Sunday, December 2, 2012

#PAU2012






Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak semasa memberi taklimat kepada para perwakilan pada Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, Selasa. Foto BERNAMA.

27 November 2012 @ 3.00 petang , Dewan Merdeka Aras 4 , PWTC Kuala Lumpur -  Kesiapsiagaan parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang merupakan amanat utama Datuk Seri Najib Tun Razak kepada semua perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Dalam Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung ke-66 itu, Najib mengingatkan perwakilan supaya bekerja keras dan lebih agresif dalam memenangi sokongan rakyat. Aspek kesatuan turut diberi penekanan untuk memastikan parti terus mantap dan berjaya pada pilihan raya umum nanti.




Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, 
Perdana Menteri menekankan supaya kesiapsiagaan parti terus kekal dan mantap dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang. Katanya, Najib menasihati semua yang hadir supaya bersatu dan tampil sebagai satu pasukan yang sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan demi keutuhan parti.
"Semua anggota serta perwakilan perlu faham dan sedar peranan masing-masing dan tidak terhenti di situ sahaja. Perlu ada kesinambungan dalam perjuangan demi mengangkat martabat bangsa dan negara kerana menang atau kalah parti bergantung kepada semangat satu padu semua kaum dalam parti," katanya.

Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Presiden Umno dalam amanatnya mengingatkan perwakilan bahawa perhimpunan Umno pada kali ini bukan satu perhimpunan biasa.
"Ia akan menentukan masa depan bukan sahaja ahli di dalam dewan (Dewan Rakyat) tetapi bangsa, rakyat Malaysia sendiri dan agama kita yang merupakan tunjang dan asas kepada perjuangan parti kita," katanya.

Beliau berkata, Presiden turut mengingatkan perwakilan untuk berhimpun dengan niat dan kesungguhan yang senada dan bersatu padu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.





Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaluddin pula berkata, 
Najib menyeru anggota Umno bertindak agresif mendekati rakyat bagi menanam keyakinan bahawa visi serta hala tuju Umno lebih baik daripada pembangkang.

Khairy berkata, seruan itu dilaungkan bagi memastikan parti keramat orang Melayu itu mampu mempertahankan kemenangan yang dikecapi pada pilihan raya umum (PRU) sebelumnya.


Ketua Pergerakan Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, Najib mengingatkan semua sayap parti agar bersatu sebagai satu ikatan dengan semangat untuk menang dalam menghadapi pilihan raya akan datang. Rosnah berkata, kesepaduan dan kesepakatan itu boleh ditunjukkan dengan menyokong penuh sesiapa sahaja yang terpilih untuk menjadi calon pilihan raya.
"Anggota UMNO perlu sentiasa bersiap sedia, sama ada yang muda ataupun yang tidak terpilih sebagai calon untuk memberi komitmen dan menunjukkan kesetiaan bagi memenangi pilihan raya dengan cemerlang," katanya.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, DS Ahmad Shabery Cheek berkata, Najib mengingatkan anggota parti untuk terus bekerja kuat dan memberi khidmat kepada rakyat.

Anggota MT, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula berkata, Presiden UMNO mengingatkan semua perwakilan supaya lebih agresif dalam menghadapi pembangkang pada pilihan raya umum akan datang demi memastikan UMNO mencapai kejayaan cemerlang.

Ke arah itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, semua anggota parti perlu mengenal pasti seterusnya memperbaiki kelemahan yang ada serta menyokong apa juga keputusan presiden.

"Yang penting kita kena bersatu, jangan ada sabotaj dan apa jua keputusan yang dibuat oleh presiden perlu dipersetujui... calon yang dipilih hendaklah disokong habis-habisan," katanya.

Anggota MT, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata semasa taklimatnya, Najib bertindak sebagai seorang kapten dan sangat berterus-terang dalam memastikan matlamat dan mesej yang ingin disampaikan kepada pewakilan tercapai.
"Kejayaan dalam pilihan raya itu adalah sesuatu yang boleh dicapai tetapi syaratnya Umno mesti teguh dan kukuh," katanya dan menambah Najib juga mahu perwakilan menunjukkan bahawa parti itu sudah berubah selaras dengan tuntutan semasa dan kehendak rakyat.

Anggota MT Tan Sri Rafidah Aziz berkata, anggota Umno mesti bersatu sebagai sebuah pasukan untuk memenangi pilihan raya dan menguasai semula negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang.

Katanya, jika Umno dan BN menang dua per tiga kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan yang kuat, Malaysia juga akan mempunyai kedudukan yang kukuh di persada antarabangsa.

"Sekarang ini kita dalam era yang global, bukannya persoalan diri nak jadi calon, persoalan siapa calon kita nak pilih, tapi soal parti yang kita perlu menangkan kerana agenda rakyat yang kita nak laksanakan," katanya.
Anggota MT, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, anggota parti perlu menekankan aspek perpaduan dalam usaha untuk memenangi pilihan raya nanti.
"Kita jangan lupa pentingnya sokongan kaum-kaum lain untuk BN menang. Sekarang kaum Cina sudah mula memberi sokongan kepada kita," katanya.

Beliau turut mengharapkan anggota Umno dapat menjalankan tanggungjawab bukan untuk kepentingan individu sebaliknya demi kemakmuran negara.



28 November 2012 , Dewan Merdeka Aras 4 Bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur - Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil “MASA DEPAN UMNO: BERANJAK UNTUK MELONJAK KE ARAH KEMENANGAN”


Syukur Alhamdulillah, kita dapat berhimpun pada pagi yang barakah ini.  Hari ini bersejarah, menyaksikan satu Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Merdeka. Bersejarah kerana kita serikandi Malaysia datang dari seluruh pelusuk negara bukan hanya untuk menunaikan tanggungjawab kita mengikut Perlembagaan UMNO, tetapi juga untuk berikrar dan berjanji bahawa kita akan berjuang habis-habisan dengan penuh keikhlasan, demi Agama, Bangsa dan Negara. Bersejarah kerana Perhimpunan Agong ini diadakan di ambang PRU 13, satu-satunya Pilihan Raya Umum yang akan menentukan dan memuktamadkan bukan hanya nasib orang Melayu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.

Saya amat bersyukur, hari ini saya bersama-sama puan-puan dan tuan-tuan dari Majlis Tertinggi UMNO, diberi kesempatan bersidang lagi. Saya mengucapkan Selamat Datang dan mengalu-alukan kehadiran 979 orang perwakilan Pergerakan Wanita UMNO dari seluruh negara. Kehadiran pada hari ini adalah besar ertinya kepada perjuangan parti kita.  Kerana kita datang berhimpun untuk mewakili dan menyuarakan hasrat dan aspirasi lebih kurang 1.3 juta ahli Wanita UMNO dari 191 bahagian merangkumi 20,797 cawangan di seluruh negara.

Perhimpunan ini besar maknanya kepada kita, kerana sepanjang Perhimpunan Agung UMNO, kita akan mendengar dan menghayati amanat pucuk kepimpinan tertinggi, supaya selepas perhimpunan ini, kita akan pulang ke tempat masing-masing dengan membawa mesej yang disampaikan oleh pemimpin kita ke peringkat akar umbi.  Di sinilah letaknya peranan pemimpin dan perwakilan,  untuk menjelaskan kepada rakyat dasar perjuangan kita dan sebab-sebab mengapa kita mesti teguh bersatu mempertahankan perjuangan UMNO dalam pilihan raya yang akan datang. Insya-Allah dengan semangat “Bersatu Teguh Bercerai Roboh”, serta hasil kerja kita yang tidak kenal penat lelah, peranan kita ini dapat melonjak kemenangan untuk Barisan Nasional.
 



Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia kerana berjaya mentadbir negara dengan penuh tanggungjawab dalam masa lebih kurang empat tahun memimpin negara.
 

Gandingan yang mantap bersama-sama Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri dan saf-saf kepimpinan, kita telah dapat melihat sendiri kejayaan pelbagai dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha melonjakkan negara kita ke hadapan.
 

Saya ingin jelaskan bahawa Wanita UMNO berbangga sekali dengan dasar transformasi ekonomi dan politik yang telah diperkenalkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dan barisan kabinetnya. Bagi memastikan dasar ini mencapai matlamatnya, saya ingin menyatakan Wanita UMNO bersiap siaga untuk digerakkan bersama dengan kerajaan dalam usaha untuk memastikan setiap dasar dan agendanya dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sebagai tulang belakang kepada parti yang menjadi kerajaan, Wanita UMNO akan sentiasa memastikan visi kerajaan dapat dicapai.
 

"Saya bersyukur kerana berkat kepimpinan jujur dan ikhlas Perdana Menteri yang dikasihi, negara kita kini berada di landasan yang betul ke arah mencapai sasaran negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020."

 Ini boleh dilihat dari beberapa laporan antarabangsa seperti berikut.


Sebagai contoh, Global Competitiveness Report 2012-2013 yang diterbitkan oleh World Economic Forum meletakkan Malaysia sebagai negara yang ke-25 paling berdaya saing daripada 144 buah negara.

Selain itu, laporan Doing Business 2013 yang dikeluarkan oleh Bank Dunia pula meletakkan Malaysia di kedudukan ke-12 daripada 185 negara yang paling berdaya saing untuk menjalankan perniagaan.  Dalam persekitaran ekonomi global yang kian mencabar ini pula, negara kita masih mampu mencatat pertumbuhan sebanyak 5.2% pada suku ketiga tahun 2012.



Apa maknanya data yang saya ungkapkan di atas?

Data di atas menunjukkan tiga perkara.

Pertama, kejayaan kerajaan memacu negara kita ke depan dan ini pastinya hasil dari kepimpinan baik yang didokong oleh parti UMNO kita yang keramat ini.


Kedua, ini membuktikan dasar dan program yang dirancang oleh kerajaan memberi kesan yang positif kepada negara, termasuklah kepada semua ahli kita, keluarga kita, dan juga suku sakat parti pembangkang yang setiap hari kerjanya sentiasa mengutuk dan memfitnah kita.


Ketiga, kita mencapai kejayaan tersebut kerana adanya kerjasama dari rakyat Malaysia, khususnya dari kakitangan perkhidmatan awam. Hasil kegigihan dan komitmen mereka, maka mutu perkhidmatan kita menjadi cekap, pelayanan kepada masyarakat menjadi tepat, dan persekitaran hidup kita menjadi sihat dan selamat.



Maka, atas dasar peranan kakitangan awam yang setia bersama kerajaan ini, Wanita UMNO hari ini ingin memohon kepada kerajaan dua perkara yang saya fikir sudah sampai masanya diberikan perhatian.

Pertama, permohonan Wanita UMNO ialah supaya kerajaan memberikan pertimbangan untuk memastikan suami isteri yang bekerja, dapat ditugaskan berdekatan antara satu sama lain. Isu ini adalah di antara isu yang dimaklumkan kepada Wanita UMNO melalui kerja-kerja Jalinan Rakyat kami di peringkat akar umbi untuk diperjuangkan. Wanita UMNO amat memahami bahawa isu ini memerlukan penelitian yang serius. Namun begitu, Wanita UMNO mahu supaya permohonan suami isteri untuk ditugaskan berdekatan dapat dilayan dalam tempoh masa paling lama setahun dari tarikh permohonan. Langkah ini penting untuk kita memberi perhatian kepada pengkukuhan institusi keluarga. Saya yakin prestasi dan produktiviti kerja mereka pastinya dapat ditingkatkan lagi sekiranya masalah ini dapat diselesaikan.

Kedua, Wanita UMNO menyokong permintaan CUEPACS supaya kakitangan awam yang telah mencapai tahap gaji maksimum diberikan kenaikan gaji tahunan. Ini kerana praktisnya setakat ini ialah pegawai awam yang telah mencecah mata gaji maksimum tidak diberikan kenaikan gaji tahunan, sedangkan mereka yang berpengalaman ini begitu signifikan sekali dalam melonjakkan kemajuan dan pembangunan negara. Kita sedar kakitangan awam ini tidak dinaikkan pangkat kerana terhadnya bilangan pangkat yang ada. Justeru itu, Wanita UMNO merasakan amatlah wajar mereka diberikan kenaikan gaji tahunan, seiring dengan kenaikan kos hidup dan sumbangan mereka kepada negara.



28 November 2012 , Dewan Tun Dr.Ismail Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur - Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia - “ANTARA DUA MASA DEPAN”

Hamzah Fansuri pernah bergurindam, kepada orang muda ditinggalkan pesan:
“Wahai muda kenali diri mu Ia lah perahu tamsil tubuh mu Tiada lah berapa lama hidup mu Ke akhirat jua kekal diam mu
Hai muda arif budiman Hasilkan kemudi dengan pedoman Alat perahu mu jua kerjakan Itu lah jalan membetuli insan”

Marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, yang telah mengurniakan kudratuntuk kita terus berkhidmat di atas wahanaperjuangan UMNO,yang baru sahaja menyambut hari lahir yang ke 66. Ulangtahun kelahiran yang telah menjadi saksi penglibatan Pemuda UMNO berlari megah, merentasi 191 bahagian, seantero 13 buah negeri, untuk mengibarkan Sang Saka Bangsa di cakerawala negara. Sang Saka Bangsa – suatu nama keramat yang telah dizahirkan oleh Pergerakan kita sendiri. 




Sebagai sayap paling penting dalam parti, organisasi kita menjadi pembawa wadah dan pelopor wawasan bukan sahaja buat orang Melayu tetapi juga seluruh watan, bermula dari era kolonial hingga ke kala arus permodenan mutakhir. Bukan sekadar menjadi pemerhati bisu atau pengikut tuli, namun sebagai pembawa obor perubahan, merintis jalan menuju kecemerlangan. Sirah kemerdekaan merakamkan bahawa Pergerakan kitalah yang telah membawa usul pada tahun 1955, agar tarikh kemerdekaan disegerakan dan dibuat pada tanggal keramat 31 Ogos 1957. Bahkan Pemuda jugalah perintis awal bagi semangat nasionalisme sejagat serta pengisian kemerdekaan yang inklusif dan sebenar, dengan cadangan agar slogan kemerdekaan ditukar dari “Hidup Melayu” kepada “Merdeka” pada tahun 1951. Natijahnya, dari dulu, kini dan selamanya, maqasid dan manhaj perjuangan Pemuda tidak pernah sirna dari memastikan UMNO kekal relevan.

Di atas landasan kesinambungan ini, Pemuda UMNO sentiasa berada di hadapan kelok perubahan zaman. Di kala awal penubuhan Pemuda, kita telah menggalas amanah sebagai kumpulan pendesak – sejajar dengan tuntutan era pra dan pasca penjajahan – yang akhirnya menyumbang ke arah kemerdekaan negara, dan seterusnya pembentukan Malaysia. Demi masa dan peralihan zaman, dan bersesuaian pula dengan konteks Model Baru Politik, kini Pemuda UMNO telah diberi nafas baru, penjenamaan semula dan perisian semasa sebagai pertubuhan yang lebih mampan dan proaktif dalam menangani isu generasi muda. Kita percaya, untuk menjuarai suara dan aspirasi pelapis bangsa, Pemuda haruslah mampu menawarkan wadah penyelesaian kepada mereka – bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir, terpekik terlolong menjaja retorik. 


 

Penghijrahan tasawwur atau worldview baru yang saya tekankan tahun lepas adalah manifestasi kematangan perjuangan pertubuhan kita.Kita harus kekalkan keseimbangan antara tradisi dan pemodenan, kemajuan fizikal dan pembangunan sahsiah, antara hikmah sejarah dan potensi pembaharuan bukan semata untuk seiring dengan zaman, tetapi juga demi agama yang menuntut kemuliaandalamkepimpinan.Justeru, agenda pendekatan islah politik ini menuntut kita untuk sentiasa berubah, agar peranan politik UMNO terus berada di batasan paling mutakhir.

Berbekal semangat juang tanpa sempadan, kita tidak hanya sekadar mengetengahkan peri-penting UMNO di mata orang muda. Tetapi selaku juara anak muda, Pemuda juga pencetus utama kepada UMNO untuk mencerminkan hasrat generasi baru yang menitikberatkan hak asasi manusia, ketelusan tadbir urus dan kebebasan bersuara. Disamping pendekatan dan penjenamaan baru ini, Pemuda tetap memelihara tradisi dan legasi parti keramat UMNO.UMNO kaya dengan warisan tersendiri – tiada satu pun organisasi lain dalam negara ini yang setaraf dengan UMNO dalam soal sejarah dan sumbangan kepada tanahair.Tradisi ini terus kekal terpelihara di bawah teraju dan kepimpinan Pemuda UMNO.Sayugialah pepatah Melayu: gayung bersambut kata berjawab, yang lama kita kelek, yang baharu kita junjung.

Apa yang tidak mampu disangkal lagi, adalah peranan Pemuda sebagai pemangkin dalam memugarkan sebuah kerajaaan yang mesra aspirasi anak-anak muda. Jika dahulu fungsi Pemuda sekadar kumpulan pendesak, kini kita telah menjalani proses transisi yang lebih menjurus kepada politik khidmat bakti dan politik islah. Sejajar dengan itu, kerajaan telah mengambil pendekatan sarwajagat yang terbuka dalam mengiktiraf anak-anak muda, dengan pelbagai inisiatif khusus yang sesuai dengan jiwa mereka.Pendekatan lapuk berbaur autoritatif, yang cenderung kepada mengarah kelompok bawahan, dan berasaskan program hiburan picisan semata, sudah tidak boleh diaplikasikan lagi – kerana kesemua ini berorientasikan pendekatan memperkecil dan meminggirkan bakat serta potensi orang muda.



Disamping kita memikirkan soal kepimpinan masa depan, wajar juga kita menginsafi tanggungjawab kita selaku pemimpin muda hari ini.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Rum, ayat ke-54:

Yang membawa maksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu, Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dialah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa".

Pengajaran yang dapat disingkap dalam ayat tersebut, masa muda hanya tiba sekali seumur hidup. Ia satu fasa kehidupan yang cukup penting dalam menjana kepimpinan. Perjalanan masih panjang, destinasi sudah jelas dipandang. Sungguhpun masih banyak yang perlu dipelajari, kita juga akui, rata-rata Pemuda sudah pun bersandar pada landasan yang kukuh dengan kekuatan dan jatidiri. Sewaktu umur ini, Pemuda dalam situasi terbaik untuk menerokai idea-idea baru, lantas memperbaharui model kepimpinan dan politik generasi sebelum ini. Zaman muda adalah zaman keemasan yang mengurniakan peluang-peluang yang tidak datang sebelum datangnya muda, dan ia takkan datang lagi selepas perahu muda ini berlalu pergi.
 



Berpegang kepada tasawwur ini, kita insaf bahawa Allah SWT telah mengatur takdir dan ujian untuk setiap daripada kita. Allah 
SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah, ayat ke-286:

Bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”
Dalam usaha kita untuk mengambil peluang zaman muda, sekaligus menzahirkan sebaik keupayaan kita, kita juga harus sedar bahawa kapasiti kepimpinan setiap insan, pasti berbeza. Tidak dapat tidak, dalam mana-mana arena politik sekalipun, sudah pasti ramai yang memendam cita-cita mendaki puncak kepimpinan. Dalam pendakian ini, janganlah pula kita terlalughairah mengejar puncak, sehingga kita alpa dengan pahala kebajikan. Maha Pencipta tidak mewajibkan setiap seorang daripada kita untuk menjadi pemimpin tertinggi masyarakat, apatah lagi pemimpin tertinggi negara. Sebaliknya, Islam mengajar kita bersatu, berlumba-lumba membuat kebaikan, selaku pemegang obor amanah Allah SWT.


28 November 2012 , Dewan Tun Tun Hussien Onn Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur - Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin di Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO Malaysia - “JUANG,WANITA DAN POLITIK"


Saya suka untuk memulakan ucapan ini, dengan memetik kembali bait-bait terakhir ucapan dasar saya pada Perhimpunan Agung yang lalu. Semalam adalah perjuangan nenek moyang kita, hari ini perjuangan kita dan esok ialah perjuangan cucu cicit kita. Dengan wadah perjuangan yang kita ada, suburkanlah wasilah keikhlasan dan terokailah hikmah kebijaksanaan. 

Kita sudah memahami wadah, wasilah dan hikmah yang kita miliki. Hari ini sudah tiba detik dan masanya, untuk kita sama-sama meneroka tentang apa itu JUANG dan setiap jalur makna yang terangkum di dalam rohnya.



Sidang perwakilan sekalian,
Juang. Roh kalimah ini hidup dalam setiap makhluk Tuhan sebagai sebuah fitrah. Juang adalah pengembaraan meneruskan survival hidup sehabis daya. Juang adalah semangat keramat manusia yang sanggup mempertaruhkan nyawa. Juang adalah kelana di bumi Tuhan mencari makna kehidupan.

Di zaman Nabi Sulaiman a.s, seekor semut di atas sebuah batu di padang pasir menyedarkan baginda, betapa juang untuk hidup berlaku di mana-mana, kerana rezeki Tuhan sukar dijangka. Di zaman Nabi Ibrahim a.s, seekor burung kecil yang cuba memadamkan api membakar baginda, mengajar satu makna, juang bukan tentang berapa besar kita, tetapi berapa besar usaha kita. Di belantara, pepohonan yang merebut air dan cahaya mengajar kita, juang adalah persaingan untuk kekal mandiri, biarpun kekuatan dan kelemahan kita berbeza.

Manusia dilahirkan untuk berjuang. Dilantik menjadi khalifah di muka bumi Allah, diberikan semangat untuk bangkit mempertahankan prinsip, mempertegak hak dan menjunjung maruah. Maka, setiap daripada kita, baik tua atau muda, lelaki atau wanita semuanya tertakluk kepada fitrah semulajadi manusia, berjuang untuk meneruskan kehidupan.

Daripada pasangan manusia pertama ciptaan Tuhan sehinggalah kepada manusia terakhir di penghabisan zaman, persamaan tanggungjawab antara manusia adalah perjuangan.Dengan juang kita menggerakkan idea, dengan juang kita melahirkan kehebatan, dan dengan juang kita menyusun bata ketamadunan. Kerana itulah Mahatma Gandhi pernah berkata.

Politik dan perjuangan tidak boleh dipisah-pisahkan. Politik itu perjuangan dan perjuangan itu politik. Di situ akan lahir makna kesucian dalam berjuang.

Surah Al-Baqarah ayat 30, surah Al-Mulk ayat 14 dan surah Ali-Imran ayat 59, semuanya bercerita tentang manusia pertama bernama Adam. Betapa agungnya kaum ini, dimuliakan Tuhan, tidak dicipta kemudian dan pemberi tulang rusuk keperluan. Namun, menikmati syurga tanpa teman tidak lama, sedih, sepi, sunyi, diubati dengan kehadiran hawa yang mendampingi dan menemani. Bersaksikan Tuhan bermaharkan cinta dan janji setia, mereka dinikahkan. Lengkap sebuah kehidupan dan bahagia berpanjangan. Daripada pasangan manusia pertama ciptaan Tuhan ini sehinggalah kepada manusia terakhir di penghabisan zaman, persamaan tanggungjawab antara manusia hanya satu, perjuangan.

Wanita, bukan sekadar peneman, bukan sekadar penghilang duka, dan bukan sekadar pelengkap kehidupan. Tetapi wanita merupakan tunjang kepada perjuangan lelaki. 


Kesatria-kesatria Puteri sekalian,
Oleh sebab itu, di sebalik kejayaan Mahatma Gandhi, ramai yang tidak mengetahui keunggulan wanita bernama Kasturbai Makhanji. Seorang isteri yang memberi sokongan dan dorongan tidak berbelah bahagi walau suami dikurung dalam jeriji besi.

Bagi Gandhi jika tidak kerana isterinya maka usaha memerdekakan bangsa tidak akan pernah berjaya.

Sebab itu di sebalik kegigihan keenam-enam Perdana Menteri mencorakkan kejayaan negara, jangan dilupa pada wanita-wanita ini.

Bermula dari Toh Puan Sharifah Rodziah, Tun Rahah, Tun Suhaila, Tun Dr Siti Hasmah, Tun Endon, Tun Jeanne hinggalah Datin Paduka Seri Rosmah.

Kesemua wanita-wanita ini adalah pembakar semangat pemimpin-pemimpin nombor satu negara untuk mencipta jaya. Itu kisah wanita.

Politik pula jika diimani maknanya, bukan soal kuasa dan kedudukan, bukan soal harta dan kekayaan, tetapi politik ialah perlumbaan prinsip dan pendirian. Pendirian menegakkan hak dan meroboh kebatilan. Kerana itu bila bicara soal perjuangan, tiada siapa yang terkecuali darinya.

Ada orang yang takut dan gentar berjuang kerana menganggap juang ini milik orang politik. Itu tidak benar. Ada orang yang enggan masuk campur dalam perjuangan kerana menganggap pandangan mereka tidak akan diterima. Itu tidak benar. Ada orang yang menganggap perjuangan hanyalah semata kerana keuntungan duniawi. Itu tidak benar.

Kerana perjuangan jika diimani roh dan semangatnya yang sejati, setiap dari kita akan mengerti dan memahami, ini soal tanggungjawab, survival dan fitrah manusiawi. Dari jutaan manusia di dunia, tiada seorang pun terkecuali darinya. 
Perjuangan ialah tanggungjawab setiap manusia. Sebagai khalifah di muka bumi Allah.



29 November 2012 , PWTC Kuala Lumpur - YAB Presiden UMNO DS Mohd.Najib bin Tun Hj.Abdul Razak tiba di perkarangan bangunan PWTC bagi Ucapan Perasmian Perhimpunan Agung UMNO tahun 2012. Beliau disambut oleh Ahli Majlis Tertinggi , Ketua Ketua Bahagian , Ketua Ketua Sayap Bahagian  Wanita , Pemuda dan Puteri.

YAB Presiden UMNO seterusnya memeriksa barisan yang teridiri daripada Pergerakan Sayap sayap Wanita , Pemuda dan Puteri yang diiringi oleh Ketua ketua sayap YB.Shahrizat Abdul Jalil , YB.Khairy Jamaludin Abubakar dan YB. Rosnah Abdul Rashid Shirlin. 






Upacara menaikkan Bendera Sang Saka Bangsa , Bendera Parti Keramat orang orang Melayu dan Bumiputera di Malaysia iaitu UMNO tanda kemegahan orang orang Melayu dan Bumiputera yang perlu sentiasa diberikan semangat dan juang yang jitu demi keberlangsungan keutuhan Bangsa Melayu dan Bumiputera di Negara ini.

YAB Presiden UMNO DS Mohd.Najib bin Tun Hj.Abdul Razak bersama Ahli ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia , Timbalan Presiden , Naib Naib Presiden , Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi dan Ketua ketua Bahagian UMNO seluruh Negara.

Upacara Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2012 , YAB menyampaikan amanat serta merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2012 dengan penuh semangat mengajak ahli UMNO bersama-sama berjuang menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU). YAB Presiden yang berbaju Melayu berwarna biru memasuki Dewan Merdeka dengan diiringi Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Masor dan tiga naib presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Kehadiran pemimpin tertinggi UMNO ke dalam dewan diiringi selawat ke atas Nabi dan majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Ketua Sekretariat Tetap Agama Pergerakan Pemuda UMNO, Ustaz Shamsul Najmi Samsudin.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, diikuti nyanyian lagu Negaraku, lagu UMNO, lagu Barisan Nasional (BN) dan lagu 1Malaysia.

 
Ketika lagu 1Malaysia, Perdana menteri bersama pepimpin tertinggi parti dan perwakilan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera UMNO Sang Saka Bangsa.

 

Dewan bertambah gemuruh apabila perwakilan bangkit melaungkan 'Hidup UMNO, Hidup Barisan, Hidup Malaysia' sebanyak tiga kali sebelum pengerusi perhimpunan, Tan Sri Badruddin Amiruldin, yang juga Pengerusi Tetap UMNO menyerahkan pentas kepada presiden untuk menyampaikan amanat. Turut hadir, isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tengku Adnan berkata, seramai 2,759 perwakilan menghadiri perhimpunan tiga hari parti itu, dan turut memperkenalkan 57 delegasi mewakili 24 parti politik dari 21 negara yang hadir pada perhimpunan kali ini.

Presiden UMNO YAB DS Mohd.Najib begitu berbangga apabila hadirin memberi tepukan gemuruh dan berdiri hormat ketika Tengku Adnan mengumumkan kehadiran perwakilan Palestin sebagai antara pemerhati antarabangsa, sebagai tanda sokongan padu rakyat Malaysia berikutan serangan berdarah di Gaza, baru-baru ini.

Para Perwakilan dari seluruh Negara berhimpun dan mendengar dengan amanat daripada Presiden UMNO DS Najib bin Tun Hj.Abdul Razak di Perhimpunan tersebut.


Ucapan Dasar Presiden UMNO DS Mohd.Najib bin Tun Hj.Abdul Razak di Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengerahkan seluruh anggota Umno bersatu mempertahan Putrajaya sambil menegaskan rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik, dan ini hanya mampu ditawarkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri berkata pilihan raya umum ke-13 merupakan titik penentu kepada destinasi masa depan negara dan rakyat perlu tahu menilai kelebihan BN berbanding pembangkang.



Katanya ini dibuktikan dengan parti perikatan dan kemudian BN yang ditunjangi oleh Umno sejak lebih 55 tahun lalu, secara berterusan menerajui negara dengan membawa pelbagai perubahan dan pembaharuan dengan lonjakan berganda.

YAB Presiden UMNO berkata sedangkan pembangkang yang mahu berkuasa, hanya menabur janji kosong, tipu daya atau fatamorgana.


“Pilihannya amat jelas untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama atau didewasakan dengan kebencian yang membara,” katanya dalam ucapan dasarnya bertemakan “Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional”

Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau Malaysia yang mundur, terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.
“Di satu sudut, jalan mulia yang terintis sejak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman. Di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, kelam dan gulita, dibina atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan hancur, runtuh dan tenggelam,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata Umno tidak akan membiarkan Malaysia hancur disebabkan janji-janji bohong yang ditabur pembangkang, bagi mengelakkan rakyat merempat di negara sendiri.
“Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. jika kita kehilangan darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula, tetapi jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang, akhirnya terbangsat dan merempat di tanah sendiri,” katanya.

Najib menegaskan walaupun apapun rintangan dan cabaran yang melanda, Umno tidak akan berundur daripada terus berbakti kepada rakyat dan negara.

“Umno dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan menghadapi musuh dari luar mahupun dalam. Kita akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangi hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik,” katanya.



Najib berkata tidak wujud individu, pemimpin, organisasi atau parti yang tidak pernah melakukan kesalahan dan untuk itu, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, Umno menyusun memohon maaf atas kekhilafan.
“Saya selaku Presiden UMNO bersama Timbalan Presiden serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam,” katanya.

Beliau berkata sedang Umno komited untuk memperjuang nasib bangsa Melayu dan Bumiputera, parti itu juga beriltizam memastikan bantuan dan pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu dinikmati golongan miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah daripada semua kaum di Malaysia.

“Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama dan tidak akan ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan. Bahkan UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya dengan kejayaan nasional,” katanya.


Beliau turut mengingatkan anggota Umno bahawa kemenangan dalam pilihan raya sebenarnya bergantung kepada banyak faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon yang dipertandingkan.
“Realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon tempatan parti. Jika dahulu siapa yang diketengahkan parti merupakan calon boleh menang, hakikatnya tidak begitu lagi,” katanya.

Beliau berkata calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah iaitu bukan sekadar diterima oleh lingkungan parti tetapi hendaklah juga disenangi masyarakat setempat sebagai pengundi.

Dalam memastikan kemenangan BN pada PRU-13, Najib menekankan pentingnya disiplin berorganisasi sebagai faktor tonggak yang menentukan kejayaan dan kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini.
 
“Dalam sebuah pertubuhan siasah, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihan raya,” katanya.

Perbahasan usul ucapan dasar presiden oleh Datuk Hj Jalaluddin Alias sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Putra World Trade Centre , Kuala Lumpur - BERSATU UNTUK KEMENANGAN


Perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung Umno 2012 29/11/2012 , Datuk Reezal Merican Naina Merican wakil Pergerakan Pemuda Kepala Batas , Pulau Pinang



Perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung Umno 2012 29/11/2012 , Datuk Mohd.Alwi Che Ahmad wakil  UMNO Bahagian Ketereh Kelantan


Perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung Umno 2012 29/11/2012 , Datuk Yahya Mat Ghani wakil  UMNO Bahagian Batu


Perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung Umno 2012 29/11/2012 , Datuk Hasnoor Sdg. Husin , wakil  UMNO Bahagian Bukit Katil


Perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung Umno 2012 29/11/2012 , Dayang Saniah binti Awang Hamid , wakil  UMNO Bahagian Tanah Merah Kelantan


Perbahasan Usul Ucapan Dasar Presiden Perhimpunan Agung Umno 2012 29/11/2012 , Aziz Had , wakil  UMNO Bahagian Kangar Perlis


Pembahas Usul Ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2012, Datuk Alwi Che Ahmad yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Kelantan paling mendapat perhatian.Antara yang berbahas ialah Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Mewakili Pemuda Umno Kepala Batas, Datuk Yahya Mat Ghani, Perwakilan Umno Batu, Datuk Hasnoor Sdg Husin, Perwakilan Umno Bukit Katil, Dayang Saniah Awang Hamid, Perwakilan Umno Tanah Merah, dan Aziz Had, Perwakilan Umno Kangar.


Ucapan Penggulungan Timbalan Presiden Umno 1/12/2012
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan tujuh rukun untuk dilaksanakan bagi menjamin Umno dan Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13.


Tujuh rukun berkenaan ialah 
1,Patuh kepada pemimpin;
2.Mengatur strategi yang tepat;
3.Memahami peranan dan tanggungjawab yang hendak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh;
4.Mengenali musuh dalam pilihan raya khususnya pembangkang;
5.Memperkukuhkan perpaduan di semua peringkat parti;
6.Memastikan berada dalam keadaan siapsiaga untuk 'peperangan' pilihan raya
7.Berjuang habis-habisan hingga ke saat akhir. 


Ucapan Penggulungan Naib Presiden UMNO 2012
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan ucapan penggulungan antara topik yang disentuhnya adalah:- 
-Fardu Kifayah di peringkat antarabangsa termasuk memberi bantuan ke negara-negara menghadapi bencana dan bergolak melalui Putera UMNO. 
-Kerajaan pimpinan Presiden banyak memberi sumbangan kepada negara dan dunia. Semalam PBB mengiktiraf Palestin sebagai negara dan itu sebahagian daripada usaha beliau dan beliau telah menghantar Menteri Luar untuk membantu melobi Palestin mendapat pengiktirafan. Hamas juga dijemput dan mereka menghantar pemerhati dan ia sebagai pengiktirafan Malaysia terhadap Hamas dan Hamas terhadap negara Malaysia. 
-Semasa gempa di Aceh dan Jogjakarta kita yang sampai dahulu, bukan duit bantuan dari kerajaan tetapi duit dari UMNO. 
-Di Jogjakarta Malaysia dituduh bantuan dihantar untuk menebus dosa, jadi Zahid Hamidi menjawab menggunakan bahasa Jawa, dan disambut hilai tawa perwakilan. 
-Ketua-ketua negara ASEAN dan Obama sendiri juga bertemu Perdana Menteri sehingga gencatan senjata di Gaza dilaksanakan, termasuk MILF saya diarahkan dan telah masuk bertemu dengan semua pemberontak menunjukkan keprihatinan Malaysia terhadap krisis di Mindanao. 
-Kejayaan itu adalah kejayaan UMNO dan diterima oleh peringkat serantau dan antarabangsa. 
-Berharap media troopers berada dalam satu payung dan saf yang sama UMNO akan menghargai jasa pengendali media troopers. -Serangan bertali arus memerlukan UMNO turut mempunyai hubungan baik di alam maya juga. 
-Kajian Fakulti Media UiTM hanya 17 peratus atas pagar dan 4 peratus sahaja tidak puas hati dan selebihnya sangat berpuas hati dengan kepimpinan Presiden. 
-Hargailah sumbangan Angkatan Tentera yang menjaga keselamatan negara, jika tidak berterima kasih sekalipun, jangan hina mereka. 
-Usaha telah dilakukan, tawakal kepada Allah, kita doakan agar UMNO dan BN capai kejayaan cemerlang PRU-13


Ucapan Penggulungan Naib Presiden UMNO 2012
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal di Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Dewan Merdeka, PWTC


Ucapan Penggulungan Naib Presiden UMNO 2012
Ucapan penggulungan dasar Presiden oleh Naib Presiden DS Hishamuddin Tun Hussien di Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Dewan Merdeka, PWTC 

UMNO wajar dijadikan sebuah parti yang menjadi contoh terhadap rakan komponen Barisan Nasional (BN) perlu menjadi parti contoh kepada parti komponen yang lain dalam memperkukuhkan jentera parti.Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan, antara pendekatan yang wajar dilaksanakan termasuklah strategi dan perlaksanaan dasar parti yang merangkumi kesemua kaum di Negara ini.

Ucapan Penggulungan Ketua Pergerakan Wanita Umno 2012 Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menjelaskan, 
Rakyat sewajarnya berterima kasih dengan Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah mengangkat status wanita di Malaysia selari dengan kaum lelaki. Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menjelaskan, pimpinan parti nyata amat prihatin terhadap suara akar umbi Wanita yang telah sekian lama memperjuangkan hak wanita sehingga melahirkan beberapa tokoh yang dikenali di persada global.

Ucapan Penggulungan Ketua Pergerakan Pemuda Umno 2012 Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin menjelaskan,
Perkembangan status jumlah Jumlah pengikut laman sosial terutamanya Facebook dan Twitter milik Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjangkau lebih sejuta orang merupakan bukti sokongan rakyat terutamanya generasi Muda terhadap kepimpinan Perdana Menteri.Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin, ianya juga membuktikan populariti Perdana Menteri menerusi pelan transformasi yang dilaksanakan jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. 


Ucapan Penggulungan Ketua Puteri Umno 2012 
Ketua Pergerakannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, 


Puteri UMNO yakin bahawa golongan belia pada masa kini seiring dan bersama dengan UMNO dalam usaha meneruskan perjuangan UMNO. Ketua Pergerakannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, anak-anak muda bukanlah kuda tunggangan politik seperti yang dilakukan pihak pembangkang.

Ucapan Penggulungan Presiden UMNO serta Penutupan Perhimpunan Agung UMNO 2012 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak 
Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat menolak parti-parti pembangkang kerana undi kepada golongan itu membawa maksud kerosakan akidah, perpecahan kaum dan penindasan kaum tertentu.Perdana Menteri berkata hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berjuang untuk negara ini dan kemajuan bangsa Melayu serta bangsa lain.Berucap di hadapan lebih 2,700 anggota perwakilan, presiden UMNO berkata inilah masanya untuk rakyat negara ini termasuk anggota UMNO untuk berada dalam barisan yang bersatu bagi menentang fitnah daripada PAS, menentang pluralisme daripada PKR dan menentang perkauman daripada DAP.