampi atau mantranya satu perkataan sahaja iaitu demokrasi yang disebut sebanyak tujuh kali,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mencadangkan perbahasan usul ucapan dasar presiden, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Pandikar Amin yakin UMNO tidak akan menggunakan jalan pintas untuk berkuasa kembali, sebaliknya memilih laluan berliku untuk terus teguh dan bersatu.
“Nama jalan tersebut di tulis jelas di papan tanda jalan sebagai patah tumbuh hilang berganti, membujur lalu melintang patah, patah sayap bertongkat paruh,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE
Wakil Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, UMNO harus segera memulihkan parti dan pemimpin parti perlu menunjukkan contoh yang baik selain memperkasakan saluran media alternatif dan gerakan media sosial parti untuk menyampaikan mesej yang sahih kepada rakyat.
Jelas beliau, Presiden dan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga perlu segera turun ke bawah untuk menjelaskan hala tuju parti.
“Muafakat politik perlu ada panduan yang jelas agar ia menguntungkan parti dan perjuangan memartabat agama, bangsa dan negara. Usaha membela rakyat perlu terus dilaksanakan dan nasib mangsa kezaliman kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu diperjuangkan.
“Selain itu kita juga harus sedar bahawa media-media yang mesra kepada UMNO semakin berkurang malah ada yang kini mejadi alat kepada kerajaan PH.
“Astro Awani misalnya telah menjadi lebih teruk daripada TV3, yang Pakatan sebut sebagai ‘TV3 suku’. Penipuan disiarkan termasuk dalam soal kiraan hutang negara. Dalam soal kiraan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Astro Awani dan Bernama yang dulu dipandang tinggi pun, keluarkan kiraan yang salah mengenai SST dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” ujar beliau ketika berucap menyokong usul dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018).
Tambah beliau, UMNO masih bernasib baik kerana masih ada media-media pro UMNO seperti Umno-Online, BNPportal.com, Agendadaily.com, Watanonline.com, Myfokus.com, Mynewshub.cc yang masih melaporkan berita-berita yang benar, walaupun terpaksa beroperasi tanpa sebarang bayaran dan atas kos sendiri.
Dalam ucapannya, Tun Faisal turut menyelar tindakan ahli yang meninggalkan parti disaat UMNO diuji dengan kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.
“Meninggalkan parti sewaktu parti diuji bukan sifat terpuji, lebih-lebih lagi apabila memberi alasan yang dangkal serta menyelar UMNO dalam kenyataan semasa meninggalkan parti.
“Saya cuma nak beritahu, dalam keadaan ditekan oleh kerajaan yang zalim hari ini, tidak kisah siapapun Presiden, pemimpin yang kurang berdaya tahan akan tetap meninggalkan parti,” katanya- media umno
Semantara itu wakil UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata apa yang lebih menyedihkan ialah bila dalam kalangan wakil rakyat UMNO yang keluar parti adalah bekas Menteri dan Timbalan Menteri. " Mereka ini ketika menjadi Menteri dan Timbalan Menteri kalau nak jalan ada pemandu dan pengiring , ini semua mereka perolehi kerana UMNO atas sokongan Ahli Parti sehingga darjat mereka diangkat , darjat diangkat kerana parti bukannya mereka sendiri"katanya. Beliau menyatakan sokongan terhadap tindakanparti menghantar writ saman kepada golongan berkenaan , beliau berkata jelas sekali wakil rakyat yang keluar parti adalah pengkhianat paling teruk , dayus dan bacul kerana mereka lari dari perjuangan parti tatkala UMNO berada dalam waktu susah.
Kegagalan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu bukanlah satu destinasi terakhir dalam perjuangan.
Sebaliknya, perjalanan parti keramat Melayu itu masih jauh dan perjuangan belum pun selesai, kata wakil Wanita UMNO, Latteffah Aliyaru Kunju.
Ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden, Latteffah berkata, sudah tiba masanya untuk seluruh ahli parti memandang ke depan dan tidak lagi menoleh ke belakang walaupun hari ini UMNO telah bertukar menjadi pembangkang.
“Kita buang rasa sedih dan murung ini jauh-jauh. Kita wajib bermuhasabah diri dan berhentilah dari terus menuding jari kepada pemimpin mahu pun ahli sesama sendiri.
“Nasi telah menjadi bubur namun, bagi kita bubur bukan sebarang bubur kerana ianya masih mampu mengenyangkan perut yang lapar. Walaupun kita telah bekerja keras sebelum ini, namun apakan daya, kita berusaha dan merancang Allah juga yang menentukan,” katanya. Latteffah berkata, UMNO perlu memikirkan isu-isu yang menjadi perhatian rakyat selain berusaha untuk mencari kaedah bagaimana untuk menolak segala dakyah negatif yang dilontarkan terhadap parti.
“Inilah yang perlu dilihat oleh semua kepimpinan parti bagaimana kaedah dan pendekatan untuk kita menepis dakyah kerajaan baru dan menyedarkan rakyat terhadap segala kepincangan yang dilakukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap supaya pucuk pimpinan segera menggariskan hala tuju parti agar ahli UMNO di peringkat akar umbi dapat bergerak dalam memastikan parti terus diterima sekaligus mengembalikan kepercayaan rakyat.
Malah katanya, selaku tulang belakang parti, Wanita UMNO turut memohon Presiden agar tidak lagi mengistilahkan sayap itu sebagai ‘pergerakan’ sebaliknya mengiktiraf sebagai ‘Wanita UMNO’ sahaja yang diapit oleh dua sayap pemuda dan puteri.
“Kegigihan dan kesetiaan Wanita UMNO tidak dapat dipertikaikan. Sejak tertubuhnya UMNO, hak-hak wanita telah diperjuangkan secara konsisten oleh Wanita UMNO sehinggalah kepada era kepimpinan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan disambung Datuk Dr. Noraini Ahmad hari ini,” katanya. “Tugas-tugas Jalinan Rakyat (JR) telah dilakukan dengan sebaik mungkin namun kami akui ianya ada kelemahan-kelemahan tertentu yang perlu diperbaiki. Saya yakin dan percaya kita sama-sama mampu memperbaiki kelemahan berkenaan,” katanya Latteffah seterusnya menambah apa yang perlu difikirkan bersama hari ini adalah isu-isu yang menjadi perhatian rakyat selain berusaha untuk mencari kaedah bagaimana untuk menolak segala dakyah yang dilontarkan kepada parti.
“Selain itu, kita juga perlu melihat bagaimana orang muda tidak mahu dimomokkan dengan cerita-cerita perkauman sebaliknya mereka mahu melihat kerajaan yang telus, bersih dan apakah khidmat bakti yang mampu kerajaan berikan kepada rakyat,” ujarnya lagi. – MediaUMNO
Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi ini digamatkan dengan seloroh Wakil UMNO Kedah, Noran Zamini Jamaluddin yang menyarankan supaya pemimpin yang meninggalkan parti itu untuk berlakon dalam filem ‘Munafik 3’.
Sambil meniru mimik suara bapa kepada pengarah filem itu, Datuk Yusof Haslam, Noran Zamini berkata, bekas pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee yang ‘pandai berlakon’ sangat sesuai dengan tajuk filem itu.
Noran berkata, pemimpin yang mahu lompat parti atau keluar daripada UMNO dipersilakan untuk berbuat demikian tetapi mereka diingatkan supaya tidak memperlekehkan perjuangan UMNO.
“Ada yang sudah hampir 40 tahun dalam UMNO, dapat pelbagai manfaat sebab jadi ahli UMNO, sekarang parti ini kalah dan anda nak keluar parti, anda kata parti ini tidak relevan?
“Di atas dunia anda boleh beri macam-macam alasan, tetapi nanti di akhirat, anda perlu jawab kepada Allah SWT mengapa anda meninggalkan perjuangan untuk agama dan bangsa ini,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
Ahli-ahli UMNO perlu mengambil sikap bermuhasabah ekoran kekalahan besar yang dialami parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.
Wakil Kedah, Noran Zamini Jamaluddin berkata, sikap bermuhasabah lebih baik dan ia mampu menyedarkan diri di atas apa yang berlaku daripada mengambil keputusan mengkhianati perjuangan.
“Kalau pun terjadi sesama kita (tewas) janganlah selepas kalah kita mengkhianati parti.
“Kita pernah merai kemenangan bersama-sama pada PRU11, PRU12 dan PRU13 dengan berpeluk. Tiba-tiba PRU14 kita kalah, kita nak tuding jari ke orang itu dan ini. Tidak cantik macam itu,” katanya pada sesi membawa usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Noran berkata, ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi presiden parti ramai dalam kalangan perwakilan hanya menyokong apa yang diputuskan tanpa mengeluarkan teguran.
Tetapi, selepas beliau bukan lagi memegang pucuk pimpinan ada yang cuba menyalahkan dengan bermacam perkara.
“Tak adillah macam tu. Bila dah kalah ni kita ambil tanggungjawab sama-sama,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Noran yang juga Pengerusi Biro Penerangan, Penyelidikan dan Tugas-tugas Khas UMNO Bahagian Pokok Sena menegaskan, langkah yang diambil oleh sesetengah pemimpin UMNO yang melompat keluar parti ketika ini dibuat secara terburu-buru.
Katanya, individu yang bertindak lompat parti boleh memberikan pelbagai alasan untuk mempertahankan tindakan mereka itu namun, mereka mungkin membuat keputusan yang tidak tepat.
“Empat hari lalu kita dengar PPBM di Negeri Sembilan dibubar, kita tunggu sikit hari silap-silap PPBM akan bubar di sembilan negeri lagi,” ujarnya.
Dengan mengambil ungkapan ayat di dalam al-Quran, Noran berkata, tiap-tiap pejuang yang kemudian lari daripada perjuangannya mereka itu akan dihisab oleh Allah diakhirat kelak kerana telah mengkhianati agama, bangsa dan negara. – MalaysiaGazette
Langkah penurunan kuasa kepada bahagian untuk memilih calon harus diteliti sebaiknya serta melalui perundingan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata penurunan kuasa tidak harus diberi secara mutlak bagi mengelak masalah termasuk politik wang.
“Penurunan kuasa itu elok tengok betul-betul, jangan biarkan penurunan kuasa secara mutlak, kata nak bagi pemilihan calon kepada bahagian, ini saya rasa perlu ada perundingan.
“Kalau kita bagi kuasa kepada bahagian terus secara 100 peratus esok, kita juga akan ada masalah.
“Saya risau akan ada masalah seperti politik wang akan berleluasa dan tidak akan padamlah masalah yang menghantui kita selama ini. Itu yang saya minta, kita kaji betul-betul sebelum kita menurunkan kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di sini hari ini.
Dalam ucapan dasar malam tadi, Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menggariskan tujuh teras merangkumi 21 langkah menentukan hala tuju UMNO.
Menerusi langkah 16, UMNO menggariskan peranan badan perhubungan UMNO negeri harus diberikan kuasa tertentu untuk memberi lebih ruang kepada mereka membuat keputusan.
Ahmad Zahid berkata, beliau bersetuju dengan penurunan kuasa itu yang membabitkan jentera, pengurusan dan hal ehwal disiplin parti melakukan penyelarasan aktiviti ke akar umbi dalam usaha merakyatkan parti.
Perwakilan UMNO Bahagian Tawau yang berada di Perhimpunan Agung UMNO tahun 2018. Diketuai oleh Ketua Bahagian YB.Datuk Hj.Nizam bin DSP AB Titingan.
Kesempatan Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO dari Bahagian Tawau bersama Datuk Seri Mohd.Najib Tun Hj.Abd.Razak di waktu rehat makan tengahari sambil memberikan kata kata semangat untuk meneruskan agenda politik beliau walaupun mendapat tekanan dari pelbagai pihak terutama sekali mereka yang tidak mahu orang orang Melayu atau Bumiputra Malaysia maju dan menerima kejayaan. Beliau sungguh gembira dapat bersama Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tawau walaupun beliau tidak berkuasa lagi tapi masih kekal diingati. Pada kami Datuk Seri Mohd.Najib adalah seorang pejuang bangsa Melayu yang tulin sentiasa merasakan detik perit dan susah payah yang ditanggung oleh Bangsa Melayu dan Bumiputra mengharungi zaman kepelbagaian ini. Kami akan sentiasa mengingati bahawa semasa era pemerintahan nya , beliau sentiasa memikirkan keperluan rakyat terutama rakyat yang kurang berkemampuan. Beliau membekalkan kepada rakyat pelbagai bantuan dan inisiatif bagi membantu rakyat membina masa depan yang lebih baik. Tetapi bak kata pepatah " Rambut sama hitam , hati lain lain" tidak semua rakan taulan seperjuangan yang berfikiran seperti nya , lebih lebih lagi orang orang Melayu yang diluar sana yang inginkan kuasa akan mempergunakan apa saja kuasa yang ada bagi memusnahkan agenda politik beliau. Semoga Datuk Seri Mohd.Najib Tabah dan sentiasa bersandar pada kekuasaan Allah agar beliau dapat mengatasi segala masaalah yang dihadapinya.

Ucapan Penggulungan Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi sebelum penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2018.
Ucapan tahniah dan syabas kepada Para pembahas Usul dan Penyokong usul kerana telah memberikan input yang sangat berguna disamping dapat memberikan perhatian kepada perwakilan yang hadir.
Suasana ramai kehadiran Perwakilan cukup memberangsangkan berbeza dengan tanggapan sesetangah pihak yang mahukan Perhimpunan Agung UMNO kali ini hambar dengan kehadiran yang tidak ramai. Ada sesetengah pihak mahukan UMNO ini runtuh dan hancur lebur. Walaubagaimana pun ingatlah pesanan ahli Pujangga pernah berkata " Setiap masalah ada jalan untuk membetulkan nya".

Umno akan mengambil balik semua asetnya yang dipegang oleh penama. Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah mengarahkan Bendahari Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk mendapatkan semula aset terbabit demi menjaga kepentingan dan kelangsungan parti.
"Saya dapati ada dalam kalangan penama ini yang presiden dahulu telah letakkan kepercayaan kepadanya bagi pihak Umno, apabila ditemui menyatakan bahawa saham atau aset itu mereka punya. Umno akan mengambil tindakan undang-undang untuk memperoleh balik aset itu.
"Trustee ini sepatutnya memegang amanah. Kita tidak mahu orang yang tidak amanah memegang amanah bagi pihak kita," katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2018 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Katanya aset yang diambil balik itu akan dibawa ke jawatankuasa pengurusan serta dibentangkan kepada Majlis Tertinggi secara telus.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata aset berkenaan tidak mencecah nilai bilion ringgit seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Apabila saya melihat aset dan liabiliti daripada laporan yang diberikan rakan-rakan kita yang menjadi CEO kepada syarikat-syarikat dan pemegang saham bagi pihak Umno ini, kita lihat harta kita tidak sebanyak itu," katanya.
Pada sidang media selepas itu, Ahmad Zahid berkata Umno sedang mengesan beberapa lagi dokumen berkaitan aset itu.
“Kita sedang mencari dokumen-dokumen. Ada dokumen yang telah berada dalam tangan kita,” katanya. -Bernama

UMNO memberikan peringatan bahawa parti itu tidak akan membenarkan usaha-usaha dilakukan melalui pintu belakang bagi berunding untuk menarik sekumpulan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyertai pihak kerajaan Pakatan Harapan. Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pihaknya tidak mahu kekuatan wakil-wakil rakyat BN diracik-racikkan dengan hanya membawa sebahagian daripada mereka untuk meningggalkan parti. Sebaliknya, beliau berkata, sebarang usaha untuk mendapatkan sokongan daripada wakil rakyat BN harus dilakukan secara bersama atau ‘en bloc’. “Sebagai Pengerusi BN, apa sahaja tindakan yang kita lakukan mestilah dilakukan bersama secara en bloc. Kita tahu terdapat pelbagai kaedah yang dilakukan tetapi lakukanlah secara bersama,” katanya.
Perhimpunan Agung UMNO pada hari terakhir dengan ucapan Penggulungan dari Presiden UMNO
Perwakilan mengangkat tangan menerima usul pada majlis penutup Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur semalam
YB.Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid menyampaikan ucapan penggulungan Presiden UMNO dihari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2018 di PWTC, Kuala Lumpur
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan tertinggi UMNO menyanyikan lagu ‘Teman Sejati’ dan lagu UMNO bersama para perwakilan sebaik berakhirnya ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2018, di Dewan Merdeka PWTC.- Foto: MediaUMNO
Zahid,
Mohamad Hasan dan barisan Ahli Majlis Tertinggi bergandingan tangan
sewaktu menyanyikan lagu Teman Sejati selepas ucapan penggulungan
Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala
Lumpur .
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan tertinggi UMNO menyanyikan lagu ‘Teman Sejati’ dan lagu UMNO bersama para perwakilan sebaik berakhirnya ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2018, di Dewan Merdeka PWTC.- Foto: MediaUMNO
IKRAR taat setia yang dilafazkan beramai-ramai pada akhir Perhimpunan Agung UMNO semalam membawa seribu makna. Ia melambangkan keinsafan para perwakilan dan pucuk pimpinan parti akan tugas, tanggungjawab dan amanah yang mereka pikul untuk meneruskan perjuangan membela agama, bangsa dan tanah air.
Ia juga melambangkan ikatan kuat ahli-ahli UMNO yang ternyata tetap satu walaupun melalui pergolakan yang menggegarkan.
Itulah UMNO - parti politik sepanjang zaman yang telah berjaya melalui ujian demi ujian dengan penuh keyakinan, kejayaan dan kebijaksanaan.
Tugas berat membela agama, bangsa dan tanah air yang dipikul UMNO sejak hari pertama lagi sesungguhnya sedang menjadi semakin berat dan semakin mencabar hari ini. Cabaran kini bukan sahaja datang dari dalam, tetapi juga dari luar. Perjuangan itu menjadi bertambah sulit apabila ada anak bangsa yang sedia menjadi tali barut kuasa asing.
Tapi ribut sudah berlalu. UMNO masih berdiri tegak. Bagaimanapun perjuangan belum selesai. Malah, sekarang adalah masa untuk merapatkan barisan bagi melancarkan perjuangan besar bagi menghadapi cabaran semakin besar itu.
Perhimpunan Agung UMNO ke-53 yang berakhir semalam hendaklah dilihat sebagai simbol pelancaran perjuangan besar itu yang bermatlamat memenangi pilihan raya umum dengan cemerlang. Kejayaan cemerlang akan dengan sendirinya mematikan segala tohmahan, celaan dan hasutan terhadap UMNO dan kerajaan.
Tiada masa lagi bagi ahli-ahli UMNO untuk berpeluk tubuh dan memandang ringan segala perkembangan politik dewasa ini. Sebaliknya, ahli-ahli UMNO perlu keluar dan memberi penerangan sejelas-jelasnya mengenai isu-isu yang disebarkan untuk meracuni rakyat.
Kini UMNO telah mengenal pasti musuh-musuhnya. Jentera fitnah pembangkang, terutamanya yang mempergunakan agama untuk kepentingan diri dan politik sempit, perlu ditentang habis-habisan.
Slogan dan panji-panji perjuangan bahawa UMNO adalah wadah perjuangan orang Melayu hendaklah terus dikibarkan dengan berani supaya ia berkembang dan semarak ke seluruh tanah air. Beritahu rakyat bahawa UMNOlah yang telah meletakkan asas dan landasan pemerintahan negara sehingga kita telah dapat menebus kembali maruah yang tergadai.

Oleh itu, usaha mempertahankan kedudukan dan martabat orang Melayu di tanah airnya sendiri mesti diteruskan tanpa tolak ansur.
Ahli-ahli UMNO sewajarnya akur dengan amanat presiden parti bahawa beliau mahu bangsa Melayu memasuki alaf baru dengan lebih kuat, kukuh jati diri dan bergerak mencapai masa depan yang lebih gemilang.
Mulai saat ini ahli-ahli UMNO harus bekerja keras untuk membantu rakyat memahami sebarang perkembangan semasa yang sudah diputarbelitkan oleh pihak pembangkang itu. Semua orang tahu pihak pembangkang tidak mempunyai modal. Mereka mahu memutarbelitkan apa sahaja kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan untuk faedah sendiri. Jangan biarkan rakyat terus dikelirukan.
Maka menjadi tanggungjawab ahli-ahli UMNO untuk menangkisnya. Dampingilah rakyat, selamilah perasaan mereka, dengarlah masalah mereka kerana kita pasti tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Mulai sekarang UMNO mesti menggerakkan jentera parti dengan lebih agresif bagi memastikan kejayaan cemerlang.
Adalah menjadi tanggungjawab UMNO untuk memastikan ia mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang. Kejayaan itu amat penting untuk mempertahankan martabat Melayu. UMNO boleh melaksanakan tanggungjawab ini.
Keberangkatan balik para perwakilan , pemerhati dan para peserta yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2018. Setelah beberapa hari berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO , tiba lah masa untuk kembali ketempat masing masing dengan membawa seribu harapan untuk meneruskan perjuangan memperkukuhkan perpaduan ahli UMNO ditempat sendiri.
Walaupun kita gagal dalam PRU14 tetapi semangat perjuangan UMNO tetap diteruskan. Setiap kegagalan adalah pelajaran yang mendorong kita untuk mencuba pendekatan baru yang belum pemah dicuba sebelumnya. Bagi Pejuang UMNO sejati, “Berani Gagal” berarti “Berani Belajar”. Dengan gagal dan dengan belajar, kita akan menjadi orang yang lebih baik dan belajar bagaimana menciptakan kejayaan sejati. Walaupun kita kehilangan kuasa yang pernah diperolehi, kita tahu bagaimana menciptakan semua kejayaan itu lagi. Pengalaman tidak pemah hilang sebaliknya, kita yang tidak pemah mengalami perjalanan yang sulit dan menemukan kekayaan dengan mudah, kita akan tahu bagaimana menciptakan kejayaan ketika kita kehilangan kuasa. Dengan kata lain, mereka yang tidak gagal tak akan tahu kejayaan sejati.
Kita tidak perlu menuding jari kepada rakan seperjuangan apabila kita gagal. Kegagalan ini adalah kegagalan kita bersama , dari itu tempuhi lah dengan rasa Tawadduk dan rendah diri bahawa Allah akan mencuba sesuatu kepada hambanya agar mereka tidak akan lalai dan alpa selamanya dengan kemewahan dan kekuasaan yang ada.
Surah Ali'Imran. Ayat 026.
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Semoga kita insaf dan sedar dan kembali kepada perjuangan asal UMNO untuk membela Agama , Bangsa dan Tanahair. Kita jadikan kegagalan kita hari ini sebagai suatu wadah perjuangan yang akan membina dan penyatuan orang orang Melayu agar bersatu hati dan bekerjasama dalam menempuhi pejuangan masa hadapan.
Kita ditewaskan dengan pembohongan , fitnah , persipsi yang keterlaluan terhadap Parti dan Pemimpin kita sehingga ianya dipercayai oleh mereka yang seakan benar belaka.
Hadits tentang Para Pemimpin yang Bohong
عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ ، قَالَ : خَرَجَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , فَقَالَ : ” إِنَّهُ سَيَكُونُ عَلَيْكُمْ بَعْدِي أُمَرَاءٌ فَمَنْ دَخَلَ عَلَيْهِمْ فَصَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهمْ ، فَلَيْسُ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ ، وَلَيْسَ بِوَارِدٍ عَلَيَّ حَوْضِي ، وَمَنْ لَمْ يُصَدِّقْهُمْ بِكَذِبِهمْ وَلَمْ يُعِنْهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ ، فَهُوَ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ وَسَيَرِدُ عَلَيَّ الْحَوْضَ ” ، هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ ، أَخْرَجَهُ أَحْمَدُ ، عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ الْقَطَّانِ ، عَنْ سُفْيَانَ الثَّوْرِيِّ ، فَوَقَعَ لَنَا بَدَلًا عَالِيًا ، وَأَخْرَجَهُ النَّسَائِيُّ ، عَنْ عَمْرِو بْنِ عَلِيٍّ ، عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ
سَتَكُونُ بَعْدِي أُمَرَاءُ ، مَنْ دَخَلَ عَلَيْهِمْ فَصَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ ، وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ ، فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ ، وَلَيْسَ يَرِدُ عَلَيَّ الْحَوْضَ ، وَمَنْ لَمْ يَدْخُلْ عَلَيْهِمْ ، وَلَمْ يُصَدِّقْهُمْ بِكَذِبِهِمْ ، وَلَمْ يُعِنْهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ ، فَهُوَ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُ ، وَسَيَرِدُ عَلَيَّ الْحَوْضَ.
(النسائى في كتاب الإمارة).
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda: “Akan ada setelah (wafat) ku (nanti) umaro’ – para amir/pemimpin (yang bohong). Barangsiapa masuk pada mereka lalu membenarkan (menyetujui) kebohongan mereka dan membantu/mendukung kezaliman mereka maka dia bukan dari golonganku dan aku bukan dari golongannya, dan dia tidak (punya bagian untuk) mendatangi telaga (di hari kiamat). Dan barangsiapa yang tidak masuk pada mereka (umaro’ bohong) itu, dan tidak membenarkan kebohongan mereka, dan (juga) tidak mendukung kezaliman mereka, maka dia adalah dari golonganku, dan aku dari golongannya, dan ia akan mendatangi telaga (di hari kiamat). (Hadits Shahih riwayat Ahmad dan An-Nasaa’i dalam kitab Al-Imaroh).
Hal itu sebagaimana Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam,
سَيَأتِي عَلَى النَّاس سَنَوَات خَدَّاعَات، يُصَدَّق فِيهَا الكَاذِب ويُكَذَّب فِيهَا الصَّادِق، ويُؤْتَمَن فِيهَا الخَائِن ويُخَوَّن فِيهَا الأَمِين، ويَنْطِق فِيهَا الرُّوَيْبِضَة، قِيْلَ: ومَا الرُّوَيْبِضَة؟ قَالَ: الرَّجُل التَّافِه في أمْر العَامَّة
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu daya, dimana pendusta dipercaya dan orang jujur didustakan, pengkhianat diberi amanah dan orang yang amanah dikhianati, dan berbicara di zaman itu para Ruwaibidhoh.” Ditanyakan, siapakah Ruwaibidhoh itu? Beliau bersabda, “Orang bodoh yang berbicara dalam masalah umum.” (HR. Al-Hakim).

Semoga kita yakin dan bersatu dibawah satu panji perjuangan UMNO yang terus membela Agama , Bangsa dan Tanahair. Ketepikanlah masalah remeh temeh yang sentiasa membelenggu kita.
BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT
BERSATU-BERSETIA-BERKHIDMAT
Perhimpunan Agung UMNO 2018 telah berakhir semalam yang melibatkan perwakilan UMNO dari 191 bahagian di seluruh negara termasuklah peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun ramai yang meramalkan perhimpunan kali ini akan hambar dan tiada sambutan tetapi realitinya perhimpunan tetap meriah.
“Jurucakap, perwakilan dan pemerhati terus bersemangat, malah pemerhati di luar dewan seperti biasa memenuhi ruang legar dengan bersila mengikuti persidangan melalui skrin besar.
Beliau mengakui wujudnya rasa bimbang di dalam dirinya, termasuk para pemimpin lain termasuk di peringkat akar umbi berhubung sambutan serta kehadiran ahli dan perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung 2018 yang lepas memandangkan parti ini tidak lagi menjadi kerajaan selepas PRU ke 14 yang lalu.
Menurut beliau, perasaan bimbang dan ragu-ragu itu ditambah pula dengan dakwaan sesetengah pihak yang kononnya perhimpunan kali ini menjadi satu perhimpunan yang hambar ekoran kekalahan mengejut UMNO setelah 61 tahun memegang tampuk pemerintahan negara.
“Sebenarnya, sebelum perhimpunan itu, kita memang merasa ragu-ragu. Bukan setakat di kalangan pemimpin tertinggi, tetapi juga pimpinan dan ahli di peringkat akar umbi juga agak skeptikal dengan perhimpunan kali ini.
“Apatah lagi, pelbagai gambaran yang cuba diberikan seolah-olah untuk mempersenda dan memperlekehkan perhimpunan Agung UMNO kali ini, seolah-olah perhimpunan agung kali ini akan menjadi sebuah perhimpunan yang gagal mendapat sambutan lagi di kalangan ahli-ahli.
“Tetapi, di luar jangkaan kita, apabila perhimpunan itu dijalankan pada hari Jumaat tetap dihadiri oleh ribuan perwakilan serta ahli-ahli dan ia berterusan pada hari kedua dan hari terakhir perhimpunan, di mana dewan Merdeka tetap dipenuhi oleh para perwakilan hingga di saat akhir perhimpunan,” ujarnya.
Beliau mendedahkan perkara tersebut ketika menjadi ahli panel dalam program diskusi U3.0 yang membawa tajuk Cabaran Melayu yang bersiaran langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online.
Tambahnya lagi, kehadiran ahli yang bukan perwakilan, serta orang-orang Melayu yang hadir ke PWTC untuk mengikuti perbahasan-perbahasan oleh perwakilan juga amat memberansangkan memenuhi ruang legar PWTC pada hari tersebut.
“Ya, kalau perwakilan itu kita fahamlah, mereka hadir kerana tanggungjawab mereka sebagai perwakilan mewakili bahagian-bahagian mereka. Namun, kehadiran ahli-ahli biasa, serta orang-orang Melayu yang menyokong perjuangan parti ini adalah membanggakan apabila di luar dewan sana dipenuhi oleh mereka yang hadir sebagai pemerhati.
“Saya difahamkan kali ini tidak lagi menyewakan bas untuk hadir sepertimana sebelum ini dan ini bermakna mereka yang hadir itu menggunakan kenderaan sendiri untuk hadir dengan semangat dan keyakinan yang tidak pernah luntur kepada perjuangan parti ini,” tegasnya
Malah, apa yang lebih membanggakan kata Ismail, perwakilan yang hadir serta pembahas-pembahas yang berucap di dalam perhimpunan telah memperlihatkan satu semangat juang yang tidak luntur walaupun UMNO kini tidak lagi menjadi tonggak kepada kerajaan.
“Kita boleh lihat ucapan-ucapan perbahasan di peringkat sayap mahupun di peringkat perhimpunan agung, semua bercakap dengan lebih bersemangat dan saya kira ucapan-ucapan perbahasan pada perhimpunan agung kali ini adalah lebih baik daripada yang sebelumnya.
“Jika kita lihat perbahasan-perbahasan oleh perwakilan lebih menjurus kepada kebangkitan semangat perjuangan ahli di mana perbahasan kali ini adalah lebih serius yang berkisar tentang survival politik bangsa Melayu berbanding dengan perhimpunan agung sebelum ini,” ujarnya.-MediaUMNO
END
No comments:
Post a Comment